SMAHADZIR
AKHLAK atau moral tidak dapat dipisahkan dalam diri
setiap insan di muka bumi ini. Seseorang insan itu dapat kita bezakan dengan
melihat kepada tingkahlaku serta amalan yang juga mencerminkan akhlaknya. Baik
atau buruk akhlak seseorang insan itu bergantung kepada apa yang dikerjakannya.
Jika amalan yang dikerjakan itu baik, maka baiklah akhlaknya. Tetapi jika
sebaliknya, maka tercelalah akhlaknya. Malah, akhlak diperlukan supaya dapat
mengatur hidup yang lebih baik.
Dengan adanya akhlak, seseorang insan itu dapat
mengangkat darjatnya dalam kalangan masyarakat terutamanya dapat memelihara
darjat agamanya itu sendiri. Selain itu, dapat menjalankan rutin seharian
mengikut garis panduan yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t seperti yang
termaktub di dalam Al-Quran dan al-hadis. Agama Islam merangkumi akidah,
syariat dan roh akhlak. Islam tanpa akhlak seperti rangka yang tidak mempunyai
isi, atau jasad yang tidak lagi bernyawa. Hal ini dapat dibuktikan lagi dengan
sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Islam itu akhlak yang baik,” dan sabda
baginda lagi, “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada
akhlak yang mulia.”
Pengertian Akhlak
Akhlak dari segi bahasa adalah berasal daripada
perkataan (al-khulq) bererti tabiat, kelakuan, perangai, tingkahlaku, adat
kebiasaan, malah ia juga bererti agama itu sendiri. Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran hanya
terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah: “Dan bahawa sesungguhnya
engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah Al-Qalam: 4)
Akhlak dari segi istilah adalah sifat yang tertanam di
dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah
tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan. Ahli falsafah Islam yang terkenal Ibn
Miskawaih mentakrifkan: “Akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah
melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.”
Menurut Imam Ghazali r. a. ada mengatakan bahawa
akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan
perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.
Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal,
perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar
perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
Menurut Islam yang berpandukan kepada Al-Quran dan
as-sunnah yang menjadi pegangan hidup bagi setiap umat Islam bagi segala urusan
di dunia mahupun di akhirat. Kedua-dua sumber ini berdasarkan wahyu yang
diturunkan oleh Allah s.w.t serta berpandukan Rasulullah s.a.w. Oleh itu,
akhlak dapat didefinisikan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang
melahirkan tingkahlaku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang
sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh-Nya.
Kategori Dan Skop Akhlak
Akhlak dalam Islam dapat dikategorikan kepada dua
iaitu: Akhlak mahmudah yang merupakan
akhlak yang dituntut dalam Islam. Ia merupakan akhlak dari segala bentuk
kebaikan yang dilakukan oleh manusia tidak kira kecil mahupun besar sesuatu
perkara itu. Ini dapat diperlihatkan seperti beriman kepada Allah s.w.t, sabar,
memelihara pancaindera dari perkara-perkara keji, serta lain-lain sifat yang
menggambarkan akhlak mahmudah.
Sifat mahmudah adalah semua perbuatan yang
menggambarkan tanggungjawab kita kepada Allah s.w.t sebagai contoh melaksanakan
perintahNya seperti yang telah digariskan dalam Al-Quran dan al-hadis iaitu
sebagai seorang insan beragama Islam diwajibkan supaya mengerjakan solat.
Namun begitu, masih ada akhlak yang berlawanan
dengan akhlak terpuji ini iaitu akhlak mazmumah
seperti yang kita sedia maklum sebagai akhlak yang keji dan cela. Akhlak
mazmumah yang disebutkan di sini adalah segala bentuk perlakuan, sifat, tabiat
dan perangai buruk yang dicela oleh syarak seperti mensyirikkan Allah s.w.t
dengan sesuatu sama ada dari segi penyembahan mahupun kepercayaan. Sifat
mazmumah pula dikatakan sebagai sesuatu perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t
serta meninggalkan suruhan-Nya.
Skop akhlak pula terbahagi kepada empat iaitu: Akhlak
dengan Allah s.w.t merupakan beriman, beribadah, mengesakan, takut, cinta,
redha dan ikhlas, bertaubat serta bersyukur kepada Allah. Kita sebagai Muslim
wajib mengakui, mempercayai atau meyakini bahawa Allah itu ada dan bersifat
dengan segala sifat kesempurnaan serta terhindar daripada sifat-sifat
kekurangan.
Namun, kita juga bukan sekadar mempercayai bahawa
adanya Allah tetapi perlu tunduk dan patuh dengan segala suruhan-Nya serta
meningggalkan laranga-Nya. Ini selaras dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Tidak
Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk tunduk dan beribadah kepada-Ku.” (Surah
al-Zariyat: 56)
Selain itu, perasaan takut itu wajib ada dalam diri
kita terhadap Allah. Perasaan ini terbahagi kepada dua iaitu takut den bertakwa
kepada Allah dengan menjalankan perintah-Nya. Seterusnya, takut kerana seksaan
azab api neraka yang telah dijanjikan oleh-Nya kepada manusia yang mengingkari
suruhun-Nya.
Malah, kita diperintahkan supaya mencintai Allah s.w.t
dengan cara mentaatiNya, mendahulukan perintah-Nya dari perintah hawa nafsu
kita yang selalu mengejar duniawi sampaikan mengabaikan amalan yang akan kita
bawa sebagai bekalan di akhirat kelak.
Kepercayaan kepada qadak iaitu jangka yang tertentu
dan qadar iaitu ketentuan Allah mewajibkan kita supaya redha dan ikhlas dalam
menerimanya. Sama ada suka mahupun tidak sesuatu yang telah ditetapkan itu,
ketentuan Allah itu pasti akan terjadi juga.
Kembali kepada Allah iaitu kembali taat kepada Allah
s.w.t dengan cara bertaubat kepadaNya setelah terpesong dari landasan yang
sepatutnya menjadi garis panduan dalam kehidupan kita di muka bumi ini. Fitrah
manusia tidak dapat lari dari melakukan kesalahan demi kesalahan sehingga
terjerumus ke dalam kemurkaan Allah. Namun, sebelum terlambat mohonlah
keampunan kepadaNya kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Akhir sekali, bersyukurlah ke atas segala nikmat
yang Allah telah kurniakan kepada kita dengan menggunakan segala nikmat itu
untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t seperti menggunakan nikmat tubuh
badan yang sihat untuk terus melakukan ibadah fardhu ain dan berusaha
memperbanyakkan amal ibadah sunat.
Akhlak manusia kepada Rasulullah s.a.w. merupakan
beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w. , iaitu percaya bahawa baginda adalah
utusan dari Allah kepada kita dan kita wajib mengikuti sunnahnya. Barang siapa
yang melanggar atau tidak mahu mengikuti sunnah baginda, maka terbatallah
akidahnya. Kita juga wajib mencintai baginda serta memuliakannya dengan
berselawat ke atasnya, serta memuliakan keluarga dan para sahabat baginda
seperti sabdanya yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang diantara kamu,
sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri, orang tuanya,
anaknya dan manusia semuanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Akhlak manusia sesama manusia terdiri daripada
akhlak kita dengan diri sendiri iaitu kita perlu mempunyai iman yang mantap dan
akhlak yang mulia dan segera menunaikan perintah Allah dan mempelajari ilmu
pengetahuan.
Akhlak kita terhadap ibu bapa pula merupakan satu
ibadah dengan mentaati mereka sementara mereka masih hidup seperti bercakap
dengan menggunakan bahasa yang indah serta berlemah-lembut dalam pertuturan.
Jangan kita lupa untuk taat kepada mereka walaupun mereka telah tiada di muka
bumi ini lagi. Kita sebagai seorang anak boleh mendoakan mereka, menziarahi
kubur dan memuliakan sahabat-sahabat mereka.
Akhlak kepada anak-anak merupakan peranan ibu bapa
dalam mendidik mereka supaya mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan
Allah s.w.t. Ibu bapa juga merupakan contoh ikutan kepada anak-anak mereka dari
segi perbuatan, pertuturan dan akhlak.
Akhlak suami isteri berperanan dalam pembangunan
institusi kekeluargaan. Keutamaan tanggungjawab isteri adalah melaksanakan
peranan khusus, sesuai dengan tabiat kewanitaannya seperti mengurs rumah tangga,
mendidik anak-anak dan seumpanya. Manakala, si suami berperaan dalam mencari
nafkah untuk menyara keluarganya, memberi perlindungan kepada isteri dan
anak-anak dari cabaran sebarang kesulitan. Kerjasama kedua-dua pihak ini dapat
memberi kesan yang baik untuk melahirkan anak-anak yang soleh juga dapat
merasakan kenikmatan di dalam kehidupan berkeluarga.
Akhlak kepada guru juga penting kerana guru ialah
orang yang memberikan ilmu pengetahuan kepada kita dan kita perlu
mneghormatinya. Ini dapat dibuktikan lagi apabila martabat seorang guru diangkat
oleh Allah. Dengan kata lain, sekiranya kita menyakiti perasaan guru itu, kita
tidak dapat keberkatan terhadap ilmu yang telah kita pelajari.
Akhlak manusia kepada masyarakat atau jiran menjadi
satu kewajipan ke atas manusia Muslim. Mewujudkan hubungan baik sesama jiran
adalah digalakkan dalam agama Islam. Perhubungan ini boleh dijalinkan seperti
mengamalkan sikap ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat. Ini kerana jiran
merupakan peranan penting sehingga kadangkala melebihi peranan keluarga kita
sendiri yang berada jauh daripada kita.
Akhlak dengan alam pula di mana Allah telah
menganugerahkan segala isi alam ini kepada manusia supaya manusia dapat
menjalankan tugas sebagai khalifah di dunia dengan lebih baik. Ia juga melatih
manusia itu untuk menjadi seorang insan yang prihatin terhadap alam sekeliling
dalam memelihara alam ini dari kemusnahan mahupun kerosakan. Sebagai contoh,
badan-badan yang berkaitan perlu memelihara haiwan liar dari terus menjadi
buruan manusia yang tidak bertanggungjawab supaya dapat memelihara populasinya.
Pembentukan Akhlak
Iman, ilmu dan amal merupakan faktor penting dalam
pembentukan akhlak. Pembentukan akhlak ini perlulah melalui beberapa peringkat
seperti: Sebelum berumah tanggga merupakan titik permulaan dalam pembentukan
akhlak. Pembentukan keluarga yang baik dapat melahirkan generasi yang cemerlang
dari aspek duniawi mahupun ukhrawi. Oleh itu, sebelum melangkah ke alam berumah
tangga kita perlu membuat pilihan terlebih dahulu terhadap pasangan hidup sama
ada calon isteri mahupun suami.
Syarat-syarat yang telah digariskan sebagai panduan
bagi pemilihan pasangan dalam Islam adalah seperti hadis Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud: “Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya,
kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah
engkau memilih yang beragama, itulah pilihan yang terbaik.” (Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Semasa perkahwinan, suami isteri haruslah
melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik-baiknya. Perasaan kasih
sayang hendaklah sentiasa dipupuk kerana dengan adanya perasaan ini, kehidupan
berumah tangga akan lebih tenang dan tenteram. Malah, perceraian dapat
dielakkan juga. Bagi ibu-ibu yang sedang hamil, diberi galakan untuk selalu
memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran kepada bayi di dalam kandungan. Dengan
cara ini, jiwa bayi yang masih kosong itu telah diisi dengan sesuatu yang
bermakna dan dalam masa yang sama proses pembentukan akhlak yang mulia juga
telah terjadi tanpa kita sedari.
Kanak-kanak juga perlu diberikan pendidikan yang
seimbang seperti pendidikan keimanan yang menjadi asas utama. Pendidikan ini
memerlukan ibu bapa dalam memberikan panduan dalam memupuk keimanan dalam diri
anak-anak. Mereka boleh memberi tunjuk ajar kepada anak-anak supaya menyembah
Allah yang Esa dengan cara mengajar anak-anak untuk menunaikan solat fardhu
sejak mereka kecil lagi.
Remaja menurut kamus dewan bermaksud dewasa atau
sudah akil baligh yang membolehkan mereka berfikir dengan menggunakan kewarasan
akal sebelum melakukan sesuatu tindakan itu. Zaman remaja merupakan masa yang
paling mencabar dan di sinilah iman, ilmu dan akhlak sangat diperlukan. Jika
iman tidak diisi sepenuhnya dalam jiwa golongan remaja, mereka barangkali
terjerumus dalam persekitaran dunia yang tidak sihat ini. Mereka mungkin boleh
terjebak dalam aktiviti tidak bermoral seperti lumba haram, pergaulan bebas dan
banyak lagi. Sekiranya iman itu ada dalam jiwa setiap remaja, perkara seperti
ini dapat dibendung daripada berlaku serta agama Islam akan terpelihara.
Pelaksanaan ibadat penting dalam Islam bukan sahaja
sebagai bukti kepatuhan kepada Allah s.w.t tetapi ia juga mempunyai kesan
secara langsung dalam pembentukan peribadi seseorang Muslim apabila ibadah itu
dilaksanakan mengikut syariat yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Antara
ibadah utama adalah: Penghayatan Al-Quran dapat mendidik dan melembutkan hati
serta menjadi panduan kepada manusia untuk menjalani kehidupan berdasarkan cara
hidup Islam. Dengan adanya penghayatan ini juga, manusia dapat memahami peranan
yang sebenar disebalik kejadian sesuatu perkara yang Allah telah jadikan.
Contohnya, peranan kejadian manusia di muka bumi ini adalah supaya manusia
beribadah kepada Allah s.w.t.
Penghayatan rukun-rukun Islam terdiri daripada lima
perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah yang membawa maksud meyakini bahawa
tiada tuhan yang boleh disembah melainkan Allah yang Maha Esa dan mengaku
bahawa Nabi Muhammad itu utusan-Nya kepada kita. Solat fardhu pula dapat
mendisiplinkan kita dalam menepati waktu. Zakat diwajibkan kepada kita
bertujuan untuk membersihkan diri dari dosa serta mengangkat nilai individu dan
masyarakat ke darjat yang lebih tinggi.
Ibadah puasa melatih kita untuk menahan lapar dan
dahaga juga melatih kita untuk melawan nafsu dan syahwat supaya tidak melepasi
batas-batas hukum yang ditetapkan. Haji diwajibkan kepada semua manusia akan
tetapi ia lebih tertumpu kepada insan yang berkemampuan untuk melaksanakannya.
Ia bertujuan mendidik jiwa kita supaya sentiasa berkorban, berjimat dan memupuk
nilai kasih sayang kerana Allah s.w.t
Mengerjakan amalan sunat dapat membantu dalam
menyempurnakan amalan fardhu. Sebagai contoh, solat sunat dapat menampung solat
fardhu yang kadang kala kita lalai dalam mengerjakannya kerana sibuk dengan
duniawi. Istiqamah dalam beramal membawa erti kepada amalan yang dilakukan itu
biarlah sedikit tetapi istiqamah berlawanan dengan amalan yang dilakukan banyak
hari ini tetapi semakin hari semakin berkurangan.
Rasulullah s.a.w. sebagai Uswah Hasanah adalah
baginda menjadi contoh ikutan kepada Muslim kerna keperibadian baginda yang
terpuji. Baginda yang bersifat maksum, tidak mempunyai sifat-sifat yang
tercela. Malah, akhlak baginda adalah akhlak yang mulia. Mencontohi para
sahabat kerana mereka mendapat bimbingan secara langsung daripad Nabi
berbanding dengan kita yang hanya mengikutnya berdasarkan sunnahnya.
Muhasabah diri adalah dengan memerhatikan kekurangan
yang ada dalam diri kita dan berusaha untuk mengatasi kekurangan itu dengan
memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah. Didikan dan latihan merujuk kepada
akhlak iaitu akhlak seseorang itu dapat dibentuk sekiranya diberi didikan dan
mendapat latihan yang secukupnya daripada pendidik yang berkualiti. Namun
begitu, haruslah kita ingat bahawa pendidikan itu bermulanya dari rumah yang
sewajarnya dilaksanakan oleh ibu bapa.
Cabaran Pembentukan Akhlak
Masih ada cabaran yang menjadi penghalang dalam
pembentukan akhlak ini terdiri daripada cabaran dalaman dan
luaran. Cabaran dalaman iaitu melalui serangan pemikiran seperti apa yang
telah dilakukan oleh orang Barat dalam mempengaruhi pemikiran umat Islam dengan
mengakatakan bahawa tidak ada agama yang berperanan dalam memperbaiki atau
mengubah tamadun.
Manakala melalui syaitan dan hawa nafsu pula ialah
hasutan atau godaan daripada syaitan yang menghalang manusia untuk membentuk
akhlak yang mulia dengan menghasut untuk melakukan sebarang bentuk kejahatan.
Akhir sekali, lemahnya jiwa merupakan cabaran yang paling besar kerana apabila
manusia dilanda kelemahan iman, ia akan mudah terjerumus ke dalam konteks dosa
dan melakukan perkara-perkara keji.
Cabaran luaran seperti perancangan penjajah dan
salibiah dalam menjatuhkan umat Islam dengan hanya meletakkan segelas arak
dengan wanita cantik cukup untuk melalaikan umat Islam. Manakala, adat
meletakkan mas kahwin yang tinggi iaitu tidak mengikut cara Nabi telah
menyukarkan kembali pihak lelaki dan akibatnya berlakulah perkara-perkara yang
tidak diingini seperti penzinaan.
Jalan Penyelesaian
Jika seseorang itu beriman, ia dapat memahami siapa
penciptanya, tujuan dan peranan ia diciptakan, serta ke mana ia akan pergi.
Kepentingan mengenali semua ini adalah untuk memahami tujuan peranan
penciptaannya, justeru ia akan tahu menilai dirinya dan menjadikan potensi dirinya
untuk melakukan kebaikan bukan kepada dirinya sahaja tetapi terhadap orang lain
juga.
Manakala, ibadat pula menjadi banteng pertahanan
untuk menangkis godaan syaitan serta hawa nafsu. Ibadah yang sempurna lahir
dari iman yang mantap kepada Allah s.w.t. Akhir sekali, ibu bapa adalah orang
yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak. Anak adalah amanah Allah yang
perlu dipikul oleh ibu bapa. Oleh itu, bimbingan dan didikan agama perlu
diberikan agar anak-anak dapt menjadi seorang insan yang berjaya dari segi
akhlaknya.
Sesungguhnya pembentukan akhlak perlu dititik
beratkan dalam kehidupan setiap Muslim. Dengan adanya akhlak, seseorang itu
akan dipandang mulia terutamanya di sisi masyarakat setempat. Jika kita beramal
dengan akhlak yang mulia, maka kita akan dapat menikmati keindahan kehidupan
ini. Malah, ia dapat menaikkan darjat agama Islam pada pandangan mata
agama-agama lain.
Menjadi Manusia Mulia
Sabda Nabi Muhammad s.a.w: “Barangsiapa ingin
menjadi orang yang paling mulia, hendaklah ia bertakwa kepada Allah s.w.t.
Barangsiapa ingin menjadi menjadi orang yang paling kuat, hendaklah ia
bertawakal kepada Allah s.w.t. Barangsiapa ingin menjadi orang paling kaya,
hendaklah ia menjadikan sesuatu yang ada di tangan Allah lebih percaya daripada
yang berada di tangannya.”
Dalam hadis ini Rasullullah s.a.w menunjukkan jalan
kemuliaan serta jalan kebenaran yang pelbagai maksud kandungannya. Baginda
menunjukkan bahawa jalan menuju kemuliaan dengan bertakwa kepada Allah. Takwa
kepada Allah s.w.t merupakan pintu segala larangan. Manusia menjadi mulia
kerana beberapa keutamaan serta ia diangkat kerana kebiasaannya melakukan
perkara-perkara ini. Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya Allah
mencintai perkara-perkara yang bernilai tinggi dan mulia serta Dia membenci
perkara-perkara yang hina.”
Kekuatan berada dalam kebenaran dan kebenaran
mempunyai kemuliaan kerana Allah s.w.t, tidak menerima kezaliman bagi diri-Nya,
sedangkan Dia berada di atas kebenaran. Barangsiapa yang bertawakal kepada
Allah, maka Dia menjadi Penjaminnya. Apabila Islam (besandarkan Al-Quran dan
sunah Rasul) telah menganjurkan setiap Muslim perlu meraih segala kekuatan,
maka sesungguhnya ia teah menggambarkan (disamping mempercayai dan bertawakal
penuh kepada Allah) semua jalan ke arah perkara tersebut seperti bekerja,
berusaha dan bergerak.
Allah s.w.t berfirman dalam kitab-Nya: “Dan
siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan
kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (dengan persiapan itu) kamu menggentarkan
musuh Allah dan musuhmu.” (Surah al-Anfaal: 60)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Orang beriman kuat
adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang beriman yang lemah di
setiap kebaikan. Bergegaslah (untuk menjadi tamak) atas segalasesuatu yang
berguna bagi kamu serta mintalah pertolongan Tuhanmu dan janganlah kamu lemah.”
Kekayaan dan harta yang dapat menakluk kebaikan
serta mengawasi kemakrufan juga merupakan salah satu sebab wujudnya kekuatan
dan kemuliaan iaitu kekuatan bagi Islam dan kemuliaan bagi orang-orang Muslim. Oleh
itu jalan untuk menuju ke sana (sebagaimana yang telah digambarkan oleh
Rasulullah s.a.w) bukanlah dengan kesombongan dan bukan pua dengan menakluki
keseluruhannya atau mengikut hawa nafsu.
Akan tetapi jalannya (sesuai dengan sabda yang indah
itu) dengan menjadikan kepercayaan seorang hamba terhadap sesuatu yang berada
di tangan Allah itu lebih kuat daripada yang berada di tangannya sendiri.
Dengan itu, yang dikategorikan sebagai percaya adalah kepercayaan kepada Allah dan
yakin erhadap kekuasan-Nya serta terhadap bimbingan kemuliaan-Nya.
Dengan demikian, iman adalah jalan menuju ke rah
kemuliaan. Ia adalah satu-satunya jalan menuju kesana (kemuliaan) . Maka
barangsiapa beriman kepada Allah, menganut Islam dengan segala niat serta
perbuatannya berdasarkan wahyu dan jalan keimanan, nescaya ia akan dimuliakan
di dunia dan akhirat kelak.
Allah s.w.t telah berfirman dalam kitab-Nya: “Padahal
kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang yang beriman
tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.” (Surah al-Munaafiquun: 8)
Harta Yang Paling Baik
Dari Rasulullah s.a.w, bahawa baginda bersabda: “Celakalah
bagi emas! Celakalah bagi perak! Celakalah bagi emas! Celakalah bagi perak!” Rasulullah
s.a.w ditanya oleh para sahabatnya: “Harta apakah yang kami peroleh?” Baginda
menjawab: “Lisan yang berzikir, hasil yang bersyukur dan isteri yang menentukan
agama kalian.”
Dari Abu Dzar al-Ghiffari r.a., bahawa ia berkata
pada hari ketika seluruh anugerah diperintahkan untuk dinafkahkan dalam bentuk
sedekah dan untuk memenuhi keperluan keluarga: “Sesungguhnya sahabat baikku
menyuruhku untuk memilih antara emas atau perak yang berada padanya yang
merupakan titipan sahabatnya. Kemudian ia menemui pemiliknya di jalan Allah.”
Dalam hadis yang mulia ini Rasulullah s.a.w
menegaskan bahawa salah satu konsep dasar Islam adalah terdiri di atas dasar
cinta dan persaudaraan. Dalam ajaran Islam harta mempunyai peranan penting
dalam kehidupan sosial yang bertujuan untuk membangunkan sesuatu yang
memberikan faedah kepada umum bagi golongan orang Islam. Peranan tersebut
menolak dalam menguasai harta bagi glongan tertentu serta menolak eksploitasi
mereka terhadap beberap sumber umum.
Tidak diragukan lagi, bahawa mengutamakan dan
mengumpul harta menjadi sebab utama lumpuhnya pusingan ekonomi secara
kebiasaannya yang bertempatkan daam aspek sosial yang menhendaki kegunaan yang
meluas. Allah s.w.t berfirman dalam kitab-Nya: “Dan orang-orang yang
menyimpan emas dan perak serta tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka
beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksaan yang pedih,
pada hari dipanaskan emas perak itu dalam mereka, perut dan punggung mereka (lalu
dikatakan ) kepada mereka: Inilah harta bendamu yang kau simpan untuk kamu
sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah
At-Taubah: 34-35)
Hikmah yang terkandung dalam pengharaman mengumpulak
harta dan segala kesan negatif yang timbul dari mencintai kekayaan di antara orang-orang
kaya, adalah sebagaiman yang difirmankan Allah s.w.t dalam kitab-Nya: “Supaya
harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu...”
(Surah Al-Hasyr: 7)
Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Andainya
aku seperti seseorang yang mempunyai emas, nescaya perkara tersebut
menyenangkanku tidak ebih dari tiga malam. Apabila aku mempunyai sedikit emas
tersebut, maka aku khususkankan untung hutang.”
Walaupun demikian, Rasulullah s.a.w tidak berhenti
untuk meyeru kepada orang-orang Islam agar menafkahkan harta mereka pada jalan
yang benar iaitu jalan yang sesuai dengan kandungaan Islam yang diserukan di
dalam Al-Quran. Baginda membenci perbuatan mengumpulkan harta, baik harta itu
miliknya sendiri, milik keluarga, para sahabat terdekat atau milik kumpulan
orang-orang Islam.
Allah s.w.t berfirman dalam Al-Quran: “Kamu
sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) . sebelum kamu
menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.” (Surah Ali ‘Imraan: 92)
Dalam beberapa kejadian dalam perjalanan hidup
Rasulullah s.a.w, terdapat banyak cerita yang meriwayatkan keteguhan Rasul pada
konsep-konsep yang telah baginda lakukan. Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w
pergi menziarahi puterinya, Fathimah r. a kemudian baginda melihat di tangan Fathimah
terdapat gelang dari perak. Lalu baginda pulang tanpa masuk terlebih dahulu.
Perbuatan baginda telah membuatkan Fathimah sedih
hingga ia menangis. Fathimah mengirim surat untuk bertanyakan apa yang
menyebabkan sehingga baginda s.a.w berbuat demikian. Setelah ia mengetahui
bahawa baginda marah disebabkan gelang yang dilihatnya, maka ia bergegas
megirimkan gelang tersebut kepada baginda untuk dijual dan wangnya
disedekahkan. Kemudian baginda baginda s.a.w pergi menemui Fathimah, seraya
berkata dengan kelembutan: Sesungguhnya kamu telah berbuat kebaikan.
Menurut Rasulullah s.a.w, perlu adanya perbezaan
antara menumpuk yang diharamkan dengan menyimpan yang rasional untuk
inventasi. Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang hidup secara
berhemat, nescaya Allah memperkayanya. Barangsiapa yang hidup dengan
menhambur-hamburkan harta, nescaya Allah memfakirkannya.”
Betapa mulia dan zuhudnya Rasulullah s.a.w, di mana
baginda bersabda: “Sesungguhnya Tuhanku menawarkan kepadaku supaya Dia
menjadikan lembah Mekah menjadi emas. Lalu aku berkata: Tidak, wahai Tuhanku
akan tetapi jadikanlah aku lapar satu hari dan kenyang satu hari. Adapun hari
di mana aku lapar, maka aku merendahkan diri dan memohon kepada-Mu. Sedangkan
hari di mana aku kenyang, maka aku memuji-Mu.”
Saling Mengasihi Dan
Mencintai
Dari Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: “Perumpamaan
orang-orang yang beriman daam saling mengasihi, saling mencintai dan saling
menolong di antara mereka adalah seperti satu tubuh yang apabila satu anggota
tubuhnya sakit, terasalah semua anggota tubuh yang lainnya (ikut sakit) sehingga
tidak dapat tidur atau sehingga demam panas.”
Dengan seruan ini Rasulullah mengajak umat Islam
untuk saling mengasihi, saling menolong dan saling menyayangi sehingga seruan
tersebut menjadikan urusan mereka seperti satu tubuh. Keadaan mereka dalam
persaudaraan sebagaimana keadaan pada tubuh yang apabila salah satu bahagian
tubuh mengeluh, maka anggota tubuh lain akan merasa kesakitannya dan menolong
untuk menanggung serta mengatasi penyakit tersebut.
Rasulullah s.a.w menyarankan kepada umatnya supaya
bersatu dan bersepakat sehingga mereka menjadi kuat. Tidak ada jalan untuk
menuju kepada bersatu melainkan dengan pemerhatian yang bijaksana berdasarkan
unsur yang berbeza, dimulai dengan tujuan yang sebenar lantas mepersiapkan
alirannya.
Allah s.w.t berfirman dalam kitab-Nya: “Dan
berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu
bercerai-berai..” (Surah Ali Imran: 103)
Allah berfirman dalam surah yang lain: “Sesungguhnya
orang-orang yang beriman adalah bersaudara kerana itau damaikanlah antara kedua
saudaramu...” (Surah Al-Hujuraat: 10)
Allah berfirman pula: “Dan tolong-menolonglah kamu
dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa serta janganlah tolong-menolong dalam
berbuat dosa dan pelanggaran...” (Surah Al-Maidah: 2)
Firman-Nya pula dalam surah yang lain: “Muhammad itu
adlah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhdap
orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka...” (Surah Fath: 29)
Dalam ayat-ayat ini dan ayat-ayat yang lain masih
banyak contoh tentang golongan yang bersatu. Bagaimana yang dikehendaki umat
Islam secara berperingkat yang mengarah kepada nilai-nilai tersebut.
Bolehkah umat Islam membangunkan kasih sayang mereka
dan saling tolong-menolong dalam kalangan mereka? Sememangnya dalam satu tubuh
yang di dalamnya terdapat perasaan dan anugerah dengan wahyu Ilahi dan fitrah
yang diilhamkan kepada umat manusia. Rasulullah s.a.w telah menggambarkan jalan
yang terang tentang perkara tersebut. Baginda menggambarkannya dengan perbuatan
dan ucapannya.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu dan
berburuk-sangka kerana sesungguhnya berburuk-sangka itu adalah sedusta-dustanya
percakapan. Janganah kalian mengintai kesalahan orang lain, mencari-cari
kesalahan orang dengan saling berlumba, saling menghasut, saling membenci dan
saling membelakangi. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
Rasulullah s.a.w bersabda: “Antara orang Muslim yang
bersatu dengan yang lainnya adalah bersaudara. Oleh itu janganlah
menganiayanya, merendahkannya dan menghinanya. Cukuplah dianggap kejahatan
sesorang yang menghina saudaranya yang Muslim adalah haram darahnya, hartanya
dan kehormatannya.”
Baginda bersabda pula: “Mancaci-maki orang Muslim
adalah satu sifat fizaikal dan membunuhnya adalah satu kekufuran.” Termasuk
dari sabda Rasulullah s.a.w juga: “Barangsiapa yang besa di dalam keperluan
saudaranya, maka Allah berada di dalam keperluannya. Barangsiapa yang
meringankan kesulitan seorang musim, maka Allah akan menghilangkan
kesulitan-kesulitannya pada hari kiamat. Barangsiapa memudahkan orang yang
berada dalam kesuitan dunia, nescaya Allah s.w.t memudahkannya di dunia dan
akhirat. Barangsiapa yang menutup aib sesorang Muslim di dunia, nescaya Allah
akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Allah berada dalam
pertolongan hamba-Nya selama hamba-Nya berada dalam pertolongan saudaranya.”
Setiap hadis ini telah menjelaskan jalan yang tebaik
bagi sikap saling membantu, mencintai dan saling mengasihi. Ini adalah jalan
untuk orang-orang musim bersatu dengan lebih kukuh. Mereka bersama-sama
bernaung di bawah satu bendera iaitu dengan menggambarkan sabda Rasulullah s.a.w:
“Demi jiwaku yang berada dalam genggaman-Nya, kalian tidak akanmasuk ke syurga
sehingga kalian beiman. Kalian tidak akan beriman sehingga kalian saling
mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan suatu perbuatan yang bila kalian
lakukan suatu perbuatan yang bila kalian lakukan nescaya kalian saling
mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.”
Hasad Dengki Pada Dua
Perkara
Dari Abu Hurairah r. a, bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: “Tidak ada hasad dengki melainkan dalam dua perkara:
- Seorang
lelaki yang diajarkan A-Quran oleh Allah s.w.t kemudian ia membacanya pada
tengah malam dan siang, lalu jiran tetangganya mendegar bacaan itu seraya
berkata: Semoga aku dikurniakan anugerah seperti polan sehingga aku dapat
mengamalkan seperti yang dilakukan polan.
- Seorang
lelaki yang dianugerahkan harta oeh Alah s.w.t di mana ia menghabiskan
ahhartanya di jaan yang berhak. Lalu seorang lelaki berkata: Semoga aku
dikurniakan anugerah seperti polan sehingga aku dapat mengamalkan seperti
yang dilakukan polan.”
Perasaan hasad dengki dalam jiwa dapat mananam
permusuhan, memutuskan tali kasih sayang dan membina jalan kebencian di antara
manusia. Hasad dengki juga dapat menghancurkan rasa cinta, bersatu dan
persaudaraan. Oleh itu, Rasulullah bersabda: “Hasad dengki memakan kebaikan,
sebagaimana ayam memakan kayu.”
Baginda s.a.w juga memberi wasiat kepada orang-orang
yang beriman dengan sabdanya: “Janganlah kalian saling berhasad dengki, saling
memutuskan silaturrahim, saling membenci dan saling membelakangi, Jadilah
kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara sebagaimana yang diperintahkan-Nya.”
Secara umum, kata-kata hasad dengki terbahagi kepada
dua bahagian, iaitu:
- Bentuk
hasad dengki yang dilarang dan dibenci iaitu membenci beberapa nikmat yang
terdapat pada orang lain dan berbangga apabila nikmat tersebut terdapat
pada dirinya.
- Bentuk
hasad dengki yang terdapat pada hadis Rasulullah s.a.w di atas iaitu hasad
dengki dalam bentuk saingan yang tidak sampai kepada bentuk hasad dengki
yang dibenci. Sesungguhnya bentuk hasad dengki ini hanya sebuah harapan
terhadap anugerah yang dikurniakan Allah kepada sebahagian hamba-Nya. Ia
mencintai anugerah orang dan berharap agar anugerah tersebut tetap ada
padanya tanpa pengurangan.
Tidak ada yang lebih mulia, lebih baik dan lebih
utama daripada pengharapan seseorang serta berupayauntuk meraih sesuatu yang
dicapai oleh orang-orang soleh iaitu berupaya menghiasi diri dengan ilmu,
menghafal dan mengetahui kandungan Al-Quran serta membacanya di tengah malam
dan siang. Perkara seperti ini adalah anugerah yang sangat besar. Jiran
tetangga dan orang yang berhak iri hati dan berharap tanpa harus terjerumus ke
dalam bentuk hasad dengki yang dilarang.
Seorang hamba yang beriman hendaklah meluruskan niat
dan amalnya hanya kerana Allah s.w.t, ini menjadikan padangan dan tujuannya
juga hanya kerana Allah s.w.t, ini menjadikan padangan dan tujuannya juga hanya
kerana Allah s.w.t serta inginkan kebaikan dalam setiap urusan yang dinyatakan
dan disembunyikan.
Setiap urusan hendaklah dimulai dan diakhiri serta
mengikut padangan yang digariskan oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda: “Perumpamaan
umat ini seperti perumpamaan empat orang:
- Seorang
lelaki yang dikurniakan harat dan ilmu oleh Allah s.w.t kemudian dia
beramal dengan ilmu untuk hartanya yang dinafkahkan kerana hak.
- Seorang
lelaki yang dikurniakan ilmu namun tidak dikurniakan harta kemudian ia
berkata: Andaikan aku memiliki seperti yang dilakukannya. Maka dalam
pahala, keduanya adalah sama.
- Seorang
lelaki yang dikurniakan harta namun tidak dikurniakan ilmu kemudian ia
menafkahkan harata di jalan yang tidak hak.
- Seorang
lelaki yang tidak dikurniakan ilmu dan harta kemudian dia berkata: Andainya
aku memilik seperti ini, nescaya aku beramal seperti yang dilakukannya. Maka
dalam dosa, keduanya adalah sama.
Amar Makruf Nahi Munkar
Dari Hudzaifah bin al-Yaman r. a, bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: “Demi jiwaku dalam genggaman-Nya sesungguhnya kalian beramal makruf
dan nahi munkar atau hampir saja Allah mengirimkan azab kepada kalian dari
sisi-Nya kemudian kamu memohon kepada-Nya, nescaya Dia tidak mengabulkan untuk
kalian.”
Dalam hadis yang mulia ini Rasulullah s.a.w
menyarankan kepada umatnya agar selalu menyeru kepada yang makruf dan mencegah
dari yang mungkar. Baginda bersumpah lepada mereka dengan nama Tuhanmu bahawa
jika mereka tidak melakukan sesuatu yang diperintahkan, maka Allah s.w.t hampir
menghukum mereka akibat perbuatan tersebut (tidak melakukan sesuatu yang
diperintahkan). Apabila mereka berdoa pada-Nya, nescaya Dia tidak akan
mengkabulkan permintaannya. Perkara ini disebabkan kerana mereka mengabaikan
perintah-Nya.
Mengajak kepada kebaikan, menyuarakan kebenaran,
membanteras kejahatan dan kemungkaran, bertentangan dengan larangan merupakan
keutamaan yang paling agung dan berguna bagi golongan orang-orang yang beriman.
Semua itu merupakan kunci pengamanan yang menjamin individu dalam golongan
tersebut dapat berjalan di atas jalan yang benar, dapat menghindar dari
terjadinya penyelewangan sehingga dapat menjaga kebenaran dan mengurangkan insan
yang jahat dan batil. Demikian itu adalah keredaan Allah s.w.t.
Allah s.w.t berfirman dalam kitab-Nya dengan
memerintahkan umat Muslim iaitu: “Dan hendaklah ada di antara kamu, segolongan
umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah
dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali Imran: 104)
Allah s.w.t berulang kali menggambarkan bahawa
orang-orang yang beriman adalah menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari
yang mungkar dan Dia telah menjanjikan rahmat untuk mereka. Allah s.w.t
berfirman dalam Al-Quran: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki perempuan,
sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka
menyuruh mengerjakan yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan
sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka
itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana.” (Surah Ali Imraan: 110)
Bukan hanya azab yang menunggu bagi orang yang
melanggar perintah, akan tetapi doa mereka juga tidak termakbul meskipun mereka
memohon setelah itu. Inilah keburukan yang akan menimpa seorang hamba.
Berlindunglah di bawah naungan Yang Maha Pewaris merupakan suatu kenikmatan,
baik di awal ataupun di akhir. Apabila seseorang hamba telah diharamkan doanya,
nescaya ia terlalu dan teramat rugi juga telah kehilangan dunia dan akhirat
serta tidak memiliki penolong di hari kiamat.
Memiliki Kekuatan
Dari al-Baihaqi, dengan sanad yang sahih, Rasulullah
s.a.w bersabda: “Wahai Abdullah bin Amru, sesungghunya bagi setiap orang yang
bekerja terdapat kekuatan dan bagi setiap kekuatan ada masanya (waktu). Maka
barangsiapa dalam masanya ia berpegang teguh kepada sunah, nescaya ia bahagia
dan barangsiapa dalam masanya ia berpegang teguh kepada bidaah nescaya ia
merugikan.”
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya
bagi setiap amal perbuatan terdapat kekuatannya dan bagi setiap kekuatan ada
masa surutnya. Maka barangsiapa yang dalam masanya ia berpegang teguh kepada sunahku,
nescaya ia mendapatkan petunjuk dan barangsiapa yang dalam masanya ia berpegang
teguh kepada selain Sunahku nescaya ia akan hancur.”
Sesungguhnya nasihat ini berkaitan dengan Abdullah
yang menbebankan dirinya secara berlebihan dalam inbadat dan solat tahajud.
Kemudian Rasulullah s.a.w menasihatinya agar mengurangkan mal dan sederhanakan
urusan agama dan dunia. Perkara ini berkaitan dengan firman Allah s.w.t dalam
Al-Quran: “Allah tidak membenai seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Firman-Nya pula: “Allah menghendaki kemudahan bagimu
dengan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah: 185)
Maksud ayat ini ialah bahawa setiap orang yang
bekerja atau setiap pekerjaan untuk membangkitkan cita-cita yang harus
diperoleh, akitiviti, kekuatan, kegigihan dan semangat di dalamnya terdapat
jiwa yang tidak memperdulikan sumbangan kebendaan, tidak bosan dari dinamik (kemajuan),
akitiviti dan kegigihan.
Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w bahawa baginda
bersabda: “Barangsiapa mengadakan sunah atau yang baik, maka baginya pahala
atas jalan yang ditempuhinya ditambah dengan pahala orang yang mergerjakannya.
Barangsiapa yang mengadakan sunah atau jaan yang buruk, maka baginya dosa
kerana jalan buruk yang ditempuhnya ditambah dosa orang yang mengerjakannya.”
Dari keterangan di atas kita dapat memahami bahawa
manusia kadang-kala memulakan pekerjaan atau ibadat ketika dalam keadaan yang
kuat, bertenaga dan bersungguh-sungguh. Kemudian setelah itu ia menjadi lemah
sehingga anugerah-Nya berkurang secara sedikit demi sedikit. Pada ketika itu,
adakalanya ia berpegang teguh dengan petunjuk istiqamah atas jaan yang lurus
dan meneruskan usahanya yang baik meskipun kuantitinya sedikit, maka ia
tergolong orang-orang yang menang dan bahagia atau ia mengatur sendiri
aktivitinya dan menolak petunjuk yang mulia dengan meninggalkan perbuatan yang
baik malah lebih kepada kebatilan, maka ia tergolong orang yang merugikan dan
rosak.
Dari hadis ini kita dapat memahami bahawa sikap
bersederhana adalah lebih baik dan utama bagi seseorang yang beriman daripada
melakukan aktiviti secara berlebihan yang disebabkan penurunan mutu atau
menghentikan usahanya seketika. Dalam perkara ini Rasulullah s.a.w
memberikan nasihat, baginda bersabda: “Sesungguhnya agama ini (Islam) adalah
kuat, maka masuklah ke dalamnya degan keramahan.”
Baginda bersabda lagi: “Perbuatan yang lebih
dicintai Allah adalah perbuatan yang berterusan, meskipun sedikit.” Dari hadis
ini semoga kita dapat memahami bahawa sikap bersederhana adalah lebih
bermanfaat dalam segala urusan, baik agama mahupun duni daripadasikap yang
melampaui batas atau berlebihan, Sesungguhnya sikap bersederhana dapat membantu
seseorang dalam menjaga kekuatan dan memperjuangkan persiapan diri. Sedangkan
sikap melampaui batas, kadang-kala membuatkan seseorang dihadapkan dengan
perasaan lemah, bosan atau memerlukan waktu istirehat setelah melakukan suatu
pekerjaan.
Dalam penjelasan kandungan hadis tersebut, Ibnu
Qayyim berbicara dalam kitab Madarij
As-Sa’likin, iaitu: “Syaitan mencium hati seseorang hamba dan mengujinya.
Apabia di dalam hati tersebut terdapat potensi untuk melakukan bidaah dan
berpotensi untuk menhindari kesempurnaan dalam mematuhi sunah, maka syaitan
akan mengeluarkan hamba tersebut dari jagaan bidaah. Namun apabila syaitan
meihat di dalam hati seorang hamba terdapat ketamakan terhadap sunah di mana
tidak ada kesempatan untuk memutuskan antara keduanya, maka syaitan menyuruhnya
berijtihad, berbuat zalim kepada dirinya dan melampaui batas kesederhanaan.
Syaitan terus menghasut agar melakukan perintahnya sehingga mengeluarkan hamba
tersebut dari batas kewajaran sekali gus syaitan telah menyalurkan
keinginannya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan