SMAHADZIR
TERSEBUTLAH kisah pada suatu hari, semua Malaikat berkumpul
membicarakan tentang makhluk Allah s.w.t, mengenai ketaatan manusia dan
maksiatnya, keburukan manusia dan kebaikannya. Akhirnya semua Malaikat itu
memutuskan dengan sebulat suara bahawa Nabi Ayublah tatkala itu manusia yang
paling baik di atas dunia, yang paling banyak ibadatnya kepada Allah s.w.t dan
yang paling tinggi keimanan dalam dadanya.
Dengan harta kekayaan yang banyak, anak
keturunan yang banyak pula baginda tidak pernah sekali pun terlambat beribadat
dan bersujud kepada Allah s.w.t. Baginda selalu memperhatikan dan menolong
orang-orang yang melarat dan fakir miskin. Mendengar keputusan Malaikat itu,
Iblis ingin menjalankan muslihat kotornya. Iblis tidak suka kalau ada manusia
di muka bumi ini tebal imannya kepada Allah s.w.t, sempurna ibadat dan
syukurnya. Tiap-tiap orang beriman itu, akan dicubanya membelokkan dan
menyesatkannya. Dengan berbagai cara dan akal yang busuk, dengan pujukan yang
halus dan dengan senjatanya yang paling ampuh, iaitu dengan berbohong.
Iblis ini lalu datang menghadap ke hadrat
Allah s.w.t, lalu berkata: ’Ya, Allah! Hamba-Mu yang bernama Nabi Ayub itu
bukanlah beribadat menyembah Engkau, bukan bersyukur memuji Engkau. Ibadat dan
syukurnya itu hanya kerana hartanya yang banyak, keturunannya yang cukup. Dia
menyembah Engkau itu hanya agar Engkau menambah harta dan keturunannya. Dia
bersyukur kepada Engkau itu agar semua harta dan anak-anaknya itu tetap banyak,
supaya kambing dan biri-birinya yang berjumlah ribuan itu tetap tidak
berkurang, supaya unta dan lembunya yang berjumlah ratusan itu semakin Engkau
tambah, supaya binatang perahan dan yang dikerjakan semakin gemuk-gemuk dan
kuat-kuat, supaya anak lelaki dan perempuannya yang sudah banyak itu ditambah
banyak lagi. Nabi Ayub hanya menyembah harta, bukan menyembah Engkau.
Mensyukuri anak keturunannya, bukan mensyukuri Engkau. Cuba Engkau izinkan aku
merampas harta kekayaan itu, tentu baginda tidak akan menyembah Engkau lagi.
Sebab itu cubalah izinkan aku, ya Allah, untuk melenyapkan semua harta kekayaan
itu.’
Allah s.w.t menjawab: ‘Nabi Ayub adalah
hamba-Ku yang beriman penuh dengan keimanan yang suci ikhlas. Dia menyembah-Ku
kerana memang dia menginsafi akan keharusan menyembah-Ku ini. Ibadatnya suci
dan pengaruh harta dunia, suci dari sifat-sifat haloba dan tamak.’
Tetapi kerana Allah s.w.t ingin
menjadikan Nabi Ayub lebih suci dan bersih imannya, agar dapat menjadi contoh
teladan tentang keimanan dan kesabaran bagi seluruh umat manusia, si Iblis
diberi-Nya izin untuk merampas semua harta kekayaan Nabi Ayub. Allah s.w.t lalu
berfirman kepada Iblis: ‘Boleh kau cuba, kumpulkanlah semua kakitangan dan
kawan-kawanmu. Lakukanlah apa-apa yang kamu rencanakan itu. Perhatikanlah nanti
bagaimana kesudahannya!’
Iblis lalu bersedia mengumpulkan semua
kakitangannya, semua tentera dan pembantu-pembantunya dan dia berkata kepada
mereka: ‘Allah sudah mengizinkan kita untuk merampas harta kepunyaan Nabi Ayub,
agar Nabi Ayub menjadi orang yang melarat, agar dengan kehilangan hartanya itu,
hilang pula keimanan dan ibadatnya.’
Hilang Lenyap Semua Harta
Kekayaan
Dalam waktu sekejap saja, hilang lenyaplah semua
harta dan kekayaan Nabi Ayub itu. Tidak seekor pun kambing atau biri-birinya
lagi yang tinggal, tidak seekor pula unta dan lembunya, kebun dan
tanaman-tanamannya pun habis kesemuanya.
Dengan berbentuk sebagai seorang tua yang
berpengalaman dan penuh dengan kasih sayang, Iblis itu lalu datang kepada Nabi
Ayub mahu menggodanya; dia berkata: ‘Sekarang hartamu sudah musnah semuanya. Allah
s.w.t yang selalu engkau puji dan sembah itu, rupanya tidak menolongmu sedikit
juga pun. Sia-sialah engkau beribadat dan menyembah-Nya.’
Berbagai-bagai pula percakapan antara
manusia sesama manusia, melihat nasib yang menimpa Nabi Ayub itu. Di antaranya
ada yang berkata: ‘Itulah tanda bahawa Nabi Ayub tidak ikhlas dalam ibadatnya,
tidak ikhlas dalam sembahyang dan zakat hartanya.’
Ada pula yang berkata: ‘Nabi Ayublah manusia
yang paling baik dan paling ikhlas ibadatnya. Kenapa Allah s.w.t tidak
memelihara hartanya? Kalau Allah s.w.t memang Pengasih dan Penolong, maka Nabi
Ayublah yang paling wajar dikasihi dan ditolong Allah s.w.t.’
Ada pula orang lainnya berkata: ‘Semua
itu terjadi, kerana Allah s.w.t mahu menguji keimanan Nabi Ayub dan mahu
memberi pelajaran yang nyata kepada manusia.’
Mendengar semua perkataan itu, Nabi Ayub
tenang dan sabar. Tidak sedikit pun baginda merasa sedih dan menyesal. Tidak
sedikit juga menggoyangkan keimanan dan keikhlasannya dalam beribadat, malah
sebaliknya, Nabi Ayub semakin kuat dan bersungguh-sungguh beribadat dan memuji Allah
s.w.t. Terhadap orang ramai itu, Nabi Ayub berkata: ‘Semua itu, adalah
kepunyaan Allah s.w.t. Diberikan Allah s.w.t kepadaku, kemudian diambil Allah
s.w.t kembali. Maka terpuji Allah s.w.t yang telah memberi harta itu kepadaku dalam
masa yang begitu lama dan maha terpuji Allah s.w.t yang telah mengambil kembali
harta itu, kerana memang milik-Nya. Puji bagi Allah s.w.t yang memberi dan
mengambil, pada waktu memberi nikmat-Nya dan mencabut nikmat-Nya itu kembali.
Maha terpuji Allah s.w.t yang mendatangkan bahagia dan menurunkan seksa. Dia Allah
s.w.t Raja dan segala raja. Diberikan-Nya kekuasaan dan kekayaan bagi siapa
yang Dia kehendaki dan Dia cabut kekuasaan dan kekayaan itu dan siapa saja yang
Dia kehendaki.’
Sehabis berkata begitu, Nabi Ayub kembali
bersujud menyembah Allah s.w.t Setelah melihat kejadian itu, Iblis merasa
kecewa besar, gagal segala niat dan usahanya. Tetapi Iblis masih mempunyai akal
dan daya upaya lain. Dia segera datang menghadap Allah s.w.t pula dan berkata: ‘Nabi
Ayub menerima nikmat dengan pujian dan menerima cubaan dengan sabar, itu adalah
disebabkan kerana Nabi Ayub masih mempunyai anak yang banyak, kepada siapa baginda
dapat minta tolong dan dengan siapa baginda dapat kaya kembali. Bila Engkau
izinkan aku, ya Allah untuk melenyapkan semua anak lelaki dan perempuannya, aku
yakin bahawa Nabi Ayub akan nyata kekafiran dan keengkarannya terhadap Engkau.’
Allah s.w.t menjawab: ‘Boleh engkau
lenyapkan semua anak-anaknya, tetapi akan engkau lihat sendiri, bahawa Nabi
Ayub akan tetap imannya, takkan berkurang sedikit juga.’
Menghancurkan
Mahligai-Mahligai Dan Istana
Kembali Iblis mengumpulkan semua kakitangan dan
pembantu-pembantunya. Semuanya bersiap memasuki istana anak-anak Nabi Ayub,
lalu menewaskan mereka, serta menghancurkan mahligai-mahligai dan istana yang
mereka diami.
Lalu Iblis pergi mendapatkan Nabi Ayub
dan berkata: ‘Seluruh anak dan mahligaimu sudah hancur luluh. Mereka ada yang
mati kerana luka-lukanya dan ada pula terbanting keras terhimpit barang-barang
yang berat. Demikianlah Allah s.w.t membalasi engkau, hai Nabi Ayub, atas semua
ibadat engkau kepada Allah s.w.t itu.’
Dengan air mata bercucuran dan menangis
tersedu-sedu, Nabi Ayub menjawab perkataan Iblis yang sedang berbentuk manusia
yang berlagak teman itu: ‘Allah s.w.t memberi, Allah s.w.t mengambil, Allah
s.w.t menghidupkan dan Allah s.w.t mematikan. Atas semua itu aku memuji akan Allah
s.w.t yang menjalankan hak-Nya itu.’
Nabi Ayub lalu sujud menyembah dan
bersyukur memuji Tuhannya. Iblis kembali kecewa besar dan gagal lagi usahanya
itu, tetapi Iblis tidak kekurangan daya-upayanya. Dia kembali mendapatkan Allah
s.w.t dan berkata: ‘Dengan habisnya harta kekayaan dan anak-anaknya itu, Nabi
Ayub masih tetap sabar, kerana dia yakin dengan badannya yang sihat dan kuat
itu, baginda masih dapat mengumpulkan harta dan beroleh anak kembali. Izinkanlah
aku sekarang juga untuk melenyapkan kesihatan badan Nabi Ayub, serta
mendatangkan berbagai-bagai penyakit kepadanya. Dengan hilangnya kesihatan
badannya dan dengan adanya berbagai-bagai penyakit itu nanti akan terbuktilah
kepada-Mu, hai Allah, bahawa Nabi Ayub tidak ikhlas dalam ibadatnya kepada
Engkau. Dengan hilangnya kesihatan dan datangnya penyakit itu, baginda akan
membelakangi Engkau, akan derhaka dan tidak memuji Engkau.’
Allah s.w.t ingin menjadikan Nabi Ayub
seorang hamba-Nya yang benar-benar teguh memegang tampuk keimanannya, hamba-Nya
yang tabah dan sabar, hamba-Nya yang tetap syukur dan memuji Allah s.w.t, untuk
dijadikan contoh bagi semua manusia dalam keimanan dan kesabarannya,
lebih-lebih bagi orang-orang yang kehilangan harta, kehilangan anak dan pula
bagi orang-orang yang ditimpa berbagai-bagai penyakit yang berat-berat.
Kepada Iblis diperbolehkan Allah s.w.t
untuk menjalankan tipu muslihatnya yang bagaimana juga hebatnya untuk
menyesatkan keimanan Nabi Ayub yang teguh itu, kerana Allah s.w.t Maha
Mengetahui bahawa Nabi Ayub benar-benar teguh imannya, kuat dan tabah
menderita, walaupun penderitaan yang bagaimana juga hebatnya, sedikit pun baginda
tidak akan lupa memuji syukur dan menyembah Tuhannya.
Iblis kembali muncul, menyeludup ke dalam
tubuh Nabi Ayub. Lalu meniupkan kepada Nabi Ayub semacam penyakit yang amat
berbahaya, sehingga kerananya, Nabi Ayub jatuh terhampar di tempat
pembaringannya. Makin hari semakin kurus badannya, baginda tidak berdaya; habis
segala kekuatan dan kegagahannya. Mukanya muram dan pucat, dengan mata yang cengkung.
Semua penderitaannya ditanggungkannya dengan keimanan tidak berkurang, malah
semakin bertambah; bukan dengan keluh-kesah dan kesal, tetapi dengan tetap
memuji-muji Allah s.w.t.
Pelbagai Penderitaan
Diterima
Demikianlah penanggungan Nabi Ayub, bukan
berhari-hari dan berbulan-bulan, tetapi bertahun-tahun lamanya, sehingga
keadaan badan Nabi Ayub sungguh menyedihkan dan hampir-hampir tidak sanggup
hidup lagi nampaknya. Kerana sakitnya berjalan lama, mulailah berkurang jumlah
teman dan kawannya, sehingga akhirnya tidak seorang juga yang datang menengok
dan menolongnya, kerana tidak ada apa lagi yang diharapkan daripadanya. Teman
satu-satunya yang masih tinggal di sampingnya, yang selalu menolong baginda
menanggung sengsara hidupnya ini, ialah isterinya sendiri, bernama
Rahmah.
Isteri yang setia itu dengan tidak kenal
penat, menjaga Nabi Ayub yang sedang sakit dengan segala kasih mesra dan
susah-payahnya. Segala kesakitan yang diderita Nabi Ayub, seakan-akan beliau
sendiri ikut menderitanya juga. Nabi Ayub dihibur dan diladeninya, yang mana
menunjukkan keimanan seorang isteri yang kuat dan teguh, yang tidak kalah pula
dengan keimanan suaminya sendiri.
Penderitaan Nabi Ayub dan isterinya
(Rahmah), bukan hanya sampai di situ saja, penderitaan ini semakin melonjak
lagi, lebih tinggi dan lebih hebat. Nabi Ayub dan isterinya bukan hanya
kehilangan harta benda, anak, kesihatan badan, kehilangan semua kawan dan teman,
tetapi ditarnbah lagi dengan penghinaan dan ejekan dari orang-orang bekas kawan
dan temannva sendiri.
Mereka bukan kasihan dan datang menolong,
tetapi mereka keberatan bila Nabi Ayub dan isterinya tetap berada di rumahnya
dan berjiran dengan mereka. Mereka bukan hanya merasa jijik melihat Nabi Ayub,
tetapi juga takut kalau-kalau penyakitnya yang berat itu menular kepada mereka.
Dengan tidak menaruh perasaan kasihan sedikit pun, mereka mendatangi Rahmah dan
berkata: ‘Hai Rahmah, kami takut kalau penyakit Nabi Ayub berpindah kepada anak
cucu kami, sebab itu keluarkanlah Nabi Ayub dari menjadi jiran kami dan kalau
engkau tidak mahu mengeluarkannya, maka kami akan mengeluarkannya dengan paksa!’
Mendengar ucapan yang kasar dan menyayat
perasaan itu, Rahmah melolong menangis dengan sekuat-kuat suaranya: ‘Aduhai
nasib, mengapa mereka mengusir kami dan kampung dan rumah kami sendiri?’
Rahmah, isteri yang setia itu
mengeluarkan segenap tenaga yang ada padanya, untuk memangku suaminya dan
membawanya ke luar kampung dan tinggal di sebuah pondok yang sudah ditinggalkan
orang. Di sanalah Nabi Ayub beserta isterinya menanggung derita lahir dan
batin, dengan penuh kesabaran dan keimanan yang tidak pernah berkurangan.
Untuk penghidupannya, Rahmah terpaksa
bekerja memotong-motong roti pada seorang pedagang roti. Setiap petang beliau
pulang mendapatkan suaminya, dengan membawa beberapa potong roti yang
dihadiahkan orang kepadanya.
Tetapi setelah orang ramai tahu bahawa
Rahmah itu adalah isteri Nabi Ayub, maka pedagang roti itu pun tidak
membenarkannya bekerja lagi sebagai tukang potong roti, kerana bimbang
kalau-kalau penyakit Nabi Ayub itu menulari roti yang akan dijualnya.
Tidak Makan Dan Minum
Kerana ketiadaan pekerjaan dan makanan, maka
beberapa hari lamanya, baik Nabi Ayub mahupun isteninya tidak makan dan minum
sedikit pun. Ya, kesengsaraan demi kesengsaraan, penderitaan demi
penderitaan terpaksa ditanggung oleh kedua-dua suami isteri ini dengan penuh
redha. Kerana sudah tidak tahan menahan lapar dan dahaga, Rahmah minta izin
kepada Nabi Ayub untuk pergi menjalankan ikhtiar mencari makanan dan minuman.
Melihat itu, Nabi Ayub menjerit kepada isterinya: ‘Ya Rahmah, janganlah engkau
pergi meninggalkan aku seorang diri, aku takut kalau engkau tidak kembali lagi!’
Rahmah menjawab: ‘Jangan bimbang, ya
Saiyidi, selama hayat masih berada dalam tubuhku. Aku pergi hanya sebentar dan
akan segera kembali lagi.’
Maka pergilah Rahmah dan tidak lama
kemudian beliau pulang kembali dengan membawa sepotong roti dan air minum.
Setelah Nabi Ayub melihat sepotong roti segar yang dibawa isterinya itu, Nabi
Ayub menyangka bahawa isterinya sudah menjual kehormatan dirinya untuk
mendapatkan sepotong roti tersebut. Lalu Rahmah menceritakan kepada Nabi Ayub,
bagaimana caranya beliau mendapatkan roti itu: ‘Ya, Saiyidi, aku bukan menjual
kehormatan diriku, aku berlindung diri kepada Allah s.w.t dari segala perbuatan
yang menodai diriku. Roti ini aku perolehi sebagai tukaran dengan rambutku yang
panjang.’
Lalu Rahmah membukakan kepalanya yang
tertutup itu, yang asalnya tertutup oleh rambut yang panjang kini sudah menjadi
gondol sama sekali. Melihat kejadian itu, Nabi Ayub sangat sedih hatinya,
lalu baginda menangis, bukan menangisi nasibnya, tetapi menangisi rambut
isterinya, kerana di antara yang paling menarik hatinya terhadap isterinya,
ialah kerana rambutnya yang panjang itu menambah kecantikan isterinya yang memag
sudah cantik.
Berkatalah Rahmah: ‘Janganlah engkau
menangisi rambutku yang sudah hilang. Ketahuilah bahawa rambut itu akan tumbuh
kembali dan mungkin akan lebih indah dari yang sudah hilang itu.’ Demikianlah
katanya menghibur suaminya.
Mendengar jawapan isterinya itu, Nabi
Ayub merasa puas dan senang hatinya. Baginda kembali bersyukur, bertasbih,
bertakbir memuji-muji Allah s.w.t. Dia merasa puas dan senang atas segala
penderitaan yang dialami dan ditanggungnya dan seketika itu juga Nabi Ayub a..
bermunajat (berbisik) dengan segenap jiwa raganya ke hadrat Allah s.w.t: ‘Ya Allah,
Tuhanku, aku redha kalau Engkau cabut daripadaku akan nikmat-Mu yang bernama
harta benda, anak keturunanku dan kesihatan badanku, bahkan aku redha kalau
Engkau cabut dariku akan segala darah dan dagingku, serta kalau perlu boleh
cabut segala tulang-belulang dan semua anggota badanku. Hanya aku berharap agar
jangan sampai Engkau mencabut dua perkara (nikmat)-Mu, iaitu akal fikiran dan lidahku,
kerana aku memerlukan akal dan fikiran itu, guna mengingat-Mu dan aku
memerlukan lidah itu, untuk dapat menyebut nama dan memuji-Mu.’
Ya, dengan cara begitu, Nabi Ayub a.s
sesaat pun tidak pernah lupa kepada Allah s.w.t. Tidak pernah ketinggalan menyebut
dan memuji-muji Allah s.w.t. Setelah Iblis melihat bahawa Nabi Ayub dengan
percubaan dan penderitaan-penderitaan yang sudah tiba di puncak ketinggian dan
kehebatannya itu masih tetap sabar dengan keimanan yang tidak goyang sedikit pun,
maka Iblis masih belum putus asa. Dia kini cuba membelokkan perhatiannya, bukan
terhadap Nabi Ayub, tetapi terhadap isterinya.
Godaan Yang Tidak Terhingga
Isteri Nabi Ayub sekarang ini mendapat godaan yang
tidak terhingga dari Iblis. Iblis cuba mengingat-ingatkan kepada isteri Nabi
Ayub akan masa-masa yang silam, yang penuh dengan kemewahan dan kesenangan;
Iblis cuba pula membanding-bandingkan kemewahan dan kesenangan yang silam itu
dengan penderitaan dan kepahitan yang sedang mereka alami sekarang ini. Iblis
cuba menanamkan keluh-kesah dan putus asa kepada Rahmah.
Daya upaya Iblis ini ada juga pengaruhnya
sedikit. Pada suatu hari Rahmah duduklah di samping suaminya dan berkata: ’Sampai
bilakah Allah s.w.t akan menyiksamu, ya Nabi Ayub? Ke mana perginya harta benda
kita, ke mana perginya anak-anak dan teman-teman kita? Ke mana tubuhmu yang
sihat dan gagah itu?’
Alangkah terkejut dan sedihnya hati Nabi
Ayub mendengar kata-kata isterinya yang mulai berputar pendiriannya itu,
kata-kata yang terang menunjukkan hilangnya keimanan dan kesabaran, bahkan
kata-kata yang seakan-akan keluar dari jiwa yang tidak kenal Allah s.w.t:
kata-kata yang melupakan sama sekali segala nikmat dan pemberian Allah s.w.t
yang berlimpah-limpah dalam masa yang panjang. Dia hanya mengingat akan cubaan Allah
s.w.t dalam waktu yang begitu singkat, harta dan anak serta kegagahan pada
waktu muda saja yang teringat olehnya.
Nabi Ayub menjawab kata-kata isterinya
dengan rasa pedih dalam hati: ‘Sungguh engkau ini sudah dapat disesatkan
syaitan dan Iblis. Engkau menangis atas kemewahan hidup yang telah hilang,
anak-anak yang sudah meninggal.’
Isterinya menjawab pula: ‘Kenapa engkau
tidak mendoa kepada Allah s.w.t untuk melenyapkan kesedihan dan petaka atas
dirimu ini.’
‘Berapa tahunkah kita mendapat kesenangan
dan bahagia?’ tanya Nabi Ayub pula.
‘Selama berpuluh-puluh tahun,’ jawab
isterinya.
‘Berapa tahunkah kita menderita?’ tanya Nabi
Ayub.
‘Baru tujuh tahun,’ jawab isterinya
pula.
‘Dari itu aku malu kepada Allah s.w.t meminta
hilangnya petaka yang baru sebentar ini. Terbukti kepadaku, bahawa engkau sudah
goyang pendirian dan menjadi tipis imanmu. Mulai hari ini, aku tidak mahu
memakan makanan yang engkau buat, tidak mahu meminum minuman yang engkau
sajikan. Engkau tidak boleh lagi mengurus dan menjagaku. Sekarang juga engkau
harus pergi.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan