Ahad, 14 Mac 2010

Puisi-puisi Lama (2006-2007) Untuk Simpanan

PUISI-PUISI DAN CERPEN KANAK-KANAK LAMA (2003-2007) UNTUK SIMPANAN


DI TEPI SUNGAI KECIL

Sejak lama
aku terbelenggu di sini
kini bersyukur
dibuang ke selatan negeri luas dan liar

Waktu senggang aku ikut para petani
hidup berjiran dengan mereka
kadang-kadang mirip petapa dari hutan dan gunung
yang sedang bertamu

Pagi hari menggarap tanah
mata bajak menggali rumput bertitisan embun
malam hari belayar
dayung perahu membentur batu kersani di dasar sungai
hilir mudik ke sana ke mari sesuka hati
namun takkan berjumpa pejalan kaki
lepas suara bernyanyi
muka tengadah ke langit negeri aman yang luas
langit maha biru sejauh mata memandang

SMAHADZIR
11/11/2006

Bapa Akil Seorang Pemandu

 

HARI ini Akil bangun lebih awal dan sempat bertemu dengan bapanya.  

“Semalam Pak Cik Saiful telefon. Dia akan datang ke rumah kita dari Arab Saudi dua hari lagi,” Pak Iman memberitahu sebelum pergi bekerja.

Akil memerhatikan bapanya. Ada rasa kecewa menyelinap di hatinya. Tidak ada yang mampu dibanggakan dari bapa, fikir Akil. Bapa cuma seorang pemandu. Tidak seperti bapa Damri rakannya yang suka mengajak Damri bermain badminton. Atau seperti bapa Tika yang jadi seorang doktor.

Bapa Akil pergi pagi, pulang malam. Bila pulang terus mandi, makan, menonton televisyen sebentar, solat, kemudian tidur.

Pada malam minggu, kalau tidak bekerja, dia akan tidur nyenyak, seolah-olah tenaganya sudah habis. Atau sibuk membantu ibu menghiris bawang, menggoreng kacang atau ikan bilis. Ibu Akil bekerja sebagai penjual nasi lemak untuk menampung keperluan keluarga.

Fikiran Akil beralih pula kepada Pak Cik Saiful, adik bapanya, seorang jurutera, bekerja di Arab Saudi. Pak Cik Saiful akan datang lusa. Itu ertinya Akil akan mendapat buah tangan. Sayang, di rumah tidak ada telefon, kalau tidak dapatlah dia menghubungi pak ciknya itu.

Kalau ada telefon, tentu semalam Akil boleh berbual, dan minta dibelikan seutas jam tangan dari Pak Cik Saiful. Pasti semalam bapa menerima panggilan telefon di rumah Pak Hamid, jiran sebelah.

Selama beberapa hari, Akil gelisah memikirkan hadiah apa yang akan dibawa oleh Pak Cik Saiful untuknya. Akil tidak sabar menanti kedatangan bapa saudaranya itu. Namun, pada hari yang dijanjikan, Pak Cik Saiful yang ditunggu-tunggu Akil itu belum juga datang. “Pak cik tak datang ke, bu?” tanya Akil.

“Datang, tapi sekarang ada di rumah nenek. Kita dijemput jam 6.00 petang nanti,” ujar Puan Inah.

“Tapi, bapa biasanya pulang jam 7.00,” ujar Akil.

“Hmm, ibu tak tahu nombor telefon rumah majikan bapa. Tapi, alamatnya ada. Nanti jam 4.00 kamu ke sana. Beritahu khabar gembira ini pada bapa,” kata Puan Inah.

Sekitar jam 4.00 Akil segera berangkat. Dia tahu lokasinya. Perlu juga naik bas, walapun bapa biasa jalan kaki pagi dan petang. Rumah majikan bapa sangat besar, bahkan ada seorang jaga bertugas di pintu masuk. Akil memperkenalkan diri dan menyatakan maksudnya.

“Oh, kamu Akil! Bapa kamu sering bercerita tentang kamu,” kata jaga itu lalu membukakan pintu pagar.

Akil masuk ke halaman yang berjaga rapi dengan pelbagai tanaman hiasan dan bunga-bungaan. Di garaj kelihatan dua buah kereta besar. Akil diajak ke sebuah ruang di sisi rumah besar tersebut.

“Kamu tunggu di sini. Bapa kamu ada di ruang itu. Pak cik akan beritahu Puan Seri dulu. Pak cik akan memintakan izin supaya bapa kamu boleh pulang sekarang,” kata jaga tersebut, kemudian masuk ke dalam.

Akil mengintai melalui jendela bercermin cerah. Dia menguak sedikit tirai jendela berwarna putih itu. Di dalam ruang itu ada banyak barang mainan.

Ada seorang kanak-kanak lelaki bertubuh besar. Mungkin baru bersekolah tadika. Kanak-kanak itu duduk sambil menolak kereta mainan di lantai. Kelihatan juga Pak Iman sedang membongkok sambil memegang semangkuk bubur kacang hijau dan menyuap kanak-kanak itu.

Darah Akil mendidih sewaktu melihat kanak-kanak itu meletakkan kereta mainan di atas kepala bapanya dan tertawa terkekeh-kekeh. Pak Iman membiarkannya saja.

Ketika Pak Iman menyuapkan bubur, kanak-kanak itu meluahkannya kembali ke lantai. Dengan sabar Pak Iman mengambil kain lap, membersihkan lantai. Berbagai perasaan berkecamuk dalam diri Akil. Katanya bapa jadi pemandu, tetapi rupanya bapa jadi pengasuh anak cacat mental. Ada perasaan marah, sedih dan kasihan di hati Akil.

“Akil, Puan Seri kata bapa kamu boleh pulang sekarang,” kata jaga. Sejurus kemudian Pak Iman keluar sambil membawa mangkuk bubur.

Dia menyerahkan mangkuk itu kepada jaga dan berkata, “Suruh Mak Leha suapkan Karim tu,”

Setelah memohon diri, Pak Iman dan Akil pun berjalan beriringan. Akil diam saja.

“Kamu naik apa ke sini, Kil?” tanya Pak Iman.

“Naik bas, pak,” jawab Akil.            

“Pak Cik Saiful kamu pasti seronok melihat kamu. Dulu waktu kali terakhir dia datang kamu masih dalam tadika lagi. Sekarang kamu sudah darjah empat,” kata Pak Iman.

“Kata bapa jadi pemandu,” Akil tidak dapat menahan rasa ingin tahunya.

“Ya, tapi kalau tak ada tugas, bapa menemani Karim tu. Dia tu cacat. Kasihan, dia cacat mental. Walaupun orang tuanya kaya-raya, apalah ertinya. Lebih beruntung bapa ada anak seperti kamu,” jawab Pak Iman jujur.

Mendadak terasa ada ketenangan di hati Akil. Juga rasa terharu. Ternyata bapa bangga kerana memiliki aku, fikir Akil. Selama ini bapa tidak pernah menceritakan isi hatinya kepadaku.

“Tadi Akil nampak dia meletakkan kereta mainan atas kepala bapa,” kata Akil jengkel. “Mengapa bapa tak cari pekerjaan lain saja?”

Pak Iman menghela nafas panjang. “Nasib orang berbeza-beza, Kil! Bapa cuma bersekolah sampai darjah enam, lalu bekerja untuk membantu orang tua. Memberi kesempatan pada Pak Cik Saiful, Pak Cik Sabirin dan Mak Cik Lina kamu agar boleh terus sekolah,” kata Pak Iman.

Akil diam.

“Sekarang cari pekerjaan sukar, keluar dari universiti pun ramai yang menganggur.”

Akil diam juga.

“Dengan menjaga Karim tu, bapa dapat tambahan wang. Jadi kamu boleh bersekolah dengan senang, masuk kelas tuisyen dan membeli buku-buku pelajaran. Bapa senang hati kerana adik bapa, Saiful sudah berjaya. Kamupun kelak pasti berjaya kalau rajin belajar,”

Akil mendengar semua itu dengan hati yang terharu. Ternyata bapanya ini orang yang rela berkorban. Demi anaknya dia rela melakukan pekerjaan yang mungkin ramai orang tidak bersedia melakukannya. Akil sungguh terharu.

Tiba-tiba dia merasa bangga pada bapanya yang sederhana itu. Dia tidak boleh membandingkan bapanya dengan bapa orang lain. Bapa Akil tetap bapa Akil. Yang rela berkorban untuk Akil... ya bapanya sendiri, bukan bapa orang lain.

“Kamu larat ke? Mahu naik bas atau jalan kaki?” tiba-tiba Pak Iman bertanya.

“Kita jalan saja, pak! Kalau bapa ada masa, mahu tak bapa main badminton dengan Akil?” tanya Akil.

Tiba-tiba Akil melihat wajah bapa ceria, dan matanya berbinar-binar. Baru kali ini Akil melihat sinar kebahagiaan di wajah bapanya.

“Tentu saja mahu. Bapa sangka kamu tidak mahu bermain atau berjalan-jalan dengan bapa, kerana bapa ini cuma seorang pemandu,” kata Pak Iman.

Akil tersenyum.

“Tak, pak! Akil tak tahu yang bapa suka main badminton,” kata Akil.

Pak Iman dan Akil terus berjalan dengan hati yang gembira. Senja kelihatan sangat indah. Di rumah, Pak Cik Saiful sudah sedia dengan seutas jam tangan untuk Akil, juga hadiah pakaian untuk Pak Iman dan Mak Inah. 

SENYUM

Ada dua ulas
ada empat garis
pada sukma terkilas
ada tawa terukir
jambu batu hijau warnanya
gajus selatan ada berwarna jingga
sungguh cantik di pandang mata
menatap tampang
tersenyum mesra.

Ada dua bait
ada empat baris
pada hati terkait
ada senyum tergaris
jambu air merah warnanya
sentol utara ada berwarna perang
sungguh elok di pandang mata
menatap wajah
tersenyum ramah.

SMAHADZIR
13/2/2006

Semangat Baru

 

SEMAKIN dekat dengan rumah, langkah kaki Iman semakin cepat. Dia mahu menelefon Pak Cik Dani yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah kanak-kanak. Besok ada pertandingan catur untuk murid-murid sekolah rendah di sebuah pusat membeli-belah dan Pak Cik Dani adalah salah seorang anggota urus setia pertandingan tersebut.

Sabtu lalu Pak Cik Dani menelefon ibu dan memberitahu tentang pertandingan catur tersebut. Kalau Iman berminat mesti mendaftar selewat-lewatnya pada hari Isnin. Sekarang sudah hari Selasa dan Iman belum lagi mendaftar.

Setiba di rumah, Iman segera menelefon Pak Cik Dani. Ternyata Pak Cik Dani belum pulang. “Bu, saya nak telefon Pak Cik Dani di handphone-nya, ya!” Iman minta izin pada ibu.

“Boleh, tetapi jangan lama-lama,” pesan ibu.

Iman berdiri dekat meja telefon lalu menelefon Pak Cik Dani. “Hello, pak cik! Saya sudah bersedia nak menyertai pertandingan catur besok. Jam berapa saya harus tiba di sana? Pak cik nak jemput saya tak?” bertubi-tubi pertanyaan Iman.

“Iman, kamu tidak boleh ikut serta. Pendaftaran sudah ditutup pada hari Isnin petang yang lalu!”

“Kenapa begitu? Pak cik kan urus setia pertandingan. Saya sangka pak cik sudah daftarkan,” kata Iman dengan perasaan yang kecewa.

“Laa, mana pak cik tahu yang kamu berminat. Kamu tidak pula menelefon pak cik sebelum ini. Maaf, urus setia pertandingan tidak boleh mengubah peraturan yang sudah ditetapkan, Sudah, ya!” Pak Cik Dani mengakhiri perbualannya.

Terus Iman merasa lututnya lemah. Seminggu ini dia berlatih bermain catur melawan Faiz dan Budi. Dan sekarang, semuanya sia-sia hanya kerana kelalaAyen, tidak mendaftar dan tidak menghubungi Pak Cik Dani. Dia juga menyangka Pak Cik Dani sudah mendaftarkan namanya. Aduh, apa kata Faiz dan Budi kalau mereka tahu hal ini?

Sepanjang petang sampai malam wajah Iman murung. Esok paginya Iman tidak mahu bangkit dari tempat tidur. Dia sangat kecewa. Dalam hati dia menyalahkan Pak Cik Dani yang berlaku kejam dan juga ibunya yang tidak mengingatkannya untuk mendaftar. Jam 8.30 pagi telefon berdering. Tidak lama kemudAyen ibu masuk ke bilik.

“Iman, ada telefon dari Pak Cik Dani!” Ibu memberitahu.

Dengan perasaan yang malas Iman ke luar bilik.

“Iman, sebetulnya pak cik sudah daftarkan nama kamu. Kelmarin pak cik cuma mahu mendidik kamu agar lain kali jangan lalai lagi,” kata Pak Cik Dani. “Kamu boleh datang ke sini dalam waktu setengah jam sebelum pertandingan bermula?”

“Aaah...ehhh, saya belum mandi dan makan. Tetapi, saya akan datang naik teksi,” kata Iman.

Dengan segera Iman mengambil sehelai tuala lalu bergegas ke bilik mandi. Selesai mandi, dia membongkar pakaAyen dan memohon diri untuk pergi dari ibunya.

“Sarapan dulu, Iman!” Ibunya mengingatkan.

“Tidak boleh, bu! Kata Pak Cik Dani jam 9.00 saya harus ada di sana. Saya akan naik teksi saja. Wang saya masih ada,” kata Iman dan diapun berlari ke jalan mencari teksi.

Dengan termengah-mengah akhirnya dia tiba di tempat pertandingan di tingkat tiga. Para ibu bapa hadir menghantar anak-anak mereka. Selain pertandingan catur, ada juga pertandingan mewarna lukisan dan pertandingan menyanyi.

Iman menemui Pak Cik Dani.

“Duduk di meja nombor 4, Iman!” kata Pak Cik Dani.

Setelah duduk, Iman berhadapan dengan lawannya, seorang budak laki-laki yang kemas dan rapi. Budak itu tersenyum dan menjabat tangan Iman, menyebutkan namanya sebagai Ayen.

Ketika menoleh ke kiri, di meja nombor tiga ternyata ada budak yang tinggal di kompleks perumahan yang sama dengan Iman. Budak itu berkasut biru, menganggukkan kepala dan tersenyum pada Iman.

Urus setia pertandingan membacakan peraturan-peraturan yang harus ditaati dan nama-nama peserta pertandingan, dan sejurus kemudian acara pertandingan pun dimulai. Lawan Iman ternyata sangat pandai. Dalam sekejap saja dia sudah melahap tiga bidak milik Iman dan dalam waktu 8 minit Iman kalah.

            Iman menoleh ke kiri dan budak berkasut biru sudah kalah lebih dulu dan meninggalkan kerusinya. Iman mendekati pak ciknya dengan kecewa dan berkata, “Pak cik, saya mahu pulang saja sekarang,”

“Jangan pulang, lihat pertandingan dulu. Kamu boleh belajar dari para peserta yang menang,” Pak Cik Dani mencegah.

“Untuk apa? Saya sudah kalah,” kata Iman dengan wajah lesu dan nada yang kurang senang. Dia tiba-tiba teringat wang yang sudah berpindah ke tangan pemandu teksi tadi. Pak Cik Dani mengeluarkan wang RM20.00 dan memberikannya kepada Iman.

“Turunlah ke tingkat dua. Kamu boleh makan ayam goreng dan kentang. Selepas itu kembali ke sini dan baru ambil keputusan. Kamu belum sempat makan, kan,”

Ketika Iman masuk ke restoran, budak berkasut biru ternyata sudah ada di sana. Dia baru mulai makan. Dia memberi isyarat agar Iman duduk di sisinya. Iman memesan makanan dan kemudian membawanya ke meja budak itu. Kedua-duanya berkenalan.

“Rupanya kita sama-sama belum sarapan, Iman!” kata Aris, budak berkasut biru itu.

Iman menceritakan masalah pendaftaran pertandingan catur. “Saya sudah mendaftar. Cuma semalam saya asyik main catur sendiri. Bila pagi saya masih mengantuk dan sukar bangun. Jadi tidak sempat sarapan dulu,” Aris menjelaskan. “Benar kata ibu, kalau mahu ikut bertanding harus menyiapkan diri sebaik-baiknya,”

“Iya, kalau saya tidak tergesa-gesa tadi pagi, mungkin saya boleh mandi dengan tenang, bersarapan dan kemudian tidak tergopoh-gapah ke tempat pertandingan,” Iman mengakui. “Rumah kita satu kompleks, kita boleh pulang sama-sama,” tambah Iman.

“Ya, tetapi saya tidak mahu pulang sekarang, rugi!” kata Aris. “Saya mahu melihat cara rakan-rakan kita bertanding dan memerhatikannya. Kata ibu saya, kalau kita gagal kita harus bangkit dan berusaha lebih giat. Kegagalan adalah awal kejayaan kalau kita mahu memperbaiki diri,”

“Benar juga. Kalau begitu kita kembali saja ke tingkat tiga,” Iman setuju. “Bagus juga kalau kita singgah dulu ke kedai buku, beli pen dan buku kecil untuk mencatat langkah-langkah para juara,”

“Ya, ada juga hikmahnya kegagalan kita ini. Saya jadi kenal dengan kamu. Lain kali kita boleh sama-sama bermain catur. Selama ini kita tinggal satu kompleks perumahan, kita saling berselisih jalan, hanya memandang wajah, tidak bertegur-sapa,” kata Aris. “Saya mempunyai beberapa buah buku tentang catur di rumah, kamu boleh pinjam,”

“Wah, bagus sekali. Terima kasih!” kata Iman dengan ceria.

Perutnya sudah kenyang, semangatnya sudah timbul, dan rasa kecewanya hilang. Kesedaran baru muncul bahawa tidak seharusnya dia menyalahkan ibu dan Pak Cik Dani, kerana dia sendiri yang bersalah.

Kedua-dua budak lelaki itu keluar dari restoran, singgah ke kedai buku dan naik ke tingkat tiga. Iman dan Aris menonton pertandingan catur dengan penuh perhatian.

Sesekali mereka mencatat. Selepas suatu kegagalan, kita boleh memiliki semangat baru.


JEBAT TAK MATI DI TANGAN TUAH

Siapa kata Jebat dibunuh Tuah
kalau berkata biar berakal
kalau mengujar biar pintar
itulah fitnah perosak satuan
sesama bangsa bergelar Melayu
semalam, aku bertemu Tuah
bersama Jebat di pintu istana
berpasalewa hitam berkeris Melayu
mengadap baginda menjunjung perintah
menentang fitnah zaman baru

Jebat mati dibunuh Tuah
betapa buruk perangai Melayu
setia melulu termakan fitnah seteru
pahlawan Melayu hebat taktikal panjang fikir
mustahil membunuh sahabat sendiri
fitnah negeri diancam perang
setia padu rakyat Melaka harus selamat
untuk memerangkap jerat pemfitnah
Jebat mengamuk mengikut arahan
skrip molek dikarang
Tuah mengadap konon penderhaka
membunuh Jebat sekadar lakonan

Orang Melayu kuat sepadu
fitnah runcing sembilu
merosak perpaduan Melayu
hingga kini terus berlaku
Melayu sentiasa keliru
tak pernah sedar muslihat seteru

SMAHADZIR
10/12/2006

Hari Jadi Azri

 

AZRI menandakan haribulan di kalender. “Hmm, seminggu lagi hari jadiku,” gumamnya gembira.

Beberapa hari lalu, Azri diundang ke majlis hari jadi Faiz, rakan sekolahnya. Majlis itu sangat meriah. Rumah Faiz yang besar, penuh dengan para undangan. Faiz mendapat banyak hadiah. Majlis itu tambah meriah dengan adanya badut-badut yang sengaja diundang. Benar-benar majlis yang mengesankan bagi Azri. Dalam diam-diam, Azri ingin juga mengadakan majlis yang sama untuk merayakan hari jadinya.

“Yang penting, aku harus minta dari ayah, agar hari jadiku dirayakan semeriah mungkin. Kalau boleh seperti majlis hari jadi Faiz,” tekad Azri dalam hati. Pada waktu makan malam, Azri pun mengutarakan keinginannya.

“Ayah, seminggu lagi, hari jadi Azri!” ujar Azri.

“Hmm, kenapa?” tanya ayahnya

“Azri mahu dirayakan secara yang meriah. Ada badut dan kuih yang sedap seperti majlis hari jadi Faiz,” ujar Azri.

Nani mencebek. “Cantik muka kamu! Duitnya dari mana? Faiz tu memang anak orang kaya. Anak tunggal pula!” ujar Nani.

“Sudah, jangan bising,” ibu segera meleraikan kedua-dua orang anaknya. “Azri, kamu boleh undang rakan-rakan sekolah kamu. Nanti ibu buatkan nasi ayam. Majlisnya kecil-kecilan saja, ya.”

“Cadangan yang cantik,” ujar ayah perlahan.

Mata Azri mulai bergenang. “Azri mahu rayakan secara yang meriah!” ujar Azri tegas, bangkit dari kerusi lalu berlari ke dalam biliknya.

“Dasar anak manja!” omel Nani.

Ibu dan ayah saling berpandangan namun tenang seperti biasa.

Cuaca siang ini sangat panas. Namun Azri tidak peduli. Dia terus berjalan menyusuri jalan menuju ke taman bunga di pinggir bandar. Jam tangan Azri menunjukan hampir pukul 2.00 petang. Sepanjang jalan wajah Azri nampak keruh. Sekarang sudah hari Khamis. Tetapi tidak ada tanda-tanda yang hari jadi Azri akan dirayakan. Ibu dan ayah kelihatan tenang saja. Lebih-lebih lagi Kak Nani. Inilah yang membuatkan Azri kesal dan malas pulang.

Azri menghempaskan tubuhnya di sebuah bangku simen di taman itu. Dia melihat ke sekeliling taman. Kelihatan seorang budak laki-laki sebaya dengannya. Budak itu duduk di atas rumput tidak jauh dari bangku Azri. Rupanya budak itu penjual air kotak. Azri akhirnya menghampiri budak itu.

“Minta maaf. Kamu ada jual air mineral tak?” tanya Azri.

Budak itu mengangguk. “Dalam botol, ni?” soalnya balik.

“Ya,” jawab Azri sambil menghulurkan sekeping wang kertas satu ringgit. “Satu ringgit kan?”

Budak itu menggeleng sambil tersenyum. “Seringgit lima puluh sen,”

“Aduh, macam mana ni! Wang saya dah habis, sedangkan saya sangat haus ni,” ujar Azri sambil menggaru kepalanya. “Begini saja. Nanti kamu datang ke rumah saya untuk ambil wang yang kurang,” usul Azri.

“Emm... tak apa. Saya halalkan saja.”

Azri hairan. “Benar ni? Nanti kamu rugi, tau!”

“Ah, tak apa!”                           

Kerana sangat haus, Azri akhirnya minum dan menghabiskan air mineral itu.

“Nama saya Azri,” ujar Azri setelah minumannya habis. Mereka saling berjabat tangan.

“Saya Ali.”

“Terima kasih ya kerana bagi diskaun minuman tadi,” Azri menggoyang-goyangkan botol yang kosong.

Ali tertawa. “Tak apa-apa. Saya dah untung banyak. Anggap saja saya belanja. Kebetulan hari ini hari jadi saya.”

“Hari jadi kamu hari ini?” tanya Azri seperti tidak percaya.

Ali mengangguk ceria.

“Tak dirayakan?”

Ali tertawa mendengar pertanyaan Azri. “Bagaimana mahu dirayakan? Nak makan sehari-hari pun susah.”

Azri terdiam. Lalu mulailah Ali bercerita tentang kehidupannya sehari-hari. Dia terpaksa mencari duit sebaik pulang dari sekolah untuk membantu kedua-dua orang tuanya demi menyekolahkan dua orang lagi adiknya.

Petang itu Azri pulang sambil berlari-lari. “Ibu, saya pulang, bu!” jerit Azri setibanya di rumah.

“Eh Azri, dari mana ni? Petang begini baru pulang...” soal ibu dari ruang tengah. Di belakang ibu menyusul ayah dan Kak Nani.

“Dasar budak nakal. Merajuk ya, gara-gara hari jadinya tak dirayakan,” tukas Nani.

“Azri sayang, ibu dan ayah setuju kalau hari jadi kamu dirayakan dengan meriah. Kebetulan ayah ada rezeki. Jadi sekarang kamu tak usah sedih lagi, ya! Yang penting kamu boleh jemput semua rakan di sekolah,” ujar ibu sambil tersenyum manis.

Azri menggeleng. “Terima kasih, ibu, ayah. Tapi sebaiknya hari jadi Azri tak usah dirayakan secara besar-besaran.”

“Hah?! Macam mana pula? Kamu sampai merajuk kerana nak majlis besar-besaran. Sekarang tak mahu pula!” Nani kehairanan.

“Azri ingin yang sederhana saja. Selain beberapa orang rakan sekolah, Azri juga nak undang rakan-rakan Azri yang kekurangan. Misalnya yang di taman asuhan, atau penjual air di sekitar taman. Itu kan lebih banyak pahalanya,” jelas Azri. “Iya kan, ayah?”

“Terserah kamulah,” sahut ayahnya.

“Dapat idea dari mana ni?” tanya Nani ingin tahu.

Azri tersenyum. “Itu rahsia.”

Dan seperti yang dirancangkan, Azri pun merayakan hari jadinya dengan sederhana. Tetapi Azri kelihatan sangat gembira kerana selain sesuai dengan keinginannya, dia juga didampingi sahabat barunya, Ali, seorang penjual air kotak miskin yang baik hati. 


RINDU KEMBALI KE RUMAH

Oh rumput musim kemarau tanah utara
baru hijau tua seperti sutera
sementara pohon padi di dusun pusaka
terlebih dahulu merunduk berat
tangkai lunaknya hijau muda
ketika hari-hari engkau rindu kembali ke rumah
hari-hariku juga
rindu dendam padamu

Oh engkau angin musim kemarau yang mengusik
engkau dan aku tidak saling kenal
mengapa tanpa sebab musabab
menyelinap memasuki tirai dan kelambuku

SMAHADZIR
6/11/2006

Kupin Nyanyuk

 

KUPIN NYANYUK. Itulah gelaran yang diberikan oleh rakan-rakan kepada Kupin. Setiap hari selalu saja ada perkara atau benda yang dilupainya. Misalnya, ketinggalan buku teks, ketinggalan buku latihan kerja rumah, ketinggalan pensil, ketinggalan pembaris, ketinggalan beg sekolah, ketinggalan duit belanja, ketinggalan baju sukan, dan pelbagai lagi. Sudah tidak terhitung berapa banyak pensil dan pen yang telah dihilangkan oleh Kupin. Ini adalah kerana sifat pelupanya itu. Sehinggakan rakan-rakan Kupin pun enggan meminjamkan barang mereka kepada Kupin kerana terlalu sering dihilangkannya. Walaupun Kupin tidak bermaksud berbuat demikian.

Tidak hanya itu. Kupin juga sering melupakan janjinya. Pernah suatu ketika Kupin berjanji hendak bertemu dengan Baharin, rakan sekelasnya, di kantin. Namun Kupin tidak juga datang walau Baharin telah lama menunggunya. Begitu pelupanya Kupin sehingga pernah suatu hari dia datang ke sekolah dengan memakai kasut yang kiri dan kanannya berbeza.

“Kenapa dengan kamu ni, Pin?” tanya Baharin kala melihat kasut Kupin.

“Ha, kenapa dengan saya?” tanya Kupin kembali dengan mata terkebil-kebil.

“Kenapa kamu pakai kasut macam ni?”

Dengan segera Kupin membelek-belek kasut di kakinya. “Apa yang tidak kenanya?”

“Kasut kiri pakai di kaki kanan. Kasut kanan pakai di kaki kiri. Apa kena dengan kamu ni, Pin? Dah buang tabiat ke?”

Kupin tersengih. “Saya lupa!” ujarnya sambil ketawa dan menggeleng-geleng.

“Sampai pakai kasut pun kamu boleh lupa?”

“Entahlah, Rin! Saya memang cepat lupa!” balas Kupin.

“Patutlah rakan-rakan kita yang lain gelarkan kamu Kupin Nyanyuk! Belum tua lagi dah nyanyuk!”

“Nak buat macam mana, Rin! Ini takdir namanya!”

“Kamu mesti berusaha supaya kamu tidak jadi pelupa. Bahaya, Pin!”

“Nak berusaha macam mana?” tanya Kupin.

“Kamu tulis apa yang kamu perlu buat. Kamu mesti lihat dan baca tulisan itu setiap waktu supaya kamu boleh ingat kembali apa yang perlu kamu lakukan,” jelas Baharin.

Kupin terdiam sejenak. Sejurus kemudian dia berkata, “Kadang-kadang saya lupa nak tulis apa yang saya nak tulis!”

“Laa... ini dah kes berat, Pin!”

“Tahu pun!”

“Memang kamu dah nyanyuk!”

Kupin tersengih. “Nyanyuk pun nyanyuklah, asalkan saya tidak bunuh orang sudahlah!” ujarnya bersahaja.

Kupin sebenarnya bukanlah seorang murid yang malas. Dia hanya sering melupakan hal-hal yang penting. Suatu ketika Kupin disuruh oleh ibunya memberi makan ayam peliharaan mereka. Ketika sedang memberi makan ayam, Kupin melihat seekor kupu-kupu yang cantik. Dengan segera Kupin mengejarnya tanpa menutup pintu reban lalu berpusu-pusulah ayam-ayam berkeliaran di dalam rumah Kupin.

Pada waktu yang lain, Kupin pernah meninggalkan singki basuh tangan di dapur dengan paipnya terbuka sehingga airnya melimpah di lantai.

“Kamu sebenarnya budak baik, Kupin! Hanya kamu harus lebih berhati-hati terhadap apa yang sedang kamu lakukan,” ujar ibunya sambil mengelap air yang membasahi lantai dapur.

Ibunya sudah tidak berdaya lagi mahu mengubah sikap pelupa Kupin, anak bongsunya itu. Ini bukan pertama kali Kupin diberi nasihat. Biasanya setelah dinasihati, penyakit pelupa Kupin akan hilang. Namun setelah beberapa jam, penyakit itu akan datang kembali.

Melihat ibu yang penat mengelap lantai dapur, Kupin merasa bersalah. Dia lalu menemui Milah, kakaknya.

“Kak, bagaimana ya cara nak menyembuhkan penyakit lupa saya ni?” tanya Kupin.

Milah berfikir sejenak kemudian tersenyum simpul. “Tunggulah sampai besok. Kakak akan memberi kamu satu kejutan,” ujar Milah.

“Satu kejutan?” Kupin kehairanan.

“Ya, satu kejutan!” balas Milah.

“Kejutan elektrik ke? Kalau kejutan elektrik, saya tidak mahulah! Nanti mati terus!” ujar Kupin.

“Hish kamu ni! Takkan kakak nak kejutkan kamu dengan elektrik pula. Apa.. kamu ingat kakak ni dah gila ke?”

Kupin tersengih.

Keesokan paginya, ketika bangun dari tidur, Kupin terkejut melihat berbagai kertas di tempel di mana-mana. Di atas singki ada kertas bertuliskan ‘Tutup Paip’. Di pintu tertulis ‘Tutup Pintu’. Sampai di reban ayam pun ada tulisan ‘Kunci Balik Pintu Reban Ayam Ini’. Dan banyak lagi kertas lain di sekeliling rumah. Selain itu, Milah juga memberi Kupin sebuah buku kecil.

 “Tulislah di dalam buku ini, apa saja yang harus kamu bawa ke sekolah. Sebelum pulang, kamu baca lagi senarai barang-barang yang kamu bawa itu. Jadi, kalau ada yang ketinggalan, kamu akan tahu. Dan kalau ada janji, tulis juga di buku ini,” jelas Milah panjang lebar.

Kupin mengangguk-angguk faham. “Macam yang disuruh oleh Baharin saja!” bisiknya dalam hati.

Pada awalnya, Kupin merasa kurang senang melihat banyak kertas bertebaran di rumahnya. Kupin juga merasa malas kerana harus melihat buku kecil itu. Namun lama-kelamaan, Kupin menjadi biasa. Perlahan-lahan kebiasaan lupa Kupin menjadi berkurang. Bahkan akhirnya hilang sama sekali. Rakan-rakan di sekolah hairan melihat perubahan pada diri Kupin.

Sekarang kertas-kertas itu sudah tidak dipedulikan kerana Kupin tidak lagi memerlukannya. Yang masih disimpan Kupin hanyalah buku kecil itu kerana dia masih memerlukannya untuk menulis janji.

Kini tidak ada sesiapa lagi yang menyebutnya dengan panggilan ‘Kupin Nyanyuk.

 

GELORA LAUT KALBU

Seperti ingin kujangkau saujana lamunan
sambung semula warna hijau kutinggal
daripada kelopak daun hari
kulepas ketika terasa cuba turut melangkah
seperti sekarang
aku sedang berhadapan
dengan penjaga taman bunga
halaman wangian
di situ duri berliku
memenjarakan nafsu
menghadang langkah tua kembali kugerak tanpa silu
sekarang kupetik bunga
warna putih berduri tetapi mesra
ketika luka hatiku berpindah kepada minda
berdarah tanpa warna darah
bersinar memancar arah
di situ mindaku diburu dan berlari
meluru seluruh penjuru
laut biru laut kalbuku
mulai bergelora gemuruh

SMAHADZIR
19/9/2006

Aman dan Amin

 

LAGI-LAGI gaduh! Begitulah yang sering terjadi. Tidak sah kalau tidak bergaduh namun tidak pula sampai mencederakan antara satu sama lain. Mereka sekadar bergaduh mulut. Bisingnya bukan kepalang. Memekakkan anak telinga.

“Cepat, aku dah lewat niiiii!!!!!” jerit Amin dari hadapan bilik mandi.

“Salah sendiri, kenapa bangun lambat!” Aman menghentikan nyanyiannya untuk menyahut jeritan Amin, lalu kembali meneruskan nyanyiannya.

“Hentikannnn, telinga aku sakit dengar suara kamuuuu!!” jerit Amin lagi.

“Kalau tak mahu dengar tutup saja telinga kamu dengan putik kapas atau kain buruk yang ada di dapur tu!” balas Aman.

Hiruk-pikuk macam itu terdengar setiap pagi, kecuali hari minggu atau hari cuti am yang lain. Penyebabnya adalah kebiasaan Aman yang selalu bernyanyi tiap kali ke bilik mandi. Kebiasaan itu membuatkan dia terlalu lama berada di bilik mandi.

Tentu tidak apa-apa jika di rumah tersebut ada lebih dari satu bilik mandi. Yang jadi masalah sekarang ialah, hanya ada satu bilik mandi saja yang perlu dikongsi oleh empat orang iaitu ayah, ibu, dan dua anak kembar itu!

Puan Endah pening kepala juga menghadapi perangai Aman. Anak lelakinya itu selalu saja ada alasan mengapa mesti bernyanyi sewaktu di bilik mandi.

“Ini bakat terpendam yang perlu diasah selalu,” ujar Aman.

“Di bilik mandi?” Puan Endah mencebek.

“Di mana saja tapi di bilik mandi lebih baik sebab suasananya segar dan sejuk,” balas Aman.

“Jangan nak melalut, Aman!”

“Saya bukan melalut. Ini kenyataan, bu! Ibu tahu sendiri kan, brrr... sejuknya air waktu pagi!”

“Itu memang ibu tahu. Air dalam kolam memang sejuk..”

“Ha, ibu percaya tak? Kalau Aman nyanyi kuat-kuat, tak ada lipas, lipan, ular atau lain-lain haiwan berbisa yang berani masuk ke dalam bilik air ni! Secara tak langsung, keluarga kita akan terselamat dari ancaman binatang-binatang kotor dan berbisa tu!”

Puan Endah mendengus. Memang Aman banyak alasan. Tidak mampu dinafikan malah dikalahkan. Gayanya bercakap bagai seorang peguam di mahkamah. Memang cita-citanya juga mahu menjadi seorang peguam suatu hari nanti.

Puan Endah mati akal dan kebingungan juga bila berhadapan dengan perangai Amin. Anak laki-laki periang itu tidak suka pula kepada sebarang nyanyian, tidak banyak cakap, cepat meradang, tidak suka diganggu dan tidak sabar terutama ketika melakukan sesuatu pekerjaan.

Seperti ketika mahu mandi, dia tidak suka terlalu lama menunggu. Sebab itulah dia meradang bila Aman berada dalam bilik mandi. Hampir sejam baru siap mandi saudara kembarnya itu.

“Ibu, buatkan satu lagi bilik mandi,” minta Amin suatu hari.

 “Ayah ibu kan baru saja menggunakan banyak wang untuk membeli rumah ini. Kecil-kecil begini pun, ini rumah kita sendiri. Dari dulu, kita tinggal di rumah sewa. Sabarlah, jika sudah ada wang, pasti ayah kamu buatkan sebuah lagi bilik mandi,” jawab Puan Endah cuba meredakan rasa tidak senang hati anaknya itu.

“Ah, ibu! Takkan nak buat sebuah lagi bilik mandi pun tak mampu?”

Amin juga tidak pernah kehabisan kata-kata untuk meminta. Hari Sabtu Encik Faizal pulang dari pejabat lebih awal.

“Ada satu berita yang menggembirakan,” kata Encik Faizal sebaik masuk ke dalam rumah.

“Berita apa, ayah?” tanya Amin.

“Nenek kamu akan datang dari kampung petang nanti,” ujar Encik Faizal.

“Yahuu, tentu ada banyak buah tangan untuk kami!” ujar Amin gembira.

Namun, apakah yang terjadi keesokan harinya? Akankah dua saudara kembar tersebut akan membingar juga? Tidak malukah mereka pada nenek?

Nenek ke luar rumah untuk jalan-jalan pagi itu. Oleh kerana itu, ketika Aman melakukan kebiasaannya setiap kali di bilik mandi, dengan tegas Amin memperingatkannya. Dan apa yang terjadi pada hari-hari sekolah sebelumnya pun berlangsung kembali. Seperti filem yang diputar ulang di kaca televisyen.

Bagaimanapun Puan Endah sedikit lega kerana nenek tidak mendengar betapa bising kedua-dua cucu kesayangannya itu. Dia keluar bersenam. Ketika bersarapan pagi, nenek sudah pulang dan makan bersama mereka. Ketika sedang asyik menyuapkan makanan, tiba-tiba nenek berkata: “Kamu tahu? Tadi, ketika nenek melintas di jalan belakang sana, nenek dengar ada orang sedang bertengkar. Aduh, sedih sekali! Kenapa ada orang yang sanggup mengeluarkan suaranya begitu kuat sekali seolah-olah mahu menghancurkan dunia ini. Sepatutnya, pagi-pagi begini mereka berdoa supaya Tuhan murahkan rezeki. Kalau pagi-pagi sudah bergaduh, macam mana rezeki nak masuk rumah?”

Aman dan Amin terkedu. Masing-masing menghentikan suapan mereka. Nenek bersahaja makan sambil berkata lagi: “Nenek tak mahu kamu berdua jadi macam orang tu. Nenek mahu kamu berdua baik dan mesra sesama adik beradik. Nenek mahu kamu berdoa setiap pagi agar Allah murahkan rezeki,” sambil memandang kedua-dua cucunya.

Amin dam Aman segera menunduk, tidak berani menatap mata nenek.

“Nenek membayangkan, betapa sedihnya bila cucu nenek yang berkelakuan begitu. Nenek sungguh bersyukur, untung bukan cucu nenek yang berperangai seperti itu!”

Aman dan Amin pandang memandang. Mereka tidak berani bersuara sehinggalah makanan di pinggan mereka habis. Mereka tidak tahu, apakah nenek sungguh-sungguh tidak tahu atau pura-pura tidak tahu. Yang jelas, sejak pagi Selasa itu tidak terdengar lagi nyanyian Aman di dalam bilik mandi. Bahkan ketika nenek sudah pulang sekalipun. 

SUARA

Suara itu masih menyergah
menggugah tidurmu
dengan kasar
yang mungkin menggetarkan rumahmu
tetapi tidak hatimu
kerana kekuasaan manusia
bukan untuk ditakutkan
kerana suara yang menerjah dari lidah
hanya gema menggetarkan
pada jalanan
tetapi tidak hatimu
ada kawanku
dengan keberanian
meyakini itu

SMAHADZIR
3/9/2006

Membantu Fatin

 

SEMUA murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Jitra itu tahu bahawa Fatin adalah murid terpandai dalam subjek Matematik di dalam kelas. Dengan mudah Fatin boleh menyelesaikan soalan-soalan yang menurut rakan-rakannya sangat sukar.

Fatin memang suka kepada pelajaran Matematik. Dan jika markah ujian bulanannya dibahagikan, dia selalu mendapat markah paling tinggi dalam kelas. Tidak hairanlah bila sebulan lalu Fatin menjadi juara dalam pertandingan kuiz Matematik peringkat daerah.

“Kuncinya adalah rajin membuat soalan dan tak putus asa!” jawabnya ketika ditanya rahsia kejayaannya.

Namun, lain halnya dengan pelajaran Sains. Dalam pelajaran ini Fatin sangat ketinggalan dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain. Markah yang diperolehinya tidak sehebat markah Matematiknya. Dan hal itulah yang terjadi hari ini. Sebaik menerima keputusan ujian Sainsnya, Fatin melihat angka enam puluh lima menghiasi bahagian atas kertas jawapan.

“Fatin, markah kamu berapa?” tanya Zuri rakan sebelahnya.

“Biasa, buruk lagi, buruk lagi! Pening saya!” jawab Fatin separuh putus asa.

Zuri mendapat markah lapan puluh lapan. Selain berminat dalam pelajaran Sains, dia juga telah mempersiapkan diri selama empat hari untuk mengulangkaji sebelum hari peperiksaan. Dan bagi dirinya, Sains tidaklah sesukar Matematik yang membingungkan itu. Sains perlu banyak menghafal dan mengingati. Tidak seperti Matematik yang memerlukan kefahaman terhadap jalan-jalan penyelesaian.

Sebenarnya Zuri agak sedih dengan keadaan Fatin. Bayangkan, juara kuiz Matematik peringkat daerah itu, selalu mendapat markah buruk dalam pelajaran Sains. Fatin pernah berkata padanya bahawa pelajaran menghafal sangat membosankan.

“Saya tak berapa minat nak mengingatkan nama-nama sainstifik seperti oksigen, hidrogen, fotosintesis dan sebagainya! Lagipun, mana ada waktu saya nak menghafal itu semua. Saya sangat sibuk di rumah!” ujar Fatin pada Zuri.

Memang, Fatin baru mendapat seorang adik baru. Dia sering mendapat tugas menjaga adiknya yang baru berumur 3 bulan itu terutama apabila ibunya sedang sibuk di dapur.

Fatin sebenarnya sudah berusaha untuk belajar lebih giat dalam pelajaran yang bersifat hafalan. Dia berusaha menghafal pelbagai fakta dalam pelajaran Sains. Fatin tahu, Cikgu Amran, guru Sainsnya gemar memberi soalan yang ada kena mengena dengan nama gas, bahan kimia dan sebagainya. Tetapi walaupun dia sudah menghafal bermati-matian pada malam hari, apabila paginya sudah lupa. Lebih-lebih lagi kalau tersandung batu di jalan menuju sekolah! Pasti segala yang dihafal Fatin dalam kepala terus hilang.

Ketika sampai di rumah, Zuri masih tetap memikirkan kelemahan Fatin itu. Dia merasa kasihan tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukannya untuk membantu rakannya itu. Fatin adalah rakan baiknya. Dan Fatin sering membantu Zuri dalam pelajaran Matematik. Mereka juga sering belajar bersama ketika ujian bulanan akan berlangsung. Itulah sebabnya Zuri berasa ingin sekali menolong Fatin.

Pada suatu petang, Zuri ingin meminjam sebuah novel di bilik ibunya. Puan Zani yang baru saja selesai menaip manuskrip novel kanak-kanak itu sedang melipat-lipat kertas kecil.

“Buat apa mak, melipat-lipat kertas tu?” tanya Zuri.

“Emak sedang membuat ringkasan jalan cerita untuk novel emak yang baru. Minggu depan mak akan siapkan…”

“Err, untuk apa kertas yang dilipat-lipat tu?” tanya Zuri lagi.

“Oh… ini emak tunjukkan kamu contohnya,” kata Puan Zani sambil membuka laci meja tulisnya. Dia mengeluarkan kertas yang sudah dilipat tiga seperti katalog pelancongan. Ada juga yang dilipat kecil-kecil agar dapat dimuatkan di dalam poket bajunya. Kertas-kertas itu ditulis ringkasan jalan cerita untuk novelnya. Yang lebih menarik lagi, dia memberikan warna-warna menarik pada setiap judul bab yang diringkaskannya tadi.

“Kenapa diberi warna-warna seperti itu, mak?” tanya Zuri lagi kehairanan.

“Supaya menarik untuk dibaca dan mudah untuk menghafalnya. Zuri kan tahu, mak tak suka menghafal dalam jangka masa semalaman. Emak tak mampu nak menghafalnya! Jadi mak buat ringkasan catatan yang dilipat-lipat dan boleh disimpan dalam poket ni. Jadi di mana pun mak berada, dalam bas, atau ketika menunggu sesuatu, ringkasan ni sekadar dibuka dan dibaca saja! Menghafal sedikit-sedikit akan mudah diingat daripada menghafal secara banyak sekali gus!” panjang lebar Puan Zani menerangkan manfaat ringkasan tersebut.

Zuri terus lupa dengan niatnya mahu meminjam novel ibunya. Dia tiba-tiba teringat pada Fatin. Ah, seolah-olah dia telah mendapat jawapan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh Fatin dalam menghafal pelajaran Sains. Tidak sabar lagi dia menunggu esok hari untuk bertemu dengan Fatin di sekolah. Dia ingin menyampaikan cara ibunya mengatasi kesukaran menghafal jalan cerita. Zuri berharap, markah Sains Fatin nantinya akan sebaik markah Matematiknya. 


HUJUNG LORONG

Mata pada pelupuk
dicium angin
manusia: mimpi
kenangan juga sunyi
hidup jadi lorong-lorong
cahaya di hujung
pada berkas
ada harap
mungkin kalah juga
atau sesal
endap pada tatap
atau malam yang ratap
tetapi gapai tidak sampai
tangis tidak usai
terjemah kehendak
atau takdir Tuhan

SMAHADZIR
26/3/2006

Bersama Harry Potter

 

SEBENARNYA hari Ahad ini aku mengantuk sekali. Semalam aku menemani abang Im menonton pertandingan bola sepak sampai pagi. Dan paginya aku tidak boleh tidur kerana Pak Cik Onn datang. Berbeza dengan abang Im yang tidur sampai pukul 10 pagi. Aku menemani Pak Cik Onn yang datang dari London.

Petangnya ketika Pak Cik Onn memohon diri untuk pergi ke rumah datuk - ayah, ibu dan abang Im mengajakku ke panggung wayang. Apa boleh buat, aku pura-pura setuju sedangkan rasa mengantukku masih lagi menggayut di kelopak mata.

Memang, rasa kantukku garang sekali. Tetapi kerana ke panggung wayang, aku bersetuju saja. Lebih-lebih lagi kata Pak Cik Onn filemnya bagus. Dia sudah menontonnya sewaktu berada di London. Filem itu memang sangat dinanti-nantikan oleh kami sekeluarga. Ayah telah membeli sebuah bukunya untuk kami.

Tetapi kali lagi, aku betul-betul rasa mengantuk yang amat sangat! Sejak ayah membeli tiket sebelum masuk ke dalam panggung wayang, mataku sudah sukar hendak dicelekkan. Ayah, ibu dan abang Im tentu tidak sedar yang aku mengantuk.

Kini kami memasuki panggung wayang, duduk menghadap layar. Mataku benar-benar tidak berdaya melihat layar yang tertimpa cahaya projektor. Sejurus kemudian tayangan filem pun dimulakan.

Kantukku tidak tertahan lagi. Hawa sejuk panggung wayang terasa amat mencokot tulang. Dan mataku benar-benar terpejam. Abang Im, ibu dan ayah asyik sekali dengan filem itu sehingga lupa yang aku juga ikut menonton bersama mereka. Tiba-tiba seorang budak lelaki muncul di hadapanku. “Kenalkan, aku Harry!” kata budak lelaki tersebut. Dia bertubuh tidak terlalu besar, berwajah manis dan berkaca mata nipis.

“Harry?! Ka... ka... kamu... Harry Potter!?” aku seolah-olah tidak percaya.

“Ya, aku Harry Potter! Kalau kamu tak percaya, mari ikut aku.”

Lalu Harry Potter membawaku ke sebuah tempat yang sepi. Di situ dia menunjukkan aku sebatang penyapu. Penyapu yang kemas tetapi kelihatan luar biasa. Panjang berkilat, dengan pemegang dari kayu mahagoni. Anyaman di hujungnya lurus dan rapi, dengan tulisan emas ‘Tahun 2025’ di hujung puncaknya. Harry Potter memanggil penyapu itu sebagai ‘Penyapu 2025’. Apabila disebut namanya, penyapu itu terangkat sendiri ke udara, kira-kira setinggi basikalku.

“Mari, kita naik bersama-sama!” ajak Harry Potter kepadaku.

Separuh berani separuh takut, aku akur ajakannya. Kami menaiki penyapu itu seolah-olah naik basikal bersama. Harry Potter di hadapan dan aku memeluknya di belakang.

“Berangkat!!” Harry Potter menjerit, dan penyapu itu pun terus terbang! Wwuuuussshhh!!!

Mulanya aku berasa gayat. Tetapi lama-lama jadi seronok pula.

“Kita nak ke mana?” tanya Harry Potter sejurus kemudian.

“Hantarkan aku ke kedai buku,” kataku.

“Ke mana?”

“Di Jalan Tunku Abdul Rahman!”

Atas perintah Harry Potter, penyapu itu terbang menuju ke tempat yang aku kehendaki. Tetapi sebelum tiba di Jalan Tunku Abdul Rahman, Harry Potter mengajakku berkeliling sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Kami meluncur di atas padang hadapan bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka. Lalu kembali melintasi bangunan Plaza Sogo dan bangunan Pertama Kompleks.

Dan, dengan kekuatan yang luar biasa, penyapu itu berbalik arah, ke arah Jalan Ampang. Dengan segera aku dan Harry Potter memandang ke arah bangunan KLCC dan juga Kuala Lumpur Tower. Orang ramai yang melihat kami menjerit-jerit, “Ada penyapu terbanggg!!!! Ada penyapu terbangggg!!!!!”

Aku dan Harry Potter hanya melambaikan tangan ke arah mereka. Beberapa saat kemudian penyapu itu berpusing di atas bangunan PNB di Jalan Tun Razak. Ciiihuuuuuyyy!!! Penyapu itu berbunyi, miring ke kiri, ke kanan, tegak ke atas dan kembali meluncur lurus. Cekap sekali Harry Potter mengawal gerakan ‘Penyapu 2025’-nya.

Setelah beberapa saat berputar-putar, akhirnya kami keletihan. Dan kami memilih untuk berehat di padang belakang bangunan KLCC. Aku dan Harry Potter mendarat tepat di atas padang itu!

“Oh ya, nama aku Fendi,” kataku tersenyum sambil menghulurkan tangan pada Harry Potter. Huh, sombong betul aku, tidak memperkenalkan namaku sejak tadi.

“Bagaimana, seronok tak naik penyapu terbang?”

“Memang seronok, Harry!”

“Tapi sayangnya kita tak boleh lama-lama di sini kerana aku harus kembali ke Sekolah Hogwarts.”

“Sekolah Hogwarts?”

“Ya, kamu tahu tentang sekolah itu?”

“Tentu saja, Harry!”

“Baiklah. Kita ke tujuan asal kita semula. Ke kedai buku di Jalan Tunku Abdul Rahman!” Kami ke jalan tersebut. Di sepanjang jalan yang kami lintasi, orang ramai menjerit-jerit, “Harry Potter! Harry Potter! Ada Harry Potter, heeey!”

Wwwuuuusssshhhh! Penyapu terbang terpelanting ke udara, melintasi bangunan-bangunan pencakar langit Kuala Lumpur. Namun ketika penyapu yang membawa kami membelok, tiba-tiba tanganku terlepas dari pegangan. Dan tubuhku tergelincir ke bawah! Aku menjerit ketakutan.

“Harrry! Harry Potter! Tolong akuuuu!!!!!!”

Tubuhku terus saja meluncur ke tanah. Orang ramai yang kebetulan melihatku, turut menjerit-jerit ketakutan.

“Toloooooonggg! Tolong aku, Harry Potterrrrr!!!”

            “Fendi! Fendi! Kenapa dengan kamu ni? Kamu mengigau ye? Hey, ayuh bangun! Filemnya dah habis!”

Tiba-tiba ayah, ibu, dan abang Im membangunkan aku. Orang ramai di dalam panggung wayang tersenyum-senyum ke arahku. Aku menggesek-gesek mata dengan belakang tanganku.

“Mana Harry Potter, bu?” tanyaku.

“Filemnya dah selesai, sayang!”

Hah? Dah selesai? Laa, aku tak menonton tadi! Tapi tak apa. Yang penting aku dah merasa naik ‘Penyapu 2025’ bersama Harry Potter! Meskipun hanya dalam mimpi.

 

 

LEBUH RAYA PANJANG

Perjalanan di lebuh raya panjang
satu persinggahan
liku terjal bergaung curam
kerikil tajam selerak di pertengahan
menanti tubuh salah langkah
destinasi akhir hujung tabah
beradu di gondola takwa
agungi keagungan
rabbi pencagun segala makmur
insaf hina kerdil
makhluk dijadikan

Perjalanan di lebuh raya panjang
terlalu jauh
jutaan marhalah
penantian lumrah akrab
tak pernah jelak
menanti saat pasti
datang sapa mesra
gamitan taubat
tak terhambat
daripada terlambat

Di sini perlu menanti
siap siaga hakiki
biar detik berangkat kini
tercegat dalam senyum pasti

SMAHADZIR
29/5/2006

Nasi Impit Kuah Kacang

 

RIKA dan Amri tinggal bertiga dengan ibu mereka. Rika kini baru masuk tahun lima. Dan Amri sudah berada di tahun enam. Puan Ila, ibu mereka bekerja sebagai pencuci pakaian di beberapa buah rumah orang kaya. Walaupun demikian, Rika dan Amri tetap bercita-cita tinggi. Mereka rajin belajar dan tidak pernah berputus asa.

Tahun ini, Rika sangat gembira kerana dia telah dilantik menjadi pengawas sekolah. Rika harus menjalani latihan sebelum menjadi pengawas selama tiga hari. Pada masa itu, dia boleh berkenalan dengan murid sekolah lain yang juga akan menjadi pengawas. Juga dengan guru-guru yang bertugas.

Pada hari kedua latihan, Cikgu Nina salah seorang guru bertugas telah membuat satu pengumuman, “Besok kita akan mengadakan majlis jamuan makan. Jadi kamu semua perlu bawa makanan sendiri. Kita boleh makan bersama!”

“Cikgu, apakah makanan yang perlu dibawa?” tanya salah seorang murid.

“Oh, ya! Kalau kamu nak bawa nasi, bawalah bersama dengan lauknya sekali. Kalau tidak, kamu boleh bawa nasi dagang, bubur kacang, mi goreng, kuih-muih atau apa saja yang kamu fikir baik,” jelas Cikgu Nina.

Setelah Cikgu Nina pergi, Rika jadi bingung sendiri. Dia mahu membawa nasi tetapi apakah lauk yang sesuai? Di rumahnya tidak ada lauk yang sedap dan istimewa. Yang selalu ada hanyalah ikan masin dan sardin. Selalunya, apabila makan Rika menambahkan kicap di dalam nasi. Itu sudah terasa sedap sekali baginya. Tetapi kalau Rika membawa nasi seperti itu ke sekolah, tentu dia akan diketawakan oleh kawan-kawannya.

Setiba di rumah, Rika menceritakan perkara itu kepada ibunya.

“Rika, sekarang ibu mahu pergi kerja dulu. Kamu saja yang memikirkan makanan apa akan akan kamu bawa. Kalau boleh, biarlah yang murah-murah saja, yang ibu sanggup membelinya,” kata Puan Ila.

            Namun, sehinggalah ibunya pulang dari kerja, Rika belum juga mampu memutuskan jenis makanan yang perlu dibawanya. Nasib baiklah, pada waktu sedang belajar malam, dia mendapat satu idea. Dengan segera Rika bergegas menemui ibunya.

“Bu, bagaimana kalau besok Rika bawa nasi impit saja? Murah dan mudah kan, bu?” ujar Rika.

“Benar juga. Kalau begitu, besok pagi-pagi ibu akan buatkan nasi impit,” kata Puan Ila sambil menguap.

Rika kasihan melihat ibunya. Puan Ila sebenarnya belum terlalu tua. Namun kerana bekerja terlalu kuat, wajahnya kelihatan lebih tua dari usianya yang sebenar.

Pagi itu Rika membantu ibunya memasak nasi impit. Nasi impit itu dibungkus dengan daun pisang yang diambil dari belakang rumah.

“Terima kasih, ya bu! Rika pergi ke sekolah dulu, ya!” ujar Rika.

Dengan gembira dia mengayuh basikal buruknya menuju ke sekolah. Beberapa ketika kemudian, Rika sudah berada di dalam kelas. Setelah beberapa ketika berlalu, akhirnya tibalah acara yang dinanti-nantikan. Majlis makan bersama.

“Kamu sudah membawa makanan masing-masing kan?” tanya Cikgu Nina.

“Sudah, cikgu!” jawab mereka hampir serentak.

Makanan yang dibawa segera dikumpulkan di atas meja guru. Rika mulai resah memikirkan nasi impitnya. Bagaimana jika nasi impit itu dimakan oleh rakannya yang kaya? Apakah mereka akan memakan nasi impitnya yang sederhana itu? Nasi impit yang hanya diletakkan kuah pekat kacang itu? Rika takut kalau-kalau rakan-rakannya mencemuh nasi impit tersebut.

Akhirnya waktu pembahagian makanan pun tiba. Rika mendapat makanan dari Yani berupa bihun goreng bersama sambal ikan bilis. Manakala bungkusan nasi impitnya diterima oleh Aila. Aila adalah anak orang kaya. Dengan hati yang berdebar-debar dia melirik ke arah Aila yang sedang membuka bungkusan nasi impitnya itu.

“Wow, nasi impit! Saya memang suka sekali nasi impit! Wah ini tentu sedap!” ujar Aila. Rika melihat Aila memakan nasi impitnya dengan berselera sekali.

“Wow, sedap sungguh! Nasi impit siapa ni?” tanya Aila.

“Itu saya punya!” jawab Rika.

“Oh, kamu Rika, ya?”

“Iya,” jawab Rika.

“Rika, siapa yang memasak nasi impit ni?” tanya Aila.

“Ibu saya,” ujar Rika sedikit lega.

“Kebetulan, lusa hari jadi saya. Ibu saya sedang mencari orang yang pandai masak nasi impit seperti ini. Mahu tak ibu kamu buatkan nasi impit seperti ini?” tanya Aila.

“Boleh! Tentu saja ibu saya mahu! Nanti saya beritahu ibu saya, ya!” balas Rika senang. Roza dan Maya mendekati Aila dan Rika.

“Oh, ini ya, nasi impitnya! Boleh saya rasa?” kata Roza sambil menceduk sedikit nasi impit di hadapan Aila. “Wah, sedap betul! Ibu saya bekerja di pejabat. Kebetulan ibu sedang mencari orang yang pandai memasak untuk sarapan pagi di pejabatnya! Ibu saya pasti suka kalau ibu kamu dapat buatkan nasi impit seperti ini,” tambahnya lagi.

“Oh, tentu saja boleh!” jawab Rika.

Berita itu cepat menyebar. Sehingga pada waktu rehat, ketika Rika sedang berjalan ke kantin, peniaga kantin memanggilnya lalu bertanya. “Kamu Rika, ya?”

“Iya. Ada apa, mak cik?” tanya Rika kehairanan.

“Begini, mak cik nak suruh emak kamu buatkan nasi impit untuk dijual di kantin. Ramai orang kata nasi impit kuah kacang ibu kamu sedap. Kalau boleh, lusa mak cik mahu nasi impit tu. Kalau laku, nanti mak cik akan pesan lebih banyak lagi!”

“Oh ya? Baiklah, nanti saya beritahu ibu saya!” jawab Rika dengan senang hati.

“Oh ya, untuk modalnya ini ada sedikit wang,” mak cik peniaga kantin itu menghulurkan sejumlah wang kepada Rika.

Sampai di rumah, Rika bergegas mendekati ibunya yang sedang memasak. Dia segera bercerita tentang pesanan nasi impit yang diterimanya tadi.

“Oh, ibu gembira sekali!” Puan Ila memeluk Rika. Mereka sangat bersyukur dengan rezeki kurniaan Tuhan hari itu. 

HANTAR AKU KE SANA

Hantar aku ke sana
gejolak buncah penuhi dada
bersama asa rindu dalam
dari hamba berlumur dosa alpa
harap dapat bersua
wahai rabbul’alamiin;
dengan penuh keinsafan berharap
kuat jiwa mendatanginya
kukuh langkah kaki menempuhnya
teguh niat mencapainya
ikhlas hati menjalaninya
rindu; rindu berjumpa dalam syahadah
rindu bersua dalam iman
rindu bersama dalam tauhid
rindu indah hidup dalam naungan redha
syariat daulah dan khilafah Islam
duhai - tiada sekutu
hantar kerinduanku
mudah lapang; meraih cita-cita
mulia hidup dalam Islam
syahid dalam perjuangan

SMAHADZIR
18/5/2006

Di Bawah Naung Matahari

 

PAK CIK AKIM seorang penternak ikan di Kampung Kuala. Ada sebuah tasik buatan di hujung kampung. Tasik itu luas. Jabatan perikanan telah melepaskan banyak benih ikan talapia di dalamnya. Bila Kampung Kuala telah maju, tasik itu tidak digunakan lagi, maka Pak Cik Akim pun beralih menjadi seorang penternak ikan di tasik tersebut.

Bersama isterinya, Mak Cik Bibi, dia mendirikan sebuah kedai makan di tepi tasik. Tong-tong dram diikat di sekeliling kedai itu agar kedai tersebut tidak tenggelam. Orang-orang kampung menyebutnya sebagai ‘Warung Terapung Pak Akim’.

Warung Terapung Pak Akim itu berupa sebuah restoran yang menjual pelbagai makanan, nasi berserta lauk-pauknya sekali. Tasik tetap digunakan untuk memelihara ikan dengan menggunakan jaring-jaring yang direndam di dalam air. Ikan-ikan peliharaan mahupun hasil tangkapannya akan dimasak serta disajikan oleh Mak Cik Bibi.

Pelanggan Pak Cik Akim kebanyakannya pelancong dari jauh. Bila ingin ke Warung Terapung Pak Akim, mereka hanya perlu memicit punat loceng di pangkalan seberang tasik dan loceng yang ditempatkan di dalam kedai akan berbunyi. Setelah mendengar bunyi loceng, Seman, pembantu Pak Cik Akim, akan menjemput mereka dengan sebuah perahu berenjin.

Para pelanggan rasa seronok dapat makan di Warung Terapung Pak Akim. Mereka boleh menikmati keindahan pemandangan dan tumbuh-tumbuhan di sepanjang tepian tasik. Juga merasa berdebar ketika berada di atas perahu diumbang-ambingkan oleh riak air tawar.

Dalam salasilah keluarga, Pak Cik Akim adalah adik bongsu kepada ibuku. Sehingga hari ini Pak Cik Akim belum dikurniai anak. Itulah sebabnya, bila cuti sekolah tiba, Pak Cik Akim sering menjemputku ke rumahnya. Tentu saja untuk diajak bercuti di Warung Terapung Pak Akim itu.

“Hati-hati di sana! Jangan menyusahkan pak cik kamu, ya!” pesan ibu sewaktu kami mahu berangkat.

Memang tasik itu sangat luas. Kelihatan air sejauh mata memandang, dengan sempadan-sempadan gunung yang menjulang. Sampan-sampan kecil nelayan bergerak dan bergoyang-goyang kecil dipermainkan riak air.

“Ayuh, tolong pak cik ambil ikan dalam tasik,” ujar Pak Cik Akim dari sampan berenjin dua kuasa kuda yang tersangkut di belakangnya. Mula-mula aku rasa takut. Tetapi Pak Cik Akim mengangkat dan memasukkan tubuh kecilku di atas sampan. Kurasa mukaku sejuk.

“Hati-hati, bang! Adi kan belum biasa,” ujar Mak Cik Bibi dari dalam kedai. Pak Cik Akim hanya tertawa.

Sampan itu begitu lincah menyusur membelah air tasik. Air yang tersimbah di belakangnya seperti ular raksasa yang kemudiannya lenyap dalam riak. Kami akhirnya tiba di pelampung, iaitu tanda tempat Pak Cik Akim memasang jaringnya.

Sampan dihentikan dan enjinnya juga matikan. Tangan-tangan kukuh Pak Cik Akim segera mengangkat jaring. Beberapa ekor ikan talapia, sebarau, lampam, toman dan sebagainya yang tersangkut pada jaring kelihatan menggelepar cuba melepaskan diri. Pak Cik Akim segera memegang ikan-ikan itu dan memasukkannya ke dalam sebuah kotak plastik yang sudah disediakannya.

“Ayuh angkat dan pegang!” ujar Pak Cik Akim.

Aku cuba meniru keberanian Pak Cik Akim walaupun masih takut. Tetapi lama-lama aku jadi seronok sendiri.

Di sini Pak Cik Akim telah mengajarku banyak perkara. Dari cara menangkap ikan, membelah, membersihkan sisik, sehingga kepada cara memasaknya. Aku paling suka menyiang ikan talapia merah.

Rasanya puas sekali ketika mengangkat jaring-jaring yang sudah dipasang semalam. Jaring-jaring itu kelihatan bergoyangan apabila ikan-ikan yang tersangkut cuba melepaskan diri masing-masing.

Kemudian kami membawa pulang ikan-ikan itu, memasaknya dan menyajikannya di Warung Terapung Pak Akim. Yang masih hidup dan segar kami masukkan ke dalam sebuah tong berisi air.

Di satu sudut pula terdapat beberapa biji tong yang di dalamnya berisi anak-anak ikan. Kata Pak Cik Akim, itu adalah benih-benih ikan.

“Anak-anak ikan ini sebagai persediaan untuk kita lepaskan bila tiba masanya nanti,” kata Pak Cik Akim sambil menaburkan makanan di dalam tong tersebut. Ribuan anak ikan berebutan menyambutnya. Aku turut membantu Pak Cik Akim menaburkan makanan untuk anak-anak ikan itu.

Ternyata waktu begitu singkat. Besok keluargaku akan datang untuk menjemputku kembali ke Kuala Lumpur. Lebih kurang sepuluh pagi, kereta Proton Exora perak metalik sudah kelihatan sayup-sayup di tepian tasik. Dari sana ayah, ibu dan adikku melambaikan tangan. Pak Cik Akim segera bergegas mengambil sampan untuk menjemput mereka.

“Baru beberapa hari di sini kamu dah kelihatan gemuk. Makan ikan banyak ya?” gurau ayah.

Aku hanya tersengih.

“Cuma agak hitam. Tapi bagus untuk anak laki-laki,” tambah ibu.

Pak Cik Akim dan Mak Cik Bibi menghidangkan kami sekeluarga ikan bakar yang sangat harum dan sedap rasanya. Aku sudah berkali-kali memakan ikan bakar tersebut. Sehingga aku hafal betul kelazatannya.

“Apa yang paling menarik bagi kamu di sini,” tanya ayah.

“Menyambut dan menghantar matahari pulang,” jawabku penuh simbolik.

“Kenapa, di Kuala Lumpur tak ada matahari ke?” tanya Pak Cik Akim.

 “Ada, pak cik! Tapi terhalang oleh bangunan-bangunan tinggi...”

Bapa dan ibu tertawa kecil dengan kata-katamu.

“Kamu ajar apa pada dia, Kim? Puisi tentang kehidupan, ya?” tanya ibu pada Pak Cik Akim sambil tertawa.

Ketika itu matahari begitu indah menyebarkan cahaya ledangnya di tengah tasik. Warung Terapung Pak Akim bagaikan tersenyum menyambut cahaya tersebut.


Sebuah Maknawi

Cinta;
instabiliti temporal dari mental
dimaksudkan untuk menaut kembali hati
pada pusat hakikat nan satu
berbahaya bila dituju ke objek salah

Kejayaan;
pencapaian semasa hidup mampu buat seseorang
ketika akan menutup mata untuk selamanya
rasa lega bahagia

Sakit;
rasa tidak nyaman bagi diri
yang tumbuh dari bahagian tubuh
menegas kembali batas serta perbezaan antara roh dan badan

Musuh;
orang yang paling kubenci
kerana paling mirip denganku;
saingan terdekat
dalam kejahatan dan keburukan serupa

SMAHADZIR
7/8/2006

Surat Misteri

 

SEBAIK pulang dari sekolah, Nia terus masuk ke dalam biliknya. Di sinilah biasanya Nia belajar dan berehat. Tidak lama kemudian Puan Zah memanggilnya untuk makan bersama.

“Nia, ada surat untuk kamu!”

“Dari siapa, mak?”

“Tak tahu! Emak ambil dari dalam kotak surat di depan rumah. Tu, ambil atas almari hadapan.”

Nia beranjak ke ruang tamu. Dia hairan, siapakah yang telah mengirim surat tersebut? Selama ini dia tidak pernah menerima surat walau sekalipun. Dipegangnya surat bersampul merah tanpa nama pengirim itu. Dan mata Nia terus tertuju pada tulisan di sudut kiri sampul surat yang bertulis: ‘RAHSIA HANYA UNTUK KAMU.’

“Rahsia? Saya tidak pernah ada apa-apa rahsia dengan orang lain,” gumam Nia di dalam hati.

Setelah makan, Nia tidak sabar membaca surat yang baru diterimanya itu.

                                                              

‘Nia... tunggu saya. Saya akan muncul dari sebalik jendela. Tetapi ingat! Jangan cuba-cuba beritahu emak kamu!’

 

Begitulah yang tertulis di dalam surat itu. Terlalu ringkas, tetapi sempat juga membuatkan dada Nia jadi berdegup-degap. Nia tidak mampu meneka siapa pengirim surat itu dan apa maksudnya.

Apakah surat itu dari kayangan? Dari pari-pari atau puteri bunian yang cantik jelita yang turun ke bumi untuk mencari kawan? Apakah dari jin atau syaitan yang sengaja mahu mengganggunya? Mungkin juga dari ayah atau ibu yang sengaja mahu bergurau dengannya?

Ah, tidak mungkin ayah atau ibu mahu bergurau begitu? Lagipun, apa yang mahu diguraukan? Berterus-terang lebih baik dari bergurau cara begini!

Malam itu Nia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Dia benar-benar takut andai ada seseorang yang muncul di hadapannya. Mungkin seseorang yang menakutkan atau bermuka menyeramkan. Hiii! Ngeri bila membayangkan semua itu.

Tetapi kalau puteri bunian atau pari-pari yang muncul, cantik juga, fikir Nia. Nia ingin melihat keindahan kayangan seperti yang pernah dibacanya dalam buku-buku fiksyen. Nia ingin memiliki sayap untuk terbang ke sana ke mari. Nia mahu tubuhnya tidak dapat dilihat oleh orang lain.

Ah, tetapi itu semua tidak mungkin menjadi kenyataan, fikir Nia pula. Mana ada orang bunian dalam dunia ini! Mana ada pari-pari yang akan datang berkawan dengan manusia. Itu semua hanyalah cerita dongeng orang zaman dahulu. Begitu Nia memutuskan.

Esoknya barulah Nia merasa lega kerana ternyata apa yang ditakutkannya tidak terjadi. Tetapi Nia tetap bertanya-tanya, siapakah pengirim surat itu? Dan hari itu... ada lagi surat bersampul merah terletak di lantai biliknya. Surat dengan sampul dan isi yang sama. Cuma bezanya surat kali ini dilempar melalui jendela biliknya.

Dengan segera Nia menjenguk keluar jendela namun dia tidak melihat sesiapa pun di sekitar rumahnya. Apakah surat ini dibawa oleh burung merpati dari seorang putera raja yang ingin menjadikannya permaisuri? Tetapi, putera raja mana pula yang telah berkenan dengannya?

Lagipun, zaman sekarang sudah moden. Kenapa perlu menyuruh burung merpati untuk menghantar surat? Banyak lagi perkhidmatan penghantaran yang lebih baik dari burung merpati.

Ah, mengarut!!! Tetapi siapakah pengirim surat ini? Hati Nia semakin kebingungan. Serasa otaknya kian membeku memikirkan surat misteri ini.

“Aneh dan pelik sungguh!!!” bisik hati Nia.

Tepat pukul empat petang, Nia tiba di rumah Alia, sahabatnya sekali gus jiran terdekatnya.

“Hai, kenapa baru hari ini kamu datang? Dah lama kamu tak datang. Saya ingat kamu dah lupakan saya,” ujar Alia sewaktu Nia melabuhkan punggungnya di atas kerusi di ruang tamu rumahnya.

Nia ketawa. “Siapa kata saya telah melupakan kamu. Sebenarnya saya terlalu sibuk..”

“Hari ini kamu tak sibuk?”

“Sebab itulah saya datang ke rumah kamu?”

“Ada hak yang mustahak?”

“Bukan mustahak tapi misteri..”

“Apa?” Alia terbeliak biji mata.

“Ya, misteri!” balas Nia. “Dua tiga hari kebelakangan ini saya sering menerima surat misteri,”

“Apa maksud kamu?” Alia sungguh-sungguh ingin tahu.

“Surat tanpa pengirim, isinya hanya dua tiga patah perkataan saja. Tanpa alamat pengirim, tanpa setem..”

“Aneh ya, Nia...” kata Alia setelah Nia menceritakan kejadian itu kepadanya.

“He... eh, semalam saya tak dapat tidur, saya sangat takut Lia!”

“Kamu tak beritahu ayah dan ibu kamu tentang surat-surat tu?” tanya Alia.

Nia menggeleng.

“Kenapa?”

“Saya takut ayah dan ibu saya risau,”

“Bagus juga kalau kamu tak beritahu mereka,”

“Maksud kamu?”

“Kalau kamu beritahu mereka, tentu mereka juga akan risau,”

“Sebab itulah saya tak memberitahu mereka,”

“Tapi, kenapa kamu beritahu saya?”

“Sebab kamu adalah sahabat baik saya,” jawab Nia.

“Ini bermakna kamu memerlukan bantuan saya..”

“Apa yang dapat kamu bantu?” tanya Nia.

Alia diam.

“Saya rasa, kamu pun tak mampu nak buat apa-apa,”

“Ya, saya memang tak mampu nak berbuat apa-apa,” ujar Alia dengan wajah yang kecewa.

“Habis, apa cadangan kamu?” tanya Nia.

Alia mengeluh panjang.

Ini kali ketiga Nia mendapat surat yang sama. Nia merasa sangat jengkel kerana merasa terganggu. Sejak mendapat surat-surat itu perasaan Nia jadi tidak tenang. Lebih-lebih lagi hari ini, sebaik pulang dari sekolah dia melihat ada sebuah bungkusan di atas meja belajarnya. Sebuah bungkusan yang dibalut dengan kertas akhbar berserta tulisan besar di atasnya.

‘HATI-HATI!’

Ah! Ada surat di atasnya. Terus saja Nia mengoyak sisi kanan sampul surat itu dan segera membaca isinya:

 

‘Bukalah bungkusan itu. Kejutan ini khusus untuk kamu. Tapi satu yang harus kamu ingat. Kamu harus hati-hati, benda ini berbahaya.’

 

Walaupun hatinya diamuk perasaan takut, Nia mendekati juga bungkusan itu. Rasa laparnya tiba-tiba saja hilang dan berubah menjadi gelisah. Perlahan-lahan dia mengoyak kertas akhbar itu dan membuka kotak tebal di dalamnya.

Ternyata di dalam kotak ada sebuah hadiah dengan hiasan pita berbunga cantik sehingga kelihatan seperti hadiah yang mahal. Nia membuka bungkusan dengan hiasan pita itu. Dan...

“Ooooeeeee...”

Suara tangisan bayi memecah keheningan!

Seketika kemudian, setelah sedar dari terkejut, Nia tersenyum memandang sebuah anak patung cantik di dalam kotak itu. Anak patung yang sangat manis wajahnya. Patutlah ada suara tangisan bayi. Suis bateri anak patung bayi itu sengaja diikatkan di penutup kotak. Sewaktu penutup kotak dibuka, suis pun terpetik dan terdengarlah sebuah tangisan bayi.

Dan lagi-lagi ada surat! Dengan tidak ragu lagi Nia segera membuka surat itu.

 

SELAMAT ULANG TAHUN SAHABATKU. Semoga bahagia selalu.

Dari sahabatmu,

Alia.

 

“Ah, Alia rupanya selama ini yang menghantar surat misteri kepadaku. Alia memang suka bergurau!” Nia ketawa lega dan gembira yang teramat sangat. 

PUSPA MENANGIS

Lihat itu
puspa menangis
tak ada lagi yang mahu memperhatikan bintang
untuk menemaninya bernyanyi
mungkin kerana deru hujan
membuat nada-nada indah jadi sia-sia
menyembunyikan semua yang boleh terdengar
setiap rintih dan nyanyian
sudah dilahap gemuruh halilintar
dalam gigil puspa memanggil
mempersoal mengapa tak ada hangat yang menyelamatkan
mentari sudah begitu terluka
enggan menyinari hati
mungkin ini sebabnya mengapa pagi begitu kelam
lalu akanku bawa ke mana bulan perakku
bila matahari meretak
padahal detak jantung
sudah menyusun mimpi begitu tinggi

SMAHADZIR
5/8/2006

Kerana Buah Belimbing

 

AYAH, ibu, Zian, dan Nani baru pindah ke rumah baru. Ada tiga perkara yang disukai Zian di tempat baru itu. Pertama, dia dapat bilik sendiri. Kedua, Zian dapat main pingpong. Sewaktu barang-barang diturunkan dari lori, tiba-tiba ada seorang budak lelaki mendekatinya.

“Kenalkan, saya jiran kamu, Arip! Kalau mahu main pingpong dan catur, kita boleh main di hadapan balai raya di situ,” budak itu menuding ke arah selatan.

“Saya Zian. Kebetulan saya memang suka main pingpong,” Zian bersyukur di dalam hati. Tanpa dicari, kawan baru sudah datang sendiri. Syukur kepada Tuhan.

Ketiga, Zian paling suka makan buah belimbing. Lebih-lebih lagi yang masak. Nah, di halaman rumah baru itu, di sebalik pagar, tumbuh pohon belimbing yang sudah berbuah. Ada tujuh biji buah belimbing yang sudah diidamkan Zian.

Dia membungkus satu per satu dengan kertas akhbar. Namun, pada hari Ahad, sebaik pulang dari rumah nenek, ketujuh-tujuh buah belimbing itu lenyap.

“Kurang ajar! Di sini ada pencuri rupanya,” kata Zian dengan wajah yang marah.

“Sudahlah, bang! Bungkus saja yang lain. Kan masih ada buahnya yang kecil-kecil,” kata Nani, adiknya. “Soal belimbing pun dah nak bising,”

Terpaksa Zian membungkus lagi sembilan biji belimbing dengan kertas akhbar. Sewaktu bermain pingpong petang itu, Zian menceritakan tentang kehilangan buah belimbing tersebut pada Arip. “Aah, itu soal kecil. Di kampung ini, belimbing masak sampai jatuh ke tanah kerana tidak ada yang memetik. Di sepanjang jalan tumbuh pokok-pokok belimbing,” kata Arip.

“Mana boleh soal kecil?! Orang yang mengambil hak milik orang lain, itu namanya pencuri. Pencuri harus dihukum kerana melanggar hukum negara dan agama,” kata Zian dengan nada tinggi. “Satu batang paku pun, kalau milik orang lain kita ambil, itu tetap mencuri namanya,”

“Cita-cita kamu jadi hakim, ya?” tanya Arip sambil tertawa. Dia seperti mendengar sesuatu yang ganjil. Hati Zian bertambah jengkel.

Ternyata sekali lagi Zian belum berjaya menikmati buah belimbingnya. Sembilan biji belimbing itupun lenyap sebelum dipetik. Zian bising lagi.

“Sudahlah, tidak usah bising. Kalau mahu tangkap pencurinya, abang Zian tunggu saja buah belimbing tu siang malam,” usul Nani.

“Huh, kali ini saya akan beri pengajaran pada pencuri tu,” kata Zian bernada kesal.

Zian membungkus empat biji buah belimbing dan menggantungkan sekeping kertas tebal yang ditulis dengan kata-kata: ‘YANG MENCURI BELIMBING: TAK SEDAR DIRI.’

Seminggu kemudian keempat-empat biji buah belimbing itu lenyap. Dan di kertas tebal tersebut ada tulisan: ‘PEMILIK BELIMBING: TAK SEDAR DIRI JUGA.’

Waaah, Zian benar-benar menyinga. Masakan tidak, sudah tiga kali membungkus belimbing, belum sebijipun dapat dimakannya.

“Sudahlah abang Zian, nanti pencurinya akan jemu juga. Kalau mahu makan belimbing, minta saja ibu beli di supermarket,” ujar Nani.

“Aaaah, saya mahu makan buah belimbing ini juga,” tegas Zian.

Sekarang Zian menuliskan di kertas tebal: ‘MENCURI ITU PERBUATAN TERCELA. MINTA SAJA, PASTI DIBERI’. Zian membungkus lagi enam biji buah belimbing.

Ketika buah itu hampir mahu dipetik, yang hilang tiga biji. Ada tulisan di kertas tebal: ‘MAAFKAN, INI UNTUK ORANG SAKIT.’

Nah, akhirnya Zian berjaya memakan buah belimbingnya buat pertama kali.

“Bang, hubungan dengan si pencuri tu sudah selesai kan!” kata Nani ketika melihat Zian makan belimbing tersebut berselera sekali.

            “Belum, saya masih mahu berkenalan dengan si pencuri itu. Tetapi saya ikhlas, kerana katanya belimbing itu untuk orang sakit. Mungkin juga ada orang yang sakit darah tinggi dan tidak mampu beli belimbing,” kata Zian.

Zian kembali membungkus tujuh biji buah belimbing dan menulis: ‘SILAKAN AMBIL SEPUASNYA. SUDAH DIMAAFKAN. BILA PERLU BANTUAN LAIN BERITAHU SAJA.’

Beberapa hari kemudian belimbing itu tidak hilang, tetapi ada tulisan: ‘SAYA INSAF. YANG SUDAH SAYA CURI AKAN SAYA BAYAR (23 BIJI). HARI AHAD PETANG SAYA DATANG.’

Hati Zian berdebar-debar. Siapakah pencurinya? Budak-budak? Orang tua? Tetapi, Zian bertekad tidak akan menerima wang pembayaran untuk buah belimbing itu. Si pencuri sudah insaf, cukuplah itu!

Hari Ahad petang, pintu rumah diketuk. Zian meluru ke luar. Ingin sekali dia melihat wajah si pencuri.

“Eh, Arip! Masuklah! Nak ajak saya main pingpong ke?” tanya Zian sambil membuka pintu.

Disangkanya si pencuri, malah Arip yang datang. Arip duduk dan tersenyum.

“Belimbing kamu sudah tidak hilang lagi, ya!” kata Arip. Zian mengerutkan kening. Arip tahu? Tetapi Zian tidak cerita soal belimbing itu kepada Arip sejak Arip berkata itu adalah soal kecil.

“Zian, saya minta maaf. Selama ini saya yang mengambil belimbing kamu untuk Mak Ida. Jiran kita itu kan sakit darah tinggi. Saya akan bayar kesalahan saya. Hukum saja saya. Suruh saya sapu sampah, bersihkan basikal kamu atau apa saja,”

Zian terperanjat. “Sudahlah, kamu saya maafkan. Tetapi apa yang membuatkan kamu insaf?” tanya Zian.

Arip menghela nafas. “Selama ini saya fikir mencuri belimbing tidak apa-apa. Mencuri ayam dan barang-barang berharga saja yang tidak boleh. Tetapi kamu telah mengajar saya. Apa yang jadi milik orang lain, walaupun sebatang paku, tetap tidak boleh kita ambil. Sejak itu saya mulai berfikir, mungkin selama ini saya salah. Lebih-lebih lagi kamu tulis bahawa lebih baik minta daripada mencuri. Ya, kalau minta kita akan dapat, untuk apa mencuri? Kalau kita boleh jadi orang baik, mengapa harus jadi orang jahat?”

Zian terdiam. Rasa hangat mengalir di hatinya.

“Sudahlah, Rip! Jum, kita bungkus belimbing-belimbing kita,” kata Zian, lalu bergegas mengambil kertas akhbar. 


PUTIH ATAS BELUKAR ZAMRUD

Melati kali ini kau datang dengan tangkaimu
dalam rindu yang menuakan hati
dalam pilu yang sering dikunyah waktu
“kita terlanjur menabung derita
sepanjang jangkau cinta”
maka kutitipkan haus hatiku
dalam kepucatan kelopakmu
kerana di sana kan kau temui aku
sebagai warna yang telah kau jaga
di sekujur liku bangsamu
putih atas belukar zamrud

SMAHADZIR
12/9/2006

Hantu Pokok Macang

 

SEMUA orang di rumahku sudah tahu, aku mudah sekali takut pada hal yang bukan-bukan. Misalnya pada anjing, atau pada kucing jiranku. Bahkan bila ada tetamu tidak dikenali melangkah masuk ke dalam rumahku, aku berlari mencari emak sambil menjerit, “Emak... ada orang asing datang!” jantungku kemudian akan berdebar kencang, peluh sejuk segera keluar membasahi badanku.

Anehnya... kejadian demi kejadian berterusan tanpa aku mampu memahami mengapa aku menjadi seorang yang penakut. Abangku pun gemar mengejekku dengan kata-kata, “Alip penakut... Alip penakut... ”

Bagaimana dengan cerita-cerita seram, filem hantu, pontianak? Jangan ditanya! Memang aku tidak mahu lihat. Aku terlalu takut melihat wajah hantu yang amat menyeramkan itu. Aku rasa, hantu-hantu itu akan datang mengganggu tidurku. Terbayang-bayang di ruang mataku sambil menyeringai memperlihatkan gigi yang berlelehan dengan darah.

Sungguh, aku tidak berani menonton cerita-cerita begitu. Padahal kata Ustazah Alia, guru mengajiku, “Bila kamu yakin akan kewujudan Allah yang Maha Perkasa, semua rasa takut tentu tidak akan mengusik hati kita. Hati kita tidak akan berasa takut! Bahkan ada manusia terpilih yang dapat mengalahkan ketakutan mereka seperti yang terjadi kepada Nabi Sulaiman.”

Sejak itu aku sering menghadiri pengajian Ustazah Alia di masjid dekat rumahku. Aku tidak peduli pada cerita abangku tentang hantu yang selalu berdiri di bawah pokok macang di tepi rumah kami.

Ya... abangku Adi, sering berkata bahawa di atas pokok macang itu ada penunggunya. Wajahnya sungguh menakutkan, berkepala botak, bertubuh tinggi besar kira-kira empat meter. Katanya, si penunggu itu akan menyeringai bila budak-budak memanjat pokok itu, mematahkan ranting-ranting atau mengambil buah macang yang belum ranum.

“Abang fikir Alip takut dengan cerita-cerita karut abang tu!” bentakku pada abang Adi. Tetapi aku hairan juga memikirkan mengapa budak kecil seperti abang Adi sudah mampu berkhayal tentang hantu yang tinggi besar dan menakutkan. Apakah abang Adi benar-benar pernah melihat hantu di pokok macang itu? Atau dia hanya ingin menakut-nakutkan aku saja?

“Betul, Alip! Sudah berkali-kali abang lihat hantu di pokok macang tu bertenggek di atas dahan yang berada atas bilik Alip,” cerita abangku suatu hari.

“Laa, kenapa hantu tu tak ajak abang bermain?” ujarku sambil ketawa sinis.

“Hantu tu memang sering turun dari pokok macang. Dia selalu mengelilingi rumah, dan dia seperti tak suka jika rumah berselerak. Sebab itulah bilik abang bersih selalu. Seram ooo, tengok muka hantu tu!” ujarnya dengan riak wajah yang beria-ria benar.

Aku mendadak ketawa geli mendengar cerita abang Adi.

Petang yang agak mendung, membuatku berasa resah. Musim hujan sudah tiba rupanya. Air hujan sering membasahi halaman rumahku, sehingga udara di bawah pokok macang agak lembab. Harum buah macang yang sudah masak sering memasuki bilikku. Aroma yang memang disukai abangku, tetapi aku tidak begitu menyukainya.

Jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Hujan mulai turun rintik-rintik, menambahkan kesejukan suhu bilikku. Seketika kemudian telefon di ruang tengah berdering, bergegas aku mengangkatnya.

“Hallo sayang, ini emak... emak dan ayah tak dapat pulang petang ni. Nenek kamu sekarang sedang dirawat di wad kecemasan... ”

Wah, macam mana ni, fikirku. Kedua-dua orang tuaku belum tentu pulang malam ini. Hatiku menjadi gelisah, kerana malam ini adalah malam Jumaat. Orang kata, pada malam Jumaat, hantu syaitan suka berkeliaran. Argh, rasa takutku mulai datang lagi.

Malam semakin larut, jam menunjukkan pukul 11.00. Emak dan ayah belum juga pulang. Aku dan abang Adi masih belum tidur. Kerana bosan menunggu, akhirnya abang Adi membuka televisyen. Aku membaca buku di dalam bilik. Tiba-tiba... elektrik terputus. Semua lampu terpadam. Keadaan dalam rumah menjadi gelap gelemat.

Abang Adi menjerit memanggilku, akupun tidak kalah kuatnya menjerit memanggil abang Adi. Kami saling panggil memanggil kerana amat takut pada kegelapan.

Nasib baiklah aku segera sedar! Kenapa aku harus takut pada kegelapan? Bukannya ada apa-apa yang harus ditakutkan!

Tiba-tiba aku teringat pada hantu pokok macang di tepi rumah. Apakah dia akan muncul di dalam rumah kami. Tidak terasa peluh sejuk mengalir di sekujur tubuhku.

“Cepat Alip, kita cari lilin!!!” desak abang Adi setelah kami bertemu.

Brak brak...                          

“Aduh!” tiba-tiba beberapa buah buku menimpa abang Adi. Abangku mengaduh kesakitan.

“Aduh Alip... tolong! Kepala abang sakit... berdarah Alip! Berdarah, tolong!”

“Sabar bang, ya... ya... Alip akan tolong!!!!”

Aku meraba-raba dinding rumah mencari mancis api. Dan tentu saja aku harus mencari kotak ubat kerana luka abang Adi harus diubati. Tidak lama kemudian lampu pun menyala semula.

Aku berasa amat lega! Bergegas kuhampiri abang Adi. Buku-buku kelihatan bertabur di sisi abang Adi, sementara dia duduk bersimpuh kesakitan di atas lantai. Kuamati dia dengan teliti.

“Mana luka abang? Mana darahnya?” Aku mencari-cari darah di tubuh abang Adi. Ah... ternyata tidak ada darah setitis pun yang keluar. Tidak ada segores luka pun pada tubuhnya. Abang Adi meraba-raba dahinya yang basah akibat kena titisan air hujan.

“Eh, bocor... atap rumah kita bocor rupanya!!!” ujar abang Adi.

Kami ketawa terbahak-bahak. Tiba-tiba... tup! Lampu padam kembali, dengan segera kupeluk abang Adi.

“Ayuh abang, kita masuk bilik saja. Kita tidur saja... ” ujarku.

Teraba-raba kami berdua mencari bilik tidur. Hujan di luar rumah semakin lebat. Tiupan angin malam yang menggerakkan daun macang terdengar jelas di telingaku. Dahan-dahan macang itu berada tepat di atas atap bilikku. Seer... seer, bunyi daun-daun macang bergeser dengan atap. Kami terbayangkan hantu pokok macang.

Tiba-tiba terdengar benda terjerembab jatuh di sisi katil kami. Hii... iihh! Kupejamkan mataku. Kututup telingaku dengan bantal, kuraih tubuh abangku, kukuatkan dakapan kami. Detak jantung kami berdegup cepat sekali. Akhirnya kami tertidur.

Keesokkan harinya aku terjaga dari tidur, jam dinding berdenting enam kali. Segera kukejutkan abang Adi.

“Bang Adi.. ayuh bangun, kita harus pergi ke sekolah! Ayuh cepat, nanti lambat... ”

“Eh, Alip! Malam tadi kita pakai selimut ini ke?” tanya abang Adi kehairanan, sambil membukakan selimut tebal yang menyelimuti tubuh kami berdua.

“Alip rasa tidak... kan ini selimut emak. Mengapa ada di sini?”

Segera aku berlari keluar bilik. Ha!? Orang tuaku masih belum pulang. Kunci bilik tidur mereka masih terletak di atas almari hias di ruang tamu. Aku kehairanan. Abang Adi pun begitu juga.

“Kalau begitu, siapa yang selimutkan kita agaknya ya?” abang Adi bertanya.

Aku memandang wajah abang Adi, kami saling berpandangan. Lalu serentak kami menjerit sambil berlari keluar rumah.

“Hantuuuu!!!”

“Eit, eiit... apa hal kamu berdua ni?” tiba-tiba ibuku datang dari arah dapur. Ketika itu juga aku berasa lega. Lega sekali. 


PUISI ALAM

Begitu indah hangat dan akrab alam
pohon dan rumput menyambut dengan tarian
aspal dan kerikil kecil tersenyum melihatku datang
sentuhan suam mentari
desahan genit pawana bersiul menggoda
tatapan bulan dan bintang nan ramah menemani

Tuhan, betapa indahnya
izinkan aku bercengkerama dengan mereka di bawah langit-Mu nan biru
untuk mensyukuri setiap detik nikmat
dan kurnia yang telah Kau limpahkan

SMAHADZIR
6/9/2007

Akui Kesalahan

 

IMAN berdiri di ruang makan. Sebentar dia menjenguk ke ruang kerja ayahnya. Di ruangan itu tersimpan buku-buku koleksi ayahnya. Ruangan itu dialasi tikar mengkuang. Sangat cantik dan tenang. Iman dan Adi sanggup berlama-lama membaca di situ. Ibu mereka, Puan Masni, seorang guru, juga sering menggunakan tempat itu untuk memeriksa kerja sekolah murid-muridnya.

Sekarang ini lampu ruangan itu telah terbakar. Ayah mereka iaitu Encik Zaihan belum sempat menggantikannya dengan lampu baru. Dapatlah Iman mengambilnya sekali lagi. Namun dia tidak mampu melihat dengan jelas kerana ruangan itu agak gelap.

Petang itu tidak ada seorangpun di rumah kecuali Iman. Encik Zaihan dan Puan Masni menghantar Adi ke klinik doktor gigi. Iman mulai gelisah. Dia ingin sekali masuk ke ruangan itu. Tiba-tiba dia dikejutkan oleh deringan telefon. Ternyata dari Dani, rakan sekelasnya.

“Kalau kamu tak jumpa juga, bererti kamu ingkar janji. Kamu pengecut!” kata Dani dengan suara yang garang.

“Tapi Dani...” jawab Iman sedikit gugup.

Belum sempat Iman menyelesaikan kata-katanya, telefon sudah diletakkan Dani. Lalu Iman berjalan menuju ruang belajar. Besok ibunya akan memberi soalan ulangkaji matematik. Di ruang itulah biasanya ibunya menyediakan soalan-soalan ulangkaji.

Perlahan-lahan dibukanya pintu ruangan itu. Sinar lampu dari ruang makan menerobos masuk ke ruang tersebut.

“Itu dia!” ujar Iman gembira. Sebuah buku terletak di atas meja. Kelihatan ada sehelai kertas terselit di dalamnya. Iman sedar benar bahawa menyebarkan soalan sebelum peperiksaan adalah perbuatan yang salah. Namun ejekan Dani terngiang-ngiang di telinganya.

Iman menarik nafas panjang dan berkata pada dirinya sendiri, “Aku bukan pengecut. Aku harus mengambilnya!”

Dengan perasaan yang gementar, diambilnya kertas itu dari atas meja. Lega rasanya sebaik melihat kertas itu benar-benar soalan ulangkaji matematik. Namun rasa takut kembali muncul di hatinya. “Pengecut, pengecut!” Mengingatkan kata-kata Dani itu, Iman menjadi nekad membawa kertas itu keluar. Secepat kilat dia lari ke ruang tamu untuk menelefon Dani.

“Hebat!” jerit Dani. Iman terus membacakan soalan matematik itu dan Dani segera mencatatnya.

“Terima kasih, Iman. Besok aku belanja kamu ais krim Connetto ya!” ujar Dani riang.

Iman tertegun sejenak. Sejurus kemudian dia bergegas ke ruang belajar dan menyimpan kembali kertas soalan tersebut.

Baru saja Iman hendak menutup pintu ruang belajar, terdengar suara kereta ayahnya di hadapan rumah. “Hmmm, nasib baik dah selesai,” gumamnya perlahan-lahan.

Keesokan harinya ujian ulangkaji matematik berlangsung seperti yang dijadualkan.

“Dasar malas belajar... mahu lulus secara kotor!!” gumam Iman dalam hati.

Dani berjaya menyelesaikan soalan ulangkaji itu dalam waktu dua puluh minit. Sewaktu dia menyerahkan kertas jawapan, semua pelajar memandang dengan wajah kehairanan dan kekaguman kepadanya. Iman tersenyum dan Dani membalas dengan mengejipkan sebelah matanya.

“Kamu adalah sahabatku yang paling baik di dunia ini!” ujar Dani ketika mereka menikmati ais krim Connetto di bawah pokok hadapan sekolah.

Iman tersenyum tersipu-sipu.

Petang harinya, ketika Iman pulang ke rumah, tiba-tiba ibunya bersuara, “Iman, ibu ada satu kejutan untuk kamu!”

 “Wow, chicken pie ye!” jerit Iman. “Terima kasih, bu!” ujarnya lagi.

Ketika makan malam tiba, dengan bangga Puan Masni menceritakan kehebatan Iman.

 “Bang, Iman dapat markah matematik paling tinggi di kelas!” ujar Puan Masni.

“Wah hebat! Kalau rajin belajar pasti pandai dan wajar dapat hadiah istimewa!” tambah Encik Zaihan.

“Saya juga mahu kasi hadiah untuk abang Iman. Tapi rahsia!” ujar Adi.

Iman menutup mulut dengan tangannya. Alisnya sedikit terangkat. Dia menjadi salah tingkah. Dia malu dan merasa sangat bersalah. Iman akhirnya menunduk dan berkata lirih, “Maaf, bu! Saya telah membaca soalan ujian ulangkaji matematik itu malam tadi, sebab itu saya dapat jawab semua soalan tu!” air mata menggenang di pelupuk matanya.

Puan Masni segera memeluknya dengan lembut sambil berkata, “Hmm, ibu gembira kerana akhirnya kamu mengaku juga kesalahan. Tapi mengapa kamu lakukan itu? Siapa yang suruh?” desaknya lembut.

“Dani ugut saya, bu.. ta... tapi.. saya pun baca juga soalan tu! Saya malu kalau anak seorang guru matematik tak dapat jawab soalan matematik…” ujar Iman dengan lirih, tetapi tetap menunduk.

“Kamu sebenarnya rasa serba salah jadi anak seorang guru, ya?” Puan Masni terus menyelidik secara halus.

“Mmm... sebetulnya kalau saya jujur, hal ini tak akan terjadi, bu!” jawab Iman berterus-terang.

Puan Masni tersenyum mendengar jawapan anaknya itu. “Sebenarnya ibu curiga sejak malam tadi lagi. Kamu tak menyelitkan kembali soalan ujian matematik itu di halaman yang betul,” jelas Puan Masni. “Dan ibu tambah curiga melihat gerak-geri Dani ketika menyerahkan kertas jawapan. Dani bukannya seorang murid yang pandai dalam matematik tapi dia dapat jawab semua soalan ibu. Tapi sudahlah, kamu kan dah mengakui kesalahan kamu,” tambahnya lagi.

“Jadi, sebetulnya ibu dah tahu sejak malam tadi lagi?” Iman kehairanan.

Puan Masni tersenyum seraya mengangguk.

            “Laa... kenapa abang Iman tak langsung kena marah, bu?” tanya Adi.

Encik Zaihan tertawa sambil menarik-narik rambut Adi, “Kamu tu paling suka kalau abang kamu dihukum ye!”

“Menghukum seseorang itu tak harus selalu dengan marah-marah!” Puan Masni menjelaskan.

“Bu, lebih baik saya dimarah habis-habisan daripada diperlakukan dengan baik begini,” ujar Iman.

”Yang penting kamu dah mengaku segala kesalahan kamu dan berjanji tak akan ulangi lagi kesalahan tu,” tegas Puan Masni. ”Er, kamu juga mesti jujur pada diri sendiri. Belajar rajin-rajin, usaha bersungguh-sungguh dalam matematik. Ibu pasti kamu akan berjaya,”

Iman mengangguk-angguk. ”Saya berjanji, bu! Saya akan selalu jujur dan belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam matematik. Saya akan buktikan yang saya adalah anak seorang guru matematik yang hebat,”

Puan Masni tersenyum bangga dengan janji anaknya itu.

“Ayah rasa bangga dengan kamu kerana kamu nak mengaku segala kesalahan yang kamu dah lakukan,” balas pula Encik Zaihan sambil tertawa.

Iman menghela nafasnya. Tiba-tiba Encik Zaihan berkata lagi, “Adi, sini chicken pie-nya. Ayah habiskan saja ye!”

Adi dan Iman serentak berlari menuju meja makan Encik Zaihan, dan menjerit, “Jangan ayah!!”

Encik Zaihan dan Puan Masni tertawa melihat tingkah laku kedua-dua anak mereka itu. 


JENUH

Merajut mata dari sisi di mana dia tiada
meninggalkan keletihan antara renggutan tajam sebuah hasutan
ragu putar lidah untuk memetik sirat dalam kekang
luruh menahan butir darah menitis dari telinga
rempuh kebodohan untuk cipta sebuah kolase
meluncur deras dari jauh
aku tersenyum kerana penangguhan klise
ketawa menahan getir suria tak kunjung memapah
dari cahaya dia menyimpan inti suara
gema mencipta debu
dan dia manusia tak punya kiblat
dari mana dia akan sucikan diri
waktu tersisa menyimpan air mata
dari goyah nanar sebuah tatapan

SMAHADZIR
26/8/2006

Sebungkus Dua Ringgit

 

PERSEKOLAHAN untuk hari itu tamat. Aiman, Mira, dan Ina melangkah sepanjang jalan menuju rumah masing-masing. Mereka melintas sisi timur sebuah halaman luas. Di situ ada warung Mekar Indah, menjual bubur kacang hijau yang terkenal sedap. Semangkuk bubur harganya dua ringgit setengah.

Dimakan panas-panas rasanya sungguh sedap sekali. Ditaburi pulut pun rasanya sedap juga. Yang penting, dimakan! Begitu yang bersarang di kepala murid-murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kodiang itu.

“Nanti, bubur kacangnya dibungkus saja lalu dimakan di rumah saya. Saya mahu beli dua bungkus. Sebungkus untuk ibu saya,” kata Ina sambil tersenyum.

Hi.. hi… hi… dua bungkus? Setengah bungkus pun tak boleh. Sebab warung Mekar Indah itu tutup. Aiman, Mira, dan Ina ketawa mengekek. Sejurus kemudian masing-masing pulang dengan langkah panjang yang penuh dengan kehampaan.

Sampai di rumah, Ina melihat ibunya iaitu Mak Ipah sedang berbaring di atas katil. Mak Ipah tidak berapa sihat. “Sudah pulang, Ina?” sapa Mak Ipah.

“Sudah, mak!” jawab Ina. “Sebenarnya Ina mahu belikan emak bubur kacang di Mekar Indah tadi. Tapi tutup pula,” tambahnya lagi lalu duduk di birai katil ibunya.

“Oh ya? Kalau tak sedap badan begini, memang mahu makan makanan yang berkuah. Tu di dapur ada bahan untuk membuat bubur kacang. Emak belum sempat membuatnya,” suara Mak Ipah jelas parau.

“Oh ya? Ina boleh membuatnya, kan!” ujar Ina tiba-tiba, lantas tertawa.

“Tentu saja!” balas Mak Ipah cepat sambil mengacungkan ibu jari tangannya.

Selesai makan dan solat, Ina pergi ke dapur. Telah ada rendaman kacang hijau dalam sebuah mangkuk. Apa yang perlu dilakukan oleh Ina ialah menyalakan api dapur dan meletakkan periuk di atasnya.

Sambil menunggu kacang hijau empuk, Ina memarut kelapa. Srek srut srek srut… bunyinya. Setelah selesai, Ina memerahnya dan jadilah santan. Kemudian apa, ya? Ina menepuk dahinya seperti teringat sesuatu. Lalu bergegas mencuci dan menumbuk sedikit halia dan daun pandan.

Sebaik kacang hijau empuk, Ina memasukkan gula merah ke dalam periuk. Campur juga halia dan daun pandan. Akhir sekali dia memasukkan semangkuk besar santan. Begitulah cara ibunya membuat bubur kacang hijau, yang ditiru Ina.

“Lebih enak dari bubur kacang Mekar Indah, laaa!” ujar Mak Ipah di ruang tengah. Lidahnya berdecap menikmati bubur kacang yang dihidangkan oleh Ina.

“Ah,” sudu Ina terhenti di udara. “Emak perli Ina agaknya,” sambungnya sambil menahan tawa.

“Betul, emak tak perli kamu!” ujar Mak Ipah.

“Kalau benar, bagaimana kalau saya suruh Aiman dan Mira rasa bubur kacang ni? Untuk promosi,” ujar Ina. Senyumnya merekah.

“Boleh! Asal jangan lupa simpan semangkuk untuk ayah kamu,” ujar Mak Ipah.

“Tentu!” sahut Ina sambil tersenyum.

Sepuluh minit kemudian, Ina sudah berada di jalan hadapan. Rumah Ina, Aiman, dan Mira saling berdampingan. Kebetulan Aiman dan Mira sedang santai di beranda rumah masing-masing. Ina melambaikan tangan. Kedua-dua rakan sekelasnya bergegas mendekat.

“Saya bawa bubur kacang hijau untuk kamu,” kata Ina sebaik Aiman dan Mira berada di hadapannya. Tangannya terangkat ke udara sambil menggoyang-goyang dua bungkus bubur kacang hijau dalam plastik kecil. Satu bungkus berisi sekitar dua senduk. “Harganya seringgit saja,” katanya sambil ketawa.

“Boleh juga,” sahut Aiman dan Mira serentak, sambil menggapai plastik di tangan Ina.

“Wow, masih panas!” sambung Mira.

“Beli di mana ni?” tanya Aiman.

“Di dapur rumah saya,” jawab Ina jujur.

“Jadi kamu curi bubur kacang emak kamu, ya? Lalu dijual pada kami!” cetus Mira bersahaja. Disambut ketawa Aiman dan Ina.

“Kalau sedap cakap!!!!” cetus Ina disela tawa. “Saya tak minta bayaran, laaa!”

“Tadi kata kamu, harganya seringgit,” ujar Mira.

Ina tersenyum, “Hari ni percuma. Selepas ni, mesti bayar kalau mahu makan,” ujarnya bersahaja.

Hari ini, seperti biasa Aiman dan Mira menunggu Ina di jalan hadapan untuk berangkat ke sekolah. Ina muncul dari pintu rumahnya, menenteng sebuah bekas plastik. “Bawa apa, tu?” tanya Aiman dan Mira.

“Bubur kacang. Dua ringgit satu bungkus!” jawab Ina. Dan memperlihatkan isi bekas plastik tersebut kepada kedua-dua rakannya.

“Ooo!” cetus Aiman dan Mira seperti terkejut. Lalu tawa mereka pecah.

“Apa yang lucu?” tanya Ina kehairanan.

“Ah, tak ada apa-apa,” ujar Aiman dan Mira.

Tibalah mereka di sekolah.

“Bubur kacang hijau! Bubur kacang hijau! Siapa mahu beli, angkat tangan!”

Mira menjerit-jerit di hadapan kelas. “Rasanya sedap, nikmat, dan berkhasiat!” sambungnya sambil tercengar-cengir kala melihat Ina mengacungkan penumbuknya.

“Ni, penjualnya!” Aiman menepuk-nepuk bahu Ina.

Sebaik Ina duduk, rakan-rakan segera mengelilinginya. Tidak hanya mengelilinginya, mereka membeli bubur kacang yang dibawanya. Wow, ternyata jualan Ina sungguh laris!

“Sedap… seperti di warung Mekar Indah,” ujar Iman, salah seorang rakannya.

“Cukup lemak cukup manis,” tambah Udin.

“Ini buatan Ina sendiri... laaaa!” kata Aiman mempromosi.

“Memang sedap dan kamu ada bakat jadi seorang peniaga bubur kacang!” balas Maliki. Disambut ketawa rakan-rakan yang lainnya.

Sejak itu Ina mendapat gelaran ‘Tokoh Korporat’. Hi.. hi.. hi… Ina ketawa dalam hati. Malahan Aiman dan Mira juga telah mengikut jejaknya. Aiman membawa kerepek ubi kayu. Mira membawa kacang kuda rebus. Akhirnya, kedua-duanya juga mendapat gelaran ‘Tokoh Korporat.’

            Namun aktiviti menjual begitu tidak lama berlangsung. Pihak kantin sekolah telah membuat bantahan kepada guru besar. Akhirnya Ina, Aiman dan Mira tidak berani lagi hendak berniaga di dalam kawasan sekolah.

            “Tak apalah, Ina! Rezeki yang emak dapat pun dah cukup untuk hidup kita berdua,” ujar Mak Ipah cuba memujuk Ina.

Ina tersenyum redha.

PUISI TERAKHIR

Ini puisi terakhir
kutulis dengan darah
sebab luka telah lama menganga
sungguh
perlu banyak tenaga
untuk mengajakmu
memaknai warna telaga

SMAHADZIR
12/3/2007

Basikal Biru

 

AZIM tidak memahami fikiran ayahnya. Setahu Azim, ayah amat sayang padanya dan juga adiknya, Tika. Dan kewangan ayah juga mencukupi. Ayah seorang pengurus! Dan ibu mempunyai sebuah salon kecantikan di sisi rumah. Tetapi, sudah dua kali Azim minta hadiah. Dan kedua-dua permintaan itu tidak tertunai.

Pertama, Azim minta basikal warna biru. Sedangkan sahabatnya, Adam dan Fendi, baru dibelikan basikal oleh ibu bapa mereka.

“Nantilah, Zim! Lebih baik kamu tumpukan fikiran kepada ujian akhir tahun yang akan tiba tak lama lagi!” kata Encik Fuad, ayah Azim.

“Basikal tu sangat perlu untuk pergi ke rumah rakan bila mahu belajar bersama!” ujar Azim. Namun, Encik Fuad tetap dengan pendiriannya.

“Ya, kali ini saya cuma minta akuarium kecil dengan beberapa ekor ikan hiasan! Kalau dah letih belajar, saya boleh memandang ikan-ikan yang cantik tu. Mata akan jadi segar. Fikiran akan jadi lapang,”

“Kalau ini pasti ayah akan kabulkan. Tapi tidak sekarang. Nanti kalau kamu sudah lulus peperiksaan hujung tahun nanti, baru ayah belikan untuk kamu!” kata Encik Fuad.

Azim kesal. Pelik tetapi benar. Ayah sudah jadi kedekut. Azim menceritakan hal ini kepada adiknya. Tika berkata, “Abang Azim ini yang pelik. Bukan ulang tahun, bukan hari raya, belum lulus periksa, dah minta dibelikan hadiah?”

Akhirnya Azim tidak mempersoalkan hal itu lagi. Cuma, dia menampalkan gambar basikal warna biru dan sebuah akuarium dengan ikan hiasan di pintu biliknya.

Ketika melihat gambar-gambar itu, ibunya Puan Shida tertawa dan berkata, “Ini kempen atau alat untuk mengingatkan ayah kamu?”

“Terserahlah. Tak dapat pun tak apa. Lihat gambar saja dah puas!” jawab Azim bersahaja.

Hari demi hari berlalu. Azim sibuk sekolah dan belajar. Hari peperiksaan hujung tahun yang menegangkan pun berlalu. “Sehari selepas pengumuman peperiksaan, kita buat acara di pantai. Naik basikal saja biar tenang sikit fikiran!” kata Fendi bersemangat.

“Kalau yang tak ada basikal, bagaimana?” tanya Azim.

“Aah, itu mudah. Kamu boleh membonceng di belakang basikal Adam atau aku!” jawab Fendi.

“Aku akan pinjam basikal kakakku!” kata Lina.

“Kamu minta saja dibelikan basikal. Ayahku akan memberikan potongan besar bila kamu membelinya di kedai basikal kami!” kata Edi.

Di rumah, Azim menuliskan atas kertas putih di bawah gambar basikal di pintu biliknya. ‘BELI BASIKAL DI KEDAI AYAH EDI, POTONGAN HARGANYA BESAR.’

Akhirnya tibalah hari yang dinantikan. Di sekolah semua murid berkumpul di hadapan papan kenyataan.

“Tahniah Azim, kamu dapat 5A!” kata Cikgu Sulaiman, Guru Besar Sekolah.

Rakan-rakan yang lain terus menyalami Azim. Anita, dapat 4A1B dan Radian, 3A2B juga mendapat ucapan tahniah. Azim segera menelefon ibunya, memberitakan khabar gembira itu. Sekali gus meminta izin pergi ke majlis kesyukuran di rumah Edi. Di sana mereka akan membincangkan lagi soal acara dengan basikal besok.

“Kalau begitu, tunggu sebentar di sekolah sampai ibu datang. Ayah dan ibu ada hadiah untuk kamu!” pesan Puan Shida.

Lalu Azim pun menunggu dengan perasaan yang gelisah. Apakah dia akan dibelikan sebuah basikal? Atau akuarium seperti yang dijanjikan ayahnya dulu?

Tidak lama kemudian kereta Puan Shida tiba di hadapan pintu gerbang sekolah. Puan Shida menyalami dan memeluk Azim. “Ibu dan ayah bangga kerana kamu mendapat 5A!” kata Puan Shida, lalu menyerahkan sebuah bungkusan.

Breeet! Breeet! Azim segera membuka bungkusan itu. Puan Shida melihat sambil tersenyum. Namun, wajah Azim segera berubah ketika melihat isinya. Sebuah buku berbahasa Inggeris serta sekeping CD di dalam bungkusan plastik.

“Terima kasih, bu! Tolong bawa pulang saja. Azim mahu ke rumah Edi!” kata Azim dengan perasaan yang sungguh kecewa.

“Tak mahu lihat dulu isinya, Zim?” tanya Puan Shida.

Azim menggeleng. “Nanti malam saja akan Azim lihat buku tu!” kata Azim.

Puan Shida menggeleng-gelengkan kepala, masuk ke dalam kereta dan terus pulang.

Di rumah Edi suasana sangat meriah. Ibu Edi sudah menyediakan berbagai hidangan. Azim memandang basikal-basikal yang berjajar di ruangan kedai di hadapan rumah Edi. Oooh, walaupun sudah dapat 5A, ternyata memiliki basikal warna biru masih belum menjadi kenyataan.

Setelah makan, mereka berbincang soal acara dengan basikal. Beberapa orang rakannya dibelikan basikal oleh ibu bapa masing-masing dari kedai Edi. Azim diam saja. Pelik rasanya. Mereka yang tidak dapat 5A pun dapat hadiah basikal, sedangkan dia hanya dapat sebuah buku berbahasa Inggeris dengan sekeping CD. Ayah Edi yang masuk ke ruangan itu, sekilas memerhatikan rakan-rakan anaknya itu.

“Zim, kenapa murung ni? Kamu kan dapat 5A. Kalau kurang suka dengan basikal warna biru yang dibelikan ayah kamu, boleh tukar dengan warna lain. Boleh juga ganti model. Tinggal tambah wang sedikit, atau dikurangi sedikit saja!” kata ayah Edi.

Azim tersentak bagaikan disambar petir. Ayahnya telah membelikannya basikal warna biru?

“Oooh ...eh... tak, pak cik! Terima kasih, saya memang suka basikal warna biru!” jawab Azim.

“Kamu ni bagaimana? Ada basikal baru pun nak membonceng lagi. Sayang ya, sama basikal barunya?” tegur Lina.

Azim menggeleng-gelengkan kepala. Dia terus minta diri untuk pulang.

Di dalam hati, waktu terasa amat lambat berlalu. Ingin rasanya Azim terbang ke rumah. Setiba di rumah, Azim melihat hadiahnya ada di atas meja di ruang tamu. Azim membuka plastik bungkusan dan mengeluarkan buku berbahasa Inggeris dan CD-nya. Terselit di halaman buku itu dua helai resit pembelian basikal dan akuarium.

Azim segera berlari ke salon kecantikan di sisi rumah.

“Ibuuu, terima kasih atas hadiahnya. Banyak sekali?” Azim meluru dan memeluk Puan Shida! “Ibu, maaf ya, sikap Azim tadi telah melukakan hati ibu!”

“Tiada maaf bagimu. Ha, ha, ha!” jawab Puan Shida sambil tertawa. “Semua hadiah ada dalam stor! Kamu dah bersusah payah untuk dapat 5A, kan?”

Azim segera menelefon ayahnya dan mengucapkan terima kasih. Lalu menelefon pula Fendi dan Adam untuk memberitahu berita gembira itu. Ow, indahnya hari itu! 


FRAGMEN TANAH LIAT

Kusudahi tanpa gurat disengajakan
tanpa bentuk sejalur pola
pagi ini tiba-tiba saja tergambar
dia lebih sahaja
dengan lekuk-lekuk
tidak sempurna
yang lekat di tiap sisinya

SMAHADZIR
8/4/2006


SENJA DI MATANYA

Senja di matanya
adalah butir purnama tidak bercela
ternoda oleh gulung prasangka tidak berguna
tiupan ke dada bara mercun yang pecah
sebelum aba-aba
sang sutradara

Senja di matanya
adalah senario kematian teramat muda
yang tidak beroleh
kesempatan tunjukkan arahnya

SMAHADZIR
12/2/2008


QASIDAH SAYANG

Lelehkan saja aku
dengan magma qasidahmu
ketika butir salji tidak mampu lagi
bekukan mimpi-mimpi
yang kian berbuih
dalam ombak perihku
jangan pernah berkata
hanya jika sepi senyummu
sembunyikan riuh
tembang purba
yang terus kau kumandangkan
dalam tatapan ngilu
mata hatimu

SMAHADZIR
21/1/2007


ANUGERAH ATAU SIKSA

Ingin jadi bermakna
menghilangkan semua yang terindah
selanjutnya terkhali antara daun-daun
angin berhembus menerbangkan putik-putik sari masak
akankah jadi bermakna?
segala telah cagun
mungkin merubah diri menjadi sesuatu berharga
yang boleh kelihatan di langit
yang boleh ditemui di dasar laut
sebenarnya ingin menjadi apakah ini?
biarlah
aku menjadi segumpal debu yang akan tertiup oleh siulan
atau oleh tawamu
semua ini anugerah
atau siksa?

SMAHADZIR
6/3/2007

Bakso Mak Cik Enot

 

BAKSO Mak Cik Enot memang sedap. Tidak hairan kalau pelanggannya ramai. Biasanya mereka saling mengajak rakan-rakan. Dan kalau sudah merasa bakso Mak Cik Enot yang sedap itu, dijamin pasti datang lagi untuk kali kedua.

Rasa sedap itu bukanlah alasan utama Akri menjadi pelanggan tetap Mak Cik Enot. Tetapi ada alasan lain yang membuatkan Akri selalu menunggu kedatangan Mak Cik Enot membuka warung. Mak Cik Enot mudah ditipu.

Kalau Akri mengambil lima butir telur puyuh, akan dikatakan dua. Jadi, boleh makan banyak, bayar murah. Tindakan menipu Mak Cik Enot itu tidak pernah tertangkap. Selesa dan selamat selalu. Akri tahu, dua mata Mak Cik Enot sudah rabun, tidak begitu teliti mengawasi barangan jualannya. Akri boleh kenyang makan di sana.

Sudah satu minggu ini warung bakso Mak Cik Enot tutup. Akri jadi serba salah. Kegemarannya makan bakso terpaksa dilupakan beberapa hari ini.

Pada suatu hari, Akri nekad makan bakso di warung lain. Tetapi huh... harganya ternyata sangat mahal. Dua kali ganda dibandingkan dengan harga bakso Mak Cik Enot.

Lagipun Akri tidak boleh ‘mengebas’ telur puyuh secara diam-diam. Penjualnya selalu melirik setiap suapan Akri. Dia jadi terkaku. Bakso yang rasanya biasa saja itu jadi semakin tidak sedap hendak ditelan. Ketika keluar dari warung itu, Akri bersungut-sungut.

“Huh! Wangku habis untuk makan bakso yang tidak seberapa. Kalau warung bakso Mak Cik Enot buka... tidak merasalah duit aku masuk ke warung ni!”

Kerinduan Akri kepada bakso Mak Cik Enot sudah tidak terbendung lagi. Sekarang sudah 10 hari warung bakso Mak Cik Enot tutup.

“Nanti petang jadi kan, Kri?!” Suara Aan membuyarkan sepinggan bakso Mak Cik Enot dalam lamunan Akri.

“Eh... oh... iya, okey!! Nanti petang, berkumpul di sini!”

Emak Suzidah sudah beberapa hari sakit. Beberapa kali Suzidah tidak datang ke sekolah kerana harus bergantian dengan adiknya menjaga ibu mereka. Ayahnya sudah lama meninggal dunia. Hari ini murid-murid darjah enam itu sudah sepakat melawat emak Suzidah. Suzidah adalah seorang pelajar yang baik dan ramah. Semua rakan suka kepadanya.

“Kamu seorang ketua darjah yang baik, Kri!” kata Suzidah sambil tersenyum memandang Akri.

“Ah, saya kan hanya mengikut rakan-rakan kita yang lain. Merekalah yang patut diacungi ibu jari, kerana sangat mengambil berat tentang kamu,” balas Akri sambil tersengih. Diam-diam Akri bangga juga dipuji Suzidah.

“Orang yang baik selalu mengelak kalau dikatakan baik,” balas Suzidah.

Wajah Akri jadi merah. Dia kelihatan tersipu-sipu menerima pujian itu.

Petang itu lima murid tersebut sebagai wakil darjah enam berbasikal ke rumah Suzidah. Rumahnya sangat sederhana. Dindingnya dari buluh yang sudah lusuh.

“Sepi sekali, Zidah! Ibu kamu tidur ye?” tanya Akri ketika sudah duduk di anjung rumah tersebut.

“Ada di bilik. Ibu saya sedang menunggu kamu. Tadi saya sudah bercerita yang kamu semua nak datang. Jum, masuk!” ajak Suzidah.

Ketika mereka masuk ke bilik ibu Suzidah, Akri terjingkat. Di tempat tidur kayu itu kelihatan ibu rakan sekelasnya itu berbaring lemah. Perempuan separuh baya itu terus tersenyum ketika melihat Akri.

“Ini rakan kamu Zidah? Dia pelanggan ibu yang sangat setia,” kata Mak Cik Enot sambil menunjuk ke arah Akri.

Akri jadi salah tingkah. Ternyata ibu Suzidah adalah Mak Cik Enot! Akri tertunduk malu. Sedih rasanya bila teringat lima butir telur puyuh yang selalu dikunyahnya dengan penuh berselera. Akri tidak berani memandang wajah Mak Cik Enot.

“Saya harap mak cik akan segera sembuh,” kata Akri. Lalu dia menyambung dalam hati. ‘Aku akan mengumpulkan wang saku untuk membayar kembali telur-telur yang telah kuambil itu. Entah berapa jumlahnya benda haram tu dah masuk ke dalam badanku!!! Ya Allah, ampunilah dosaku!’

Sejak hari itu Akri benar-benar menyesali perbuatannya. Syukurlah, dia cepat sedar dari kesilapan.

 

 

Usaha yang Baik

 

“RASANYA aku ingin berehat sepanjang hari ini, letih betul badanku!” keluh Puan Latifah sebaik bangun tidur.

Encik Farid mengerti keinginan isterinya, Puan Latifah itu. Setelah bekerja selama enam hari, tidak ada salahnya berehat selama satu hari. Lantaran itulah dia mengajak Nina berjalan-jalan selepas mereka mandi.

“Biarkan emak kamu berehat di rumah,” kata Encik Farid pada Nina. Kemudian sebelum mereka berangkat, Encik Farid berkata kepada isterinya, “Kamu tidak usah masak hari ini. Nanti kami belikan masakan dari restoran.”

Ketika itu Amir sedang main bola bersama rakan-rakannya. Jadi Puan Latifah benar-benar sendirian di rumah. Dia mengambil majalah lalu membaringkan tubuhnya di atas sofa. Hmmm... benar-benar menyenangkan dalam suasana sepi seperti ini, fikirnya.

Ting... tong... ting... tong...

Suara loceng mengganggu keasyikannya. Sambil mengeluh Puan Latifah tergesa-gesa bangun dari sofa. Dilemparkan majalah yang sedang dibacanya ke atas meja, kemudian terus melangkah ke arah pintu.

“Selamat pagi, mak cik!”

“Pagi,” balas Puan Latifah sambil tersenyum kepada murid lelaki sekitar dua belas tahun yang berdiri di hadapannya. “Nak berjumpa dengan Amir ke? Kalau kamu nak berjumpa dengan dia, pergilah ke padang bola. Dia di sana bersama rakan-rakannya,”

“Tidak, mak cik! Saya datang ke sini bukan untuk bertemu dengan Amir, tetapi ingin bertemu dengan mak cik,” jelas murid lelaki itu sambil tersenyum.

“Nak berjumpa dengan mak cik?” tanya Puan Latifah sambil menunjukkan dirinya sendiri.

“Ya, mak cik! Saya mahu menawarkan sabun pencuci pada mak cik!”

“Sabun pencuci?”

“Ya.. sabun pencuci buatan sendiri, mak cik! Harganya murah. Dijamin mutunya setanding dengan jenama lain yang ada di pasaran sekarang,” kata murid itu dengan fasih. Dia segera mengeluarkan sebungkus sabun pencuci dari dalam begnya.

Puan Latifah menatap murid seusia Amir itu seketika dengan tatapan yang kehairanan. Kemudian menggeleng diiringi desisan berat di bibirnya. “Maaf! Mak cik tidak berniat hendak membeli sabun pencuci ini!”

Murid itu tersenyum tawar lalu bergumam lirih. “Kalau begitu, tidak apalah!!” Dimasukkannya kembali sabun itu ke dalam begnya.

Puan Latifah merasa tidak selesa pula melihat senyuman tawar murid tersebut. Dengan segera dia berkata, “Bukan mak cik tidak mahu menolong kamu, nak! Tetapi sabun pencuci mak cik masih banyak lagi. Hujung bulan lalu mak cik beli lebih dan belum lagi digunakan!”

Sekali lagi murid itu berusaha untuk tersenyum. Meski yang terhias di bibirnya adalah senyuman kehampaan. “Saya faham, mak cik! Kalau begitu saya mohon diri dulu. Terima kasih, mak cik!”

Puan Latifah mengangguk lemah. Dia mengawasi murid itu dengan rasa kasihan. Bajunya kelihatan sederhana sekali, tetapi bersih. Dan ketika melihat murid itu berjalan pincang, hatinya mendadak merasa hiba.

“Ah, maafkan mak cik, nak! Mak cik tidak tahu yang kamu cacat.”

Murid itu segera berpaling, lalu tersenyum nipis. Puan Latifah merasa agak bersalah kerana ucapannya tadi. Dia bimbang murid itu tersinggung. Segera dia berkata, “Mak cik tidak bermaksud apa-apa, cuma kagum dengan usaha yang kamu lakukan. Apakah kamu tidak merasa berbeza dengan orang lain kerana kecacatan di tubuh kamu itu?”

Murid itu menggeleng, sambil berkta, “Saya tidak merasa berbeza dengan mereka. Kalau tidak, tentu saya tidak akan berada di sini. Minta diri dulu, mak cik!”

Murid itu melangkah kembali. Pada ketika itulah Amir muncul. Di tangannya ada sebiji bola. Bajunya basah oleh peluh yang mengalir.

“Laa, macam mana kamu boleh berada di sini, Rul?” tegurnya kehairanan ketika melihat murid tersebut.

Murid itu menghentikan langkahnya. “Ya, tadi saya tidak tahu yang ini rumah kamu sehinggalah ibu kamu menyebut nama kamu tadi,” ujar Sahrul sambil tersenyum.

“Kenapa kamu mencari saya?” tanya Amir lagi.

“Tentu saja bukan untuk mengajak kamu bernyanyi,” jawab Sahrul.

Barulah Puan Latifah tahu bahawa murid itu rakan anak sulungnya. Dia berasa amat berbangga dengan murid tersebut. Begitu yakin kepada diri sendiri. Kecacatan di kakinya itu tidak membuatkan dia merasa rendah diri.

“Saya tadi menawarkan sabun pencuci pada ibu kamu. Sabun buatan saya sendiri. Hasil yang diajarkan oleh cikgu ketika pelajaran kemahiran hidup minggu lalu,” ujar Sahrul lagi. Dengan segera dia mengeluarkan sebungkus sabun pencuci. “Ni, lihat Mir! Inilah hasil usaha saya. Memang sabun ini cukup baik, mampu menghilangkan segala kekotoran tanpa merosakkan kulit tangan,”

“Wah, hebat kamu, Rul! Sekarang sudah mampu berniaga. Saya yakin, suatu hari nanti kamu akan menjadi seorang usahawan yang berjaya. Kamu akan menjadi pembuat sabun pencuci yang terkenal di dunia!” Amir kekaguman. Dia menoleh pada Puan Latifah. “Sahrul ini rakan sekelas Amir, mak! Rajin dan cerdas. Walaupun cacat tetapi dia sudah mampu membiayai perbelanjaan sekolahnya sendiri. Guru-guru pun kagum dengan ketabahannya!”

Puan Latifah semakin kagum pada murid itu. Menyesal rasanya kerana tidak membeli sabun pencuci yang dibawanya tadi.

“Tadi emak beli sabunnya tak?” tanya Amir.

Puan Latifah menggeleng berat. “Sabun pencuci mak masih banyak lagi,”

“Tetapi yang Sahrul jual ini lain, mak! Sabun buatan dia sendiri. Harganya lebih murah dari sabun pencuci yang dijual di kedai. Iya kan, Rul?”

“Ya,” jawab Sahrul sambil tersenyum.

“Baiklah! Emak beli satu bungkus dulu. Kalau sabunnya cantik nanti emak beli lagi.”

“Terima kasih, mak cik,” kata Sahrul. Kemudian dia mengejitkan sebelah matanya kepada Amir. “Tetapi ini bukan kerana kamu, kan?”

Amir tergelak. Puan Latifah juga tersenyum. Sekilas dia melihat mata Sahrul berbinar. Setelah menerima pembayarannya, Sahrul meninggalkan tempat itu dengan langkah tempang. Sementara Puan Latifah dan Amir menatapnya dengan perasaan hiba.

Usaha dan ketabahan Sahrul itu memang patut dijadikan teladan.

 

Rahsia Hantu Sungai

 

AZAN Maghrib berkumandang dari arah kampung. Langit senja berwarna merah dan kuning. Suasana di kawasan paya di pinggir kampung itu sudah gelap dan sunyi. Pokok-pokok rumbia berdaun lebat tumbuh subur di situ.

“Upin, Adi, hari sudah gelap, jum kita pulang!!!” Ari mengingatkan kedua-dua rakan sekelasnya, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Alor Rambai itu.

“Ah, masih awal lagi ni!” balas Upin sambil memegang jaringnya.

Sementara Upin sudah berada di tengah paya sibuk menyauk ikan dengan penyauk. Ari memegang keranjang hasil tangkapan. Ikan-ikan di dalam keranjang rotan melompat-lompat. Hari itu tangkapan mereka banyak sekali.

Angin senja bertiup perlahan-lahan. Daun-daun rumbia saling bergesekan dan mengeluarkan bunyi berdesir. Terdengar suara unggas hutan di pokok rumbia. Ari mulai gelisah. Peluh deras membasahi keningnya. Padahal udara sekitar sejuk dan segar.

Dia teringat cerita Tok Man bahawa di hutan rumbia ini banyak ‘penunggunya’. Tidak semena-mena Ari rasa menyesal kerana mengikut ajakan Upin dan Adi sebaik pulang dari sekolah tadi. Mereka mengajaknya menangkap ikan di paya hutan rumbia ini.

Ari masih ingat, sewaktu dia menolak ajakan itu, Upin berkata, “Ah, itu kan hanya cerita Tok Man. Tok Man memang suka buat cerita dongeng. Mana ada hantu zaman sekarang ni!!”

Tiba-tiba kaki Ari terasa sejuk. Dia mendadak pucat. Kemudian terdengar suara ketawa Upin dan Adi. Ternyata mereka telah melemparkan lumut ke kakinya.

            “Ha... ha... melamun cerita hantu Tok Man, ya!” ujar Adi.

Ari tersenyum tawar.                 

“Jum pulang! Di paya ni banyak betul ikannya. Besok kita ke sini lagi ya!” ajak Upin sambil mulai mengemas.

Ari tidak bersuara. Dia ingin segera pulang. Dia tidak suka mendengar bunyi gesekan daun-daun rumbia itu. Seperti bunyi orang bersiul tetapi sangat menyeramkan!  Sebelum pulang, Upin mengajak mereka ke sungai dulu untuk membersihkan kaki dari lumpur.

“Kita terus pulang saja,” desak Ari cuba membantah. Dia masih teringat cerita Tok Man, bahawa di sungai itu pernah orang kampung melihat seorang lelaki tua berjubah putih.

“Kenapa?” tanya Upin. “Kita kan kotor ni, berselepat dengan lumpur.”

“Tok Man kata ada lelaki tua berjubah putih di sungai ni,” ujar Ari separuh berbisik.

“Kalau dia ada pun, apa salahnya? Kita bukannya nak ganggu dia,” balas Adi tersenyum sinis.

Kemudian dia mencuci muka, tangan, kaki, serta jaring dari kotoran lumpur.

“Brrr, airnya sejuk betul!” ujar Upin yang juga mencuci kakinya. Tetapi Ari tidak melakukan apa-apa. Matanya berkelintar ke sana ke mari. Mengawasi kawasan sekitar yang ditumbuhi rumpun bambu, pokok-pokok liar dan semak-semak.

Ketika mereka hendak meninggalkan sungai, Ari nyaris menjerit. Dia melihat lembaga putih di atas sebuah batu besar. Entah sejak bila ada di situ.

“Upin, Adi, kamu nampak lembaga itu tak?” tanya Ari dengan suara yang bergetar.

“Ya, aku nampak,” balas Upin sedikit kecut.

“Aku juga,” jawab Adi perlahan-lahan.

Mereka berjalan separuh berlari meninggalkan sungai itu.

            Petang keesokan harinya, Ari pergi ke surau untuk mengaji. Tetapi di perjalanan dia bertemu dengan Upin dan Adi. Mereka juga seolah-olah hendak pergi ke surau. Tetapi ada gulungan jala di tangan Upin.

“Ayuh, ikut kami ke sungai,” ajak Adi. Ari segera menggeleng mengingatkan lembaga putih semalam.

“Kami nak tangkap hantu sungai semalam tu,” jelas Adi tenang. Dia menunjukkan jala di tangan Upin.

“Tapi kita akan terlambat mengaji nanti. Ustaz Hamid tentu akan marah,” ujar Ari. “Semalam pun kita dah kena marah!”

“Tak apa! Yang penting kita harus membuktikan bahawa hantu itu tak wujud,” tegas Adi menyakinkan Ari.

“Ayuh, jangan jadi penakut, Ari!” kata Upin pula.

Akhirnya Ari bersetuju untuk pergi bersama Upin dan Adi.

Setibanya di sungai, hari sudah hampir gelap. Dari tempat mereka bersembunyi di sebalik semak-semak, kelihatan jelas lembaga putih di atas batu itu.

Ari mulai menggigil ketakutan. Udara sejuk membuat dia tambah gementar.

“Kita dekati dia,” bisik Upin. Adi bersedia dengan jala di tangannya. Ari hanya diam dengan bibir bergetar. Lembaga putih itu kelihatan mulai bergerak naik dari sungai.

“Seraaaaang...” Adi dan Upin menyergap lembaga putih itu dengan jala.

Terjadilah pergelutan kecil ketika lembaga itu menjerit-jerit kerana terkejut.

“Hei, lepaskan aku! Apa ni? Kamu berdosa mengganggu orang tua macam aku!” ujar lembaga itu marah-marah.

Ari berasa seperti kenal dengan suara itu. Tok Man dengan sarung putihnya!

“Jaga, aku beritahu Ustaz Hamid yang kamu ponteng kelas mengaji!!!”

“Maaf, tok! Kami ingat tok hantu berjubah putih di sungai ini. Kami ingin membuktikannya,” jawab Ari.

“Hantu berjubah putih?! Mana ada hantu di sini. Setiap petang aku memang mandi di sini. Dan kerana udara sejuk, aku selimut tubuhku dengan kain putih ini,” jawab Tok Man.

“Habis, bagaimana dengan cerita hantu sungai itu?” tanya Upin.

“Itu hanya cerita aku saja. Supaya kamu pergi mengaji di surau dan tak merayau ke mana-mana!”

“Maafkan kami, tok! Kami tak bermaksud nak menyusahkan tok,” ucap Ari ikhlas.

“Iya, sudah, sudah! Aku mahu cuci kaki lagi! Kamu pijak kaki aku tadi!”

Dalam perjalanan ke surau, ketiga-tiga rakan baik itu ketawa berpinak-pinak. Mereka gembira kerana berjaya membongkar rahsia hantu sungai itu. Dan yang paling penting, mereka berjaya mengatasi rasa takut mereka sendiri. Mereka juga berjanji tidak akan merayau lagi pada waktu petang.

 

Rakan Baru

 

“PASTI semalam kamu masak guna bunga kantan,” ujar Kamalia pagi itu sewaktu mereka di sekolah.

Ziela menoleh dengan perasaan yang terkejut. “Kamu....,” kata-katanya terputus. Dia menatap wajah Kamalia lama-lama dengan perasaan yang sungguh hairan.

“Saya kan ada ilmu batin!” kata Kamalia sambil tertawa. “Mampu meneka apapun yang kamu masak setiap hari Ahad.”

“Tiap hari Ahad saya memang selalu bantu ibu saya masak di dapur,” ujar Ziela tanpa berkejip. “Semalam saya membantu ibu saya masam asam pedas ikan pari campur bunga kantan. Bunga kantan memang sedap kalau dimasak asam pedas,” tambahnya polos.

“Oo.. ho!” alis Kamalia terangkat tinggi disertai senyuman manis. “Tetapi, kalau masak asam pedas tanpa bunga kantan pun tidak apa kan? Kita boleh masukkan lobak asin sebagai ganti?”

“Itulah, ibu saya tidak suka pula makan lobak asin. Dia lebih suka makan rebung jeruk dari lobak asin. Sebab itulah, kalau masak asam pedas, ibu saya lebih suka campur dengan bunga kantan,” jelas Ziela terus terang.

“Sesuai dengan kata pepatah ‘tidak ada rotan akar pun berguna’,” balas Kamalia.

“Benar. Lagipun bunga kantan tu sejenis tumbuhan herba yang banyak khasiatnya,” Ziela mengangkat ibu jari tangannya, sementara pandangannya tetap lurus ke wajah Kamalia.

“Sedap ya, enak dan lazat, tetapi jangan pandang saya macam itu! Saya takut... kamu macam nak makan saya saja!” Kamalia menolak lembut sebelah pipi Ziela dengan telapak tangannya. Lantas kedua-duanya tertawa bersama.

Ziela benar-benar gelisah dengan gelagat rakan barunya itu. Ya, Kamalia baru tiga bulan ini menjadi rakan sekelas Ziela. Benarkah Kamalia memiliki ilmu batin? Ziela menggaru kepalanya yang tidak gatal. Lalu tersengih sendiri.

Hari Isnin lalu, Kamalia juga telah meneka dengan tepat, “Semalam kamu masak menggunakan daun kari, kan?”

Ya, Ziela pun menerangkan, dia membantu ibunya membuat kuih siput. Kuih tersebut dibuat dari campuran tepung, magerin planta, garam dan daun kari yang dihiris halus. Campuran tersebut diuli menjadi sebati lalu digentel kecil-kecil sebelum digoreng. Untuk bentuk yang lebih cantik seperti siput, ada acuan khas perlu digunakan.

 “Semalam kamu memasak menggunakan daun pisang kan!”

Hmm, Ziela pun menerangkan bahawa dia membantu ibunya membuat lepat pisang. Lepat pisang ialah campuran pisang yang dilenyek bersama tepung dan gula. Campuran tersebut diletakkan di atas daun pisang kemudian dibalut sebelum dikukus.

Seminggu kemudian, tepat pada hari Isnin, lagi-lagi Kamalia berkata: “Ziela, semalam kamu memasak menggunakan daun selon, kan?”

Kali ini Ziela agak keliru, namun tetap juga membuatkannya terpaku. “Daun selon itu bukan untuk dimasak, tetapi untuk dibuat ulam. Sebenarnya, saya membantu ibu saya membuat kerabu perut lembu dicampur pelbagai tumbuhan herba seperti daun kunyit muda, daun selon, daun limau purut, daun cekor, bunga kantan, pulur serai, bawang, air limau kasturi dan lain-lain lagi. Semua tumbuhan herba itu dihiris halus sebelum dimasukkan air perahan limau kasturi dan digaul sebati. Kerabu perut lembu itu boleh dimakan dengan nasi. Sedap rasanya lagi berkhasiat,” jelas Ziela panjang lebar.

“Kamu makan mentah-mentah?” tanya Kamalia.

“Ya, hanya perut lembu saja yang perlu direbus terlebih dahulu. Yang lainnya semua mentah,” ujar Ziela.

“Macam mana rasanya?”

“Tentulah sedap... eh.. kamu tidak pernah makan kerabu perut lembu ke?

Kamalia menggeleng.

“Kalau kamu nak makan, datanglah ke rumah saya. Bila ibu saya buat nanti, kamu boleh rasa. Memang sedap,” ujar Ziela.

“Kamu ni memang kreatif,” puji Kamalia.

“Bukan saya tetapi ibu saya,” jawab Ziela jujur. “Untuk makanan yang berkhasiat, kita perlu kreatif,”

“Saya memang teringin nak makan kerabu perut lembu buatan ibu kamu tetapi bila ya?”

“Bila ibu saya buat kerabu perut lagi, saya akan jemput kamu,” ujar Ziera.

Kamalia tersenyum senang. “Eh, berbual-bual saja kita... nanti petang kamu saya jemput ya,” tambah Kamalia sedikit serius.

“Dijemput ke mana?” tanya Ziela tercolek ingin tahu.

Kamalia hanya mengangkat bahu penuh rahsia.

Jam lima petang, Kamalia benar-benar muncul di rumah Ziela. Tanpa membantah, Ziela mengikuti saja ke mana arah langkah Kamalia. Ternyata arahnya ke selatan, melintasi lorong-lorong kecil di antara padatnya rumah-rumah di ibu kota. Inilah bandar raya Kuala Lumpur, kota yang padat dengan kenderaan juga penduduk

Tidak sampai sepuluh minit kemudian, Ziela dan Kamalia telah sampai di hadapan sebuah rumah dua tingkat.

“Inilah rumah saya,” jelas Kamalia.

“Eh?” Ziela melongo. “Rumah kamu ni macam pernah saya lihat saja...”

Kamalia tersengih.

“Eh, rumah ini di tepi rumah saya.. kan?”

Kamalia tersengih lagi.

Barulah Ziela sedar yang Kamalia tingal di sebelah rumahnya saja. Tetapi tidak pernah pula diberitahu oleh Kamalia. Memang perahsia betul rakan barunya itu.

“Patutlah kamu tahu apa yang kami masak...” ujar Ziela setibanya di bilik Kamalia di tingkat dua.

Dari jendela, Ziela menatap lurus ke bawah, ke hamparan tanah kosong ditumbuhi pelbagai tumbuhan yang dikelilingi pagar papan tanpa pintu. Konon tanah kosong itu milik ‘orang kaya’ yang kelak bakal mendirikan sebuah pasar raya di situ. Pluk! Ziela menepuk dahinya sendiri.

“Kenapa?” tanya Kamalia kehairanan.

Ziela mencuit lengan Kamalia sambil berkata, “Kenapa tak cakap sejak dulu yang rumah kita bersebelahan?”

“Dan mengapa tak cakap sejak dulu saya sering melihat kamu masuk ke dalam tanah kosong itu melalui pagar papan tanpa pintu untuk mencari pelbagai daun untuk dimasak, begitu?” balas Kamalia tidak boleh lagi menahan ketawanya.

Ziela turut tertawa.

“Kamu suka mengintai, ya?” tukas Ziela disela tawanya.

“Bukan setakat mengintai. Saya juga rajin mencatat resepi-resepi yang kamu masak bersama ibu kamu. Ni lihat,” Kamalia membalikkan badan dan meraih sebuah buku kecil dari atas meja belajarnya.

“Senang betul kerja kamu, ya!” gurau Ziela. Matanya berpijar mengamati catatan resepi milik Kamalia. “Saya harus dapat bayaran ni!”

“Tenang Ziela! Selamat hari jadi,” balas Kamalia sedikit memeranjatkan Ziela. Dengan segera dia menghulurkan sebuah buku cantik yang sama seperti yang dimiliknya. “Untuk mencatat resepi-resepi baru kamu. Resepi-resipi itu perlu didaftarkan, kalau tidak akan ditiru orang!”

Ziela menggaru-garu kepalanya sambil menatap wajah Kamalia. “Kamu ni memang misteri, Lia? Dari mana kamu tahu tarikh lahir saya? Saya sendiri pun lupa yang hari ini hari ulang tahun kelahiran saya...”

“Kan saya ada ilmu batin...” Kamalia terus ketawa.

“Huh,” dengus Ziela. Diterimanya buku cantik dari Kamalia dengan rasa terharu. “Terima kasih banyak, Lia!”

“Eh, kamu tungu sekejap ye!” ujar Kamalia sambil menepuk bahu Ziela. Lantas keluar dari bilik.

Sekembalinya, dia membawa semangkuk kuih siput. Lagi sekali Ziela melongo.

“Sedap tau kuih siput ni,” Kamalia mengambil sebiji dan menggigitnya. Kriukk...

“Siapa dulu yang mencipta resipinya?!” mencelah Ziela seketika kemudian sambil tertawa.

Kamalia turut tertawa.

 

 

Setem Rotterdam

 

ZARHAN kebingungan. Dia membolak-balik kedua-dua album setemnya. Ditelitinya satu demi satu setemnya. Hmm, mungkin setem itu terselit di mana-mana, duganya dalam hati.

Tetapi, beberapa minit kemudian wajahnya kelihatan kecewa. Nampaknya setem itu benar-benar telah hilang. Setem itu dari negeri Belanda, harganya satu Gulden. Di setem itu ada gambar deretan kincir angin di tengah taman yang dipenuhi bunga tulip beraneka warna.

Zarhan mendapat setem itu dari surat kiriman Pak Cik Kamal, adik ayahnya yang tinggal di Rotterdam, Belanda. Zarhan benar-benar merasa sedih dengan kehilangan setem tersebut. Selama ini dia memang penggemar setem. Sudah lebih setahun dia mengumpul setem dari pelbagai jenis dan negara sebagai bahan koleksi.

Bagaimana mungkin setem itu boleh hilang? Hati Zarhan bertanya lagi. Apakah salah seorang dari ketiga-tiga rakannya telah mencuri setem itu? Ah, Zarhan merasa bersalah pula kerana telah menuduh mereka.

Sewaktu di sekolah tadi, Zarhan, Ranu, Doni dan Bobi sepakat untuk tukar-menukar setem koleksi mereka. Mereka sama-sama dalam satu kelas iaitu kelas Tahun 5B dan mempunyai hobi yang sama iaitu mengumpul setem.

Keesokan harinya, Zarhan menceritakan tentang setemnya yang hilang kepada ketiga-tiga rakannya itu.

“Saya ada setem seperti itu. Mak saudara saya yang tinggal di Amsterdam kirimkan kepada saya,” kata Bobi.

“Ehm... saya pun ada juga, tetapi saya membelinya dari seorang penjual setem di hadapan pejabat pos lama seberang Pasar Baru,” Ranu menambah.

Zarhan tambah menyesal, mengapa dia tidak berhati-hati dalam mengurus setemnya sendiri.

Sebaik pulang dari sekolah, Doni menghampirinya.

“Sebenarnya saya ingat, yang ada setem itu hanya dua orang saja. Tetapi saya lupa, dalam album siapa saya ada nampak setem macam itu. Sayang sekali, salah seorang dari rakan baik kita telah mencurinya dari kamu,” kata Doni.

“Tetapi, bagaimana kita nak membuktikannya?” tanya Zarhan.

“Saya ada idea...” jawab Doni.

Doni ingin bertukar-tukar setem lagi, lalu dia menyuruh ketiga-tiga rakannya itu membawa album setem mereka. Di taman sekolah, mereka saling melihat isi album setem masing-masing. Tiba-tiba Doni berkata, “Maafkan saya, Bobi! Saya rasa kamu telah mengambil setem Zarhan!”

Semua terkejut. Bobi segera membantah dengan kuat, “Sedap saja kamu menuduh saya. Mana buktinya?”

“Kata kamu kelmarin, mak cik kamu tinggal di Amsterdam. Tetapi cop setem yang tertera di sini adalah ‘t t e r d a m’,” kata Doni sambil menunjuk ke arah tulisan cop di atas setem. Semua bergantian melihatnya dengan teliti.

“Zarhan, di mana pak cik kamu tinggal?” tanya Doni.

“Dulu di The Hague tetapi sekarang dia dah berpindah ke Rotterdam,” jawab Zarhan.

“Seperti yang saya tahu, perkataan Amsterdam hanya memiliki satu t. Sedangkan Rotterdam memiliki dua t. Jadi, macam ni?” jelas Doni dengan tenang.

Bobi terdiam sambil menunduk.

“Memang saya yang mengambilnya. Maafkan saya, Zarhan!” katanya sejurus kemudian.

Doni menyerahkan setem Belanda itu kepada Zarhan.

“Ini, saya kembalikan setem kamu… gambar di setem ini sangat cantik sehingga saya teringin nak memilikinya, tetapi saya yakin kamu tidak mahu menukarnya,” jelas Bobi.

“Sudahlah, saya sudah memaafkan kamu. Tetapi saya harap kamu tidak akan mencuri lagi. Kalau kamu betul-betul mahukannya, saya akan minta Pak Cik Kamal supaya mengirimkannya lagi. Bagaimana?” Zarhan menawarkan.

“Bagaimana dengan saya? Saya pun mahu juga!” Doni menambah riang.

“Tentu saja. Agar menjadi kenang-kenangan untuk kita,” jawab Zarhan.

“Tetapi, tunggu dulu, Bobi! Mengapa kamu tidak mengambil setem saya ni?” tanya Ranu.

“Buat apa dia nak ambil setem kamu? Warnanya sudah kusam,” jawab Doni.

“Ha.. ha.. ha...,” semua ketawa mendengar jawapan Doni.

“Jaga kamu, Doni!” kata Ranu bernada gerah.

 

 

Pintar Akal

 

HARI ulang tahun Dea kali ini cukup meriah. Ramai rakan sekelasnya bersedia menunjukan kebolehan mereka. Tono menampilkan sebuah lakonan lucu. Dia meniru gerakan kanak-kanak yang sedang membaca buku sambil menonton televisyen, sambil makan coklat, sambil menaikkan satu kaki ke atas meja, sambil matanya melilau ke sana ke mari, bimbang kalau orang tuanya mendadak muncul. Lucu, sekali!

Fitri yang bersuara merdu, menyanyikan dua lagu kegemaran Dea, diiringi permainan organ Uzi. Wow, mereka bagai pasangan artis yang mendapat tepuk tangan paling gemuruh.

“Sebelum berpisah,” kata Tika yang menjadi pengacara majlis, “Mari kita saksikan persembahan Kupin dan Iwan!”

Sekali lagi tepukan tangan bergemuruh memenuhi rumah Dea. Kupin dan Iwan segera tampil. Mereka memakai topi hitam khas pemain silap mata, tongkat hitam, jubah, beberapa helai kain hitam. Ada juga tujuh bendera kertas berwarna-warni.

“Maaf rakan-rakan, ini bukan silap mata, bukan sihir,” Kupin memakai topi hitam yang agak besar. Tangan kanannya meraih tongkat hitam, “Tetapi hanya sebuah permainan penglipur lara.”

Penonton tertawa terpingkal-pingkal melihat kotnya yang labuh sampai ke lutut. Kupin lalu menutup kedua-dua mata Iwan dengan tiga lapis kain hitam. Lalu digiring ke sudut ruangan agak terpisah dari penonton. Kupin sendiri berdiri sekitar tiga meter dari Iwan, bersama dengan penonton.

“Maaf!” Kupin menghampiri Hanif, salah seorang di antara penonton. “Apakah kamu masih boleh melihat bila kedua-dua mata kamu ditutup dengan sehelai kain hitam?”

Hanif menggeleng pasti. Kupin lalu mengulangi pertanyaannya kepada semua tetamu. Dan tidak seorang pun yang berkata boleh.

“Kalau dengan satu lapis saja kita tidak dapat melihat, bagaimana kalau tiga lapis?” lanjut Kupin.

“Buta!” jawab penonton hampir serentak.

“Nah, dalam keadaan buta, Iwan boleh meneka dengan tepat warna setiap bendera yang saya angkat. Ayuh kita mulai.”

Kupin mengangkat tinggi-tinggi sebuah bendera kuning. Mulutnya lalu terkumat-kamit menjampi tongkatnya.

“Simsalabim! Abrakadabra! Kalau kamu benar-benar hebat, cuba teka warna apa bendera ini, Tuan Iwan?”

“Kuning!” jawab Iwan tepat.

Penonton tidak hanya spontan tepuk tangan, tetapi juga geli kerana Kupin memanggil Iwan dengan panggilan Tuan. Kini Kupin mengganti bendera kuning dengan bendera berwarna hijau. Mulutnya terkumat-kamit lagi.

“Simsalabim! Abrakadabra! Habis kamu kali ini Iwan, cuba teka yang ini!”

“Itu mudah saja! Tentu hijau kan!” jawab Iwan tepat.

Penonton saling berpandangan dan kehairanan, lalu kembali bertepuk tangan.

“Mungkin kamu semua curiga Iwan sudah menghafal urutan warna bendera yang saya angkat. Sekarang silakan salah seorang penonton memilih bendera warna yang dia suka,” kata Kupin sejurus kemudian.

Rani segera bangun. Dia memilih-milih sejenak, lalu mengangkat bendera putih.

“Simsalabim! Abrakadabra! Pasti kali ini kamu akan gagal, Tuan Iwan. Kerana kini Rani yang memegang bendera, bukan saya. Nah, apakah kamu masih boleh meneka dengan tepat?”

“Ini lebih mudah. Warnanya seperti kapas! Iya, kan?” Iwan menjawab dengan tepat sekali. Penonton semakin kagum.

Zulhan yang sejak tadi ingin tahu, terus maju dan memilih bendera warna biru.

“Simsalabim! Abrakadabra! Bukan silap mata, bukan sihir! Tuan Iwan, cuba teka warna apa bendera yang diangkat oleh Zulhan?”

“Tentu saja seperti warna langit yang cerah,” jawab Iwan.

“Lagi! Lagi!” penonton semakin ketakjuban.

“Mungkin ada yang curiga kalau kain penutup mata Tuan Iwan tembus pandang,” Kupin berusaha menghilangkan rasa curiga penonton.

Dia lalu minta disediakan selembar kain tuala tebal. Dea, selaku tuan rumah, segera menyediakannya. Dua orang budak lelaki disuruh memegang dan menutup mata Iwan. Kini, mata Iwan ditutup tiga lapis kain hitam dan sehelai tuala tebal.

“Baik! Yang terakhir, saya minta tuan rumah yang memegang bendera!”

Dea bangkit dengan senang hati. Tetapi dia ingin memerangkap kedua-dua pemain silap mata tersebut.

Dia tidak mengambil bendera lain, melainkan bendera yang tadi telah diangkat oleh Rani. Warna putih. Melihat itu, Kupin tertegun sejenak. Raut mukanya kelihatan berubah. Tetapi dia segera kembali bersikap bersahaja.

“Simsalabim! Abrakadabra!” suara Kupin lebih lantang. “Pasti kali ini kamu akan mengalami kesukaran besar, Tuan Iwan! Kerana mata kamu terhalang oleh tuala. Tetapi kamu memang sakti, cuba sebutkan warna bendera yang dipegang oleh Dea!”

“Wah, tuan rumah ini memang sengaja mahu memerangkap kita!” Iwan menggerutu. “Yang ini ‘kan sudah diteka tadi. Tetapi demi tuan rumah yang sedang bergembira, semoga puas dengan jawapan saya yang terakhir. Putih!”

Mendengar jawapan terakhir itu, penonton memberi tepukan yang luar biasa.

Kupin membuka kain penutup mata Iwan tanda permainan sudah berakhir. Rakan-rakannya berpusu-pusu memberi salam dan ucapan tahniah.

Tidak seorang pun tahu bahawa permainan itu memang bukan sihir. Sebenarnya Iwan tidak dapat melihat apa-apa. Selembar kain hitam pun sudah membuatkan matanya buta.

Rahsia permainan mereka terletak pada huruf pertama kata yang diucapkan oleh Kupin selepas kata Simsalabim Abrakadabra. Huruf itu adalah singkatan dari warna yang akan diteka. Misalnya sewaktu Kupin mengatakan:  “Simsalabim Abrakadabra! Pasti kali ini kamu akan mengalami kesukaran besar!”

Iwan hanya menandai huruf P dari kata ‘Pasti’ yang bererti putih. Demikianlah seterusnya. Tentu saja permainan itu memerlukan kerjasama yang rapi dan terancang. Tanpa itu, permainan mereka tidak akan berjaya.

 

 

Tomok

 

SOTONG raksasa itu menggeliat-geliat. Tentikel-tentikelnya yang panjang bergerak ke sana ke mari, menghancurkan apa saja yang ada di sisinya - kereta-kereta, bangunan-bangunan, tiang-tiang elektrik dan sebagainya. Tembakan-tembakan yang diarahkan ke tubuhnya ternyata sia-sia saja. Serangan dari kereta-kereta kebal dan helikopter tempur pun tidak mendatangkan apa-apa hasil. Malah pasukan perang itu seolah-olah tidak tahu lagi apa yang harus dilakukan.

Sotong raksasa itu memang benar-benar ganas. Ini adalah kali ketiga dia muncul dari dasar laut lalu mengganas di mana-mana. Melihat pasukannya kucar-kacir, komandan pasukan akhirnya meminta bantuan Wira Tomok! Sang komandan mengambil sebuah alat berbentuk pistol lalu menembakannya ke atas. Dari muncung pistol keluar sinar berwarna-warni. Itu adalah isyarat warna panggilan untuk Wira Tomok.

Dalam beberapa detik saja, Wira Tomok pun muncul. Dia terbang dengan laju ke arah sotong raksasa. Melihat ada musuh baru, sotong raksasa itu menggerakkan tentikel-tentikelnya untuk menangkap Wira Tomok. Namun wira itu terbang meliuk-liuk hingga sukar untuk ditangkap.

Tanpa menunggu lama, Wira Tomok mengepalkan kedua-dua tangannya. Lalu membuka dan mendorong ke hadapan, ke arah sotong raksasa itu. Dari kedua-dua tangannya, muncul sinar putih yang menusuk tubuh sotong raksasa tersebut.

Baarrrr!!!!!

Sinar laser! Sotong raksasa terguling. Menggeliat-geliat kesakitan, lalu diam tidak bergerak. Seluruh anggota pasukan bernafas lega. Wira Tomok melakukan gerakan terbang tinggi di udara. Lalu terbang ke sebuah bangunan dan berdiri di puncaknya. Tiba-tiba terdengar suara gemuruh. Gempa bumi! Bangunan tempat Wira Tomok berdiri tiba-tiba bergetar hebat.

Bruukkkkkk!!!!!

Wira Tomok terus jatuh. Dari atap bangunan? Bukan. Dari tempat tidur. Dia bukan Wira Tomok. Tetapi Tomok, budak laki-laki berusia sebelas tahun.

Terdengar suara ketawa Amir, sepupu Tomok. Masih dengan mata merah, Amir terkebil-kebil. “Kenapa Mok, mimpi jadi Wira Tomok pahlawan itu lagi ya?”

Tomok tersipu-sipu malu. Tiba-tiba terdengar suara Puan Aishah, ibu Amir.

“Amir, Tomok! Pagi-pagi lagi dah bergurau. Ayuh cepat, sembahyang subuh. Jangan lupa kemaskan bilik tidur!!”

“Iya, bu!” jawab Amir.

Tomok bangkit. Lalu tergesa-gesa mengemaskan tilam tempat tidurnya dan tempat tidur Amir. Selepas itu ke bilik mandi, untuk berwuduk.

Sudah dua bulan Tomok tinggal di rumah Amir. Puan Aishah dan ayah Tomok adalah adik beradik. Jadi, Amir adalah saudara sepupu Tomok. Encik Latif, ayah Amir sengaja mengajak Tomok tinggal bersama mereka. Agar beban orang tua Tomok menjadi ringan.

Kehidupan keluarga Tomok tidaklah sesenang keluarga Amir. Di rumah Amir, Tomok rajin bekerja. Dia memang ingin membalas budi baik Encik Latif dan Puan Aishah. Setiap hari, setelah belajar, Tomok paling suka menonton televisyen. Rancangan kegemarannya adalah filem kartun. Kerana terlalu seronok menonton filem itu, terhingga terbawa ke dalam mimpi.

Waktu sarapan, Amir masih saja mengusik Tomok. Encik Latif dan Puan Aishah hanya tersenyum melihat mereka berdua.

“Lepas makan, Tomok tolong beli paku, ya! Dan Amir, bantu ayah baiki reban ayam,” ujar Encik Latif kemudiannya.

Tidak lama kemudian, Tomok pun pergi ke kedai di hujung jalan. Letaknya agak jauh juga. Ketika pulang, Tomok berehat sejenak di hadapan sebuah rumah besar. Dia bersandar di sebuah kereta yang diletakkan rapat di pintu gerbang rumah itu. Aneh, fikir Tomok. Rasanya, pemilik rumah ini tidak mempunyai kereta seperti itu. Apakah ini kereta tetamu mereka?

Tiba-tiba terdengar bunyi kaca pecah. Dari sebalik pagar tanaman, Tomok melihat beberapa orang lelaki memecahkan kaca tingkap, lalu masuk ke dalam rumah itu. Jantung Tomok berdebar kencang. Kakinya gementar. Mereka pasti perompak. Dan ini pasti kereta para perompak itu, fikir Tomok lagi. Sejenak dia terpaku.

Tetapi beberapa ketika kemudian sebuah fikiran datang ke dalam benaknya. Tomok memasukkan tangannya ke dalam bungkusan dan mengambil beberapa batang paku. Perlahan-lahan dicucuknya ke empat-empat tayar kereta tadi sehingga kempes. Selepas itu Tomok berlari sekuat-kuatnya. Nasib Tomok agak baik. Sejurus kemudian dia menemui dua orang anggota polis yang sedang membuat rondaan dengan motosikal. Kepada anggota polis tersebut diceritakan segala kejadian yang dilihatnya.

Lima belas minit kemudian sepasukan anggota polis datang. Atas maklumat Tomok mereka segera menuju ke rumah yang dimaksudkan. Para perompak itu berjaya ditangkap. Mereka tidak dapat melarikan diri kerana tayar kereta mereka sudah kempes!

Tomok dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.

Menjelang petang baru dia pulang. Encik Latif dan Puan Aishah terperanjat melihat Tomok dihantar oleh dua orang anggota polis.

“Mok, apa yang telah kamu lakukan?” tanya Puan Aishah cemas.

Salah seorang anggota polis itu segera menceritakan semuanya. Tentang keberanian Tomok menghalang satu usaha jenayah pecah rumah. Encik Latif menepuk-nepuk bahu Tomok dengan perasaan yang bangga.

Ketika kedua-dua anggota polis itu pulang, Tomok terus diserbu pertanyaan. Amir, Encik Latif dan Puan Aishah ingin mendengar ceritanya dari awal. Mereka mendengar dengan tenang segala yang diceritakan oleh Tomok.

“Wah, sekarang kamu benar-benar jadi seorang pahlawan, Mok!” kata Encik Latif.

“Hidup Wira Tomok!” seru Amir.

“Tetapi kali ini, musuhnya bukan lagi raksasa yang mengerikan. Tetapi perompak betul!” kata Amir sambil mengerling ke arah Tomok.

Semua tertawa. Tomok tersengih. Kepalanya seperti mahu pecah kerana terlalu bangga.

 

Hati Penuh Kasih

 

TERDENGAR kokokan ayam, terus saja Aisyah membuka matanya, tetapi sejurus kemudian memejamkannya semula. “Ah, masih terlalu pagi!” kata hatinya. Dari lubang angin kelihatan di luar masih gelap. Namun, dia tidak boleh tidur lagi. Dan dia memasang telinganya baik-baik ketika mendengar suara ayah dan ibunya. Kedua-duanya sedang sibuk bekerja di ruang makan yang kebetulan berada tepat di hadapan bilik Aisyah.

Sebelum fajar, ayah dan ibunya harus bangun. Lalu memotong kuih seri muka di dalam talam. Terus memasukkan kuih-kuih itu ke dalam bekas plastik. Jam enam akan ada penjual-penjual kuih yang datang untuk mengambilnya. Begitulah setiap hari, termasuk juga hari Ahad.

“Seharusnya Aisyah dikejutkan dari tidur. Dia boleh membantu ibu,” terdengar suara ayahnya.

“Biarlah, dia masih kecil!” kata ibunya.

“Ah, dah darjah enam takkan kecil lagi!” bantah ayahnya.

“Biar saja dia menumpukan pada pelajaran. Dia juga letih kerana selepas sekolah terpaksa ke kelas tuisyen dan kelas bahasa Inggeris! Tidak lama lagi dia nak ambil peperiksaan hujung tahun!” balas ibunya.

“Abang pun letih juga. Kerja seharian di pejabat, dan pagi-pagi terpaksa bangun bantu kamu buat kuih!” kata ayahnya. Terdengar ketawa ibunya.

“Siapa suruh abang bangun? Kalau mahu tidur, tidurlah. Saya boleh buat semua kerja ni!” kata ibunya.

“Bukan begitu. Abang hanya ingin Aisyah diberi sedikit tanggungjawab. Kalau dia berjaya, kita beri tanggungjawab yang lebih besar. Begitu secara bertahap. Kalau sudah besar nanti dia terbiasa bertanggungjawab!” kata ayahnya. “Abang ni ikhlas bantu isteri tercinta.”

“Oooh, begitu! Baiklah, nanti kita fikirkan cara yang terbaik!” kata ibunya.

Sambil berbaring Aisyah tersenyum sendiri. Betapa besar kasih ibu kepadanya. Dan betapa bijaksana pula ayahnya. Ah, ayahnya juga sangat menyayangi ibunya. Hingga rela setiap hari membantu ibunya pagi hari. Hati Aisyah terasa hangat. Kedua-dua orang tuanya telah bekerja kuat untuk membiayai pelajaran dia dan dua adiknya. Mereka hidup mewah. Bahkan Aisyah boleh menyertai kelas tuisyen bahasa Inggeris dan sebagainya.

Aisyah segera bangun, mengganti baju tidurnya dengan seluar panjang dan blaus, lalu ke luar bilik.

“Pagi bu, pagi ayah! Aisyah mahu belajar bantu ibu dan ayah buat kuih!” kata Aisyah, menghampiri meja makan tempat ayah dan ibunya sedang bekerja.

“Pagi benar kamu bangun hari ini. Tidak mengantuk ke?” tanya ibunya. Sambil bertanya tangannya terus saja bekerja, mengeluarkan kuih seri muka dari dalam talam. Lalu meletakkannya empat keping di dalam bekas plastik.

“Semalam Aisyah cepat tidur. Jadi bangunnya juga cepat!” jawab Aisyah.

“Kamu pasang penutupnya saja!” kata ayahnya. “Pergi basuh muka, gosok gigi, basuh tangan... kemudian baru boleh tolong ayah dan ibu,”

Aisyah terus saja ke bilik air. Beberapa jurus kemudian dia datang semula.

“Boleh buat?” tanya ayahnya

Aisyah tersenyum. “Itu mudah, Aisyah boleh buat. Tetapi Aisyah mahu belajar memotong kuih di dalam talam!” kata Aisyah.

“Kalau nak belajar, belajar dari ibu!” ujar ayahnya sambil terus memasang pelekat pada bekas plastik.

Ibu segera mengajar Aisyah cara memotong kuih seri muka tersebut. Selepas siap dipotong, kemudian mengeluarkan kuih itu dari dalam talam. Aisyah mencubanya. Yang pertama belum begitu baik hasilnya. Masih bengkang-bengkok garisan potongnya. Yang kedua lebih baik. Sehingga lima kali Aisyah mencuba, akhirnya berjaya dengan baik.

“Yesss! Aisyah boleh!” Aisyah tersenyum gembira.

Ibu dan ayahnya tersenyum. “Ha... senang kan!” ujar ayahnya.

“Iya, senang! Ini bermakna belajar juga!” kata Aisyah sambil bekerja dengan penuh semangat.

“Hei, kamu harus mandi sekarang. Lepas tu solat subuh. Cepat, nanti terlambat ke sekolah!” Tiba-tiba ibunya mengingatkan.

Aisyah pun segera bergegas ke bilik air untuk mandi. Perasaan senang meliputi hatinya. Dia sudah merancang suatu kejutan. Besok sekolah cuti, kerana hari Deepavali. Malam harinya Aisyah tidur cepat. Ketika terbangun, suasana masih sepi. Ah, baru jam tiga pagi. Biasanya ibu dan ayahnya bangun kira-kira jam empat.

Aisyah keluar dari bilik. Dia mengatur bekas-bekas plastik di atas meja. Kemudian mulai memotong kuih-kuih seri muka di dalam talam-talam yang tersusun rapi di atas meja. Ternyata makin lama dia semakin cekap mengerjakannya. Aisyah terus asyik bekerja sehingga terdengar bunyi pintu bilik ibu dan ayahnya dibuka.

“Laa, kamu sudah bangun?” tanya ibunya hairan. “Tidurlah lagi, nanti kamu mengantuk di sekolah.”

“Hiii, ibu lupa ya. Ini kan hari cuti!” kata Aisyah. “Jadi Aisyah boleh bantu ibu dan ayah. Kalau hari sekolah, Aisyah bangun jam 5.00 pagi, boleh bantu selama satu jam saja!”

“Siapa yang menyuruh kamu?” tanya ayahnya.

“Tidak ada sesiapa pun. Aisyah hanya mahu belajar sedikit rasa bertanggungjawab!” jawab Aisyah.

Ibu dan ayahnya bertukar pandang, lalu tersenyum. Ibunya memeluk Aisyah dan berkata, “Macam inilah anak ibu!

Aisyah tersenyum, “Anak siaaaapaaa niii!!!!!!!”

Mereka tertawa. Dan tidak lama kemudian ketiga-tiganya sibuk bekerja sambil berbual-bual. Di luar fajar menyingsing. Di dalam rumah, tiga hati yang penuh kasih menghangatkan suasana pagi.

 

Akan Beraksi

 

TANPA sebab-musabab yang jelas, tiba-tiba Dudi berlari ke arah Ina. “Ina, ada sesuatu di rambut kamu!” ujar Dudi.

Mendadak saja Ina terkejut. Menyangka di rambutnya ada ulat, atau lebah, atau serangga kecil lainnya. Tidak sedar, setelah dekat Dudi mencuit hujung rambut Ina seraya menjerit, “Sim salabim!” Tiba-tiba saja muncul setangkai bunga merah di tangan Dudi. Seolah-olah dia mengambilnya dari rambut Ina. Ina tersipu-sipu, walau masih terkejut.

            “Pandai kamu buat silap mata!” kata Ina. Dia berterima kasih ketika bunga itu diberikan kepadanya.

“Eh, Di! Kalau mahu buat silap mata, beritahulah dulu. Biar kami boleh melihat kehebatan kamu!” usul Lusi, juga rakan sekelas Dudi.

“Okey, Lus! Ni, saya mahu bermain silap mata. Sim salabim!” ujar Dudi sopan sekali. Lantas, secepat kilat dia mencuit lengan Lusi. Seakan-akan mengambil sekuntum bunga mawar dari situ. Bunga mawar itu pun diberikan kepada Lusi.

“Macam mana kamu buat, Di? Kamu simpan bunga tu di mana?” desak Lusi.

“Takkan kamu tidak rasa, apa-apa Lusi? Saya menyimpannya di lengan kamu,” ujar Dudi. Tentu saja dia merahsiakannya.

Di dalam kelas pun Dudi sering beraksi. Sengaja menghibur rakan-rakan dan gurunya.

“Dudi, tolong ambilkan kapur dari bilik guru!” pinta Cikgu Latifah. Kapur tulis yang ada di dalam kelas sudah habis.

“Oh, patutlah kotak kapurnya kosong. Anwar simpan di belakangnya, cikgu!” gurau Dudi membuatkan rakan-rakan dan Cikgu Latifah terperanjat.

“Kamu ini aneh, Di!” gerutu Anwar.

“Mana mungkin kapur boleh disimpan di belakang?” ujar Cikgu Latifah kehairanan.

“Silakan lihat buktinya!” tegas Dudi.

Lagi Dudi beraksi. Dari bahagian belakang baju Anwar dia menarik satu per satu kapur tulis, “Satu, dua, tiga, empat...” Banyak sekali kapur yang seolah-olah dia ambil dari belakang Anwar. Jumlahnya empat batang. Terbeliak saja seisi kelas tertawa dan kagum.

“Sudah! Jangan ketawa lagi. Adegan silap mata ini boleh diteruskan lagi waktu rehat nanti. Sekarang, buka buku pelajaran kamu!” Cikgu Latifah menenangkan murid-muridnya.

Aksi-aksi Dudi memang menarik untuk mengurangi ketegangan sewaktu belajar. Rakan-rakannya pun tidak merasa bosan di dalam kelas. Sebab, Dudi suka buat kejutan. Akan tetapi, rakan-rakan sekelas jadi hairan ketika Cikgu Latifah meminta Dudi di Bilik Guru sewaktu rehat nanti. Semua menduga, Dudi mungkin dilarang beraksi silap mata di dalam kelas. Bahkan, mungkin akan dimarahi. Sedangkan, mereka tidak terganggu sedikit pun oleh aksi-aski silap mata Dudi. Ah, semua merasa kasihan pada Dudi!

Sewaktu rehat, Dudi masuk ke Bilik Guru. Sebentar kemudian dia keluar. Rakan-rakannya sudah menunggu di hadapan pintu.

“Bagaimana, Di? Kamu dimarahi cikgu ke?” tanya Anwar.

“Kena marah? Siapa yang kena marah?” Dudi balik bertanya.

Dia lalu menjelaskan. Cikgu Latifah telah menawarkannya main silap mata di atas pentas malam Ahad akan datang. Persatuan Ibu Bapa Dan Guru akan mengadakan majlis ulang tahun. Kebetulan, suami Cikgu Latifah menjadi Yang Dipertua PIBG dan menjadi panitia majlis. Acara hiburannya adalah muzik, tarian, dan silap mata. Tentu sekali Dudi sanggup.

Mendengar cerita itu, Anwar, Lusi, Ina dan rakan-rakan lainnya saling berpandangan sesama sendiri. Sejurus kemudian Anwar berkata: “Sebenarnya, beberapa hari ini saya dan rakan-rakan bercakap hal yang serupa,” Maksudnya, Anwar juga hendak menawarkan Dudi bermain silap mata.

Waktunya pada hari Ahad - siang. Ketika itu ada acara pertandingan melukis kanak-kanak. Ayah Anwar menjadi ketua panitianya. Anwar mengusulkan agar acara hiburan selingan diisi dengan aksi silap mata oleh Dudi. Ayah Anwar setuju.

“Nah, sekarang tawaran itu saya sampaikan pada kamu, Di! Nasib baik jadual kamu belum lagi penuh, ha... ha!” ketawa Anwar.

“Baiklah, baiklah! Tawaran seperti itu mana mungkin saya tolak,” Dudi menyambutnya dengan gembira. Dipandang rakan-rakannya dengan senyuman khasnya, “Terima kasih, ya! Kamu semuanya baik. Ikut memikirkan, bagaimana supaya kemampuan silap mata saya boleh berkembang,” sambung Dudi dengan perasaan yang terharu.

“Kamu juga baik, Di! Kerana menghibur kami setiap hari,” balas Lusi.

Perbualan murid-murid di hadapan Bilik Guru itu terhenti, sewaktu loceng berbunyi. Semua masuk ke dalam kelas dengan gembira. Lebih-lebih Dudi, pemain silap mata kecil itu. Hatinya penuh dengan rasa gembira. Sebab, hari Ahad dan malam Ahad yang akan datang, dia akan mulai beraksi di atas pentas.

 

 

Emak Zuria

 

KADANG-KADANG Zuria suka berangan-angan. Alangkah senangnya hati bila mempunyai emak seperti emak rakannya Salmi, Puan Amiya. Selalu nampak cantik, berkasut tinggi dan bekerja di pejabat. Langsing, rambutnya separas bahu, berombak rapi... atau seperti emak Elsa, Puan Inah yang bekerja di butik pakaian, selalu tampil jelita. Pakaian dan dandanan wajah serasi. Jemarinya indah dengan warna kuku yang berganti-ganti sesuai dengan warna bajunya. Kedua-dua emak rakan Zuria itu bagaikan pelakon drama televisyen.

Tetapi emak Zuria, tak pernah pakai pewarna kuku. Seharian memakai baju kurung dan bertudung rapi. Tubuhnya gemuk pendek, dan selalu kelihatan comot dek abuk dan debu jalanan. Pagi-pagi naik basikal ke pasar untuk membuka gerai buah. Emak Zuria menjual epal, langsat, tembikai dan anggur. Kalau musim duku, dukulah yang dijualnya.

Emak Zuria pakai gincu bibir hanya bila pergi ke majlis kenduri. Sebaliknya ayah Zuria selalu berkemeja lengan panjang, kemas, dan memandu kereta milik syarikat. Dalam hati kadang-kadang Zuria hairan. Kenapa ayah mahu berkahwin dengan emak?

Bahkan ayahnya sangat menyayangi emak. Tiap kali pulang kerja ayah selalu bertanya tentang emak.

Hari ini Zuria pulang dari sekolah lebih cepat kerana ada mesyuarat guru. Tetapi Zuria malas pulang, kerana di rumah hanya ada Pak Usin, tukang kayu yang sedang memperbaiki dapur. “Lebih baik aku ke pasar saja, ke gerai emak!” fikir Zuria.

Zuria jarang datang ke gerai emaknya. Kalau Zuria pulang dari sekolah, biasanya gerai itu sudah ditutup dan emak pun sudah ada di rumah. Turun dari bas, Zuria masuk ke lorong pasar. Pasar mulai sepi. Peniaga-peniaga mulai mengemas. Emak sedang memasukkan buah epal ke dalam kotak.

Di hadapan gerai emak ada peniaga pisang goreng. Seorang budak laki-laki duduk di sisi gerai itu sambil mengelek kotak berisi alatan pengilat kasut. Jelas dia bekerja sebagai pengilat kasut. Pakaiannya kumal, kulitnya hitam.

“Mak, Zuria pulang cepat. Cikgu ada mesyuarat!” kata Zuria.

“Kalau begitu kita boleh pulang sama-sama!” kata Mak Zaidah. “Tunggu sebentar, emak siapkan kerja dulu!”

“Mak, ini anak mak ya?” Tiba-tiba budak pengilat kasut bangkit dan mendekati gerai Mak Zaidah.

“Zuria, ini Ujang. Kerjanya mengilat kasut!” kata Mak Zaidah.

Dengan perasaan yang segan Zuria meluahkan senyum nipis. Dalam hati Zuria kurang senang. Apa kena dengan Ujang ni? Panggil emak Zuria seenaknya. Emak? Emak siapa?

“Pak Usin masih memperbaiki dapur. Emak tak dapat memasak hari ini. Kita makan ayam goreng saja, ya di hadapan sana!” kata Mak Zaidah.

Zuria mengangguk. Hatinya kembali senang, membayangkan ayam goreng, kentang goreng, ais krim.

“Mak, anak mak ni cantik. Suka benar bila diajak makan ayam goreng!” ujar Ujang. Mak Zaidah tertawa.

“Terima kasih. Ujang pun kacak macam Shah Rukh Khan. Ayuh, ikut saja kami makan!” ajak Mak Zaidah.

Zuria melihat mata Ujang berbinar-binar dan wajahnya berseri-seri.

“Betul ke ni, mak? Boleh ajak Udin sama?” tanya Ujang penuh harap.

“Ya, ya, lekas ajak dia ke sini. Kalau terlambat, kena tinggal laa!” kata Mak Zaidah.

Bagaikan anak panah lepas dari busurnya Ujang berlari, meninggalkan kotak pengilat kasutnya di lantai gerai pisang goreng.

“Mak, budak tu panggil emak, bukan ibu atau mak cik? Kenapa ye?” bisik Zuria hairan.

“Biarlah! Ibunya ada di kampung. Penjual sayur, penjual ikan pun sering panggil emak. Apalah ertinya panggilan!” jawab Mak Zaidah.

“Mak, tidak malu ke bawa budak selekeh tu ke restoran?” tanya Zuria lagi. Dia gelisah kalau-kalau bertemu rakan sekolahnya di restoran itu. Emak tersenyum dan menggeleng.

“Zuria, budak-budak itu juga manusia seperti kita. Cuma, mereka kurang bernasib baik. Lihatlah, betapa gembira wajah Ujang kerana diajak makan di restoran. Biarlah sekali-sekala kita memberi sedikit kebahagiaan pada dia!” kata Mak Zaidah.

Tepat ketika emak mengunci gerai dan mengeluarkan basikalnya, Ujang dan Udin pun sampai. Zuria menutup hidung kerana kedua-dua budak lelaki itu berbau hangit matahari. Udin memegang tamborin. Rupanya dia seorang pemuzik jalanan.

“Mak, dapat rezeki banyak hari ni ya, mahu belanja kita? Mak, saya minta paha ayam, ya!” kata Udin tanpa malu-malu.

Mak Zaidah cuma tersenyum, lalu meninggalkan basikalnya pada Pak Karman, penjual pisang goreng.

“Ya, tinggal saja basikalnya di sini. Asal ada upah menjaganya!” gurau Pak Karman. Ujang dan Udin juga turut meletakkan kotak pengilat kasut dan tamborin di situ.

Zuria terperanjat. Ah, emak tidak takut basikalnya hilang. Emak begitu percaya pada orang.

Mereka berempat jalan ke luar pasar. Ketika Mak Zaidah dan Zuria masuk ke restoran, ternyata Ujang dan Udin belum masuk. Mereka bertemu dengan dua orang kawan mereka. Entah pengemis atau pemuzik jalanan, Zuria tidak tahu.

Mak Zaidah memesan makanan dan ketika kedua-dua budak laki-laki itu masuk, Mak Zaidah memberi isyarat agar mereka duduk. Kemudian Mak Zaidah dan Zuria menghantarkan dulang yang berisi ayam goreng, nasi dan minuman ringan pada Udin dan Ujang.

“Kamu cuci tangan dulu di sana,” kata Mak Zaidah. Para pelanggan yang sedang makan memerhatikan emak dan kedua-dua budak lelaki itu. Zuria merasa sedikit malu.

Zuria dan Mak Zaidah kembali mengambil dulang makanan untuk mereka sendiri. Udin dan Ujang belum mulai makan, kedua-duanya berbisik-bisik. Mak Zaidah mendekati mereka.

“Ada apa?” tanya Mak Zaidah.

“Mak, boleh tak, satu dulang ni dibawa keluar untuk Awang dan Seman di luar sana? Nanti dipulangkan balik. Saya dan Udin makan separuh saja! Kasihan mereka, mak!” pinta Ujang.

Zuria terkesima. Walaupun anak jalanan, ternyata Ujang mempunyai rasa setia kawan yang besar. Dia dapat makanan enak, dan dia tidak tergamak menikmatinya sendiri sementara dua kawannya menonton dari sebalik kaca di luar.

“Ajak saja mereka ke dalam. Emak akan pesankan lagi!” kata Mak Zaidah.

“Lagi-lagi menyusahkan mak! Emak kan mesti bayar lagi!” kata Udin dengan wajah yang kesal.

“Oooh, wang emak cukup Din! Hari ini memang Tuhan kasi rezeki pada kamu!” kata Mak Zaidah. Wajah Mak Zaidah berseri-seri dan untuk pertama kalinya Zuria melihat bahawa sebetulnya emaknya memang cantik.

Udin dan Ujang keluar. Mak Zaidah memesan makanan lagi untuk Awang dan Seman. Zuria bangkit untuk menolong emak membawakan dulang. Hati Zuria terharu. Hati emaknya terlalu baik.

Ketika membayar di kaunter, juruwang berkata, “Mak cik baik sungguh. Jarang ada orang seperti mak cik! Mahu mengambil berat soal budak-budak miskin tu!”

“Ah, hanya ini yang mampu saya lakukan!” kata Mak Zaidah tersipu-sipu.

Namun, dalam hati Zuria merasa bangga.

Kemudian mereka mulai makan. Keempat-empat tetamu itu makan dengan lahap sekali. Setelah selesai, mereka mengucapkan terima kasih. Mak Zaidah dan Zuria pulang naik teksi.

Ujang akan kembali ke pasar dan menghantar basikal Mak Zaidah. Ketiga-tiga budak lainnya terus mengemis dan bermain muzik di stesen bas.

Petang hari, Zuria bercerita pada ayahnya tentang emak.

“Sejak dulu memang emak kamu berhati emas. Itulah sebabnya ayah memilih emak kamu jadi isteri ayah!” kata ayahnya dan dia menepuk-nepuk bahu Mak Zaidah.

Zuria tersenyum. Rasa bahagia hangat mengalir di hatinya. Sekali lagi dia melihat emaknya yang sedang tersenyum. Kelihatan cantik, walaupun tidak memakai gincu dan berdandan ala pelakon filem. Emak Zuria yang berhati emas. Dan angan-angan Zuria ingin mempunyai emak seperti emak orang lain terbang entah ke mana.

 


Kerja Otak

 

PENGHUJUNG bulan ini abang Zali mengajak Amir melihat kampung kelahiran Kak Anis, tunangnya. Agar ada teman berbual, Amir dibolehkan mengajak sahabatnya, Zahari. Tentu saja Zahari gembira. Sebab dia juga belum pernah mengunjungi Kampung Guar Chempedak yang berada di utara bandar Sungai Petani.

“Aku sudah dengar daerah itu sangat sejuk dan tenang,” kata Zahari sewaktu kereta yang dipandu abang Zali mulai bergerak laju merentasi Lebuhraya Utara Selatan menuju ke utara.

“Kawasan sejuk dan tenang tu di atas puncak Gunung Jerai,” ujar abang Zali. “Kawasan kampung taklah berasa sejuk kecuali jika musim hujan. Angin yang bertiup dari arah bendang memang menyegarkan,”

“Saya teringin nak minum susu lembu segar. Dan kalau malam hari, kita boleh makan jagung bakar empat rasa,” tambah Amir tidak mahu kalah.

“Empat rasa? Macam mana tu?? Rasa ayam, rasa lembu, rasa...”

“Bukan begitu, Zahari,” ujar Kak Anis sambil menahan senyum. “Jagungnya sebelum dibakar disapu dengan mentega dulu, kemudian disapu pula dengan sambal manis yang pedas. Jadi waktu kita makan jagung bakar itu akan terasa masin, lemak, manis dan pedas.”

Zahari hanya tersengih. Mereka kemudiannya mengisi waktu perjalanan dengan main teka-teki. Banyak teka-teki baru yang dilontarkan oleh Zahari tidak dapat dijawab oleh Amir. Seperti ketika Zahari melontarkan pertanyaan, “Kalau lembu jadi rumput, manusia jadi apa ye?”

“Manusia jadi nasi...”                      

“Sebabnya?”

“Sebab rumput itu makanan lembu, sedangkan nasi itu makanan manusia,” jawab Amir memberikan alasan.

“Salah! Kalau lembu jadi rumput, manusia jadi hairan. Kan menghairankan lembu boleh jadi rumput,” ujar Zahari.

Amir tergaru-garu kepala, sementara abang Zali dan Kak Anis ketawa kecil. Permainan teka-teki mereka terhenti ketika Kak Anis mengatakan bahawa mereka sudah memasuki perbatasan Negeri Kedah Darul Aman.

“Wah, benar kata orang. Kiri kanan jalan menghala ke Alor Star saujana mata memandang dengan sawah padi. Angin yang bertiup segar dan damai. Udara di kawasan bendang mesti sejuk meski matahari bersinar terang. Betul tak?” ujar Zahari sambil memandang ke luar jendela kereta.

“Berbanding di luar, dalam kereta lebih sejuk lagi sebab ada penyejuk udara,” balas Amir.

“Budak kecil pun tahu,” balas pula Zahari sambil menjegilkan biji matanya. Selepas itu matanya terus memerhatikan pemandangan yang ada di kiri kanan jalan. Namun ketika kereta ke luar dari jalan raya menuju jalan kampung, Zahari tercekat melihat sebuah menara usang di sudut satu selekoh. “Rasa-rasanya saya pernah melihat tempat seperti ini,” ujarnya sambil mengerutkan keningnya.

“Deja vu!” balas Kak Anis.

“Apa?” Zahari dan Amir saling pandang memandang.

“Deja vu. Itu perkataan dalam bahasa Perancis. Mereka akan berkata ‘deja vu’ kalau melihat sesuatu yang pernah mereka lihat. Tetapi sebenarnya mereka memang baru pertama kali melihatnya,” jelas abang Zali sambil terus memandu.

“Kenapa boleh jadi begitu, bang?” tanya Amir ingin tahu.

“Ya, mungkin dia pernah melihatnya di dalam televisyen, di dalam mimpi, atau sewaktu berkhayal.”

“Kalau tak salah selepas ini kita akan melewati sebuah jambatan,” ujar Zahari lagi.

“Jangan berkhayal pula! Kamu kan baru sekali ini ke mari,” tukas Amir.

“Apa yang Zahari kata tu memang betul! Tu di hadapan... jambatannya,” balas Kak Anis.

Amir terperanjat. Dia memandang wajah Zahari dengan perasaan yang hairan. “Macam mana kamu boleh tahu?” soalnya sejurus kemudian.

“Saya sendiri pun tak tahu. Tiba-tiba saja saya rasa macam pernah melihat semuanya.”

            “Jangan-jangan kamu sekarang dah berubah jadi macam Nostradamus. Kamu boleh tahu lebih dulu apa yang akan terjadi, seperti cerita yang pernah saya lihat di televisyen,” ujar Amir sambil memegang bahu sahabatnya. “Cuba, teka sekarang, kalau saya dah besar nanti, saya akan jadi apa?”

Zahari memejamkan matanya sebentar. “Jadi tukang sapu sampah,” katanya sambil membuka mata.

Amir terus menjegilkan matanya luas-luas. Zahari ketawa melihat sahabatnya kesal. “Saya bergurau saja. Sungguh, saya tidak tahu kamu akan jadi apa bila dah besar nanti,” kata Zahari meredakan kekesalan Amir. “Lagipun apa yang saya ketahui tadi mungkin secara kebetulan saja. Saya tidak mahu jadi Nostradamus. Saya mahu jadi seorang ahli korporat.”

“Yey, kalau begitu saya pun nak jadi ahli korporat juga!” balas Amir.

Kereta yang mereka naiki akhirnya sampai di halaman sebuah rumah yang basar. Mereka segera turun dan berkenalan dengan kedua-dua orang tua Kak Anis. Pak Debasa ternyata pemilik ladang buah mangga yang luas di Guar Chempedak. Di samping itu dia juga ada memelihara lembu tenusu untuk dijual kepada peniaga-peniaga tempatan. Amir, abang Zali dan Zahari ditempatkan di sebuah rumah kosong yang agak besar juga di sisi rumah Pak Debasa.

Sewaktu petang tiba mereka duduk di beranda sambil menikmati susu segar yang sudah diolah menjadi yoghurt. Kak Anis juga mengolah susu itu dengan tambahan coklat agar tidak terlalu masam.

“Rasanya saya juga sudah pernah berada di tempat ini. Kak Anis, apakah tidak jauh dari tempat ini ada kolam kecil dengan itik serati yang berenang setiap hari di dalamnya?” tanya Zahari sambil menghabiskan yoghurtnya.

“Ya, kolam itu memang ada. Tetapi itik serati yang biasa berenang itu tidak ada lagi. Mungkin sekitar lima tahun lalu kamu boleh melihatnya dan....”

Kak Anis menghentikan kalimatnya untuk berfikir beberapa jenak. Sementara Amir semakin kagum dengan sahabatnya yang iras Nostradamus itu.

“Kakak tahu sekarang, apa sebabnya Zahari seolah-olah pernah datang ke tempat ini,” cetus Kak Anis sejurus kemudian. “Kamu pasti suka baca buku cerita, kan? Ingatkan kembali, apakah kamu pernah membaca buku cerita yang berjudul Kampung Kami Tercinta?”

Zahari berusaha mengingatkannya. “Ya.. tetapi sudah lama. Waktu itu saya dalam tahun lima dulu,” jelasnya.

Kak Anis tersenyum. “Buku itu ditulis oleh bapa saudara Kak Anis empat tahun lalu. Isi buku cerita itu banyak melukiskan keadaan desa ini. Termasuk kolam kecil dengan itik seratinya. Kerana itik serati itu memang milik pak cik kakak. Kamu ingat tak nama pengarangnya? Pujangga Marhaen kan? Itu nama samarannya,” jelas Kak Anis.

Zahari mengangguk-angguk. “Ya, betullah kak! Baru saya ingat sekarang. Bahkan saya juga ingat kembali bahagian cerita buku itu. Tapi buku itu memang bagus betul,” ujar Zahari.

“Ya, begitulah kerja otak kita. Ia akan menyimpan ke dalam bahagian otak yang disebut memori, untuk apa saja yang kita alami melalui panca indera kita. Sesekali apa yang disimpan dalam memori itu keluar tanpa sengaja, seperti yang dialami Zahari hari ini,” abang Zali membantu menjelaskan.

“Wah, kalau begitu tadi bukan satu keajaibanlah! Saya fikir Zahari benar-benar macam Nostradamus. Kan hebat kalau dia boleh jadi brilliant macam tu,” ujar Amir.

“Lebih-lebih lagi kalau saya boleh menyihir. Akan saya sihir kamu jadi itik serati!” balas Zahari.

“Jangan jadi ahli sihir, hukumnya berdosa! Itu bukan pekerjaan yang disukai Tuhan!” tegas abang Zali ikhlas.

Semuanya diam. Amir yang mulanya mahu ketawa akhirnya turut diam.

 

Tipu Aping

 

APING memerhatikan sepasang burung yang sedang membuat sarang di atap rumah Pak Higuchi. Rumah itu sudah lama kosong. Tiba-tiba terdengar jeritan Kak Wia. Aping bergegas ke bilik kakaknya.

“Ada apa, kak?”

Puan Ima juga bergegas datang.

“Itu, ma!” Wia menunjuk dengan jijik ke arah meja belajarnya.

Seekor tikus putih sedang mengendus-endus buku-buku Kak Wia. Puan Ima terus memandang Aping dengan mata menuduh.

“Kamu yang meletakkan tikus putih itu ya, Ping?” tukas Puan Ima.

“Tidak, ma!” balas Aping lirih.

“Habis bagaimana tikus itu ada di sana?”

“Aping lupa menutup pintu sangkarnya, ma!”

“Dengar Ping! Kalau tikus putih kamu berkeliaran lagi, mama akan kirim kepada Pak Cik Pras,” kata Puan Ima dengan tegas.

Aping tersentak. Tidak terbayang jika tikus putih itu jatuh ke tangan Pak Cik Prass. Pak Cik Pras, adik Puan Ima, mahasiswa tahun akhir di Fakulti Perubatan Haiwan. Aping takut tikus putihnya itu akan dijadikan tikus kajian oleh Pak Cik Pras.

Cepat-cepat Aping menangkap tikus putihnya dan membawanya keluar. Tetapi dia sempat mendengar Kak Wia berkata, “Hantar saja pada Pak Cik Pras!! Biar dirasakan!”

Malamnya, Aping melamun di sisi jendela biliknya yang terbuka.

“Tipu, jangan nakal lagi, tau! Aku tidak mahu kamu diberi pada Pak Cik Pras! Dia tu jahat,” kata Aping sambil membelai tikus putih di tangannya. Melalui jendela, Aping memandang ke rumah Pak Higuchi yang telah kosong. Aping terus melamun. Teringat pertama kali dia berkenalan dengan Pak Higuchi dan Tipu.

Waktu itu Aping sedang memerhatikan rumah baru itu. Tiba-tiba dia mendengar suara denting piano yang merdu. Aping pun segera mendekati pintu rumah yang terbuka. Kelihatan seorang lelaki tua sedang menekan tuts-tuts pianonya.

Rambut lelaki itu telah memutih. Matanya sepet dan kulitnya kekuningan. Ketika sedar ada yang sedang memerhatikannya, dia menghentikan petikan pianonya. Dengan segera dia berdiri lalu menghampiri Aping yang sedang berdiri di muka pintu. Senyumannya mesra sekali.

“Siapa nama kamu?” soalnya dengan mesra.

Aping memandang sejenak. “Aprill! Tetapi saya lebih suka dipanggil Aping!”

“Nama yang bagus! Nama saya Higuchi Tokugawa! Kamu boleh memanggil saya… Pak Higuchi,” ujar orang tua itu.

Aping terus berkenalan dengan Pak Higuchi.

“Pak cik sendirian? Tentu sepi?” tanya Aping.

“Tidak! Pak cik ditemani Mang Udil dan Tipu! Kamu lihat orang yang sedang memotong rumput itu? Namanya Mang Udil!”

“Habis Tipu mana?” soal Aping.

“Kamu ingin berkenalan dengan Tipu?”

Aping cepat-cepat mengangguk. Dia menyangka Tipu itu seorang gadis kecil yang sebaya dengannya. Pak Higuchi menuju sebuah meja besar. Di atasnya ada sangkar tikus berbentuk lingkaran. Bila tikus itu bergerak, lingkaran itu pun turut bergerak.

“Nah, ini Tipu! Singkatan dari tikus putih!” tangan Pak Higuchi segera meraih seekor tikus putih dan mengelus dengan sayang. Aping tersenyum. Ternyata Tipu adalah seekor tikus putih. Dengan memberanikan diri dia menyentuh tikus putih itu.

Sejak hari itu Aping sering bermain di rumah Pak Higuchi. Aping diajar main piano dan mengenali alam binatang. Tetapi kini Pak Higuchi sudah kembali ke Jepun kerana tugasnya sudah selesai.

Perpisahan itu membuatkan Aping berasa sedih. Tetapi Pak Higuchi amat menghiburkan hati Aping. Dia memberikan Tipu kepada Aping sebagai kenang-kenangan. Sebagai balasan, Aping memberi sekeping lukisan buatannya berupa gambar seorang tua, seorang budak dan seekor tikus putih. Lukisan itu menggambarkan mereka bertiga. Pak Higuchi gembira menerima pemberian Aping yang sudah dianggapnya seperti cucu sendiri itu.

Kepakan sayap burung malam membuatkan Aping sedar dari lamunannya. Segera dia menutup jendela bilik dan memasukkan Tipu ke dalam sangkar.

Esok paginya, Aping sangat terkejut. Tipu tidak ada di dalam sangkarnya. Dengan cemas Aping berlari keluar bilik mencari Tipu. Tiba-tiba terdengar teriakan Puan Ima memanggilnya. Aping bergegas ke bilik Puan Ima. Kak Wia ternyata sudah di sana. Puan Ima memandang Aping dengan wajah yang geram. Di tangannya ada seekor tikus putih.

Aping termangu.

“Kenapa tikus ini ada di dalam almari baju mama?” tanya Puan Ima dengan nada yang marah.

“Aping tidak tahu, ma!” ujar Aping jujur.

“Hmmm, sesuai dengan perjanjian, kalau tikus ini berkeliaran lagi akan mama bawa kepada Pak Cik Pras,” ujar Puan Ima geram.

“Jangan ma!” cegah Aping.

Tetapi biarpun Aping memohon, keputusan Puan Ima tidak boleh diganggu gugat. Dengan sedih Aping meninggalkan bilik Puan Ima. Kak Wia memandangnya sinis.

Di biliknya Aping menangis sepuas-puasnya.

Sejak Tipu pergi, Aping jadi lebih kurus. Dia tidak pernah lagi kelihatan bermain di halaman. Setiap kali pulang dari sekolah Aping terus masuk biliknya dan mengunci diri. Hanya keluar pada waktu makan. Aping merasa bersalah kerana lalai menjaga pemberian Pak Higuchi. Aping sering bermimpi tentang Tipu.

Kak Wia memperhatikan keadaan Aping. Suatu petang dia masuk ke bilik Aping dan tersenyum manis. Menyampah, fikir Aping.

“Ping, maafkan Kak Wia, ya? Kak Wia sungguh menyesal sering marah pada Aping,” mohon Kak Wia yang duduk di tepi tempat tidur Aping.

Aping membisu. Setelah berfikir sejenak akhirnya dia mengangguk.

“Oh iya, hampir lupa! Kak Wia juga minta maaf pada Tipu!”

“Eh? Kak Wia salah apa dengan Tipu?” tanya Aping kehairanan.

“Ya... kerana Kak Wia yang memasukkan Tipu ke dalam almari baju mama,” ujar Kak Wia.

Aping terkejut mendengar pengakuan kakaknya. Rasanya dia mahu mencakar wajah kakaknya itu. Namun ditahannya kerana kakaknya telah minta maaf.

“Ping, ke bilik Kak Wia, jum!” ajak Kak Wia. “Ada sesuatu untuk kamu!” tambahnya lagi.

Setibanya di bilik Kak Wia, Kak Wia menuding ke arah tempat tidurnya. Aping melihat sebuah kandang tikus berserta seekor tikus putih di dalamnya.

“Tipu!” Aping menjerit gembira.

Dengan cepat dia meraih Tipu dan memeluk tikus putih itu. Tipu mencicit senang melihat tuannya lagi. Kak Wia terharu melihat keakraban Aping dan Tipu.

“Saya sangka dia sudah mati,” kata Aping.

“Nasib baik Pak Cik Pras ada banyak lagi bahan percubaan sehingga Tipu dilupakan! Jadi kak minta kembali dan Pak Cik Pras memberikannya,” jelas Kak Wia.

Aping memandang wajah Kak Wia. Lalu memeluk kakaknya itu dengan tulus.

 

Anak Katak

 

HARI itu cuaca panas terik. Cikgu Azmi mengajar dengan penuh semangat, tetapi tetap saja ada beberapa orang murid yang kelihatan mengantuk.

 “Baiklah, cukup sampai di sini dulu!” kata Cikgu Azmi, guru Bahasa Malaysia. Beliau masih tetap berdiri di hadapan kelas sambil menutup buku murid-muridnya.

“Masih ada waktu lima minit, cikgu!” Fahiman mengingatkan.

“Jangan-jangan Cikgu Azmi nak buat kejutan lagi!” duga Halim.

“Yessss, kejutan!” spontan murid-murid di dalam kelas itu bersorak.

Cikgu Azmi tersenyum. Murid-murid tahun enam ini memang selalu bersemangat, lebih-lebih lagi bila Cikgu Azmi mengajak mereka bermain kuiz dan membawa hadiah.

 “Murid-murid, kali ini ada teka-teki tanpa hadiah, kerana hadiahnya ada di dalam teka-teki itu sendiri!” Ucapan Cikgu Azmi membuatkan semua murid memasang telinga lebar-lebar. “Dengarkan baik-baik. Ada tiga ekor anak katak di atas daun keladi yang sedang dibawa oleh arus sungai. Salah seekornya berkata, ‘Aku mahu melompat ke dalam sungai!’ Soalannya: Ada berapa ekor anak katak di atas daun itu sekarang?”

 “Dua ekor, cikgu! Dua ekor!” jawab Halim, sementara beberapa orang murid juga sudah mengangkat tangan masing-masing. Cikgu Azmi menggeleng. Semua tangan yang terangkat segera jatuh, kecuali Fuad dan Fahiman.

 “Fahiman, berapa ekor?” tanya Cikgu Azmi.

 “Tidak ada lagi anak katak di atas daun, cikgu! Yang dua ekor ikut juga melompat kerana melihat kawannya melompat!” jawab Fahiman.

 “Salah. Itu namanya katak yang suka meniru orang lain!” kata Cikgu Azmi.

“Ya, sekarang giliran Fuad pula!” kata Cikgu Azmi.

“Di atas daun sekarang tetap ada tiga anak katak, cikgu! Yang seekor baru nak melompat, tetapi belum melompat!” jawab Fuad.

Cikgu Azmi bertepuk tangan diikuti murid-murid yang lain.

“Ya, Fuad memang benar. Sering kita mahu melakukan sesuatu, niat baik ada, tetapi cuma setakat diucapkan, tidak dilaksanakan. Itulah hadiah yang terkandung dalam teka-teki tadi. Kalau ada niat baik, perlu tindakan, bukan sekadar niat!” kata Cikgu Azmi menjelaskan.

“Tidak boleh ‘cako’, ya cikgu!” ujar Halim.

“Apa itu ‘cako’?” Cikgu Azmi kehairanan.

“Cakap kosong, cikgu!” jawab murid-murid lain bagaikan suara pasukan koir, disusul dengan ringgg.., ringgg... ringgg... bunyi loceng tanda persekolahan tamat.

Murid-murid pulang. Fahiman sangat terkesan dengan teka-teki tersebut. Tiba-tiba dia teringat banyak perkara yang mahu dilakukannya, tetapi tidak dilakukan juga. Misalnya menelefon Lina, kawan lamanya, membersihkan almari buku, menjahit kancing baju yang putus dan juga melawat Tok Rahim, jirannya yang sedang sakit. Sudah dua minggu Tok Rahim sakit, entah sudah sembuh atau belum.

Setelah tiba di rumah, Fahiman bertanya, “Bu, Tok Rahim sudah sembuh ke belum?”

“Dengar khabarnya, sudah, tetapi belum boleh pergi berniaga lagi! Sudah tua, kasihan dah tua-tua begitu pun masih terpaksa berniaga cari rezeki lagi!” kata Puan Milah.

            “Selepas makan, Fahiman mahu pergi ke sana sebentar, bu!” Fahiman memberitahu.

“Baguslah! Ada kemajuan rupanya. Biasanya kamu banyak kemahuan, tetapi banyak yang tidak dilaksanakan!” kata Puan Milah.

“Fahiman tidak mahu jadi macam anak katak, bu!” kata Fahiman.

“Anak katak?” Puan Milah melongo.

“Nanti sambil makan Fahiman ceritakan!”

Begitulah, sesudah mengganti pakaian dan mencuci tangan, Fahiman duduk di kerusi makan. Sambil menikmati makan tengah hari yang lazat, Fahiman menceritakan teka-teki anak katak kepada ibunya.

Di rumahnya, Tok Rahim sedang duduk di kerusi tamu sambil bertopang dagu. Kedut-kedut di dahinya kelihatan nyata, matanya kuyu dan dia kelihatan lesu.

“Tok, jangan melamun. Kan sudah sembuh!” kata Fahiman. “Ibu bagi telur ni untuk tok dan nenek!” Fahiman meletakkan bungkusan telur di atas meja.

Nek Senah yang sedang melipat pakaian di ruang tamu segera berkata, “Terima kasih laa! Tok kamu tu memang dah sembuh, tetapi fikirannya masih serba salah. Ingin berniaga tapi badan tak kuat. Tak berniaga, duduk di rumah… bosan pula!”

Di sudut ruang rumah sebungkusan plastik berbentuk persegi panjang diam membisu, bagaikan turut merasa sedih. Biasanya bungkusan itu diisi tauhu goreng dan dijual di sebuah gerai di stesen bas oleh Tok Rahim.

“Kalau berat, tidak usah ditanggung atau dipikul. Tolak saja pakai troli, macam troli di lapangan terbang!” saran Fahiman.

“Benda macam itu kan mahal, Man!” kata Nek Senah.

Tiba-tiba Tok Rahim bangkit dari duduknya. Wajahnya berseri-seri dan matanya berbinar-binar. “Tidak, tak mahal. Aku boleh suruh Pak Dolah tukang basikal memasang roda di kotak kayu yang aku ada. Bawahnya dipasang kayu dulu, baru dipasang roda. Jadi kotak tu boleh ditarik! Kamu memang hebat, Man!” kata Tok Rahim dan dia pun mengangkat bungkusan plastiknya, meletakkannya di atas meja, memeriksa kotaknya.

 “Tok pergi dulu, ya. Kalau hari ini boleh siap, besok Tok boleh jual tauhu ni. Walah, walah, kalau minggu lalu kamu datang ke mari, kan bagus!” kata Tok Rahim riang, lalu keluar dari rumahnya.

“Eh, tok kamu ni... tetamu ditinggal!” kata Nek Senah.

Hati Fahiman rasa berbunga-bunga.

“Tak apalah, nek! Saya pun nak pulang, belum siapkan kerja sekolah lagi!” kata Fahiman.

“Kalau begitu, kita keluar sama-sama saja!” ajak Tok Rahim.

Fahiman dan Tok Rahim menuju bengkel basikal Pak Dolah. Tok Rahim menceritakan rancangannya dan ternyata Pak Dolah sanggup. Tok Rahim juga bercerita tentang keresahannya kerana tidak boleh berniaga dan juga tentang kedatangan Fahiman tadi.

“Sekarang juga akan saya kerjakan. Biar Tok senang!” kata Pak Dolah.

“Murid sekarang ni dah pintar-pintar, panjang akalnya. Untung ada Fahiman!”

Fahiman tersipu-sipu dan sejurus kemudian dia memohon diri untuk pulang. Sambil berjalan pulang, hati Fahiman sangat gembira. Ternyata antara berniat mahu melakukan sesuatu yang baik dengan mahu melaksanakannya menjadi nyata adalah sangat jauh bezanya. Diam-diam Fahiman bertekad, “Mulai sekarang aku tidak mahu ‘cako’ dan tidak mahu jadi anak katak lagi!”

Ya, siapa di antara kamu yang suka jadi anak katak?

 

Di Rumah Siti

 

SELESAI sudah Emi menyapu lantai rumah. Di luar, Dian telah menunggu untuk membeli makanan dari gerai bergerak Pak Dahlan.

“Dah datang ke belum?” tanya Emi riang sambil berlari menuruni anak tangga.

“Lari-lari, nanti jatuh baru tahu,” Dian tersenyum dari atas kerusi rodanya.

Ya, dia murid tahun lima di sebuah sekolah kebangsaan. Gerai bergerak Mak Saerah berada di hujung jalan rumah mereka.

Gerai bergerak yang ditolak Pak Dahlan sudah mahu bergerak. Mi dan bulatan-bulatan laksa beras kelihatan menggunung di dalamnya. Ini sudah jam 4.00 petang. Pak Dahlan tentu akan segera membawanya ke stesen bas dan pulang jauh malam. Jadi harus segera kalau ingin membeli.

Siti, anak Pak Dahlan, sedang mengupas bawang merah di atas beranda rumah. Melihat Emi dan Dian datang dia menyapa ramah, “Emi, Dian... mahu beli laksa beras, ya? Belum masak lagi.”

“Laa, kenapa lambat hari n?” tanya Emi.

“Ibu saya sakit lagi. Sekarang bapa saya mahu menghantarnya ke klinik dulu.”

Selesai Emi bersuara Pak Dahlan kelihatan keluar sambil menuntun basikalnya.

“Mahu beli laksa beras, ya?” Pak Dahlan memandang Emi dan Dian. “Tunggu sebentar ya! Siti akan segera masak kuahnya dan menghiris bawang besar,” tambahnya ramah.

Siti bangkit berdiri sambil mengibaskan belakangnya. Bawang besar yang selesai dikupas berada dalam sebuah mangkuk yang dipenuhi air. Siti pernah beritahu bahawa bila direndam demikian, tidak akan pedih mata ketika dihiris nanti.

Emi memapah Dian naik dan duduk di atas beranda. Sementara Siti dan Pak Dahlan masuk ke dalam rumah. Ada dua bilah pisau di situ, Emi dan Dian meraihnya satu-satu. Siti nampaknya juga sedang sibuk dengan kerjanya yang banyak itu. Emi dan Dian menghiris bawang besar di hadapan mereka tanpa diminta.

Tidak berapa lama kemudian, Pak Dahlan dan Siti kelihatan ke luar memapah Mak Sepiah menuju ke basikal di hadapan serambi. Tetapi sebaik saja Mak Sepiah duduk di boncengan, tubuhnya terkulai. Dia kelihatan lemah sekali.

“Saya tidak kuat kalau naik basikal, paknya!” ujar Mak Sepiah lirih.

“Baiklah saya akan memanggil beca. Ayuh naik dulu,” kata Pak Dahlan.

“Mengapa mesti memanggil beca, pak cik? Hantarlah mak cik Sepiah ke klinik dengan kerusi roda saya ni,” ujar Dian tiba-tiba.

Gerakan Pak Dahlan dan Siti terhenti. Segera ditoleh ke arah Dian. Dian mengangguk meyakinkan. Emi bergegas menyorong kerusi roda berhampiran mereka.

“Aaah... kalau begitu... terima kasih banyak,” kata Pak Dahlan setelah sejenak terpana. Rasa gembira dan terharu berbaur menjadi satu.

Mak Sepiah telah duduk di atas kerusi roda. Pak Dahlan menolaknya ke luar halaman, menyusur sepanjang tepi jalan, menuju ke klinik yang letaknya sekitar sepelaung saja dari rumah mereka. Siti berdiri mengawasi dari tepi serambi, hingga ayah dan ibunya membelok dan hilang dari pandangan.

“Kamu turut susah,” Siti menoleh pada Dian dan Emi yang sedang sibuk menghiris bawang besar.

“Ah, tak apa,” ujar Emi dan Dian tulus. “Bawang besarnya tak pedihkan mata,” sambung Emi.

“Iya laaa..” Dian mengiyakan.

Siti tersenyum sambil melangkah ke dalam rumah. Kemudian ke luar semula, dia kelihatan membawa sebiji piring kecil berisi ramuan untuk kuah laksa beras. Ramuan itu dimasukkannya ke dalam periuk kuah yang berada di bahagian belakang gerobok.

Sebaik penutup periuk dibuka, wusss... berkepul-kepul asap panas mengudara dari dalamnya. Selepas itu, Siti masuk ke dalam rumah, dan beberapa waktu kemudian keluar semula.

Begitulah berulang-ulang. Dia sungguh sibuk. Membuat sambal, membuat acar mentimun, menghiris daun seledri, mencuci daun selada, dan entah apa lagi. Yang jelas dia sibuk sekali.

“Nah, bawang besar sudah selesai dihiris ni, Ti!” kata Emi sewaktu Siti memasukkan mangkuk ke dalam laci gerobok.

“Terima kasih!” Siti bergegas melangkah ke dalam rumah, membawa hirisan bawang besar yang menggunung dalam besen untuk laksa nanti. Sementara Emi dan Dian bersandar di dinding beranda sambil berbual.

Beberapa minit berlalu. Selesai sudah semua kerja. Wajah Siti berseri-seri, dia sedia melayani Dian dan Emi. Dalam soal memasak laksa beras pun Siti sudah tahu.

“Wah, rasanya tidak ada beza dengan buatan Mak cik Sepiah atau Pak Cik Dahlan!” Emi bersuara lalu mulutnya berdecap-decap tiada henti.

“Iya ya, Siti pasti jadi seorang usahawan yang berjaya nanti,” gurau Dian. Emi dan Siti tertawa mendengarnya.

Emi dan Dian baru selesai makan laksa beras, ketika Pak Dahlan dan Mak Sepiah pulang. Di dalam hati mereka berdoa agar Mak Cik Sepiah cepat sembuh. Siti dan Pak Dahlan memapah Mak Sepiah masuk ke dalam rumah.

Emi menolak kerusi roda tadi berhampiran tangga beranda. Dibantunya Dian duduk di atasnya. Tidak lama kemudian Pak Dahlan keluar. Di lehernya terkalung sehelai tuala putih berukuran kecil.

Ertinya dia sudah bersedia untuk pergi ke stesen bas. Emi segera menghulurkan lima helai wang kertas seringgit kepadanya. Itu untuk wang laksa beras Dian dan dirinya. Tetapi Pak Dahlan tertawa.

            “Wah, jadi berapa ringgit saya harus membayar sewa kerusi roda dan rasa letih kamu menghiris bawang besar tadi?” tanya Pak Dahlan bergurau sambil menolak wang yang Emi sodorkan.

Emi dan Dian terkesima. Mereka saling berpandangan.

“Kali ini kamu tidak usah bayar. Kita tukar barang saja, ya?” nada suara Pak Dahlan masih saja berjenaka. Lalu menolak gerobok jualan ke tengah halaman.

“Terima kasih, pak cik!” seru Emi setelah sejenak terpana.

“Saya juga terima kasih, pak cik!” Dian menyambung.

Pak Dahlan yang telah sampai di tengah halaman menoleh sekilas sambil tersenyum manis. “Sama-sama!” katanya.

“Terima kasih untuk semuanya Emi, Dian...,” ujar pula Siti yang sudah berada di ambang pintu.

“Sama-sama,” Emi dan Dian menjawab hampir serentak. Lantas kedua-duanya memohon diri untuk pulang. Pulang dengan perasaan lapang kerana perut masing-masing sudah kenyang.

 

MyVy yang Hilang

 

PIN meletakkan gagang telefon. Perasaan gugupnya belum hilang. Ini luar biasa. Tidak sangka dia boleh buat keputusan seperti ini: Menelefon polis.

Tadi sebaik pulang dari sekolah Iwan menumpang kereta Abang Din lagi. Sewaktu sedang berpeluh kepanasan di hadapan sekolah, kebetulan Abang Din lalu. Abang Din adalah jiran hadapan rumah Iwan. Orangnya masih muda. Belum berumah tangga. Baik hatinya. Semua jiran kata begitu. Dia orang muda yang berjaya. Rumahnya paling cantik di taman perumahan itu.

Iwan sering bermain di hadapan rumah Abang Din. Keretanya cantik-cantik belaka. Garajnya yang besar dapat memuatkan tiga buah kereta. Kadang-kadang dalam sebulan ada saja kereta baru yang Abang Din bawa pulang ke rumahnya. Kata Abang Din, kerjanya menjual kereta. Jika ada yang terjual, dibeli lagi satu.

Sudah tentu Abang Din banyak wang. Iwan sering dibelanjanya. Kadang-kadang Iwan diajak jalan-jalan ke pantai atau ke mana saja. Dan Iwan pasti dibelikan sesuatu. Pernah juga Iwan diajak ke pusat VCD. Disuruh memilih sendiri filem kesukaannya. Kadang-kadang VCD itu ditayangkan di rumah Abang Din. Mereka menonton bersama.

Tadi di hadapan sekolah, kereta yang berhenti di hadapan Iwan adalah kereta MyVy perak metalik. Di hadapan Iwan, Abang Din memberi isyarat supaya Iwan naik. Iwan belum pernah melihat kereta ini sebelumnya di rumah Abang Din.

“Kereta baru ya, bang?” tanya Iwan ketika kereta mulai bergerak.

Abang Din mengangguk. “Baru saja diambil dari kilang. Ada bau kereta baru, kan?”

Menurut Abang Din, setiap kereta yang baru dibeli harus diservis. Ini dilakukan supaya tidak ada sebarang kerosakan sebelum sampai ke tangan pembeli.

“Wah, kalau begitu duit abang tentu banyak, ni,” puji Iwan.

Abang Din ketawa. “Ah, kamu ni.. okeylah! Nanti petang abang belanja ya! Jangan ke mana-mana, tau! Ha, kamu turun di simpang jalan tu saja, ya. Abang mahu ke bengkel,” kata Abang Din lagi.

“Apa yang nak diservis lagi?” tanya Iwan.

“Iya, nak pastikan minyak hitam, minyak berek dan semuanya cukup. Semuanya harus dalam keadaan baik, sebelum diambil pembeli,” terang Abang Din.

Tiba-tiba Iwan perasaan sesuatu. Dia segera menoleh ke tempat duduk belakang. Oh ya! Bahagian belakang kereta ini, sama macam kereta ayah Hazim dulu? Iwan kini menebar pandang ke seluruh ruang kereta. Ya! Dalamannya berwarna kelabu gelap.

Pada dashboard di hadapannya, tatapan Iwan terhenti. Di situ ada bekas tempelan sticker. Iya! Pada cuti lalu, Iwan dan Hazim menempelkan sticker monster game di dashboard. Sticker yang mereka dapat dari dalam bungkusan makanan ringan.

Setelah turun di simpang jalan, Iwan tertanya-tanya. “Tetapi, kereta itu bernombor plat negeri Johor. Ah, pasti sudah diganti dengan nombor plat yang baru! Ini kereta MyVy milik ayah Hazim, rakannya yang tinggal di Rawang, hilang empat minggu lalu!” Iwan menjerit dalam hati. Tangannya mengepal.

Tetapi Abang Din? Apakah mungkin? Rasanya semua penghuni di lorong tempat tinggalnya tidak akan percaya jika menuduh Abang Din pencuri kereta. Abang Din sudah dua tahun tinggal di sini. Semua mengenalinya sebagai orang baik-baik.

Kemudian Iwan tidak mampu menahan kakinya melangkah menuju sebuah balai polis terdekat, untuk membuat laporan polis. Jika Iwan tidak salah membuat tuduhan, bererti kereta ayah Hazim akan dapat kembali. Jika salah, Iwan akan minta maaf daripada Abang Din. Dan, di dalam laporan dia memohon pihak polis menyembunyikan identitinya supaya keselamatannya terjamin.

Empat jam setelah sampai di rumah, Iwan lebih banyak berada di ruang tamu. Melalui kaca jendela dia mengawasi rumah Abang Din di seberang jalan. Lebih kurang pukul empat Abang Din pun pulang. MyVy perak metalik itu berhenti di hadapan pagar. Abang Din turun untuk membukakan pintu. Iwan jadi berebar-debar. Apakah polis akan datang?

Belum sempat Abang Din masuk ke dalam kereta, dua buah kereta Honda Civic putih berhenti di hadapan rumahnya. Kelihatan ada enam orang lelaki bergegas turun dari dua kereta itu. Dada Iwan makin berdegup kencang. Meskipun mereka tidak berpakaian polis, dari rambut dan penampilan mereka Iwan dapat mengagak memang mereka adalah anggota polis.

Iwan tidak tahu apakah Abang Din telah dibawa ke balai polis atau tidak. Sehingga hari gelap, Abang Din tidak datang menjemputnya. Padahal kalau berjanji, Abang Din tidak pernah mungkir.

Sepuluh hari selepas itu, rumah Abang Din seperti tidak berpenghuni. Dan suatu hari, Hazim menghubunginya dari Rawang. Dia dengan gembira memberitahu bahawa kereta MyVy ayahnya sudah ditemui semula. Sekarang ada di balai polis Teluk Intan.

Ceritanya, sewaktu kereta itu diletakkan di sebuah tempat letak kereta di Kuala Lumpur, kereta itu telah dicuri orang. Kata Hazim, pencurinya telah berjaya ditangkap bersama beberapa buah kereta curi lain.

Pencuri kereta itu memang licik. Sudah bertahun-tahun tidak berjaya dikesan oleh pihak polis. Sehingga suatu petang, pihak polis menerima panggilan telefon dari seseorang tentang pencuri tersebut. Tempatnya di Teluk Intan.

“Itu tempat tinggal kamu,” ujar Hazim.

Iwan tersenyum. “MyVy tu dah dibawa pulang?” soalnya.

“Belum boleh dibawa pulang. Dan kata ayah saya, catnya sudah diganti oleh pencuri dengan warna perak metalik. Dulu hijau cerah!” jawab Hazim.

“Ye ke?”

“Iya. Mahu dijual barangkali. Dan nombor platnya telah ditukar dengan nombor plat Johor,” tambah Hazim.

Iwan merasa lega. Takkan dia mahu menceritakan pada sesiapa pun tentang semua ini. Dan selepas itu ramai penduduk taman berbual tentang Abang Din. Iwan tidak mahu ikut menyampuk. Tetapi dia amat kesal, kenapa pencuri itu kenalan baiknya. Kenapa mesti lelaki yang bernama Abang Din. 


DIORAMA RINDU

Melati, kali ini kau datang dengan tangkaimu
dalam rindu menuakan hati
dalam pilu sering dikunyah waktu
“kita terlanjur menabung derita
sepanjang jangkau cinta,”
maka kutitipkan haus hatiku
dalam kepucatan kelopakmu
kerana di sana akan kau temui aku
sebagai warna yang telah kau jaga
di sekujur liku bangsamu
putih atas belukar zamrud

SMAHADZIR
3/3/2007

 

MAKNA PERJUANGAN HIDUP

Ingin sekali kubunuh diriku
iaitu diriku yang membunuh aku
akanku koyak mereka yang ada dalam diriku
iaitu diriku yang curang
ketika lading menusuk hati
air mata terurai
ketika hati membusuk
lidah kelu tidak bertulang

 

SMAHADZIR
4/4/2008

 

JINGGA


Telah kubawakan jingga yang kucuri dari senja
untuk mengganti warna bajumu yang telah lusuh kerana dosa
telah kubawakan jingga yang kucuri dari purnama
untuk mengganti warna kerudungmu yang pucat kerana dunia
usah kau fikirkan senja tanpa jingga
ia akan mengalah sewaktu lengkung malam mulai rebah
tidak usah kau fikirkan purnama tanpa jingga
bukankah tidak ada yang merindukan purnama itu
bukankah lebih baik jika jingga itu kucuri saja
lalu kujadikan hijab untukmu
biarlah purnama kehilangan jingga
tidakkah cahayanya telah redup oleh gemerlap lampu kota
jika jingga yang kuhantar
tidak cukup untuk membuatmu berbinar
tidak akan kucuri lagi jingga dari sang fajar


SMahadzir
21/1/2006


PADA SUATU MALAM

Dia mengawasi langit
ketika itu kelam
bagaikan juntaian jubah lebar hitam
menyita kata-kata pada malam itu
sekian jam terbuang
namun dengan setia
dia tengadahkan kepala
sambil tetap mengawasi
kalau-kalau ada sesuatu berubah
“barangkali bukan malam ini,” katanya lirih
sementara itu satu bintang
susut dan pudar
mengasing dari konstelasinya

SMAHADZIR
4/6/2006


SEPERTI PUNGGUK

Aku bertengger atas awan
seperti pungguk
rindukan rembulan
kutatap langit kosong
kukepakkan sayap
mengundang buluh perindu
aku adalah pungguk rindu
pada kekasihku
jauh di langit senja

SMAHADZIR
5/4/2007


HATIKU

Laksana pasar lalu-lalang sesak
tiada yang kukenal
bersuara dengan bahasa
tak dapat kuterjemahkan
menyapa asing
bagai pendatang baru
asing

Laksana pelabuhan turun naik barang
bukan milikku
kapal bergantian datang
bukan kapalku
ratusan tubuh manusia
berbicara kasar
bukan kebiasaanku

Laksana malam seluruhannya kelam
tanpa celahan sinar
tanpa jendela mengelih rembulan
hanya sepetak kotak
tanpa lubang
gelap

Laksana gurun siang panas garing
tiada rendang pepohonan
debu-debu tebal
jadi penutup asri
derap kaki-kaki kuda
hentak jalan
gembel berkeliaran
undang penat
lemah

Hatiku mengundang bidadari
turun bersama pelangi
dan mewarnai
dengan warnanya

SMAHADZIR
23/5/2006


Buruk Sangka

 

“KAK, boleh tak pinjam ballpen kak satu. Ballpen saya dakwatnya dah habis,” Ena seolah-olah merayu kepada kakaknya.

Leha menggeleng. “Kakak pun nak pakai juga!”

“Kak kan sedang melukis!” balas Ena.

“Memang. Tapi besok kakak ada ujian. Kalau dakwatnya habis ketika sedang ujian, bagaimana?” ujar Leha.

“Laa… kak! Pinjam sekejap saja, sikit saja ni, saya sedang buat kerja rumah. Malam nanti saya ganti dengan ballpen baru,” Ena merayu lagi.

“Kalau kamu mahu beli, pergilah beli sekarang saja. Kenapa harus tunggu sampai malam pula?” tanya Leha.

“Dasar kedekut!” Ena mencemek dan merajuk.

Selalu saja begitu. Buku, pensil, ballpen, selalu saja jadi bahan pertengkaran. Leha memang kedekut.

“Kenapa tak mahu berusaha memenuhi keperluan sendiri. Selalu menyusahkan orang lain saja!” Leha bersungut ketika Ena sudah pergi.

Tangan Leha sibuk menyelesaikan sketsa gambar yang ditugaskan oleh gurunya.

“Yahuu, sekarang tinggal nak warna saja,” kata Leha sambil segera meraih kotak cat air yang terletak di hujung mejanya. Dan… “Alamak! Kenapa aku boleh lupa ni…” Leha terbelalak memandangi tiub cat air yang sudah kempes itu. Satu per satu dipicit-picit. Kering semuanya. Leha lupa bahawa cat airnya sudah habis. Dia menggunakannya untuk mewarnai gambar Mickey yang dia lekatkan di dinding bilik.

“Aku rasa Ena ada cat air!” Leha bergumam. “Eh, buat apa nak pinjam dari Ena. Itu bererti memberi kesempatan kepadanya untuk meminjam barang-barangku. Aku beli saja, ah!” Dengan segera Leha bergegas keluar dari biliknya. Di pintu hadapan tiba-tiba dia berpapasan dengan Ena.

“Mahu ke mana kak?” Ena hairan melihat kakaknya terburu-buru seperti itu.

Leha menunjuk ke arah hadapan tanpa menjawab.

“Kakak lapar ya, mahu beli pisang goreng ye...” Ena sekadar menduga.

Leha mendengus. “Makanan saja yang ada di fikiran kamu. Kak nak beli cat air!”

“Kak...” Ena mahu mengucapkan sesuatu tetapi tidak jadi sebab Leha sudah tergesa-gesa keluar dari rumah. “Hairan, Kak Leha tak pernah mahu minta bantuan dari aku. Kalau dia beritahu aku, pasti aku akan beritahu yang di kedai depan itu tak ada cat air. Dan aku akan pinjamkan cat airku,” Ena bergumam sendiri.

Di dalam bilik Ena menimang-nimang cat air miliknya. “Kak Leha pasti dimarahi cikgu kalau lukisannya tak siap. Aku harus menolongnya. Tapi… biar saja ah! Dia pun kedekut,” Ena memasukkan semula kotak cat airnya ke dalam laci meja. “Tapi kata emak, kita tak boleh membiarkan orang yang memerlukan pertolongan dalam kesusahan,” Ena segera mengeluarkan kembali kotak cat airnya.

“Kupinjamkan… jangan… pinjamkan… jangan….” Ena mengira-ngira jarinya. “Ah… kupinjamkan saja. Kasihan Kak Leha…..”

Dengan berjingkat-jingkat dia masuk ke dalam bilik Leha lalu meletakkan kotak cat air itu di atas meja belajar kakaknya. Tetapi belum sempat Ena keluar dari bilik tersebut, Leha sudah pulang sambil tercungap-cungap.

“Berani kamu masuk bilik kakak tanpa izin. Kamu mahu apa?” Leha terus marah.

“Er... er...” Ena tergagap-gagap.

“Ayuh keluar!” Leha segera menolak Ena keluar dari biliknya sebelum adiknya itu sempat memberi penjelasan. Leha menutup pintu dengan kasar, lalu menghempaskan tubuhnya di atas kerusi sisi katil.

“Uh! Apa yang harus aku lakukan. Lukisan perlu disiapkan. Di kedai tak ada cat air. Pinjam dari Ena? Ah, tak naklah!! Eh, apa itu?” Mata Leha tiba-tiba terpandang pada sebuah benda di atas meja belajarnya. Kotak cat air. Dia sangat terkejut ketika membaca sebaris nama di atas penutup kotak itu. “Ena…” Leha berbisik. “Ena masuk ke bilikku untuk meminjamkan cat air ni… Ah, pasti ada benda yang dimahunya…!” Leha meraih kotak cat air, lalu bergegas menuju ke bilik Ena.

“Kakak tak memerlukan ini. Kamu pasti ingin pinjam ballpen kakak kan,” ujar Leha sambil meletakkan kotak cat air di atas meja Ena.

Sejenak Ena tercengang kemudian menggeleng.

“Kenapa kamu renung kakak macam tu?” tanya Leha seolah-olah kurang senang.

“Saya dah beli tadi. Ini!” Ena mengacungkan ballpen yang baru dibelinya.

“Habis, kenapa kamu masuk ke bilik kakak?” tanya Leha.

“Saya nak pinjamkan cat air itu kerana saya tahu kak pasti memerlukannya,” ujar Ena.

“Kamu….?” Leha menatap wajah Ena lama-lama.

Ena sekadar mengangguk.

“Err, betul ke apa yang kamu katakan tu?” Leha bagaikan kurang percaya.

“Pakai saja, isinya masih banyak!” balas Ena bersahaja. “Saya ikhlas demi kakak yang saya sayang,”

Leha agak serba salah dan ragu-ragu.

Ena mengambil dan meletakkan kotak cat air ke tangan kakaknya. Malu-malu Leha meraihnya, lalu memeluk Ena erat-erat. Leha menyesal kerana selama ini selalu berprasangka buruk terhadap adiknya. Bahkan juga pada orang-orang di sekelilingnya. Hari ini Leha telah sedar. Jika tidak kedekut, hidup jadi lebih menyenangkan.

 

Rasa Dihargai

 

SUDAH tiga hari ini Iqah tidak melihat Mak Odah sewaktu melewati rumahnya. Mak Odah yang sudah tua itu menghuni rumah kecil di sudut Lorong Margacinta.

Setiap kali pulang dari sekolah, Iqah melihatnya sedang duduk di beranda. Iqah selalu menghampirinya. Memerhatikan Mak Odah mengikat manik-manik. Biasanya mereka akan berbual sebentar.

“Apa pelajaran kamu hari ini, Iqah?”

“Berapa markah Matematik, bahasa Inggeris…?”

“Apakah cikgu sudah mengingatkan kamu yang minggu depan ada ujian?”

Iqah bertanya pada emaknya, mengapa Mak Odah sangat mengambil berat soal pelajarannya. “Mungkin kerana Mak Odah itu dulu bekas guru,” kata Mak Mah.

“Oh, begitu! Kadang-kadang saya rasa malas nak menjawab pertanyaannya, mak!”

“Walau malas, tetaplah ramah dan sopan dengannya. Kasihan Mak Odah itu. Dia tinggal sendirian di rumahnya. Anak-anaknya tinggal jauh. Ada yang tinggal di Johor, di Alor Setar, di Pulau Pinang…” ujar Mak Mah.

“Mengapa Mak Odah tak mahu ikut anak-anaknya, mak?”

“Katanya, dia tak mahu meninggalkan tanah pusakanya.”

“Apa itu tanah pusaka?”                           

“Tanah peninggalan orang tua.”

Ooo! Sekarang, Iqah berdiri di luar pagar besi rumah Mak Odah. Dia sudah rindu pada Mak Odah. Matanya tertuju ke pintu rumah Mak Odah. Ya, seperti kelmarin dan hari sebelumnya, pintu itu terkunci rapat. Sejak kelmarin Iqah ragu membuka pintu pagar besi itu. Rasanya tidak sopan.

“Eh, Iqah sedang buat apa tu?” tiba-tiba Pak Kudin menegurnya.

“Eh, pak cik…” Iqah agak tergagap. “Mak Odah ke mana ya? Sudah beberapa hari tak kelihatan.”

“La, memangnya kamu belum tahu? Mak Odah dibawa ke Johor Bahru oleh anaknya yang baru datang dari sana. Kan Mak Odah kena sakit jantung…”

“Sakit jantung?” Iqah teringat kepada arwah ayahnya. Ayahnya juga kena sakit jantung dan… meninggal dunia. Oooh…

“Tiga hari lalu, kami jumpa Mak Odah pengsan. Kebetulan malam itu anak Mak Odah, baru datang dari Johor. Jadi Mak Odah terus dibawa ke sana untuk dirawat…”

Iqah pulang dengan hati yang gundah. Mengapa Pak Kudin tidak memberitahu orang lain tentang Mak Odah? Bukankah semua warga sekitar Lorong Margacinta mengenali Mak Odah? Ada yang pelik, fikir Iqah.

“Bukan begitu,” bantah Mak Mah. “Kata Pak Kudin, anak Mak Odah sudah berpesan agar dia tak menyebarkan berita tentang Mak Odah…”

“Itu kan pelik!” tukas Iqah. “Orang sakit, kenapa tak boleh diberitahu? Bukankah itu baik. Supaya ramai yang akan melawat Mak Odah di hospital.”

“Ya, itupun kalau penyakitnya tak seteruk Mak Odah,” Mak Mah mengingatkan.

Iqah terdiam. Dia tahu, pesakit jantung akan ditempatkan di bilik khas. Yang boleh melihat hanya keluarga terdekat saja. Ya, mungkin itulah alasan mereka, fikir Iqah.

Untuk menghilangkan rindunya kepada Mak Odah, Iqah melakukan sesuatu. Dia mengingatkan kembali cara mengikat manik-manik yang diajarkan oleh Mak Odah. Iqah cuba membuat rantai dari manik-manik yang dibelinya di pasar.

“Rantai ini kamu yang buat?” tanya Mak Mah seolah-olah ragu.

“Masih banyak lagi yang akan saya buat, mak!” ujar Iqah.

“Siapa yang ajar kamu ikat manik-manik ni?”

“Mak Odah. Oh ya, belum ada khabar dari anaknya, mak?”

“Belum. Tapi Pak Kudin dah janji akan memberitahu kita kalau ada berita terbaru tentang Mak Odah.”

Ya, semoga doktor akan berjaya mengubati penyakit Mak Odah, doa Iqah.

“Kalau dah banyak, emak mahu menjualnya di bilik guru,” kata Mak Mah kembali memerhatikan rantai manik-manik hasil buatan tangannya.

“Takkan rakan-rakan emak mahu?”

“Kenapa tidak? Rakan-rakan emak kebanyakan ada anak sebaya kamu. Tentu mereka menyukai hasil tangan kamu. Asal, harganya jangan terlalu mahal…”

Iqah jadi bersemangat. Diam-diam dia membuat pelbagai hasil tangan dari manik-manik. Ada rantai, gelang, dompet kecil, bahkan hiasan dinding. Selepas itu, dia menyerahkannya kepada emaknya.

“Waaaah, bukan main! Laris betul, Iqah!” kata Mak Mah sebaik pulang dari kerja. Dia menyerahkan hasil penjualan kerja tangan Iqah. “Tapi jangan lupa belajar, ya? Minggu depan kan Iqah ada ujian bulanan.”

“Tentu, mak!” Iqah berjanji. “Lagipun, saya tak mahu memperlihatkan nilai-nilai yang tak baik pada Mak Odah nanti.”

“Oh ya. Sekarang Mak Odah dah pulang ke sini dan dah boleh terima tetamu. Tadi anaknya ada telefon emak. Katanya, Mak Odah ingin bertemu dengan kamu,” ujar Mak Mah.

“Oh, syukurlah…” Iqah mengucap syukur kepada Tuhan. Setelah hampir dua bulan, akhirnya Mak Odah berjaya mengharungi masa kritisnya. Wajah Mak Odah berseri-seri dan senyumnya mengembang melihat kedatangan Iqah. Menurut anaknya, Mak Odah mengalami sakit jantung kerana terkejut mendengar khabar buruk. Cucu Mak Odah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Johor Bahru. Akibat sakit jantung itu kedua-dua kaki Mak Odah jadi lumpuh. Tetapi, semangatnya kelihatan tinggi sekali.

Lebih-lebih lagi sewaktu Iqah menunjukkan hasil kerja tangan dan markah-markah ujian bulanannya. Iqah mengatakan semua itu berkat jasa Mak Odah. Wajah perempuan tua itu semakin berseri. Dia merasa amat dihargai oleh Iqah yang sebaya dengan arwah cucunya.

 

Tembikar Palsu

 

ZAIRI amat gembira kerana diajak oleh Imran bercuti ke kampung halamannya. Sudah lama dia ingin melihat kampung Imran di Kedah itu. Sebab Imran selalu bercerita mengenai keindahan pantai Kuala Kedah. Sebaik tiba di kampung itu, Zairi berasa amat takjub melihat pemandangan di hadapannya. Hamparan laut dengan pasir yang berwarna putih, sungguh cantik mempersonakan.

“Benar-benar indah,” puji Zairi kagum.

“Ya, lebih-lebih lagi kalau kita ke Kuala Kedah. Kita boleh makan laksa yang terkenal itu. Bahkan di sana ada bekas sebuah kota lama zaman penjajah,” jelas Imran.

“Petang nanti kita ke sana, kita boleh lihat matahari tenggelam. Sekarang kita berehat dulu sambil minum air kelapa muda.”

“Boleh juga,” balas Zairi gembira kala mendengar kelapa muda.

Mereka segera berehat sambil menghabiskan air kelapa muda yang dipetik Pak Din, bapa saudara Imran.

“Selain ke pantai, kita boleh pergi ke mana lagi?” tanya Zairi ingin tahu.

“Kalau mahu lihat yang aneh, ayuh kita ke kampung nelayan,” ajak Pak Din.

“Apanya yang aneh?” tanya Zairi.

“Dua hari lalu ada seorang nelayan telah menemui sebiji tembikar China dari dasar laut. Nelayan itu kemudiannya bermimpi didatangi seorang tua dari Negeri China. Dalam mimpinya, orang tua itu berkata bahawa tembikar itu ajaib. Boleh mengabulkan permintaan sesiapa saja, asalkan memasukkan wang ke dalam tembikar itu.”

“Wah, menarik juga. Pak cik pernah ke sana?” soal Zairi.

“Ah, pak cik tak begitu percaya cerita seperti itu. Tapi orang kampung ini dan kampung lainnya ramai yang ke sana,” ujar Pak Din.

Zairi menoleh ke arah Imran. “Petang nanti kita pergi melihat tembikar ajaib itu, ye!” ajak Zairi.

“Boleh. Kebetulan pekan Kuala Kedah tak jauh dari sana. Eh, kamu percaya ke pada keajaiban tembikar China itu?” tanya Imran.

“Tentu saja tak. Saya cuma ingin melihat tembikar itu saja,” ujar Zairi.

Pukul empat petang mereka bergegas menuju ke kampung nelayan tersebut. Tidak sukar mencari rumah nelayan pemilik tembikar ajaib itu. Ramai orang yang datang ke rumahnya.

“Kalau ingin minta sesuatu, harus dengan segera. Katanya minggu hadapan tembikar itu mahu dibeli oleh orang Kuala Lumpur,” terdengar bisik-bisik di antara pengunjung.

Setelah menunggu cukup lama, Zairi dan Imran akhirnya mendapat giliran. Pak Aman, pemilik tembikar itu agak terkejut melihat Zairi dan Imran. Baru kali ini dia menerima tetamu kanak-kanak yang berusia sekitar dua belas tahun.

“Kami dari Kuala Lumpur, pak cik! Sengaja datang untuk minta tolong pada tembikar ajaib tu,” Zairi dengan segera mempamerkan wang sepuluh ringgit di tangannya.

Nelayan itu segera mempersilakan Zairi dan Imran masuk ke sebuah bilik kecil berdinding buluh. Di sudut bilik itulah mereka melihat tembikar tersebut diletakkan. Ukurannya agak besar juga. Sekitar setengah meter tingginya. Ada lukisan perempuan bermata sepet dengan rumpun-rumpun buluh! Seperti umumnya lukisan China, ada tulisan China di sisi lukisan itu.

“Katakan apa saja permintaan kamu, dan masukkan wang ke dalam tembikar itu,” ujar Pak Aman.

Zairi menyeluk poketnya. Namun ketika dia mengeluarkan wang, tiba-tiba sesuatu terjatuh dari dalam poketnya. Kling! Benda itu menggolek.

“Eh, duit siling!” ujar Zairi. “Tolong carikan. Di sini gelap. Saya tak berapa nampak sebab bilik ni agak kelam.”

Pak Aman turut membantu Zairi mencari duit siling tersebut. Setelah agak lama baru Pak Aman berjaya menemukannya. Dengan segera dia memberikannya kepada Zairi.

“Terima kasih, pak cik! Oh iya, permintaannya dah saya sebutkan. Wangnya juga dah dimasukkan tadi.” Zairi lalu mengajak Imran keluar.

Setelah jauh dari rumah itu Zairi tertawa sendiri.

“Mengapa tertawa?” tanya Imran.

“Sewaktu kamu dan Pak Aman mencari duit siling saya yang jatuh, saya membaca tulisan China di tembikar tu.”

“Kamu kenal huruf dan bahasa China?”

“Itu bukan huruf dan bahasa China. Setelah Saya perhatikan, ternyata itu huruf biasa. Namun dihias sehingga mirip huruf kanji yang digunakan oleh orang China. Bahasanya juga bahasa Malaysia. Kalau mata yang melihatnya kurang teliti, pasti akan menyangka itu huruf dan bahasa China,” jelas Zairi.

“Habis tulisan apa yang tertera di tembikar tu?” tanya Imran ingin tahu.

“Tembikar buatan Sayung, akhir Ogos 2010.”

“Sayung? Rasanya saya pernah dengar!”

“Takkan kamu tak tahu? Itu kan nama tempat, pusat industri tembikar dan labu sayung di Perak yang terkenal. Jadi, bermakna itu bukan tembikar China asli. Semua cerita tentang tembikar ajaib itu juga palsu!” Zairi menggeleng. “Kita harus minta bapa saudara kamu melaporkan kes ini ke balai polis. Kasihan, ramai orang kampung yang tertipu.”

Imran menelan air liurnya sendiri. “Tapi... kita kan mahu melihat matahari tenggelam di pantai Kuala Kedah...”

“Besok sajalah! Matahari tetap akan terbit dan tenggelam. Kita pulang dan beritahu dulu pada bapa saudara kamu tu! Ayuh!” desak Zairi.

Imran mengangkat bahu, lalu mengikut langkah Zairi. Zairi kelihatan tegas dengan keputusannya. Walau bagaimanapun Imran bangga memiliki seorang rakan secerdik Zairi.

 


Menjaga Adik

 

HARI minggu, sememangnya Fahiman tidak bersekolah. Inilah waktunya yang sesuai untuk berehat setelah lima hari bersekolah. Seperti hari minggu yang lalu, hari minggu ini murid tahun lima itu tidak berniat hendak keluar ke mana-mana. Dia sekadar duduk di rumah sambil membaca buku. Jemu membaca di atas sofa di ruang tamu, dia masuk ke dalam bilik lalu membaca sambil berbaring di atas katil.

Oleh kerana terlalu asyik membaca, Fahiman tidak sedar apa yang telah terjadi di sekitarnya. Namun begitu tangisan adik kecilnya telah menamatkan keasyikkan pembacaannya.

“Fahiman!!! Adik kamu menangis tu! Emak sedang sibuk memasak ni!” laung Puan Hindun dari dapur.

“Fahiman nak buat apa?” tanya Fahiman dari dalam biliknya.

“Tolong masukkan puting dalam mulut adik kamu tu! Puting tidak ada sebab itu dia menangis!” ujar Puan Hindun.

 Fahiman mendengus jengkel, dengan raut wajah yang masam dia menuju ke bilik adiknya. Dilihatnya, Hazimi yang masih berusia 8 bulan itu sedang menangis, selimutnya berserakan. Fahiman segera menggeleng. Dia sudah biasa melihat kebiasaan adiknya itu. Setiap kali terjaga dari tidur mesti melalak kerana minta puting susu.

Sebaik botol susu dimasukkan ke dalam mulut kecilnya, tangisan terus berhenti. Hazimi hisap dengan lahapnya.

Tidak lama kemudian....cur!

“Alamak, betulkah apa yang aku lihat ni? Kencing lagi. Kencing lagi!” rungut Fahiman jengkel, “Mak, adik kencinggggg!!!!!”

“Emak masih banyak kerja ni, Fahiman! Tolonglah gantikan seluarnya!” jawab Puan Hindun.

“Fahiman tak pandai!!!!” jawab Fahiman cepat.

“Cubalah dulu! Jangan cakap tak pandai sebelum cuba!!!” balas Puan Hindun.

“Uuuh, tak mahulah! Kencing adik bau hancing!” tolak Fahiman dengan kuat.

Sewaktu suara Fahiman mendesing garang di telinganya, Hazimi menghentikan hisapannya sebentar. Setelah suasana diam kembali, dia meneruskan semula hisapannya. Jelas susu di dalam botol plastik itu susut perlahan-lahan.

Susu di dalam botol itu kini tinggal separuh, Hazimi sudah memperlahankan hisapannya. Sesekali kelihatan dia tersenyum seolah-olah mahu mempamerkan giginya yang baru tumbuh itu.

Manis betul senyum itu! Kadang-kadang nampak lucu. Namun Fahiman tidak tertarik pada senyum adik kecilnya itu. Dia bagaikan enggan melayan keinginan adiknya yang mahu dimanja itu.

“Dik, apa nak jadi dengan kamu ni ha? Bila tidak dapat susu, melalak! Bila dapat diam... bila dah kenyang, kalau atas diisi, yang di bawah kencing! Apa nak jadi dengan kamu ni?” gerutu Fahiman sambil menggeleng.

Mungkin kerana alas tidur adiknya sudah basah, tubuh kecil itu pun kembali bergerak ke sana ke mari seolah-olah rimas dan gelisah.

“Ha.. ha..! Nak melalak lagilah tu!! Ha.. melalaklah... melalak!! Semalam pun macam ni juga. Habis satu botol susu, terus kencing kemudian melalak!!!” rungut Fahiman lagi.

Belum habis Fahiman mengomel, Hazimi pun terus menangis. Mulutnya ternganga luas seolah-olah baru kena cubit.

“Dah mula dah!! Dah mula nyanyi dah!!” Fahiman mengeluh panjang. “Kalau tak kencing, menangis! Kalau tak menangis, kencing! Dua benda ni saja yang kamu tahu buat ye?”

Puan Hindun yang sudah selesai masak dengan segera meluru masuk ke bilik. Seluar dan alas tidur Hazimi dengan segera digantinya. Ketika itu juga, tangisan pun berhenti. Fahiman kembali ke biliknya.

Belum lama suasana diam, Puan Shimah, jirannya yang mempunyai anak seusia Hazimi datang menemui Puan Hindun.

“Saya risau ni, kak! Tidak macam selalu, sejak pagi tadi anak saya belum kencing lagi!” keluh Puan Shimah cemas.

Dari balik bilik, Fahiman menggerutu dalam hati. Uuh, apa kenanya dengan Mak Cik Shimah ni? Anak tak kencing pun kalut. Baguslah kalau tak kencing. Tak payah nak salin seluar, tak payah nak tukar alas tidur. Kalau anak tak kencing, taklah banyak kerja! Hidung pun tak tercium bau hancing!!!!”

“Saya bimbang, jangan-jangan anak saya sakit, kak!” suara Puan Shimah mendatar.

“Kalau begitu, sebaiknya dibawa saja ke klinik,” ujar Puan Hindun sambil mendukung anak kecil itu.

 Fahiman yang mendengarnya jadi terkejut dan bertanya-tanya. Dengan segera dia meluru keluar menemui ibunya.

“Ibu! Adik kecil begini kalau tak kencing bererti sakit ye?” tanya Fahiman sedikit cemas.

“Ya! Kencing dan menangis itu kebiasaan bagi bayi dan itu pertanda bahawa bayi itu sihat,” jelas Puan Hindun.

Fahiman diam. Puan Hindun tersenyum.

Ketika Fahiman diminta menjaga Hazimi yang mulai tidur, dia tidak menggerutu lagi. Diciumnya adiknya itu dengan penuh kasih sayang. Mungkin kerana terlalu kuat mencium, Hazimi terjaga. Adiknya pun menangis lagi. Fahiman segera memberikannya botol susu, adiknya pun menghisapnya dengan lahap.

“Adik! Adik, kalau kamu nak kencing... kencinglah! Bukankah kencing itu kebiasaan kamu? Dengan kencing bererti adik sihat!” hatinya berbisik girang.

Tidak lama kemudian.....cur!

“Mak! Mak! Adik kencing! Adik sihat, mak!!! Lihatlah kencingnya banyak betul, mak!” laung Fahiman dengan wajah yang senang.

 Fahiman kini tidak lagi mengeluh atau menggerutu bila diminta menjaga adiknya.

 

Ibu Sudah Percaya

 

“HEI, kita dah dekat nak sampai ni!” ujar Khauzairi sambil menepuk bahu Zamani yang sejak dari tadi asyik bersandar saja.

Zamani segera menoleh sambil tersenyum, berusaha menyembunyikan keterkejutannya. Tetapi...

“Alamak!” Zamani menepuk dahinya.

“Kenapa, Zamani?” Khauzairi kehairanan.

“Saya lupa nak minta duit belanja dari ibu saya tadi,” Zamani seolah-olah kehampaan. Bagaimana dia nak makan kalau tidak ada duit.

“Tak apalah! Itu perkara kecil saja!” ujar Khauzairi.

“Perkara kecil kata kamu.. habis saya nak makan nak pakai apa? Pakai taik hidung? Kamu ingat penjual kantin tu nak ambil taik hidung saya?” Zamani bagaikan kurang senang.

“Pakai saja wang saya,” jelas Khauzairi polos.

Beginilah jadinya kalau terlambat bangun, bisik hati Zamani. Keluar dari rumah tergesa-gesa, tanpa sempat bersarapan, dan yang paling parah, ya itu, lupa minta duit dari ibu! Ibu pun lupa juga agaknya. Takkan tak tahu yang dia pergi dan pulang sekolah dengan bas. Belum lagi untuk beli makanan di kantin sekolah.

Malam tadi Zamani memang susah tidur. Dia terus memikirkan sikap ibunya yang tidak percaya kepadanya. Ibu Zamani iaitu Puan Idah menganggap Zamani pemboros, tidak pandai menggunakan wang, suka belanja yang bukan-bukan, dan banyak lagi tuduhan lain yang Puan Idah luahkan pada Zamani.

Yang membuatkan Zamani paling kesal ialah Puan Idah memperlakukannya seperti murid tahun tiga sedangkan dia sudah pun dalam tahun enam. Setiap kali duit belanja sekolah nak dihulurkan, ada saja leteran yang keluar dari mulut Puan Idah. Sebal sungguh hati Zamani mengenangkan tingkah ibunya itu.

“Ibu saya ni kadang-kadang susah sikit saya nak cakap, Ri! Bila saya minta duit belanja, ada-ada saja yang akan dileternya. Kalau dah terlupa begini, saya juga yang susah. Nasib baik ada kamu. Kalau tidak, pada siapalah agaknya saya nak minta sedekah,” Zamani melontarkan kekesalannya ketika mereka turun dari bas.

Khauzairi tersenyum. “Itu pun kamu masih lagi bernasib baik sebab ibu kamu tetap juga beri duit belanja setiap hari. Cuma bila dia terlupa atau kamu yang terlupa nak minta saja. Ada orang lain terpaksa bawa bekal ke sekolah kerana ibu bapanya langsung tak ada duit. Kira, kamu ni lebih bernasib baik,” balas Khauzairi. “Eh, Zamani! Mungkin juga ibu kamu ada sebab kenapa dia selalu meleteri kamu agaknya..”

“Sebab apa? Saya tak pernah buat apa-apa salah pada ibu saya.. saya juga tak pernah berbohong pada ibu saya,” tegas Zamani.

“Manalah tahu, mungkin kamu pernah melakukan apa-apa perbuatan sehingga ibu kamu menganggap kamu pemboros. Cuba ingatkan kembali....”

“Mmm, dulu saya memang pernah melakukan kesalahan. Dulu ibu saya selalu memberi saya duit belanja untuk seminggu. Tetapi baru masuk hari keempat, duit tu dah habis saya gunakan. Sejak itulah ibu saya memberiku duit belanja secara harian,” jelas Zamani.

“Ha, itulah sebabnya. Jadi memang ada alasannya kan, ibu kamu tidak memberi duit secara mingguan kepada kamu.”

“Ya... tetapi itu dulu, Ri! Sekarang saya dah insaf tapi ibu saya masih belum mahu mempercayai saya.”

Khauzairi tersenyum. “Zamani, kamu harus berusaha mengembalikan kepercayaan ibu kamu dengan melakukan sesuatu.”

Zamani mengerutkan dahinya, “Melakukan apa?”

“Cuba kamu ketepikan atau simpan sedikit duit belanja kamu setiap hari. Tunjukkan pada ibu kamu bahawa kamu mampu berjimat dengan duit belanja harian tu. Mudah-mudahan ibu kamu akan berubah fikiran tentang kamu.”

“Kamu yakin itu akan berhasil?” Zamani sedikit ragu.

“Cuba dulu, kalau kamu tak cuba, macam mana kamu nak tahu!”

Ya, memang tidak ada salahnya ikut nasihat atau saranan Khauzairi, fikir Zamani. Lagipun cadangan Khauzairi memang masuk akal. Cuba mendapatkan kembali kepercayaan ibu dengan melakukan sesuatu. Bukan dengan janji dari bibir seperti biasa.

Zamani pun mulai menyimpan sedikit duit belanja yang diberi oleh ibunya. Dia juga mulai belajar mencatatkan apa juga pembelian biarpun lima sen. Tanpa terasa dua minggu pun berlalu.

“Ah...” Zamani menarik nafas lega kala memandang catatan-catatan perbelanjaannya di kotak bekas coklat di atas meja belajarnya. Terdapat juga baki duit belanja yang disimpan selama ini. “Kenapalah dari dulu aku tak menabung begini,” ujarnya dalam hati.

“Tidak perlu menyesal. Tidak ada kata terlambat untuk melakukan kebaikan, sayang...” suara merdu berbisik di telinga Zamani. Zamani segera menoleh.

“Ibu...”                                  

Puan Idah tersenyum sambil mengusap rambut Zamani. “Ibu tahu kamu sedang berusaha untuk berubah. Dalam diam ibu selalu memerhatikan apa yang kamu lakukan.”

            “Terima kasih bu! Cuma...” Zamani menggaru-garukan kepalanya.

“Cuma apa!” Puan Idah mengerutkan dahinya.

“Ibu jangan lupa lagi bagi duit belanja pada saya setiap hari. Kalau ibu lupa, terpaksalah saya berhutang dengan kawan bila waktu rehat. Bila balik pula, saya terpaksa berhutang dengan kondakter bas,”

“Ha.. ha.. ha, itu tidak akan terjadi lagi, sayang. Mulai besok ibu akan memberikan kamu duit belanja secara mingguan. Jadi, kalau kamu lupa bawa duit ke sekolah, bukan salah ibu lagi!” Puan Idah menjentik hidung Zamani.

Zamani memeluk ibunya erat-erat. Zamani sangat gembira. Bukan kerana dia mendapat duit belanja sekolah secara mingguan, tetapi kerana kepercayaan ibu terhadap dirinya. Zamani inginkan hari segera pagi. Dia sudah tidak sabar ingin memberitahu semuanya kepada Khauzairi.

 

Patung Peringatan

 

SELAMA ini Hamizan merupakan seorang murid yang periang, suka bercerita, suka berbual dan suka bergurau dengan rakan-rakannya yang lain. Dia jarang termenung, jarang bersedih dan jarang memencilkan diri dari rakan-rakannya. Semua rakannya amat senang dengan sikap yang ditunjukkan oleh Hamizan.

            Hamizan juga sering menjadi tempat rakan-rakannya mengadu masalah mereka. Dia seolah-olah pakar penasihat yang mampu memberi cadangan atau pendapat kepada rakan-rakan yang lain terutama yang mempunyai apa-apa masalah. Cuma jika sesuatu masalah itu terlalu besar, barulah Hamizan akan membawa mereka bertemu dengan guru penasihat.

Guru-guru juga amat mengenali Hamizan. Selain dari pandai, Hamizan juga aktif dalam sukan dan kokurikulum di sekolah. Dia merupakan pemain pasukan bola jaring dan pembaca sajak. Amizan memang aktif dalam kedua-dua bidang ini.

Di dalam pertandingan deklamasi sajak peringkat daerah, Hamizan pernah mendapat tempat pertama. Kejayaannya telah menaikkan nama sekolah. Guru Besar dan semua guru yang lain amat berbangga dengan kejayaan yang telah berjaya dirangkul oleh Hamizan itu.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini Hamizan menjadi pendiam. Hamizan sering menyendiri dan melamun. Bahkan pernah, ketika waktu rehat tiba-tiba air mata Hamizan mengalir membasahi pipinya yang gebu itu.

Khuzaimah yang duduk di sebelahnya berasa hairan. “Kenapa Mizan? Kenapa kamu menangis ni?” soalnya sungguh-sungguh ingin tahu.

Hamizan tidak menjawab.

“Kalau kamu ada masalah, beritahulah saya! Mudah-mudahan saya dapat menolong kamu!”

Hamizan tetap juga diam.

“Sudahlah, Mizan! Janganlah kamu menangis lagi. Kalau dilihat oleh rakan-rakan kita yang lain, apa pula kata mereka. Tentu mereka akan berfikir yang bukan-bukan pada kamu!” ujar Khuzaimah.

Tetap diam.

“Kamu tak boleh begini terus-terusan. Kamu mesti meluahkan apa juga masalah kamu. Kamu tak boleh pendamkan dalam dada. Kalau saya tak dapat bantu kamu, kita boleh bertemu dengan guru penasihat. Mungkin dia dapat membantu. Jadi, saya harap kamu sedia memberitahu saya apa masalah kamu yang sebenarnya!”

Hamizan berusaha menahan tangisannya. Air mata segera diseka dengan hujung tudung putihnya.

Pulang dari sekolah hari ini Hamizan semakin gelisah. Biasanya kalau hari Sabtu begini Hamizan paling bersemangat. Selain besoknya cuti, hari Sabtu selalu istimewa baginya. Sebab ayahnya yang bekerja di Alor Star pasti akan pulang.

Hamizan dapat bertemu dengan ayahnya hanya pada hari Sabtu dan Ahad. Dalam seminggu, hanya dua hari itulah dia dapat bermesra dan bergurau senda dengan ayahnya. Pada hari-hari yang lain, ayahnya jauh di utara Malaysia kerana urusan tugas pejabat.

Tetapi hari Sabtu kali ini suasananya berbeza sekali. Segala yang indah seperti sebelum ini, melenyap entah ke mana. Semuanya bagaikan kabus pagi yang menghilang kala disirami cahaya matahari.

“Makan dulu, Mizan! Tenaga kamu kan banyak terbuang di sekolah,” tegur Puan Khalilah.

Hamizan hanya menggeleng.

“Masih kenyang, bu!”

Hamizan masuk ke dalam bilik dan merebahkan badannya di tempat tidur. Fikirkannya mulai melayang. Yang membuatnya sedih ialah ayahnya telah berjanji akan menghadiahkannya anak patung beruang besar yang harganya mahal.

Namun, dua hari lalu Hamizan telah menerima satu tamparan yang hebat dalam sejarah persekolahannya. Peratus markah untuk ujian tahunannya merosot teruk. Huruf C tertera di barisan subjek matematik. Sedangkan dalam peperiksaan sebelumnya Hamizan mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran.

Ayahnya, Encik Fahmi belum tahu hasil keputusan peperiksaan ini.

Menjelang malam, terdengar ketukan di pintu. Encik Fahmi segera masuk sambil menjinjing sebuah bungkusan yang sangat besar. Wajah Encik Fahmi berseri-seri. Tetapi Hamizan bersembunyi di sebalik bantal. Hamizan tidak berani memandang wajah ayahnya yang berbinar-binar itu.

“Mizan!!!” panggil Encik Fahmi sambil duduk di birai katil tidur Hamizan.

Hamizan tidak berani menjawab. Hamizan tahu ayahnya pasti sangat marah. Kemudian, terdengar suara ibunya Puan Khalilah yang juga sudah masuk ke biliknya.

“Mizan, bangun sayang!” kata Puan Khalilah sambil menyentuh bahu Hamizan. “Masalah tidak akan selesai kalau kamu hanya sembunyi di sebalik bantal.”

Hamizan akhirnya menggeser bantalnya. Sambil tertunduk, Hamizan duduk di sisi Encik Fahmi.

Dengan memberanikan diri, dipandang wajah ayahnya yang kelihatan kecewa. Hatinya pedih dan sebak.

“Maafkan Mizan, ayah!” katanya perlahan-lahan. “Mizan terlalu banyak main. Mizan terlalu aktif dalam sukan dan aktiviti kokurikulum di sekolah sehingga mengabaikan pelajaran. Jangan marah ya, ayah!”

Encik Fahmi menghela nafas. “Ayah tidak marah. Keputusan peperiksaan kamu adalah dari hasil usaha kamu sendiri selama ini. Keputusan kamu yang sebelumnya, bagus, cemerlang. Sayang kalau hasil usaha keras kamu dulu itu jadi sia-sia,” ujar Encik Fahmi sambil tersenyum mesra.

Hamizan terdiam.

Encik Fahmi berdiri lalu menyerahkan bungkusan yang dibawanya pulang tadi.

“Anak patung ini ayah beli untuk kamu. Apa pun hasil keputusan peperiksaan kamu, terimalah!”

Hamizan menerima hadiah anak patung itu dengan hati yang sebak dan pedih. Ketika Encik Fahmi kembali ke Alor Star, Hamizan hanya mampu menatap mata bening beruang yang berada di hadapannya.

“Beruang, duduklah kamu di situ sambil melihat aku belajar. Kalau aku malas lagi, aku akan mengingati kamu sebagai hadiah atas kesalahanku.”

Anak patung itu masih duduk di atas tempat tidurnya. Hamizan memandangnya setiap ketika. Kini patung beruang itu menjadi peringatan ketika Hamizan malas belajar atau membuat ulang kaji. Pandangan matanya seperti memberinya peringatan dan amaran bahawa kalau malas membuat ulang kaji, keputusan peperiksaan tidak akan cemerlang.

 

Semangat untuk Belajar

 

SUDAH hampir seminggu padang pinggir sekolah kami dipenuhi sepasukan fun-fare. Ada kincir pusing, rumah hantu, kereta api mini, topeng monyet, tembak bola kecil dan pelbagai lagi jenis hiburan.

Padang kecil yang biasa kami gunakan untuk bermain bola itu kini dipenuhi dengan pelbagai gerai permainan. Tiket yang dijual dengan harga RM 10.00 sentiasa saja habis terutama pada malam minggu.

Di sisi kincir pusing ada seorang budak lelaki yang pandai bercakap menggunakan alat pembesar suara. Suaranya melengking tinggi membuatkan orang ramai jadi tertarik dan membeli tiket untuk menaiki kincir pusingnya.

Ketika bertugas, dia selalu berpakaian rapi. Memakai kot dan tali leher berbentuk kupu-kupu, serta kasut berwarna gelap. Dia juga sering datang ke tepi pagar sambil melihat ke arah kelas kami. Jika kami dekati, dia segera lari masuk ke dalam kawasan fun-fare tersebut.

Suatu petang aku dan kakakku menemani adikku yang teringin hendak naik kincir pusing. Aku bersemangat sekali kerana sangat suka melihat gelagat budak penjaga kincir pusing tersebut.

Namun petang itu dia hanya duduk-duduk di bangku di hadapan pintu masuk sambil membantu menjual tiket. Wajahnya kelihatan lesu.

“Hai, kenapa tak berpakaian cantik hari ni?” tanyaku sambil tersenyum kepadanya.

“Saya tak berapa sihat,” jawabnya sambil mengoyak tiket lalu diserahkan kembali sebahagian lagi kepada pengunjung.

“Kamu sakit apa?” soalku lagi sambil mendekatinya. Adikku sudah naik kincir pusing bersama kakakku.

Dia tidak menjawab tetapi balik bertanya. “Kamu tak mahu naik ke?” Dia tersenyum sedikit.

“Malaslah! Lagipun, saya tak berapa minat nak naik kincir pusing tu! Gayat dan pening!” jawabku panjang lebar.

Kami berbual-bual agak lama juga. Setelah adik dan kakakku turun, aku terpaksa berpisah dengannya. Oh ya, nama budak itu ialah Riyanto, warga Indonesia tetapi fasih berbahasa Melayu. Maklum sudah lama di sini.

Dia ikut rombongan fun-fare itu kerana bapanya adalah penjaga kincir pusing itu. Katanya, mula-mula bapanya tidak mengizinkan dia ikut sama dalam pasukan fan-fare itu, kerana dia perlu bersekolah. Tetapi kerana pernah ikut rombongan sewaktu cuti panjang, Riyanto jadi seronok dan tak mahu sekolah lagi.

 “Saya sudah melihat hampir semua bandar di Semenanjung Malaysia ini,” kata Riyanto bangga sewaktu kutanya apa seronoknya bekerja dengan pasukan fan-fare itu. “Tetapi persekolahan saya jadi tak menentu. Akhirnya saya minta berhenti saja dari sekolah. Bapa saya benarkan. Saya pun terus bekerja...,”

“Kamu tak menyesal ke? Bukankah belajar itu lebih baik dari bekerja? Lagipun, kamu masih lagi kecil.. perlu bersekolah! Kalau kamu bersekolah sampai masuk universiti, tentu kamu akan dapat kerja yang lebih baik bila kamu sudah besar nanti. Gaji yang kamu dapat juga tentunya lebih banyak. Kamu betul-betul rugi kerana berhenti sekolah terlalu awal,” kataku menyedarkannya.

“Ya, kini saya rasa menyesal pula kerana berhenti sekolah,” balas Riyanto sambil mengeluh panjang.

Sejak kebelakangan ini Riyanto tidak pernah lagi kelihatan di tepian pagar sekolah kami.

Rupanya dia masih belum sihat. Sakitnya membuatkan dia malas keluar. Padahal suaranyalah yang membuatkan orang ramai tertarik untuk naik kincir pusing.

Pada suatu hari, suara riangnya kembali terdengar.

 “Ayuh.. ayuh.. ayuh! Bapa-bapa, ibu-ibu, kakak-kakak, adik-adik semua!!! Bersama kami terbang ke angkasa, berputar, rasakan ketegangannya... kalau tak biasa pening, jangan naik ya! Nanti muntah atas kepala penumpang lain! Kalau gayat juga jangan naik ya! Nanti menjerit macam Tarzan atas pokok!!!! Ayuh.. ayuh... ayuh... rasa sekali tentu mahu naik lagi!!!” begitu jeritnya diselangi jogetan kecil mengikuti irama muzik yang keluar melalui pembesar suaranya.

Aku bderasa gembira kerana dia telah sembuh. Melihat aku mendekatinya Riyanto segera melambaikan tangan sambil tersenyum.

“Besok saya mahu pergi ke sekolah kamu, boleh tak?” soalnya sebaik saya tiba di hadapannya.

“Oo...bbbooo...leh.. boleh!!” jawabku sedikit gugup.

Petang itu aku naik kincir pusing secara percuma. Riyanto paksa, kalau tidak aku tak mahu naik. Lagipun, Riyanto menemaniku naik kincir pusing tersebut.

Pagi berikutnya kulihat Riyanto sudah berada di sisi pintu pagar sekolah. Melihat aku, dia tersenyum dan melambaikan tangannya. Kali ini pakaiannya kemas walaupun tidak memakai seragam biru putih macam pakaian seragam sekolahku.

“Saya ikut kamu ke dalam kelas, boleh tak?” soal Riyanto.

 “O...boleh...apa salahnya!” jawabku tanpa fikir panjang. Sedangkan aku belum minta izin daripada guruku. Tetapi aku yakin, apa salahnya. Riyanto ingin belajar. Biarlah dia belajar. Belum sempat aku berfikir lebih panjang, loceng masuk sudah berbunyi.

Kami masuk ke dalam kelas. Riyanto duduk di sampingku. Rakan-rakan yang lain kehairanan melihat aku bersama seorang budak lelaki yang penampilannya agak lusuh. Belum sempat kukenalkan Riyanto kepada rakan-rakan, Cikgu Latifah sudah pun masuk.

“Selamat pagi semua!!!” ucapnya seperti selalu.

“Selamat pagiiiiii, cikgu!!!” jawab kami serentak.

“Eh? Itu siapa?” tanya Cikgu Latifah agak terperanjat sambil menudingkan jarinya ke arah Riyanto.

Aku diam. Bingung. Riyanto menginjak kasutku. Aku diam juga. Kulihat Cikgu Latifah mendekatiku tetapi aku tidak berani memandang wajahnya.

“Kamu baru berpindah ke sekolah ini? Berpindah dari sekolah mana?” tanya Cikgu Latifah lagi.

Riyanto menundukkan kepalanya. Kakiku diinjaknya sekali lagi.

“Sudah lapor pada Guru Besar?” Cikgu Latifah terus bertanya.

Riyanto mulai gelisah. Keringatnya mulai menitis dari dahi dan bawah telinganya. Tiba-tiba dia berdiri dan berlari keluar kelas. Tanpa fikir panjang kukejar dan kuajak kembali ke kelas.

“Maaf, cikgu! Ini rakan baru saya, namanya Riyanto! Riyanto.... Riyanto ini bekerja dengan fun-fare di sebelah sekolah kita tu, ikut ayahnya. Dia teringin nak belajar, cikgu! Sebab itulah dia datang ke mari!” jelasku berterus terang.

“Ya, saya ingin bersekolah lagi. Saya menyesal ikut ayah bekerja di situ..,” ujar Riyanto sambil meramas-ramas jari-jarinya.

Cikgu Latifah memandang wajah Riyanto dengan penuh kemesraan.

 “Kamu yang setiap petang menjadi juru acara di tepi kincir pusing tu, ya?” tanya Cikgu Latifah sambil tersenyum.

“Ya, cikgu!” jawabku bagi pihak Riyanto.

“Betul kamu nak belajar?” tanya Cikgu Latifah lagi sambil memegang kedua bahu Riyanto. Riyanto mengangguk sambil tersenyum.

“Bagus! Kalau kamu betul-betul nak belajar, duduklah. Cikgu tak kisah. Baiklah, mari kita mulai pelajaran hari ini dengan mendengar cerita dari rakan baru kita ini. Setuju tak?” tanya Cikgu Latifah.

Tanpa disuruh kami bersorak gembira.

Mendengarkan cerita Riyanto, kami jadi lebih bersemangat untuk belajar. Ya, Riyanto mengajar kami bagaimana mahu menjalani dan mengisi hidup ini. Dia juga telah mengajar kami supaya tetap bersemangat untuk belajar!

 

 

Komputer Riba

 

SEJAK dihadiahkan komputer riba oleh ayahnya, Salmi selalu bercakap soal komputer riba saja. Sebuah alat elektronik tercanggih di abad ini, begitu kata Salmi tentang komputer ribanya. Salmi bercerita tentang komputer ribanya itu pada rakan bermainnya, rakan di sekolahnya, atau rakan di tempat tuisyen bahasa Inggerisnya.

“Semalam abang saya bawa game disc dan kami memainkannya di komputer riba,” cetus Salmi pagi itu sebelum masuk kelas, di hadapan para pendengar setianya.

“Ah, saya sikit pun tak hairan,” begitu kata Zarina yang mulai jengkel melihat tingkah ketua kelasnya itu.

“Abang kamu itu kan sudah bergelar mahasiswa. Takkan masih main game lagi?” tanya Haris.

“Yeah, refreshing, refreshing daripada stres otak diamuk pelajaran terus!” kata Salmi dengan gayanya yang tersendiri.

“CD game boleh dimainkan di komputer riba, ya Mi?” Udin kehairanan. “Setahu saya, CD hanya boleh dimainkan di televisyen.” Seperti pernah dilihatnya di rumah Omar, sepupunya. Sebenarnya dia berpura-pura bodoh dalam soal itu. Walaupun di rumahnya tidak ada komputer riba tetapi dia selalu menggunakan komputer di kafe siber.

 “Boleh ah, Pin! Sebab itulah kamu mesti berjinak dengan komputer riba. Jangan asyik main dam dan catur atau main bola saja!” ujar Salmi seolah-olah mengejek Udin. Padahal, semua pelajar sekolah itu sudah kenal siapa Udin Hamid, pelajar yang sering ke kafe siber untuk bermain komputer. Udin juga seorang pelajar yang pandai.

Sejak darjah empat hingga darjah enam, Udin selalu dapat nombor pertama. Ibunya seorang pengarang cerpen dan novel kanak-kanak. Udin sering membantu ibunya menaip skrip novel di komputer. Terutama kalau ibunya sedang diburu waktu, digesa para penerbit karya-karyanya yang terbaru.

 “Sombong betul Salmi tu!” gerutu Zarina kasihan melihat sahabatnya diejek begitu. Namun, Udin kelihatan sabar dan tersenyum manis.

 “Kalau begitu, boleh saya ke rumah kamu, Mi?” kata Udin beberapa jurus kemudian.

 “Buat apa?” Salmi menatap wajah Udin kehairanan. “Kamu kan tidak suka pergi ke rumah rakan. Tetapi kalau kamu nak belajar komputer riba, datanglah! Saya akan ajar kamu sampai pandai,” ujar Salmi bagaikan mahu mengejek Udin lagi.

 “Hei, Salmi!” tiba-tiba Zarina bersuara jengkel. “Hati-hatilah sikit kalau mahu bercakap,”

“Yeee-aah, don’t be angry, friend!” Salmi cuba menenangkannya, “Di rumah saya setiap ketika saya duduk di hadapan komputer riba. Sebelum datang ke sekolah tadi, saya juga sempat memainkannya. Pulang sekolah, sebelum tidur....”

“Waaaah!” ujar rakan-rakanya yang lain kekaguman.

“Begitulah guys.. kalau mahu jadi celek komputer riba!” kata Salmi sambil melangkah lebar, keluar dari kelas.

“Sombongnyaaa!!!!!” desis hati Mila.

“Huh, kalau setiap ketika duduk di hadapan komputer riba, bila masa solatnya, bila pula masa belajarnya? Mahu gagal dalam periksa nanti..” ujar Yusni.

Sebaik pulang dari sekolah, Udin terus menuju ruang kerja ibunya. Biasanya terdengar suara ibunya. Namun, hari ini ibunya sudah memberitahunya akan pergi menghantar naskhah skrip ke syarikat penerbitan yang mahukan karyanya.

Udin tidak ingat lagi, sejak bila dia tahu ibunya seorang pengarang. Barangkali sejak dia pandai membaca. Di rak buku ada banyak karya ibunya, lalu dia pun mulai membaca buku-buku cerita itu. Ceritanya bermacam-macam dan seronok bila membacanya!

Kadang-kadang sampai larut malam ibunya di hadapan komputer yang besar dan berat itu. Semuanya kerana mahu menyiapkan skrip novel atau cerpen yang mahu dihantar kepada syarikat penerbitan.

“Ya, andainya emak mampu membeli sebuah komputer riba yang nipis dan ringan....” fikirnya sambil mengelus-elus komputer biasa yang diberi nama Si Gemok oleh ibunya itu.

Udin pernah menyebut tentang kecanggihan komputer riba kepada ibunya. Komputer riba yang selalu dilihatnya di kafe siber ketika menghabiskan masa di situ.

“Kalau guna komputer riba kan mudah dibawa ke mana-mana. Emak boleh bekerja di mana-mana saja yang emak suka sebab komputer riba tu boleh dibawa ke mana saja dalam beg galas!”

Udin seperti mempromosi komputer riba kepada pembeli. Waktu itu ibunya hanya tersenyum lembut. Kemudian berkata, “Udin, bukannya emak tidak mahu pakai komputer riba. Hampir semua pengarang rakan emak memang sudah pakai komputer riba....”

“Habis tu, mak pun belilah satu... cepat sikit. Kalau tidak orang akan kata sudah ketinggalan zaman!” ujar Udin.

“Yalah, tengok sajalah nanti,” emak meneruskan pekerjaannya.

“Masalahnya tentu sekali kerana belum ada wang,” fikir Udin. Ayah Udin telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Emaknya terpaksa bekerja kuat untuk meneruskan hidup bersama dua orang anak. Untuk belanja kuliah abang Amir di Universiti Teknologi Malaysia, emaknya harus membanting tenaga. Belum lagi sewa rumah, belanja sekolah Udin. Ah, kasihan emak!

Tiba-tiba Udin berasa menyesal kerana selalu mendesak emaknya supaya membeli sebuah komputer riba.

Mengapa mesti cepat panas hati oleh cabaran Salmi? Akibatnya saja sekarang sudah jelas kelihatan. Prestasi pelajaran Salmi merosot terus. Salmi sudah berjaya dikalahkan oleh Nani. Sudah beberapa kali juga Cikgu Haninah menegur Salmi. Kerana murid darjah enam itu sering mengantuk di dalam kelas. Tentu dia terlalu asyik di hadapan komputer ribanya sehingga jauh-jauh malam!

Hari sudah petang tetapi emak belum pulang juga. Udin jadi gelisah dan bimbang.

Bagaimana kalau terjadi sesuatu kepada ibunya? Oh, Tuhan, tolong lindungi emakku, doanya dalam hati.

“Biarlah kami tidak ada komputer riba. Asal emak pulang dengan selamat. Komputer tua yang sangat berjasa ini kan masih boleh dipakai,” doa Udin ketika solat Asar.

Akhirnya emaknya pulang juga. Sebaik menjenguk di muka pintu, Udin terus memeluknya, menciumnya penuh kasih sayang. Dia berasa amat senang sekali. Dan lebih lega dan gembira lagi ketika melihat ole-ole yang emak bawa pulang.

“Komputer riba, mak? Dari mana? Kata mak, belum ada wang?”

“Ini hadiah dari penerbit emak. Kerana ada novel emak yang laris di pasaran,” ujar emak tenang sekali. “Sebab itulah emak pulang lambat sikit. Menunggu pemandu pengurus syarikat penerbit tu yang akan menghantar mak pulang bersama komputer riba ni!”

Oh, Tuhan, terima kasih kepada-Mu, Udin bersyukur.

 

Kenangan Bersama Atok

 

“ATOK, atok mahu beri hadiah apa pada hari jadi Lela nanti?” tanya Lela pada datuknya petang itu.

Haji Aman yang sedang duduk membaca kitab, segera menutup kitabnya. Dia menatap wajah Lela, murid tahun lima yang manis ceria. Lela juga menatap wajah datuknya itu yang rambutnya sudah putih sambil tersenyum. Dalam hati penuh harapan agar mendapat hadiah yang mahal.

Haji Aman tersenyum, bola matanya bergerak dan sejurus kemudian menjawab, “Muris sekolah rendah tahun lima dah besar panjang, tidak perlu apa-apa hadiah lagi. Lela dah bergelar anak dara sunti. Lagipun, sekarang krisis kewangan, Covid-19 masih bermaharajalela, atok tidak mahu buang-buang duit beli hadiah?”

“Alaa, kedekut betul atok ini!” Lela seolah-olah merajuk. “Kalau tidak diberi hadiah, nanti Lela tidak mahu bercakap dengan atok lagi.”

Haji Aman tertawa geli hati dengan telatah cucunya itu. “Atok tak kisah... kalau Lela tak nak bercakap dengan atok. Orang lain boleh bercakap dengan atok!” ujarnya bersahaja.

“Lela tak nak panggil atok lagi!” tingkah Lela.

“Habis Lela nak panggil apa? Atok tak kisah Lela nak panggil apa pun pada atok. Nak panggil abang ke, nak panggil pak cik ke, nak panggilan tuanku ke, nak panggil nenek pun tak apa,” Haji Aman terus ketawa.

Dan percakapan itu terhenti begitu saja kerana Lela diajak solat oleh ibunya, Puan Maimon. Beberapa hari kemudian Lela menyambut hari jadinya dan memang tidak ada hadiah dari Haji Aman kerana hari itu dia meninggal dunia. Tetapi dua hari kemudian Lela menerima sebuah bungkusan besar dari Pejabat Pos. Ketika dibuka, isinya berupa satu set ensiklopedia, tiga buah buku tebal. Ada kad hari jadi untuk Lela.

Lela terkejut, kemudian menitiskan air mata kerana mengenangkan datuknya yang sudah meninggal dunia. Dan memang dia tidak mampu memanggil datuk lagi, kerana datuknya itu sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Lela duduk termenung di kerusi di ruang tamu dengan perasaan sedih. Ketiga buah buku tebal itu diam membisu seolah-olah tidak mahu mengganggu pemiliknya yang sedang berduka. Berulang-ulang Lela membaca kad hari jadi dari datuknya.

                                                    

Lela cucu atok tersayang,

 

Selamat hari jadi ke-11 tahun. Atok hanya mampu membawa kamu naik teksi mengelilingi bandar raya Kuala Lumpur atau Putrajaya yang indah itu. Tetapi buku ini akan membawa kamu ke seluruh dunia, ke dunia ilmu pengetahuan: dunia tumbuh-tumbuhan, haiwan, teknologi dan sebagainya. Bacalah, nikmati dan hayatilah!

 

Salam sayang,

Atok

Haji Aman

(Masih mahu dipanggil atok kan? Bukan abang, bukan pa kcik, bukan mak cik dan bukan juga nenek....)

 

Lela tersenyum. Dia dapat merasakan kasih sayang yang ikhlas dari datuknya. Datuklah yang selalu mengajak Lela menemaninya naik bas mengelilingi bandar raya Kuala Lumpur dan Putrajaya, sehingga Lela tahu di mana letaknya bangunan Parlimen, Dataran Merdeka, KLCC, KL Tower, Kediaman Resmi Perdana Menteri, Galeri Putra dan sebagainya. Datuk suka bergurau, datuk begitu dekat di hati Lela.

Banyak cerita yang Lela dengar dari datuk. Misalnya cerita tentang kenakalan datuk semasa kecil, memanjat pokok jambu batu milik jiran. Kemudian datuk berkata, “Anak zaman sekarang malas, tidak boleh memanjat pokok, hanya tahu naik eskalator di pusat membeli belah saja!”

Dan Lela membalas, “Anak zaman dulu pun malas juga, tidak mahu belajar main komputer!”

“Eh, zaman dulu mana ada komputer!” Datuk tidak mahu kalah. “Cuba kalau ada, pasti atoklah orang yang pertama sekali main komputer!”

“Sekarang, pokok jambu batu jiran tidak ada. Kalau ada, Lela pun boleh panjat pokok jambu tu!” Lela juga tidak mahu kalah.

Akhirnya mereka berdua tertawa. Tidak ada yang menang atau kalah.

Tetapi Lela paling terkesan ketika dia kehilangan sebuah piala kemenangan. Sewaktu di darjah empat, Lela menyertai pertandingan sajak mewakili sekolah. Kemudian dia menang, meraih tempat ke-2 dan mendapat sebuah piala. Piala itu disimpan di dalam almari di bilik guru buat sementara.

Piala itu akan dihadiahkan pada hari perhimpunan hari Isnin. Namun begitu, sehari sebelum itu, bilik guru telah dimasuki pencuri. Antara barangan yang hilang ialah piala kemenangan milik Lela.

 Lela sangat sedih menerima berita tersebut. Pencuri itu melampau betul. Buat apa curi piala? Bagi Lela piala itu sangat bererti. Tentunya bagi si pencuri, piala itu hanya boleh dijual dengan harga tidak sampai pun RM 20.00. Itu pun kalau ada orang mahu.

Lela mengomel dan mengadu kepada datuknya. Waktu itu Haji Aman menatap wajah Lela dengan perasaan yang sungguh simpati.

“Kamu benar, Lela! Piala itu sangat bererti bagi kamu. Pencuri boleh merampas piala itu, tetapi dia tidak mampu mengambil perasaan kemenangan waktu kamu meraih kejuaraan. Kenangan manis itu tetap tersimpan di hati kamu dan tidak seorang pun dapat mengambilnya. Cuba, kenang kembali ketika kamu menyertai pertandingan sajak itu!” nasihat datuknya yang masih segar dalam ingatan Lela.

Kemudian Lela cuba mengingatkan kembali sewaktu dia menyertai pertandingan sajak tersebut... sewaktu menunggu pengumuman keputusan pertandingan, sewaktu dia menerima piala, ketika orang ramai bertepuk tangan, ketika guru dan kawan-kawan memberi ucapan tahniah dan memeluknya.

Oh, betapa indahnya! Benar, piala kemenangan boleh hilang, tetapi kenangan manis tidak mampu hilang. Dan tiba-tiba satu pengertian baru muncul di benak Lela. Datuk sudah tidak ada, Lela tidak mampu lagi menatap kerut wajahnya atau matanya yang bergerak-gerak penuh jenaka.

Namun kenangan manis bersama datuknya akan tetap tersemat kukuh di dalam hatinya. Perasaan bahagia timbul ketika kenangan-kenangan itu diingatkan kembali.

“Terima kasih, atok!” kata Lela dalam hati dan dia pun mulai membuka ensiklopedia itu. Sedia menjelajah dunia ilmu pengetahuan. Dan seketika perasaan sedihnya merayap pergi entah ke mana.

 

Goreng Percuma

 

ZAHARI terkejut melihat muka hadapan majalah terbarunya terkoyak. Kali terakhir dia melihat Amir yang membacanya. Oleh itu dengan segera dia menemui adiknya itu.

“Amir, kenapa kamu koyak majalah baru ini?” Zahari separuh menengking.

“Tidak sengaja. Tetapi isinya masih boleh dibaca kan, bang!” balas Amir ketakutan.

“Yang penting kamu mesti ganti. Kalau tidak, kereta ambulan mainan kamu itu akan abang buang ke sungai,” ancam Zahari dengan suara yang kuat. “Cepat, sekarang juga!”

Zahari segera keluar dari bilik Amir dan menunggu di ruang tengah. Dilihatnya Amir ke luar bilik sambil membawa kereta mainan kesayangannya. Zahari tidak mahu melihat ke arah Amir, ketika adiknya menelefon rakannya. Bahkan Zahari berpura-pura tidak mendengar ketika adiknya memohon diri untuk pergi.

Satu jam Zahari menunggu, Amir belum juga pulang. Dua jam berlalu. Bahkan sehingga Maghrib tiba Amir tidak juga kembali. Puan Lina yang biasanya melihat Amir di hadapan televisyen terus cemas.

“Pergi cari adik kamu, Ri!” arah Puan Lina kebimbangan.

Zahari akur arahan ibunya. Dalam diam-diam Zahari juga cemas. Dicarinya Amir di setiap rumah rakan yang diketahuinya. Tetapi setelah berkeliling mengitari pelbagai tempat, tidak seorang pun rakan Amir yang mengaku melihat Amir. Zahari semakin cemas dan bimbang. Namun dia sedikit lega ketika tiba di selekoh jalan kerana bertemu dengan Malik, rakannya yang terkenal sebagai penyiasat kampung itu. Dengan segera dia menceritakan masalahnya pada Malik.

Malik terdiam beberapa ketika. “Jadi, kalau begitu kita harus mengesan jejak adik kamu dari rumah kamu. Ayuh, kita ke rumah kamu dulu!” ajak Malik sejurus kemudian.

Zahari menurut saja ajakan Malik. Hanya Puan Lina yang kebingungan kerana Zahari bukan membawa pulang Amir, tetapi mengajak Malik pula pulang ke rumah.

“Sabar, bu! Nanti Ri jelaskan,” ujar Zahari.

Malik meminta Zahari mengulangi lagi apa yang dilihatnya sebelum adiknya keluar rumah.

“Yang jelasnya, dia bawa kereta ambulan mainan, menelefon rakannya, dan pergi,” begitu kata Zahari.

“Hmmm, jadi sempat guna telefon dulu... kalau begitu saya perlu tahu... siapa di rumah ini yang guna telefon selepas Amir?” tanya Malik.

Zahari menggeleng. Puan Lina juga tidak menggunakannya. Ayah belum pulang dari pejabat. Jadi tidak ada siapa pun yang guna telefon itu selepas Amir.

“Syukurlah kalau memang demikian. Itu lebih memudahkan kerja kita. Mak cik, saya pinjam telefon rumah mak cik sekejap ya!” Malik meminta izin dari Puan Lina. Lalu dia menekan tombol huruf ‘R’ di telefon. Seketika kemudian terdengar satu suara dari dalam telefon tersebut.

“Selamat malam! Maaf, saya saudara Amir. Kalau boleh tahu, apakah Amir sedang bermain di sana?”

“Amir? Oooo... rakan sekelas Farhan itu...ya? Ada! Ada! Kenapa?”

“Ibunya mencari-cari sejak petang. Kalau begitu, tolong jangan beritahu Amir kami ada menelefon ke sini. Kami akan ke sana menjemputnya. Di mana alamat rumah Farhan, pak cik?”

“Jalan Kiambang 13,”                       

“Terima kasih, pak cik! Selamat malam!”

Malik meletakkan gagang telefon. “Sekarang kita hanya perlu pergi menjemputnya. Mudah, kan?”

Zahari menggeleng. “Belum tentu Amir mahu pulang dengan aku,” bisik hatinya.

“Ya, itu sudah tugas kamu sebagai abangnya.”

“Ayuhlah, temankan saya menjemput Amir.”

“Saya bukan tidak mahu, Ri! Saya belum makan lagi ni! Saya lapar!”

“Itu soal mudah. Nanti saya belanja kamu makan bihun goreng di warung Pak Akob kalau berjaya memujuk Amir pulang,” Zahari tahu, Malik paling suka bihun goreng.

“Okeylah kalau begitu!” balas Malik.

Mereka segera berbasikal ke Jalan Kiambang 13.

“Macam mana tadi kamu tahu yang Amir ada di rumah Farhan?” tanya Zahari ingin tahu.

“Mudah saja. Kamu yang kata, Amir menelefon seseorang sebelum pergi. Jadi saya yakin dia pasti pergi ke rumah rakannya itu.”

Zahari mengangguk-angguk. “Habis, dari mana kamu tahu nombor telefonnya?”

“Juga mudah. Selagi telefon kamu itu belum digunakan oleh orang lain, nombor telefon terakhir yang dihubungi secara automatik terakam. Kita dapat menghubungi nombor itu dengan menekan butang redial, ertinya menghubung ulang,” jelas Malik.

Akhirnya mereka tiba di rumah Farhan. Dan memang benar Amir ada di situ. Tetapi seperti yang diduga Zahari, adiknya berkeras tidak mahu pulang.

“Abang Zahari jahat. Kereta ambulan Amir mahu dibuang ke sungai. Amir bukannya sengaja mengoyak majalah itu,” Amir mengadu kepada Malik.

“Maksud abang biar kamu bertanggungjawab dengan apa yang telah kamu lakukan,” sanggah Zahari.

“Amir tidak mahu pulang!”

“Abang janji tidak akan meminta Amir menggantikan majalah itu. Juga tidak akan membuang kereta mainan Amir,” ujar Zahari, bimbang Amir tidak mahu pulang terus.

Amir tersenyum. “Saksinya abang Malik ye,” balas Amir. Tidak lama kemudian mereka memohon diri untuk pulang kepada ayah dan ibu Farhan.

Zahari mengayuh basikalnya sambil membonceng Amir. Sementara Malik dengan basikalnya mengekor di belakangnya sambil berbual dengan Amir.

“Amir, kamu sering lari dari rumah ya kalau kena marah,” ujar Malik.

“Kenapa?” tanya Amir.

“Lepas ni kamu lari lagi ye! Tetapi kalau nak lari, beritahu abang dulu sebab abang dapat makan bihun goreng percuma lagi,”

“Ha... ha... ha... ha... ha..... bihun goreng! Bihun goreng!” Zahari ketawa.

 

 

Shakilla dan Lani

 

SHAKILLA mempunyai seorang rakan baru. Budak perempuan sebayanya bernama Lani. Mereka berkenalan di taman di pinggir rumah mereka.

Suatu ketika, dompet Lani terjatuh di rumput dalam keadaan terbuka. Shakilla melihat sekeping gambar di dalamnya. Wah, ternyata Lani mempunyai seorang saudara kembar. Kenapa dia tidak pernah cerita? Sambil mengamati gambar itu, Shakilla mulai berfikir tentang Lani.

            Mereka berkenalan seminggu lalu. Dalam waktu singkat, Lani berjaya mengubah sikap Shakilla yang lama. Pendiam dan tidak periang. Lani sangat ramah tetapi agak cerewet. Awalnya Shakilla berasa sebal juga padanya. Lani datang tiap hari dan main berjam-jam di rumahnya.

Alasannya, “Menghabiskan cuti!”

Pada akhirnya, hati Shakilla melunak dan mulai ikut banyak bercerita tentang dirinya.

“Saya tahu kenapa waktu pertama kenal, sikap kamu agak kaku dan murung,” ujar Lani membuatkan Shakilla terperanjat. “Sampai bila kamu mahu menyalahkan diri sendiri? Boleh saja kamu sedih kerana kematian Elsa. Tetapi tidak selamanya kan?”

Mata Shakilla membesar. “Kamu tidak tahu rasanya...”

“Tahu!” potong Lani cepat. “Saya tahu rasanya kehilangan orang yang kita sayangi. Lebih-lebih lagi jika kita merasa bertanggungjawab atas kematiannya.”

Shakilla terdiam. Tidak disangkanya Lani akan berkata seperti itu. Lani mengambil gambar dari dalam dompetnya. “Ini gambar terakhir saya dengan Lina, saudara kembar saya. Lina meninggal dunia setahun lalu.”

“Apa yang terjadi?” Shakilla separuh berbisik.

“Hari itu kami hendak pergi bermain di rumah seorang rakan. Kami harus melalui sebatang sungai. Saya ingin melalui jambatan gantung yang sudah agak lapuk. Lina ingin melalui jambatan baru. Saya berkeras ingin melalui jambatan gantung yang sudah lapuk itu, sebab jambatan baru itu jauh. Akhirnya Lina mengalah, kami melalui jambatan gantung itu. Ternyata bahagian tengahnya sudah rosak dan reput. Tetapi terlambat untuk kembali. Tiba-tiba Lina terperosok kerana kayu yang diinjaknya terlalu lapuk. Dia jatuh, tetapi saya berjaya memegang tangannya. Kami menjerit-jerit minta tolong. Tetapi tidak ada orang di sekitar sana... ”

Lani berhenti. Matanya berkaca-kaca. Dia berusaha meneruskan ceritanya.

“Saya berusaha dengan sekuat tenaga menariknya. Tetapi kayu yang saya jadikan pegangan hampir patah. Lina tahu jika saya terus memegang tangannya, kami akan jatuh bersama. Tanpa diduga, dia menggigit tangan saya. Tanpa sedar saya melepaskan pegangan dan Lina... Lina... jatuh. Tubuhnya tertelan arus sungai yang deras. Saya segera mencari pertolongan. Tetapi meski ramai orang yang ikut mencari, Lina tidak segera ditemui. Ketika ditemui dia sudah...”

Lani terisak lirih. Shakilla ingin memujuk, tetapi lidahnya kelu.

“Saya sangat menyesal dan merasa amat bersalah. Sejak itu saya berubah. Saya jadi suka menyendiri dan tidak mahu bergaul. Tetapi lama-lama saya sedar. Saya akan membuatkan Lina kecewa jika terus seperti itu...”

Mereka berdua terdiam. Setelah Lani memohon diri untuk pulang, Shakilla menghempaskan dirinya ke tempat tidur. Air matanya mengalir deras. Kejadian setahun lalu berputar kembali dalam ingatannya. Dia dan Elsa, kakaknya, jalan-jalan di sebuah pusat membeli-belah.

Lalu lintas cukup sesak. Entah kenapa mereka terpisah sewaktu menyeberang jalan. Ketika sedar Elsa tidak bersamanya, Shakilla mencari-cari. Dia tidak tahu ada sebuah kereta yang datang ke arahnya. Shakilla merasa tubuhnya ditolak seseorang. Dia baru sedar apa yang terjadi ketika melihat Elsa terkapar di atas jalan.

Ya, Elsa telah menyelamatkannya, tetapi dia sendiri meninggal dunia di tempat kejadian.

“Itu kemalangan. Jangan menyalahkan diri sendiri,” semua orang berkata begitu kepadanya. Tetapi Shakilla tidak peduli nasihat mereka.

 

* * *

 

Cuti sekolah akhirnya selesai. Pada hari pertama masuk sekolah, Shakilla sangat bersemangat. Dia akan memberi kejutan pada semua orang. Dia akan tampil sebagai Shakilla yang ramah dan ceria seperti dulu, sebelum kehilangan kakaknya.

Shakilla tertegun di pintu kelas. Dia melihat seseorang yang sangat dikenalinya duduk sendirian. “Lani!” Shakilla nyaris memekik.

“Rupanya kita sekelas. Kenapa kamu selalu merahsiakan sekolah kamu. Mahu buat kejutan untuk saya ye?”

Lani memandangnya seolah-olah kelinglungan. “Oh, eh... kita pernah bertemu ke?”

            “Eh, jangan main-main lagi la, Lani!” Shakilla pura-pura kesal.

“Saya tidak main-main. Nama saya memang Lani. Tetapi saya belum pernah bertemu dengan kamu. Saya baru berpindah ke sini dua hari lalu.”

Shakilla gugup. Tetapi melihat Lani bersungguh-sungguh, dia menahan diri. Shakilla menceritakan tentang perkenalan mereka. Juga semua hal yang dia tahu tentang Lani.

Wajah Lani mendadak pucat. “Kamu tahu semua tentang saya... ”

“Tentu saja. Kan kamu yang cerita.”

“Bukan. Sudah saya katakan, saya belum kenal kamu. Jangan-jangan...” Lani meneruskan, “Semua cerita kamu tentang saya benar. Tetapi ada satu hal yang salah. Saya berhenti menyalahkan diri saya sejak saya mimpi bertemu Lina. Dia kata, dia akan sedih jika saya tidak berubah.”

Shakilla mulai mengerti.

“Jadi... yang bermain dengan saya seminggu ini... ”

Shakilla terdiam, “Lina,” sambungnya dalam hati. Kedua-duanya diam. Akhirnya Shakilla tersenyum. Diraihnya tangan Lani.

            “Kedatangan Lina adalah anugerah buat saya. Di mana pun dia sekarang, dia pasti sedang tersenyum melihat kita.”

“Ya!” Lani tersenyum dengan mata berkaca-kaca.

Tiba-tiba mereka merasa akrab. Seperti Shakilla dan Lani sebelumnya.

 

Telur Kesabaran

 

EPIT ingin sekali memiliki permainan sega dreamcast. Kata rakan-rakannya mainan itu lebih canggih dari play station. Tetapi emaknya, Puan Riya telah membelikannya sebiji telur ayam.

“Nak buat apa?” tanya Epit hampir tertawa, “Emak salah dengar, ya?”

Puan Riya tersenyum, lalu menggeleng, “Itu telur ayam ajaib. Telur ayam itu mempunyai satu rahsia. Kalau kamu mampu menjaganya selama dua minggu tanpa retak atau pecah, emak akan belikan sega dreamcast yang kamu minta,” jawabnya sambil mengeluarkan barang-barang yang telah dibelinya.

Epit memerhatikan telur ayam di tangannya. Hanya sebiji telur ayam yang biasa digoreng untuk sarapan pagi. Tetapi, kenapa dikatakan telur ajaib? Epit menggaru-garu kepalanya.

“Bagaimana? Kamu mahu menjaganya selama dua minggu tanpa retak atau pecah atau tidak dibelikan mainan itu?” tanya Puan Riya kala melihat Epit diam saja.

“Tetapi mak, ajaibnya di mana?” Epit kehairanan.

Sekali lagi Puan Riya tersenyum, “Ajaibnya akan kamu tahu kalau kamu mahu menjaganya. Kamu berani terima cabaran ini?” soalnya lagi.

“Baiklah, mak! Tapi, emak janji ya, hanya dua minggu saja?” pinta Epit.

Epit fikir menjaga telur ayam itu mudah sekali. Tetapi nyatanya, baru satu jam saja, murid tahun lima itu sudah gelisah. Telur ayam itu diletakkan di atas meja belajar. Epit lupa yang telur ayam itu bentuknya oval dan boleh menggolek jatuh ke lantai. Epit membuka laci, mencari kunci basikalnya. Sebaik kunci yang dicarinya ditemui, dia menutup laci itu dengan kasar.

Akibatnya, telur ayam itu menggolek. Dengan segera Epit meloncat dan berusaha menangkap telur itu. Hup! Berjaya!

“Selamat.... selamat....,” katanya sambil mencium telur ayam itu berkali-kali. Tidak wajar kalau baru satu jam telur ayam itu sudah hancur.

Hari itu juga Epit meletakkan telur ayam tersebut di dalam bekas plastik air mineral, yang telah dialas dengan kapas. Tidak mudah pecah kalau dibawa ke mana-mana.

Akan tetapi, pada hari kedua, ketika Epit tergesa-gesa segera hendak pergi ke sekolah kerana kesiangan, untuk kali keduanya telur ayam itu hampir-hampir pecah. Ketika Epit membelokkan basikalnya, tiba-tiba dari sebuah lorong muncul penjual sayur.

Epit menghentikan basikalnya dengan tergesa-gesa. Telur ayam yang belum sempat dimasukkan ke dalam beg terlepas dari tangannya dan jatuh. Nasib baik jatuh atas rumput dan telur tersebut tidak pecah. Sekali lagi dia mengucap syukur dan mencium telur itu. Penjual sayur kehairanan.

Telur ayam itu lalu dia masukkan ke dalam beg. Epit kemudiannya mengayuh basikalnya dengan perlahan-lahan. Sejak itu Epit lebih hati-hati lagi menjaga telur ajaib tersebut. Dia tidak mahu, gara-gara kealpaannya telur ayam itu pecah. Dan akibatnya dia tidak akan dibelikan permainan idamannya.

Memang pada mulanya amat menyiksakan. Biasanya sebaik pulang dari sekolah Epit terus bermain dulu bersama rakan-rakan. Tetapi kini dia harus terus pulang. Kalau dulu dia tidak pedulikan sangat hal ehwal biliknya, tetapi kini dia harus lebih berhati-hati. Dulu biasanya dia menyelesaikan kerja rumahnya secara tergesa-gesa, main baling bantal ke pintu, letak barang bertaburan, tetapi kini tidak lagi. Dia harus lebih berhati-hati. Dan tanpa terasa telah dua minggu Epit menjaga telur ayam itu.

Sebaik pulang dari sekolah, Epit mencari emaknya. Dia mahu menagih janji kerana telah berjaya menjaga telur ajaib tersebut. Tetapi Puan Riya tidak ada di rumah.

“Epit, tadi emak kamu pesan dia mahu ke rumah sakit. Melawat suami Mak Cik Siah kemalangan,” kata Kak Suri, pembantu rumah.

“O..., terima kasih, kak!” ucap Epit sambil masuk ke dalam bilik.

Kak Suri mengerutkan kening mendengar ucapan terima kasih dari Epit. Selalunya, tidak pernah Epit sesopan itu. Epit sudah berubah? Atau....ah, Kak Suri mengibaskan tangannya lalu meneruskan pekerjaannya.

Menjelang petang Puan Riya baru pulang. Epit terus menyambutnya dengan senang.

“Bagaimana keadaan suami Mak Cik Siah, mak?” tanya Epit.

Puan Riya menggeleng, “Dia masuk wad kecemasan. Keadaannya parah,”

“Habis?”                                                       

“Mak Cik Siah perlu wang banyak, sebab itu....” sejenak Puan Riya menarik nafas, “Wang yang sudah emak sediakan untuk beli permainan kamu, emak pinjamkan kepada Mak Cik Siah,” ujar Puan Riya terus terang.

Epit sungguh terkejut. Bererti dia tidak akan memiliki dreamcast. Bererti dia... aduh, macam mana ni? Sedangkan dia sudah beritahu rakan-rakannya yang dia akan membelinya. Bagaimana kalau rakan-rakan bertanya?

“Kamu tidak marah kan, Pit?” tanya Puan Riya sambil mengelus kepala Epit.

Untuk beberapa lama Epit terdiam. Akhirnya perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Puan Riya tersenyum, lalu memeluknya, “Kalau Mak Cik Siah sudah pulangkan balik wang tu, emak janji akan terus membelikannya untuk kamu,” ujarnya mengikat janji.

Ting! Tong! Tiba-tiba loceng berbunyi. Dengan segera Epit berlari ke ruang tamu dan membuka pintu. Ternyata Adi - anak sulung Mak Cik Siah.

“Ada apa, Adi?” tanya Puan Riya setelah Adi dipersilakan duduk.

“Ini mak cik, wang mak cik yang tadi dipinjamkan pada emak. Kata emak, emak tidak jadi pinjam. Kerana orang yang melanggar ayah mahu membiayai semua kos perawatan ayah,” jelas Adi sambil menyerahkan sekeping sampul surat berwarna coklat.

Epit hampir-hampir tidak percaya mendengarnya. Dia ingin melompat dan menjerit kegembiraan lantaran terlalu seronok. Tetapi dia mampu menahannya. Inikah rahsia sebiji telur ayam yang dimaksudkan emak?

“Macam mana Pit? Jadi beli mainan?” tanya Puan Riya setelah Adi pulang.

Epit terdiam, malah terus masuk bilik. Diambilnya telur ayam itu, lantas diperhatikannya lama-lama. Tidak ada yang istimewa. Tetapi, dia berasa perlu berterima kasih. Kerana telur ayam itu telah memberikannya pelajaran paling berharga, iaitu sebuah kesabaran.

“Macam mana, Pit?” tanya Puan Riya lagi yang mengikutinya ke bilik.

Perlahan-lahan Epit menggelengkan kepala, “Tak payahlah, mak! Epit fikir wang itu sebaiknya digunakan untuk hal yang lebih berfaedah,” ujarnya cukup mengharukan.

Satu Kebanggaan

 

ZAMRI berlari cepat menyusul Haikal. “Kamu jalan cepat sangat, Kal!” ujarnya sambil termengah-mengah. “Ini pasti kerana sarapan pagi kamu banyak. Jadi jalannya cepat!”

Haikal tertawa mendengarnya. “Makan banyak? Kalau sarapan pagi banyak, saya boleh tertidur dalam kelas!” balasnya. Matanya tertumbu pada kasut jenama Adidas di kaki Zamri. “Kasut baru, ya?”

“Iya, emak saya yang belikan semalam,” jawab Zamri. “Cantik tak, Kal?”

Haikal mengangguk. “Cantik. Harganya tentu mahal!”

Zamri mengangkat bahu. “Mungkin juga tapi saya tak tanya pun berapa harganya!”

Haikal tidak bersuara lagi. Betapa beruntungnya Zamri. Dia mampu mendapatkan apa saja yang dia inginkan. Minggu lalu dibelikan telefon bimbit. Hari ini kasut jenama mahal pula. Besok entah apa lagi agaknya! Sedangkan aku, sukar sekali nak dapat apa pun barang, desis hati Haikal sambil menarik nafas. Jangankan kasut baru. Kasut sekolah usang ini pun belum lagi diganti sejak di tahun tiga dulu. Tu lihat, hujungnya dah pun terkoyak dan warna putihnya pun dah jadi kuning. Andai aku jadi seperti Zamri...

“Kal,” tegur Zamri sejurus kemudian. “Nanti petang saya ke rumah kamu, ya? Saya nak belajar matematik lagi. Peperiksaan hujung tahun kita dah semakin hampir. Boleh, kan?”

“Silakan. Saya seronok kalau kamu mahu belajar bersama saya.”

Zamri tersenyum.

Malamnya Haikal melamun. Bahkan makan malamnya tidak mampu dihabiskan.

“Kenapa, Kal?” tanya bapanya, Pak Melan kehairanan. “Kamu tak sihat ke?”

Haikal menggeleng.

Ibunya Mak Munah yang menjawab. “Haikal mahu kasut sekolah baru.”

Pak Melan menghentikan suapannya. “Eh, betul ke, Kal?” soalnya. “Jadi kamu tak perlu buku-buku pelajaran lagi?”

“Haikal memang perlu buku pelajaran, pak!” jawab Haikal. “Tapi Haikal juga perlu kasut baru. Kasut yang lama tu dah buruk sangat,”

Pak Melan menggeleng. “Buat masa sekarang, bapa belum mampu lagi, Kal,” ujarnya. “Wang bapa tak cukup. Jadi kamu harus bersabar. Bila dah ada duit nanti, bapa belilah!”

“Iya, betul tu!” jawab Mak Munah. “Dan ibu fikir, buku-buku pelajaran lebih penting dibandingkan kasut baru.”

Haikal menatap bapa dan ibunya bergantian. “Kenapa Haikal tak jadi seperti Zamri?” keluhnya. “Zamri mampu mendapat apa yang dia mahu bila-bila masa saja.”

Barulah Pak Melan dan Mak Munah mengerti penyebabnya.

“Zamri itu anak orang berada, Kal! Bapanya seorang peniaga yang berjaya?” kata Mak Munah.

“Sedangkan kita? Hidup kita sederhana, Kal! Kamu harus belajar menerima keadaan,” ujar pula Pak Melan.

Haikal kelihatan belum puas.

“Satu hal yang mungkin kamu lupa, Kal,” Pak Melan cuba mengingatkan. “Zamri memang lengkap secara zahir. Tapi soal ilmu, kamu tak kalah, kan. Kamu selalu dapat nombor satu dalam kelas dan keseluruhan pelajar tahun lima. Apakah itu tak lebih membanggakan kamu?”

Haikal tidak menyahut.

Keesokan harinya, Haikal melangkah dengan perasaan yang malas ke sekolah. Di hadapan kelas langkahnya terhenti ketika mendengar namanya disebut-sebut dari dalam kelas.

 “Kamu tahu tak, berapa markah matematik Haikal semalam?” tanya Zamri menyelusup masuk ke telinga Haikal.

“Seratus!” jawab rakan-rakan yang lain.

“Hah, seratus?” Amin melongo. “Aduh, bila ya saya akan jadi pandai macam dia?”

“Iya, ingin rasanya jadi pandai macam Haikal. Tapi tak berjaya juga!” terdengar suara Kumin.

Di luar Haikal tercenung. Selama ini, bagi Haikal, markah seratus itu sudah biasa. Sangat biasa, kerana dia selalu mendapatkannya dengan mudah. Tetapi ternyata tidak demikian bagi rakan-rakannya.

“Kamu pasti nak tahu juga markah saya!” kata Zamri seolah-olah megah dengan tahap pencapaiannya.

Terdengar suara ketawa rakan-rakan, “Yang jelas bukan seratus!” ujar mereka.

Zamri tersenyum. “Memang bukan seratus! Tapi tak seteruk dulu lagi,” ujarnya riang. “Markah lapan puluh!”

Rakan-rakannya kembali melongo. “Eh, macam mana kamu boleh dapat markah sebanyak itu?”

 “Saya kan belajar dari Haikal!” ujarnya dengan perasaan bangga.

Haikal jadi terkedu. Dia sama sekali tidak menduga sebangga itu Zamri padanya.

“Orang tua Haikal pasti bangga ada anak macam dia,” kali ini suara Yani pula kedengaran.

“Bukan hanya orang tuanya, Haikal sendiri tentu juga bangga pada dirinya sendiri!” sambung Zamri.

Bapa dan ibuku memang sangat bangga pada diriku, hati Haikal mengiyakan. Tetapi kalau aku sendiri? Haikal menggeleng. Aku memandang diriku selalu kurang. Terutama dari segi kebendaan.

“Mudah-mudahan Haikal juga bangga pada dirinya sendiri. Soalnya, selama ini saya lihat Haikal selalu berasa rendah diri. Padahal...,” suara Kumin kembali terdengar.

Haikal kembali mengiyakannya di dalam hati. Dia memang sering berasa rendah diri. Kerana tidak seperti rakan-rakannya yang ada pakaian seragam yang baru, beg dan kasut. Padahal kenapa harus rendah diri, ya? Dia kan memiliki apa yang tidak dimiliki oleh rakan-rakannya itu. Iaitu... kecerdasan akal!

Bukankah kata bapa dan rakan-rakannya itu lebih membanggakan? Barulah Haikal menyedari kekeliruannya selama ini. Hatinya kini menjadi lega. Belum pernah Haikal merasa sebahagia ini. Dengan langkah ringan dia kemudiannya masuk ke dalam kelas.

“Assalamualaikum rakan semua!!” sapanya dengan wajah yang riang.

 

Terima Kasih Mama

 

AINA melipat selimutnya. Dikesat air mata yang meleleh membasahi pipinya. Sebenarnya dia tidak ingin menangis. Tetapi rasa kecewa itu telah memaksanya untuk menangis.

Lama sekali dia termangu di atas tempat tidurnya. Bayangan wajah rakan-rakannya yang akan mengucapkan selamat hari jadi membuatkan dia malas pergi sekolah. Sehingga akhirnya terdengar ketukan halus di pintu. Disusul dengan panggilan yang menyebutkan namanya. Itu suara mama.

Dengan malas dia berdiri. Tanpa sengaja dia menoleh ke arah cermin. Dan dia tersentak melihat matanya sembab.

“Aina... bangun! Sudah kesiangan ni!” panggil Puan Ainon.

“Ya, ma...” sahut Aina perlahan sambil buru-buru mengesat air matanya agar sembabnya berkurang. Tetapi nampaknya Puan Ainon melihat juga matanya itu, meskipun Puan Ainon tidak mengatakannya. Puan Ainon cuma memeluk Aina sambil berbisik.

“Selamat hari jadi, sayang....”

Tanpa majlis. Tanpa hadiah.

Aina menghela nafas panjang. Dia tidak berani menanyakan perkara itu pada mamanya. Sedangkan semua rakan sekelasnya tahu yang hari ini adalah hari ulang tahun kelahirannya.

Ada kebiasaan baru dari rakan-rakannya, iaitu membelanja rakan sekelas makan mi rebus dan minum ais batu campur di warung Pak Comel. Yuli juga begitu. Sewaktu hari ulang tahunnya, dia mengajak semua rakan sekelas makan ayam goreng di sebuah restoran Kentucky Fried Chicken (KFC).

Sebetulnya Aina juga ingin berbuat begitu. Tetapi dia tidak berani mengutarakannya pada Puan Ainon. Kerana dia tahu keadaan kewangan mamanya itu. Sebagai pegawai rendah, pada waktu pertengahan bulan seperti ini tentu gaji papanya juga sudah menipis.

Langkahnya gontai sewaktu dia memasuki ruang kelasnya. Yati segera menyerbu sebaik melihat kedatangannya.

“Ya, Aina sudah sampai. Selamat hari jadi, ya!” katanya sambil menyalami tangan Aina. “Ni, hadiah dari saya!”

“Tapi, saya tak buat majlis apa-apa,” kata Aina lesu.

“Laaa? Habis kamu ingat, kalau tak ada majlis, hadiah tak boleh diberi?” balas Yati.

Aina hanya tersenyum melihat ketulusan rakan-rakannya itu. Dia merasa bersyukur kerana tidak ada seorang pun rakan-rakannya yang menagih untuk dibelanja makan. Mungkin mereka semua mengerti akan keadaan orang tua Aina.

Sehingga pada jam pelajaran terakhir. Sebaik loceng berbunyi, Cikgu Hasnah tiba-tiba mengumumkan. “Kamu semua jangan pulang dulu.”

Murid-murid yang sudah berdiri segera duduk kembali.

“Hari ini ada rakan kamu yang menyambut hari jadi,” kata Cikgu Hasnah.

Aina menjadi pucat. Ya Allah! Cikgu Hasnah menyebut-nyebut ulang tahunnya. Macam mana ni?

“Kerana itu cikgu mengajak kamu semua berdoa bersama untuk Aina.”

Wajah Aina mendadak pucat. Dia merasa cemas. Takut kalau rakan-rakannya berkata ‘booooooooo...!! Sebab hanya doa bersama.

Tetapi tidak ada seorang pun yang mengeluh. Dengan tenang mereka menundukkan kepala dan mengatupkan mata. Cikgu Hasnah yang memimpin doanya.

“Sekarang mari kita rayakan hari jadi Aina!” kata Cikgu Hasnah setelah mengucapkan amin.

Jantung Aina serasa berhenti berdegup. Rayakan? Aduuuh, apa cikgu ni. Dia tidak pernah mengatakan akan merayakan hari ulang tahun kelahirannya.

Aina menjadi gelisah. Dan... dan...

Aina tercengang sewaktu pintu kelas dibuka. Puan Ainon masuk sambil membawa nasi satu kotak besar.

Oh, mama... fikir Aina. Hatinya diliputi rasa bahagia. Meskipun lauk nasinya cuma sayur campur dan sambal goreng tempe, tetapi semua rakan sekelasnya menyerbu dengan girang. Sementara Aina menatap mereka dengan mata membasah kerana terharu. Terima kasih mama, bisiknya dalam hati.

Nasihat Terakhir

 

KATA-KATA orang itu sangat menyakitkan. Masakan aku dikatakannya anak angkat! Padahal aku tahu benar, aku adalah anak kandung ayah dan ibu! Anak ketiga dari pasangan Encik Hadi dan Puan Yon, orang tuaku. Aku sudahpun melihat surat lahirku.

“Sudahlah, jangan difikirkan,” pujuk Amy rakan dekatku. Bagaimana tidak jadi untuk difikirkan. Masalah ini sudah tersebar baik di sekolah, mahupun di lingkungan rumah. Kedua-dua orang tuaku cuma berkata, “Biarkan saja, Zairi. Kalau dah letih nanti, mereka berhenti sendiri.”

Tetapi, kedua-dua kakakku, Irah dan Inah, pernah berkata, “Memang kebetulan,” usik mereka sambil ketawa gelihati. Sebal!!

Sebenarnya, aku sendiri hairan, siapa sebenarnya yang jahat sengaja menyebarkan berita itu? Aku kan tidak mempunyai musuh. Tetapi, mungkin berita itu terjadi kerana aku memang sangat berbeza dengan orang tua dan kakak-kakakku. Mereka semua berkulit putih dan berambut lurus. Sedangkan aku berkulit hitam legam dan rambutku keriting kecil-kecil.

“Waktu ibu mengandung dulu, ibu mengidam apa agaknya ye?” tanyaku ingin tahu.

“Makan mi campur kicap dan mengidam buah manggis!” ujar Kak Irah sambil ketawa terkekek-kekek.

Puan Yon segera membelai rambut keritingku, “Mungkin kamu ikut perawakan datuk kamu. Adik ibu juga ada yang mirip kamu,” ujarnya seraya tersenyum lembut.

 “Datuk dah meninggal dunia ketika Zairi lahir,” gumamku sedih. “Tapi kalau bapa saudara, apakah dia masih hidup?” soalku cepat.

“Bapa saudara kamu itu bernama Idon. Dia seorang wartawan perang. Tugasnya membuat liputan di medan pertempuran. Sudah lima tahun bapa saudara kamu tak pulang. Khabarnya pun tak diketahui. Terakhir dia ada di sekitar Timur Tengah,” Encik Hadi menjelaskan.

Sementara Puan Yon nampak sedih.

Aku berfikir diam-diam. Usiaku baru empat tahun waktu bapa saudaraku Idon pergi. Jadi sukar bagiku membayangkan wajahnya. Menurut ayah, bapa saudaraku itu sangat sayang kepadaku. Dia juga yang mencadangkan supaya aku diberi nama Zairi sewaktu lahir dahulu.

Waktupun berjalan. Sekarang aku sudah berusia hampir 11 tahun. Kata-kata orang tentang aku anak angkat, mulai tidak kedengaran lagi. Sementara itu, prestasiku di sekolah mulai meningkat. Aku juga mulai menekuni dunia penulisan. Aku cuba menulis beberapa banyak cerpen yang boleh. Ternyata susah juga.

Sesudah sekian kali ditolak, barulah karyaku dimuatkan di sebuah majalah kanak-kanak. Suatu kali aku mengarang sebuah cerpen tentang kerinduanku terhadap bapa saudaraku Idon, yang sudah lama menghilang tanpa berita. Kisah itu aku ambil dari cerita-cerita mulut keluarga kami.

Baru aku tahu, lengan kiri Pak Cik Idon ternyata tidak dapat berfungsi kerana terkena pecahan mortar, ketika dia membuat liputan di sebuah medan perang. Tetapi beliau tetap yakin dengan diri sendiri. Bahkan telah berjaya mendapat penghargaan kerana prestasinya yang cemerlang sebagai seorang wartawan.

Cerpen itu disiarkan. Tidak lama berselang karyaku mendapat hadiah sebagai ‘Cerpen Kanak-kanak Terbaik’ versi majalah tersebut. Tetapi, sebenarnya aku hanya ingin bapa saudaraku membaca kerinduanku, walau di manapun dia berada.

Hari itu aku pulang agak malam. Seharian berkutat di hadapan moniter komputer, di kafe siber kerana menyelesaikan cerpen terbaruku. Aku sedikit gugup kerana merasa seperti diperhatikan.

Ketika langkahku bergegas keluar dari kafe siber, tubuh yang tidak kukenali itu seperti mengekoriku. Namun aku berjaya tiba di rumah dengan selamat. Ayah segera keluar ketika aku mengadu sambil menggigil ketakutan.

Suatu malam, terdengar suara ayah, “Ibu, anak-anak, cepat ke mari,” panggil Encik Hadi dengan wajah yang gembira.

Kami segera keluar dengan perasaan yang tertanya-tanya. Ayah sedang merangkul seorang pemuda berusia lewat 40-an. Ibu tertegun, lalu memeluk laki-laki itu sambil tersedu-sedu. Kami yang melihat hanya terpaku. Aku perhatikan tubuh tetamu asing itu. Seperti pernah kulihat. Ya, setiap kali aku di hadapan cermin. Rambut keriting, kulit hitam legam. Wajahnya yang lembut dengan pandangan teduh. Dia mirip sekali dengan ibu, lebih-lebih lagi, denganku!

 “Pak cik!!!!!!” aku terus menjerit.

Ya, bapa saudaraku Idon. Dia melepaskan rangkulan ibu dan menyambutku dalam pelukannya.

 “Zairi anak saudaraku, Zairi anak saudaraku,” air matanya mengalir perlahan ke pipi.

Kami berpelukan erat. Aku sangat bahagia. Seakan-akan telah menemui sebahagian dari diriku yang telah hilang. Ayah segera mengajak kami masuk ke rumah. Setelah membersihkan badan dan makan, kami sekeluarga duduk di ruang tamu. Tentu saja aku di samping bapa saudaraku itu.

“Kamu ini macam belangkas, tak mahu berenggang!!” ujar ayah sambil ketawa.

“Kami benar-benar seiras. Bezanya hanya usia,” kataku.

“Hanya sekadar itu,” balas bapa saudaraku sambil tersenyum. “Kalau pak cik di medan perang selalu di hadapan dengan gagah berani. Tapi kamu Zairi, baru diikut saja dah lari!”

Seisi rumah tertawa berderai. Aku hanya mampu tersipu malu.

Sejak hari itu kami seperti sukar dipisahkan. Ada rasa keterkaitan yang hanya kami rasakan berdua. Bapa saudaraku juga hairan, aku mewarisi bakat mengarangnya. Sayang, kami hanya mampu bersama untuk setengah tahun sahaja. Bapa saudaraku terpaksa pergi lagi untuk menjalankan tugasnya. Aku sangat sedih ketika berpisah. Dia menggenggam tanganku erat-erat.

“Zairi,” kata bapa saudaraku dengan suara yang berat. “Jadilah orang yang berkeperibadian kuat. Jangan takut jika kamu berbeza dengan orang lain. Baik fizikal mahupun sikap kamu. Selagi perbezaan itu tak menyalahi aturan, kamu harus menjadi Zairi. Bukan jadi salinannya Idon, bapa saudara kamu ini,”

Itulah kata-kata bijak bapa saudaraku yang terakhir. Sebulan kemudiannya datang berita, bapa saudaraku terkorban terkena peluru askar Israel di Palestin ketika membuat liputan di sana. Aku amat sedih dengan kehilangannya. 


TARIAN BIDADARI
                            
Pasir putih
tepi pantai
seperti ada
yang menaburnya
amat terpersona kulihat
seorang bidadari         
menari di atasnya

SMAHADZIR
2/8/2007


BENIH UNGGUL

Menari berjingkat atas kerusi berlapis kulit manusia
lulusan sarjana tinggi akademik persuasi
bersua kerana ingin dihebahkan suara
mencicit mencuri hati menelantarkan nurani
kami meminta fantasi ini jangan kau jejali konspirasi tak pasti
hanya meminta beban di pundak ini tak melaungkan lagi perih
jangan hanya melobi mencuri kemuliaan sendiri
kami perlukan visi tak basi
tak hanya alasan mencuarkan alibi
kami tenggelam dalam lautan kekayaan
jadi ajarkan kami untuk berenang dalamnya
hingga sesak dada akan pepohonan sejahtera

SMAHADZIR
9/9/2007


TAKUT

Ada yang larut
bersenandung ngilu di perut
menebar hasrat akan raga
mencipta benih menganyam petaka

Ada yang terbang mencium ruang hampa
menyisipkan jarum titipkan racun
dirangkul darah dibawa pada ajal
dan dengan nama Khalik aku berlindung
mengintai para malaikat bertanduk mendayu sedu
mencari rakan berbahagi panas api neraka
kulihat diriku
ada yang hilang
di mana merahnya darah tercipta
hanya berongga berisi udara

SMAHADZIR
6/7/2006


SEMBILAN PUTARAN REMBULAN

Sembilan putaran rembulan
menyempurnakan doa ibu bapa
setiap belai lunak titik airmata
di sela tangis tawa
kata-kata kau ciptakan dari dunia cahaya
kami masih tertatih mengeja huruf-huruf
sebab mata kami masih rabun
tertabir kabus cuaca begitu mudah berubah
sebab itu izinkanlah kami bercermin
pada danau matamu yang kemilau sejuk dan dalam
dan menimba kebijaksanaan semesta
yang dititipkan dasar palungnya

Kami hanyalah kanak-kanak
yang bersembunyi sebalik topeng usia
dan kepadamulah kami belajar memahami cinta
lebih dari sekadar yang terungkap oleh kata

SMAHADZIR
1/2/2006


PENJARA SUNGAI BULUH

Jenguklah, kawan jauh
aku belum lagi mahu mati!
di blok ini - begitulah di sini
lama, tahun-tahun ini;
pagi pergi sepotong rebusan ubi
dan siang adalah remah tempe
yang rutin dan kehilangan bahang matahari
bayangan buta mencari di rimbun mangga
getar suara gitar
riak ombak radio
lelaki tanpa baju

Kalau kau datang, kawan jauh
bawakan sekadar buah!
ada bas warna gerhana
yang menghantar dan menjemput di ruang sidang
untukmu tahun hukuman ditetapkan
pintu merah tua
jadual kunjung dan pesan peringatan
pohon yang kau tanam tak sempat berbuah
tumbang
waktu menunggu itu jadi beliung
menghayun sendiri ke pangkal
ranting sejenak menyentak lalu linglung

Jemputlah, kawan jauh
aku tak tahu apa di sebalik pintu
penjara Sungai Buluh itu
lebaran ini mahkamah membebaskan aku

SMAHADZIR
23/9/2006



SETITIK API DALAM EMBUN MALAM

Menitis titik air
jatuh di kulit tangan
sejenak terasa sepi dingin
semua itu adalah embun malam
namun khali tetap cagun laksana prasasti angkuh
malam telah menjelma bak api menyala
menjulang langit dengan jilat amarah
embun malam membasah kulit tangan
hinggap sejenak memberi rasa sejuk
kemudian jatuh ke tanah
setitik embun telah jatuh ke bumi
membawa setitik api dari tubuh yang menanggung amarah
sampai pada lunak tanah
menumbuhkan sebuah maaf
pagi yang akan segera tiba

SMAHADZIR
13/9/2006


YANG BERDIRI DALAM ANGIN

Yang mengendap pada musim
siapakah engkau
seperti kutahu dirimu
berdiri dalam angin
mungkin telah terkhabar pada suatu ketika
akan datang padaku
engkau begitu dingin
tetapi wajahmu tidak pucat
begitulah manusia, kau tahu?
kehidupan dan kematian
berbatas setipis kulit ari.

SMAHADZIR
19/9/2007


DIALOG

 i
“Aku penat,” katamu
atau mungkin deru ombak telah mengkaburkan suaramu
di telingaku

ii
Aku baca pesanmu pagi tadi
menempel di pintu peti ais
“aku di pantai sedang membakar diri
membuang sisa-sisa sesal kesal dan sial
tak usah mencariku.”

iii
Maaf Tuhan
kalau malam ini
langit menjadi tak berbintang atau bulan
sebab
aku sedang melukis wajah isteriku di situ

SMAHADZIR
23/2/2007


SURAT BELANTARA

Sepucuk surat;
belantara begitu gelintin kawan
belantara begitu rusuh
lalu keriuhan haiwan
berdengung di pohonan
aku merindumu
suara dari kesunyian
tidak sanggup kutatap mata
kerana cerita akan ditemui juga
berkelebat bayang-bayang melintas
panorama dari kegundahan
biarlah
mimpi kucipta sendiri
biarlah pada benakku sendiri
biarlah
surat di belantara kunikmati sendiri
seperti sepi.

SMAHADZIR
12/6/2007



SEPANJANG JALAN

Sebuah siang;
jalanan ramai riuh ricuh
garing gerah mencengkam
ditingkah sinar matahari membakar selubung
otak agar keluar dan bertatapan dengan gerah hati
aku berjalan gontai agar kenangan akan terlintas pergi
bersama beranjaknya biar masih membekas seketika
walau aku yakin
semua akan berakhir pada sebuah tanda tanya

Sepanjang jalan
ramai hiruk-pikuk
namun bertingkah sepi oleh hati
dan senyum perpisahan
kemudian kami berpisah
selamat jalan inspirasi

SMAHADZIR
23/5/2006


SUARA YANG MENYERGAH

Suara itu masih menyergah kupingmu?
bak geguntur
yang mungkin memecahkan gegendang
tetapi tidak hatimu
kerana kekuasaan manusia
bukan untuk ditakutkan
kerana suara yang gerah
hanya berdengung menggetarkan
pada dedaunan
tetapi tidak cekalmu
ada pejuang
dengan penuh keberanian
meyakini itu.

SMAHADZIR
16/6/2006


SAJAK INI KUTULIS TERGESA-GESA

Sajak ini kutulis tergesa-gesa
kerana sebentar lagi
aku tinggalkan kamu
dan apa yang dapat aku kenang
selain selembar catatan;
-      kamu tak mencium tanganku

Sajak ini kutulis tergesa-gesa
kerana semua bentuk
tak membuat tatapan mata
bertahan seperempat minit padanya;
     -  juga hitam rambutmu

Sajak ini kutulis tergesa-gesa
kerana huruf-huruf mendesak tumpah
dari kepala yang penat
sebentuk janji pada seorang isteri;
-      aku akan selalu merinduimu

SMAHADZIR
29/7/2007


SENANDUNG SUKMA

Mentari menyemburat di ufuk timur
semilir angin selatan perlahan
menggiring cagun pagi
waktu menghantar hari berganti
alam tersenyum menyambut ajaib pencipta
sisinya padang belantara
kesunyian sekeping sukma merindu
merenung setapak jalan berliku panjang
seakan tak berhujung
alangkah indahnya
jika setiap hati terselimuti kasih-Mu
tapi keinginan hanya sebuah keinginan
kadang-kadang tak dapat membuktikan
seperti keinginan sekeping sukma
sedang bersenandung sendu
dalam keramaian dunia
dan keajaiban alam semesta raya.

SMAHADZIR
9/9/2007



IRONI SEBUAH KEMUNAFIKAN

Dia termenung dan termangu
seakan tersedut dalam lubang hitam
dalam fikiran hampir beku
perangai itu masih di sana
perangai yang menghubungkan antara hati dan logik
sebuah antagonistik yang masih menjelajahi kelimbungan
dan masih bermain dengan kesetiaan
atau mungkinkah ini adalah sebuah pengkhianatan?
persetankan dengan etika!
bibir berkata hati berkelana dan otak menyimpang entah ke mana
semua begitu kontradiksi
tidak ada kejelasan
tidak ada keselarasan
dan setubuh individu hilang dari kriteria tegas
atas sebuah karakteristik
dia hanyalah maya atas dirinya
dia hanyalah kelabu
dia hanyalah remang
dia tidak cukup nyata untuk menjadi realiti

SMAHADZIR
2/9/2007


PUSPA

Puspa bukanlah mutiara hati
bukan udara yang disedut setiap hari
bukan juga jiwa di tubuh
bukan makanan yang tiap hari dimakan
puspa adalah bayang-bayang
yang membawa warna dalam hati
rasa sakit yang tidak pernah lepas dari rasa
penyakit yang mengendap di otak dan hati
puspa
puspa hanyalah...
sekuntum puspa nan biasa.

SMAHADZIR
3/8/2006


KEMBALI KE GUNUNG PULAI

Tepi sungai bening
hamparan rumput digenangi air
kereta kutumpangi
melaju tenang, santai dan nyaman
aliran air, seakan membersitkan rasa cinta nan dalam
burung-burung senja
berbondong-bondong, satu per satu
pulang ke sarang

Benteng tandus nan sunyi
hadapan dermaga purba
sisa cahaya mentari senja
sarat sinaran gugusan gunung musim kemarau
perjalanan panjang tak kunjung henti
akhirnya kembali ke kaki Gunung Pulai
sekali kembali
takkan diterima tetamu
sering pula kututup pintu ini

SMAHADZIR
4/5/2007


SENJA DI DESAMU

Ada yang bercerita
tentang senja
maghrib yang lengang di televisyen
aku tatapi senja
‘aduh, jangan kau potong senjaku
biarlah, biarlah!’
senja begitu indah
cahaya disela awan
ada yang nyala di buku
seperti mimpi.

SMAHADZIR
3/6/2006


DI BAWAH LINGKARAN MUSYAF

Kerdil mengepal kebenaran
yang diimbau di celahan kebesaran, keagungan
basah nafas kesucian; antara lingkaran
ukiran-ukiran musyaf mengindahkan
kecantikan; antara lingkaran
artifak-artifak purba muzium

Di dalam syahdu dan kental makna
dan jalan luas terbentang
cahaya dari lorong kalam Ilahi
aku rebah
tetapi kupelajari lestari murni
menghayati pelabuhan yang jauh
sejati cinta kudakapi

SMAHADZIR
4/10/2006


DEBU DI LEKUK BENANG

Pada kanvas ini
aku serupa noktah
mungkin disela
di lekuk benang
debu?
satu dalam berjuta debu
yang menghambur, menyeru:
kekasih, warna-warna dipulaskan
di kanvas:
bintang biru atau bianglala pagi hari
mungkin juga raguku

SMAHADZIR
23/8/2006


DAMAI DI DESA

Lembah membentang
selepas guyur hujan
udara sejuk segar
terasa akhir musim kemarau cagun
senja nanti
rembulan menyinari kebun getah
oh, air kali jernih
gemericik mengalir antara bebatuan.

Tengah rumpun bambu
dengar ricuh suara
perempuan-perempuan pulang
sehabis mencuci pakaian
tepian tebing daun lemba bergoyang
cagun kolek kecil penangkap ikan.

Walau musim semi merbak
telah berlalu
namun pemandangan di gunung
masih juga menambatku tinggal di sini.

SMAHADZIR
5/6/2007


DARAH MERAH DI TANAH MEMALI

Para pengikut lelaki utama
melesat di panggung juang
antara panah dan senjata api
bertaruh di sisi syurga atau neraka
gerah berhadap-hadapan
wajah-wajah berharap syuhada
melewati jalan buram berliku.

Darah siapa meleleh
memerahkan tanah Memali
di tengah putih rintih
dan senandung keagungan.

Untuk dan atas nama-Mu
sejarah kekuasaan
selalu mewariskan
berpuluh-puluh sengsara
sebagai pemilik tunggal
peluru kekejaman
dilesatkan
dari senapang kepentingan.

SMAHADZIR
5/3/2007


LAUT KIAN TAWAR

Menurutmu
apa yang membuat laut terasa tawar?
aku lihat ikan-ikan jadi bangkai
belai angin berubah badai

Apakah kau tahu
mengapa selalu ada yang mengusik ketika berlayar?
aku lihat buih-buih kian menggelecak
langit berubah kelabu
namun ombak berhenti merangkak
dan terumbu jadi debu

Sebenarnya bukan masalah bagiku
jika laut harus berubah tawar
kita masih boleh berdiam diri di rumah
sambil menatap remang cahaya
menyaring hamis udara
memaksa lebah-lebah merompak nektar
dari bunga-bunga dan mawar miskin
madupun ikut menghambar

SMAHADZIR
12/12/2006


ADA DAN TIADA

Tak akan mampu mengenali
tiada kendati ada
tiada tak pernah menjenguk wajah
apa lagi mahu berbicara
atau bergurau senda, seperti ada

Tak ada mampu menyamai
tiada kecuali ada
kerana ada ialah tiada
tak berawal tak berakhir

Yang tiada tak semestinya ada
ada tak semestinya tiada
kerana ada dan tiada
sentiada berlegar sekeliling kita
menyapa dengan senyuman mesra
menegur dengan nasihat membina
ada sering kali tak bermakna
tiada selalu berharga
kita sering alpa ada dan tiada
adalah dua benda selalu didamba
sepanjang masa

Ada dan tiada, tiada dan ada
sama saja dua permata berharga
kadang-kadang perlu ada
walau tak perlu dijelma
kadang-kadang perlu tiada
walau cagun depan mata

SMAHADZIR
3/8/2007


Warkah Dari Kampung

Sajak lautmu bergelora
mengkristal di karang kata
ketika semilir mulai menyiul rindu
gelombang mengejar perahu
atas cakerawala keningmu
kemudian kisah berperi tenang;
berapa hektar musim benih puisi
kau semai di ladang sepi?
sambil senyum kuhitung jemari
dan jari-jemarimu menulis gelombang
atas kolek kayu kecil bagai sayap
burung terbang menghantar mimpi

Awal aksara surat ada doa untukku
tembang syahdu dari kampung halaman
berulangkali kucari jejak di mata
terpatah rebah langkah
lalu bangkit dari jalan kota
kunikmati gerimis manja
jatuh di hujung kaki

Hari ketujuh kuulangi baca warkah derita
seakan yakin majlis upacara
ketika bayang-bayang mentari
merenda lirik mata bersama mantera
kasih sayang dijeruk rasa
ingin penghujung kata-kata
dermaga tumbuh bunga kemboja
menghias ruang dada
kita pelawat setia tabur serpihan jiwa
ke tanah asal kita melodikan
malam-malam sejuk mencengkam
seperti menikmati biji-biji selasih di ambang dahaga

Bagaimana agaknya?
kita tutup dulu pintu aksara
seusai hujan senja berlalu
langit masih menyisakan cahaya
digurat wajah semakin tua

SMAHADZIR
12/12/2007


KAPAL TERBANG KERTAS

Sekawah rindu senyap
gema lirih suara
detik sudah mengetuk pintu
dan duduk di ruang jauh
celoteh keriangan tak terkira
terbang bersama gelak tawa
menyatu dalam
gelora benak

Ribuan kilometer tinggal di hilir
kucium aromamu masih segar
kuikut nalar ikut jejak kukuh melepa
kurindu tak henti kuingat tak terperi
berpayung langit berterbangan
kapal terbang kertas kita
ke bumantara luas

Kapal terbang kertas
membawa rindu membawa pilu
jalan berbatu
zaman berlalu

SMAHADZIR
12/1/2007


BANGKU BULUH PANJANG

Bangku buluh panjang
topang datuk dan cucu
kadang-kadang buluh ditinggal
berdua mereka berjalan ke atas
menyongsong garing mentari pagi
buluh panjang
saksi dua generasi
mungkin tiga
hari ini
buluh panjang telah menyaksikan
terpal warna terbentang di atasnya
beban tercinta telah pergi untuk selamanya
ketika generasi tua semuanya pulang
syaitan hernia menggerogotinya tak bersisa
setagal
buluh panjang menahan pedih
takkan ada beban tercinta lagi
menumpuk di atasnya tatkala pagi

SMAHADZIR
12/12/2007


SESEKALI PULANG KE KAMPUNG

Sesekali pulang ke kampung
salami tangan sanak-saudara
bertandang rumah sahabat lama
bertanya khabar kepada semua
serasa akrab tali simpul
ikatan ukhuwah sesama agama
walau taraf hidup berbeza; ketara
kampung tidak sesesak kota
kereta tidak sarat membecak jalan
tak pernah berubah wajah
beginilah; sejak mula kenal alam
masa tidak berdusta
bersolat jemaah sesama rakan taulan
mengundang rasa derita menyiat jiwa
masjid lama lewat lima puluh tahun
di anjung pernah bersimpuh ayah
bercerita tentang usrah israk mikraj dan hijrah
dengan rotan menggedik
mengarah membetul sebutan
kalam Allah landasan hidup

Sesekali pulang ke kampung
terasa gegar hidup nyaman
bingar deru lori memanjat bukit
gempita enjin mesin penumbang pokok
damai tenang lenyap menguasai masa
terasa dihimpit sengsara
kemajuan menggadai damai
terkenang maju kota
subur tumbuh pelbagai
mercu tanda bangunan canggih
makin menyentak sendu
antara hutan batu tegak terbina
sedang suasana kampungku
sekadar sebuah monumen
pengisi nota sejarah luka tersisih

SMAHADZIR
2/4/2007


SEPERTI SYSIPHUS MENOLAK BATU

Aku ingin bercakap denganmu
mungkin sepi kita akan bertemu
bahasa diammu
suara keheninganku
suatu ketika sahabatku
aku bermimpi: menyeru langit
kau tahu?
dia memikulkan beban itu
di belakangku
bolehkah aku berbahagia
seperti juga sysiphus
menolak batunya

SMAHADZIR
12/10/2007


Tiada ulasan:

Catat Ulasan