Khamis, 12 September 2013

Menyanggah Aturan Allah: Kesalan Sudah Terlambat


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH kisah bahawa Nabi Daud menjadi Raja Bani Israel hingga baginda mencapai usia lanjut. Berkat cara pemerintahan yang adil dan bijaksana, maka wujudlah keamanan, kemakmuran serta kemajuan di dalam segala lapangan di seluruh daerah kerajaan dan dirasai setiap warga kerajaan. 
Kalau ada kejadian kecil saja yang menimpa rakyat, maka rakyat selalu memberitahu kepada raja yang adil itu. Kejadian itu dapat diurus dengan segera oleh raja. Begitu juga kalau ada perselisihan antara rakyat dengan rakyat, tidak ada satu perselisihan pun yang terjadi yang tidak dapat diselesaikan oleh Nabi Daud, dengan cara yang sebaik-baiknya dan seadil-adilnya pula. Nabi Daud dalam hidupnya diberkati oleh Allah s.w.t dengan beberapa orang anak. Sulaimanlah yang paling pintar di antara anak-anak Nabi Daud itu. Kerana melihat akan kemajuan fikiran Sulaiman itu, Nabi Daud mempunyai kepercayaan penuh akan mulianya hari depan Sulaiman; sebab itu pendidikan kepadanya agak diistimewakan pula. 
Setiap hari, Nabi Daud menyelesaikan beberapa perkara dan perselisihan antara rakyatnya, Sulaiman selalu berada di sampingnya, agar Sulaiman bertambah akal dan fikirannya dengan melihat sebab perselisihan dan cara-cara penyelesaiannya yang ditetapkan oleh Raja Nabi Daud. Kendatipun Sulaiman takala itu boleh dikatakan masih kecil, tetapi kerana kemajuan fikirannya yang luar biasa, baginda telah dapat menangkap pelajaran dari apa yang disaksikannya itu, sehingga bertambah ilmu pengetahuan dan hikmat akalnya.

Ketetapan Fikiran

Melihat kecekapan dan keluarbiasaannya itu, maka Nabi Daud telah menetapkan dalam hatinya, bahawa bila baginda meninggal dunia nanti, maka Sulaimanlah yang akan menggantikannya menjadi Raja Bani Israel. Kerana ketetapan fikiran inilah maka Sulaiman dididik demikian rupa, setiap hari melihat dan menyaksikan berbagai-bagai perkara dan perselisihan yang diselesaikan oleh Nabi Daud. 
Pada suatu hari, ketika Nabi Daud dan Sulaiman sedang duduk berdua, tiba-tiba datang dua orang lelaki yang bermasalah untuk minta penyelesaian atas permasalahan mereka. Dengan segera Nabi Daud memeriksa perkara kedua-dua orang itu dengan disaksikan oleh Sulaiman. 
Seorang dari kedua-dua orang itu lalu berkata: ‘Aku mempunyai sebidang kebun yang sedang menghijau warnanya. Kerana suburnya tanaman yang aku tanam di dalamnya, sehingga setiap orang yang melihat, akan gembira riang memandangnya. Tiba-tiba pada suatu hari, kebun itu dimasuki oleh kambing kepunyaan orang ini, sehingga semua tanaman yang sedang menghijau itu habis dimakan atau dirosakkan kambing itu.’ 
Setelah ditanyakan kepada orang yang empunya kambing yang didakwa itu, baginda pun membenarkan semua keterangan itu dengan tidak membantah sedikit pun. Hanya sekarang kedua-dua orang yang bermasalah itu meminta ditetapkan hukum apa yang harus dijalankan. Nabi Daud menetapkan penyelesaian perkara ini, dengan mengambil kambing itu sendiri dari tangan orang yang empunya, lalu diserahkan kepada orang yang empunya kebun, sebagai ganti kerosakan tanaman yang disebabkan oleh kambing itu. 
Tetapi Sulaiman yang baru berumur sebelas tahun itu dengan segera berkata: ‘Penyelesaian cara begitu kurang tepat, ada cara yang lebih baik dan lebih adil.’ 
Nabi Daud, kedua-dua orang yang bermasalah dan semua yang turut hadir menyaksikan perkara itu, tercengang menyaksikan keberanian Sulaiman dan menunggu-nunggu dengan sabar, cara bagaimana penyelesaian yang dianggap lebih baik oleh Sulaiman itu. 
Sulaiman lalu berkata: ‘Lebih baik kambing itu dipinjamkan kepada orang yang punya kebun, dengan membolehkannya mengambil susunya, anak-anaknya dan bulunya. Adapun kebun itu dipinjamkan kepada orang yang punya kambing, dia diwajibkan menanaminya dengan tanaman yang dirosaki kambingnya, sehingga kembali sebagaimana sebelum dirosaki; setelah itu kambing dikembalikan pula kepada yang empunya dan kebun pun dikembalikan pula kepada yang punya kebun. Inilah penyelesaian yang lebih dekat kepada keadilan dan yang lebih sah keputusannya dalam menghukum,’
Semua orang yang hadir dan juga orang yang bermasalah dan Nabi Daud sendiri, sama mengakui akan adilnya keputusan secara demikian ini. Mereka mengagumi kebijaksanaan Sulaiman. Inilah tanda yang pertama diperlihatkan Allah s.w.t pada diri Sulaiman, bahawa baginda seorang yang akan jadi Nabi dan Rasul sebagaimana bapanya dan baginda jugalah yang paling layak menjadi raja, menggantikan bapanya yang sudah tua itu.
Menyerahkan Mahkotanya

Kendatipun masih dalam keadaan terlalu muda, tetapi kerana bakat dan kebijaksanaannya, kerana akal dan budi pekertinya, maka Nabi Daud sebelum meninggal dunia, telah menetapkan akan menyerahkan mahkotanya kepada Sulaiman. Penyerahan ini pun terjadilah, sehingga Sulaiman sekarang ini menjadi Raja Bani Israel, menggantikan bapanya yang sudah tua dan ingin bersara itu. 
Dengan pengangkatan ini, anak-anak Nabi Daud yang lain merasa tidak senang, kerana merekalah yang lebih tua, lebih wajar kata mereka. Perasaan ketidakpuasan ini, lebih hebat lagi pada Absyalum, anak Nabi Daud yang tua. Selain tertua dia banyak pengalaman, berbadan kuat dan tangkas, dia tahu pula akan selok-belok pemerintahan; tetapi mengapa tidak dia yang diangkat, padahal dialah sebenarnya yang lebih berhak? Dia tidak senang, dan tidak tinggal diam. Dengan terang-terangan dia menyatakan, bahawa dirinya tidak tunduk kepada keputusan bapanya itu dan dia tidak akan mengakui atas penobatan Sulaiman menjadi Raja Bani Israel. 
Absyalum bekerja segiat-giatnya mendekati bangsanya Bani Israel, beliau bergaul dengan mereka dengan pergaulan yang sebaik-baiknya, untuk menarik hati mereka. Ditolongnya mereka dan dikumpulkannya dalam sebuah organisasi yang dipimpin sendiri. Dengan segala daya-upayanya, dia berikhtiar agar supaya rakyat yang dipimpinnya itu hanya tunduk kepadanya dan mencegah mereka mengakui Sulaiman sebagai raja. 
Kepada para pengikutnya itu dicubanya menanamkan kepercayaan, bahawa dialah yang lebih pintar, lebih berhak menjadi raja, sedangkan Sulaiman dan bapanya sendiri adalah orang yang salah, kesalahan yang harus segera diperbaikinya. 
Usahanya yang dengan sungguh-sungguh ini berhasil juga. Ramai orang Israel telah dapat diperkudakannya. Mereka tunduk serta patuh terhadap semua anjuran dan perintahnya, dengan tidak menghiraukan lagi akan perintah Raja Sulaiman. 
Absyalum sekarang menuju kepada rencana yang terakhir, iaitu akan mengadakan perebutan kuasa dengan cara kekerasan. Segala cara sudah direncanakan, segala persiapan sudah tersedia, sedang pengikut-pengikutnya hanya tinggal menunggu arahannya saja. Pada waktu semua pengikutnya siap sedia itu, dia meminta izin kepada bapanya untuk pergi ke desa Jidwan, untuk beristirahat menyampaikan nazar hatinya. Tetapi sebelum beliau berangkat, kepada semua pengikutnya dia tinggalkan amanat, bahawa bila terdengar bunyi trompet, mereka semua hendaklah berlarian kepadanya dan lalu bersama-sama mengangkatnya jadi raja. 
Kerana amanatnya itu diberikan kepada orang banyak, maka berita ini tersiar hampir ke seluruh rakyat. Keadaan ketika itu menjadi genting sekali. Kota Ursyalim ketika itu menjadi ribut, kegelisahan memuncak dengan tiba-tiba, orang ramai bimbang, kalau-kalau akan terjadi kekecohan hebat. 
Melihat suasana dan mengetahui akan niat Absyalum itu, bukan main marah dan sedihnya hati Nabi Daud. Tetapi kesemuanya itu ditahannya sekuat-kuat jiwanya. Dengan tenang Nabi Daud berkata kepada pengikutnya: ‘Marilah kita lari saja dari sini, memang tidak ada cara yang lebih baik menghadapi Absyalum yang telah ganas itu, selain menghindarkan diri.’ 
Begitulah keesokan harinya, Nabi Daud diiringi oleh semua pengikut serta keluarganya, bertolak meninggalkan kota Ursyalim, menghindarkan diri dari keganasan pemberontak yang menginginkan kekuasaan. Akhirnya mereka tiba di pinggir Sungai Ardun dan sungai itu terpaksa mereka seberangi. Di seberang sungai itu mereka berhadapan dengan gunung yang tinggi, iaitu Gunung Zaitun; gunung itu terpaksa mereka daki dan ketika itu keluarlah air mata Nabi Daud kerana terlalu sedih. 
Ketika itu mulailah didengar oleh Nabi Daud, ada golongan yang menghina baginda, mencaci-maki serta mengeluarkan kata-kata yang pedas terhadap dirinya; kendatipun sebelumnya mereka menyanjung serta memujinya, membesarkan dan menghormatinya. Begitulah umumnya rakyat bodoh yang tidak berpendirian; bila seseorang sedang berkuasa, dia dipuja-puja, sebaliknya bila sudah tidak berkuasa lagi, kendatipun tidak mempunyai kesalahan apa-apa, dia lalu dicaci-maki dan dihina-dinakan. 
Penghinaan itu didengar oleh Nabi Daud dengan sabar, kerana baginda merasa sudah tua sekali, tidak dapat berbuat apa-apa lagi, malah kepada dirinya sendiri Nabi Daud berkata: ‘Kalau anakku sendiri sudah berani mahu membunuhku, apalagi orang lain, tentu akan lebih dari itu lagi.’ 
Dengan rasa hina diri dan tunduk, Nabi Daud berdoa kepada Allah s.w.t., agar Allah s.w.t menyelamatkan dirinya berserta keluarganya dari segala malapetaka dan agar Allah s.w.t dengan segera memadamkan pemberontakan yang tidak diinginkan ini. Baru saja Nabi Daud sekeluarga serta pengikutnya meninggalkan Ursyalim, Absyalum dengan tenteranya segera menduduki ibu kota itu dengan aman dan tenteram. Segera diumumkannya, bahawa dialah yang menjadi raja yang sah di negeri dan bangsa Israel. 

Tidak Diam Dengan Berpangku Tangan

Dalam pada itu Nabi Daud pun tidak tinggal diam dengan berpangku tangan dan berdoa saja, tetapi segera pula menyusun kekuatan yang ada padanya, untuk bertindak memadamkan api pemberontakan tersebut. Beberapa orang pemimpin perang yang taat kepadanya, selalu dibawanya bermusyawarah, akhirnya semua pemimpin perang Nabi Daud mendapat kata sepakat akan menyerang kota Ursyalim yang sudah diduduki Absyalum dan tenteranya itu. 
Sebelum tentera Nabi Daud berangkat menyerang, Nabi Daud menasihatkan kepada mereka, agar mereka memasuki kota dengan memberikan penerangan dan kebijaksanaan, tidak dengan kekuatan senjata dan dinasihatkan pula supaya mereka seboleh mungkin jangan membunuh Absyalum. 
Tetapi setelah mereka tiba di kota Ursyalim, penerangan dan kebijaksanaan yang diperintahkan Nabi Daud itu tidak berguna sama sekali. Terpaksalah mereka mengangkat senjata untuk mencapai penyelesaian dengan Absyalum, kerana hanya itulah satu satunya jalan, yang dapat mereka lakukan. 
Pertempuran segera berkobar dengan dahsyatnya. Tentera Absyalum hancur seluruhnya, Absyalum mati di hujung mata pedang bersama tenteranya. Kota Ursyalim diduduki tentera Nabi Daud kembali, keadaan segera menjadi aman dan tenteram semula. 
Sesudah kejadian itu, maka Sulaiman tetap menjadi raja dengan aman dan tenteram bertahun-tahun, sehingga bangsa dan negeri itu semakin maju dan makmur, tidak kurang bahkan telah melebihi daripada zaman pemerintahan bapanya Nabi Daud a.s. Daerah kerajaannya semakin luas juga, serta rakyatnya pun hidup dengan penuh bahagia, patuh dan taat kepada perintah rajanya. 
Ketika itulah, setelah Sulaiman cukup umur, Allah s.w.t mengangkat Sulaiman menjadi Nabi dan Rasul-Nya, untuk mengisi negara dan bangsa yang merdeka dan makmur itu dengan semangat agama dan ketuhanan, menjadi bangsa dan negara yang diredhai Allah s.w.t, agar keamanan dan kemakmuran itu tetap dan abadi, bukan hanya aman dan makmur di dunia ini saja, juga menjadi aman dan makmur sampai di akhirat nanti. 
Sebagai mukjizat besar bagi Nabi Sulaiman, baginda dapat memahami segala percakapan burung-burung dan dengan menggunakan bahasa (bunyi) bermacam-macam burung dan binatang itu, Nabi Sulaiman dapat bercakap-cakap dengan burung-burung dan binatang-binatang tersebut. Dengan jalan begitu juga, segala burung dan binatang itu pun tunduk dan taat kepada Nabi Sulaiman. 
Diberikan Allah s.w.t pula mukjizat yang lebih hebat lagi kepada Nabi Sulaiman, baginda dapat melihat segala kekayaan alam yang ada di perut bumi, baik yang merupakan emas, perak, besi dan tembaga, begitu juga harta kekayaan yang berada di dalam laut, seperti intan, mutiara dan berbagai-bagai pualam yang mahal-mahal harganya. 
Segala jin dan syaitan pun dapat dikuasai oleh Nabi Sulaiman, sehingga kekuatan jin dan syaitan itu dapat digunakan oleh Nabi Sulaiman untuk menjadi kuli, kaum pekerja yang harus mengeluarkan semua kekayaan dan perhiasan melimpah-ruah, bagi mendirikan rumah-rumah dan gedung-gedung yang besar dan cantik.  Nabi Sulaiman malah dapat pula menguasai angin, sehingga angin dapat digunakan oleh Sulaiman sebagai kenderaannya, bila Sulaiman akan berpergian ke tempat yang jauh atau tinggi. 
Rakyat Sulaiman bukan hanya makhluk yang bernama manusia saja tetapi juga segala burung, binatang, jin, syaitan, semut-semut dan segala yang melata di muka bumi ini, menjadi rakyatnya yang patuh dan tunduk di bawah kekuasaannya.  Dengan kenderaannya yang bernama angin itulah Nabi Sulaiman dapat pergi ke sana ke mari memeriksa kerajaan serta rakyatnya, bahkan sampai ke negeri Askalan, baginda sampai pula di sebuah lapangan luas yang penuh dengan semut. 

Terperanjat Besar

Ketika Nabi Sulaiman dan tenteranya sampai di lapangan itu, dari jauh Nabi Sulaiman telah melihat semua semut itu terperanjat besar atas kedatangannya itu. Semut-semut itu berkumpul, di mana mereka bermusyawarah bersama-sama, bagaimana menghindarkan diri dari bahaya injakan kaki tentera Sulaiman. Semua itu dapat dilihat, didengar dan difahami oleh Nabi Sulaiman. 
Dengan terang dapat didengar oleh Sulaiman, ketua semut itu memberikan perintah kepada rakyatnya: ‘Masuklah kamu dengan segera ke dalam rumahmu masing-masing, agar jangan menjadi mangsa injakan kaki tentera Sulaiman, sedang mereka sendiri tidak merasakannya.’ 
Mendengar kata-kata semut itu, Nabi Sulaiman tersenyum simpul dan merasa gembira atas kesanggupan yang diberikan Allah s.w.t kepadanya, untuk mengerti kata-kata semut itu. Terasalah oleh Sulaiman, bahawa baginda Nabi sebagaimana juga Nabi-nabi lainnya dan baginda merasa wajib memerintahkan kepada manusia, agar manusia mengasihi akan semua binatang yang melata di bumi ini, jangan sampai menganiaya dengan sengaja atau dengan tidak diketahui. 
Ketika itu Nabi Sulaiman menyembah dan sujud kepada Allah s.w.t, bersyukur atas segala nikmat dan pemberian Allah s.w.t, serta mendoa agar baginda dan kaumnya dimasukkan Allah s.w.t dalam golongan hamba Allah s.w.t yang baik. ‘Semua ini adalah kurnia Allah s.w.t atas diriku untuk menguji, apakah aku dapat bersyukur atau akan berkufur,’ kata Sulaiman a.s.

Tempat Ibadah Menyembah Allah

Nabi Sulaiman bercita-cita ingin mendirikan sebuah rumah suci di Syam, untuk dapat digunakan sebagai tempat ibadat menyembah Allah s.w.t dan juga sebagai pengorbanan dari baginda sendiri kepada Allah s.w.t. Tiang-tiang yang tinggi dan besar lalu didirikan, dinding-dinding tembok yang besar dan agung pun berdiri dan tidak lama kemudian Rumah Suci (Baitul Maqdis), yang dicita-citakan Nabi Sulaiman itu pun jadi kenyataan, yang sehingga sekarang masih ada dan tetap ada dan masih tetap bernama Rumah Suci (Baitul Maqdis atau Jerusalem). 
Kepada semua manusia yang beriman kepada Allah s.w.t, diperintahkan Allah s.w.t, untuk datang berhaji ke tempat suci itu setiap tahun. Tetapi kemudian, oleh bangsa Israel tempat itu dijadikan tempat menyimpang dari ajaran Allah s.w.t, maka kepada Nabi Muhammad diperintahkan Allah s.w.t untuk memindahkan tempat suci tersebut ke Mekah. Ke sanalah umat Islam menghadapkan muka dalam sembahyang dan ke sana jugalah umat Islam setiap tahun datang berkumpul melaksanakan ibadat haji mereka. 
Baru saja Nabi Sulaiman selesai mengerjakan Rumah Suci itu, Nabi Sulaiman berangkat meninggalkan tempat itu memenuhi nazarnya sebelum mendirikan Rumah Suci tersebut. Nazar (janji) akan mengembara di sekitar muka bumi untuk melihat dan mengetahui kebesaran Allah s.w.t yang mencipta bumi ini juga maksudnya. 
Mula-mula Nabi Sulaiman menuju ke tanah Yaman, lalu memasuki daerah Sanak. Di daerah ini baginda mengalami kekurangan air. Ke mana juga dicarinya, tidak ada air yang dijumpai. Ke puncak bukit yang tinggi, di bawah jurang yang dalam, kadang-kadang digalinya sumur yang dalam, namun air tidak ditemuinya. Ketika hampir menemui jalan buntu untuk mendapatkan air, tiba-tiba terbang melintas di atas kepalanya seekor burung Hud Hud. Burung itu segera dipanggil oleh Sulaiman dan kepada burung itu diperintahkannya untuk mencari tempat yang ada air dan menunjukkan jalan kepadanya menuju ke tempat itu. 
Kerana burung Hud Hud yang diutus itu lama tidak kembali, maka Nabi Sulaiman menjadi marah dan mengucapkan sumpahnya, akan menghukum burung itu dengan menyembelihnya, bila tidak segera datang dan bila burung itu tidak dapat menerangkan sebab-sebab kelewatannya itu. Baru saja Nabi Sulaiman mengucapkan sumpahnya, burung Hud Hud yang ditunggu-tunggunya itu pun datanglah dengan merendahkan kepala dan menggerak-gerakkan ekornya, tanda minta maaf dan minta ampun kepada Nabi Sulaiman atas kelewatannya itu. 
Akhirnya Hud Hud bercerita kepadanya: ‘Aku sudah dapat melihat di tempat yang jauh di sana, sesuatu yang belum pernah engkau ketahui, sebuah tempat yang belum pernah tunduk di bawah kekuasaanmu dan engkau sendiri tidak mengetahui tentangnya.’ 
Alangkah terkejutnya Nabi Sulaiman mendengar khabar ini, sebab belum pernah baginda mendengar khabar yang demikian. Kepada burung Hud Hud diperintahkannya untuk meneruskan ceritanya itu dan alasan apakah yang menyebabkan kelambatannya. 
Hud Hud melanjutkan ceritanya: ‘Adapun negeri itu bernama Saba dan yang menjadi rajanya adalah seorang perempuan. Dia sangat berkuasa atas rakyatnya serta istananya pun besar sekali. Tetapi sayang, penduduk dalam negeri itu rupanya dipengaruhi syaitan dan iblis, kerana ternyata mereka sudah tidak dapat membezakan antara yang halal dan haram, antara darah dan daging, begitu juga antara kebenaran dan kepalsuan. Penduduk negeri itu umumnya buta dan bodoh-bodoh, tidak mempunyai pemikiran dan kemajuan sama sekali. Mereka menyembah matahari, bukan menyembah Allah s.w.t. Aku merasa sedih melihat keadaan mereka yang demikian tetapi apa dayaku, kerana penduduk negeri itu kuat-kuat dan besar-besar badannya. Pada pendapatku, alangkah baiknya bila mereka diperintahkan untuk menyembah Allah, iaitu Allah s.w.t yang sebenarnya yang mempunyai kerajaan yang Maha Agung dan Maha Besar.’ 
Nabi Sulaiman sungguh terkejut mendengar berita ini, tetapi baginda tidak mahu mengejutkan Hud Hud yang telah bercerita itu. Baginda hanya berkata: ‘Akan kuselidiki dahulu khabar yang kau bawa ini. Aku ingin mengetahui apakah engkau berkata benar atau berkata bohong dalam hal ini. Kalau memang benar apa yang telah kau katakan tadi, maka inilah sepucuk surat dariku, segera kau sampaikan surat ini kepada raja dan bangsa yang telah kau ceritakan itu. Aku akan menunggu khabar jawapannya selekas mungkin!’ 

Surat Untuk Ratu Balqis

Surat itu segera diambilnya dari tangan Nabi Sulaiman, lalu burung itu terbang melayang, menyampaikan surat itu ke alamat yang sudah ditentukan, iaitu raja (ratu) dan rakyat Balqis di negeri Saba. Hud Hud terbang menyusup ke atas mahligai istana Ratu Balqis. Dengan melalui sebuah jendela, surat itu dijatuhkannya dalam istana itu tepat di hadapan Ratu Balqis sendiri. 
Surat tersebut jatuh, lalu diambil dan dibaca oleh Ratu Balqis: ‘Surat ini dari Sulaiman. Dengan nama Allah s.w.t Yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Janganlah kamu meninggikan diri terhadapku dan hendaklah kamu mendatangiku dengan menganut agama Islam.’ 
Baru saja melihat dan membaca surat yang ajaib serta isinya yang mengejutkan itu, Ratu Balqis segera mengumpulkan semua menteri kerajaan, pembesar-pembesar dan ahli-ahli cerdik pandai, untuk bermesyuarat, bagi meminta pertimbangan mereka tentang isi surat yang baru diterimanya itu; apakah akan menyerah dan tunduk kepada apa yang dimaksudkan oleh Raja Sulaiman, atau tidak akan mempedulikan sama sekali isi surat itu. 
Mereka sama berkata: ‘Kita ini adalah suatu bangsa yang berani dan ahli perang, bukan suatu bangsa yang hanya pandai berunding dan mengalah saja. Kami sudah menetapkan dirimu, ya Balqis, untuk memutuskan segala sesuatu dan memerintah kami. Tetapkanlah apa yang hendak kau putuskan, kami akan menjalankannya dengan penuh rasa taat dan tunduk kepadamu. Bila engkau perintah ke langit, kami mahu terbang, ke laut kami menyelam, ke lurah kami menurun dan ke bukit pun kami akan mendakinya.’ 
Setelah Balqis mengetahui tanda-tanda dari para menteri dan pembesar-pembesar yang menghendaki perang itu, segera beliau mengemukakan pendapatnya, yang bertentangan dengan kehendak mereka; dengan tenang berkatalah Ratu Balqis: ‘Fikiran yang menghendaki perang itu, adalah fikiran yang salah, selama jalan damai belum ditempuh sedapat-dapatnya, kerana perdamaian lebih baik dari berperang. Begitulah menurut fikiran orang waras. Bila tentera telah dapat mengalahkan musuhnya di medan perang, negeri yang dikalahkannya itu pasti mereka rosak dan mereka hancurkan, segala harta kekayaannya mereka rampas, orang-orang yang mulia mereka hinakan sebaliknya orang-orang hina dimuliakannya. Akhirnya mereka memperhambakan, lalu menjalankan tangan besi, kalau dapat berabad-abad lamanya, atau untuk selama-lamanya.’ 
‘Aku,’ kata Ratu Balqis selanjutnya, ‘Ingin mengutus sebuah delegasi yang terdiri dari orang-orang yang terhormat dari bangsa kita sendiri, untuk menghadap Raja Sulaiman dan juga untuk memberikan hadiah yang paling berharga.’ 
Khabar ini sebagai jawapan terhadap surat Sulaiman itu, dituliskan dalam sepucuk surat, lalu diserahkan kepada burung Hud Hud itu, untuk disampaikan kepada Sulaiman. Untuk menyambut kedatangan delegasi Balqis itu, Sulaiman mengadakan persiapan seperlunya. Sulaiman ingin memperlihatkan kegagahan dan keluarbiasaannya. Semua jin dipanggilnya dan diperintahkan untuk mendirikan sebuah istana dari segala macam batu dan perhiasan yang berada di perut bumi di dalam laut. 

Istana Yang Terindah

Dalam waktu yang singkat saja, bangunan besar, iaitu istana yang terindah yang belum pernah ada tandingannya di muka bumi Allah s.w.t ini, sekarang menjelma. Dindingnya terbuat dari kaca yang beraneka warna, lantainya daripada emas dan perak, serta pasirnya dari intan dan berlian dan berbagai-bagai batu berharga lainnya, Semua itu dikemukakan dan didirikan oleh segala jin dengan petunjuk Nabi Sulaiman sendiri. 
Delegasi yang ditunggu-tunggu itu pun datanglah. Kedatangan mereka disambut dengan sambutan yang hormat dan meriah. Alangkah terkejut dan kagumnya mereka melihat kemewahan yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata itu. Dengan rasa malu, mereka menyerahkan hadiah besar yang dianugerahkan Ratu Balqis kepada Raja Sulaiman. 
Melihat hadiah itu, Nabi Sulaiman hanya minta maaf dan berkata: ‘Maaf saja, kuharap agar hadiah ini dikembalikan saja kepada Ratu Balqis, kerana pada diriku telah cukup segala-galanya dianugerahi Allah s.w.t, baik berupa kekayaan mahupun perhiasan, bahkan Allah s.w.t telah menganugerahkannya dengan cukup, kekuasaan yang besar dan pangkat kenabian yang mulia yang belum pernah dipunyai oleh seorang manusia pun di atas dunia ini. Aku tidak memerlukan emas perak, kendatipun sebesar bumi ini. Kulihat engkau sekalian ini hanya mengenali hidup yang lahir (nyata) di dunia ini saja dan dengan penghidupan dunia yang begini saja, kamu telah dapat bergembira diri. Kembalilah kamu ke negeri dan rajamu. Katakan kepadanya, bahawa aku tidak memerlukan harta kekayaan, tidak perlu kekuasaan dan segala-galanya. Yang perlu agar kamu sekalian tunduk dan menyembah akan Allah s.w.t, yang telah menjadikan semuanya ini. Kuharap agar kamu sekalian patuh menjalankan perintah Allah s.w.t itu, janganlah kamu menyembah selain daripada Allah s.w.t, serta katakan juga kepada mereka, bahawa kami akan segera mengirimkan tentera kami, untuk menggempurmu, bila ternyata kamu tidak mahu tunduk kepada kebenaran ini dan yang hanya mempercayai kepada kekuatan tenteramu saja!’
Delegasi itu pun segera kembali mendapatkan raja dan bangsanya, lalu disampaikannya hasil pertemuan dengan Raja Sulaiman itu. Mendengar semua itu, dengan perasaan yang tenang Ratu Balqis berkata: ‘Tidak ada daya dan usaha lain lagi, kecuali kita hanya tunduk dan taat menurut ajaran Sulaiman itu.’ 
Ratu Balqis ingin menghadap sendiri Raja Sulaiman, serta beliau bermaksud mahu mengucapkan kalimat iman di hadapan Sulaiman. Ratu itu pun berangkatlah diiringkan oleh semua pengiring dan pengawalnya. Setelah Nabi Sulaiman mengetahui akan keberangkatannya itu. maka baginda berkata kepada semua jin: ‘Siapakah di antaramu yang sanggup mengambil istana Ratu Balqis dan membawanya ke mari, sebelum Ratu Balqis sendiri sampai di sini untuk menyatakan Islamnya di hadapanku?’ 
Raja dari segala jin lalu menjawab: ‘Aku sanggup membawa mahligai Ratu Balqis ke mari dengan segera dan mahligai itu akan berada di sini, sebelum pertemuan ini berakhir kerana aku mempunyai kekuatan yang luar biasa hebatnya. Dengan kekuatan itu aku jamin, bahawa segala yang ada dalam mahligai itu akan selamat.’ 
Tiba-tiba muncul dan berdiri seorang manusia beriman, yang kepadanya oleh Allah s.w.t telah dianugerahi pengetahuan yang cukup dan kekuatan ghaib, lalu beliau berkata kepada Raja Sulaiman: ‘Insya-Allah, aku sanggup mendatangkan mahligai itu ke mari dan mahligai itu akan berada di sini, sebelum engkau menggerakkan pelupuk matamu, ya Raja Sulaiman.’ 

Mahligai Balqis Dibawa Jin

Ya, dalam sekelip mata saja, mahligai ratu itu pun sudah berdiri dengan megahnya di hadapan Nabi Sulaiman. Di situ Nabi Sulaiman lalu bersujud dan bersyukur pula kepada Tuhannya, atas kekuasaan Allah s.w.t yang telah diperlihatkan kepadanya. Baginda bersujud dan bersyukur kembali berulang-ulang, serta terus-menerus untuk menyembah Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana, Maha Besar dan Maha Kuasa itu. 
Akhirnya Ratu Balqis pun datanglah. Kepada Ratu Balqis, Sulaiman berkata: ‘Beginikah istanamu?’ Setelah diperhatikannya dengan sungguh-sungguh, Ratu Balqis berkata: ‘Agaknya itulah.’ 
Alangkah terkejut dan kagumnya Ratu Balqis setelah melihat kejadian itu, iaitu istananya sendiri sudah berada di hadapan istana Sulaiman, sebelum baginda sendiri sampai di tempat itu. Dalam pada itu Nabi Sulaiman sudah memerintahkan pula untuk membina sebuah mahligai yang terbuat dari kaca yang putih bersih; kemudian Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalamnya. Ratu Balqis menyangka bahawa mahligai kaca itu air yang sedang mengalir berombak, lalu baginda membukakan betisnya untuk memasukinya, tetapi kemudian ternyata bahawa itu bukanlah air. 
Dengan kekhilafannya ini, maka terbukalah hati Ratu Balqis yang selama ini tersesat di dalam gelombang kekayaan dan kekuasaan itu. Dia telah tersesat dan terkhilaf, sebagaimana kekhilafannya terhadap kaca yang disangkanya air. Dia insaf dan terbukalah hijabnya, sehingga dengan kejadian itu, kini baginda merasakan akan kesesatannya, kerana baginda menyangka bahawa kekayaan itu dapat membahagiakannya, begitu juga kekuasaannya di dunia ini adalah kekuasaannya yang paling besar; baru sekarang baginda mengetahui, bahawa ada yang mempunyai kekuasaan yang melebihi kekuasaannya. 
Dia menjadi insaf dan bertaubat kepada Allah s.w.t: ‘Ya Allah, Tuhanku! Sudah lama aku tersesat sehingga aku tidak mengenal-Mu dan tidak pernah menyembah-Mu. Aku sudah tersesat dalam masa yang panjang, kerana kelobaan aku atas harta kekayaan pemberian-Mu itu, sehingga aku sudah aniaya terhadap diriku sendiri dengan melupakan Engkau, ya Allah. Aku kira hanya harta dan kekuasaan itu saja bahagia dan rahmat dari Engkau, rupanya itu sama sekali belum bererti apa-apa, bila dibandingkan dengan rahmat dan nikmat-Mu yang lainnya. Ampunilah aku ini, ya Allah! Sekarang aku insaf dan taubat, aku akan menerima pelajaran Sulaiman dengan menganut agama Islam, iaitu agama Engkau, ya Allah. Aku akan tunduk dan taat kepada-Mu, ya Allah, ampunilah aku, kerana Engkau suka memberi ampun dan penerima taubat.’

Hukuman Terhadap Bani Israel

Berkumpul dan datang silih berganti nikmat dan rahmat Allah s.w.t atas bangsa Israel. Mereka dilepaskan Allah s.w.t dari berbagai-bagai azab dan seksa. Diutus-Nya kepada mereka beberapa Nabi dan Rasul, untuk melepaskan mereka dari berbagai azab dan seksa itu, bagi membimbing mereka ke jalan yang benar, sehingga mereka dengan pimpinan para Nabi dan Rasul itu, mendapat kemakmuran dan kemajuan yang luar biasa, penuh dengan kehidupan yang bahagia dan senang, menjadi pemimpin di atas dunia ini. Sungguhpun begitu mereka senantiasa berpaling juga dari jalan yang benar dan baik tersebut. 
Setiap kali mereka mendapat kecelakaan dan kesengsaraan yang luar biasa, mereka menginginkan pimpinan dan Nabi. Setelah mereka aman dan bahagia kembali dengan pertolongan pemimpin dari Nabi itu, kembali mereka tidak mengakui akan Nabi tersebut, mereka lupakan segala nikmat dan rahmat Allah s.w.t, bahkan para pemimpin dan Nabi itu banyak pula yang mereka bunuh, lalu mereka kembali kepada kesesatan dan berbagai-bagai kejahatan. 
Kalau mereka telah tersesat dan derhaka, mereka tidak dapat lagi dibelokkan ke arah kebenaran hanya dengan peringatan-peringatan dan ajaran-ajaran dari Allah s.w.t saja, bagaimana pun benarnya peringatan dan ajaran itu, mereka tetap menolaknya, bahkan mereka ludahi. Hanya dengan seksaan jualah yang dapat membetulkan kembali tindakan mereka. Oleh sebab itu Allah s.w.t mengirimkan berbagai-bagai seksaan, untuk membetulkan tindakan mereka yang salah tersebut. 
Sejak dahulu kala Allah s.w.t menurunkan berbagai-bagai seksa dan azab terhadap Bani Israel. Tetapi kini mereka telah melupakan pula akan semua azab dan seksaan Allah s.w.t itu, mereka bertindak dengan berbagai-bagai kejahatan lagi. Kesesatan dan kejahatan itu telah demikian rupa pula hebatnya, sehingga tidak dapat dibiarkan begitu saja. Allah s.w.t mengutus pula kepada mereka seorang Nabi, Armiya namanya. 
Nabi ini dengan seluruh tenaga dan daya yang ada padanya, berusaha keras untuk mengembalikan segala kesesatan. Diperingatkan oleh Nabi ini, akan ajaran-ajaran para Nabi dan Rasul yang telah meninggal dunia. Diperingatkan kepada mereka akan ajaran-ajaran Kitab Suci yang telah diturunkan Allah s.w.t dengan perantaraan Nabi-nabi dan Rasul-rasul itu. Diperingatkan juga akan azab dan seksa bagi bangsa yang telah menderhaka ajaran-ajaran yang benar itu. 
‘Ingatlah kepada seksaan yang menimpa Raja Namrud dan Firaun, ingatlah akan seksaan yang ditimbulkan oleh tentera Sanharib yang telah menghancur leburkan negeri Babilon dan rakyatnya! Ingatlah akan berbagai-bagai azab yang berupakan angin taufan dan hujan batu, yang berupakan berbagai-bagai penyakit menular dan taun, yang berupakan udara yang panas terik dan lain-lainnya!’
Demikianlah Nabi Armiya memperingatkan kepada mereka; tetapi mereka tidak mahu mendengar dan menurutinya. Allah s.w.t tidak akan henti-hentinya pula menurunkan seksa dan azab-Nya, selama manusia tidak bosan-bosan berbuat kejahatan dan kesesatan. Terhadap bangsa Israel yang sudah tidak mahu dinasihati itu, tidak ada gunanya nasihat lagi, lalu Allah s.w.t utus kepada bangsa itu tentera yang paling kejam, yang dipimpin oleh seorang raja dan jeneral yang hebat dan bengis, iaitu tentera Nebukadnezar (Bakhtanassar) yang termasyhur itu. 
Dari arah Timur, tentera ini menyerbu dengan jumlah yang sangat besar, belum pernah ada tentera di dunia ini yang lebih besar jumlahnya dari tentera Nebukadnezar ini, seakan-akan gelombang demi gelombang, banjir demi banjir, mereka menyerbu dan terus menyerbu. Tidak ada sebuah kekuatan pun di atas dunia ini yang dapat menghalanginya, sesiapa saja yang melawan dibunuh mati, rumah-rumah, bangunan dan kota-kota dihancurkannya sampai rata dengan tanah. Bangsa Israel yang masih tetap tinggal hidup, sebagai sisa pembunuhan dan penyembelihan, semuanya dikumpulkan menjadi tawanan, lalu dibuang jauh dari negeri mereka sendiri. Kota Baitul Maqdis dan Rumah Suci pun disapu bersih, sehingga hilang kehormatannya sama sekali. Semua Kitab Suci mereka bakar sampai habis. 
Lama pula konon masanya Nebukadnezar menguasai negeri Bani Israel, sampai kepada beberapa keturunan, dengan segala kekejamannya yang tidak ada tolok bandingannya. Akhirnya kerajaan kejam ini menjadi semakin lemah, hilang kekuatannya, sehingga tidak mampu berdiri lagi. 
Kekuasaan di seluruh Babilon dan bangsa Israel, akhirnya dipegang oleh seorang raja yang baik hati, lemah-lembut dan suka bergaul dengan rakyat. Dengan tenang raja ini mendidik dan mengumpulkan serta memerintah bangsa Israel yang sudah hancur-lebur dan cerai-berai itu menjadi suatu bangsa yang berpadu satu. 

Bangsa Lupa Daratan

Kita ini adalah bangsa yang terhormat, keturunan Nabi Yaakub dan anak cucu Nabi Daud yang maha besar. Tanah air kita adalah Syam, yang penuh dengan sumber-sumber kekayaan. Kita adalah bangsa yang merdeka dan kuat dahulunya. Tetapi kerana kesalahan-kesalahan kita sendiri, kita dapat diusir musuh dari tanah air kita itu, kerana kita tidak mahu tunduk kepada peraturan, ingin menurutkan kemahuan diri sendiri saja. Sekarang marilah kita bersatu, mengumpulkan tenaga dan kekuatan kembali ke tanah air kita yang sudah lama kita tinggalkan itu! 
Kerana sudah mengalami benar-benar bagaimana pahit dan getirnya terusir dari tanah air sendiri, menjadi tawanan dan hamba belian, dengan kerja paksa yang berat dan hina-dina, maka apa yang diucapkan oleh pemimpin itu, sangat meresap dalam kalbu dan jiwa mereka. 
Dengan keinsafan inilah mereka kembali bersama-sama ke tanah airnya sendiri, tanah Syam (Palestin). Dengan kegiatan bekerja dan persatuan yang teguh, bangsa dan Kerajaan Israel berdirilah meliputi tanah Syam. Mereka hidup dengan baik dan berketurunan yang banyak, sehingga berdirilah pula kebun-kebun yang luas, kota-kota yang besar, desa-desa yang aman dan penuh dengan kebahagiaan. Seharusnya mereka bersyukur atas semua nikmat dan rahmat Allah s.w.t itu. Tetapi setelah hidup senang dan bahagia, mereka kembali melupakan Allah s.w.t. Kembali menurutkan kehendak diri sendiri. Mereka lupa akan segala pengalaman dan penderitaan mereka selama terusir; malah masing-masing diri yang sudah senang dan kaya itu merasa sudah berkuasa dan takkan mahu tunduk pula kepada kebenaran lagi. 
Begitulah jiwa bangsa Israel itu. Dengan senang mereka naik sesudah jatuh, tetapi dengan mudah pula mereka lupa daratan, sehingga berbuat jahat dengan sewenang-wenang lagi. Kini mereka sudah menjadi jahat kembali, maka tidak ada kata-kata dan ajaran yang dapat menginsafkannya semula. Mereka hanya insaf kembali kalau sudah dikutuk dengan seksaan yang sehebat-hebatnya. 
Masyarakat mereka yang sudah mulai aman dan bahagia, sekarang mulai kacau kembali. Penuh sesak dengan berbagai-bagai kejahatan dan kemaksiatan. Orang-orang suci dan para Nabi yang diutus Allah s.w.t untuk memimpin mereka, bukan hanya mereka tolak dan hinakan, bahkan banyak pula mereka bunuh. Dua Nabi Suci yang paling mulia, iaitu Nabi Zakaria dan Nabi Yahya menjadi korban kebiadaban mereka. 
Bangsa Israel kembali menjadi bangsa yang hauskan darah. Riwayat berulang, bukan sekali ulang, tetapi berkali-kali. Terhadap mereka dikirim Allah s.w.t tentera kejam yang jauh lebih kejam dari tentera Nebukadnezar, iaitu tentera Judarz. Tentera itu tanpa sebab peringatan sama sekali, lalu menyerang seluruh negeri dan bangsa Israel dari segala jurusan. Dengan kekuatan tentera yang jauh lebih banyak, dengan kekejaman yang jauh lebih hebat, tanah Syam yang didiami bangsa Israel itu mereka hancur-leburkan menjadi abu. Rakyatnya mereka sembelih dan koyak-koyak seperti harimau menerkam mangsanya. 

Bangsa dan negara Israel kembali hancur-lebur. Sebahagian besar mereka musnah dan sebahagian kecil saja dapat meloloskan diri dari maut, lari ke mana saja ke timur dan ke barat, tidak keruan sama sekali. Begitulah nasibnya negara dan bangsa yang telah mendapat cap kemarahan dari Allah s.w.t. Itu disebabkan kerana engkar akan ajaran-ajaran Allah s.w.t, membunuh dan membinasakan para Nabi dan Rasul Allah s.w.t; dan semua itu kerana kemaksiatan mereka yang melampaui batas, sehingga seksaan Allah s.w.t datang melampaui batas juga hebatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA