Selasa, 3 September 2013

KUMPULAN PUISI MODEN: SUNGAI OMBAK


SAJAK pertama hasil karya saya berjudul Bunga Manggar Di Simpang Jalan tersiar dalam majalah Nona terbitan Karangkraf pada tahun 1999. Sejak itu saya mulai giat berkarya dalam genre puisi moden dan kebanyakan sajak saya tersiar dalam majalah Wanita, Jelita, Nona, Mingguan Wanita, Dakwah, Sinar Rohani, Cahaya, Media, URTV dan lain-lain lagi.
Sajak-sajak yang saya muatkan dalam antologi Sungai Ombak ini berjumlah 140 buah sajak yang saya garapkan sekitar tiga tahun mulai tahun 2011 hingga 2013. Sajak-sajak yang saya garapkan ini pelbagai tema merangkumi kenegaraan, agama, kasih sayang, persahabatan, rumah tangga, persaudaraan, alam sekitar dan sebagainya.
Saya yakin, sajak atau puisi moden masih diminati oleh pelbagai generasi termasuk golongan remaja. Rasionalnya, saya sering dijemput menjadi hakim dalam pelbagai sayembara deklamasi puisi bagi para pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti baik di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Penyertaan dalam sayembara deklamasi puisi memang menggalakkan dan ini memberi makna bahawa puisi moden memang diminati golongan remaja.
Saya lihat sajak-sajak yang berbentuk patriotisme, sajak-sajak yang bertemakan keguruan, kasih ayah dan ibu juga persahabataan merupakan sajak-sajak pilihan yang diminati golongan remaja. Pada setiap sayembara terutama di peringkat sekolah dan daerah, sajak-sajak beginilah yang menjadi pilihan. Lantaran itu, kumpulan Sungai Ombak ini amat sesuai dijadikan bahan bacaan dan rujukan terutama para pelajar dan guru di sekolah.
Namun begitu, bauran pelbagai tema dan isu dalam kumpulaan Sungai Ombak ini menjadikannya sesuai dibaca, dihayati dan diladeni oleh semua lapisan masyarakat. Secara keseluruhannya, kumpulan Sungai Ombak ini diharap dapat memperbanyakkan lagi koleksi kumpulan puisi moden dan mengayakan lagi khazanah kesusasteraan negara. Insya-Allah.
Selamat membaca.

Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Banting, Selangor

Tanah Merdeka Tanah Syurga
SMAHADZIR

Gempita genderang membakar semangat memanggang,
bergejolak lembing-lembing dijulang,
menojak langit tertinggi memokah dada petualang,
api dalam dada pun marak menyala,
langkah gagah dalam pencak perwira,
berirama tembang merdeka,
semarak seakan ajal memanggil,
keris pusaka bangsa ditancapkan tanpa gigil,
di tanah ini dipijakan langkah berani,
keras hati bak kesi kersani,
demi generasi anak cucu hari mendatang,
semangat membela terus berkobar ingin menentang,
wangian tanah ibunda ini tersebar gagah,
panji merdeka melambai-lambai megah,
puji syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi,
jalur gemilang telah berkibar di langit tinggi,
Islam di dada dan tanah ibunda pun merdeka.

Tanah ibunda wangian syurga,
bentala pusaka tinggalan leluhur berwati waja,
para pejuang gagah menancap kayu semangat menjadi belati,
dengan redha inayah Ilahi,
tanah syurga ini makmur rezeki meruah,
apa yang ditanam bakal diraih laba melimpah,
tanah subur warisan moyang berjiwa penyayang,
tanah syurga wanginya mencanak pintu bahagia,
dataran tinggi berjajar pulau kencana,
membentang luas samudera raya kaya pesona,
berdebur ombak bangkitkan tekad dan waspada,
demi generasi mendatang yang ingin mencapai pantai bahagia,
tanah ini tanah syurga idaman semua,
titisan darah para pahlawan dan hamburan keringat pejuang,
membasahi bumi demi menjulang jamung masa depan,
buat pencerahan jalan kesenangan,
menuju ke puncak gunung kemakmuran.

Demi tanah merdeka wangian syurga ini,
korbankanlah waktumu untuk menjulang pertiwi,
agama dan bangsa sepolos hati nurani,
rela taruhkan nyawa kendati tergalang digerbang maut,
terbuntang mata di ambang peluru yang ganas meragut,
bongkah membara jangan biarkan berderai,
hapuskan semua petualang negara,
yang hasratnya bersalut seribu agenda.
corakkan kanvas perjuangan dengan warna merah,
merah darah yang berkobar marah,
hiasi jambangan penentangan dengan api menjulang,
biar darah mengalir menjadi sungai saksi,
bahawa merdeka tanah wangian syurga bukan mudah,
tetapi bergulat sejuta payah,
lembing runcing yang setia di tangan kiri,
keris pusaka ayah yang terhunus di tangan kanan,
keringat basah mengalir menderas dalam kujur kudrat,
tetap terpahat erat kukuh terbebat,
membawa tanah merdeka ke puncak hasrat,
kekal kejap dalam genggaman sepanjang hayat.

Taman Damai, Banting,
Selangor


Rukun Negara
SMAHADZIR

Minda Majlis Perundingan Negara,
satu gemal semua bangsa,
satu ideologi negara merdeka,
sama dan bersepadu seia sekata,
panduan merencana program dan dasar nusa,
nilai murni jamin sejahtera,
keduk perpaduan bangsa.

Rusuhan berdarah 13 Mei 1969,
rakyat pelbagai bertindak mengikut rasa,
kesan penjajahan British Jepun; pecah perintah,
nilai menyeluruh ke mercu perpaduan,
bangsa persefahaman antara semua,
masyarakat bersatu; hidup aman berpadu,
masyarakat demokratik; kuasa dan kerajaan rakyat, pilihan raya bebas,
masyarakat adil; kemakmuran dan pengagihan harta negara,
masyarakat progresif; warganegara berbudaya ilmu demi kemakmuran,
masyarakat liberal; kebebasan amal budaya kaum;
kebudayaan kebangsaan.

Rakyat berpadu dalam kesatuan,
satu gayung seia sekata sehati sejiwa,
paduka tuanku lambang perpaduan,
tempat berpayung warga negara,
bertingkah gendang di medan berani,
langkah bermula gagah berjuang,
tegak undang-undang teguhlah pertiwi,
peraturan dipersenda tegaklah petualang,
rukun negara rakyat junjung di jemala,
prinsipnya dihayati sepanjang masa,
jalur gemilang berkibar di angkasaraya,
megah di seluruh negara sohor serata buana,
kebanggaan rakyat berbilang bangsa,
lagu Negaraku menyegar semangat cintakan nusa,
bersatu dan maju sehati dan sejiwa,
semangat setia tersemat kukuh dada,
bahasa kebanggaan bahasa tercinta,
bahasa Melayu perjana perpaduan,
menyatukan semua rakyat pelosok ceruk,
jata negara lambang berdaulat megah tersemat,
identiti negara junjungan hakikat.

Suruhan Tuhan sudah terpateri,
kitab mukjizat Junjungan Nabi,
warga mematuhi agama sepenuh hati,
jalan berkat luas terbentang nusa terbilang,
tutur manis kala menegur sesama warga,
tingkah tidak meruntuh susila merosak negara,
bunga raya Bunga Kebangsaan merah menyala,
mekar di seluruh negara semangat membara,
simbol warga hidup harmoni satu jenama,
rakyat Malaysia bicara sekata di bawah bendera
setia pada negara tercinta raja bertakhta,
Malaysia tanah tumpah darah naung perteduhan,
rimbun berbakti sepanjang hayat.

Tanah Malaysia pusaka merdeka berbilang bangsa,
pelbagai agama di bawah satu kuasa, 
mendukung murni satu cita-cita,
tragedi berdarah jadi igauan lalu tercetus ideologi negara, 
adil saksama rukun negara diberi nama,
lima prinsip termaktub merangkumi segala aspek,
segala kepentingan lahir masyarakat adil demokratik,
kepercayaan kepada Tuhan prinsip utama,
didalami sepenuh sukma agar tak berada dalam dilema, 
hidup selamat dari hukum karma.

Prinsip kedua perlu dijunjung, 
kesetiaan kepada raja dan negara disanjung,
Yang Dipertuan Agong ikon perpaduan rakyat,
lambang kesetiaan membawa satu semangat,
kedaulatan undang-undang prinsip ketiga, 
perlu dihormati segenap warga,
perlu dipatuhi melindungi hak warga paling utama, 
menjamin kemakmuran dan perpaduan,
keadilan terjamin melalui undang-undang, 
tidak kira kaum dan agama semuanya sama, 
itulah kedaulatan undang-undang,
kesopanan dan kesusilaan prinsip terakhir, 
meminta rakyat berakhlak mulia, 
moga keharmonian dapat dibina, 
dalam perhubungan sesama kita.

Hadapan Tugu Negara,
Kuala Lumpur


Perginya Sang Pencerah
(Belasungkawa buat Tan Sri Awang Had Salleh)
SMAHADZIR

Tanggal 24 Jun 1934,
di Kampung Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang,
dia menjengok warna dunia,
pelajar Melayu terbaik Kedah Darul Aman,
sasterawan berjasa,
Biru Warna novel pertama 1966,
menyentuh kehidupan rakyat pelbagai bangsa,
latar 60-an waktu penuh konflik,
negara baru merdeka pembinaan negara bangsa,
polemik integrasi kaum dan jurang generasi,
Merah Kuning Biru, kumpulan cerpen mengubah minda,
Angin Retak, Tinta Pena dan Dongeng Merdeka,
antara karya kaya ceritera,
Buat Menyapu Si Air Mata dan Pelarian Seorang Tua,
drama pentas amat bermakna,
dramatis aliran realis sejajar Usman Awang dan Kala Dewata,
pengkaji dan penelaah sastera dihormati,
Selindung Bulan Kedah Tua, buku kajian penuh erti.

Dalam seminar medan persidangan,
dia diberikan penghormatan,
bantu selesaikan masalah akbar:
rumusan dan resolusi,
mindanya jelas, mudah dan tidak kompleks,
rumusan mudah isu sukar cari inti pembentangan,
membingungkan atau meleret-leret,
segalanya jadi ringkas dan padat,
idea yang jelas, isu yang kemas,
fakta mudah dikunyah,
itulah Tan Sri Awang Had Salleh,
kejernihan minda,
terang dan bersuluh. 

Dia terbuka dan menghormati semua pandangan,
amat berhemah membuat teguran,
tidak menyenangi atau menyokong sesuatu pandangan,
ada cara melakukannya dengan sopan,
disenangi teman-teman kerana peribadinya tenang,
sentiasa senyum dan terbuka,
dia cerminan minda,
sikap dan peri laku seorang Melayu sebenar. 

Kini sudah lenyap Sang Pencerah,
dunia ilmu kehilangan tokoh terbilang,
buana pendidikan kehilangan ikonnya,
mandala sastera kehilangan penulis kreatif lagi prolifik,
tidak mungkin dicari ganti, 
dia pelajar dari desa,
capai kejayaan paling tinggi dunia pendidikan dan keilmuan,
dia lambang kesungguhan dan kerja kuat,
dialah ikon pendidikan negara.

Putrajaya


Palestin; Hakikat Cinta Sesama Manusia
SMAHADZIR

Palestin tanah anbia barokah melimpah,
di layar tv kulihat kipas helikopter dengan bendera Israel,
berkibar dan meluncur ke penempatan warga,
gagah menderum dihuni lelaki agam perkasa,
tangan masing-masing teracung senjata automatik,
melintasi angkasa dengan genderang gempita,
di dada semarak kebencian ingin mengganyang,
kala itu aku sedang menganyam mimpi diusung bidadari,
setelah menikmati nasi beriani daging bersari,
menghirup capocino coklat di cangkir antik,
aku lihat helikopter berputar mengesan mangsa untuk ditempur,
udara penuh debu hangat melantun memburai,
batu-bata rumah lebur disergam mesiu ganas,
memuntah dan memancutkan darah pekat,
dari kepala dan dada manusia-manusia kerdil,
yang sekian lama terlonta dan meminta-minta,
ribuan peluru lepas dari mulut berdentum bingar,
lesap ke tubuh warga Palestin yang sedang merenung langit,
mencari keadilan, mengintip kesejahteraan,
menuntut rasa adil dari dunia sekitar yang jengkel,
mewah dengan kekayaan melimpah.

Hari itu bahang mentari memijar bumi,
bergelimpanganlah tubuh-tubuh kurus kecil tak berdosa,
menyembah bumi barokah titisan para anbia,
darah seakan aliran sungai berliku ke laut,
sedu-sedan mengapung tembang jelu bersambung,
roh-roh terlempar, bumi kinanah tergetar,
sukma menjadi kosong, jiwa menjadi lompong,
aku menyaksikan mereka sudah terbaring mati,
setelah tak ditemu rekonsiliasi demi tercipta revolusi,
putera-puteri jadi yatim-piatu di tengah dunia demokrasi,
meratapi jiwa-jiwa yang pergi, betapa malang tanah barokah ini,
bangsa mulia beriman kepada Allah Azzawajalla,
kini terbakar api yang dinyalakan para penderhaka,
mungkin seekor babi raksasa yang hadir dari rahang neraka,
untuk membisikkan betapa kekuasaan adalah segala,
boleh merajalela, boleh membunuh sesiapa saja,
sekehendak rasa.

Palestin, demi memperjuangkan tanah barokahmu,
kami rela mempertaruhkan apa saja yang ada,
nyawa harta benda bukan nilai yang berharga,
kebebasan hidup saudara seagama lebih mulia,
dijunjung dan disemarakkan di mercu sejahtera,
kendati mesiu pembunuh masih bersiaga,
kereta kebal berlapis besi terus berjaga,
senapang automatik di pundak waspada,
bila-bila masa boleh melunyaikan tulang iga,
sisa asap mengelun, beban berat tak terpikul,
alangkah masygul warga yang dipaksa makzul,
suara nurani bungkam, kata hati terus diam,
batu-batu kecil adalah himpunan dendam,
tak ada yang pasti, antara hidup dan mati,
betapa hidup lebih agung menjulang maknawi,
iman dan cinta Ilahi.

Palestin terus diselimut sepi menguasai seluruh mandala,
menziarahi batin-batin yang trauma kerana peristiwa,
pembunuhan tragis syaitan Israel berhati serigala,
sendu isak tangis berteleku di balik runtuhan pintu,
menumbuhkan kepiluan yang begitu ngilu,
sementara dari serata dunia, khabar telah merebak,
bungkusan simpati melimpah-ruah, hanya simpati,
bersama doa dan secubit tindak berani mengutuk,
di jalan-jalan raya dan tepian gedung bertingkat,
semuanya melaung tentang darah yang menggenang,
salak anjing memantul ke gunung kukuh tinggi,
gemanya tumbuh di udara, menebar suara sayu,
gunung tetap kukuh tanpa bergetar,
kalau damai boleh direngkuh, mengapa pembunuhan ditempuh,
jika keadilan boleh digapai, kenapa ada nyawa tergadai,
jika damai dirindu, mengapa menghambur peluru,
andaikata kenal hakikat cinta sesama manusia,
tak mungkin ada luka dan derita.

Bandar Tasik Selatan
Kuala Lumpur


Hutan Kita
SMAHADZIR

Hutan kita,
gondol oleh tangan-tangan rakus,
wang berjuta menjadi berhala,
pentingkan keuntungan tanpa peduli derita,
hingga ada jiwa yang terluka,
ada hidup yang tersiksa.

Indahnya hutan kita dengan hijaunya,
ribuan pepohon menyapa senyum mesra,
nusa tercinta tumbuhan menghijau,
sungai dan jeram bertingkat menderu segar,
flora subur menyerap mentari,
fauna berlegar memokah rezeki,
aku lahir di sini,
temanku adalah hijau rimba,
ini taman syurgawi,
hutanku subur menjana rezeki meruah,
sumber perubatan dan ilmu pengetahuan,
pakar-pakar berkelana dari jauh,
mencari penawar untuk manusia.

Kini tangan-tangan rakus telah merajalela,
pepohon hijau rebah dipokah jentolak,
hutan kita jadi botak tidak keruan,
sungai menjadi merah,
semarak api marah mergastua,
tanah turut rebah menyembah,
lenyap flora-flora indah,
sisa akar-akar yang patah,
terbongkah di celah lembah.

Mari kita satukan jari-jemari,
subuhkan semula hutan kita yang asli
satu tunas biarkan hidupnya dipeduli,
yang sudah merambah dilindungi,
hutan kita milik semua generasi,
biarkan ia lestari,
pengukuh pasak bumi.

Genting Highland


Pejuang Tak Dikenali
SMAHADZIR

i

Dia mati sebelum negara ini merdeka,
mati di sisi seorang soldadu Portugis di bumi Melaka,
beberapa butir peluru senapang telah menembusi kepalanya,
darahnya mengalir ke Sungai Melaka,
mengalir terus ke Selat Melaka,
lalu bergenang di pangkalan Sungai Linggi,
anak-anak yang bermandi-manda,
membawa jenazahnya ke puncak bukit,
dijulang bagai seorang pejuang,
yang nesannya tidak bernama,
pusaranya entah di mana.

ii

Suatu ketika dahulu dia terbaring kaku tidak bermaya,
bukan tidur tetapi lenyap nyawanya,
sebuah lubang peluru bundar di dadanya melopong menganga,
senyum bungkamnya mahu berkata, aku telah diserang,
komunis yang menerjang mahu berperang,
dia mati di kebun getah kala fajar menyingsing,
hasil kerjanya dirampas dan dibayar dengan nyawa melayang,
sebelum mati dia telah menentang,
tangan ini akan menghadang semua petualang,
jenazahnya ditemui kala malam menjelang,
oleh harimau yang berkeliaran,
lalu dibaham sampai ke tulang,
dia adalah perwira tidak pernah dikenang,
walau matinya kerana berjuang,
menentang komunis berhati binatang.

iii

Beberapa bulan yang lepas dia ditemui bungkam,
mayatnya hampir reput di sebuah belantara tebal,
siapa pun tidak tahu kenapa dia datang,
kedua tangannya memeluk sebilah parang,
yang tahu hanya anak dan isteri yang malang,
yang sudah seminggu meratap sebuah kehilangan,
dia terbaring setelah jatuh dari puncak tualang,
kerana mencari rezeki halal untuk anak isteri,
di sisi Azzawajalla dia perwira sejati,
mati kerana menunaikan tanggungjawab hakiki,
di pusara hujung kampung jenazahnya disemadi,
tanpa kalungan bunga tanpa panji-panji,
dan dia mati tanpa dikenali.

iv

Hari ini seorang penulis telah ditemui mati,
di sisinya puluhan buku karya peribadi,
sarat nasihat, kaya dengan pedoman,
soneta dan puisi pengobar semangat juang,
cerpen-cerpen pengubah corak peribadi,
novel-novel peninggi akhlak,
kajian-kajian budaya langka dan pupus,
untuk tatapan generasi mendatang,
dia mati kala sedang menulis sebuah sajak,
menghurai makna merdeka di tanah pusaka,
mengajak generasi remaja kembali ke pangkuan nusa,
cinta tanah merdeka, kasih bentala kencana,
tinggalan leluhur berhati waja,
dia mati tanpa dikenali, tanpa anugerah di sisi,
dia mati tanpa pingat jasa bakti,
dan dikuburkan di pusara sepi,
bersama mimpi-mimpi tersendiri.

Kampung Kanchong Darat,
Banting, Selangor.


Nil Berolak
SMAHADZIR

Riak Sungai Nil berolak kasar,
tidak lagi bersenandung riang bersama semilir sahara,
dan menjemput biru lembut langit kinanah,
membonceng angin yang menampan pepasir halus,
biawak-biawak pasir menjadi diam,
unta-unta turut terkaku bungkam,
Sungai Nil tidak lagi tenang,
ganas menolak tebing lalu runtuh,
ikan-ikan terawang-awang dalam mimpi ngeri,
ragam manusia dihimbau kembali,
sejak Habil dan Kabil mencipta sejarah,
darah selalu mengalir di serata arah.

Sungai Nil tidak lagi mengalir indah,
untuk dilayari perahu-perahu ke muara Laur Merah,
atau menikmati molek Babylon dan istana Nebuchadnezar,
bersorak senyaring genta benteng qibtiyah,
menjalari segenap mandala, mendebarkan,
mendongakkan nafas, membisik jelu rasa hati,
inikah bumi anbia yang bersalut emas pedoman,
di mana suara-suara ulama pewaris nabi,
yang mendahulukan syariat persaudaraan,
bukan permusuhan mencari kuasa,
waktunya semilir damai harus berderu segar,
menyapa tubuh dan tangan yang keras,
puing runtuhan perlu bangkit dengan gempita,
bangun dan berdiri teguh dengan paksa,
lenyapkan belenggu kuasa yang bermaharalela,
yang ingin menjadikan boneka semata,
tanpa memikirkan jutaan bahagia,
bersemarak di tanah anbia sejak lama.

Sungai Nil terus berolak marah mengalir darah merah,
dari tubuh-tubuh yang ditusuk gerah timah,
riak ombak membalun Mersa Matruh,
cerobong hitam terus melakar warna langit,
benarnya panji teguh terpacak, biar dipukul digertak,
apa erti perjuangan jika terhenti,
andai denyut terhenti, andai air mata gugur,
gugurlah kerana panji, gugurlah di bumi sendiri,
antara Morsi dan El-Sisi, pilih yang berani dan berbakti,
hilang nurani merobek daging, kental jiwa senjata abadi.

Sungai Nil jadi saksi, dari timur dan fajar pagi,
melutut merangkak, jeritan kebebasan,
dari belenggu manusia syaitan,
gagah melangkah di jalan kemenangan,
deru semilir dalam marak semangat, rela mati disiat-siat,
pelihara kasih, tergadai nyawa menjadi pusara,
sabarlah, ia bukan sia-sia, genggamlah bara bersama doa,
Nil sungai hening di bumi suci,
perinya Firaun dan para nabi,
moga perjuangan Tuhan rahmati.

Nil terus berolak dan bergejolak,
menuntut lenyap kuasa yang tidak bijak,
langkisau garang terus bergerak,
bukan sekadar menggertak atau mencipta luluh lantak,
tetapi benar-benar ingin berontak,
menuntut hak, hidup sejahtera dan layak,
alun Sungai Nil akan terus bergerak,
demi sebuah tamadun yang pernah tegak.

Pantai Teluk Kemang,
Port Dickson, Negeri Sembilan

 

 Mengejar Rindu Berlari

SMAHADZIR

 Nyawa, daging, tulang dan urat nadi,

semuanya milik Tuhan Rabul Izzati,
menjadi hancur di buana azali,
terbang mengecil lalu menyepi,
luluh sirna dalam lebur diri,
di kaki kebesaran arasy Ilahi.

Hanyir nafas, angin dan hela nyawa,
hancur dalam lowongan wirid berdoa,
mercup gizi tanpa erti yang nyata,
segalanya menjadi punah dan hina,
dalam zuhud bersama mata yang buta,
di kawah mimpi tanpa nikmat rasa.

Ya Rabbi, mataku telah berzina,
ya Izzati, lidahku telah bernista,
ya Khalik, tanganku telah berdosa,
ya Ilahi, kakiku telah berdusta,
ya Salam, telingaku telah tercela,
ya Ghaffar, ampunilah segala-galanya.

Cair darah, lendir dan air mata,
meruap dalam sakar Khaliq belaka,
melerai jisim tersihir mukjizat nyata,
dalam lebur hakikat yang Esa,
di dasar samudera Rabbi Azzawajalla,
lemas dan sesak dihimpit nostalgia.
              
Begitulah aku insan yang rugi,
bak burung kencana dilitup sepi,
berlagu mersik di embun pagi,
bebas hinggap dan terbang lagi,
riang melarik mimpi dinihari,
leka mengejar rindu berlari.

Masjid Sultan Salehudin Abdul Aziz Shah,
Shah Alam


Wasiat Raja Melayu
SMAHADZIR

Wahai rakyat kami,
sementara belum kelu lidah dipasung hari,
dengar dan akurlah wasiat ini,
jangan lupa mandala ini tinggalan moyang hakiki,
leluhur berhati luhur berjiwa setia sejati.

‘Kami namakan, kami panggil akan bentala ini,
tanah yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung,
Persekutuan Tanah Melayu, tanah pusaka agung,
kami isytiharkan dan kami catatkan dengan tinta kencana,
kami simpan untuk kamu semuanya,
kami benarkan kamu isytihar dan jaga dengan sempurna,
dan simpan untuk anak cucu kamu selamanya,
selain bukit-bukau, gunung-ganang, tasik dan hutan simpan,
Tanah Simpanan Melayu,
sehingga nisbah lima puluh peratus,
selebihnya kamu rebutlah, jangan bergaduh,
bersama-sama kaum lain, saudara kamu,
bagi menjaga dan melindungi anak cucu,
serta harta hak milik kamu,
kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu,
untuk membenteras kekacauan dalam negara,
dan ancaman luar negara dari angkara murka,
kami kekalkan dan kami jamin kerajaan,
dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah tanah ini,
kami isytiharkan Islam Agama Persekutuan, pertahankan,
kami tetapkan Bahasa Kebangsaan Bahasa Melayu, jangan biarkan ia layu,
kami amanahkan,
kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu,
melindungi kedudukan istimewa orang-orang Melayu,
jangan keliru, jangan berhati batu,
jangan berseteru, jangan bertindak melulu,
akuri kepentingan sah kaum-kaum lain.’

Taman Pertanian Putrajaya


Hadapan Kaabah
SMAHADZIR

Pagi ini, di hadapan Kaabah,
kita yang sarat dengan kekhilafan,
yang selama ini memakai keduk kebesaran,
dan menaiki kenderaan-kenderaan permata,
dan menggunakan harta-harta bernoda,
dengan suara lantang menggunakan nama,
kawula dukana yang berpuluh juta,
kita serahkan diri kita,
untuk digantung di pilar penyesalan,
biarkan pingat dosa kita dilucutkan,
setelah puluhan tahun lamanya,
kita diapung kemewahan.

Kita yang datang dengan riyak dan bangga,
biarkan dosa tertinggal di tanah nusa,
melancong berfoya di manca-negara,
memperoleh kekayaan beratus juta,
penganjur zina secara terbuka,
dan menistakan kehormatan wanita, kaum ibu kita,
hadapan Kaabah ini kita potong tangan-tangan kefasikan,
sujud tawaduk di depan Ar-Rahman,
ampunkan segala dosa yang bersimbahan,
terangkan perjalanan, luaskan keberkatan,
sebelum kita berangkat pulang.

Di hadapan Kaabah,
marilah kita menyerah segala qudrah,
kita dalam iradah, dalam inayah,
kita manusia terlalu lemah dan lelah,
Azzawajalla Maha Pemurah,
tempat pemberi hidayah.

Hadapan Kaabah,
sujud pasrah, menyerah,
kepada Allah.

Mekah Ar-Mukaramah


Laut China Selatan
SMAHADZIR

Laut China Selatan makmur rezeki meruah,
keringat nelayan tumpah di jaring hidup,
penyu menangis di pantai Rantau Abang,
Pulau Hentian dipuput bayu membelai,
camar laut riang menyergap bilis,
di pangkalan berlabuh kolek-kolek kayu,
resah menanti tengkujuh berlalu.

Di Laut China Selatan kapal berlalu-lalang,
membawa barangan juga penumpang,
berlayar dan berlabuh,
menyebarkan pesona Tanah Melayu,
bersemarak suatu ketika dulu,
fenomena alam titiwangsa,
berpenampilan gagah perkasa,
membentang di bumi luas,
alun laut yang menghempas,
dan di Laut China Selatan, hatiku bergelora,
kala menanti senja,
kerana di sini ada cerita nestapa,
kisah air mata.

Di pasir tepian lautmu,
aku teringat dirimu, sahabatku,
kapal-kapal yang berlayar dan berlabuh,
menjadi harapan titipan rindu,
sahabat yang sekian lama merantau,
meninggalkan parit dan selokan,
meninggalkan kenangan berpanjangan.

Di Laut China Selatan,
sahabatku dari tanah leluhur,
bersemadi tanpa nisan kubur,
aku mengenangmu sambil menanti senja,
senja kematian yang pilu dan menyesakkan.


Pulau Redang


Ayah Tidak Merelakan
SMAHADZIR

Ayah tidak merelakan,
kamu berangkat ke medan durja,
kerana rimba kemerdekaan ini,
ayah yang pugar,
penerokaan dalam linangan keringat dan darah,
menghalau penjajah,
yang garang menjarah.

Ayah tahu, kamu tidak menggunakan akal,
apalagi iman dan tawakal,
apa yang kamu laungkan hanya kebencian,
dan dendam tidak berkesudahan,
perjuangan di jalanan bukan perjuangan sejati,
yang menuntut kemerdekaan ibu pertiwi,
tetapi undangan tangan-tangan hitam,
datang untuk menghentam,
kemakmuran yang sekian lama diidam.

Niatkanlah hatimu tegakkan kalimah agama,
insaf darah dan keringat pejuang lama,
yang ikhlas berkorban tanpa nama,
buangkan api marah yang menyala,
akibatnya akan menggamit celaka,
bukan saja negara tapi juga bangsa,
bangsa akan menjadi hina,
bila dijajah semula,
agama akan sirna,
bila tiada tunjang kuasa.

Ayah tidak merelakan,
kamu jadi petualang negara,
bersama tangan-tangan ghaib celaka,
yang punya agenda,
busuk tercela.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur


Jalur Gemilang
SMAHADZIR

26 Mei 1950 – berkibar di bumi Tanah Melayu,
Mohamad Hamzah pencipta bertuah,
putih bulan dan bintang bertukar warna,
lambang diraja Melayu,
bucu bintang sebelas jumlah negeri,
Persekutuan Tanah Melayu.

1995 Jalur Gemilang bertukar nama,
ilham Datuk Hashim Mat Dris,
megah sebaris Sang Saka Merah Putih Indonesia,
gagah berkibar setara Union Jack United Kingdom,
teguh berdiri sepadan Star Spangled Banner Amerika Syarikat,
sohor ternama sejajar Tricolor Perancis,
Si Tuah dicadang sempena nama Hang Tuah,
pahlawan Melayu berani, gagah perkasa, setia kepada raja,
Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara cadangan terpilih,
lambang sejarah dan perjuangan negara,
memupuk semangat jitu kalangan rakyat,
terus maju membina negara aman makmur,
11 September 1996, gagal memikat ahli mesyuarat Kabinet,
2 Jun 1997, tiga nama jadi pertimbangan:
Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang, Jalur Sinar Gemilang,
9 Julai 1997, Jalur Gemilang menjulang megah,
Dataran Merdeka jadi saksi,
berkibar gagah 30 Ogos 1997.

Jalur Gemilang!
dulu, sebelum berkibar di tiang tinggi,
dibelai, dipeluk angin merdeka,
hanya lambang sebuah asa bangsa melarat,
meski mewakili negara tidak berdaya, 
tidak bernama di sejarah dunia, 
namun tersimpan dalam kalbu, 
lambang kasih pada nusa.

Jalur Gemilang tersemat pada bendera negara,
jalur lambang satu laluan lurus,
hala tuju serta arah sama diikuti warga,
gemilang lambang keadaan bercahaya,
terang-benderang dan cemerlang,
lambang aspirasi rakyat Malaysia,
mengharungi kemajuan penuh gigih,
taat dan bersatu bagi membina negara,
cemerlang gemilang lagi terbilang.

Jalur Gemilang!
kini, berkibar di tengah bangsa
lambang kemegahan bangsa berjaya,
panji perjuangan mengejar kemuliaan bangsa merdeka,
dan demi Tuhan pencipta negara, 
selama masih bersiut nafas di dada,
denyut darahku penyiram medan perjuangan,
takkan kembali dalam lipatan,
diam di kamus sejarah,
biar berkibar megah di angkasaraya bebas.

Kuala Lumpur


Ainul Mardhiah
SMAHADZIR

Bidadari yang diukir cahaya dari syurga,
wajah bersinar bak rembulan malam purnama,
permata yakut dan marjan tiada tara,
wajah bercahaya laksana bintang berkilau,
menyiangi gelintin malam dengan benderang,
indah kerlipan wangian seisi alam,
sehelai rambut jatuh ke bumi,
harum meliputi timur dan barat,
pekat hitam rambut terpadu putih wajah,
mata bersinar cemerlang,
meludah tujuh lautan,
laut tawar dek indah dan manis,
berkat za’faran menyalut tubuh.

Bidadari yang diukir cahaya dari syurga,
penghuni jannah mencermin wajahnya,
di pipi mulus,
ketika senja beringsut pada horison baur,
dia hadir dalam aura yang menggiur,
manja malu-malu pada pucuk malam,
kala mengisahkan cinta yang membuai,
dan melenakan insan-insan yang dimabuk kasmaran,
matanya serupa semberani,
di mana merpati jantan enggan menyingkir dari dahan cemara,
kala menatapnya terpana,
dan berjanji sejak lama,
menantinya pada tiap malam menjelma,
pelita penerang temaram,
yang senantiasa menyinari jiwa-jiwa sunyi,
dan menuntun insan pada ranah nan membenderang,
senantiasa, setiap waktu, sepanjang masa.

Bidadari yang diukir cahaya dari syurga,
adalah Ainul Mardhiah,
bakal isteriku di sana.

Masjid Putrajaya


 31 Ogos 1957
SMAHADZIR

31 Ogos 1957 – hari bersejarah bertinta kencana,
merdeka, merdeka, merdeka,
tarikh keramat, satuan kata sepakat,
pejuang menghunus senjata lidah di medan bicara,
gelanggang perang bungkam dentuman senapang,
meriam dan kereta kebal diam tidak menderam,
diplomasi dijulang berselimut gebar sayang,
darah para pejuang amat mahal untuk dibuang,
merdeka semarak kembang,
laksana bunga mekar di jambangan,
hari ini aku berdiri menghadap Jalur Gemilang,
di Dataran Merdeka berkibar cemerlang,
hentak kaki gagahku menyongsong harapan menjulang,
suci jiwaku menggapai harapan suci murni,
aku anak bangsa Malaysia yang polos berbakti,
untuk kedaulatan nusa ibu pertiwi,
suara lantang menyuarakan semangat berani,
merdeka, merdeka, merdeka,
mashyurlah Malaysia ke serata dunia.

31 Ogos 1957,
hari ini hari kemerdekaan nusa tercinta,
tarikh keramat nama Malaysia tercatat di peta dunia,
hari kebangsaan tanah pusaka tinggalan bonda,
hari lahirnya bangsa 1Malaysia,
semangat juang para perwira,
gugur damai di medan perang pasca merdeka,
Portugis, Belanda, British dan Jepun,
Bintang Tiga yang ganas bermaharajalela,
kini sudah melenyap dikambus sejarah,
harum namamu para perwira di kandung badan,
dibalut jasa bakti bernilai permata,
merdeka, merdeka, merdeka,
jayalah Malaysia di puncak persada.

Baling,
Kedah


Alam Cameron Highland
SMAHADZIR

Gunung-gunung dan bukit-bukit hijau,
tinggi dan tajam menongkat alam,
menjulang menusuk-nusuk awan,
air sungai berkelok-kelok,
bermain-main di celahan kakinya,
makmur fauna dan flora bersyukur,
segar bugar dalam lingkungnya,
bilakah agaknya,
Tuhan menurunkan tangan-Nya,
mengukir dan mencalit warna alam,
memahat mencoret sebegini cantik mempersona.

Belantara menghijau membiru di kejauhan,
ladang-ladang sayur membentang kekayaan,
bunga pelbagai warna menggerbak memekar,
kebun teh menghijau saujana,
kumbang dan rerama berterbangan riang,
unggas gelicau bersenandung tembang gembira,
pawana berhubub mesra dan manja,
semuanya mengarak senyum pesona,
semilir sejuk segar membelai nyaman,
molekul-molekul bahagia bertebaran,
menyerap ke pori-pori kehidupan.

Cameron Highland


Sebelum Pantai Kerontang
SMAHADZIR

Sebelum pantai kerontang,
seekor penyu akan pulang bertandang,
menyuburkan telurnya di pasir gersang,
katanya: malam ini kubenamkan butir-butir puisiku di pantai hatimu,
sebentar lagi aku akan kembali ke laut,
untuk hidup bersama pelaut,
yang tabah diarak gelombang laut.

Telur-telur penyu itu, mungkin akan menetas,
menjadi penyu-penyu perkasa,
berenang beribu batu merentas benua,
mungkin juga mati pecah berkecai,
terinjak kaki makhluk-makhluk dajal.

Sebutir telur penyu menetas di pantai hatimu,
anak penyu juga kembali ke laut,
seperti penyair mudik ke gunung ilham,
melalui desa dan bandar, gunung dan belantara,
yang menghabiskan usianya,
kalau ombak menyambutku kembali,
akan kusebut namamu pantai kasih abadi,
tempat kubenamkan kata-kataku,
yang dulu melahirkan aku,
berkurun yang lalu.

Penyu itu tidak pernah datang lagi ke pantai kerontang,
sebab pasir membahang gersang,
hanya menyelam dan berenang riang,
menuju laut jauh di hujung horizon,
di pulau cakerawala abadi.

Bangi, Selangor


Seruan Perwira
SMAHADZIR

Kabus dalam kenangan pergolakan pertiwi,
mendung bertandakah hujan deras,
membanjiri rasa yang haus kemerdekaan,
langkahnya ke hadapan bersama semangat menjulang,
serbu atau hayun lading perjuangan,
merdeka atau mati dalam penjajahan,
seruannya bersipongang merasuk jiwa,
dalam serbuan keris-keris pusaka Melayu menyatu,
dilaungkan ayat-ayat suci ke udara raya,
jeritan dan laungan semangat juang demi negeri,
rela tubuh menahan terpaan belati,
untuk ibu pertiwi.

Kini kau lihat,
seruanmu telah menyubur pepohon semangat,
lading perjuangan telah dijulang tinggi,
mengapung langit yang berdarah,
simbahan keringat dan airmata tertinggal di pondok sepi,
gelecak amarah kepada penjajah,
dendam kesumat kepada petualang negara,
dicincang dalam semarak api bergelojak,
merdekalah tanah air, merdekalah bumi bertuah,
hitam putih tanah kelahiranmu kini,
bercahaya bak kemilau emas permata,
darah para penjajah keji yang tumpah di tanah nusa,
adalah racun berbisa,
jangan biarkan tumbuh pepohon angkara,
seruan perwira tetap menggerapak dalam dada,
gemanya merasuk jiwa,
untuk kemerdekaan Malaysia sepanjang masa.

Hutan Belum,
Gerik, Perak


Aliran Sungai 
SMAHADZIR

i

Sungai yang dulu mengalir kecil,
di celah pepohonan belantara tebal,
di antara batu-batu di pergunungan tinggi,
sekarang telah sampai ke bandar,
menyelusup di celah-celah bangunan,
jambatan, kolong dan longkang,
dan akan terus menuju ke laut lepas,
dan bermukim di kaki langit.

Sungai yang dulunya hening dan nyaman,
tak lagi terdengar derai air terjun,
atau jeram bertingkat mendebur segar,
udara sejuk, nyanyian burung, semerbak bunga,
berganti panas terik dan polusi alam,
sampah-sarap, plastik, minyak, tikus-tukus mati,
mengalir iseng lamban dan sakit,
memberat dan membusuk,
lalat-lalat hijau dan berenga bebas membiak,
meloyakan tekak menyaratkan otak.

Sungai itu akan terus mengalir,
dari gunung, kampung, bandar dan laut lepas,
membawa kapal-kapal berbeban berat,
mengalir dari mulut muara,
menyambut hangat hempasan prahara dunia,
dan mengalir terus ke kaki langit.

ii

Sungai-sungai kecil, sungai-sungai besar, bersama,
bergelora dalam hidup sarat fatamorgana,
pergunungan dan air terjun menghimbau aroma,
burung-burung bergelicau manja,
menyulut kemulus putih mesra,
menjadi lautan api yang menyala,
menyepuh nama-nama yang menjelma,
dari segenap makna.

Bandar-bandar kecil, bandar-bandar besar,
gemuruh dalam sepi jiwa, hati dirasuk merana,
burung-burung tersedu menghibur sungai duka,
mengalirkan cinta dan irama pesona,
di ambang senja ketika pohon-pohon usia,
bertafakur dalam zikir bergema,
sementara menunggu panggilan dari Yang Esa.

UKM, Bangi, Selangor



Tanah Airku
SMAHADZIR

Angin berdesir di pantai tenang,
burung berkicau merdu suara,
embun pagi membasahi rerumputan,
sawah padi menghijau di kaki gunung,
gunung tinggi menjulang awan,
rakyat hidup makmur aman tenteram,
itulah tanah airku Malaysia,
yang dicinta dalam jiwa.

Liku-liku sungai di tanah airku,
airnya jernih sebening mata ibu,
tebingnya tinggi menghadang seteru,
tanah tumpah darahku,
dijaga dan dikawal selalu
di sinilah darahku mengalir,
di sinilah keringatku tumpah,
aku tak rela tanah airku dijajah,
apalagi dadanya dilapah,
bernanah dan berdarah.

Di sini aku dilahirkan,
di sini aku mengenal warna alam,
di sini aku berenang di sungai berliku,
di sini juga aku akan menutup mata,
tanah airku tercinta,
Malaysia jaya,
aku tak akan rela berputih mata,
melihat tubuhmu diperkosa,
manusia bernafsu gila.

Port Dickson, Negeri Sembilan


Kenyataan
SMAHADZIR

Katamu: dunia ini begitu cepat berputar,
lantas hati jadi gundah dan gusar,
kuhitung angka-angka yang melekat di usia,
kucabut seratus uban yang tumbuh di kepala,
aku ajak bersenandung segala cerita,
kisah-kisah ceria orang muda,
namun tetap berhujung di pintu senja.

Katamu lagi: senja sering dipeluk penyair muda,
dalam puisi cinta juga balada,
namun aku kata itu hanya canda,
senja bukanlah sebuah cerita tetapi usia,
tanpa nafsu atau syahwat yang menggebu,
kerana senja sering menutup pintu,
untuk semua perilaku tidak menentu,
aku bukanlah penyair muda remaja,
yang mengharap hidup seribu tahun lamanya,
ketika sengsara jadi bahasa yang sukar diterka.

Kenyataannya: aku seorang yang tidak boleh kalah,
apalagi terus menyerah,
aku juga tak perlu terus berhati gundah,
warna senja yang bakal menutup malam,
akan dihadap dengan doa dalam diam,
senja akan terus berlabuh,
malam akan terus berinsut,
dan aku bakal diam.

Masjid Putrajaya


Alam Di Lembah Nusa
SMAHADZIR

Semilir sejuk menari lembut,
kabus putih menghapus bahang mentari,
tegak cahayanya menusuk citra,
gunung-ganang mencecah langit biru,
bukit-bukau berselimut awan beralas zamrud,
sejak lama tidak beranjak,
di sanalah sanubari berdetak,
sunyi sepi tidak beriak.

Cermin berkilau di atas tasik,
menikung pohon yang melambai warna,
di celah kaki-kaki bangau yang segar,
di sini aku berada,
di mana jiwa mendamba tanah nusa,
hidup serasa sempurna,
makmur dan sentosa. 

Sungguh jelita alam di lembah nusa,
tebarkan pesona di atas cakerawala,
tak berhujung di pandang mata,
hati dan mata terbuka,
cahaya pagi menembus kaca jendela,
semerbak mawar merah dan putih serlah,
jendela terkuak, udara segar membuak-buak.

Kabus tebal terus menyelimuti bumi,
setitik embun membasahi dedaun,
kicauan merdu bersenandung di telinga,
angin berhembus halus menembus kulit,
awan seputih melati,
langit, sebiru samudera raya,
bersedia menghadapi hari baru,
memperkasa alam indah di lembah nusa.

Grik, Perak


Buluh Runcing
SMAHADZIR

Dengan sebatang buluh runcing,
terjulang di tangan kanan,
kuhamburkan penjajah yang berani melangkah,
sempadan tanah ibunda bersama para pejuang,
Mat Kilau, Tok Janggut dan Dato Bahaman,
mustahil pelanduk dapat kalahkan singa yang gagah,
buluh runcing mampu menempa sejarah,
mengusir penjajah yang ingin menjarah,
tapi semangat yang tak kenal makna payah,
tidak pernah kenal erti menyerah,
apalagi mengorak langkah mengusir tuah.

Sebatang buluh runcing,
ditajamkan pisau semangat dan jampi nekad,
biar tulang berkecai, sendi diseligi lumat,
biar darah terkucur, daging dimamah hancur,
pantang anak jantan menyerah diri,
apalagi lari meninggalkan sempadan negeri,
diinjak anjing-anjing dan dibaham babi-babi,
dengan doa tinggalan Panglima Ali,
dengan berkat perjuangan dan semangat baginda Nabi,
kutetap berdiri dengan sebatang buluh runcing di sisi,
akan dilenyapkan musuh yang ingin menapak di tanah ini,
biar berkubur tenggelam di makan bumi,
inilah aku yang bergelar semut merah,
tidak pernah gentar menentang sekawan gajah,
semangat berkobar tak pernah punah,
akan terus berjuang pantang menyerah,
demi masa depan anak cucu di laman bertuah,
biar jasa dan pengorbanan tercatat dalam tinta sejarah,
terukir kerana berjuang menghalau penjajah,
yang ingin menjarah.

Kampung Bukit Hijau,
Baling, Kedah


Kabulkanlah Doa Mereka
SMAHADZIR

Mereka tidak pernah mengingkari,
hakikat Firaun pernah berkuasa di sini,
galak mengobar angkara, getol menebar kekejaman,
namun Azzawajalla mengutuskan Musa,
memimpin penentangan, mencipta perubahan,
hingga wujud tugu kebebasan,
tiga dekad sudah berlalu Firaun kembali berkuasa,
dengan gertak ancaman dan mesiu pembunuh berbisa,
bumi Piramid berselimut kezaliman,
lenyap semula kebebasan dan kemakmuran.

Dalam semarak semangat membara,
mereka bangun serentak menuntut hak setara,
di jalan-jalan raya tidak lagi bisik-bisik sunyi,
tapi nada-nada gerah melaung ngeri,
kala dentuman peluru menembusi kepala,
mereka tidak berdaya merempuh petaka,
kereta kebal dan senjata automatik bukan tandingan,
batu-batu jalan yang dikepal di tangan,
laksana titisan hujan menimpa batu,
tidak berbekas sebarang kesan,
dalam hening malam mereka sujud,
menojah pedang malam ke pintu langit,
inilah senjata kaum tertindas.

Allah kabulkanlah doa mereka,
manusia teraniaya yang munajat tak terhijab,
Allah tiupkanlah roh keberanian,
hingga tangan musuh tiba-tiba terkunci,
merdu tembang kebenaran,
menjelma di pintu langit tujuh,
kukuhkan kaki-kaki yang melangkah,
gempita gemuruhlah kebangkitan,
menggejolakkan lapangan Tahrir,
menggegarkan lautan sekeliling,
biar bergulung menjadi ombak,
jangan lagi mengharapkan turun pahlawan langit,
kerana mereka sudah ada di bumi.

Kemenangan hanya terjadi atas kehendak Azzawajalla,
bersujudlah, julangkan pedang malam,
jangan abaikan solat berjamaah,
contohi akhlak indah Sallehuddin Al-Ayyubi,
meski leleh keringat dan buakan luka darah,
dalam lebur tubuh diganyang musibah,
apalah ertinya negeri ini berubah,
dari Gamal Abdul Nasir, Anwar Sadat,
Hosni Mubarak atau sesiapa saja,
apalah ertinya kekejaman melenyap,
jika bangkit kekejaman baru,
apalah ertinya nyawa,
jika cagun megah rejim yang sama.

Perkenankan ya Allah, di lembaran sejarah,
mereka bermunajat dalam sujud pasrah,
biarlah bahang mentari mengeringkan darah, 
wahai Dzat Yang Maha Pengasih Maha Penyayang
Engkau Pelindung makhluk lemah dan tertindas,
mereka berlindung pada sinar cahaya tangan-Mu,
yang menerangi kegelapan, 
dan mendatangkan kebajikan di dunia akhirat, 
perkenankan ya Rabbi,
kejayaan pembela agama-Mu.

Kota Seri Emas,
Negeri Sembilan


Terima Kasih Malam
SMAHADZIR

Terima kasih malam,
kerana memberikan aku sedikit kesempatan,
untuk berzikir dalam diam,
kala dunia diapung kelam,
hati diselimut gebar tenteram,
jasad melayang ke dimensi silam,
melihat panorama dan geliat alam,
aku tersasar jauh di jurang terdalam,
diulit kesenangan, diapit kebahagiaan,
yang nikmatnya tidak berpanjangan.

Malam begitu bermakna,
membawa jasadku pulang dari kembara,
di laut mimpi gelombang begitu tinggi,
dan bulan yang belayar tenggelam di kelam badai,
terenggut dari pantai,
aku melaung meminta mentari pagi,
terima kasih kerana jejak kaki,
masih tertinggal di pasir sepi.

Terima kasih malam kerana mengerti,
episod nestapa kini telah berganti,
lautan nasuha yang membentang tidak bertepi,
membasuh kekhilafan diri,
menyuci kekerdilan hati,
sungguh Allah masih menyayangi.

Masjid Banting


Aku, Alam, Dan Hujan Pertama
SMAHADZIR

Sejak kecil, kutandai, hujan kali pertama,
dan petang, kampungku lebih mempersona,
jika sebelum dan sesudah hari itu,
alam kacau-balau tidak menentu,
hujan tumpah sembarang waktu,
badai dan banjir sering berlaku,
waktu subuh, sukar ke mana-mana,
kalau pertama kali menjujuh 23 Oktober,
akan mengguyur teratur, usai Asar, lembut, berkawan, syahdu,
ramai orang kahwin dan berbulan madu,
delima, angsana, kemang, dan kecapi memucuk gembur,
kulat tiong indah memarak subur,
bunga bakung bersemi awal dua kali berbuah,
punai makin besar rombongan migrasi menggugah,
gelap dunia sebelah.

Tengah hari panas diusir awan kelabu,
dikirim angin barat dan selatan,
masa ajaib singkat, meruap perlahan,
semua mendadak riang tanpa dapat ditahan,
sambil bersenda gurau, ibu-ibu mengangkat jemuran pakaian,
dan memekik ‘rara riri, krat krut krat krut’,
memanggil pulang ayam peliharaan,
lelakinya tergopoh-gopoh meneduhi basikal,
pada momen emas itu, kami melompat dari rumah,
menghambur ke pekarangan Masjid Al-Hikmah,
bertengkar-tengkar kecil di bawah,
soal rancangan waktu hujan petang mereda,
yang segera tumpah,
guruh halus menggoda-goda.

Hujan berhenti tidak sampai matahari terbenam,
kami berlari ke tali air di bendang,
di tepian tasik, kami saling berpeluk badan,
memandang anak-anak belibis berenang riang,
berbaris-baris dan lingkar pelangi terang,
saban petang, selama musim hujan berdendang,
bagaikan Khalik telah memindahkan syurga terbentang,
lalu, langit dikuasai gerombolan punai melayang,
dan kami mulai saling bertengkaran,
menentukan raja punai yang pemimpin kumpulan,
skuadron berwarna hijau melesat di atas bumi,
tidak peduli pada kecantikan diri sendiri,
yang selalu kami kagumi,
sejak kami diizinkan orang tua bermain di sini,
hanya hamparan bakung ranum di hulu sungai,
dan beradu cepat agar tidak kehabisan rezeki kurniaan Tuhan,
punai-punai menyihir hingga mulut kami ternganga,
mereka bak lukisan yang berterbangan di angkasa,
raja punai terbang paling setia,
jika menukik sedikit saja,
ribuan punai di belakang serentak menukik,
jika membelok, semuanya membelok,
sesekali hinggap ke puncak pohon kemangi,
di pekarangan rumah di kampung kami,
sebentar saja, lalu raja mengepakkan sayapnya,
dan terangkatlah ke udara permadani hijau bersama.

Awal Februari, hujan beranjak malam,
mengunjungi kampung kami menjadi kelam,
lenyap akhir Mei,
musim hujan yang sempurna telah sirna,
memohon diri lewat rintik-rintik lembut di hujung musim,
bersama guruh yang gagah perkasa,
pergi, tidak tahu ke mana.

Demikian teoriku tentang hujan pertama 23 Oktober,
tentu saja tidak pernah aku khabarkan pada sesiapa,
menjadi rahsia yang terpendam sekian lama,
lambat-laun, teori itu berubah menjadi godaan,
aku sering meyakinkan diri untuk mempercayai,
sesuatu yang dibina di atas logik yang aneh,
aku, alam, dan hujan pertama,
telah membentuk semacam persengkokolan,
yang begitu ganjil,
sehingga di dunia ini, hanya aku yang boleh tahu,
aku sering merahsiakannya,
dari diriku sendiri,
namun, bukankah adakalanya,
menyerahkan diri pada godaan dan rahsia ditutup,
sebahagian dari indahnya hidup?

Bandar Tasik Selatan


Bencana
SMAHADZIR

Suara gemuruh diiring debu runtuh,
alam asri terlindas lumpuh,
rumah harta benda dan nyawa manusia,
dilalap habis lenyap segala,
meruah derita sengsara,
meraung duka nestapa.

Rakan sedunia terpengarah, menatap hiba,
bencana bagaikan raksasa,
meranapkan apa yang ada,
bantuan dan simpati pun mengalir,
menyimbah dari ulas hati nurani,
manusia punya hati polos murni,
kaum keluarga dan anak isteri,
tetap dikenang jasa dan budi.

Bila bencana menimpa,
hidup mulai dihenyak sengsara,
depan belakang ditusuk belati derita,
luka yang meroyak di dada,
lambat untuk sembuh semula.

Tuhan, mengapa semua ini terjadi,
mungkin kami terlalu banyak mengingkari,
terlalu bangga dengan kesilapan diri,
andai ini sebuah janji hakiki,
benarkan kami pulang kembali,
untuk memperbaikki dan menginsafi,
ya Tuhan ya Rabbi,
ampunkan segala dosa dan noda kami,
hidup kami mohon diberkati.

Kuala Lumpur


Di Sini Angin Tak Berkesiur Lagi
SMAHADZIR

Di sini angin tak berkesiur lagi,
mati bagaikan dibawa pari-pari,
entah ke mana di langit lepas,
ruang pengap menjadi kian luas,
berkali-kali kuhimbau kesiur angin bagai dulu,
supaya terhibur kalbu yang pilu,
dari permatang di kaki kali langsung tidak berlagu,
hanya senandung bungkam sendu,
dari seorang gadis pemalu.

Ruang menunggu malam menjadi hiba,
katanya, pergilah sebelum malam tiba,
kudengar angin mendesak ke arah kita,
biola merdu bernyanyi baris-baris diksi Rubayyat,
dabus terus bergurindam doa-doa inayat,
menggelodar impian dan hasrat,
di halaman kenderaan telah berangkat,
menuju ruang hakikat,      
sebelum bait pertama,
sebelum selesai kata-kata berirama,
sebelum dia sedar ke mana lagi akan tiba,
aku pun tahu: sepi kita pada mulanya,
sedia kecewa, bersedih tanpa kata-kata,
pohon-pohon pun berbahagi duka di luar jendela,
memberitakan esok mungkin tidak ada,
kerana dunia telah fana,
dalam fananya.

UKM, Bangi, Selangor


Pantai Bagan Lalang
SMAHADZIR

Angin pantai disela gerimis,
menderu perlahan, membawa duka ke tengah laut,
berteduh di bawah pohon ru rendang,
damai bertandang, hati disalut riang,
kolek dan sampan nelayan di kejauhan,
gigih meredah gelombang,
menagih rezeki anak isteri,
yang derita hari ke hari.

Senja di Pantai Bagan Lalang,
tiada yang romantis atau ghairan perasaan,
alam khayalan menjadi bungkam,
dan ratusan nafsu terkubur diam,
pengunjung santai di gerai-gerai jualan,
menikmati pelbagai juadah hidangan,
hasil laut jadi santapan,
suara muadzin mendayu sopan,
mengajak manusia menjunjung iman,
di puncak panggilan.

Menjelang malam,
Pantai Bagan Lalang dipeluk diam,
hanya derai ombak menampan pantai
membawa pasir dan anak-anak ketam,
rintik gerimis membasahi bumi,
pantai merubah menjadi teduh,
inilah pantai kenangan,
terpateri dalam nostalgia.

Pantai Bagan Lalang


Zaman Kanak-Kanak, Padang Rumput & Tanah Belukar
SMAHADZIR

Padang rumput dan tanah belukar,
menggelinding bagaikan anak-anak terbiar,
belalang kacung, tiak puyuh dan mentari membakar,
ular senduk dan kapak tak pernah dihindar,
segalanya diredah dengan penuh debar,
dalam setiakawan yang erat sabar.

Zaman kanak-kanak yang tabah dan mesra,
ligatnya berputar laksana bola,
di mana serangga tidak bernama,
persandingan teruna dan dara,
gon-gon, gulang-gulang, tepian huma,
adalah mandala berharga,
untuk ditancap gurau dan senda,
impian-impian muluk dan entah apa-apa.

Riang bercanda di musim tengkujuh,
subuh yang menjelma dan senja yang berlabuh,
tidak pernah merungkai persahabatan yang kukuh,
tetap teguh walau ditusuk derita mencabuh,
malam yang menggamit belaian,
menyambung hiburan di tempat pengajian,
Quran dan muqaddam yang dibaca,
rotan bergedik menunggu luahan kata,
semuanya diterima dengan redha,
tiada suara berani bergema,
tetap akur takdir Pencipta.

Zaman kanak-kanak, padang rumput & tanah belukar,
tetap dikenang penuh iktibar,
persahabatan dijalin dengan setia dan sabar,
tidak kenal makna bertengkar,
apalagi mahu membongkah onar,
sungguh, kenangan silam telah mengajar,
kita menjadi manusia terpelajar,
bukan binatang kurang ajar.

Banting, Selangor



Angin Samudera
SMAHADZIR

Kolek yang membawamu telah kembali,
angin samudera mendorongnya ke pantai asal,
engkau tidak pernah menduga,
alun yang selalu setia,
pulang dan pergi membawa sejuta makna,
seperti engkau berdiri di pantai,
menanti seseorang yang akan datang,
untuk menitipkan khabar gembira.

Angin samudera terus bertiup dari jauh,
menolak kapal-kapal bersauh,
camar dan undan melayah ke laut,
nelayan bertingkah menongkah alun,
pukat-pukat merempuh ikan-ikan dan udang,
laut membiru bersepuh sisik-sisik emas,
disuluh sinar mentari teduh.

Angin samudera,
membawa pelbagai berita,
suka duka untuk manusia.

Sungai Baru, Melaka


Sungai Yang Mengalir
SMAHADZIR

Sungai yang mengalir berkelok-kelok penuh batuan,
tebing tinggi akar-akar berserabut,
menampan sampan-sampan ke pangkalan,
kadang-kadang hancur berhantukan,
meninggalkan serpihan berselerakan,
sungai yang mengalir laksana tusukan luka tanpa harga,
bagai lembing menikal sukma,
ketika lupa pada bahasa alirannya.

Sungai yang mengalir keruh berkeladak,
hingga ikan dan udang sukar bergerak,
sampan yang dikayuh terhinggut-hinggut,
dibalun henyakan ombak,
dan angin yang berolak,
menyuling badai di suatu palung,
sungai yang mengalir bak seekor labah-labah,
yang getol memintal sawang,
hingga kita tak mampu meredah,
menuju hujung jaring langkah,
kita akan terjebak di selekoh jalan,
jauh sebelum sampai tujuan.

Sungai yang mengalir juga membina sedar,
ia laksana gadis-gadis pingitan,
yang siaga menghantarmu tidur,
di sebuah pulau sarat puspa kencana,
dengan dada bertabur ghairah cinta,
ia mungkin gadis pemandu wisata,
yang senang menyuguhkan tequila,
sesekali mengajak tetamu berdansa,
sambil mendesahkan syahdu kata-kata,
dari sungai yang mengalir itulah kita faham,
betapa dendam dengan kelewang,
dan kebencian dengan kasih sayang.

Masjid Morib


Kampung Permai
SMAHADZIR

Malinja terbentang mulai menguning,
mentari menyambut cagunnya pagi,
ayam berkokok bersahutan,
petani bersedia hendak ke bendang,
bakul dan kampit dikelek di pinggang,
berayun langkah riang,
tiak dan murai bersahut mesra,
gemuyu dan keriang dot berlenggok manja,
damai kampungku segar terasa,
damai dan tenang tiada sengketa.

Kampungku yang permai,
warga bersatu rukun dan damai,
sanak saudara ipar dan duai,
sama-sama ke bendang padi dituai,
malinja yang masak di hujung julai,
sedia untuk diketam dan dijual,
anak-anak petani berhati girang
ramai-ramai turun ke bendang
esok tiada lagi makna payah,
dan hati gelisah resah.

Bila musim menajak tiba,
gemercik air bendang berbani,
begitu bening memaut permatang,
keli, haruan, kedak dan karin,
riang berenang menongkah musim,
awan di langit bergumpal mesra,
laksana zamrud khatulistiwa,
itulah alam kampung yang sentosa,
tidak pernah tercela,
oleh daki dan noda kota.

Kuala Reman, Sik 


Destinasi
SMAHADZIR

Kolek kasihku datang menderu,
desirannya meningkah gelisah dalam kalbu,
membuatku semakin rasa terburu,
tidak lama lagi bertemu,
tidak lama lagi bertemu,
bertemu dalam rindu,
yang sekian lama membuku.

Sudah kubersihkan kolam kalbu,
sudah kusuburkan kelopak kiambang biar bersatu,
tetap saja dada digalau rindu,
sabarlah rindu, tidak lama lagi bertemu,
bertemu setelah sekian lama beku,
beku yang membuku,
dalam cumbu yang cemburu.

Tapi dalam leka dan terlena,
destinasi ini masih kelabu, entah di mana,
samar dalam impian, tak terjangkau tangan.

Banting, Selangor



Kenangan Al-Ghazali
SMAHADZIR

Kau menyayangi kebenaran hakiki,
pencerakin makna maknusiawi,
kau mencintai tulang dan pori-pori,
pembentuk jasadiah insani,
bumi kelahiranmu dan penguasa raja,
korban kebodohan yang alpa,
dungu melihat permata bercahaya,
kilau menyilau kaca tidak berharga.

Ketika kautulis sajak kebenaran,
kau diborgol dalam kesamaran,
khazanah ilmu lenyap kemuliaan,
perdamba buku hilang kefasihan,
sungguh dunia menatap bibit-bibit bercambah,
yang mekar dari pengorbanan yang rebah,
iktikad dan pegangan tetap tabah,
kukuh dan tak mudah goyah,
lalu ketika ini prasasti keberanian,
bersimbahan dalam jujuhan penerimaan,
terima kasih Al-Ghazali kerana pilar pedoman,
tertegak menjadi turus ikutan,
sepanjang zaman.

Akan kukenang Al-Ghazali,
dengan seluruh keperibadian murni,
sanggup memahami segala dusta disaji,
sekian lama terpasung minda dan hati,
di langit hatiku gerimis telah reda,
tinggal namamu tertulis dengan tinta kencana,
menagih cintamu pada bentala manusia,
aku dan saudara seagama.

Masjid Batang Kali, Selangor



Perwira
SMAHADZIR

Sepi bermukim asing di belantara,
nafas sisi senjata, bulir besi-besi tua,
menghirup bahang panas dengan keikhlasan jiwa,
mengapa peluru itu tidak segera menerobos,
tahu itu bukan penceroboh,
hukum dunia tak mengenal siapa untuk dirempuh,
tanah nusa tak akan ditebus,
jika tergadai di tangan musuh.

Jauh dalam hati melebur hari-hari pergi,
kampung halaman rumah tangga anak dan isteri,
kalung asmara, gurau senda dan belaian hati,
diliput batin antara hidup dan mati,
kendatipun sesal tinggal dendam,
galak semarak tak akan padam,
demi hukum keadilan, musuh perlu ditentang,
walau nyawa berganti galang,
perwira tak akan pulang,
dengan tangan telanjang dan mata terbuntang,
melihat bentala diinjak petualang,
menggelintin hari-hari mendatang.

Tabir doa kusyuk adalah garis pengabdian,
jika mati adalah takdir yang hakiki,
sampaikan salam dunia dan diri sepi,
kuyup mata, ruang dahaga dan harapan pertiwi,
tiada mengharapkan budi dan bakti,
dikenang dan diarak wangian setanggi,
demi hukum perjuangan, perwira di medan perang,
bawakan pelita melewati jalan-jalan terang,
kitab suci, sumpah murni dan tangis malang,
akan memberkahi segi-segi yang bakal mendatang.

Dari hati yang tersirat, perwira terhormat,
menjunjung hakikat bumi keramat,
tercatat dalam sumpah yang berkat,
perjuangan ini sarat matlamat,
menggerbak kuntuman bunga-bunga hasrat,
menjulang di mercu negara berdaulat.

SEMASHUR, Selangor


Ramadhan Yang Bening
SMAHADZIR

Sekuntum hari,
wanginya mengharumi bumi,
itulah kemahamurahan Khaliq berlimpah untuk kami,
menyatu pada segala inti hidup yang hakiki,
rahsia tidak sekadar lapar dahaga,
rahmat tidak sekadar pahala berganda,
tapi segala kemewahan syurga,
itulah hakikat Ramadhan yang mulia,
satu cara bersujud pada Azzawajalla,
dengan jasad lapar dahaga,
lebih insaf kita tidak punya apa-apa,
kemampuan lebih memahami akan makna,
kita tidak lebih dari sebutir debu tidak berdaya,
di antara kemahakuasaan-Nya.

Ramadhan adalah telaga bening,
rahsianya dalam diam hening,
cahaya maghrifohnya bertebaran,
untuk dikaut insan beriman.

Pantai Morib, Selangor


Perempuan Tua Penadah Tangan
SMAHADZIR

Setiap kali kupandang,
perempuan tua penadah tangan,
langkahnya terlalu lambat mencapai harapan,
senyumnya terlalu kekal untuk kenal kedukaan,
tengadah pada bulan merah mengambang,
namun sepi dihenyak badai mendatang,
kota ini jadi kontang,
jiwa manusianya persis binatang,
mata tidak pernah manis kala memandang,
galak dan ghairah umpama jalang,
penuh syak wasangka,
sarat caci dan cela.

Ingin sekali aku bertandang,
kediaman perempuan tua penadah tangan,
di bawah jambatan kota yang gemilang,
berdinding kotak-kotak usang,
yang tak kulihat almari pengisi makanan,
hidup sarat kehidupan angan-angan gemerlapan,
gembira dari kemayaan riang.

Perempuan tua penadah tangan,
impiannya lebih tinggi dari KLCC yang menjulang ke awan,
sekitarnya aliran kumbahan warga kota,
yang tidak pernah ingin bersenda,
apalagi mahu bertegur-sapa, bertanya derita,
namun jiwanya begitu murni, terlalu murni dalam nestapa,
untuk membahagi rasa sengsara,
kalau kau mati, perempuan tua penadah tangan,
bulan di atas itu, tidak ada yang punya,
dan kota ini, tetap angkuh dan sombong,
dengan lagaknya yang gempita,
hidup tidak lagi punya makna dan tanda,
dan kau tetap akan kukenang dalam duka.

Kuala Lumpur



Sejarah Telah Singgah
SMAHADZIR

Aku tidak boleh dipulau,
apalagi cuba dihalau,
ini mandala subur,
pulau emas yang makmur,
mereka adalah orang-orang sasau,
sekarang galak menghunus ajakan,
namun aku tak pernah risau,
semangatku kental jiwaku teguh,
segala cabaran akan dirempuh.

Sejarah telah singgah,
lalu menebarkan ceritera lama,
yang terselit tersembunyi di celah masa,
dan menghulurkan tangannya yang ramah
katanya; jangan biarkan kemakmuran punah,
jangan benarkan manusia serakah ganas menjarah,
tak ada lagi waktu untuk berleka,
ayuh angkat senjata terjah ke medan laga,
tentang mereka dengan semangat waja,
walau jalan masih jauh,
kalau bersatu kita akan kukuh,
musuh yang ramai pasti akan jatuh.

Kata sejarah lagi,
manusia-manusia sasau itu sudah gila,
gila kaya, gila kuasa, gila segala,
dengki busuk hati tamak serakah haloba,
lupa untuk berpada-pada.

Marilah bersamaku, kita berpadu satu,
dalam saf yang padu,
sejarah telah singgah,
aku adalah bangsa yang megah,
bangsa penjelajah kaya maruah,
manusia-manusia sasau jangan dibantu,
biarkan mereka terkulai dan layu.

Ulu Yam, Selangor



Sehelai Baju Berlumuran Darah
SMAHADZIR

Sehelai baju milik ayah,
berlumuran darah bertompok merah,
berpercikan di bumi Lahad Datu,
kami semua telah menatap jasadmu,
telah pergi perjuangan yang agung,
bersama doa yang menggunung,
dalam kejeluan bertahun-tahun,
pedih tak tertanggung.

Selembar lautan membatasi negara,
di bawah terik mentari Sabah,
antara pencerobohan dan maruah,
berlapis senjata dan peluru-peluru tembaga,
akan mundurkah ayah di medan juang,
seraya mengucapkan ’selamat tinggal perjuangan’,
mana ikrar setia kepada nusa tercinta,
lalu membiarkan kami,
memakai baju seorang pelayan,
di rumah sendiri.

Di balutan Jalur Gemilang itu,
kami semua telah menatap jasadmu, ayah,
dan di hadapan bangunan parlimen,
berkibar bendera separuh tiang,
berita jelu itu telah sampai ke mana-mana,
belasungkawa dari seluruh rakyat jelata,
dibawa kenderaan di pusat kota,
beca-beca, semua warga yang sekata,
doa-doa yang mengapung sejahtera,
menyelinap seluruh pelosok negara,
sehelai baju milik ayah,
yang berlumuran darah bertompok merah,
akan tetap bersalut maruah,
tidak rela nusa diganggu-gugah.

Kuala Lumpur



Pantai Berpasir Nyaman
SMAHADZIR

Aku telah meninggalkan semuanya,
belantara tebal unggas bersiulan,
tasik tenang tidak beriak garang,
diteduhi pohon yang rendang,
gunung tinggi yang menampan awan,
juga dari badai dan taufan,
pantai ini berpasir nyaman,
berkilau kala disuluh rembulan,
inilah cita dan impian,
yang menyubur sejak semalam.

Pantai berpasir nyaman,
ombak riang berkejar-kejaran
di ufuk biru tepian langit,
laut tenang beralun camar berterbangan,
pasir putih bersih bersinar emas,
riang bercanda bersama angin,
mesra bersenda bersama mega.

Aku telah meninggalkan semuanya,
untuk terus bermukim di sini,
di pantai berpasir nyaman jiwa tidak gelisah,
ketenangan mengapung digebar indah.

Kuala Lumpur



Marak
SMAHADZIR

Api marah sudah galak membahang,
menggelodar tinggi menjulang-julang,
muslihatnya kini sudah terserlah,
niat busuknya kini sudah terbekah,
membunuh anak-anakku hari mendatang,
musuh-musuh itu bersuara garang,
sudah bersedia hendak berperang,
menunggu kami di medan juang.

Suara-suara terus bersipongang,
‘hapuskan semua petualang,’
yang selama ini laksana binatang,
ganas meragut hampas dibuang,
inilah musuh yang sekian lama berlindung,
di sebalik selimut yang tebal,
mengherdik dalam senyum,
menghulur sajian beracun.

Sudah lama mereka menabur kaca dan duri,
perlangkahan jadi payah,
sudah lama mereka memeram bara api,
kini sudah berasap tinggi,
anak-anak kami akan mati,
aku akan patahkan kaki-kaki mereka,
aku akan kudungkan tangan-tangan mereka,
aku akan bakar dapur-dapur mereka,
aku tak ingin anak-anakku mati,
di tanah air sendiri.

Ya, api dalam dada sudah menggelecak,
mendidih dan memarak merah,
musuh-musuh itu perlu dihapuskan,
mari kita hunuskan keris pusaka bangsa,
ayuh kita ke medan juang,
gemuruh berderau darah pejuang,
sama-sama kita lenyapkan petualang.

Banting, Selangor



Narasi Jujuhan Hujan
SMAHADZIR

Hujan, curahkan emasmu yang berkilau,
di lembah dan lurah, di tasik dan telaga,
puaskan dahaga warga alam,
hingga jiwaku terasa segar,
membajak kehidupan,
mekarkan bibit-bibit yang bercambah,
bersama gerbak setanggi,
ke segenap arah.

Hujan, simbahan dalam titikan gerimis,
di pinggir jendela aku ingat benar,
aku masih kanak-kanak, bersenda gurau, bernyanyi riang,
memutar-mutar payung kertas,
dalam jujuhan dan curahan,
yang berkilauan bagai perak disentuh mentari,
di situlah melenyap nestapa kehidupan,
di situlah menghilang derita kesempitan.

Oh, hujan… biar jujuhanmu kian deras,
puaskan dahaga jiwaku yang gersang,
agar hidupku menyeruak bagai cendawan,
mekar dan segar bak perawan,
di bawah mentari terang.

Bukit Bangkong,
Sepang, Selangor



Kala Embun Jatuh
SMAHADZIR

Sudah biasa aku mendengar simfoni rindu,
sehabis embun yang jatuh di halaman,
kala aku memetik daun-daun,
tetapi berdering dan pecah di atas batu,
esoknya adalah fajar,
mengekalkan kicau burung,
senyum gadis anggun,
dan sisa embun di dahan tembun.

Rindu dan cinta pun berkemas, membumbung,
ke dalam baris sajak-sajakku,
yang sarat gelisah,
semekar mawar-Nya,
aku biarkan embun terus jatuh,
untuk terus menyuburkan,
jiwaku yang haus.

Port Dickson,
Negeri Sembilan



Seruling Malam
SMAHADZIR

Seharusnya kutiup kau malam itu,
dengan tembang semangat,
yang liriknya panggilan jihad,
mendayu ke puncak awan,
agar orang-orang yang terbunuh,
bangkit semula dari kematian,
untuk meneruskan perjuangan,
yang sekian lama diam,
dan bungkam.

Seharusnya kutiup kau malam itu,
dengan nyanyian syahdu,
yang senikatanya aksara rindu,
agar mayat-mayat yang dikubur tanpa nisan,
menguak tanah merah hitam,
lalu keluar menerjah alam,
dan merangkak perlahan ke rumah syaitan,
yang sekian lama memuja kekasihnya,
setiap malam.

Seharusnya kutiup kau malam itu,
supaya mereka yang cedera mampu berjalan,
lalu ke masjid dengan tubuh berlubang,
berdoa dengan darah di mulut,
sehingga tidak ada suara yang terluah,
selain bunyi kebencian meruah,
yang sekian lama mendidih dalam darah,
kerana penjajah.

Seharusnya kutiup kau malam itu,
dengan senandung mimpi,
yang liriknya belaian bidadari,
bercumbu rayu hingga ke pagi,
agar orang-orang yang merindu,
terus segar semula dari layu,
untuk meneruskan bulan madu,
yang sekian lama membara,
dalam mesra.

Shah Alam


Dibawa Gelombang
SMAHADZIR

Gelombang membawa bidukku perlahan,
dalam kesunyian tanpa teman,
tidak berilmu tidak beriman,
ke hujung kegelapan alam.

Bidukku belayar ke bintang kejora,
jauh di atas langit kemilau,
tiada siapa pun yang hirau,
apa lagi untuk meninjau,
geliat dansa kehidupan yang berpesta,
di atas pentas pelbagai rona,
sehingga fajar cerah menjelma,
dengan cahaya mempersona.

Bidukku terdampar di pulau kencana,
aku mulai bernyanyi dengan lunak suara,
seperti bisikan angin di daun mesra,
suaraku hilang dalam udara,
dibalun gelombang laut yang beralun manja.

Gelombang membawa bidukku perlahan,
pulang ke pangkalan.

Banting, Selangor


Kota Bukit
SMAHADZIR

Kami di sini hidup bersama petani,
bersama penoreh yang bersemangat tinggi,
bersama pengorek pasir berhati berani,
dan anak-anak warga kampung kami,
bagaikan sudah mangli,
berselut lumpur di kaki,
Kota Bukit ini kampung kami sejati,
tidak pernah berhasad dengki,
memendam rasa iri hati,
antara kami anak-anak ria,
yang sering bercanda bergurau senda
pagi ke senja,
tanpa sebarang duka.

Namun hati sering terbakar,
kesempitan amat sukar dibongkar,
kemiskinan sentiasa saja berlegar,
melingkar dalam asrar,
lalu di sini lahir bangsa musafir,
meredah haluan menyongsong takdir,
berkawan dengan lembah bukitmu,
berteman dengan tebing Sungai Remamu,
jalan kenangan bersilang tak jemu,
menjangkau dusun dan kebun,
kerana sungai kehidupan di sini,
berhulu di kubur leluhur.

Di sini juga hidup bangsa penyair,
kekasihnya bulan purnama,
kecapi malam cendana mengukir,
semerbak lagu menghiburkan.

IPBA, Kuala Lumpur



Perjalanan Satu Persinggahan
SMAHADZIR

Perjalanan ini satu persinggahan,
liku-liku jalan terjal bergaung curam,
kerikil tajam berselerak di pertengahan,
menanti tubuh jika tersalah langkahan,
destinasi akhir di hujung ketabahan,
untuk beradu di ranjang ketakwaan,
mengagungi sebuah keagungan,
Allah Yang Maha Penyayang,
Rabbi pencagun segala kemakmuran,
dan menginsafi hina kekerdilan,
seorang manusia yang dijadikan.

Perjalanan ini terlalu jauh,
jutaan marhalah,
penantian adalah lumrah yang akrab,
tidak pernah jelak,
menanti satu saat yang pasti,
datang dengan sapa mesra,
dan gamitan taubat,
yang tidak terhambat,
daripada terlambat.

Di sini aku masih perlu menanti,
dengan siap siaga yang hakiki,
biarpun detik berangkatan kini,
sudah tercegat dalam senyuman pasti.

KLCC



Sumber Bahagia
SMAHADZIR

Bukan semua boleh merasa,
hanya dapat dirasa oleh jiwa bertakwa,
berdoa sahaja sudah pasti selesa,
kendati belum tentu diterima,
berbual mesra dengan Azzawajalla,
sunggguh terasa lazatnya,
bermunajat dengan-Nya,
terasa indahnya maya.

Allah Azzwajalla terlalu dekat,
tidak berantara dan bercara,
terasa ada di mana-mana, tidak ada di sana,
terasa sangat Dia bersama kita,
semuanya tidak bercara
Tuhan dirasakan sangat diperlukan,
Subhanallah, indahnya bersama Allah,
rahmat dan kurniaan-Nya seperti lautan,
luas tanpa sempadan.

Bila menyebut nama-Mu,
dunia terasa tenang,
air mata akan berlinang,
terkenang segala kesilapan silam,
dialah sumber bahagia,
makhluk yang bernama manusia.

Masjid Morib



Sebatang Tali Air
SMAHADZIR

Sebatang tali air,
penawar musim kemarau,
pengempang air membuak,
menjela panjang tepian bendang,
kala orang bersedih tiada air,
dari kaki langit ke kaki langit air membusa,
dari tahun ke tahun ia datang melanda,
dari tumit, paha lalu kepala,
menyeret semua yang ada di sisinya,
bila air surut tinggallah angin menudungi,
di atas langit dan di bawah lumpur di kaki,
kelepak tabtibau di celah jerami,
bila tebing rebah tinggallah air berbani,
sawah retak-retak berebahan tangkai padi,
nyanyian katak bertalu-talu hujung permatang,
yang petani minta hanyalah air dari tali air,
mengairi bendang musim kemarau.

Sebatang tali air,
kekasih petani di kampung kami,
jadi penghubung periuk nasi,
bertahun-tahun kita merdeka,
tali air tetap penyumbang jasa,
kepada warga.

Kg. Imam, Padang Perahu



Gergasi Dalam Mimpi
SMAHADZIR

Dalam mimpiku ada seekor gergasi,
taringnya tajam bak gergaji,
kepalanya botak sekeras besi,
dari mulutnya menyembur kata-kata keji,
hai budak kecil, kamu tidak usah mengaji,
buang Al-Quran, jum kita menyanyi,
sebarang nasihat jangan peduli,
kita senangkan diri berhibur hati.

Tetapi aku bukan budak jahat,
tubuhku kecil tapi hatiku sihat,
ibu sudah melatihku jadi kuat,
menjadikan aku anak yang taat,
kepada agama juga adat.

Bapa sering berpesan,
hati-hati dengan syaitan,
mulutnya manis tapi hatinya busuk,
jangan biarkan dirimu dirasuk,
banyakkan zikir kayakan tawaduk,
kepada Allah sujud ditunduk.

Gergasi itu jadi beringas,
dari mulutnya menjulur api panas
tangannya mahu mencekik pantas,
hatiku kecut, nafasku cemas,
namun aku tak mudah lemas,
ilmu di dada kejap dan kemas,
jika gergasi bertindak ganas.

Kalau kau berani tunjukkan jantanmu,
kita bertarung satu lawan satu,
awas jangan guna helah menipu,
gergasi menyeringai taringnya berkilat,
lantas kubuka pencak dan silat,
gergasi melompat mahu menyerang,
tapiku bersiaga dalam tenang,
menjerit tidak bersuara pun tidak,
sambil berdoa aku bertindak,
ilmu Al-Quran kukeluarkan serentak,
raung gergasi bergema lantang,
dibakar api hangus terlentang,
aku menjerit kegembiraan,
dan mimpi pun bubar spontan.

Dalam tidurku tiada lagi gergasi,
yang datang dalam mimpi,
mengajakku ponteng mengaji,
untuk jadi penyanyi.

Dengkil-Banting


Perempuan-Perempuan Pasar Tani
SMAHADZIR

Perempuan-perempuan pasar tani yang getol menjaja,
dari manakah mereka,
jauh dari kota mereka datang dari perbukitan desa,
sebelum peluit bas pagi terjaga,
sebelum hari bermula dalam pesta kerja,
perempuan-perempuan yang membawa sayur dalam kereta,
ke manakah mereka,
ke pasar-pasar tani gigih menongkah mega,
mereka bertarung dengan mentari bahang menggila,
merebut hidup di pasar-pasar tani tepian kota,
mereka membawa bakul jajaan di pagi buta,
siapakah mereka,
mereka ialah ibu-ibu yang perkasa,
akar-akar yang melata dari tanah perbukitan turun ke kota,
mereka: cinta kasih yang bergerak menghidupi desa demi desa.

Perempuan-perempuan pasar tani yang getol menjaja,
mereka tidak gelentar ugutan rasa duka,
mereka tidak menggelugut henyakan derita,
dari perbukitan desa dijinjing semangat ingin jaya,
mengubah hidup yang dilingkung nestapa,
sejak lama.

Pasar Tani Banting, Selangor



Jelita Tepian Bendang
SMAHADZIR

Serunai padi di dangau usang tepian bendang,
merdu antara longgokan jerami musim kemarau,
tembang menggema di kaki Gunung Jerai,
kesing di pucuk-pucuk malinja mulai menggigit,
embun tipis menurun satu-satu,
membasahi tangga di tanah berbukit,
dikenal gadis-gadis dari bendang,
bersenandung tembang cinta yang hilang,
jelita berkebaya merah melangkah permatang,
belalang di pucuk-pucuk pulut kian mengamuk,
embun tipis terus jatuh satu-satu.

Jelita tepian bendang berdendang anak petani,
berdendang lirik-lirik kebahagiaan,
berdendang cinta yang dibawa pergi,
serunai mengusik kalbu rindu,
jelita tepian bendang jadi sendu,
longgokan jerami membara dibakar,
angin membawa asap yang berlingkar,
tembang cinta tak akan kembali lagi,
senyap dalam alunan sepi.

Pendang, Kedah



Kita Tiada Pilihan
SMAHADZIR

Tidak ada lagi pilihan,
rumah ini rumah pusaka tinggalan,
leluhur yang berdarah di tangan,
jika diam atau bungkam,
rumah pusaka akan menjadi milik orang,
kita harus terus berjalan,
kerana berhenti atau mundur bermakna hanyut ketinggalan,
kita tak akan jual keyakinan,
tanpa harga dalam pengabdian,
sampai bila kita mahu ditekan,
hati dan perasaan,
sedang sudah banyak yang kita gadaikan,
demi kesatuan dan perpaduan.

Tidak ada lagi pilihan,
kita harus terus bertahan,
kita adalah manusia berjiwa mampan,
tak punya kepentingan dalam muluk slogan,
rumah pusaka adalah keringat perjuangan,
tinggalan leluhur yang tak kenal erti kesengsaraan,
kalau kita mengalah bermakna kita dayus,
kiri kanan depan belakang diugut terus,
muslihat mendekam dalam mulut yang mulus,
kita harus teruskan perlangkahan,
sehingga ke titisan darah penghabisan,
agar anak cucu kita esok tidak kehampaan,
melihat rumah pusaka tinggalan leluhur,
besar, megah dan makmur,
sedang hakmilik sudah berkubur.

Putrajaya



Perempuan, Luka Dan Dosa Lelaki
SMAHADZIR

Perempuan; lukamu itu akan dibawa mati,
tak mampu disusun kembali,
luluhlantak sekeping hati,
oleh lelaki,
yang hingar oleh kerenah,
yang rasa dirinya berhemah,
dalam tindakan yang serakah.

Perempuan; maaf atas segala luka melepa,
mungkin berkecai tak akan bercantum semula,
laik renjana kasih disanjung mulia,
namun luka terus meroyak binasa,
rembang petang bagai alam gelita,
tak terganti oleh benderang kejora.

Perempuan; izinkan aku bersimpuh di bawah kakimu,
maaf atas segala dosa yang berlaku,
yang pernah lelaki lakukan terhadapmu,
biar kubasuh dan kusucikan,
kakimu yang dilentuk haluan pedoman,
sesempurna syurga idaman.

Maaf; atas setiap titis air mata,
yang pernah kau jujuhkan ke dunia,
dan darah yang pernah mengucur dari luka,
akibat dosa lelaki durjana,
yang sering mengaku raja.

Kuala Lumpur


Redup Purnama
SMAHADZIR

Malam tak pernah bercerita lagi,
bungkam merajuk hati,
lalu bersembunyi di sebalik pagi,
kala kujenguk ia dalam bisu,
sebundar awan mengepung kaku,
bagai perewa berjubah kelabu,
kerdipnya mati, liriknya beku,
seperti kunang-kunang yang diam,
enggan berkelip-kelipan,
gemintang tak pernah bersinar lagi,
rembulan meredup membawa diri,
langit cuma jelaga,
yang hanya menyisakan giris gelita.

Seorang dara yang dirundung lara,
gerangan apa pun dia mendurja,
tetap di hatinya semarak jejaka,
sepejam matanya yang tak lagi gemilang,
seindah cemerlang bintang.
seorang dara adalah luka masa lalu,
renjana yang koyak adalah perih pilu,
bagai seberkas aura yang hilang,
pergi tak pernah lagi pulang,
biar luka masih membilur biru,
jiwa masih mengharu.

Dengarlah, ia tetap purnama yang redup,
dan aurora di antara lembayung senja,
sampaikan arca teragung padanya,
berukir kuntuman cinta untuknya
dan selalu untuknya,
semoga ia dapat bersinar semula,
seperti gemilangnya bintang kejora.

Sepang, Selangor



Bendera Nusa
SMAHADZIR

Manusia berpakaian hitam lengkap bersenjata,
telah berhenti di depan sebuah rumah pusaka,
yang semarak mengibarkan bendera nusa,
menceroboh masuk dengan paksa,
memperkosa kata, menoda bahasa,
juga membakar bendera,
menjelaga.

Manusia berpakaian hitam bertopeng hantu,
rakus menurunkan bendera itu,
di hadapan seorang bapa renta,
tidak ada pejuang pun yang mahu menuntut bela,
semuanya lena dan leka,
alpa.

Manusia berpakaian hitam bertangan kejam,
dengan hati yang kelam,
telah meninggalkan rumah pusaka,
menyongsong halaman tergesa-gesa,
bapa tua renta dengan kudrat yang ada,
perlahan menaikkan kembali bendera,
walau serasa nestapa pada jiwa,
walau gelodar marah menggila,
ke tiang kesal dan kecewa,
hampa.

Permatang Siantar,
Sumatera Utara



Perempuan Tua Di Hujung Desa
SMAHADZIR

Perempuan tua di hujung desa,
laksana genta dari kemilau emas,
juga serunai istana dari kerlap permata,
lafaznya senantiasa menjelma,
menyerupa kidung indah,
lirik bermadah,
pedoman ke jalan cerah.

Perempuan tua di hujung desa,
ialah rindu serupa pungguk malam,
yang senantiasa merenung purnama,
bagai cahaya fatamorgana,
hingga tiap detak nyawa,
sentiasa padanya,
sepanjang masa.

Perempuan tua di hujung desa,
dialah lantun segala irama mempersona,
yang mengukir gelintin malam dengan cahaya,
dan membias baur horizon,
mengharum semerbak kuntum kemboja,
dengan indah warna kejora.

Perempuan tua di hujung desa,
dialah nirwana yang hadir dalam asmara,
maharani agung di puncak singgahsana,
yang melahirkan aku ke dunia,
dari rahimnya,
sehingga kurangkul indah rerona,
menghias kanvas jiwa.

Kampung Tomok, Danau Toba,
Sumatera Utara


Lelaki Di Jambatan Pulau Pinang
SMAHADZIR

Lelaki di jambatan Pulau Pinang,
beritanya hangat di depan akhbar,
menggugah kedamaian warga sekitar,
dia melayang bak sehelai kertas usang,
aura hidup wangi terpental di penggal jalan,
luka itu terancap bagai belati,
pada dada dan hatinya,
hidupnya adalah jelaga hitam,
dan sering meniriskan hujan airmata,
katanya; aku sudah tak sanggup hidup dalam medan kalah.

Lelaki di jambatan Pulau Pinang,
bagai layang-layang melayang terbang,
dari jambatan di tengah Selat Melaka,
mungkin cinta telah mengajaknya ke sana,
setelah patah berkecai dan berkecamuk,
renjana asmara menggejolak dada,
telah membakar jiwa yang luka,
jasadnya memutih dalam pandangan,
melayang ke dasar laut,
lelaki itu, siapa pun dia, telah mati,
dan kita tidak perlu bercerita lagi.

Seberang Perai


Izinkan Aku Mencium Dahimu
SMAHADZIR


Luka itu memang tak sengaja kutoreh,
cagun kala hati diamuk nestapa,
tertancap bagai sembilu,
dan kenangan pilu tak mungkin berlalu,
dengan darah yang mengalir,
membasahi ruang sukma,
lalu isak-tangis pun bergema,
dan pisau di tanganku terlepas,
dalam lubuk keinsafan,
terdalam.

Isteriku, izinkan aku memelukmu,
agar dapat kusalurkan sejuta maaf,
dan penyesalan dari setiap kata yang terucap,
yang menambah sejumlah perih di hati,
malam tak lagi berbintang,
kerana jelaga awan galak menghalang,
menculik gemintang dari benderang,
cinta bagai rembulan pasi pucat tanpa warna,
biarkan sekali ini airmataku jatuh di pangkuan,
meski tanpa lunak sentuhan jemari,
yang tersalur dari sejemput maaf.

Isteriku, biarkan aku terpenjara oleh jeriji bersalah,
kenangan kita telah terbingkai diselubung debu,
dan kelabu cinta kita menyesakkan kalbu,
aku seperti mati dan sendiri dalam sepi,
izinkan aku mencium dahimu,
untuk terakhir kali sebelum aku pergi,
dan berlalu seperti angin pagi,
biarkan aku bersemadi dalam cintaku yang abadi,
sebelum aku dijemput Ilahi,
ke perkampungan azali.

Kg. Baru, Kuala Lumpur.



Sungai Ombak
SMAHADZIR

Hujan telah menangis melimpahi sungai,
di atas tanah yang lelah dan patah,
angin jalanan yang panjang terus mengerang,
kita tak ada pondok kediaman,
kita hanya bayang-bayang,
siluet yang bergentayangan.

Hujan terus menangis, menangis sedih,
di atas tanah yang perih dan letih,
di atas jasad yang pedih dan mendidih,
kita tidak ada makanan, kita kelaparan,
bayang-bayang yang lapar mencengkam,
siluet yang berpestaan menerkam.

Hujan semakin kuat menangis
di atas bumi yang hening dan sepi,
sehabis paluan gendang genderang,
angin jalanan yang panjang terus menerjang,
menyusup-nyusup garang,
menusuk-nusuk membahang,
bayang-bayang berlegar-legar,
siluet terawang-awang,
di bawah bayangan tiang,
di bawah bayangan kencana gemilang,
berjuta bayang-bayang dan siluet berebut-rebutan,
menangisi hujan dan menangisi gunung gejolak,
kabus kelabu membelai menolak-nolak,
tubuh-tubuh yang berselerak,
terkapar dalam sungai ombak yang berolak.

Berastagi, Sumatera Utara


Gurindam Orang Lapar
SMAHADZIR

Lapar menyerang kampungku,
ubi kayu dipanggang menjadi abu,
kidung kepiluan pun berirama sendu,
menggores pedih di dasar kalbu,
kemarau semakin ganas mencengkam,
bendang dan huma kering kerontangan,
sungai tidak lagi berlimpah airnya,
angin jadi membahang,
api menggejolak memijar,
memanggang perasaan.

Di hujung kampung, hatinya tambah terhiris,
sanak saudara ibu dan bapa menjadi pengemis,
menadah ehsan mengharap sedih,
tempurung berhantukan, lapar mengamuk,
darah memuncat iman menjadi kalut,
kidung berirama gurindam beralun dalam kemelut,
parah dan hancur,
lapar berserabut,
akal telah menyelinap ke bumbung nafsu,
api amarah sudah memarak semarak,
bertingkah menjadi batu, berpadu satu,
hari ini bukan lagi apa yang akan dimakan,
tetapi siapa yang akan dibaham.

Ini gurindam orang lapar,
kidung musim kemarau memijar,
dalam sungai yang terbiar.

Bukit Hijau, Baling, Kedah


Pesona Jiwa
SMAHADZIR

Bak gelombang mewarna di udara, 
laksana sinar pagi hari,
bagai rembulan mengharung samudera,
seperti bidadari dirangkul mentari, 
meskipun langit memeluk bumi,
mirip kencana di senja kemerlap, 
umpama terbang setinggi awan,
bagaikan bintang menghiasi malam, 
sinar mentari menyebar tenang,
indah pesona dalam jiwa,
kala dirasuk bahagia.

Bahagia yang menjelma,
beraroma syurga,
bersama pari-pari bunga kencana,
semerbak harumnya mempersona,
tatkala pesona jiwa melanda,
terbentang luas hamparan dunia,
melenyap derita yang pernah melanda,
nestapa sengsara ghaib entah ke mana.

Pesona jiwa,
tidak pernah kekal lama,
mengecil dalam gelap gelita,
lenyap dalam kata-kata,
hilang dalam fatamorgana.


Kota Kinabalu, Sabah


Indahnya Alam
SMAHADZIR

Desiran angin berirama tenang di pergunungan, 
tumbuhan menari lemah gemalai di perbukitan,
kicauan burung merdu mengalun tembang keheningan,
deburan omban beralun merdu di pantai tenang,
gelicau unggas berselerak riang ria,
indahnya alam hati terpesona,
gemilang membuai cinta mesra,
ke celah-celah mega,
damai dan sentosa.

Kupejamkan mata, kurentangkan tangan,
sejuk, tenang, damai terasa,
diri melayang ke puncak awan,
wahai pencipta alam,
kekaguman sukar dipendam,
dari siang hingga malam,
pesonanya tak pernah padam,
begitu indah dinikmati,
bak taman syurgawi.

Keindahan alam terasa sempurna,
semua makhluk terpana,
semua insan terkesima,
justeru kita harus menjaganya,
agar takkan sirna,
sampai bila-bila, selamanya.

Gunung Kinabalu, Sabah



Dihenyak Gelombang Masa
SMAHADZIR

Tak terdaya mataku melihat anak-anakku bersengketa,
hanya kerana sekeping tanah pusaka,
tinggalan leluhur selepas merdeka,
airmataku tumpah, parang dan lading menjadi hakim,
masyuarah bukan lagi jalan penyelesaian,
mahkamah menjadi medan perjuangan,
penentuan hak dan kebenaran,
sedang hak dan kebenaran adalah kasih sayang,
yang disemai di tanah tinggalan,
dipupuk makna persaudaraan,
dalam sentung yang sempit dihirup bersama udara sedikit,
dalam teratak yang kecil hidup bersama semua saudara,
kehidupan yang dicari sarat ikatan,
ukhuwah segemal satu agama.

Longlai semangatku melihat anak-anakku bergaduh sesama sendiri,
hanya kerana pegangan yang tidak sealiran,
agama bukan lagi penyatu ikatan keluarga,
tapi dihurai songsang lalu terburai makna saudara,
masjid tidak lagi laman sejahtera penjana tarbiah,
tapi mandala pemisah antara sesama,
kita satu ummah, satu kalimah dan satu Kaabah,
kita bersama menentang musuh-musuh Allah,
rumah kita kini sudah diintai jembalang tanah,
yang bernafsu ammarah, berkeduk mazmumah,
huma kencana kita akan rakus dimamah,
maruah dan darjat kita akan punah,
buangkanlah api serakah yang menjulang pongah,
bakal menghancurkan kesatuan ummah,
lalu menghimbau sengsara bercambah.

Sebak dadaku melihat anak-anakku tidak lagi sedar,
asyik bertengkar, leka berhibur, pules digebar,
bermimpikan mahligai antah berantah yang entah di mana,
terpesona dengan gelamayar berkilau di kejauhan sana,
sedang orang lain sudah menjulang di puncak kencana,
membina istana-istana gemilang bercahaya,
sudah bergantang kisah sejarah dibentang,
sudah berjuta pedoman dicakap ulang,
ceritera kemusnahan bangsa-bangsa peribumi,
di serata pelosok bumi merdeka,
dialun dalam konserto jelu balada derita,
terlukis di kanvas nyata terpamer di serata mandala,
namun laksana tercurah air ke daun keladi,
lenyap dan hilang dimamah sepi,
anak-anakku tak pernah mahu bangun dari lena yang panjang,
maruah bangsamu sudah ditelanjang,
turus kemegahan agamamu sudah diterjang,
bahasa leluhurmu diancam gelombang,
budaya murni sudah tercaing musnah,
tanah yang dipijak ini akan retak berderak,
awan putih bertebaran tak lagi akan berarak,
angin sejuk akan berhenti bergerak,
sungai yang mengalir akan menjadi sempit,
aliran yang tenang dan makmur akan terhimpit,
perjalanan akan bertambah getir.

Menjelang senja ini aku akan pergi,
jauh dari kepiluan dek sikap alpa anak cucu,
tetapi aku akan tetap menggengam api hasrat yang menyala,
biar dalam kelam kulihat wajah anak-anakku,
makin pudar tidak bermaya,
dihenyak gelombang masa.

Batang Kali,
Selangor


Waktu
SMAHADZIR

Waktu yang hakikat,
bagi para pesakit,
adalah musuh yang mereka tipu saban hari,
dengan harapan,
namun, di sana, di sebalik jeruji yang dingin,
waktu menjadi paduka raja,
tidak pernah terkalahkan.

Bagi para politikus dan olahragawan,
waktu adalah kesempatan yang singkat, ganas, dan mahal,
para seniman melihat waktu seperti angin,
hantu, bahan kimia, seorang anak perempuan, payung,
seuntai tasbih, atau sebuah rejim,
Salvador Dali melihat waktu boleh meleleh.

Bagi para ilmuwan,
waktu umpama garis,
yang ingin dilipat dan diputar-putar,
atau lorong,
melemparkan manusia dari masa ke masa,
maju atau mundur,
bagi yang terbaring sakit,
tergolek lemah tanpa harapan,
waktu mereka panggil-panggil,
tidak datang-datang.

Bagi para petani,
waktu menjadi raja,
mereka tunduk patuh,
bila menanam, bila menyiram, bila menuai,
adalah titah dari waktu yang sombong,
tidak boleh diajak berunding,
tidak mempan disogok.

Bagi yang sedang jatuh cinta,
waktu mengisi relung dada dengan gembira,
sekali gus cemas,
kerana teristimewa untuk cinta,
waktu menjelma menjadi jerat,
semakin cinta melekat, semakin kuat waktu menjerat,
jika cinta yang lama menukik,
jerat itu mencekik.

Bagiku, waktu telah menjadi spekulasi mendebarkan,
akankah esok semuanya berubah.

Rawang,
Selangor



Mengharap Kepada Tuhan
SMAHADZIR

Tatkala sungai menjadi sempit,
nelayan pun menghentikan dayungan,
sampan teroleng-oleng dipukul alun,
membalun tebing, air berkocak,
langit yang bergemuruh ditatap resah,
awan bergumpal gelap pekat,
hati nelayan merengap hebat,
mengharapkan Tuhan,
menurunkan tangan-Nya,
meluruskan lekok-lekok sungai yang berbatu,
agar kayuhan menjadi mudah,
sampan terarah ke pulau impian.

Kala sungai lurus tanpa bebatuan,
tebing damai rerumputan hijau tenang,
nelayan bersenandung riang,
lupa daratan, alpa kesempitan.

Tuhanku, mohonkan ampun ke hadrat-Mu,
atas segala dosa yang telah lalu,
berharap Kau menerima taubat,
kerana hanya engkaulah pelita hidup,
sempitnya sungai yang berliku,
bebatuan tajam ternganga menunggu,
namun tiada lagi kini sendu,
sembah sujud pada-Mu Tuhan,
Kau berikan segala senang dalam pendayungan,
Sampan nelayan telah terdampar di pulau bahagia,
kini tiada lagi lupa daratan.

Taman Damai,
Banting, Selangor



Bila Malam
SMAHADZIR

Bila malam menjelma,
memberi salam di pintu kamarku,
ada mimpi-mimpi silam yang bergentayangan,
terpampang di layar memori,
pelbagai warna menabiri ceritera tertayang,
airmata menjadi kesalan,
kisah-kisah purba begitu hitam berjelaga,
menampal kanvas-kanvas diri,
angin bagaikan terhenti,
tasik-tasik bagaikan kering,
sekumpulan awan hitam gelap di angkasa,
berulang kali berbelok arah tanpa jelas,
kadang-kadang berputar-putar atas kepala,
titik hujan jadi meradang, lalu berjujuhan,
memental warna dedaunan kuning di hamparan pilu,
sesekali angin berhubub sayu,
sayap-sayapnya seperti mahu luruh,
melayang, berputar, lalu tergeletak bisu,
di bawah dedaunan hijau berkilau yang masih tergantung kaku,
merangkul kisah purba ini dengan pelukan insaf.

Bila malam menjelma,
desir hujan dan angin yang luruh,
tersenyum ketika menimpa batu,
aroma riak hutan,
dan dingin yang menelusup di sebalik ari-ari,
satu nafas, satu denyut nadi, satu detak jantung,
dalam gelombang hujan yang melebat,
dan dosa yang perlahan menarik kaki ke pusaran masa,
lenyap di permukaan insaf,
dan hening kembali merayap dalam jiwa yang beku.

Masjid Putrajaya



Pejuang Tanah Nusa
SMAHADZIR

Demi tanah nusa dikorbankan waktu,
demi agama sanggup menggadai jiwa,
demi bangsa rela pertaruhkan nyawa,
maut menunggu di sempadan,
bakal mengganyang seluruh jasad,
lumat tercaing senjata-senjata runcing,
pejuang tanah nusa berhati waja,
tidak gentar gertakan maut petualang negara,
tidak gelugut ancaman neraka senjata musuh,
langkah diatur, muslihat disusun, helah ditabur,
musuh digempur diburu seluruh pelosok,
demi sebuah negara makmur,
generasi subur.

Di raut wajah pejuang tanah nusa,
tak sekumin rasa takut membusa,
semangat juang membara,
semarak bergelora,
lenyapkan pemusnah kemakmuran negara,
hari-hari pejuang tanah nusa diwarnai segala,
pembunuhan dan pertumpahan darah,
dan dihiasi bunga-bunga api bergejolak,
mengalir sungai darah bersemarak merah,
tidak jarang darah merah memancut membuar,
membuak dari tubuh bersarang besi tembaga,
namun tak mampu meruntuhkan turus semangat juang,
di dada seorang pejuang.

Keris pusaka bonda yang setia menemani,
keringat masin yang tak pernah kering,
membasahi seluruh badan siang dan malam,
pakaian dengan seribu hapak,
kini menjulang tanah nusa,
ke puncak persada,
bertakhta di singgahsana merdeka,
ceria di istana bahagia.


Keningau,
Negeri Di Bawah Bayu 



Kepada Belia Harapan Bangsa
SMAHADZIR

Nusa kita pasti menangis sedih,
hatinya terasa dicabik rabak, 
pabila ada warganya memilih untuk kaya peribadi,
korupsi jadi pegangan, rakus jadi pilihan,
tak peduli rakyat miskin merintih,
tak hirau penadah tangan meminta,
harta negara direbut haloba,
bukit bukau gondol ditarah,
emas permata diraih meruah,
tanpa sedar ada luka-luka parah,
terkulai di tepi jalan.

Nusa kita pasti meratap hiba,
pabila kesejahteraan jadi angan-angan semata,
keadilan hanyalah khayalan nyata,
kemerdekaan telah terjajah,
yang tinggal hanya kebodohan dan kepalsuan,
bermaharajalela di pelosok negara,
dengan angkuhnya mendabik dada,
rakyat miskin peduli apa,
kami berkuasa,
kami boleh buat apa saja,
akan runtuh sebuah kuasa,
dileburkan kebangkitan massa.

Malaysia, negara milik kita bersama,
jangan hanya bungkam memeluk dada,
mari bersatu teguhkan kuasa,
bina nusa tegakkan panji setia,
jujur dan amanah dalam bekerja,
ikhlas berbakti taburkan jasa,
gemilangkan bentala merdeka,
kita belia harapan bangsa,
pancangkan janji sekata, makmurkan nusa,
bahagiakan negara sepanjang masa,
hindar ancaman durjana serakah haloba,
mari berkongsi kekayaan negara sesama kita.


Putrajaya



Pengorbanan
SMAHADZIR

Mengucur deras hasrat,
bak keringat melencun sumur hakikat,
membasah tubuh melengas kudrat,
membawa angan ke samudera luas,
dibalun badai teroleng ke pulau bebas,
bagai pungguk rindukan bulan,
jiwa terpuruk dalam kesedihan,
pagi menjadi malam,
bulan menjadi tahun,
sekian lama menanti,
tak kunjung padam api kegelisahan,
gundah digulat kesayuan.

Andai aku sang kesateria perkasa,
pasti kudatang menyelamatkannya,
namun semua hanya mimpi,
dirinyalah yang harus berusaha,
untuk keluar dari kegelapan abadi,
aku hanya pejuang dalam sepi,
tanpa senjata penguat diri,
terumbang-ambing dibalun sepi,
terlunta dalam kamar peribadi,
yang terpencil di sudur memori.

Ini sebuah pengorbanan,
seorang pencinta sepi,
yang terpelosok dalam kamar jelu,
digulat resah tersendiri,
tapa sesiapa pun di sisi.

Permatang Pasir,
Kuala Langat, Selangor



Ayah, Seorang Pejuang
SMAHADZIR

Ayah,
bagaimana aku boleh membalas jasa-jasamu,
yang telah kau berikan untuk bumi pertiwi,
mencurah keringat berbudi kepada tanah,
menyuburkan pokok-pokok hijau di tanah merdeka,
padi dan getah menghijau di kebun ladang,
kau menghayun lading perjuangan di medan juang,
menghalau penjajah dan petualang,
tidak pernah gentar menentang,
meronai kanvas merdeka di medan perang,
haruskan aku memegang cangkul dan tajak,
turun ke bendang dan petak-petak paya,
haruskah aku berdarah di tengah desiran senjata,
haruskah aku mandi berlumuran peluh seluruh tubuh,
haruskah aku tersusuk peluru senapang penjajah,
mengenang kembali segala jasa dan pengorbanan,
sehingga aku senang di tanah ini,
tanpa sedikit pun ancaman bimbang,
hingga sekarang.

Ayah,
engkau relakan nyawamu,
diganyang musuh durjana,
engkau relakan dirimu,
diseligi daging dikunyel tulang temulang,
demi kebahagiaan dan kemakmuran,
anak cucumu di tanah sekangkang,
demi satu kemerdekaan yang cemerlang,
tak boleh diraih dengan hanya berdakap tubuh,
engkaulah bunga bangsa yang tabah,
pejuang yang gagah dan perwira yang teguh,
di medan juang,
memakmurkan negara.

Shah Alam,
Selangor


Menyusur Petaka Mesir
SMAHADZIR

Piramid purba porak poranda,
Spink pecah berserakan,
bukan bencana alam, melainkan amukan manusia,
padang pasir menangis, bumi diambang kekacauan,
anak-anak kecil menggemakan tangisan jelu,
para isteri sebak menanti suami,
lelaki beradu tenaga, saling menghentak kaki,
masing-masing menjerit:
mana Mesirku yang damai,
mana Sungai Nil yang dulunya mencipta tamadun,
kehidupan yang tersohor,
semua, terperi benar dalam diri masing-masing
semua, saling menyalahkan satu sama lain
hakikatnya sedarah:
satu bangsa, satu saudara, satu bahasa,
satu hamba Allah di bumi barokah.

Beza fahaman telah menjulang,
api dendam dan amarah menggila,
dua kumpulan yang sama-sama mengadap Kiblat,
namun terasing dan tidak sepakat,
mengapa tidak makan bersama?
satu talam berisi nasi yang sama,
lalu cari jalan persahabatan berdasar syariat Nabi,
yang sudah terpateri dalam Kitab Suci,
pencerahan paling hakiki.

Di luar sana, hasutan iblis nyata meraja lela,
menjulur tangan-tangan ghaib berupa raksasa,
inginkan Sungai Nil mengalirkan air merah,
bumi Firaun jadi mainan, sebuah boneka,
syaitan laknatullah nyata sedang menari-nari, bersuka ria,
menonton manusia bergelora nafsu dan amarah.

Demokrasi; mana janji damai?
mana keadilan dan suara ramai,
Amerika angkat bicara ‘Mesir telah tercerai berai’,
mereka ketawa, kerja mudah sudah selesai,
waktunya untuk rakyat Mesir bangkit dari lena,
tembang manis tak usah merdu di telinga,
resepi enak Uncle Sam usah dilahap lagi,
mari jejaki kembali langkah para nabi,
satukan tangan julang janji-janji sejati,
untuk menuju Mesir yang permai,
telusurilah Sungai Nil hingga ke dermaganya, 
airnya yang sejuk hening pasti akan tersenyum, 
tukang perahu berkulit gelap akan bernyanyi girang, 
perahu layar akan merentangkan sayapnya, 
menangkap angin dan belayar jauh, 
sepanjang hari dari fajar hingga ke timur,
di mana kehidupan pagi dan kebenaran lahir dengan gembira,
seperti dahulukala.


Rembau,
Negeri Sembilan



Maafkan Aku Perwira Negara
SMAHADZIR

Maafkan aku wahai perwira negara,
aku tak mampu bersama menjulang bendera,
di medan laga mempertahankan nusa,
aku hanya mampu berdoa segenap masa,
baik di dhuha atau kala matahari di atas kepala,
di senja atau kala lail tinggal sepertiga,
doaku kepada Allah Azzawajalla,
agar para perwira disimbah qudrah perkasa,
meletakkan maruah bangsa dan agama,
di puncak mulia.

Maafkan aku wahai perwira negara,
aku tak mampu mengobar api membara,
membela tanah moyang dari musuh durjana,
di belakang, di tengah, apalagi di depan barisan,
aku jauh di seberang lautan,
di kampung yang jauh tersisih di pedalaman.

Aku tak pernah berjuang di sisi perwira,
dengan langkah dan semangat seorang juara,
baik dalam tegak memperjuangkan yang hak,
atau dalam tunduk doa yang tersamar,
baik dalam ibadah yang bening tenang,
atau di hadapan ancaman yang menghadang,
wajah perwira hanya imbas dalam kelip mata,
perjuangan perwira hanya cagun dalam kilasan berita,
semangat perwira hanya terukir dalam susunan aksara,
ketika keringat perwira kucur ke bumi,
aku masih lelap tidur di kamar sepi,
ketika air mata perwira membasahi pipi,
aku masih dibuai mimpi diusung bidadari,
dalam getir perwira menghindar mesiu menyeligi,
aku membazirkan rezeki dengan pesta bunga api,
ketika perwira gembira menyambut syahid tertinggi,
aku masih menggelentar untuk mati.

Maafkan aku wahai perwira negara,
aku sentiasa alpa menjaga tanah bonda,
di pojok tertentu sudah ada api sengketa,
musuh durjana sudah kembali mengatur agenda,
kedamaian bentala sudah menggamit dengki haloba,
namun aku tak mampu menghalang mereka,
aku terlalu kerdil di celah musuh raksasa,
hanya mampu menadah doa.

Maafkan aku wahai perwira negara,
kemerdekaan tanah ini hasil darahmu,
kebahagiaan bentala ini dari keringat panasmu,
aku akur segala jasa,
moga perwira dalam redha Azzawajalla,
sepanjang masa.

Pusat Latihan Tentera Darat,
Port Dickson,
Negeri Sembilan


Perbincangan Tiada Lagi
SMAHADZIR

Bila tiada lagi perbincangan,
akan adalah hati yang remuk kecewa,
iblis dan syaitan akan berpesta pora,
bersorak ria meraikan kemenangan menggoda,
dan menghasut makhluk yang bernama manusia,
bersengketa sesama lalu bertemu di medan laga,
tiada lagi salam sejahtera ucapan mulia,
tiada lagi pelukan cinta sesama agama,
walau kalimah syahadah masih serupa,
namun nafsu dan amarah lebih utama,
dari perpaduan dan muhibah yang aula.

Mengapa perbincangan berganti dengan senjata,
sudah matikah akal sihat dan nurani kasih,
kenapa tergamak biarkan kematian berselerakan,
anak-anak kecil, wanita dan orang-orang tua,
peluru hidup bukan tandingan tubuh-tubuh rapuh,
yang mudah dirobohkan laksana angin,
ratusan nyawa melayang bagai kapas di udara,
terkapar berlumuran darah,
bersimbahan percikan daging-daging hancur,
kepala berderai, tulang temulang lunyai,
tanpa sempat mengucapkan kata sayang,
kepada ayah bonda sanak saudara,
anak-anak juga suami isteri tercinta.

Mengapa masih mahu berdebat soal demokrasi dan hak asasi,
sedang ideologi barat itu sudah ditelanjangi
di mana-mana saja sekadar hipokrasi,
demi memuaskan nafsu dan kehendak sendiri,
yang ada cuma letupan senjata api,
dan siapa yang menentang dianggap seterus,
dan harus dibinasa dan dihancurleburkan,
kematian tak akan menyelesaikan persoalan,
hanya melahirkan dendam yang tak berkesudahan,
siapa yang akan menanggung segala kehidupan,
mereka yang ditinggalkan tanpa kebahagiaan.

Luas lautan tak mampu menampung,
air mata kedukaan yang bergenang,
dan biru cakerawala akan menghitam,
menanggung mendung kedukaan jiwa,
yang tercabik-cabik belati nestapa,
sia-sia mengaku manusia dewasa,
dan mampu mengelola konflik dengan bijaksana,
nyata akal waras lenyap entah ke mana,
dan kecerdasan yang dimiliki minda,
hanya untuk kekuasan dan pengaruh harta.

Tegakkan panji perbincangan,
kembalilah pada kedalaman nurani,
kembalilah pada akal budi insan sejati,
semua yang telah diusahakan,
dengan paksa dan kekerasan tak akan kekal,
simpan dan akurlah firman Tuhan,
tak ada yang abadi di dunia fana,
sia-sia merebut hati dan fikiran,
yang tak mampu dibelenggu kaku,
milik manusia beraja di mata.

Rembau,
Negeri Sembilan


Ceritera Perpaduan
SMAHADZIR

Bersama kita membaja pepohon cinta tanpa warna,
bersatu memperkasa turus nusa tanpa curiga,
tetap bersama dari dulu hingga selamanya,
dalam gemal kejap satu bebat ikatan,
tetap berusaha membangun tanah moyang pusaka,
mencegatkan agama dan memakmurkan bangsa,
bersama ilmu ditimba tanpa putus asa di mana saja,
menjana modal insan di arena globalisasi,
disinar gemilang akhlak dan nilai peribadi.

Bersama kita suburkan ceritera perpaduan,
seteru disanggah bersama dengan lading muhibah,
demi kesatuan satu bangsa satu negara,
biar puncak kemajuan dikemerlap cahaya gemintang,
nusa bangsa Malaysia gah serata dunia,
ceritera perpaduan ini biar ditera tinta kencana,
dalam kamus sejarah bersalut perada bersinar,
bersama kita eratkan tangan satu genggaman,
tempuh suka duka bersama sepanjang masa,
rempuh pancaroba liku-liku sungai sempit menuju muara,
di sana ada bahtera kesejahteraan,
renyah globalisasi laksana kerikil tajam,
kita tetap bersatu dan tegar menghadap cabaran,
seia sekata sehati sejiwa,
ke hutan diredah ke lembah dituruni,
itulah perpaduan yang hakiki.

Ceritera perpaduan bukan legenda,
bukan kisah penglipur lara,
tapi simbol kekuatan negara,
persahabatan yang murni, muhibah sejati,
amalan nilai-nilai murni,
mesranya laksana kuku dan isi,
Melayu, India, Cina dan semua eknik warga setia,
bersatu hati menjulang jamung menghalau penjajah,
sekarang kita bersama dalam gebar merdeka,
bersama lembaran baru kehidupan sejahtera,
walau kita berbeza bangsa, agama, dan budaya,
namun kita sehati sejiwa,
memacu pembangunan negara.

Kem PLKN Kuala Kubu Bharu,
Hulu Selangor



Guru Insan Mulia
SMAHADZIR

Sudah bermusim bersama guru di pusat pengajian,
banyak cerita yang berlegar dalam kenangan,
kenal hati dan budi akhlak mulia jadi pedoman,
sebak dan sayu kala perpisahan,
laksana kekasih hati ke medan juang di perbatasan,
air mata berjujuhan tangisi sebuah kehilangan,
seorang guru yang berbakti tiada tandingan.

Guru pembina negara merdeka,
pengisi dada anak bangsa dengan ilmu berguna,
diseli sayang dan kasih sepanjang masa,
ikhlas berbudi tanpa pingat di dada,
menjadi sahabat ketawa bersama,
menjadi ibubapa kala berduka,
nasihat diberi sepenuh rela,
walau diri sendiri diselimut derita,
laksana dian membakar bercahaya,
pencerah jalan kehidupan manusia,
mencapai bahagia.

Bila usia sudah meningkat tua,
sudah di penghujung kerjaya seorang guru yang mulia,
terpaku di kamus sejarah dengan tinta kencana,
murni jasa bakti yang dicurahkan sepanjang usia,
akan dikenang sepanjang masa,
anak didik yang diasuh sudah mencapai langit gemilang,
cemerlang disalut gemintang terang,
berhentinya guru bukan sebuah pengakhiran,
ilmunya yang dicurah laksana pohon subur,
berbunga berbuah dan menjalar ke serata pojok,
terus jadi amalan ilmu yang ditabur,
anak didik yang gah di mercu bahagia,
sentiasa merafak doa ke hadrat Azzawajalla,
moga guru dalam sentosa.

Duhai guru insan mulia pemberi permata,
selagi nafas masih tersemat di usia,
budi luhur tetap dikenang sepanjang masa.

Institut Pendidikan Guru Kampus Antarabangsa,
Kuala Lumpur



Tanah Merdeka Luhur Berjasa
SMAHADZIR

Jangan berdukacita Malaysiaku tercinta,
jika budi yang ditabur dibalas tuba,
segelintir warga lupa sejarah derita lama,
tiada lagi makna menyanjung jasa,
apalagi mahu mengekalkan merdeka,
cukuplah masih ada lagi warga pembela,
yang sanggup mati bergadai nyawa,
tetap bergejolak semangat ingin menjaga,
keutuhan tanah tinggalan moyang berharga,
dari diganyang musuh derhaka,
petualang negara beragenda celaka.

Jangan bersedih Malaysiaku tanah moyang,
jika kemakmuran yang bercambah akan diganyang,
segelintir wargamu sudah dirasuk puaka jembalang,
tiada lagi bakti pejuang yang mahu dikenang,
tapi syukurlah kerana masih ada lagi para pejuang,
walau tidak bersenjata meriam dan senapang,
masih mahu menghapuskan petualang,
sanggup tercegat di medan hadapan,
dengan tinta dan kobaran pagar penghadang,
mesiu musuh dari segenap lapangan,
walau nyawa dan jasad berkalang,
jasa ibu pertiwi tetap dikenang.

Jangan berhiba Malaysiaku bentala pusaka,
jika kemerdekaan yang telah ditempa,
tiada siapa yang akan menghargainya,
sehingga leka dan alpa anasir durja,
laksana ular tedung berbisa,
cuba menyelinap di celah-celah kehidupan warga,
tapi syukurlah masih ada segelintir manusia,
yang sanggup menjaga nusa,
walau dengan tarian jejari di kanvas sahaja,
tanpa pingat dan terjulang nama,
di pentas singgahsana.

Jangan bermurung Malaysiaku bumi merdeka,
jika khidmat bakti yang dihulurkan kepada warga,
tiada pujian hanya caci cela ke udara,
jasa pejuang dan pahlawan berhati waja,
mengusir penjajah yang ingin bermaharajalela,
dikutuk dikeji dilupakan malah dihina,
tapi masih ada anak bangsa,
yang sentiasa mendoakan kau sejahtera,
setiap kali berteeleku di hadapan Azzawajalla,
menjelang 31 Ogos setiap dasawarsa,
kau tetap dijulang sebagai tanah yang berjasa,
membangun dan membina hidup bermakna,
semua bangsa tanpa mengira agama,
kekal terukir dalam kamus permata,
tanah merdeka yang luhur berjasa.

Kampung Kota Bukit,
Sik, Kedah



Setia Dalam Merdeka
SMAHADZIR

Kami berjanji demi kesejahteraan sebuah tanah yang merdeka,
tinggalan moyang yang tangannya berlumuran darah,
dihiris belati penjajah,
dagingnya disiat jerkah keramat di medan juang,
berjuang sehingga darah terakhir,
mengalir di tubuh melalui suara-suara semangat,
putaran kemerdekaan sejak 1957 santak kini,
menyusur sungai-sungai yang alirannya mati,
kepada warga segemal 1Malaysia, negara bangsa,
yang telah bebas dari belenggu,
hasil perjuangan silam yang luhur,
menjulang kencana makmur meruah syukur.

Dalam sejarah kepahitan digugah gentar,
sungai-sungai yang mengalir sempit,
alirannya berjelaga dan berkeledak,
di tebingnya larian anak-anak kecil,
bogel tanpa seluar dan baju,
berhingus lagi kedana dihenyak sengsara,
tak bersekolah walau dalam kelas rendaha
hingga menjelang dewasaa
tidak pernah kenal alif ba ta,
sehinga tanah merdeka menjulang panji cahaya,
baru berubah hidup derita diulit pesona,
gemilang di mana-mana, cerlang maya.

Titisan darah ayah di sempadan nusa,
bersama para pejuang berjiwa mulia,
hanya batu sungai sebagai tanda,
masih melekat kukuh di atas pusara,
nama yang telah terkambus dek hujan,
masih panas membahang semangatnya,
walau tulang temulang diam berubah fosil,
dalam tanah merdeka tinggalan sejak lama,
seperti selalu berlarilah kami dengan sehelai bendera kecil,
pemberian ayah suatu ketika dulu,
kami menyebut aksara merdeka,
bergema ke langit tujuh,
membingkas azam baru untuk terus setia,
dalam merdeka.

Dataran Merdeka,
Kuala Lumpur



Demi Perpaduan
SMAHADZIR

Sambutannya berulang lagi saban tahun kembali meriah,
keranamu Malaysia, kami di sini menabur bakti ibu pertiwi yang megah,
jalur gemilang berkibar sana sini merona gagah,
walau segelintir tiada endah, satukan hati bukannya mudah
hanya Malaysia negara tercinta terpateri indah,
kejap dalam jiwa sanubari penuh maruah,
untuk merdeka pejuang bersusah payah,
jangan siakan apa yang terpampang indah,
sayangilah tanah tumpah darah, mandala bertuah.

Kala melangkah menjinjing timba perpaduan,
jangan biarkan melimpah di perjalanan,
ada kerikil tajam berbonggol di hadapan,
ada hasutan dan dendam kesumat merintang jalan,
pandanglah ke kiri dan kanan,
ranting-ranting berduri ego bergelimpangan,
tumbang dek ribut dengki dan badai bimbang,
langkisau penggugah damai laksana gergasi,
berdiri bongkak bersama angkatan pemusnah,
mari bersama kita tepis warna-warna kelam,
usah berganjak walau digertak,
kukuhkan tunjang tegap memasak bumi,
walau tusukan datang menggempur,
menggegar tanah yang dipijak.

Takkan roboh tanah merdeka ini,
walau dibalun badai hitam menutup pandangan,
takkan rebah tiang Jalur Gemilang ini,
walau petualang mengancam dengan jentolak raksasa,
takkan terpokah pohon nusa ibunda ini,
kerana akar umbinya terpasak kukuh,
tunjangnya teguh di dalam diri,
jati pertiwi sasa menjunjung daulat tanah moyang,
laksana tugu besi tak mempan dek peluru,
generasi silih berganti musim silih bertukar,
masak minda melewati usia,
gemilang warga sudah di puncak cendiakawan,
lahir masyarakat berintegriti satu negara.

Ini seruan padamu bangsa setia bumi mulia,
generasi penerus aksara merdeka,
saudara senegara satu bahasa satu budaya,
kita harapan tanah moyang memupuk perpaduan,
yang pencorak kanvas keamanan,
memakmurkan lembah nusa menjadi gunung kencana,
bersatu teguh, bercerai roboh,
bulat air kerana pembetung,
bulat kata kerana muafakat,
warna yang bertaburan akan bersatu bersama,
berpadu dalam saf yang satu,
kita adalah warga satu bangsa,
berpadu dalam gagasan 1Malaysia,
berbaur tanpa mengira warna,
bercampur tanpa sengketa,
demi perpaduan bumi Malaysia tercinta.

Dataran Putrajaya,
Putrajaya


Seorang Perwira
SMAHADZIR

Seorang perwira telah gugur di perbatasan,
permulaan musim gerhana diapung sedu sedan,
terselubung aroma darah bersimbahan,
dan tanah yang berembun air mata berjujuhan,
kala mentari mengelupaskan kulit-kulit pahlawan,
hingga kawanan peluh yang siaga bertaburan,
menghalau kepulan debu bergerombolan,
yang mengepung dari sekumpulan,
perompak, penjarah untuk penjajahan,
terasing dari keadilan,
penyubur hak dan pencabulan.

Seorang perwira telah lenyap di sempadan,
tatkala banjir berlarian menggenang sawah bendang,
memokah hamparan tanah usang,
dengan jeritan malang dihenyak belati petualang,
serta busung lapar memanjang,
kala air mata telah mengguruh menjadi gelombang,
hingga sampan yang belayar di lautan,
terlambung, teroleng dan terumbang,
berkecai menjadi puing berselerakan,
merintih di setiap gigir pantai bertebaran,
namun harumnya menggerbak dua nesan kaku,
mengapung ke langit sejarah,
tercatat dalam tinta bermaruah.

Seorang perwira telah gugur,
di medan perjuangan menuntut makna merdeka,
atas kekejaman musuh durjana,
dia adalah ayah yang darahnya merah,
terkorban di tangan penjajah,
ditusuk peluru tembaga sarat amarah,
dialah perwira sejati,
namanya erat melepa di sanubari,
sebagai ayah yang berbakti,
untuk ibu pertiwi.


Port Dickson,
Negeri Sembilan



Pemandangan Indah Bumi Malaysia
SMAHADZIR

Dari utara ke selatan,
menganjur perbukitan dan gunung-ganang,
menghijau tumbuhan segar meruah saujana,
sungai-sungai mengalir tenang, hening airnya,
flora dan fauna subur bertebaran,
laut membiru nelayan menongkah alun,
mengaut rezeki melimpah kurniaan Allah,
unggas berceridau riang,
bunga-bunga bermekaran mempersona,
semilir bersenandung ria,
awan berarak cantik, gerimis merintik,
paya dan tasik beralun tenang,
padi menguning di sawah dan bendang,
anak-anak kecil berlarian di permatang,
dalam riang bertembang senang.

Kicauan burung merdu bersenandung,
cagun pagi baru mewangi,
indahnya bumi Malaysia hati terpaku,
pejamkan mata sejenak berteleku,
rasai sejuk tenang segar udara berlegar,
naluri melayang berputar-putar,
kekaguman sukar dipendam,
dari siang hingga malam pesonanya tak pernah padam,
desiran angin berirama di pergunungan,
tumbuhan menari-nari di perbukitan,
dan banjaran yang merentang panjang,
begitu indah bak indah taman di syurga,
keindahan alam sarat sempurna,
hati terpana jiwa terkesima,
kita harus menjaganya,
keindahannya takkan sirna.

Betapa indahnya bumi Malaysia,
laut berombak awan berarak,
udara segar bertiup segar,
aku berdiri di atas gunung dan di bawah langit,
melihat keindahan bumi negaraku,
lalu mempertaruhkan nyawa,
bertahan di atas kelestarian,
demi menjaga keindahan alam ciptaan Tuhan.

Pemandangan indah bumi bertuah,
tenang mempesona tiada gundah,
setenang masjid sedamai bahtera dilaut tanpa gelora,
seindah gumpalan awan putih di awan di langit saujana,
kanvas langit nan gemilang mempersona,
hamparan bumi hijau terbentang berseri,
mengajak warga negara menginsafi diri,
bertasbih memuji anugerah Ilahi,
mengagungkan pemberian Yang Maha Esa,
sepanjang masa dalam doa,
Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar,
ini satu hadiah paling berharga,
untuk bumi Malaysia tercinta.

Genting Highland – Cemeron Highland


Angin Dan Laut
SMAHADZIR

Laut damai alunnya tenang,
deburan ombak dibelai semilir petang,
ke tengah samudera luas merentang,
sedang di bibir pantai terbentang,
nelayan riang menari di sisi perahu payang,
tembang rezeki meruah gemilang,
dambaan anak isteri tersayang.

Laut mengundang sehamparan gunung samudera,
datanglah dari penjuru segala benua,
melihat nelayan serata desa menari gembira,
menjelang akhir pesta hulurkan mantera sejahtera,
ketika tubuh bermandi peluh melencun,
jangan suguhkan kalimat sengsara,
sebab ia sudah sirna,
di dasar laut bersama angin tenggara.

Angin laut dari penjuru benua,
ramaikan laut kami yang sepi,
dengan lagumu yang sarat cinta,
perahu yang membawamu telah kembali,
angin laut mendorongnya ke hujung dunia,
engkau tidak mengerti makna derita,
duduklah, ombak yang selalu pulang dan pergi,
seperti engkau berdiri di pantai,
menanti seseorang untuk menebak teka-teki itu.

Pantai Pengkalan Balak,
Melaka



Malaysia Jaya
SMAHADZIR

Mata terbuka di pagi nan permai,
sinar pagi menembus kaca jendela,
semerbak mawar merah dan kemboja merekah,
menggerbak mengapung alam nan indah,
kuhirup udara nyaman segar,
kabus tebal tenang menyelimuti bumi,
titisan embun membasahi dedaunan,
kicauan merdu gemersik di telinga,
semilir berhubub lunak menembusi kulit,
kulihat awan seputih melati,
dan langit sebiru samudera raya,
aku sedia menghadapi hari baru,
melestari bumi moyang kurniaan Ilahi.

Padi di bendang saujana menguning,
mentari menyambut datangnya pagi,
ayam berkokok bersahutan riang,
petani bersiap hendak ke bendang,
malinja yang bergemerisik tenang,
sedia untuk diketam,
petani bersuka ria,
beramai-ramai bergotong-royong,
gemercik air sungai, begitu bening,
bagaikan zamrud khatulistiwa,
itulah alam Malaysia jaya yang permai.

Angin berdesir di pantai berpasir putih,
burung berkicau merdu mengalun riang,
embun pagi membasahi dedaunan,
itulah tanah airku Malaysia jaya,
banjaran yang menghijau membentang,
gunung tinggi menjulang ke awan,
rakyat aman dan makmur sejahtera,
tanah tumpah darahku Malaysia jaya,
jaga dan sayangilah sentiasa,
di sinilah aku dibesarkan dalam bahagia,
di sinilah aku bakal menutup mata,
oh.. tanah airku tercinta,
Malaysia jaya.

Lebuhraya Utara Selatan,
Hentian Gunung Semanggul


Bangunan Yang Menjulang Di Kota Raya
SMAHADZIR

Bangunan yang menjulang di kota raya,
menyimpan segunung rahsia manusia,
yang tak usai menghisap puting waktu,
manusia asyik bermaharajalela,
masing-masing menjadi perwira,
menakluk belantara harta,
gunung-gunung kencana,
mereka memakai baju para jutawan,
berhibur dan makan-makan di istana kayangan,
mereka berpesta di pawagam tersergam,
dengan selebriti molek gadis jelitawan,
sering bergulat dalam kolam kebanggaan,
lenyap dalam rona-rona kemegahan,
tanpa sempadan.

Bangunan yang menjulang di kota raya,
menyimpan keluh juga lenguh,
tengik dan masam dalam lencun peluh,
yang disembunyikan dari mata khalayak,
terasing di rongga gelap dan kedap,
manusia belajar membaca lumut,
membaca batu-batu yang keras dan ganas,
membaca bau hanyir longkang,
busuk kohong bangkai-bangkai siamang,
sambil menari dan menyanyi riang:
‘kota yang kucinta, bangunan yang menjulang,
tinggi ke puncak awan’,
bangunan-bangunan menjalar telanjang,
menyimpan duka airmata dan darah.

Bangunan yang menjulang di kota raya,
menyimpan sejuta rahsia,
manusia penghuninya.

Kuala Lumpur


Kala Hujan Reda
SMAHADZIR

i

Petang telah melangkah tenang menuju peraduan,
hujan petang yang lebatnya telah reda,
hanya gerimis malu-malu, juraiannya kecil-kecil,
embun basah menyatu dalam hawa dingin,
senja hari beranjak larut,
kala itu aku dekat padamu, ibu!
hingga mampu merasakan kehadiran kasihnya,
memandang wajahmu,
dihiasi rona senyum di wajah kedutmu,
merengkuh lembut genggam tanganmu,
lebih halus dari selendang sutera,
terbaik yang pernah ada,
betapa manis dan cantiknya engkau, ibu!
dapat bersandar pada dadamu,
meraih hangat pelukanmu seperti dulu,
berikan cium sayang di keningmu,
segala keindahan bersama terbayang mesra,
kala hujan mereda.

ii

Kala hujan telah reda,
dari hadapanku dan hadapanmu, ibu!
ia sisakan pada bumi pertiwi kasih sejati,
tempiasnya basah, di setiap mandala daratan,
segenap pucuk pohon, di hamparan rerumputan,
titisan airnya menggayut, pojok dedaunan,
gerimis airnya jatuh di pundakku, di rambut putih ibu,
lambang usia kasih sayang yang tercurah,
angina halus menyapa kita, hati kita sayu,
yang haus kasih cinta dan jauhnya jarak kehidupan,
pucuk-pucuk tunas bertumbuh biji-biji pun berpucuk,
berhias pula pepohonan, daun-daun segar,
segalanya bagai musim semi,
menyambut hari esok penuh harapan,
hujan, membasuh segala kering kerontang,
segala dahaga dan kehausan,
sisakan kristal-kristal berkilau,
di luasnya dataran hijau.

iii

Waktu-waktu hujan telah lalu,
kala itulah angananku sarat,
akan sejuta imaginasi dan harapan masa depan,
tentang cinta dan kasih sayang,
juga tentang usiamu ibu yang semakin senja,
betapa pahitnya, kelamnya hari-hari lalu,
itu cerita lalu yang kian temaram di hujung waktu,
sebab anugerah tak terkira,
aku dilahirkan olehmu, ibu!
kini bersamamu berbahagi cerita semalam,
hari esok, inginku bersamamu lagi, ibu!
berbahagi cerita sebulan setahun juga seribu tahun,
tentang kisah bahagia, kasih sukacita kita bersama,
drama duka pedih, dalam cinta yang ikhlas,
hujan cerminan ingatan,
selubung awal barunya kehidupan,
kesegaran semesta tiada terkira.

iv

Terlintas tanya di benak,
akankah hujan akan jatuh lebat lagi?
buat kita cemas, takut basah kuyup merana,
sengsaranya banjir melanda,
hingga kita digulat persoalan besar,
bilakah itu semua akan berakhir?
meski tetap kuyakinkan dalam diri,
bahawa badai pasti akan berlalu,
dengan segala keyakinan,
polos kasih cinta ibu bagai dian kerdil,
rona mentari setiap hari kehidupan,
di tengahnya jelaga gelita,
juga bagai hujan sehari,
hapus kemarau seribu tahun,
kala hujan telah berlalu,
waktu-waktu indah bersamamu, ibu!

Kampung Bukit Hijau,
Kupang, Baling,
Kedah


Doa Untukmu Anakku
SMAHADZIR

Selamat malam, anakku sayang,
tidurlah dengan nyenyak,
bermimpilah dalam segala lembutmu,
peribadi mulia seorang anak solehah,
dalam suara berpadu merdu,
beribu malaikat turun dari syurga,
seakan itulah dirimu, puteri yang cantik,
kaulah bidadari yang telah turun dari sana,
suatu lagu terindah akan membelai rona alismu,
sentuh merah bibirmu, rengkuh gemas pipimu,
huluran tangan dari Tuhan,
akan terus mendakapmu, menjagamu,
meniti negeri-negeri penuh emas dan putih awan,
jauh tinggi di langit sana.

Bermimpilah yang indah-indah, anakku sayang,
lesatkan panah-panah anganmu,
duhai anakku sayang, buah hati pengarang jantungku,
biarkanlah mereka menemanimu,
tunjukkan jalan lurus kepadamu,
pejamkanlah matamu kejap-kejap,
dengarlah suara para malaikat di sekitarmu,
padukan suara semesta,
tidurlah, mimpilah dalam segala lembutmu,
anakku sayang, malaikat hatiku.

Semoga suatu waktu nanti,
kau berkenan merebahkan sandarmu di hatiku,
dalam pelukanku yang akrab,
doaku selalu sersamamu.

Taman Damai,
Simpang Morib, Banting,
Selangor



Runduk Pohon Malinja
SMAHADZIR

i

Betapa indah negeri utara ini,
menembus di lembah hijau,
jalan-jalan masih berliku,
gunung-gunung kelilingi bendang,
dari curam lereng-lereng,
bala pasukan pohon malinja,
mengepung seluruh pandangku,
malinja bahasaku,
beribu lagi bahasa para petani,
bendang, permatang, tiak dan kesing,
yang kukenal dan kudengar,
itulah sahabat dan musuh mereka.

ii

Kulihat sawah hijau kini,
dan pasti malinja tetap kuning nanti,
sungguh hijaumu di panas musim,
sungguh kuningmu di hujung musim,
dan tetaplah sungguh suburmu, malinja!
akan diketam, dibanting segala kudrat,
tatkala semuanya di sekelilingmu,
layu berguguran lalu berselimut putih,
hanya kulihat kuningmu kini,
belum lagi kugenggam ringan hampamu,
tatkala layu dan putih salju peluk semestamu,
namun, itulah dirimu, malinja!
julai-julai buahmu sungguh setia,
bertaut pada batang-batang yang melentuk,
merunduk senada nafas jiwamu.

iii

Hijau dan kuningmu kekal selalu,
rundukmu abadi senantiasa,
seakan itulah suatu yang terbesar, akhlak!
anugerah terindah dari yang maha kuasa,
untuk segenap kehidupan,
pohon-pohon malinja, menghiasi petak bendang,
pada kalbu ini yang meradang lara,
merindu dia, puteri pujaan hati,
namun laranya sirna, oleh senyum percaya,
pada kasih, yang takkan lenyap,
kekal hijau kuningmu, abadi rundukmu,
seperti itu cintaku padanya,
akhlak mulia seorang insan sejati.

Kampung Imam,
Padang Perahu

 

 

Pasti Terjadi

SMAHADZIR

 

Usiamu dunia di akhir zaman,

Bergema khabar di hujung semboyan,
Dengan tanda pelbagai tafsiran,
Namun ummah masih melupakan,
Kerana impian belum kesampaian.

Belum bergema suara nafiri,
Imamat senipis kulit ari,
Bermegah manusia menampil diri,
Mendabik dada dengan berani,
Amalan munafik mainan keji.

Seharusnya kita tidak menanti kiamat,
Kerana takwa perlu subur setiap saat,
Berpegang teguhlah pada tonggak kalimat,
Mantapkan iman dengan pancang solat,
Teguhkan akidah dengan tunjang ibadat.

Kuasa Allah Yang Maha Esa,
Izin-Nya terjadi, terjadilah ia,
Namun jika waktu belum tiba,
Kita perlu teruskan usaha,
Selagi jasad masih bernyawa.

Alam akhirat anugerah Ilahi,
Entah bila tapi pasti terjadi,
Semuanya dalam kehendak Rabbi,
Jangan biarkan waktu berlari,
Meninggalkan pahala, menggunung rugi.

Masjid Nabawi,
Madinah Ar-Munawarah


Di Puncak Gemilang

SMAHADZIR

 

Aduhai insan khalifah yang malang,

Dengan tubuhmu yang kering gersang,
Cerminan padah yang menjelma panjang,
Di mana akal fikiran anugerah Tuhan,
Telah tercemar dek nafsu kesesatan.

Aduhai insan generasi yang hina,
Dinoda najis dadah yang durjana,
Maruahmu menghilang entah ke mana
Hidupmu kecundang sengsara merana,
Masa depan tidak lagi berguna.

Yang sudah terlanjur kembalilah menginsafi,
Lafazlah taubat dengan hati yang suci,
Sejarah yang malang jangan diulangi lagi.

Kita yang berdiri teguh di sini,
Jangan biarkan nafsu merasuk hati,
Binalah tembok kebal pemisah diri,
Demi agama yang murni dan suci,
Demi mertabat dan maruah hakiki.

Untuk hari-hari yang mendatang,
Noda-noda hitam perlulah dibuang,
Agar kehidupan kita diulit tenang,
Agar maruah bangsa tinggi terjulang,
Agar agama suci di puncak gemilang.

UTM, Skudai,
Johor



Keimanan Kukuh Berpadu
SMAHADZIR

Fajar indah telah bangun tersenyum,
Menyapa hari yang menguntum anggun,
Keimanan di dada tertegak dalam santun,
Dalam mengharung badai yang meruntun,
Hasil kesedaran lama sejak berkurun.

Dalam mencapai tauhid uluhiyah,
Keimanan subur mencapai natijah,
Lahirlah insan mulia berjiwa gagah,
Teguh jahadanya menentang serakah,
Kukuh akhlaknya menyisih gundah.

Neraka itu neraca keadilan-Nya,
Syurga itu mandala rahmat-Nya,
Terimalah segala ujian kerana-Nya, 
Sanggup sengsara demi cinta-Nya.

Ikhlas takbir Allah Huakbar,
Kasih sayang Dia terlalu lebar,
Hadapilah cabaran dengan sabar,
Segala yang khilaf jadi ikhtibar,
Allah Maha Qahhar Maha Jabbar.
Ya Rabbi, sungguh indah nama-Mu,
Tersemat erat dalam lipatan hatiku,
Bersama amalan berpandukan ilmu,
Iman di dada kukuh berpadu,
Tiada jelak memohon restu-Mu.


Pekarangan Masjid Quba,
Madinah



Tertinggal Di Etalase
SMAHADZIR

Berjalan tenang menyusuri etalase romantik,
berkilat menghimbau perlangkahan,
lalu masuk ke dalam kedai barangan antik,
dan kaca-kaca beningnya laksana cermin,
pantulkan gaya segak dan bangga,
ketawa sekali gus ratapan hiba,
jalinan bahagia sekaligus sesak jiwa,
kerana tak sanggup membendung rasa,
aku terduduk rengsa.

Di kedai barangan antik,
aku melirik dan meraba sepanjang rak,
sorot pandangan sepanjang etalase,
namun itu hanya klise,
hanya tinggal usia lama di situ,
menghampar pandang ke sekeliling,
rupanya kedai bakal ditutup,
hari kian larut senja,
aku gesit membayar barangan dibeli.

Usia tua terpaku di situ,
sewaktu aku melangkah pergi,
kedai antik itu segera ditutup,
seribu persoalan cagun mengapung ke langit biru,
di mana bayang wajahku yang segak bergaya?
di mana bayang ketawa sekali gus ratapan hiba?
rupanya tertinggal di kaca bening,
dan ratapanku tertinggal di etalase,
bersama segunung harap,
ingin menggenggam erat tangan usia,
biarlah usiaku tetap di sana,
untuk diambil suatu hari nanti,
dari dibawa angin malam,
menuju layar hitam panggung kehidupan,
dan nuansa semusim indah di etalase ini.

SACC Mall, Shah Alam,
Selangor



Hujan Dan Embun
SMAHADZIR


i

Hujan,
terus merintik seperti manik-manik kristal,
berkilau menyubur segala gersang,
membajai segala kekeringan,
merinai di atas kepala segala hidupan,
menitis di kening setiap insan,
biarkan ia terus menembus ke benak,
meresap di kalbu hingga jadi embun pagi rindu.

ii

Embun pagi buta meniti turun ke pangkuan pertiwi,
sampaikan segala salam sapanya padaku,
dalam pelukan sunyi dan indahnya,
seakan semua tempat terindah aku bersandar,
pada semua keindahanmu, bumi pertiwi yang bertuah,
embun telah terjun dengan kasihnya,
merangkai kata-kata pujaan yang tak bersua dengan noda,
memeluk jelu yang sentiasa akrab dengan rindu,
melukis warna yang tak pernah dikisahkan danu,
memelihara adanya taman bunga di hati,
yang tak pernah kenal musim.

iii

Hujan dan embun,
menjelma dalam waktu rindu,
menyirat cinta dalam kalbu.


Majlis Kebudayaan Negeri Selangor,
Shah Alam



Molek Seorang Ibu
SMAHADZIR

i

Molek seorang ibu;
wujud dalam sepi hening,
kala tiada lagi terucap sebarang aksara,
ada dalam diam, telah cukupkan segalanya,
nyalakan lilin-lilin pesona, ada dalam ikhlas tenang,
mengalir sungai kasih cinta,
dari mata air kehidupan, ada dalam nada-nada,
kala semua tanda, tiada mampu ungkap makna,
molek seorang ibu: ada dalam cinta.

ii

Ibu, engkau begitu lincah,
bak helai putih merpati di langit biru,
begitu halus, lembut, suci laksana baldu,
terbang melayang, berkelana bersama bayu,
entah di mana akan hinggap untuk memadu,
rasa rindu.

Begitu juga ibu,
tiada siapa yang tahu, dalam benak, dalam hati,
selain ibu anugerah Tuhan,
wajah ibu sungguh molek, manis laksana bidadari,
di sebalik lembayung senda gurau,
di bawahnya derai pedih ibu,
lembut, polos, dan molek selalu dalam indah,
dan ibu selalu bersembunyi di situ.

Rona mata ibu sarat sinaran kasih,
runtuhkan segala mahkota keangkuhan,
tiada lagi yang mampu berpaling,
sesiapa saja yakin dalam hatinya,
hanya ibu yang ikhlas menyinta,
siapakah yang belum pernah rasakan,
nikmat kasih cinta polos suci murni ibu,
belum bermakna mereguk cangkir anggur,
dari pesta sajian terindah semesta.

Kampung Bukit Hijau,
Kupang, Baling,
Kedah



Hujan: Aku Merindukan-Nya
SMAHADZIR

i

Hujan turun namun tidak kelihatan,
hanya bayang dalam langit sepi,
tirai di cakerawala sunyi,
hujan malu-malu menyapa dalam jelu,
tidak berbekas, tidak tercerap,
sirna dari lamunan rona,
mereka tidak lagi dikenali,
kecil-kecil tidak berasa, tidak terlacak,
namun menjujuh dari nuansa,
tidak terbilang rinainya,
seakan itulah, rinduku pada-Nya.

ii

Duduk sendiri tanpa jelak,
kala memandang rinai hujan,
meski lara penat tidak tertahan,
sergap seisi benak, seisi jiwa,
namun tidak ingin beranjak,
selagi jujuhan hujan belum mereda,
langit kelam, awan hitam belum lagi menghilang,
rintik gemericik bisikkan syahdu,
masih ingin meramaikan nuansaku.

Kala hujan menjunam dingin,
hiburan tak kunjung putus,
sukacita yang tak henti berpendar,
menyatu dalam nuansa,
masa di mana aku pernah bersandar,
menyatu dengan segala bahagia,
damai sentosa di luar sana,
daun-daun terus bersukaria,
tinggalkan kilau jejak basuhnya,
itulah aku kala ini,
seakan segar daun-daun merindui nyanyian hujan,
seperti itulah aku merindukan-Nya,
Allah Yang Maha Berkuasa.

Rembau,
Negeri Sembilan



Tanah Moyang: Indah Tiada Tara
SMAHADZIR

Tanah moyang, jauh di benua sana,
dengan manis senyumanmu,
pada dunia yang tiada lagi gelap,
senja yang menggegap ramai,
tidakkah matamu yang merona,
memandang jauh ke sini,
bangunkan damai di hati berselimut sengsara.

Tanah moyang, jauh di benua sana,
di dalam luas mandalamu,
adakah yang bermimpi senantiasa,
untuk kehidupan penuh angan berkejaran,
apakah di sebalik mentari yang menemani hari,
gembira dan bahagia,
sedih dan pedih perih juga kisah pilu,
juga lukis pelangi rasa di sisi kalbu.

Tanah moyang, jauh di benua sana,
apakah kau akan limpahkan terangmu,
dari sebalik mahligai indahmu,
pada akhir waktuku,
mahukah suatu hari nanti,
di padang rumput berkilauan hijau dan emas,
damai yang tak akan beku,
turun bagai embun pagi,
menyapa segenap lelah jiwaku.

Tanah moyang, jauh di benua sana,
sebelum jiwaku wujud sayap,
melayang masuk dalam damaimu,
kerinduanku senantiasa berpeluk padamu,
dengan penuh harapan, penuh keyakinan,
kau yang sungguh indah tiada tara.

Tanah Tinggi Cameron Highland,
Pahang


Sewaktu Bertemu-Nya
SMAHADZIR

Masa berlari terlalu gesit,
membawa aku ke sini,
semua tentang-Nya,
aku menanti dalam sepi, saat itu kembali,
tak akan terduga, sungguh tak pernah terduga,
saat itu datang kembali,
tanpa mampu diingkari,
dan aku teramat rindu pada-Nya.

Dia dicinta dan dipuja,
tak mampu lagi aku berpaling,
sungguh tak dapat aku mengelak lagi,
itulah Dia, cantik-Mu manis-Mu molek-Mu,
tiada yang kuasa untuk mengungkap semua itu,
selain ada Dia saja,
waktu yang terlalu singkat,
untuk satu kurnia terbesar,
cukuplah sekejap sinaran waktu,
kerlap bintang di langit musim terindah,
Dia menyapa dan berlalu,
dalam segenap keindahan-Nya,
aku hanya mengutip sebait senyum,
lalu melangkah pergi, meniti dalam degup detik,
kembali kulalui, belas kasih dari waktu,
hingga ada yang terlupa,
satu pujian untuk-Mu, jauh lampaui semesta kata,
entah bila mampu terungkap,
sewaktu bertemu-Nya,
Dia maha cantik lagi mempersona.

Masjid Universiti Malaya,
Kuala Lumpur


Gemilang Di Muka Dunia
SMAHADZIR

Wahai perwira negara,
pembela kebenaran,
marilah berjuang, teruslah mara, meski ditentang.
semarakkan roh jihad, ukhuwah Islamiyah,
tegakkan amar makruf, hapuskan nahi mungkar.
penat lelah hanyalah mainan,
tempuhi ranjau banyak bersabar, letih lesu tidak menentu,
syurga menjadi idaman kalbu.
orang berjuang harum namanya,
dalam kemenangan atau gugur sebagai syuhada,
berjuanglah wahai pahlawan,
demi menegakkan negara berdaulat,
bebas merdeka.

Denyut nafasmu para perwira bangsa,
berkibar dalam syair sang saka,
berkobar dalam puisi Malaysia,
untuk meraih cita-cita merdeka,
keringat dan darah anak bangsa,
bersatu dalam semangat jiwa,
bergema di jagat nusantara,
untuk meraih prestasi dan karya merdeka.

Merdeka; kata-kata berharga,
aksara yang penuh makna,
bertakhta dalam raga pejuang bangsa,
bermandikan darah dan air mata,
perjuangan tanpa menyerah untuk nusa tercinta,
menggelora di garis khatulistiwa,
memberi kejayaan bangsa sepanjang masa.

Merdeka; aksara keramat sarat permata,
harta yang tak ternilai harganya,
menjadi pemicu pemimpin bangsa,
untuk tampil gemilang di muka dunia.

Dataran Merdeka,
Kuala Lumpur


Seorang Pemimpin
SMAHADZIR

Malaysia tumpah darahku,
apakah belum bangun dan terjaga,
mencari pemimpin yang kita bangga,
apakah rasa kepemimpinan itu,
masih tersimpan di dasar kalbu,
dan tertinggal di lubuk hati.

Di mana pemimpin yang kita cari,
masih bersembunyi di pilar sepi,
rakyat merindu dan sering bermimpi,
seorang khalifatur rasyidin berhati suci,
yang setia sebagai pemimpin sejati,
yang menyantuni fakir miskin,
mengasihi anak yatim,
adil dan saksama semasa berdiri.

Warga kini mengharapkan pemimpin yang barokah,
yang soleh dan solehah,
menggantikan tugas Rasulullah,
seorang pemimpin ummah,
yang bersifat siddiq, amanah, tabligh dan fatonah.

Andai aku menemuinya,
seorang pemimpin dunia,
seorang pemimpin tanah nusa dan agama,
seorang pemimpin Malaysia tercinta,
akan kusyukuri anugerah Allah,
Dia maha mengetahui dan maha pemurah.

Masjid Putra,
Putrajaya


Keris Pusaka Tinggalan Ayahanda
SMAHADZIR

Mengapa engkau bawa padaku,
laras senapang dan mesiu moden terhunus,
padahal aku hanya ingin merdeka,
dan membiarkan ranting-ranting derita,
patah di tepian samudera,
kerana kau memaksaku,
bertahan atau mati,
dengan mengirim ratusan bom,
yang engkau ledakkan di kepalaku,
aku terpaksa membela diri,
demi sebuah maruah dan harga nyawa.

Pesawat pejuangmu jatuh berdentum,
di tusuk keris pusaka tinggalan ayahanda,
yang kupasakkan dari sebalik kubu kecil,
semangat merdekaku tidak pernah runtuh,
atau terkandas di batu-batu cadas,
tanah moyangku yang panas,
akan terus menggelecak dengan semangat juang,
biar nyawa berketai luluh,
biar daging diseligi terkucai,
biar seluruh jasad berkecai,
tanah moyang tergadai tidak sekali.

Hanya dengan keris pusaka tinggalan ayahanda,
aku akan lepaskan tanda setia,
pada nusa tercinta,
sehingga aksara merdeka,
kemerlap di puncak nusa.

Kampung Kota Bukit,
Sik, Kedah



Untuk Tanah Nusaku
SMAHADZIR

Untuk tanah nusaku,
hancur lebur tulang belulang,
berlumur darah sekujur tubuh,
bermandi keringat penyejuk hati.

Kurela demi tanah airku,
jalur gemilang merah berani, putih nan suci,
melambai-lambai ditiup angin,
air mata bercucuran sambil menjulang doa,
untuk perwira tanah nusa,
berpijak berdebu pasir,
berderai kasih hanya untuk perwira jagat raya,
hanya jasamu yang boleh kulihat,
hanya jasamu yang boleh kukenang ,
tubuhmu hancur lebur hilang entah ke mana,
demi darah dan tulangmu,
aku perjuangkan tanah nusaku,
ini tanah nusa Malaysiaku. 

Dengan semangat perwira sejati,
tak menyerah berpatah arang,
tak gentar juang kau radak seribu petualang,
bersorak-sorai tanda kemenangan,
letih raga, jatuh tanda tak kalah menyerah,
di sini kami berdoa bangkit hadapi menyerang tak gundah,
dari digulat caci durja,
terus melangkah, Tuhan pasti di sebelah,
bersujud berharap akur menyerah,
mentari senyum tak kalah - pasrah.

Kendati tulang tak lagi menyatu,
tapi semangat maju takkan luntur,
kini, mimpi telah usai,
cita membara takkan berhenti,
perjalanan hidup panjang di sini,
semangat perwira kembali,
untuk nusa ibu pertiwi.

Keningau, Sabah


Hanya Kepada-Mu
SMAHADZIR

Aku paparkan kepada-Mu rasa takut,
yang telah disempurnakan,
hariku menjelaskan segalanya,
yang diucapkan oleh mataku,
rasa maluku telah melarangku dari-Mu,
untuk menyembunyikan keinginan,
dan Engkau memberikan pemahaman,
dengan terungkapnya segala rahsia.

Engkau telah mempermudahkan segala urusan,
lantas Engkau tumpahkan,
oraang-orang yang menyaksikan kekhilafan,
oleh itu kelemahlembutan akan diperoleh,
dengan hidayah-Mu.

Engkau telah memperlihatkan diriku,
sesuatu yang samar,
seakan-akan Engkau memberikan khabar,
dengan sesuatu yang samar,
bahawa Engkau berada dalam kebahagiaan,
aku dapat melihat-Mu dekat diriku,
kerana kehebatanku takut kepada-Mu,
Engkau menggembirakan aku,
dengan lemah lembut dan cinta kasih.

Kau hidupkan orang sekelilingku dengan cinta,
sedangkan Engkau mencintai kematian,
alangkah hairannya eksistensi kehidupan,
yang terpaut dengan kematian.

Setiap malam aku berdoa,
setiap malam aku bersujud,
setiap malam aku meminta,
aku meminta hanya kepada-Mu,
berdoa dan bersujud kepada-Mu,
hanya kepada-Mu,
dan selalu kepada-Mu.

Ya Allah… ya Tuhanku,
berilah hamba-Mu ini ketulusan dan keredhaan,
dalam menghadapi seluruh cubaan di dunia,
berilah hamba-Mu ini jalan terbaik,
jalan yang lurus,
jalan yang Engkau kehendaki,
malam ini; hamba-Mu bersujud kepada-Mu,
bersujud dalam ketulusan hati dan ketenangan jiwa.

Masjid KLIA


Rumah Bonda
SMAHADZIR

Dulu rumah bonda buruk dan berlubang sana sini,
dimakan asai, puhu serata tempat,
terasa sukar mengatur langkah,
atapnya nipah, dindingnya buluh,
lantainya nibung, tangganya kayu,
api pelita minyak tanah menerangi malam,
air telaga jadi minuman dan mandian,
kala musim hujan membasahi tempat tidur,
kala musim panas membahang habanya,
asap dapur menjelaga rumah,
alang geta dan kasau jadi hitam,
tiang teras merbau kuat terpasak,
kukuh dari terjahan langkisau,
teguh dari hentakan geguntur,
dijaga ayah siang dan malam,
dipagar keliling rumah menghalang gangguan,
musang dan babi hutan,
yang gemar membaham ayam dan ibu kayu.

Kini rumah bonda sudah bertukar wajah,
tidak lagi buruk dan berlubang sana sini,
atapnya genting, dindingnya bata,
lantainya ubin, tidak lagi bertangga,
api pelita minyak tanah berganti kalimantang,
air batang besi, radio, tv dan segala hiburan,
sudah bertandang di ruang anjung,
dapur tidak lagi berasap jelaga,
teras simen kuat terpasak dalam tanah,
kukuh dari terjahan langkisau,
teguh dari hentakan geguntur,
dijaga kami siang dan malam,
dipagar keliling rumah menghalang gangguan,
pencuri dan penganyak malam,
yang gemar meragut segala kebahagiaan.

Sebelum bonda pergi, kami telah berjanji,
hanya rumah ini sahaja yang ada,
sebagai tempat tinggal yang abadi,
ikrar telah terpaku di hati,
menyambung tugasan ayah,
melestarikan segala tinggalan,
akan menjaga rumah pusaka ini,
dari sebarang pencerobohan,
seperti menjaga diri sendiri.

Kampung Kuala Reman,
Sik, Kedah



Aku Sehelai Daun Kering
SMAHADZIR

Jangan sekat suaraku, ya Aziz,
sedangkan firman-Mu diabaikan,
jangan halang ucapanku, ya Qawiy,
sedangkan ayat-ayat-Mu dilupakan,
jangan putuskan cintaku, ya Dzul Quwwah,
sedangkan kasih sayang-Mu dibuang,
jangan benci sapaanku, ya Matin,
sedangkan pilihan tawaran-Mu diremehkan.

Betapa naifnya harapanku untuk diterima oleh mereka,
sedangkan jasa penciptaan-Mu dihapuskan,
betapa lucunya dambaanku untuk didengar oleh mereka,
sedangkan kitab-Mu diingkari oleh seribu peradaban,
betapa tidak wajar aku merasa berhak untuk dihormati,
sedangkan rahman rahim-Mu diingat hanya sesekali saja,
betapa tak masuk akal keinginanku untuk tak disakiti,
sedangkan kekasih-Mu Muhammad dilempar batu,
sedangkan Ibrahim-Mu dibakar,
sedangkan Yunus-Mu dicampakkan ke laut,
sedangkan Nuh-Mu dibiarkan kesepian.

Tetapi wahai Qadir Muqtadir,
wahai Jabbar Mutakabbir,
Engkau maha agung dan aku kerdil,
Engkau maha hebat dan aku keparat,
Engkau maha kuat dan aku tidak berkudrat,
Engkau maha kaya dan aku papa kedana,
Engkau maha suci dan aku sarat noda,
Engkau maha tinggi dan aku rendah di tapak kaki,
akan tetapi wahai Qahir wahai Qahhar,
rasul kekasihmu maksum dan aku bergelumang hawai,
nabi utusan-Mu terpelihara sedangkan aku penuh kekhilafan,
wahai Mannan wahai Karim,
wahai Fattah wahai Halim,
aku setitik debu namun tetap bersujud kepada-Mu,
aku sehelai daun kering namun tetap bertasbih kepada-Mu,
aku abdi yang kesepian namun yakin pada kasih sayang dan rahmat-Mu.

Permatang Pasir,
Kuala Langat, Selangor



Kematian
SMAHADZIR

i

Dia seorang lelaki pencari rezeki,
bersenandung riang sepenuh hati,
dipokah emas di puncak tinggi,
hari sebelum senja menjelang,
di rumah anak menunggu baju dan buku baru,
kaki terseliuh dan tubuh terguling,
lelaki tadi kini bersenandung malang,
di rumah isterinya jadi janda,
anak-anaknya kehilangan bapa,
pintu tak terbuka,
bapa tak kembali,
sia-sia menanti,
sepanjang hari.

Lelaki dijemput ke alam lahud,
tubuh yang sudah ditusuk tunggul,
anaknya menjerit yatim,
ayah telah mati,
muka yang tiada lagi bentuk,
terpekur pengantar pusara,
nyawa lepas tak tersangka.

ii

Sungguh, ia akan menjelma,
tanpa salam tanpa sapaan,
tanpa tiang bendera atau tanda,
juga sebarang khabar berita,
hadir di celahan pagi atau malam,
di sela resah dan desah,
pada hujung-hujung waktu tanpa sempat ditoleh,
juga pangkal-pangkal sudut ruangan,
bagai angin, gesit tindaknya,
bagai api, membahang panasnya.

Sungguh, Tuhan memberi kertas,
dengan garis-garis tebal peringatan,
akan wicara kuasa yang takkan mampu tersentuh,
oleh sesuatu yang halus atau sekecil apa pun,
untuk alam juga geliat-geliat nyawa yang dipinjamkan,
bersediakah bila Tuhan meminta untuk pulang?

iii

Datang ia memanggil namaku,
tersentak aku dari kealpaan,
ketika bisikan kata teringat akan dosa,
ia datang tanpa memberi salam,
datang bukan dari pintu,
atau memang itu caranya bertamu.

Ia pastikah itu alamat yang tertulis di daftar-Mu,
jangan dekati aku,
aku malu bertemu dengan-Mu,
aku masih kotor, aku masih jahil,
izinkan aku mewarnai semula kanvas hidup,
dengan rona-rona putih,
dengan nasuha terpilih.

Perkuburan Baqi,
Madinah



Maut Menjemput
SMAHADZIR

i

Manusia lahir, hidup, lalu maut menjemput,
menerima atau menolak, tak peduli, terpaksa ikut,
dengan tangan dingin namun pasti, diturut,
datang dan tiap hidup ia akhiri, akur.

Perempuan sedang mengandung,
wajahnya riang, mimpinya menimang bayi comel,
namun maut tenang berlindung,
dalam rahim ibu ia bersenandung.

Bayi lahir,
dan pertama kali udara dihirup,
dalam tangisnya terdengar maut menyindir:
“jangan nangis, kelak hidupmu akan kututup.”

ii

Yang dikandung sejak hidup bermula,
takkan ditolak, meski dibenci, kendati dicaci,
tapi kalau hidup nak dikunci, bebas berlari,
datang Tuhan menawari:
“sukakah kau hidup seminit lagi?”
dijawab pasti: “suka sekali!”

iii

Seperti gelita bagi kanak-kanak, pada maut aku ngeri,
kerana tak berkepastian, mampu menyergap sesuka hati,
membayangi langkah, mengintip menanti detik, pasti,
bagi kesedaran jadi beban paling berat,
dicabar dengan hidup yang seakan direbut, kalut,
dipilih pihak: kerana pada siksa neraka aku takut;
namun kini tiada lagi, kerana selalu didapati, hakiki,
nafas menghembus dalam tiap hidup fana, abadi.

Halaman Istana Seri Menanti,
Negeri Sembilan



Jangan Gelita Selamanya
SMAHADZIR


Malam telah mengatur langkah,
cahaya rembulan tak lagi menguning megah,
semakin temaram dengan datangnya gelita, 
kemerlap bintang ikut memudar,
menghilang bersama cagunnya gelita, 
gelita yang selalu dinanti,
gelita yang mendamaikan hati,
gelita yang kadang-kadang membuatkan dunia sepi,
namun gelita itu juga yang mendamaikan nubari,
gelita yang selalu hadir untuk melepaskan penat berlari,
memberikan keterasingan pada diri,
sentosa menuju pekat malam yang diselimut gebar mimpi.

Gelintin telah menyapa,
gelita telah memudar,
menghilang bersama datangnya gelap,
perlahan namun pasti,
dalam gelita ada pelbagai ceritera,
suka duka manusia di dunia fana,
ada gejolak nestapa,
ada semarak bahagia,
ada rahsia terselubung selama-lamanya,
gelita membawa air sedar,
bermula dan berakhir dalam gelita,
rahim dan lahud; dua alam gelita,
tiada sebarang cahaya,
hanya redha-Nya.

Gelita jangan selamanya,
biarlah secercah cahaya,
gemilang di penghujung sana.

Taman Tasik Selatan,
Kuala Lumpur


Kesalahan Masa Lalu
SMAHADZIR

Hidup mengumpul silap dan salah,
satu per satu disusun menjadi dokumentasi sejarah salasilah,
dan ditandatangani pada rasa sedih kala malam gundah,
bagaimana memikirkan rasa bersalah,
kita mampu mengudap arus hikmah,
jangan sampai luka silam terkuak membelah,
dan membuka langkah dengan aksara Bismillah.

Langit mencatat setiap dosa yang digurat,
maka segeralah bentang sejadah dan solat,
agar tak pergi dengan rasa tersendat,
beban dosa yang sarat menyekat,
langkah tenang kaki di titian sirat,
alam akhirat menghitung darjat.

Mata hati selalu hidup,
walau dosa bertumpuk,
renungkanlah malam yang dilalui dengan rasa tawaduk,
dan biarkanlah diri menuntun dan merunduk,
dunia hanya sebentar sahaja,
tak perlulah dibela dengan kekuatan harta,
berakhir pada alam mati dan selepas itu tiada suara,
untuk berkata-kata.

Kesalahan masa lalu adalah kehidupan senja,
usah diingkari, itulah fikiran masa muda,
itulah tingkat kedewasaan manusia,
usah ditangisi kekhilafan melepa,
dan diungkap dengan rasa hiba,
jalan menuju dewasa bukan jalan mudah,
kadang-kadang bersalut nanah dan darah.

Kampung Banting,
Sabak Bernam, Selangor



Pangkalan Kecil
SMAHADZIR

Pangkalan kecil,
tempat kolek-kolek kayu bersauh,
layar-layar koyak nelayan menyimpan harapan pada ikan-ikan tangkapan,
pangkalan kecil yang teguh,
dengan dermaga kayu berjajar mengatasi ombak,
gagah menampan angin,
di mana cakerawala di atas rumah penjaga sampan memerahkan senja,
dan angin petang menghujani jemala,
sejuk dan sentosa,
mendakap tubuhmu berjam-jam tanpa lupa cinta yang dibina.

Pangkalan kecil,
laksana tangan halus lembut bak arus kali,
yang menghangatkan batu-batu,
memarak semangat juang mencanai gemilang,
tempat nelayan menaruh jaring dan menjirat jala,
membebat rotan menganyam bubu,
membina harapan dengan merajut benang kudrat,
agar mampu menangkap ikan-ikan hikmat,
membentuk keluarga selamat,
pintu keluar dari badai menyengat.

Pangkalan kecil kini sudah bungkam,
kerana tidak ada kesetiaan dan kepala batu mencengkam,
kadang-kadang sikap keras perlu dilembutkan,
untuk percaya bahawa cinta boleh diteruskan.

Pangkalan kecil centang perenang tubuhnya,
hancur menjadi puing-puing berselerakan,
hanya dalam puisi yang mampu dibentang,
sejarahnya hanya tinggal kenangan.

Pantai Pangkalan Balak,
Melaka



Semangat Dendam
SMAHADZIR

Suara-suara gegak gempita mengapung membahang,
membingar bergerapak di serata pelosok kampung,
bergejolak bak api yang membakar perun kering,
menghamburkan udara panas ke langit tinggi,
dari liang jiwa yang keras dengan semangat,
terus bergemuruh memintal hati menjadi satu,
laksana batu kukuh tak mempan dek hunjaman,
medan peperangan telah benderang dengan api,
panji perjuangan terus gagah berkibar,
menunggu putera puteri anak peribumi sepolos nurani,
menjulang lading melangkah ke tengah gelanggang.

Laksana mentari membakar yang berpendar dari langit luas,
putera puteri anak peribumi gesit bergegas menyarung kedok perjuangan,
mendepani manusia-manusia penjarah bergilir masuk sederas arus sungai,
memburu kemakmuran yang bersemarak subur di tanah nusa,
membidik gadis-gadis ayu yang bisu dan polos,
mengubur kudrat anak-anak muda yang garang,
membungkam langkah-langkah gagah di kebun dan bendang,
manusia-manusia penjarah telah bernyanyi dengan lirik dusta yang bingar,
penuh doktrin songsang dan lagak pembela,
ternyata pagi membawa kabus tanpa molekul kedinginan,
senja pula bergerak bersama di medan juang yang tak akan padam.

Suara-suara gegak gempita akan terus bersipongang,
menggegar pintu langit,
dengan apinya yang membahang,
langkah-langkah terus kukuh diatur ke medan juang,
bersama lading di tangan kanan,
dijulang tinggi mencecah awan gemawan,
menyentuh bulan dan bintang,
bersemarak dengan semangat dendam,
menghapuskan petualang.

Kampung Bukit Hijau,
Baling, Kedah



Kasih
SMAHADZIR

Kuhirup udara sejuk pagi tanpa mentari,
yang masih malu-malu di sebalik perbukitan,
secubit cahaya menerobos lubang jendela,
memasuki kamar semarak sinar cerah,
memberikan sambutan untukku,
bahawa duniaku akan dimulai detik ini,
mencari rezeki kurniaan Ilahi,
melimpah-ruah di serata pojok,
menunggu kudratku memokah batu.

Aku langkahkan kaki dengan gagah,
melilau segenap pelosok ruang kamar,
menyelongkar makna hidup yang bakal direbut,
dunia ini pasti kalut dengan lingkaran sungai berliku,
namun aku mesti berjiwa teguh,
seteguh karang di lautan menampan arus gelombang,
terperanjat mataku kala menatap meja,
ada secawan kopi hangat berkelun asapnya,
membuak di angkasa raya,
aromanya menawarkan aku rasa sentosa,
diulit bahagia dipeluk gebar cinta.

Aku tahu, pasti ibu yang menyediakannya,
setiap pagi kopi santapan jasad yang layu,
tersaji dari talam cinta yang polos,
ibu selalu mengucapkan selamat pagi,
meski tak sempat aku melihatnya sebelum pergi,
bagiku, pagi tetap selalu hangat dan bersemangat,
kerana ibu selalu menyelimutiku dengan sutera kasih yang tulus,
yang tidak pernah diminta bayaran,
sejak lama ibu lakukan.

Taman Damai,
Simpang Morib, Banting,
Selangor


Akulah Cicit Moyang
SMAHADZIR

Bonda, aku ingin bebas berlari,
berlari di kaki gunung, berlari ke hujung lautan,
aku ingin terbang bebas seperti helang di angkasa.
Berlarilah nak, halaman tanah moyangmu ini luas terbentang,
terbanglah kerana tanah moyangmu ini sentosa tanpa noda,
udaranya segar nafasmu pasti tidak mencungap.

Bonda, aku mahu bermain, bernyanyi, dan menari-nari,
bermain di padang hijau,
bernyanyi di panggung dan menari-nari di pentas khalayak.
Lakukanlah nak, lalu pilihlah dari ribuan permainan,
dari ratusan lagu, dari puluhan tarian,
pilihlah dari tinggalan moyangmu,
yang lirik dan iramanya murni,
yang lenggok dan santunnya suci.

Bonda, aku ingin memilih semua itu,
semua yang terpampang tinggalan pusaka,
semuanya indah dan molek belaka,
lambang jati diri bangsa merdeka.
Ambillah nak, satu, dua, atau semuanya,
sebab itu adalah warisan budaya nusa,
tinggalan moyang sejak lama,
jadi pusaka kelangsungan maruah bangsa.

Bonda, aku ingin bersama dengan rakan sekampung,
ingin makan sepinggan, ingin bersembang di taman,
ingin mengajak mereka menjaga kampung dari sebarang noda,
Peluklah rakanmu itu, nak!
satu demi satu kawanmu, boleh dari berbeza ras dan suku,
boleh dari berbeza agama, boleh dari berlainan budaya,
ajaklah mereka bersatu dalam barisan yang jitu,
segenggam satu tangan mengerat kata setia,
jaga nusa jangan sampai porak-peranda.

Bonda, kini aku rasa terlalu bahagia,
bahagianya bak mengapung ke angkasa raya,
Apa alasanmu anakku?             
Sebab kampung halamanku hijau membentang,
kawanku ramai menyebar serata kawasan,
dendang, tari, dan mainanku meruah terpampang.

Bonda, bolehkah aku bertanya?
Tanyalah anakku!
Apa maknanya semua ini, bonda?
Ini adalah sebuah tanah yang menakjubkan,
dipersatukan oleh satu bahasa.
Apakah bahasa itu, bonda?
Bahasa Melayu, anakku!
bahasa agung laksana helang,
menebarkan sayapnya di angkasa,
bahasa ekonomi, bahasa perantara,
bahasa nusantara.

Bonda, apakah yang wajar dikatakan untuk tanah ini?
Inilah sebuah tanah yang kaya melimpah,
inilah kampung pujaan kita; Malaysia,
tapi, jangan lupa dan alpa sampai tertidur lena,
kerana ada musuh yang berupa ular sawa,
bakal membelit jika terleka.

Bonda, aku harus bersuara,
Bersuaralah, anakku!
ini tanah demokrasi, kampungmu sejati,
Lihatlah aku, ibu!
akulah cicit moyang yang akan menjaga tanah ini,
dari sebarang polusi,
dan ancaman musuh terkini.

Taman Damai,
Simpang Morib, Banting,
Selangor


Bersatu Hati
SMAHADZIR

Kami datang berbondong-bondong,
datang dengan doa, penuh harapan,
kami membawa nama anak bangsa yang mencintai nusa,
dengan megah melihatmu menari di angkasaraya,
sorak sorai menggema gegak gempita,
lagu kebangsaan bersuara gagah,
memacumu jalur gemilang di persada indah,
di Dataran Merdeka menyambut hari ulangtahun,
merdeka sebuah tanah nusa,
yang dijajah sekian lama.

Kami tak pernah sedikit pun mahu menyerah,
seperti kau tunjukkan pada dunia makna kibaran,
berkibar dengan segala gagah memukau dunia,
memukau mata kami yang dilanda keharuan,
kemenangan bukan sekadar bebas dari penjajahan,
tapi makna perpaduan, makna kemakmuran,
dan makna kekukuhan kesatuan,
demi merah putih biru kuning yang berkibar di atas sana,
di tiang tertinggi Dataran Merdeka,
demi pertiwi yang mengharapkan kebahagiaan,
demi kami yang rindukan keselamatan,
jangan sedikit pun gentar dan menghentikan langkah perjuangan,
jalur gemilang biarkan gagah berkibaran,
merentas kegemilangan.

Jalur gemilang; lihatlah hari telah berganti,
kami tetap bangga jadi bangsa yang dipertaruhkan,
kami cucurkan keringat dan julang martabat,
di medan perang yang membahang,
kami anak bangsa yang berada di belakang jalur gemilang,
bersama merentang tangan membebat kesatuan,
kami telah menggenggam ikrar yang kukuh terpahat,
menyerah dan takut tidak sekali,
semarak sayangkan nusa mekar dalam nubari,
meski daging dan tulang diseligi,
kami tetap bersatu hati.

Dataran Merdeka,
Kuala Lumpur



Pendekar Sejati
SMAHADZIR

Dulu tubuhnya tegap pagan kukuh kekar,
tulangnya teguh laksana pendekar,
tidak pernah gelugut gentar,
musuh mendekat pantang dicabar,
dialah ayahku, membesarkan aku dengan kudrat,
tulang empat kerat, rezeki dibebat,
gagah memokah hutan belukar,
ya, dialah pendekar sejati,
hatinya laksana harimau berani,
tidak mampu ditandingi,
kerja kerasnya adalah polos nurani,
untuk bahagia anak dan isteri.

Tak pernah dia keluhkan betapa terbeban,
keringat dan kudrat tidak sepadan,
rezeki digarapnya sekadar mampu bertahan,
hanya separuh bulan,
selut dan bendang padang permainan,
sungai dan paya mandala pencarian,
keringat di badan bukanlah ukuran kerajinan,
tapi semangat berkobar mengubah kehidupan,
mengisi ruang kemiskinan.

Benarlah, ayahku pendekar sejati,
keringat berkucuran bak embun syurga firdausi,
air matanya gemercik laksana hujan susu dinihari,
semangat kerjanya membahang laksana mentari,
usia hidupnya sarat bebanan jasa bakti,
dia pembawa aroma syurgawi,
lihatlah, anak-anaknya sudah tegak berdiri,
gagah mengecap gemilang di puncak bestari,
menjadi seorang insani dambaan nabi,
kini ayahku sudah tua dimamah masa,
dia dijaga bagai permata berharga,
kerana jasa dan baktinya seluas segara,
jamung pencerah sungai pancaroba.

Sungai Petani,
Kedah



Merenda Kerinduan
SMAHADZIR

i

Isteriku,
kala malam muram berselimut mendung,
kurangkai aksara menjadi sajak berkalung,
kuanyam bait-baitnya agar merdu bersenandung,
lalu disarungkan cincin rindu abadi,
di jari manismu berukir cinta sejati,
seperti indah purnama matamu yang bening,
kurengkuh wayu dingin menjadi pelamin,
kubingkai bintang-bintang jadi bunga hiasan,
kutitipkan khabar bahagia pada rembulan,
isi dan kuku tak rela berjauhan.

Isteriku, gunung dikejar tetap menanti,
di sini, di bukit batu kita tulis prasasti,
tanda cinta kasih kita bersemi.

ii

Pagi ini kutulis gurindam kasih untuk isteri tercinta,
bertata kerama seperti surya kencana,
berbahagi sinar ke segala warna,
ke celah-celah ranting daun dan belantara,
yang tersepit pohon asmara,
kutulis madah dalam benakku,
pada rembulan yang melahirkan kasih terpaku,
kusebut namamu setiap waktu berlalu,
di danau kemilau airnya yang membiru,
merapat ke dermaga cintamu.

Petang ini aku mengukir sebuah arca nama
kupahat erat di mercu astana,
cinta dan kasih kita kekal selamanya.

iii

Kugenggam janji kala rembulan pancarkan cahaya,
sungguh adinda, cinta kita seindah kenanga,
yang mekar ketika pintu derita terbuka,
meski ada luka melara di bahu jendela,
barangkali adinda masih ingat suatu ketika,
kita berlari kala gerimis manja menjelma,
yang menggetarkan ruang sukma,
kita mendayung sampan sampai ke dermaga.

Kita pernah leka di belantara sawang,
ada janji yang terdampar di batu karang,
kala gelombang menghempas tajam mengancam,
hingga lupa menyisir buih di rembulan,
sungguh isteriku, cinta kita seharum kemboja,
berpendar-pendar riang di alun samudera,
biarku renda pasir kerinduan,
menjadi gebar tidurmu kala malam,
di pulau kasih yang luasnya selautan,
cadarnya gumpalan awan gemawan,
agar lenamu terbuai berpanjangan.

Taman Damai, Simpang Morib,
Banting,
Selangor



Lenyapkan Duri Dan Sangsi
SMAHADZIR

Telaga ini jernih airnya, memantul sinar di wajahmu,
kala memungut dedaun kering hanyut,
lentera jatuh ke kali: ‘aku melihat raut bulan kusut’.

Menerawang geram ke hilir,
gelap menyapu sudut mata,
menyisir liar ke hulu,
riak memercik di dahi: ‘aku melihat raut bintang remang’.

”Saputlah air mata, kita kembali ke huma,
pondok kecil dan bara menyala
menyalai sehiris daging puyuh.”

Suaramu seperti malam jenuh,
seperti arang aku rapuh,
menggiringmu tinggalkan telaga,
tak ingat daging puyuh panggangmu,
menyusup ke huma dan lena: ‘aku melihat ilalang bergoyang’.

Air mata, oh, air mata; ia menjelma igauan senja,
sepanjang malam,
seluruh tidur lebur dalam gambar-gambar liar,
seseorang menegur dengan kasar: ‘aku melihat ranjang berdarah’.

”Lenyapkan duri dan sangsi,
kita berjalan malam ke hulu,
menunggu mata air air mata,
hingga tumbuh kemboja,
lalu kita kembali ke tepian.”

Isakmu seperti giris di pusara,
tapi entah bila mulut berkata,
aku bersandar di batu dan berdusta:
‘aku melihat bintang di kakimu,
masih dengan remang asalnya.

Persiaran Gurney,
Pulau Pinang



Lelaki Tua Penoreh Getah
SMAHADZIR

Sejak subuh temaram melangkah kaki,
ke kaki bukit menghambakan diri,
dengan pisau di tangan bersujud di pintu rezeki,
di tangan terjinjing beban harapan anak isteri,
baju dan buku yang harus dibeli,
beras dan kopi yang tiada lagi,
dapur sudah lama tak berasap sepi,
lelaki tua penoreh getah,
gagah berkudrat hatinya betah,
kukuh semangatnya tak pernah patah,
walau terancam pelbagai musibah,
jiwanya tabah.

Kala mentari merenda di atas jemala,
menari-nari di seputar kepala,
keringat melencun membasahi raga,
semangat kukuh dan ampuh meredah juang,
di celah warna hijau daun getah,
mengalir putih awan ke dalam jantung,
dikibarkan bendera batinnya ke cakerawala,
dengan jiwa rela, pasrah menyerah,
kepada Azzawajalla.

Lelaki tua penoreh getah,
panorama matanya menanam keteguhan,
pada angin perbukitan yang menggambar,
pada badai belantara yang terhampar,
langkah-langkah pasti tak gentar,
menorehkan hati risau kehidupan yang pudar.

Lelaki tua penoreh getah,
melukai kulit setitis demi setitis,
mengalirkan darah putih ke diri,
dalam binar jiwa yang berseri.

Kampung Bukit Hijau,
Baling,
Kedah



Warkah Dari Kampung
SMAHADZIR

Perlahan kubuka sampul yang membalut,
warkah kubaca dalam resah berbaur,
bagai petir menyambar,
ada kisah sengsara yang dipapar,
menggerutup debar.

Sajak lautmu bergelora,
mengkristal di karang kata,
ketika semilir mulai menyiul rindu,
gelombang mengejar perahu,
di atas cakerawala keningmu,
kemudian kisah berperi tenang;
berapa hektar musim benih puisi,
yang kau semai di ladang sepi?
sambil senyum kuhitung jemari,
dan jari-jemarimu menulis gelombang,
di atas kolek kayu kecil bagai sayap,
burung terbang menghantar mimpi.

Awal aksara surat ada doa untukku,
tembang syahdu dari kampung halaman,
berulangkali kucari jejak di mata,
terpatah rebah langkah,
lalu bangkit dari jalan kota,
kunikmati gerimis manja,
yang jatuh di hujung kaki.

Hari ketujuh kuulangi baca warkah derita,
seakan yakin majlis upacara
ketika bayang-bayang mentari,
merenda lirik mata bersama mantera,
kasih dan sayang yang dijeruk rasa,
ingin penghujung kata-kata,
di dermaga tumbuh bunga kemboja,
menghias ruang dada,
kita pelawat setia tabur serpihan jiwa,
ke tanah asal kita melodikan,
malam-malam sejuk mencengkam,
seperti menikmati biji-biji selasih,
di ambang dahaga.

Bagaimana agaknya?
kita tutup dulu pintu aksara,
seusai hujan senja berlalu,
langit masih menyisakan cahaya,
digurat wajah kita yang semakin tua.

Taman Damai Simpang Morib,
Banting,


Pusara Pahlawan
SMAHADZIR

i

Malam yang tekun menjaga pusara,
pahlawan yang berkubur bersemadi tanpa suara,
menyejuk hening dada pada cerita sengsara selama usianya,
dan sesaat terasa akan hidup yang punya harga,
anaknya pernah berlinang air mata, dihenyak derita,
pandangnya ke muka penuh keriput jasa,
pengorbanan dan bakti yang tak pernah bertanda,
pingat juga sijil anugerah raja,
berantakan citanya membuat ia memendam rasa,
kecewa dukalara,
sepanjang hayatnya.

Musim bunga gugur menggores catatan menyayat berat,
melemah jiwa dan mendatangkan takut yang hebat,
irinya jadi perkosaan manusia yang lari,
lari kerana tidak peduli ke daerah mati dan sepi,
keterlaluan mengisi detik-detik hidupnya,
malam yang berjaga dan dia yang merana,
sesedih mereka menunggu di pusaranya.

ii

Tubuh kaku terbujur sunyi,
terpancang tonggak bisu tak bernama,
tanah merah tanpa bertabur bunga,
tapi rela pahlawan terbaring di pusara.,
ketika kejam peperangan merobek damai sepi,
kau angkat senjata tanpa dipinta,
melawan penindasan dan penjajahan,
demi bumi pertiwi.

Ketika tangan masih mampu mencengkam,
jantung berdetak hati berderak,
kau pekikkan satu tekad: merdeka!
kau biarkan di sekujur tubuh,
luka menganga bertaut sendiri,
kau korbankan hidup,
gugur satu-satu.

Sebelum sempat kukalungkan bunga di lehermu,
aku sematkan bintang jasa di dadamu,
kau berlalu tanpa meminta balasan jasa,
izinkan aku seka darah di luka tubuhmu,
hapuskan debu di kaki telanjangmu,
sebagai rasa hormat dan terima kasihku,
di atas pusaramu kutaburkan wangi bungaan,
dan kutitiskan air mata jelu berjujuran.

Tugu Pahlawan,
Kuala Lumpur


Kampung Menangis
SMAHADZIR

Dari belantara tebal sarat tolang sepemelok,
dipokah dipugar ditebang ditebas leluhur,
diperun kering dibakar dibaja,
padi huma berseli pohonan kontan,
kini jadi kampung subur makmur kaya meruah,
membangun kota besar hutan batu,
putera puteri bebas riang bergerak senang,
berlarian bercanda ke hujung tanah,
hingga alpa hati nuraninya menginsafi,
titik peluh leluhur berhati walang,
menanam subur benih-benih juang,
kampung gemilang.

Langit kebiruan merayu pesona hati,
mencuat kekayaan di kandungan bumi,
bagai memburu sepasang mata putera puteri,
kemudian alamat padi berkibar berpadu,
ditiup sayup semilir beralun,
perwira desa bersorak sebab musim belayar.

Dari daratan kota berbau ramai,
bukan putera puteri membangun negeri,
bukan putera puteri bersajak jalur gemilang,
bukan putera puteri mengukir prasasti nusa gemilang,
tapi putera puteri bangsa itu kehilangan nuraninya,
putera puteri bangsa itu terburu letih sia-sia,
membiarkan arus persatuan hanyut ke longkang luas,
membiarkan gelita di kerongkong belantara.

Jika pilar-pilar patriotisme nyata,
kenapa bawakan layar berkhabar ’kampung menangis’,
menggulung makna jalur gemilng di jiwa warga,
kampungku lebur dipijak putera puteri bangsanya sendiri,
yang lupa peri leluhur memugar belantara,
yang terpesona mantera petualang durjana,
yang bicaranya tersirat sejuta makna,
pemusnah nusa penggamit bencana.

Taman Damai,
Simpang Morib.



Gerabak Tua
SMAHADZIR

Gerabak tua akan bergerak ke dermaga sepi,
laksana diri dalam dunia fana ini,
dianugerah Azzawajalla rezeki dan kudrat sejati,
lupa dosa, alpa pahala, takut akan mati,
kematian adalah halte pembebasan yang hakiki,
bila mati segala masalah akan hilang menyepi,
namun amal kebajikan bakal dihalusi,
ringan dan berat ditimbangi,
penentu neraka abadi,
atau nyaman hidup di syurgawi,
dipeluk bidadari.

Gerabak tua akan diheret-heret waktu,
lewat sungai berliku,
kehidupan laksana bidak catur nafsu mengatur,
tak peduli dosa tak peduli pahala,
diredah sama saja tanpa takut Azzawajalla,
semua akan menumpang keranda ke pusara sepi,
ditemani dua nesan kaku tidak berperi,
dalam kematian dunia dibebaskan,
hukuman menjadi tapal sempadan,
fikiran terhenti dan nafas ditamatkan.

Diri yang takut pada mati,
juga takut pada belenggu,
terbang ke awan dan lihatlah penjuru angin,
seribu malaikat menjemput dengan tangan berbunga,
ada syurga ada neraka,
semuanya menjadi sarat dengan penghuni,
pelbagai ibarat pelbagai iktibar,
jadi jamung menginsafi hakikat.

Bumi ini indah meruah melimpah kehendak rasa,
kadang-kadang peri ceritera manusia menjadi resah,
berulang-ulang kisah dan lakonan sejarah,
dan kematian menemukan makna Pencipta.

Villa Merdeka,
Ampang, Selangor



Sepi Di Pusara
SMAHADZIR

Yang riang dalam kehidupan,
dengan tawa senda seribu makna,
leka membangun khayal dan angan,
memutar roda sejarah, membina keluarga dan menafsir dunia,
bina tugu ilmu dengan sejuta buku,
cinta harapan seperti melonggok kertas kosong dalam fikiran,
lalu apakah ketika sudah mati,
menghuni lahud dua kali dua nanti,
dan dibuka penggali tanah separuh baya,
siapa dan di manakah kita,
ketika ada menjadi tiada,
hanya kain kafan tanpa jenama ternama,
di mana segala harta hasil kerja,
anak pinak ipar duai teman semua,
dan mimpi-mimpi indah syurga?

Tidak tahu apa kemahuan kita,
setelah mati dan sepi di pusara,
mungkin mendongakkan kepala,
di atas langit pusara yang sepi meraja,
dan berucap kata tanpa suara;
“andai dosa tidak pernah menjadi mainan,
dan fitnah bukan amalan perbuatan,
andai solat menjadi bakti harian,
dan doa-doa adalah bahasa percakapan,
mencintai Allah dan manusia sekalian,
mungkin aku tak kesepian!”

Di kuburan sepi,
hanya nisan kaku tanpa air api,
bunga-bunga yang ditaburkan jelu hati,
dengan tangisan semakin jauh membawa diri,
kian layu dimamah hari,
meninggalkan aku sendiri.

Tanah Perkuburan Jalan Aman,
Kancong Darat, Selangor



Orang-Orang Miskin
SMAHADZIR

Orang-orang miskin di kaki lima jalanan,
yang menadah tangan meminta bantuan,
yang tinggal di bawah jambatan,
yang kalah dalam pergulatan,
yang ditipu oleh impian,
janganlah mereka dilupakan.

Semilir membawa aroma baju hapak,
rambut mereka melekat di bulan purnama,
perempuan-perempuan tua berbaris di cakerawala,
menadah sesuap nasi di jalan raya,
orang-orang miskin, orang-orang tak berdosa,
kanak-kanak berhingus selimut jelaga,
kucing berkurap anjing kelaparan,
jangan begitu mudah diabaikan.

Bila diremehkan mereka yang malang,
hidup akan diburu bayangan,
tidur akan penuh igauan,
dan bahasa kanak-kanak sukar diterka,
jangan dikatakan tanah nusa ini kaya,
kerana manusia berkembang di kota dan desa,
jangan dikata diri kita kaya,
jika tetangga memakan bangkai kucingnya.

Perempuan-perempuan tua menyuapi anak-anaknya,
dengan tangan-tangan kotor dari jalanan,
meraba-raba kocek kosong berdebu,
mereka tak boleh dibiarkan,
mereka akan menjadi persoalan,
yang mencegat ideologi,
gigi mereka yang berkarat akan meringis di muka agama,
mereka akan berbaris sepanjang sejarah,
laksana udara panas yang selalu menjelma,
bagai gerimis yang selalu membayang,
mereka mengangkat pisau-pisau belati,
tertuju ke dada kita, atau ke dada mereka sendiri,
kenangkanlah orang-orang miskin,
juga berasal dari tanah yang sama.

Kuala Lumpur



Aku Anak Jalanan
SMAHADZIR

Aku anak jalanan,
merempat di lorong terbuang,
nasibku tak ubah sampah di longkang,
sering ditemani anjing dan kucing kelaparan,
dibawa arus ke selokan malang,
terdampar sepi kala malam menjelang.

Aku anak jalanan,
nasibku yang malang penuh halangan,
kaki lima adalah rumah penginapan,
rumah yang tak berpintu,
asap kenderaan hiasi sepanjang hari,
memenuhi baju dengan debu,
debu yang menutup mata,
indahnya tanah nusa tercinta.

Aku anak jalanan,
tiada berayah tiada beribu dan tiada berteman,
hidup cemerlang yang aku harapkan,
takdir malang yang mendatang,
hilangnya perhatian, dipinggirkan,
manusia yang kaya seperti membiarkan,
hina memandang, bibir menjuih panjang,
melihat aku yang centang perenang,
busuk hanyir laksana memerang,
iri rasa aku memandang,
anak yang penuh harapan,
kuusap dadaku perlahan,
dan terima takdir Tuhan,
sarat keredhaan.

Puduraya,
Kuala Lumpur


Laut Dan Hujan
SMAHADZIR


i

Luasnya laut sejauh mata memandang,
saujana hamparan biru nan mendinginkan,
gemericik tenang tapi menghanyutkan,
sesekali ombak menjelma,
bercengkerama dengan semilir liar,
menebarkan angan dan berjuta harapan.

Luasnya laut terhampar,
tak kelihatan batas sejauh mata memandang,
berjuta jiwa bernyawa menghidupkan nuansanya,
mata dirasuk pesona,
sesekali pelangi melintas di atasnya,
memberi pemandangan seindah syurga,
manusia terpana.

ii

Kala mendung bercengkerama dengan wayu,
mentari selalu muram, menyepi malu-malu,
terpempan oleh wibawa guntur yang menggegar,
rumput yang selalu membingar,
memarahi kaki yang menghenyak hangat,
berdendang riang kala rintik-rintik mulai datang,
jiwa terpesona gemilang,
lantas bercerita dengan segala indah cemerlang.

Alam yang gesit disapa,
rona bahagia,
pucuk-pucuk daun tersenyum manis menikmati lenyapnya debu,
debu-debu noda yang tak rela hijaunya semakin cantik,
kembali didengar suara alam berpesta,
semua bahagia dengan hujan yang menjelma.

Pantai Teluk Kemang,
Port Dickson,
Negeri Sembilan



Malam
SMAHADZIR

i

Malam ini ada sembilu perih menggores hati,
segenap candaria terbungkam mati,
sejuta asa terbunuh sepi,
raga rasa longlai untuk berdiri,
ke mana harus dilangkahkan kaki,
arus sungai terasa berduri,
di mana harus dicari kebahagiaan sejati,
di hujung buana tiada ditemui.

Malam ini fikiran jadi kalut,
laksana bersemayam di hujung maut,
tiada tali cinta yang dapat dirajut,
hanya amarah yang kian menyulut,
pergilah risau yang membebat kemelut,
agar aliran sungai tak lagi berserabut.
dipanjat dalam doa kala bersujud,
agar ketenangan tidak menyusut.

ii

Kala malam bisu, ditanya dalam relung kalbu,
mencari makna kata, mengorek erti rindu,
mencari definisi yang terpendam membisu,
ketika muzik berdendang syahdu,
mengiringi tidur malamku,
dicari makna sebuah ceritera,
direlung-relung minda,
adakah rindu masih melepa,
sungguh bebayangnya telah mencuri sukma,
melabuhkan aku dalam mimpi yang mempersona.

Bertabur bintang-bintang seribu khayalan,
antara rahsia malam datang satu barisan,
dalam suara hati yang bungkam,
kuingin menyingkap tirai kelam,
yang membelenggu perasaan,
memenjarakan impian,
ketika kasih datang mengoda,
hati telah terpenjara oleh sebuah nama,
nama pemilik bintang purnama.

iii

Duhai malam; senyumlah,
tidakkah rembulan sedang merekah merah,
dan bintang berkilauan, indahkan alam maya,
tidakkah esok fajar akan datang,
bawa impian yang dimimpikan,
hingga menjelma segala harapan.

Duhai malam; tidurlah,
ragamu lelah menanti pagi yang tak juga pergi,
dan kalbumu mengembang kala senja datang,
malam dengarkanlah,
kidung burung-burung dalam perjalanan pulang,
hingga tak ada alasan akan kesepian,
bermimpilah, disela-sela jagamu ada tangan-tangan suci,
yang meminta pada Ilahi,
agar tetap kuat menemani indahnya tanah pertiwi,
hingga waktu berhenti.

Kampung Bukit Hijau,
Baling, Kedah


Pantai
SMAHADZIR

i

Ombak mesra membelai mengusap,
kedua kakiku seperti menari-nari,
dalam buaian keriangan kalbumu,
kupandang jauh,
saujana di ufuk kebiruan berpadu,
yang menyatukan langit dan laut,
namun waktu sekejap berlalu,
beranjak dari pesona,
dengan hamparan pasir putihmu.

Debur ombak yang berdebar,
dan keceriaan kanak-kanak tertawa gembira,
tersenyum serta lesung pipimu,
bak guratan pasir jemari-jemari lentik,
yang sesekali gelombang menyapanya,
waktu yang tak pernah kembali,
berjalan bahkan berlari.

Izinkanlah aku temui,
bukan sekadar untaian mimpi,
kan kubasuh kakiku di pantaimu.

ii

Kemilau surya menyambut datang fajar,
kubuka jendela mata membundar,
bisikan alunan senandung camar,
hembusan angin bertiup manja,
suasana yang sepi menjelma,
ombak bergulung berkejaran,
betapa indah rahsia alam kurniaan Tuhan.

Khaliq mencipta semua keindahan,
Agar dapat merasakan ketenangan,
Kasih sayang berpanjangan.

Pantai Morib,
Kuala Langat, Selangor


Hutan Dara
SMAHADZIR

Melangkah di antara akar pepohonan,
bersama semilir yang mengalir,
menyusuri sela-sela batu di lereng perbukitan,
hangatnya atmosfera di relung hati membaur aroma nafasmu,
hutan dara segenit gadis bermata jeli,
semakin dekat, semakin kurasa himpitan ilusi,
pepohonan menari lemah gemalai,
gerbak harum, wangi tubuhmu membelai,
mendesak asa untuk mengejar,
semakin dekat, semakin hangat,
menghimpit tarikan nafas demi nafas,
ke dalam pelukan mesranya.

Hutan dara subur di mandala megah,
diapit perbukitan menghijau menganjur,
sepanjang inti tanah utara selatan timur dan barat,
sayang, senyum segar nan memikat hati,
mengundang naluri untuk memiliki,
semakin dekat, semakin hangat, semakin erat,
biru, hijau, putih, kuning, jingga, merah,
menerbangkan rasa yang menggelora,
menggoda hasrat membara,
menyala, membakar segala yang ada.

Hutan dara manis wajahnya,
mesra senyumnya, genit tingkahnya,
mesra menggoda membelai jiwa,
indah, cantik, wangi, segar, merangsang,
sayang, jangan kasari dia,
jangan rosakkan, jangan telanjangi sesuka hati,
biarkan dia bersendiri berdandan diri,
dia hutan dara nan perawan,
penyimpan air kehidupan.

Ulu Yam,
Hulu Selangor


Pesona Flora Fauna
SMAHADZIR

Anggerik liar putih berseri,
kenanga aneka rona dan warna,
menawan, mempesona alam rimba,
walau lembayung meredup lara,
rotan menjalar menelusuri belantara,
gaharu semerbak mewangi,
mengundang suasana damai tersendiri,
dalam naungan semilir beringin sunyi.

Punai daun bebas berterbangan,
jerijit hinggap dari dahan ke dahan,
helang gagah perkasa membelah awan gemawan,
cenderawasih cantik menawan mempesonakan,
pipit berceridau di antara ilalang,
berlari melompat rusa riang,
harimau belang menanti di banir tolang,
sawa merayap mengitari rawa buana,
memerang menyendiri mencari mangsa.

Di sana berjajar jati diri idola negara,
kempas dan merbau amat berharga,
dalam sungai antara mandala,
patin, sebarau, toman, lampam, semuanya ada,
menanti di bubu, jarring juga jala,
inilah flora fauna Malaysia,
menarik unik penuh pesona.

Tasik Banding,
Perak



Nyanyian Belantara
SMAHADZIR

i

Luas menghampar hijau saujana,
dedaun bergoyang lembut menari berirama,
ketika rumput berbisik berbicara,
mengajak canda makhluk belantara,
pohon tegar berdiri rendang,
terpasak kukuh tinggi menjulang,
gemercik air terjun damai menyegar,
gelicau unggas riang bertebar,
bersama aneka warna harumnya bunga,
pinggang bukit lembah mempersona,
sempurna anugerah Allah Azzawajalla.

Unik menawan panorama alam maya,
menghiasi rimba belantara sejahtera,
burung berkicau sepanjang masa,
membangunkan satwa-satwa,
penuh pesona menghiasi dunia,
mamalia, reptilia, amfibia, primat semua ada,
berjajar pulau hingga ke hujung nusa,
taman negara,
rumah keanekaragaman fauna flora,
dalam ekosistem yang terpadu mesra,
kesejahteraan alam semesta.

ii

Kupu-kupu dan kumbang beraneka warna,
indah mengagumkan menarik pesona,
terbang melayang mengepakkan sayapnya,
tatkala mentari pagi menembus dedaunan,
membuyarkan halimun dalam duka,
air terjun gemercik membuai rasa,
mengalunkan simfoni nada ceria,
yang tak henti mengiringi belantara,
walau kadang-kadang dihenyak nestapa,
tapi tak bermukim sepanjang masa.

Berjajar tegar pinggang perbukitan,
bagai menara alam penuh menawan,
bukit karst milik berharga,
menyimpan aneka khazanah pusaka,
di antara sunyi dan gelap gelita,
dinding gunung terjal berstalagtit,
langit stalagnit bak ukiran maestro alam,
menghiasi mandala gua di belantara,
alam kembali diselimut sunyi,
ketika mentari redup membalut sepi,
bersembunyi di sebalik pelbagai misteri.

iii

Mengalun merdu tiupan bayu,
membawa nyanyian beralun merdu,
menyelinap lembut ke dasar kalbu,
menggugah hati sanubari rindu,
belantaraku kebanggaan bangsa,
menopang kehidupan makhluk semesta,
dari si miskin di pedalaman sana,
juga si kaya di bangunan kota,
selimut hijau beruntai permata,
belantara hijau kini digulat duka,
salah siapa, siapa yang tamak haloba,
cita duka, bangkitkan cinta,
belantara sengsara, pesonanya lara,
di antara tangis jelu satwa,
bayu tetap semilir mengalun mesra,
membawa simponi alam sejahtera,
membisikkan kata pujangga,
esok, di mana aku akan berkelana.

Taman Negara,
Pahang


Orang Utan
SMAHADZIR

i

Rimba luas luas menghijau,
di antara hijaunya dedaun belantara,
yang jauh di hujung timur sana,
semua dalam damainya alam,
melompat perlahan, manja dan teguh,
mengintai mencari makanan penyegar tubuh,
demi menyambung generasi,
dalam habitat kehidupan hakiki.

Kau gemparkan semesta alam,
dengan kemanjaan wajah dan senyuman,
dan panjangnya tangan milikmu,
hingga membuat kagum penuh pesona,
para wisatawan yang bertandang,
napuh dan rusa berkeliaran tenang,
kijang berlari melompat lintang,
unggas burung juga berkicau riang,
orang utan tetap melangkah tenang.

ii

Dalam belantara hijau tebal,
tinggi dan besar kukuh tegar,
pepohonan rendang, habitat terbentang,
bergelantungan melompat bebas,
molek buruk bersuara lantang,
memecah keheningan rimba negara,
damai di kejauhan alam sana,
orang utan satwa langka,
berorasi menuntut hak hidup sendiri,
ketika habitat terkunci
menanti tangan Ilahi.

Orang Utan Santuary,
Sipilok, Sabah


Riak Tasik Banding
SMAHADZIR

i

Kabus berkelun membuai mesra,
kala pagi menguak pintu jendela,
biarpun rintik hujan setia,
membasahi alam seputar Tasik Banding,
membuai pawana menggeliat indah,
berkilau menghijau mengagumkan,
membiru bagai lautan saujana,
bersisik perak menarik hati,
hijau, biru, kuning aneka warna,
Tasik Banding khazanah pusaka,
jauh di dalam belantara Belum,
tak sangka mempesona dunia,
hingga pemburu satwa, merambah,
alam memang bungkam membisu,
tetap tersenyum bersama bayu,
yang menerpa dedaunan,
sekitar alam dan riak air,
Tasik Banding.

ii

Terhampar cantik di tepian hutan hujan,
bayang-bayang hijau bergelombang,
mengalun bak alunan simfoni,
seakan merdu membuai sekitar,
terlena dalam buaian mimpi,
gelicau unggas aneka warna,
bersahut bersama harmoni alam,
mengumandangkan gema pesona.

Camar bak helang menyambar,
tenang menjelajahi tasik membiru,
kumbang terbang celahan ilalang,
gagah perkasa hitam penuh wibawa,
Tasik Banding penuh pesona,
gemercik air bagai melodi cinta,
mengalun lirih tepian jalan raya.

Di antara bebatuan kerikil alam,
embun pagi masih membasahi bumi,
sementara mentari setia menyinari,
menghangatkan suasana rimba sekitar,
tatkala jemari besi menggerus,
berkubang lumpur gemerlap emas,
panorama lain sekitar Tasik Banding,
yang lalu, hari ini, dan esok nanti,
diam membisu menunggu sang ratu,
bahu membahu bangkitkan kalbu,
membiru tenang riakmu

Tasik Banding,
Perak


Sepenggal Derita
SMAHADZIR

Dalam meredah sungai berolak deras, 
seorang penahan bubu dicabar beribu batu,
tajam meruncing menusuk langkah,
semuanya hanya mencipta luka berdarah,
yang mungkin tiada hentinya,
meratap, merayu, menjerit, menangis,
tiada yang dapat ditangkis,
ketentuan yang sudah tercatat,
walau darah meluruhkan kudrat.

Apa yang dapat dilakukan,
tetap meredah merempuh sungai mencabar,
berserah dan selalu bersabar,
kerana hanya takwa pada-Nya jalan terbaik
bersama doa dan ikrar,
ada penghujung terang di muara,
luas menuju lautan bahagia,
di sana akan bertemu makna sejahtera,
dari sungai ke muara yang dicita,
berliku pancaroba yang harus diranduk,
dengan wajah dan tubuh menunduk,
sarat tawaduk.

Meraung bukanlah jawaban,
menangisi nasib diri bukan pula penyedap harapan,
hanya doa menjadi pedoman,
agar Azzawajalla selalu dalam ingatan,
usah disesali nasib yang malang,
biarkan segala derita jadi saksi bisu,
akan datang carilah sejahtera di hati,
agar sepenggal derita lenyap menyepi.

Majlis Kebudayaan Negeri Selangor,
Shah Alam,
Selangor


Manusia Tersisih
SMAHADZIR

Bahang mentari menggaring jadi sahabat harian,
debu jalanan menjadi embun mandian,
deru enjin kenderaan adalah senandung merdu mempersonakan,
kolong jambatan dan kaki lima adalah istana peraduan,
tertidur nyenyak di atas tumpukan kertas hiasan,
merasa hangat dengan selimut akhbar-akhbar terbuang,
bahkan biasa makan dengan rakus kelaparan,
nasi berlaukkan garam,
namun kenapa hidup terus ditekan.

Istana kekotak dibakar-hanguskan,
gerobak-gerobak nasi di sita tanpa belas kasihan,
mengatas-namakan undang-undang dan peraturan,
membuat kami melewati hari-hari dengan kelaparan,
kami tak pernah meminta lebih dari mengharap,
untuk kehidupan yang gilap kemerlap,
bermimpi jadi konglomerat pun kami tak berhasrat,
makan tiga kali sehari sudah cukup berkhasiat,
kami manusia melarat,
di pinggir kota hidup merempat.

Lihatlah anak-anak kami yang tak bersekolah,
setiap hari hanya mengais sampah,
tak pernah mengeluh meski kaki luka dan bernanah,
demi sesuap nasi mereka tabah,
tidakkah anda berasa malu wahai manusia berada,
kita sebangsa dan satu agama mulia,
cuma berbeza wang ringgit dan harta,
insaflah, kami juga manusia ciptaan Azzawajalla,
berhak mendapat tempat meski dipandang hina.

Dengarlah rayuan kami wahai manusia berkuasa,
biarkan kami hidup bebas tanpa diburu dan disiksa,
mengejar hari esok demi anak cucu kami yang buta aksara,
agar mereka tak jadi sampah dunia,
dengan tekad ini kami yakin mampu berubah cara,
istana kekotak akan jadi istana singgahsana,
kerana kami adalah orang tersisih berhati waja,
tak akan takut dengan derita,
suatu hari nanti kami akan merdeka.

Pandanglah kami dengan hati yang tulus,
bukakanlah denai yang lurus,
agar kesempitan dan sengsara kami tertimbus,
oleh pawana bahagia lunak berhembus,
mesra di mahligai kabus,
kami ingin hidup bahagia
tidak terhenyak dicengkam derita,
sepanjang masa.

Kuala Lumpur


Tsunami Dalam Kenangan
SMAHADZIR

i

Biru laut biru hati yang terkedu,
di sana purnama terluka ganas memburu,
tentang kematian yang beribu,
dan cinta kasih yang terbujur kaku,
berlumur darah dan nanah membeku,
kenangan apa yang akan kusematkan padamu,
seuntai kidung yang tak berirama merdu,
pada mayat-mayat tanpa pusara,
atau manusia yang terusir dari rumah tangga,
atau harta benda yang porak-poranda,
dalam maraknya resah di mulut sengsara,
dalam maraknya tsunami di hujung segara.

Hukum apa yang diundangkan padamu,
untuk menawarkan panas api membahang,
untuk menyejukkan bumi-bumi melata,
untuk mengibarkan panji-panji sejahtera,
agar nelayan berlayar di samudera sentosa,
agar petani mencangkul di ladang subur,
agar pengungsi kembali ke rumah sendiri,
menyiram kasih sayang abadi,
andai bahasa telah mengering dalam kitab,
andai hati telah membeku tanpa peduli,
kemelaratan dan kesengsaraan melumpuhkan kudrat.

ii

Kala alun Selat Melaka membuat kau terlena malam ini,
biarlah jiwamu hanyut bersamanya,
lalu impikan bidadari syurga bergurau senda,
berlarian sepanjang taman istana,
tatkala nyaring suara muadzin membangunkan kau esok hari,
pandanglah kepada jantung tanah ini,
di mana awal nadi berdenyut dan dinamika hidup bermula,
pandanglah kepada kiblat yang memberimu damai,
di segenap rasa dan indera,
pandanglah kepada rumah yang memberimu ketenteraman,
bila rumpun padi engkau saksikan kuning-kemuning,
bayangkanlah semampai anak dara tanah ini,
meliukkan ranum lenggang-lenggok,
gemulai merdu suara serunai padi,
sampai ke peraduan puteri diraja.

Bila engkau dengar derap badai,
maka saksikanlah gelora kemusnahan,
membakar semangat putera-puteri tanah ini,
kukuhkan pengabdian kepada Ilahi,
kepada tanah kita berasal dan akan kembali,
jika engkau lihat pantai-pantai berpasir emas,
bukit-bukit berjajar dan hutan-hutan perawan,
pujilah kebesaran Tuhan,
limpah kekayaan ruah milik warga yang tegar,
dengan otak seruncing mata rencong,
maka dengarlah hikayat yang mereka lantunkan,
saksikan semarak semerbak,
dan tawa para anak-anak kecil yang menyimpan harap,
marilah memandang jauh merambah,
denyut kehidupan yang makmur,
maka janganlah malu mengakui,
engkau pasti akan merindukannya lagi.

iii

Deru air bersama angin melaju,
derak pepohonan dan rumah tumbang,
dalam gerak singkat, dalam detik, sirna,
tsunami yang datang tanpa diundang,
tak habis manusia dirundung malang,
bawa ribuan jiwa melayang,
bersama badai samudera ke hadrat Tuhan.

Pantai Acheh,
Kedah


Penyapu Sampah Tua
SMAHADZIR

Penyapu sampah tua menjemput bulan di jendela,
merangkai sejuta mimpi dalam air mata,
ketika cinta mendakap dan memudar,
di taman kembang-kembang plastik,
di bawah siraman-siraman remang lampu-lampu antik,
segelas hempedu mencair semanis madu,
disapu sampah-sampah impian ke longkang harap,
diraih butir-butir kencana impian ke karung hasrat,
citanya terdampar di hujung malam,
malam yang gelap, tiada purnama kemerlap,
di langit malap.

Penyapu sampah tua merangkul bulan di jendela,
mengirimkan pawana senja,
di batas pengembangan di hujung buana,
dengan hati kosong dan mata hampa,
tertatih menuju mahligai Azzawajalla,
dia pasrah pada remang-remang cahaya,
bersinar laksana fatamorgana,
pada malam-malam dalam lena,
bermimpikan bulan purnama jatuh ke riba,
istana dan singgahsana permata,
di puncak bukit pesona.

Penyapu sampah tua melambai bulan di jendela,
tanpa kekasih membisikkan janji setia,
tanpa cinta asyik bermanja senda,
hanya pada bintang di langit terbuka,
diserahkan sisa-sisa kasih yang masih ada,
hatinya telah robek terluka,
berdarah bernanah bersalut jelu hiba,
istana bahagianya telah roboh dilanda bencana.

Taman Damai,
Simpang Morib, Banting,
Selangor


Selamat Berjuang Ayah
SMAHADZIR

Selamat berjuang ayah,
sempadan nusa menunggu darahmu,
pemergianmu tak mungkin cepat pulang,
hanya asa rindu kepiluan,
kuucapkan pada mentari redup dan bulan tanpa purnama,
yang tak sudi dan tak akan menulis perputaran waktu,
pada derita jiwa ibu yang melahirkan,
dengan darah, air mata, kepedihan, harapan dan cita-cita,

Selamat berjuang ayah,
tanah nusa menadah keringat yang mengkucur,
kamus sejarah akan merakam jasa ayah,
diukir prasasti dengan pahat kencana,
jangan lupa kirimkan khabar gembira pada ibu,
bahawa ayah sedang memburu seteru,
di antara jiwa syahid dan hidup,
di antara jiwa mati dalam perjuangan,
membebaskan tanah moyang dari ancaman,
petualang yang sekian lama berdendam.

Selamat berjuang ayah,
doakan anak-anakmu satu ketika nanti,
akan berdiri tegak tak takut mati,
berlari mengejar langkahmu di sempadan nusa,
berjuang melenyapkan angkara murka,
untuk mengekor jemari syurgawi,
menyusuri alam kemandirian yang abadi.

Selamat berjuang ayah,
doa kami sentiasa mengiringi,
sehingga ayah pulang ke pangkuan kami,
atau gugur demi pertiwi.


Port Dickson,
Negeri Sembilan



Bersatu Walau Berbeza 
SMAHADZIR

Kita telah diciptakan berbeza;
warna kulit dan bahasa,
apalagi agama dan budaya,
dan selamanya kita akan berbeza,
kita boleh bersama walau dalam beza rupa dan cara,
kita bersama kala hadapi ancaman durjana,
yang mahu merampas kampung kita,
kelak kita akan tinggal bersama juga,
bermukim di dunia baru penuh sentosa.

Jangan menutup rapat ruang-ruang pemisah,
hapuskan segala rasa gelisah dan gundah,
biarkanlah angin syurgawi membelai segala resah,
dan mengajar kita melakar warna-warna cerah,
di kanvas muhibah,
hiduplah saling melengkapi,
jangan jadikan itu tali belenggu yang terpateri,
biarkan kecurigaan itu lenyap di alun mimpi,
meresap ke dalam bumi, sepi menyendiri.

Kita mampu mengisi cangkir minuman,
dari botol yang sama,
kita saling berbahagi nasi,
dari periuk yang tidak berbeza,
marilah bernyanyi dan menari di pentas ceria,
bersama-sama dalam suka dan duka,
dan sisakan ruang berharga,
untuk menghayati makna negara bangsa,
di tanah nusa merdeka.

Marilah kita saling memberi hati,
jangan saling menguasai,
berdirilah dalam tegak selari,
lupakan rasa bangga dan besar diri,
mari kita jadi pilar-pilar besi,
kukuh terpasak dalam bumi,
tak akan mampu musuh mendekati.


Kuala Lumpur



Tanah Pusaka Ini
SMAHADZIR

Tanah pusaka ini tuan, tak akan kugadaikan,
untuk ditukarkan dengan gunung kekayaan,
hanya kerana janji yang belum pasti menjadi kenyataan,
kata demi kata yang tuan janjikan,
bagai meleburkan batu pengorbanan,
para pejuang yang memekup dada berdarah,
ditusuk amarah penjajah,
di atas tanah pusaka ini aku berpijak,
di bawah langit ini aku berlindung,
dari tusukan bahang mentari,
tak sekali-kali aku mahu menjual harga diri.

Tuan, aku tak akan menjual sebentuk kenangan,
hanya kerana termakan pujukan manis tuan,
sehingga darah leluhur jadi taruhan,
tanah ini adalah nyawaku yang mesti dipertahankan,
mengakar di jiwa mengukuh dalam kalbu,
seumpama isi yang berpaut erat pada kuku,
biar badai silih menghenyak,
takku jual nafsu kehendak,
tanah ini adalah maruah keturunanku yang hakiki,
meski terkucur darah pekat daging diseligi,
demi lenyap tanah ini tidak sekali.

Aduhai tuan yang kaya tipu muslihat,
betapa licik jalan fikiranmu bersalut kesumat,
membungkus impian menggunung hasrat,
kuasa dan kekayaan menjadi matlamat,
tapi tuan telah lupa akan hakikat,
aku bukan mudah untuk dipikat,
apalagi untuk digula-gulakan dengan janji keramat,
tanah ini tinggalan pusaka leluhur sejati,
tanah tumpah darah ibu pertiwi,
ayuh tuan, marilah bersamaku kita satu hati,
pegang janji, kita bangunkan tanah ini.


Kampung Bukit Hijau,
Tawar, Baling, Kedah



Kuala Lumpur
SMAHADZIR

Gemilang lampu-lampu menghias dadamu,
seakan bintang turun dan tidur di bumi,
gemerlapan cantik langkah-langkah menarik,
pelosok tubuhmu menjadi garing membahang,
panas yang mencengkam,
nafsu dan akal jadi bersatu,
tanpa arah tuju,
berselirat tidak menentu.                                

Di dadamu yang bidang beribu batu bata tersusun kukuh,
menjulang istana pencakar langit yang utuh,
berjuta semut besi menderu sesak,
memuntahkan asap penat menyendat,
nafas menjadi sendat dan penat,
di celah-celah lorong muram wajah-wajah suram,
mencari dan menunggu sisa-sisa noda,                   
bercambah menjadi benih-benih menjalar,
tumbuh dan memekar pepohon dosa.

Kuala Lumpur, buana manusia musibat,
berpesta dengan suapan serakah,
kelab para hawa tawar menawar,
sajian hangat daya tarik keparat,
memburai imamat.

Kuala Lumpur, penuh kabut dendam,
manusia berhati kelabu berwajah hitam,
taman bungaan dengki takabur memekar,
dan senandung kesombongan menggelegar,
noda dan dosa lebar terhampar,
dari selatan ke utara, timur dan barat.

Kuala Lumpur





  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA