SMAHADZIR
TERSEBUTLAH bahawa sejak dahulu sudah ditetapkan Allah
s.w.t satu hari dalam seminggu, pada hari semua orang diwajibkan berkumpul
menjalankan ibadat bersama-sama dan menerima tuntunan Allah s.w.t dengan
perantaraan Nabi dan Rasul-Nya masing-masing. Tetapi entah kerana apa, pada
zaman Nabi Musa kaum Bani Israel sama bermohon, agar hari itu dijadikan hari
Sabtu saja.
Keinginan mereka ini dikabulkan oleh Allah
s.w.t dan sudah tetaplah menurut syariat Nabi Musa, bahawa hari Sabtu itu
adalah hari istimewa, hari mana setiap orang tidak boleh bekerja, tetapi hari
itu dikhaskan hanya semata-mata untuk menyembah Allah s.w.t, untuk bersyukur
kepada Allah s.w.t dan hari menerima pengajaran Allah s.w.t atau agama.
Hari Sabtu Untuk Beribadat
Saja
Begitulah telah menjadi adat, syariat dan tradisi
bagi Bani Israel, sejak zaman Nabi Musa sampai ke zaman Nabi Daud a.s. Di sebuah
kampung yang terletak di pinggir Lautan Merah, bernama Kampung Tuhan, di mana
tinggal bangsa keturunan Bani Israel juga. Mereka juga menjalankan syariat yang
menjadikan hari Sabtu itu semata-mata untuk beribadat saja.
Kerana adat dan syariat yang sudah turun-temurun
begitu lama, di mana tidak seorang pun di antara manusia yang pergi ke ladang
membajak, tidak seorang pun pergi ke pasar berniaga, tidak seorang pun pergi ke
laut menangkap ikan, maka syariat Bani Israel itu menyebabkan timbulnya sebuah
tradisi pada ikan yang hidup di dalam laut di sekitar kampung tersebut.
Tidak begitu jauh dari pantai di kampung
itu, ada dua buah batu besar yang putih warnanya di dalam laut. Saban hari
Sabtu, bukan main banyaknya ikan besar yang lalu dan bermain-main di antara dua
buah batu besar itu. Rupanya ikan-ikan itu pun sudah tahu, bahawa kalau mereka
bermain-main di situ pada hari Sabtu, tidak seorang pun manusia yang akan
menangkap mereka, sedang pada hari-hari yang lain, tidak ada seekor pun di
antara ikan-ikan itu yang muncul di situ, kerana bila ada seekor saja, sudah
pasti akan ditangkap oleh manusia untuk menjadi makanan yang paling enak. Pada
hari-hari selain dari hari Sabtu mereka hampir seluruhnya pergi ke laut untuk menangkap
ikan.
Dari hari ke sehari, tahun ke tahun,
makin banyak juga ikan besar Lautan Merah yang melancong pada tiap hari Sabtu
ke dua batu besar itu. Hal ini akhirnya menerbitkan selera bangsa Bani Israel
yang tinggal di kampung tersebut. Nafsu tamak dan keinginan untuk memakan
ikan yang besar-besar itu, menyebabkan mereka lupa kepada ajaran agama mereka
sendiri. Mereka berkumpul sambil bermesyuarat, bertukar fikiran. Mereka
berkata: ‘Kenapa kita biarkan saja ikan-ikan besar sebanyak itu berkeliaran di
hadapan kita pada hari Sabtu ini. Sedang pada hari-hari lainnya, kita bermati-matian
ke tengah laut yang luas mencari ikan dengan bersusah-payah, kadang-kadang
dengan mengorbankan jiwa kita sendiri. Alangkah baiknya kalau pada hari Sabtu
itu, kita tangkap semua ikan yang lalu antara dua buah batu itu, kita pasti
akan mendapat ikan sebanyak-banyaknya dengan jalan yang amat mudah.’
Fikiran ini lekas diterima oleh orang-orang
lain di kampung itu, kecuali beberapa orang saja yang tetap beriman dan tidak
sudi melanggar aturan agama. Begitulah setiap hari Sabtu penduduk kampung
itu bersama-sama menangkap ikan di antara dua buah batu besar itu dengan mudah
sekali. Hasil mereka sehari tersebut jauh lebih banyak dari hasil mereka pada
hari-hari lainnya yang enam hari itu. Alangkah senang hati mereka mendapat akal
yang sedemikian hebat.
Dengan akal ini, maka hari Sabtu itu
sudah mereka ubah, bukan untuk menyembah Allah s.w.t lagi, tetapi mereka
jadikan hari melupakan Allah s.w.t, hari beriang gembira, makan-makan besar
dengan ikan-ikan besar yang mereka dapati pada hari Sabtu yang istimewa itu. Pada
hari Sabtu itulah mereka makan seenak-enaknya dan sebanyak-banyaknya, dengan
daging ikan-ikan besar yang berbagai-bagai pula jenis dan saiznya.
Kampung Dibahagi Dua
Setelah pekerjaan mereka diketahui oleh orang-orang
yang beriman, mereka memberikan nasihat kepada yang melanggar aturan agama itu.
Tetapi nasihat ini tidak masuk lagi ke dalam hati mereka. Akhirnya oleh
golongan yang beriman, diadakan tindakan kekerasan untuk menginsafkan orang-orang
yang sudah sesat itu. Dengan kekuatan senjata, mereka jaga agar jangan sampai
ada seorang pun di antara penduduk yang menangkap ikan pada hari Sabtu
itu.
Tetapi mereka yang ingkar dan sesat itu sama-sama
memprotes keras: ‘Kampung ini bukan kepunyaanmu saja, kami juga turut berhak
atas kampung ini. Tetapi kenapa kamu melarang kami berbuat apa yang kami
inginkan di kampung kami sendiri? Kami merdeka berbuat itu semua, lebih-lebih
lagi mencari rezeki yang berupa makanan. Atau kalau kamu tidak suka kami
mengerjakan apa yang kami perlukan, lebih baik kampung ini kita bahagi dua
saja. Setengahnya untuk kami, kami merdeka berbuat apa saja yang kami kehendaki
di kampung bahagian kami dan setengah lagi untukmu dan kamu merdeka pula
berbuat apa saja yang kamu kehendaki atasnya.’
Untuk menghindarkan perselisihan dan
pertumpahan darah, orang-orang yang beriman akhirnya suka kalau kampung itu dibahagi
antara kedua-dua golongan itu. Kampung itu lalu dibahagi dua. Kedua-dua
golongan di setiap kampung itu, kini merdeka berbuat sekehendak hati masing-masing.
Golongan yang sudah sesat itu berkecimpungan dengan keingkaran, mereka telah
melupakan Allah s.w.t dan makan makan besar setiap hari Sabtu, yang oleh Allah
s.w.t telah ditetapkan hanya untuk beribadat kepada-Nya saja.
Adapun orang-orang yang beriman selalu
menasihatkan kepada sesama mereka, agar jangan meniru perbuatan salah dari
orang-orang yang sesat itu, kerana itu akan berakhir dengan dosa dan petaka
yang diakhiri dengan seksaan Allah s.w.t yang sebesar-besarnya. Setelah semua
anjuran itu oleh golongan yang sesat tersebut tidak diacuhkan sama sekali,
akhirnya perbuatan mereka itu dibiarkan saja, diserahkan kepada Allah s.w.t
saja untuk menghukumnya.
Tetapi Nabi Daud tidak mahu membiarkan
begitu saja orang melanggar perintah Allah s.w.t. Nabi Daud terus menerus
menasihati mereka, agar mereka kembali kepada ajaran Nabi dan agama-Nya. Tetapi
mereka hanya menggelengkan kepalanya, bahkan mengejek-ejeknya pula.
Diserahkan Kepada Allah
Akhirnya Nabi Daud tidak dapat membiarkan dan tidak
dapat pula memberi nasihat lagi. Masalah ini diserahkannya kepada Allah s.w.t
semata-mata, dengan doa agar Allah s.w.t-lah yang mengajar orang-orang yang
sudah sesat itu.
Orang-orang yang ingkar itu rupanya
menjadi semakin ingkar dan semakin tamak dalam hidup, akhirnya mereka
mengerjakan segala macam dosa dan noda dalam kehidupan seharian. Tabiat mereka
berubah menjadi seperti kera atau beruk, tidak tahu akan halal dan haram, tidak
kenal akan permatang atau pagar. Akhirnya bukan hanya tabiat saja yang buruk
begitu rupa, tetapi rupa dan bentuk mereka juga jadi buruk. Tabiat yang kasar
dan dosa yang terlalu banyak, telah merubah bentuk rupa mereka juga, menyerupai
kera atau beruk, menjadi binatang yang melompat dari dahan ke dahan, dari pokok
ke pokok.
Pada suatu hari terjadilah gempa besar di
kampung itu. Dengan gempa besar itu, semua kaum Mukminin, keluar dari rumah-rumah
mereka minta perlindungan dari Allah s.w.t. Adapun orang-orang yang sudah sesat
itu, masih tetap makan-makan besar dengan hasil penangkapan ikan mereka pada
hari Sabtu itu. Akhirnya datang lagi gempa yang kedua, ketiga, keempat berturut-turut
tidak putus-putusnya, yang semakin hebat dan dahsyat. Dengan gempa yang dahsyat
itu, lenyaplah semua orang yang ingkar tersebut, terpelanting ke dalam laut, ditimpa
oleh batu-batu dan rumah-rumah yang runtuh, sedang orang-orang yang beriman
tetap selamat, berkat perlindungan dari Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan