SMAHADZIR
TERSEBUTLAH kisah bahawa Syam (Palestin) sekarang
ini, kala itu penduduknya sudah lama melupakan kepada ajaran para Nabi dan
Rasul yang pernah diutus Allah s.w.t. Mereka tidak percaya kepada Allah s.w.t
yang Maha Esa, malah digantinya Allah itu dengan hutan. Hutanlah yang mereka
sembah, kepada hutan itulah mereka meminta pertolongan dan berlindung
diri.
Kejahatan Yang Sangat
Merata
Begitu sesat mereka mendapat penyembahan ini, lebih-lebih
sesat lagi dalam hidup dan penghidupan mereka. Kejahatan yang sangat merata di
kalangan mereka, hidup mereka dengan jalan kicuh mengicuh, serta suka
memperdayakan rakan sendiri untuk mendapatkan keuntungan.
Kalau mereka menyukat atau menimbang
barang, selalu dicari akal agar sukatan atau timbangan itu merugikan pihak
lain, menguntungkan pihaknya sendiri. Sebaliknya bila orang lain yang menimbang
barang, dengan segala akalnya yang busuk, mereka jadikan agar dapat
menguntungkan pihaknya dan merugikan pihak lain pula.
Dengan jalan demikianlah mereka
mendapatkan harta kekayaan, iaitu dengan jalan yang tidak halal, serta cara yang
tidak sewajarnya, kehidupan selalu merugikan pihak lain, begitu juga perjuangan
mereka memang ditujukan untuk itu semata-mata. Kepada mereka itulah Nabi
Syuaib diutus Allah s.w.t, dengan membawa ajaran agama yang benar dari Allah
s.w.t, dikuatkan pula dengan wahyu dan mujizat.
Nabi Syuaib membawa mereka kepada menyembah
Allah s.w.t, menjauhi segala tipu muslihat yang busuk itu, memberi dan menakutkan
mereka dengan ancaman-ancaman Allah s.w.t dan neraka. Namun mereka tetap tidak
mahu dengar dan percaya. Malah membantah dengan alasan-alasan yang mereka buat
dan menganggap bahawa kehidupan mereka dengan cara yang mereka lakukan itu
adalah satu cara penghidupan yang sebaik-baiknya, dengan cara mana mereka
beroleh kekayaan dan kebahagiaan.
Tuhan yang mereka sembah itu tidak usah
diubah-ubah lagi, kerana begitulah yang mereka perolehi dari nenek moyang
mereka sendiri. Kata mereka kepada Nabi Syuaib: ‘Apakah engkau larang kami
menuruti agama yang kami anuti? Di mana letaknya kemerdekaan beragama? Engkau
mencegah kami dari mengambil rasuah? Sedang itulah kepandaian yang sudah kami
pelajari dan pertahankan! Apakah engkau menganggap dirimu lebih pintar dan
faham dari kami?’
Dengan tidak jemu-jemu Nabi Syuaib
memujuk mereka dengan secara yang bijaksana dan halus, dengan harapan mudah-mudahan
mereka akhirnya mengubah sikap, membenarkan kebenaran yang nyata
itu. Tetapi mereka tetap tidak menurut, malah mereka anggap bahawa mereka
sendirilah yang benar, sedang Nabi Syuaib dianggapnya menimbulkan kekeruhan dan
mengacau saja.
Akhirnya Nabi Syuaib diberinya kata dua,
agar baginda jangan lagi mengulangi kata-kata dan anjuran kepada mereka, kerana
mereka sudah merasa bosan mendengar segala kata-katanya. Dihinakannya Nabi
Syuaib dengan kata-kata yang cela dan rendah. ‘Nabi Syuaib adalah seorang yang
lemah lagi hina. Keluarganya semua melarat dan miskin, yang tidak mempunyai
gaya dan kewibawaan sedikit pun juga,’
kata mereka.
Nabi Syuaib tidak berputus asa, malah baginda
semakin giat dan terus mengajar dan mendidik mereka. ‘Sanggupkah engkau
menurunkan azab kepada kami?’ kata mereka mengejek keras. ‘Cubalah engkau
turunkan seksa itu sekarang juga kepada kami, sekiranya engkau benar dalam kata-katamu
itu,’ kata mereka lagi.
Permintaan mereka dengan segera diberi Allah
s.w.t. Hawa yang panas terik membakar, sedang mengancam jiwa mereka. Selain
kepanasan yang tidak terhingga, mereka diserang oleh haus dan dahaga yang bukan
kepalang. Seberapa pun air yang mereka minum, namun kehausan dan kedahagaan
mereka tidak berkurangan, malah semakin hebat. Ke mana saja mereka pergi
melindungkan diri dari hawa panas itu baik di bawah pohon kayu yang rendang
mahupun di bawah bangunan-bangunan yang beratap, tetapi tidak mendatangkan
faedah sedikit pun.
Meninggalkan Kampung
Halaman
Akhirnya mereka melarikan diri meninggalkan kampung
halaman, menuju ke hutan-hutan yang mereka sembah untuk melindungkan diri dari
hawa yang panas terik, tetapi itu pun tidak membawa sebarang faedah. Panas
terik itu dirasakannya di mana-mana kendatipun di dalam air atau hutan yang tebal,
Mereka lari dari qada dan qadar Allah s.w.t menuju ke qada dan qadar Allah s.w.t yang lain pula.
Akhirnya mereka melihat awan tebal datang
beriring. Mereka berlumba-lumba lari ke bawah awan hitam yang tebal itu, lelaki
perempuan, tua dan muda, dengan meninggalkan rumah tangga dan harta benda, berasak-asakkan
bernaung diri di bawah naungan awan hitam tersebut. Mereka menyangka, bahawa
awan tebal itu dapat menghindarkan diri mereka dari hawa panas yang mengancam,
tetapi apa yang terjadi sebenarnya ialah tubuh-tubuh mereka melecur kerana
terlalu panas.
Baru saja mereka yang kafir dan engkar
itu terkumpul di tempat yang dinaungi awan hitam tersebut, terdengarlah suara
gempita dari langit, bergeraklah bumi yang mereka pijak, awan hitam yang tebal
itu membakar mereka sampai menjadi abu yang berterbangan. Dengan kejadian itu,
lenyaplah mereka yang engkar dan kafir itu semuanya. Kerana bila mereka sudah
tidak dapat diperbaiki dengan ajaran dan nasihat, daripada tetap berbuat kerosakan
di muka bumi, lebih baik dihabiskan sama sekali, agar datang keturunan lain
yang menggantikan mereka di muka bumi yang mereka diami.
Allah s.w.t tidak akan ragu-ragu
mendatangkan seksa yang sehebat-hebatnya bagi hamba-hamba-Nya yang engkar,
sebaliknya Allah selalu melindungi dan membahagiakan hamba-hamba-Nya yang taat
dan patuh kepada-Nya.
Setelah melihat apa yang telah terjadi
terhadap penduduk yang engkar dan perosak itu, Nabi Syuaib lalu berkata kepada orang-orang
yang terlepas dari bahaya maut, iaitu orang-orang yang beriman kepadanya: ‘Hai
kaumku, sesungguhnya sudah aku sampaikan kepadamu risalah Tuhanku dan aku telah
berikan nasihat-nasihatku kepadamu, maka begitulah kejadiannya bagi kaum yang
kafir dan engkar.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan