Khamis, 12 September 2013

Yang Sesat Terus Terusir


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH bahawa berabad-abad lamanya, bumi Mesir diperintah oleh raja yang menamakan dirinya Firaun. Mereka memerintah secara turun-temurun. Kerana kebebasan dan kekuasaan yang ada pada raja Firaun, setiap yang menjadi raja itu, semakin lama semakin kejam dan ganas. Bukan saja mereka menganggap diri paling kuasa, malah melebihi dari itu, iaitu mereka beranggapan bahawa diri mereka itu adalah Tuhan yang harus disembah oleh semua manusia, kerana mereka berpendapat tidak ada makhluk lain yang lebih berkuasa, selain daripada mereka. Lebih-lebih lagi terhadap bangsa asing yang hidup di negerinya iaitu bangsa Israel yang berasal dari daerah Palestin, mereka selalu diseksa, penghidupannya disempitkan. Dengan kesalahan yang kecil, mereka dianiayai seberat-beratnya. Demikianlah politik pemerintahan Firaun pada waktu itu. 

Anak Lelaki Kalangan Bangsa Israel

Pada suatu hari, tukang tenungnya sendiri datang menghadap Firaun dan berkata: ‘Akan lahir seorang anak lelaki di kalangan bangsa Israel yang tinggal di Mesir ini. Anak itu nanti akan mengalahkan engkau dengan pemberontakan-pemberontakannya dan tidak akan mengakui engkau sebagai Tuhan dan rajanya lagi.’ 
Mendengar ungkapan itu Firaun dengan segera mengeluarkan peraturan istimewanya di mana dinyatakan bahawa setiap anak lelaki Bani Israel yang dilahirkan pada waktu itu harus dibunuh, kecuali anak-anak perempuan saja yang dibiarkan hidup. Demikianlah helah atau muslihat jahat bagi memusnahkan bangsa Israel yang menetap di situ. Pada waktu berlakunya undang-undang itulah ibu Musa sedang mengandung dan sudah dekat melahirkan anak, iaitu Nabi Musa, anak Bani Israel yang mana peraturan itu berlaku bagi dirinya. 
Alangkah sedihnya hati Yukabad, iaitu ibu Nabi Musa yang sedang mengandung dan sudah dekat waktunya untuk melahirkan, kendatipun dia sendiri belum mengetahui apakah anaknya itu lelaki ataupun perempuan. 
Dia terpaksa bersembunyi saja di rumahnya, agar jangan diketahui orang bila melahirkan anak. Dalam keadaan sedang bersembunyi itulah pada suatu hari Nabi Musa dilahirkan. Alangkah terkejutnya demi dilihat si ibu, bahawa bayi yang dilahirkannya itu adalah seorang anak lelaki. Dia tidak berputus asa dan dia percaya juga bahawa anaknya itu akan hidup terus, sedapat mungkin akan dia pertahankan, jangan sampai menjadi korban undang-undang yang dikeluarkan oleh Firaun itu. Khabar kelahiran ini disimpannya baik-baik, tidak terdengar oleh Firaun dan mata-matanya. Tiga bulan lamanya bayi Musa itu dapat dijaga oleh ibunya sendiri, dengan tidak diketahui oleh Firaun dan kakitangannya. 
Tetapi makin lama peraturan itu dijalankan makin bertambah keras juga. Pasukan pengintip diperbanyakkan, untuk mengetahui tempat dan nama tiap-tiap perempuan mengandung dan anak-anak yang baru lahir. 
Allah s.w.t lalu mewahyukan kepada Yukabad, agar bayinya diletakkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil yang mengalir di hadapan rumahnya. Dengan hati yang tenang dan sabar, Yukabad menurutkan ajaran wahyu itu. Bayinya dimasukkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil. Bayi yang dihanyutkan itu diiringkan dengan air mata sedih oleh saudara perempuan Nabi Musa sendiri, untuk mengetahui ke mana perginya bayi ini nantinya. Alangkah terkejut saudara perempuan dan Yukabad, ketika diketahuinya, bahawa peti yang membawa bayinya itu terhenti di hadapan istana Firaun, lalu diambil oleh isteri Firaun. 
Yukabad cemas kalau-kalau bayinya dibunuh oleh Firaun. Tetapi Allah s.w.t lebih berkuasa. Baru saja isteri Firaun melihat wajah bayi yang hanyut terapung dengan sebuah peti di dalam sungai itu, timbul rasa cinta kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Lalu anak itu diambil dan digendongnya, dibawa dan diperlihatkannya kepada suaminya; iaitu Firaun sambil berkata: ‘Aku suka kepada anak ini, mari dia kita jadikan anak kita sendiri.’ 
Firaun sendiri pun lupa akan peraturan yang dikeluarkannya. Dia turut tertarik untuk menjadikan bayi itu menjadi anaknya sendiri. Begitulah Nabi Musa dibesarkan dan dididik di rumah musuh besarnya, dengan siapa nantinya Nabi Musa itu sendiri akan berjuang. Alangkah senang hati Yakubad melihat dan mendengar keadaan bayinya yang selamat itu, dipelihara oleh raja Firaun yang besar. 

Disusui Ibu Sendiri

Sekarang Firaun dan isterinya sibuk mencari perempuan yang dapat mengasuh dan menyusui anak angkatnya itu. Ramai sudah perempuan Mesir datang melamar untuk mengasuhnya, tetapi setiap kali hendak disusukan oleh mereka ke mulut Musa, Musa menolak tidak mahu menyusu. 
Akhirnya Firaun memerintahkan kepada Haman untuk mencari perempuan yang mahu disusui oleh bayi itu. Haman terpaksa mengendong Musa ke sana ke mari untuk mencari perempuan yang dimaksudkan itu. Ramai sudah perempuan yang bersedia, tetapi Musa tetap tidak mahu menyusu kepada mereka, malah tangisannya semakin keras juga yang menandakan dia sangat haus. 
Bertemulah akhirnya dengan seorang perempuan, yang juga menawarkan diri untuk menyusukannya. Baru saja dia membuka susunya, dengan cepat bayi itu menyusu kepadanya. Alangkah hairan Firaun melihat kejadian itu dan berkata: ‘Siapakah engkau ini, tidak seorang pun perempuan selain engkau yang mahu dia menyusu kepadanya.’ 
Perempuan itu ialah Yukabad, ibu kandung kepada bayi itu sendiri, ibu Nabi Musa. Dijawabnyalah perkataan Firaun itu: ‘Aku perempuan yang baik bau, juga baik susunya. Setiap bayi suka sekali menyusu kepada aku.’ 
Begitulah Musa diserahkan kepada ibunya sendiri untuk dipelihara, diasuh dan disusukan. Dan Yukabad mendapat upah yang lumayan dari raja Firaun yang kaya raya itu. Demikianlah caranya Allah memelihara Nabi Musa dan membalas kesabaran dan ketabahan hati Yukabad yang telah sudi menurutkan arahan wahyu-Nya.

Meninggalkan Istana Firaun

Dengan bersembunyi Nabi Musa lalu keluar meninggalkan kota itu, kerana berbahaya buat keselamatan dirinya. Baginda menghadapkan mukanya ke hadrat Allah s.w.t memohon perlindungan dari segala bencana yang diniatkan orang atas dirinya. 
Lapan hari lapan malam lamanya baginda berjalan terus menerus menuju ke Madyan (perbatasan Hijaz dan Syam) seorang diri, tidak ada teman, selain perlindungan Allah s.w.t semata-mata, tidak ada perbekalan selain takwa kepada Allah s.w.t. Berjalan tanpa kasut pula, sehingga pecah kakinya. Dengan ditimpa kelaparan hebat, sehingga baginda tidak sanggup lagi membunuh nyamuk dengan tangannya kerana lemah dan letih. Kendatipun begitu, perjalanan tetap diteruskan, bukan mencari keuntungan wang dan lainnya, tetapi semata-mata untuk menjauhkan diri dari bahaya Firaun dan kaumnya, menghindarkan dirinya dari orang-orang yang berniat buruk dan selalu mencari baginda. 
Akhirnya tibalah baginda di Madyan. Dilihatnya banyak manusia berkumpul dan berkerumun. Setelah didekatinya, tahulah baginda bahawa di sana ada sumur. Mereka adalah gembala yang sedang berebutan dahulu mendahului untuk mengambil air dari dalam sumur itu, untuk minum atau untuk kambing-kambing mereka. Agak tersisih dari orang ramai, Nabi Musa melihat pula dua orang anak perempuan sedang menjaga kambing-kambingnya yang sangat kurus, jauh berbeza dengan kambing-kambing orang ramai yang gemuk semuanya.
Kedua-dua anak perempuan itu terpaksa menyisihkan diri untuk menjaga kehormatan diri, tidak mahu berasak-asak berebut mengambil air. Dengan sabar mereka menunggu orang ramai itu selesai semuanya baru mereka mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Kadang-kadang mereka dapati sumur itu telah kosong, sebab itulah kambing kedua-dua perempuan itu kurus-kurus, sedang kambing orang ramai itu gemuk-gemuk. Dan ini jugalah yang menyebabkan kedua-dua anak perempuan itu selalu terlambat pulang ke rumah, kerana menunggu orang ramai selesai lebih dahulu. 
Melihat keadaan yang demikian, bergolak pulalah dalam jiwa Nabi Musa perasaan untuk melindungi orang yang teraniaya. Nabi Musa mendekati kedua-dua anak perempuan itu lalu bertanya: ‘Kamu berdua sedang buat apa di sini?’ 
Kedua-dua anak perempuan itu pun menerangkan kepada Nabi Musa, bahawa mereka menunggu selesainya orang ramai, untuk mengambil air pula dari sumur itu. Kami tidak mahu berdesak-desakan dengan lelaki sebanyak itu. Kami terpaksa datang mengambil air di sini, kerana bapa kami sudah tua, tidak mungkin untuk datang sendiri ke mari.’ 
Mendengar cerita kedua-dua anak perempuan itu, timbul rasa kasihan di hati Nabi Musa. Baginda bangkit berdiri lalu segera mengambil air dari sumur itu, berasakkan dengan orang ramai, lalu diberikan kepada kambing-kambing kedua-dua anak perempuan itu. Kemudian Nabi Musa menuju ke tempat yang agak teduh, baginda duduk di situ melepaskan letihnya. Dirasakannya benar-benar penat, letih dan lapar, baginda memohon kepada Allah s.w.t untuk dikasihi atas kemiskinan dirinya itu. 
Kedua anak perempuan itu dengan pertolongan Nabi Musa dapat pulang ke rumahnya lebih cepat dari yang sudah-sudah, sehingga bapa mereka merasa hairan, lalu bertanya apa sebab mereka lekas pulang kali ini. 
Mendengar cerita anak-anaknya, timbul dalam hati orang tua itu (menurut ahli sejarah, orang tua ini ialah Nabi Syuaib) ingin berkenalan dengan Nabi Musa, sehingga diutuskannya salah seorang dari anak perempuannya itu untuk memanggil Nabi Musa datang ke rumahnya. 
Setelah sampai anak perempuan itu dekat Nabi Musa, dengan malu-malu dia berkata: ‘Aku diutus bapaku untuk memanggilmu agar sudi datang ke rumahku, kerana bapa telah berhutang budi atas kebaikanmu yang telah menolong kami.’ 
Nabi Musa mengabulkan undangan anak perempuan yang diperintahkan bapanya itu. Kedua-duanya sekarang berjalan beriring-iringan menuju rumah anak perempuan tersebut. Anak perempuan di belakang, sedang Nabi Musa di hadapan, untuk menjaga kehormatan kedua belah pihak. Setiba di rumah, baginda disambut oleh Syuaib (bapa perempuan itu) dengan dada yang lapang dan rasa terima kasih atas kebaikan dan pertolongan Nabi Musa. Anak muda itu diminta menceritakan hal ehwal dirinya; maka diceritakannya dari awal sampai akhirnya, sehingga tahulah orang tua itu akan sebab dan rahsia perjalanannya yang jauh tersebut. 
Orang tua itu mendengarnya dengan tenang. Kelihatanlah olehnya sifat-sifat baik yang ada pada Nabi Musa. Orang tua itu menenangkan jiwa Nabi Musa dengan berkata: ‘Jangan bimbang, di sini engkau akan bebas dari pengejaran kaum yang zalim itu.’

Nabi Musa Jadi Menantu

Tinggallah Nabi Musa di rumah orang tua itu dengan perasaan yang lega dan tenang. Begitu juga bagi orang tua serta anak-anaknya itu. Cahaya keimanan sama-sama berkilauan di hati Nabi Musa dan orang tua itu, demikian juga perasaan keikhlasan dan ramah-tamah. Pergaulan mereka semakin rapat dan mendalam. 
Kemudian sifat dan tabiat Nabi Musa berpengaruh besar ke hati orang tua itu dan terhadap anak-anaknya juga, sehingga kedudukan Nabi Musa dalam pergaulan rumah tangga itu semakin tinggi dan mulia. Terlebih berpengaruh lagi terhadap kalbu anak perempuannya. Sifat yang ramah-tamah, kekuatan badan dan kesucian hatinya, semakin mendalam masuk rasa hormat dari anak perempuan itu. Perasaan hormatnya ini disampaikannya kepada bapanya dengan berkata: ‘Ya bapaku, ambillah anak muda itu bekerja dengan kita, kerana bukankah sebaik-baik orang yang akan diambil bekerja itu, ialah orang yang kuat dan berhati tulus ikhlas? Dan bukankah anak muda itu telah banyak menolong kita, serta dapat mengangkat tutup sumur yang begitu berat seorang diri? Bukankah dia berhati bersih dan suci sekali, sehingga ketika kita mengundangnya, dia hanya menganggukkan kepalanya? Begitu juga ketika kami berjalan berdua, dia berjalan di depan untuk menjaga kehormatan perempuan yang mengiringkannya.’ 
Tiap patah kata yang keluar dari mulut anak perempuannya, didengar oleh orang tua itu seolah-olah acuh tidak acuh, tetapi sebenarnya diperhatikannya dengan sungguh-sungguh, kerana perasaan yang demikian itu lebih dahulu sudah tumbuh serta berurat dalam kalbunya sendiri, sebelum anaknya bersuara. Kini dia mengerti sedalam-dalamnya, mengapa anaknya berkata demikian, memecahkan pendiamnya selama ini? 
Pada suatu pagi, tatkala sang surya mulai bersinar, udara penuh dengan cuaca terang dan angin sepoi-sepoi, duduklah orang tua itu seorang diri di tempat yang sudah disediakan. Nabi Musa dipanggilnya, lalu berkata: ‘Hai Musa, aku mempunyai cita-cita akan mengahwinkan engkau dengan salah seorang anakku, dengan harapan engkau dapat menjadi teman hidupnya serta dapat menolongku. Bekerjalah engkau di sini mengembala kambing lapan tahun lamanya, sebagai maskahwin bagi perkahwinanmu. Tetapi kalau engkau suka menambah, tambahlah dua tahun lagi, jadi sepuluh tahun lamanya, itu pun terserah kepada kesanggupanmu, aku sendiri tidak akan memberatkan dirimu dan engkau akan mengetahui nanti, bahawa aku adalah orang baik-baik, insya-Allah.’ 
Mendengar perkataan orang tua itu, terbentanglah di hadapannya jalan ke arah bahagia yang dicita-citakannya selama ini terasa dalam hatinya, bahawa doanya kepada Allah s.w.t ketika baginda termenung melepaskan letihnya tempoh hari itu, telah dikabulkan Allah s.w.t. Dengan tidak terasa, lidahnya bergerak menjawab perkataan Syuaib, bakal mertuanya itu: ‘Aku terima segala anjuran bapa. Perjanjian antara aku dengan bapa, apabila aku turut yang mana pun salah satu antara kedua-dua perjanjian itu (8 tahun atau 10 tahun), kiranya aku tidak bersalah. Allah s.w.t menjadi saksi atas perjanjian kita ini.’ 
Dengan perkahwinan ini, Nabi Musa hidup bahagia sekali dalam perasaannya, kerana mendapat isteri yang cantik serta mertua yang baik. Keadaan rumah tangganya cukup dan pekerjaannya pun baik. Baginda bekerja dengan sebaik-baiknya dalam mengurus urusan orang tua itu, untuk memenuhi janji yang telah ditetapkan. 
Menjelang sampai di batas waktu yang telah ditetapkan, keinginan Nabi Musa untuk kembali ke tanah airnya mulai timbul, kendatipun baginda berbahagia dan senang di negeri orang; namun ingatan ke kampung halaman sendiri pasti timbul juga. Pernah disebut orang dalam pepatah: ‘Setinggi tinggi terbang bangau akhirnya kembali ke belakang kerbau hinggapnya.’ 
Waktu yang ditetapkan dalam perjanjian itu pun sampailah. Baginda bebas sekarang untuk memilih, akan menetap di situ atau pulang kembali ke negerinya. Niatnya untuk kembali ke kampungnya bersama isterinya sudah tetap dan tidak dapat digagalkan lagi. 
Baginda mulai bersiap menyediakan bekal dan membungkusi harta bendanya, untuk segera berangkat ke Mesir bersama isterinya. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada mertuanya yang sudah tua, serta mendoakan agar yang ditinggal selamat, begitu juga yang pergi jangan sampai kurang suatu apa pun. Kedua-dua suami isteri yang bahagia itu pun bertolaklah menuju ke utara, meninggalkan negeri Madyan. Setelah lama berjalan menempuh padang pasir yang luas, akhirnya Nabi Musa dan isterinya tiba di Tur Sina (Gunung Sinai). Selain penat dan letih, kedua musafir suami isteri itu kini kehilangan jalan, mereka merasa ragu, arah manakah yang harus ditempuh untuk meneruskan penjalanan ke Mesir. 
Dalam keragu-raguan itu malam pun datang, satu malam yang sangat bersih, dengan bintang-bintang yang gemerlapan di langit. Bertambah ragulah kedua-dua musafir itu tentang jalan yang harus ditempuh. Tiba-tiba, jauh di sana, di sebelah kanan jurang yang dalam, Nabi Musa melihat ada api berkelip-kelip. Nabi Musa ingin mendekati api yang kelihatan itu seraya berkata kepada isterinya: ‘Tinggallah engkau sendirian di sini sementara, aku ingin melihat, api apa yang kelihatan itu. Segera aku akan kembali ke sini membawa khabar, sambil membawa api yang kelihatan itu, mudah-mudahan dapat kita jadikan diang untuk memanaskan badan.’ 
Nabi Musa berjalan menuju tempat itu, melampaui jurang yang dalam. Baginda akhirnya tiba di bawah sebatang pokok zaitun yang rendang dekat api yang kelihatan dari jauh tadi. Pokok inilah dalam sejarah yang dimasyhurkan, dengan nama Syajar Musa. Tiba-tiba dengan terang Nabi Musa mendengar suara: ‘Hai Nabi Musa, Aku inilah Allah s.w.t Tuhanmu. Maka itu tanggalkanlah kedua kasutmu, kerana sesungguhnya engkau berada di lembah suci Tuhan. Dan Aku memilih engkau menjadi Utusan-Ku, sebab itu dengarlah baik-baik apa-apa yang akan diwahyukan kepadamu: ‘Sesungguhnya Akulah Allah s.w.t, tidak ada Tuhan selain Aku. Sebab itu sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatkan Aku. Sesungguhnya kiamat itu pasti datang, hampir Aku sembunyikan rahsia, agar tiap manusia akan dibalas apa saja yang pernah dilakukannya. Janganlah engkau dapat dipalingkan dari kepercayaan ini oleh orang yang tidak percaya, yang hanya memperturutkan hawa nafsunya, agar engkau jangan sampai celaka lantaran itu.’
Inilah wahyu pertama dari Allah s.w.t yang diterima Nabi Musa sebagai keputusan, bahawa baginda telah diangkat menjadi Rasul, pangkat yang sesuai dengan kebesaran jiwa, kesucian hati dan kesabarannya. 
‘Apakah yang engkau pegang di tangan kananmu itu, hai Musa?’ bunyi suara itu selanjutnya. Nabi Musa mulai menjawab akan suara wahyu itu: ‘Ini adalah tongkatku, tempat aku bertekan dan aku gunakan untuk menghalau kambing gembalaku dan lain-lain keperluan.’ 
Kemudian Allah s.w.t memerintahkan kepada Nabi Musa untuk melemparkan tongkat itu. Baru saja tongkat itu dilemparkan oleh Nabi Musa ke tanah, tiba-tiba tongkat itu menjadi ular yang kelihatannya kecil saja, tetapi lama kelamaan semakin besar, akhirnya menjadi sangat besar, sehingga kelihatannya amat berbahaya terhadap apa dan sesiapa saja. 
Melihat ular sebesar itu, Nabi Musa mulai ngeri dan takut, sehingga baginda lari sekuat-kuatnya. Allah s.w.t lalu berfirman kepadanya: ‘Jangan takut wahai Musa, sesungguhnya orang yang telah diutus itu tidak boleh takut. Peganglah kembali pasti dia kembali seperti semula menjadi tongkatmu.’ 
Mendengar firman Allah s.w.t itu, baru Nabi Musa sedar, bahawa kepadanya selain telah diberikan keterangan dan kenyataan-kenyataan, juga diberikan kekuatan mukjizat yang maha hebat, yang terletak pada tongkatnya itu. Jiwanya mulai tenang dan perasaannya menjadi lega. Insaf benar baginda sekarang, bahawa baginda telah menjadi Nabi dan Rasul Allah s.w.t. Baginda mengucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t, atas segala pemberian yang sangat berharga itu. 
Kembali Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Musa: ‘Kepitlah tanganmu ke dalam ketiakmu, ya Musa, nescaya tanganmu itu akan menjadi putih bersih yang berkilat-kilat, tetapi bukan kerana penyakit. Pangkulah kedua tanganmu itu, bila engkau dalam ketakutan. Inilah dua keterangan (mukjizat) dari Tuhanmu (iaitu tongkat menjadi ular, tangan menjadi putih berkilat-kilat), untuk menjadi senjata bagimu. Sekarang berangkatlah kamu, hadapilah Firaun serta kaumnya para bangsawan, sungguh mereka itu kaum perosak.’ 
Kedua-dua mukjizat yang luar biasa ini telah dapat menetapkan hati Nabi Musa untuk menjalankan semua perintah yang diberikan Allah s.w.t terhadap manusia dan untuk menghadapi keingkaran Firaun serta kaumnya, sehingga kekerasan Firaun akan dapat dihadapinya dengan kekerasan juga. 

Melindungi Orang-Orang Yang Teraniaya

Nabi Musa makin lama makin besar. Tibalah masanya untuk menyerahkan Nabi Musa kembali ke istana Firaun, agar baginda hidup di sana sebagai keluarga raja dan menjadi musuhnya. Setelah Nabi Musa cukup umur, mulailah golongan yang lemah dan teraniaya di Mesir mempunyai perhatian terhadap Nabi Musa. Mereka berharap bahawa Nabi Musa akan dapat meringankan tanggungan kesengsaraan mereka yang sedang dalam cengkeraman Firaun; lebih-lebih lagi mereka mengetahui bahawa Nabi Musa adalah termasuk golongan pendatang atau Bani Israel dan baginda mempunyai budi yang tinggi, serta mempunyai rasa kasih sayang terhadap sesama manusia. Nabi Musa sendiri sudah menetapkan tekad dalam batinnya akan menjadi pembela dari kaum yang lemah itu. 
Pada suatu hari, ketika baginda kembali dari kota menuju istana, di tengah jalan baginda berjumpa dengan dua orang lelaki yang sedang bergaduh. Seorang di antaranya adalah berbangsa Ibrani, iaitu bangsa Bani Israel yang sebangsanya dengannya dan yang seorang lagi berdarah Mesir atau Firaun. Melihat pergaduhan itu, terbit kemarahan hati Nabi Musa terhadap bangsa Firaun (Mesir) itu. Orang tersebut dipukul hingga mati ketika itu juga. 
Alangkah menyesalnya Nabi Musa atas perbuatannya yang kurang baik itu dan baginda mengakui bahawa pekerjaan itu adalah pekerjaan syaitan. Segera baginda mohon ampun kepada Allah s.w.t atas kesalahannya itu. Kesalahannya pun diampuni oleh Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t Pengampun lagi Pengasih. Sejak waktu itu baginda berjanji tidak akan melakukan pekerjaan yang begitu kejam lagi, malah baginda menyiapkan dirinya untuk melindungi orang-orang yang teraniaya. 
Nabi Musa berikhtiar agar tidak diketahui orang Mesir, bahawa dialah sebenarnya yang membunuh lelaki itu. Dalam baginda berjalan secara bersembunyi, tiba-tiba baginda bertemu lagi dengan orang yang ditolongnya tempoh hari. Orang itu kembali minta tolong kepada Nabi Musa untuk memukul musuhnya pula. Nabi Musa berkata kepadanya: ‘Sungguh engkau ini orang yang sesat dengan terang.’
Tatkala Nabi Musa hendak menarik musuh orang itu, musuhnya itu berkata kepadanya: ‘Hai, Musa! Apakah engkau hendak membunuh aku pula, sebagaimana engkau telah membunuh orang tempoh hari itu? Rupanya engkau hendak menjadi orang ganas di muka bumi ini dan bukanlah engkau hendak berbuat kebaikan.’ 
Kata-kata ini didengar oleh orang-orang Mesir yang berada di sekitar tempat itu. Kini tahulah orang ramai, bahawa Musalah yang membunuh orang yang mati tempoh hari itu. Kemarahan umat Mesir kepada Nabi Musa segera meluap. Mereka mencari Nabi Musa untuk mereka tangkap dan akan dibunuh kalau dapat. 
Untung sekali ada seorang lelaki yang datang dari hujung kota memberi khabar kepada Nabi Musa: ‘Hai, Nabi Musa! Orang-orang besar (bangsawan) negeri ini telah bermuafakat untuk membunuh engkau, sebab itu hendaklah engkau segera lari dari sini, sesungguhnya aku ini cuma memberi nasihat kepadamu.’ 

Berhadapan Dengan Firaun

Firaun dengan para bangsawannya berkuasa besar atas lembah Sungai Nil itu, memerintah bangsa Qibt (Mesir) dan bangsa Israel yang tinggal di daerah tersebut. Kerana kekuasaannya yang besar itu, pemerintahan Firaun makin lama makin kejam dan sombong. Oleh kerana raja dan para bangsawan itu mempunyai kekuasaan yang demikian besar, akhirnya mereka menganggap bahawa diri mereka adalah Tuhan, yang harus disembah oleh rakyat. Yang mereka ketahui hanyalah kekuasaan dan kebesaran semata-mata, sedikit pun mereka tidak insaf dan tidak melihat atas kelemahan-kelemahan serta kebodohan diri mereka sendiri.
Selain itu, perlakuan mereka terhadap golongan Bani Israel semakin kejam. Mereka dibebani dengan berbagai-bagai cukai dan kerja yang berat-berat. Dengan sedikit kesalahan, mereka diseksa dengan berbagai-bagai seksaan dan azab. Bangsa Israel dihimpit, ditindas serta diperbodohkan, sehingga menjadi bangsa yang tidak mempunyai cita-cita lagi. 
Mereka berkecimpungan dalam berbagai-bagai maksiat dan kejahatan, melepaskan hawa nafsu dan syahwat kebinatangan tanpa batas-batas perikemanusiaan lagi terhadap sesama manusia. Berpaling mereka dari apa yang baik, tertolak arah mereka dari apa yang benar, sehingga lenyaplah harga kemanusiaan. 
Allah s.w.t lalu memanggil Nabi Musa. Kepadanya diperintahkan untuk mendatangi Firaun dan kaumnya, memberi pengajaran kepada mereka, agar mereka menyembah Allah s.w.t dan meninggalkan segala maksiat dan kejahatan, agar mereka menurut garis lurus yang sudah digariskan oleh Allah s.w.t. Setelah Nabi Musa menerima perintah Allah s.w.t, baginda menyiapkan dirinya untuk tugas yang dipikulkan kepadanya itu, dengan hati yang patuh dan taat. Tetapi baginda ingin lebih yakin dan tenang. Oleh kerana itu Nabi Musa berdatang sembah kepada Tuhannya: ‘Tuhanku, aku sudah pernah membunuh salah seorang dari bangsa Firaun itu dan kalau aku datang kembali ke tengah-tengah mereka, tentu aku akan dibunuhnya.’ 
Allah s.w.t menegaskan kepada Nabi Musa, bahawa Allah s.w.t selalu bersama baginda. Dengan penegasan ini bertambah tenang jiwa Nabi Musa. Tetapi baginda ingin pekerjaannya ini lebih besar dan berjaya, agar baginda lebih tenang dan sabar dalam menjalankannya, Dari itu Nabi Musa kembali berdoa kepada Allah s.w.t, supaya dadanya dilapangkan Allah s.w.t, hingga dapat dan sanggup memikul beban yang besar dan mulia itu, sanggup mengatasi berbagai-bagai kesukaran dan halangan. 
Untuk menghadapi pekerjaan besar, serta kesukaran-kesukaran hebat yang bakal dihadapi, Nabi Musa memohon lagi kepada Allah s.w.t, agar diberikan seorang teman dan juga sebagai wazir bagi dirinya, iaitu saudaranya sendiri yang bernama Nabi Harun. 
Permohonan Nabi Musa pun dikabulkan Allah s.w.t, dengan memerintahkan Nabi Harun yang ketika itu sedang berada di Mesir untuk segera datang mendapatkan Nabi Musa, agar baginda bekerjasama dalam menghadapi tugas kewajipan yang telah dipikul itu. 
Nabi Harun sedia menjalankan apa yang diilhamkan Allah s.w.t kepadanya. Dengan segera baginda berangkat mendapatkan Nabi Musa, iaitu saudaranya sendiri di Tur Sina. Setelah bertemu, kedua-duanya sama-sama berjanji akan bekerjasama, bantu membantu, tolong menolong, untuk sama-sama melepaskan bangsa Mesir yang sudah sesat dipengaruhi rajanya yang sombong itu. 
Allah s.w.t lalu memerintahkan kepada kedua-dua Nabi ini: ‘Berangkatlah kamu berdua sekarang juga kepada Firaun. Berkatalah kepada Firaun dengan kata-kata yang halus dan lunak, mudah-mudahan seruan kamu ini dapat diterimanya, hatinya yang keras menjadi lunak.’ 
Lebih-lebih lagi kalau diingat, bahawa Nabi Musa itu boleh dikatakan anak angkat Firaun, sudah sepatutnya jika kepadanya berkata-kata dengan lemah lembut. Allah s.w.t perintahkan pula kepada Nabi Musa dan Nabi Harun, untuk menyatakan kepada Firaun tentang kenabian dan kerasulan mereka berdua dan Allah s.w.t menyuruh, mereka berdua berikhtiar membebaskan semua orang Bani Israel dari azab dan seksaan Firaun. 
Nabi Musa dan Nabi Harun segera menuju ke Mesir, lalu bertemulah dengan Firaun. Firaun mengecilkan maksud kedatangan ini, tidak diendahkan dan tidak diambil peduli apa yang disampaikan kedua-dua Nabi itu kepadanya. ‘Engkau, Musa! Bukankah kami yang mendidik dan mengasuhmu semasa kamu masih bayi dan engkau tinggal bersama kami bertahun-tahun dari umurmu?’ demikian kata Firaun kepada Nabi Musa. 
‘Apakah pemeliharaanmu terhadap diriku itu sebagai tanda kebaikanmu? Bukankah itu kerana kejahatanmu terhadap anak-anak bayi bangsa Israel?’ jawab Nabi Musa. 
‘Begitulah pekerjaanmu, hai Musa, engkau sudah tidak menghargai lagi akan kebaikan kami kepadamu,’ kata Firaun pula. 
‘Aku tidak mahu tersesat, dan kerana keganasanmulah aku lari dari rumahmu, akhirnya aku mendapat rahmat dan nikmat Allah s.w.t. Allah s.w.t telah memberiku ilmu dan hikmat, diangkat-Nya aku menjadi Rasul-Nya,’ jawab Nabi Musa kepada Firaun. 
Mendengar itu, merah padam muka Firaun, kerana kemarahan, lalu dia bertanya kepada Nabi Musa: ‘Siapakah Tuhan seluruh alam itu?’ 
‘Tuhan seluruh alam ini bukan kamu, tetapi Allah s.w.t. Tuhanku yang menjadikan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya,’ jawab Nabi Musa. 
Timbullah kemarahan besar dari hati Firaun, sambil berkata kepada kaumnya: ‘Sudahkah kamu dengar apa yang dikatakan Musa, sudahkah kamu tahu, siapa Tuhannya Musa?’ 
Kembali Nabi Musa berkata kepada mereka: ‘Tuhanku, Tuhan kamu dan Tuhant nenek moyangmu sejak dahulu kala, ialah Allah s.w.t, Tuhan barat timur dan antara keduanya. Mudah-mudahan kamu dapat menggunakan akalmu.’ 
Kemarahan Firaun tidak dapat ditahan-tahannya lagi, kerana dia tidak dapat mengalahkan Nabi Musa dengan kata-kata maka diambilnya jalan lain, iaitu dengan cara menggunakan kekuatan yang ada padanya, Nabi Musa akan dipenjarakannya: ‘Kalau engkau menyembah Tuhan selain aku sendiri, engkau pasti kupenjarakan!’ kata Firaun dengan marahnya. 
Dengan tenang Nabi Musa berkata kepada Firaun: ‘Kalau engkau masih belum percaya akan apa yang aku kemukakan, apakah perlu aku tunjukkan bukti yang nyata, mukjizat yang hebat agar hilang keraguanmu dan kebimbangan hatimu?’ 
‘Aku tidak akan percaya sebelum melihat bukti yang nyata, dari itu kemukakanlah buktimu yang nyata itu, kalau engkau betul betul orang yang boleh dipercayai,’ kata Firaun.

Bercakap Dengan Allah

Nabi Musa dan para pengikutnya mengambil tempat di salah satu bahagian dari tanah baru yang ditemuinya. Kiranya adalah termasuk daerah Tur Sina, di hujung utara Laut Merah. Untuk pengikutnya yang ramai itu, Nabi Musa menginginkan peraturan hidup yang tertentu, yang harus dijalankan agar jangan terjadi kekacauan mengenai moral atau kebendaan. Sebab itu Nabi Musa memohon kepada Allah s.w.t, agar kepadanya diturunkan sebuah kitab, dengan kitab tersebut Nabi Musa dapat memberikan petunjuk dan pedoman untuk para pengikutnya. 
Untuk mengabulkan permohonan Nabi Musa ini, Allah s.w.t memerintahkan kepada Nabi Musa, agar menyucikan diri lebih dahulu dengan cara berpuasa tiga puluh hari lamanya. Sebaik habis menjalankan puasa itu, Nabi Musa diperintahkan Allah s.w.t untuk datang ke Tur Sina, di mana Nabi Musa akan mendapat kesempatan untuk bercakap-cakap dengan Allah s.w.t, juga Allah s.w.t akan menganugerahkan sebuah kitab, di mana terdapat banyak petunjuk dan peraturan hidup yang dihajatkan Nabi Musa itu. Untuk pergi ke Tur Sina, Nabi Musa memilih tujuh puluh orang di antara kaumnya, untuk lebih dahulu pergi ke Tur Sina itu, Nabi Musa akan berangkat ke sana, selepas tujuh puluh orang itu berangkat. 
Sesudah tiga puluh hari lamanya berjalan, akhirnya sampailah Nabi Musa di Tur Sina. Tetapi ternyata kaumnya yang berjumlah tujuh puluh orang itu belum juga sampai di sana, lalu diutusnya seorang utusan untuk menyelidiki apakah yang terjadi atas kelambatan kaumnya itu, dengan pesan agar mereka segera datang ke Tur Sina. 
Akhirnya Nabi Musa mempunyai pendapat, bahawa lebih baik baginda lekas sampai di Tur Sina menemui Tuhannya, dengan pandangan bahawa kedatangannya yang lebih cepat dari waktu yang ditetapkan itu, lebih menyenangkan bagi Allah s.w.t. Tetapi kemudian Allah s.w.t memerintahkan kepadanya, agar menunggu sampai bilangan empat puluh hari sejak waktu baginda berangkat. 
Setelah sampai pada waktu yang ditentukan itu, lalu Nabi Musa berangkat seorang diri menemui Tuhannya di Tur Sina (di puncak Gunung Sinai). Segala urusan kaumnya yang ditinggalkan itu, oleh Nabi Musa diserahkan kepada Nabi Harun sebagai wakil atau wazirnya, iaitu untuk mengatur dan mengamati mereka, sampai kembalinya Nabi Musa yang akan membawa amanat Allah s.w.t Yang Maha Tinggi. 
Di puncak Gunung Sinai, Nabi Musa telah bercakap-cakap dengan Tuhannya, suatu kejadian yang belum pernah dialami oleh seorang manusia, selain oleh Nabi Musa sendiri. Dalam percakapan itu Allah s.w.t menjelaskan hakikat ilmu agama kepada Nabi Musa, begitu juga mengenai pedoman dan petunjuk, aturan dan hukum yang tidak boleh dilanggar. 
Sebaik habis percakapan itu, Nabi Musa memohon pula kepada Allah s.w.t agar kepadanya diberikan kesempatan untuk dapat melihat sendiri akan rupa Allah s.w.t, kerana selain keinginan baginda sendiri, hal yang demikian itu telah pernah diminta oleh kaumnya, agar mereka diberikan kesempatan untuk dapat melihat Allah s.w.t. 
Permintaannya itu dijawab oleh Allah s.w.t: ‘Engkau tidak dapat melihatku. Tetapi menolehlah engkau ke gunung itu. Bila gunung itu masih tetap di situ, maka engkau akan dapat melihat Aku.’ Baru saja Nabi Musa menoleh ke arah gunung yang dimaksudkan itu, tiba-tiba gunung tersebut bergerak-gerak, lalu tenggelam masuk ke perut bumi. Melihat pemandangan yang luar biasa itu, gementarlah tubuh Nabi Musa, baginda tertunduk dan bersimpuh sujud menyembah Tuhannya. 
Dengan rahmat Allah s.w.t, Nabi Musa dipelihara dari keadaan yang luar biasa itu, hatinya ditenangkan kembali, lalu Nabi Musa berdiri dan mengucapkan tasbih, menyucikan dan membesarkan Allah s.w.t Yang Maha Besar dan Maha Tinggi. 
Setelah menerima kitab yang berisi segala sesuatu yang diperlukan oleh Bani Israel, yang berisi pengajaran dan ketegasan dari tiap-tiap segala sesuatu, lalu Nabi Musa berkata: ‘Ya Allah, sungguh aku telah Engkau beri kemuliaan yang belum pernah Engkau berikan kepada orang lain, selain terhadapku.’ 
Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Musa: ‘Hai Musa, Aku telah memilihmu menjadi pembawa risalah-Ku dan perkataan-Ku untuk manusia. Maka ambillah apa yang telah Aku berikan ini dan berterima kasihlah engkau kepada-Ku!’
Bani Israel telah menunggu-nunggu akan kedatangan Nabi Musa lebih kurang tiga puluh hari lamanya sejak pemergiannya. Menurut perjanjian Nabi Musa, sesudah tiga puluh hari itu, Nabi Musa sudah pasti berada kembali di tengah-tengah mereka. Akan tetapi tiga puluh hari sudah berlangsung, namun Nabi Musa belum juga datang, kerana Nabi Musa diperintahkan Allah s.w.t menunggu sampai empat puluh hari, seperti dijelaskan di atas tadi. 
Lantaran itu, maka timbullah berbagai pendapat dan sangkaan di antara Bani Israel yang ditinggalkannya itu. Ada yang menuduh bahawa Nabi Musa telah memungkiri janjinya. Nabi Musa telah meninggalkan mereka dan pergi sendirian buat selama-lamanya, di tengah malam yang gelap, di tempat yang tidak dikenali. Mereka mulai mencari orang yang akan dapat dijadikan pemimpin mereka yang baru, yang akan memandu agar hidup mereka jangan tersesat.
Ketika itu, melihat keadaan Bani Israel yang demikian rupa, timbullah kemahuan buruk dalam jiwa seorang pengikut, yang bernama Samiri. Kesempatan itu digunakan untuk menyesatkan Bani Israel yang sedang dalam kegelisahan itu. Berkatalah dia kepada mereka: ‘Nabi Musa tidak akan kembali lagi kepada kita, baginda sudah pergi untuk kepentingan dirinya sendiri, baginda telah melanggar janjinya kepada kita, lebih baik kamu mencari Tuhanmu sendiri.’ 
Kebodohan dan kesesatan Bani lsrael itu, digunakan oleh Samiri untuk menyesatkan dan lebih memperbodohkan mereka lagi. Samiri menyalakan api, membentuk sebuah patung merupakan anak lembu jantan, tetapi dapat bersuara kerana sihirnya. Patung yang dibuat Samiri ini dengan segera menjadi fitnah besar di kalangan mereka. Patung itu disembah mereka, dan itulahT, kata mereka atas anjuran Samiri juga. Nabi Harun berusaha keras untuk mengembalikan mereka dari kesesatan yang nyata itu dengan bersusah payah, serta bersedih hati dan cemas. Berkata Nabi Harun kepada mereka: ‘Hai kaumku, engkau telah difitnah dengan adanya patung itu. Tuhanmu yang sebenarnya adalah al-Rahman, ikutlah akan kataku dan taatilah perintahku.’ 
Kata-kata Nabi Harun ini mereka jawab: ‘Kami tidak akan berhenti menyembahnya, sampai datangnya Nabi Musa kembali kepada kami.’ 
Nabi Harun berusaha keras menenangkan suasana yang mulai kacau, lebih-lebih lagi terhadap orang yang belum tersesat, yang masih tetap berpegang kepada ajaran yang benar, agar mereka jangan tersesat pula. Nabi Harun mulai bimbang, kalau-kalau timbul kekacauan dan pertempuran antara yang tersesat dengan yang taat. 
Kepada Nabi Musa yang masih bertekun di hadapan Tuhannya, segera diwahyukan Allah s.w.t kepadanya, tentang keadaan yang telah terjadi di kalangan kaum yang ditinggalkannya itu. Diberitahukan juga oleh Allah s.w.t, bahawa kaumnya yang ditinggalkannya hanya selama empat puluh hari itu, sudah dapat disesatkan oleh seorang yang bernama Samiri.
Sesudah selesai pertekunan Nabi Musa di hadapan Tuhannya, baginda segera kembali mendapatkan kaumnya, Mereka yang tersesat itu, didapati Nabi Musa sedang menari-nari di keliling patung yang mereka sembah, dengan suara yang hiruk-pikuk, tanda bergembira mempunyai Tuhan yang baru. 
Hati Nabi Musa mulai marah, mukanya merah padam, terus menemui Nabi Harun. Dipegangnya kepala dan janggut Nabi Harun, lalu ditariknya kepadanya dan berkata: ‘Kenapa engkau biarkan saja mereka sesat begini rupa, mengapa tidak engkau jalankan apa yang sudah aku perintahkan, tidak engkau padamkan api yang sedang menyala yang menimbulkan kejahatan dan kekafiran itu?’ Sambil mengeluh dalam penyesalannya, Nabi Harun berusaha menenangkan hati Nabi Musa, agar kembali lunak serta menaruh kasihan terhadapnya dengan berkata: ‘Hai anak ibuku sendiri, janganlah engkau menarik kepala dan janggutku dahulu, mereka begitu banyak sedangkan aku seorang diri; hampir saja aku dibunuh oleh mereka. Janganlah engkau bertindak terhadapku sebagai tindakanmu terhadap kaum yang sesat itu. Aku takut mengambil tindakan kekerasan terhadap mereka, kalau mereka sudah tidak menghiraukan kata-kataku lagi dan pula aku takut kalau-kalau akan menimbulkan perpecahan yang sangat buruk.’ 
Mendengar itu, kemarahan Nabi Musa mulai berkurang, mulailah baginda berkata-kata dengan tenang, segera dihampirinya pengkhianat yang telah menyebarkan fitnah besar itu, lalu berkata: ‘Apakah maksudmu dengan cara ini, ya Samiri? ‘
Maka menjawablah Samiri: ‘Aku mendapat akal yang tidak diperoleh mereka. Aku ambil sekepal tanah bekas jejak Rasul, lalu aku tiup dengan kepandaian sihirku, kerana demikianlah yang disenangi oleh nafsuku.’ 
Kepada orang ramai yang sesat itu, lalu Nabi Musa berkata: ‘Apakah kamu menyalahi janjimu itu?’ Mereka segera menjawab: ‘Kami menyalahi janji itu bukan kehendak kami sendiri, tetapi kami sengaja disesatkan oleh Samiri yang telah membuat patung berupa lembu kecil dan pandai bersuara, maka itulah kami tersesat dari jalan yang benar.’ 
Akhirnya mereka menyesali akan kesesatan dan meminta agar kepada mereka itu diberikan keampunan dengan berkata: ‘Kalau kiranya Allah tidak mengasihi kami dan tidak memberi keampunan kepada kami, sungguh kamilah orang yang rugi.’ 
Berkata pula Nabi Musa: ‘Tetapi kamu sendiri telah berbuat kesalahan, dengan menjadikan patung itu sebagai tuhanmu!’ Segera mereka menjawab: ‘Apakah daya kami sekarang ini, wahai Nabi Musa?’ 
‘Bertaubatlah kamu kepada Tuhanmu,’ jawab Nabi Musa. ‘Tetapi dengan cara bagaimanakah taubat yang dikehendaki Allah s.w.t itu?’ tanya mereka pula. Nabi Musa lalu menanyakan kepada Allah s.w.t, bagaimanakah caranya mereka harus bertaubat. Setelah didapati wahyu Allah s.w.t, lalu Nabi Musa berkata kepada mereka: ‘Kamu bertaubat kepada Allah s.w.t, dengan cara membunuh dirimu sendiri, pasti Allah s.w.t akan memberi taubat kepadamu, kerana Allah s.w.t itu adalah Pemberi Taubat lagi Pengasih.’ 
Mereka yang telah tersesat itu pun tunduk kepada ajaran Nabi Musa, segera mereka bertaubat dan membunuh diri masing-masing dan Allah s.w.t pun memberi ampun atas pertaubatan mereka. Tetapi Samiri tidak mahu menjalankan taubat yang telah diperintahkan Allah s.w.t itu. Dia tetap hidup, namun tidak seorang juga manusia yang dibolehkan bergaul dengan beliau selama hidupnya itu. Umurnya dipanjangkan Allah s.w.t, dengan maksud untuk memberikan seksa kepadanya di dunia ini. Akhirnya beliau tetap mati, kemudian akan diseksa oleh Allah s.w.t pula di akhirat dengan seksaan yang lebih berat lagi. 
Patung yang berupa lembu kecil itu, dibakar oleh Nabi Musa dan dilemparkan ke dalam laut. Dengan ini berakhirlah kesesatan dan kekacauan yang ditimbulkannya itu.

Tidak Mahu Tunduk Hanya Dengan Kata-Kata

Dengan harapan penuh supaya Firaun insaf akan kekurangan dirinya, insaf akan kebesaran Tuhannya, maka Nabi Musa cuba memperlihatkan mukjizat yang telah dikurniakan Allah s.w.t kepadanya, untuk dipertontonkan kepada Firaun, sesudah terbukti bahawa Firaun tidak mahu tunduk kalau hanya dengan kata-kata belaka. 
Bukan terhadap Firaun saja, tetapi hendaknya dapat pula menginsafkan para bangsawan yang tidak lebih dan tidak kurang pada kekafiran mereka, bahkan mereka itulah sebenarnya yang telah menghasut dengan nasihat-nasihatnya yang amat kejam, sehingga Firaun menjadi bertambah sesat dan kejam juga. 
Dengan mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t yang telah menurunkan berbagai rahmat dan nikmat, Nabi Musa mulai memperlihatkan mukjizatnya yang besar. Tongkat yang berada di tangannya, dilemparkannya ke tanah. Tiba-tiba tongkat itu menjadi ular besar, sehingga Firaun dan para bangsawannya betul-betul takjub melihatnya. 
‘Cubalah tunjukkan yang lain pula!’ kata Firaun kepada Nabi Musa, dengan harapan Nabi Musa tidak akan dapat lagi berbuat apa-apa selain semacam itu saja. 
Nabi Musa segera memasukkan tangannya ke ketiaknya. Sejurus kemudian tangan itu dikeluarkannya. Tangan tersebut mengeluarkan sinar yang berkilau-kilauan, lebih hebat dari cahaya kilat, sehingga dunia menjadi terang benderang, mata Firaun dan para bangsawannya menjadi silau. 
Firaun merasa sudah tidak mempunyai daya lagi untuk mengalahkan Nabi Musa. Dia berpaling menuju ke tempatnya bersama-sama dengan para bangsawannya. Dalam hatinya timbul berbagai-bagai fikiran jahat, dengan cara bagaimana dapat mengalahkan Nabi Musa. Kehebatan Nabi Musa itu cuba diperkecil-kecilkannya, dia menganggap bahawa itu semua sihir semata-mata. Dia lupa akan kebesaran Allah s.w.t yang telah memberikan mukjizat itu. 
Berkata Firaun kepada para bangsawannya: ‘Kedua-dua tukang sihir itu (Nabi Musa dan Harun), rupanya ingin mengalahkan kita dengan sihirnya, ingin mengeluarkan kita dari negeri ini dengan kekuatan sihirnya. Bagaimanakah pandangan kamu sekalian tentang hal ini?’
Semua bangsawan dan pembesarnya itu menjawab: ‘Kedua-dua orang itu perlu kita kalahkan, dengan mendatangkan semua ahli sihir bangsa kita yang telah masyhur kepandaiannya, untuk mengalahkan Nabi Musa, bahkan untuk melenyapkan kedua-dua mereka itu dari permukaan bumi ini.’ 
Sebagaimana yang kita ketahui, bahawa Mesir pada masa Firaun itu masyhur sekali dengan ilmu sihir. Keahlian tukang sihir Mesir ketika itu telah dapat mengalahkan semua tukang sihir yang bagaimanapun juga pintarnya di atas dunia ini. Dan atas kehebatan ilmu sihir para pengikutnya itulah, maka Firaun dapat berkuasa dan menjadi raja besar. 
Fikiran para bangsawan dan pembesar itu masuk pula di akal Firaun. Semua tukang sihir diperintahkan datang berkumpul, dari seluruh pelosok Mesir, baik dari kampung mahupun dari kota. Lalu Firaun berkata kepada Nabi Musa: ‘Apakah engkau sengaja datang ke mari untuk mengusir kami dari negeri kami dengan kekuatan sihirmu itu, hai Musa?’ 
Ditegaskannya oleh Firaun, bahawa Nabi Musa tidak akan dapat berbuat lebih dari itu, kerana rakyat Firaun sudah termasyhur ahli tentang ilmu sihirnya. Nabi Musa diperintahkannya untuk berhadapan dengan tukang-tukang sihir yang sudah dikumpulkannya itu untuk mengadu kehandalan. Nabi Musa menurut agar pertandingan kepintaran itu diadakan di hadapan rakyat jelata, agar orang ramai dapat mengetahui, siapa yang benar dan siapa pula yang tidak benar dan palsu dalam hal ini.
Dalam pada itu Firaun dengan segala daya upayanya, memilih di antara tukang-tukang sihir yang berpuluh-puluh ribu itu, beberapa ribu saja yang benar-benar pintar dan telah terbukti kepintaran mereka. Untuk dihadapkan kepada Nabi Musa, untuk mengalahkannya, bahkan kalau dapat untuk melenyapkan Nabi Musa sekali. 
Kepada tukang-tukang sihir itu dijanjikan oleh Firaun akan pangkat yang tinggi dan harta sebanyak-banyaknya, bila tukang-tukang sihir itu berjaya mengalahkan Nabi Musa dalam hal ini. Hari yang telah ditetapkan itu pun datanglah. Baik Firaun dan para bangsawannya, mahupun semua tukang sihir yang ribuan jumlahnya itu sama-sama berkumpul di tanah lapang yang luas, di mana hampir seluruh rakyat pun turut menjadi penonton. 
Nabi Musa dan Harun berdua saja, tampil ke tengah-tengah lapangan pertandingan. Di tempat itu berkatalah Nabi Musa kepada sekalian tukang sihir Firaun: ‘Celaka besar bagi orang yang berbuat dusta tentang Allah s.w.t. Kamu sekalian sudah mendustakannya, kamu sangka mukjizat ini sebagai sihir, kamu samakan saja antara sihir dengan mukjizat, antara yang batil dengan yang hak. Barangsiapa yang cuba memalsukan yang hak dan membenarkan yang palsu, maka orang itu akan kalah dan rugi semata-mata.’ 
Seruan dan kata-kata Nabi Musa yang singkat itu, rupanya lancar sekali masuknya ke dalam telinga tiap-tiap tukang tersebut. Dan kata-kata ini akan memberi saluran yang baik sekali dalam fikiran mereka untuk mencari jalan yang benar, di antara dua keadaan yang saling bertentangan, yang sedang mereka hadapi sekarang ini. 
Tiba-tiba semua tukang sihir yang puluhan ribu jumlahnya itu, dipanggil oleh Firaun untuk berkumpul dan berbaris dengan gagah, di masing-masing tangan mereka tergenggam seutas tali dan sebatang tongkat. Hal itu sengaja dilakukan oleh Firaun, untuk memperlihatkan kekuasaannya kepada Nabi Musa dan Harun, agar Nabi Musa dan Harun takut dan orang ramai bersemangat. 
Dengan demikian, orang ramai rata-rata sekarang ini percaya akan kemenangan tukang-tukang sihir yang banyak itu, yakin bahawa Nabi Musa dan Harun akan dapat dikalahkan dan dibinasakan di tengah-tengah pertandingan itu. Firaun segera memerintahkan untuk mulai pertandingan. Lalu berkata tukang-tukang sihir itu kepada Nabi Musa: ‘Apa kamu akan memulai mempertunjukkan kehebatanmu, ataukah kami yang akan memulainya terlebih dahulu?’ 
Nabi Musa dan Harun sedikit pun tidak gentar akan semua pertunjukan kekuasaan Firaun itu. Dengan tidak bimbang sedikit pun, tukang-tukang sihir itu dipersilakan memulai akan kehebatan sihir mereka. Dengan memperlindungkan diri kepada Allah s.w.t, serta berdoa akan pertolongan Allah s.w.t, Nabi Musa mempersilakan tukang-tukang sihir itu melepaskan tali dan tongkat-tongkat mereka. 
Dengan serentak, mereka melepaskan tali dan tongkat dari tangan masing-masing. Di hadapan Nabi Musa dan Harun tiba-tiba merayaplah beribu-ribu ekor ular kecil, yang kesemuanya menuju ke arah Nabi Musa dan Harun, untuk membinasakan mereka berdua. 
Jelas terdengar oleh Nabi Musa akan wahyu Allah s.w.t ketika itu: ‘Jangan takut, hai Musa, engkaulah yang lebih unggul.’ 
Nabi Musa segera melepaskan tongkatnya, seketika itu juga menjelma menjadi seekor ular yang luar biasa besarnya. Semua ular yang kecil-kecil itu segera ditelannya sampai habis, dalam waktu sekejap mata saja. Melihat kejadian itu semua tukang sihir Firaun merasa takjub dan tercengang. Kelihatanlah oleh mata kepalanya sendiri, bagaimana kebenaran dapat melenyapkan kepalsuan, begitu juga yang hak dapat menyapu bersih akan kesesatan.

Tunduk Dan Bersujud

Sekalian tukang sihir itu, dengan serentak tunduk dan bersujud di hadapan Nabi Musa dan Harun, kerana mereka menginsafi akan kesesatan perbuatan serta ilmu, mereka bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t, atas segala dosa yang telah mereka lakukan selama ini. Menggeletarlah tubuh Firaun menahan kemarahan, setelah dia melihat kejadian tersebut. Terasa olehnya mahkota yang berada di kepalanya bergerak mahu jatuh, kekuasaan yang diharapkannya akan bertambah kuat, tetapi ternyata malah semakin merosot. Kejadian yang dilihatnya itu, dirasakannya seolah-olah angin taufan yang paling dahsyat, yang mungkin akan menumbangkan kerajaan yang didirikannya di atas segala kepalsuan dan kebodohan itu. 

Kerana ramainya orang yang tunduk dan beriman kepada Nabi Musa dan Nabi Harun, lalu Firaun mengeluarkan undang-undang darurat yang mengancam kepada siapa yang keluar dari ketaatan terhadap dirinya. Berbagai-bagai hukuman dicantumkan dalam undang-undang yang baru, ada hukuman potong tangan, potong kaki, hukum gantung, salib dan sebagainya. 
Kalau rasa keimanan telah meresap ke dalam jiwa seseorang manusia, walaupun dengan kekuatan senjata apa pun, keimanan itu tidak akan dapat dicabut keluar. Tidak ada sebuah kekuasaan yang besar mana sekalipun yang mampu membelokkan hati orang yang beriman tersebut, kendatipun dengan ancaman-ancaman yang berat. Mereka yang telah beriman itu hanya berkata: ‘Kami beriman kepada Allah s.w.t, agar diampuni-Nya segala kesalahan dan dosa dosa kami, yang telah kamu paksakan terhadap kami untuk mengerjakan serta mempelajari sihir. Allah s.w.t lebih baik dan lebih kekal.’

Rahmat Dan Nikmat Allah

Pada zaman itu sungguh tidak ada satu bangsa di dunia ini yang paling banyak menerima rahmat dan nikmat serta tuntunan dari Allah s.w.t, selain bangsa Bani Israel itu. Bukan hanya nikmat yang berupa hasil bumi dan binatang ternakan serta kekayaan alam, tetapi juga kekuasaan, kepintaran dan sebagainya. Lebih-lebih lagi rahmat Allah s.w.t yang telah melepaskan mereka dari beberapa seksaan, ketika mereka berada di Mesir, di bawah jajahan Firaun. Mereka dilepaskan dan dimerdekakan Allah s.w.t dari kehinaan dan ketakutan di bawah pimpinan Nabi Musa dan Nabi Harun.
Mereka disesatkan oleh Samiri, kemudian dibetulkan Allah s.w.t dan diampuni dosa mereka. Begitu juga sewaktu mereka terkepung oleh tentera Firaun sampai terdesak ke laut, maka dibentangkan Allah s.w.t jalan raya di atas lautan itu, lalu Allah s.w.t menghancurkan Firaun serta tenteranya di hadapan mata kepala mereka sendiri, agar mereka dapat hidup selamat di atas bumi ini. Kepada mereka diturunkan Allah s.w.t makanan dari langit, yang berupa Manna dan Salwa, ketika mereka sedang berada di tengah-tengah padang pasir di mana tidak ada makanan dan minuman. Kalau tidak demikian, sudah pasti mereka akan mati kelaparan di tengah padang pasir yang panas terik itu. 
Lebih besar dan hebat lagi rahmat dan nikmat Allah s.w.t kepada Bani Israel, kerana bangsa Israellah yang diangkat Allah s.w.t menjadi orang-orang yang mulia, menjadi Nabi dan Rasul yang besar, untuk memimpin mereka, mengeluarkan dari lembah kebodohan, kesesatan dan kesengsaraan, menjadi bangsa yang maju dan bangsa yang memimpin. 
Berulang kali nikmat dan rahmat itu silih berganti diturunkan Allah s.w.t kepada mereka, berulang kali pula mereka silih berganti sesat dan menderhaka akan ajaran Allah s.w.t. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t masih memberikan juga keampunan kepada mereka, berkat doa dari para Nabi dan Rasul mereka. 
Untuk menyempurnakan rahmat dan nikmat Allah s.w.t terhadap mereka, telah disediakan Allah s.w.t sebuah negeri yang dinamakan negeri suci, iaitu Syria sekarang ini. Di situlah mereka hidup selamat dan tenteram, serta bahagia, berkuasa dan tidak dikuasai bangsa lain. Maka diperintahkan oleh Allah s.w.t, agar mereka di bawah pimpinan Nabi Musa segera memasuki negeri yang sudah disediakan Allah s.w.t, untuk tempat tinggal mereka. Ini adalah suatu perintah Allah s.w.t yang wajib ditaatinya bersama-sama dengan Nabi Musa dan Nabi Harun. 
Perintah ini disampaikan Nabi Musa kepada mereka itu: ‘Masuklah kamu ke tanah suci Syria yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t atasmu. Janganlah kamu mundur ke belakang, kerana merasa takut untuk melawan musuhmu yang sedang berkuasa di negeri itu. Jika ternyata kamu mundur, sungguh kamu ini adalah orang-orang yang rugi.’ 
Tetapi kerana mereka mengetahui bahawa di dalam negeri itu berdiam orang-orang yang kuat dan berani, maka untuk menghindarkan diri dari pertempuran, sebab takut mati, perintah Allah s.w.t itu mereka sanggah, serta mereka menjawab kepada Nabi Musa: ‘Hai Musa, sesungguhnya di dalam negeri ini berdiam beberapa orang yang gagah berani. Kami tidak akan berani memasukinya, sebelum mereka yang gagah berani itu keluar dari sana. Jika mereka sudah keluar dari sana, baru kami berani masuk ke dalamnya.’ 
Mendengar jawapan dan sanggahan mereka, Nabi Musa dan Nabi Harun yang merasa takut akan ditariknya kembali nikmat dan rahmat yang telah dijanjikan Allah s.w.t, berkata kepada kaum yang sudah mulai pandai menyanggah tersebut: ‘Masuklah olehmu negeri itu dari pintunya. Dengan jalan begitu, bila kamu masuk ke dalamnya, kamu akan dapat mengalahkan mereka. Hendaklah kamu menyerahkan dirimu kepada Allah s.w.t, sekiranya kamu benar-benar orang yang beriman!’ 
Mereka menjawab pula: ‘Ya Musa, sekali kali kami tidak akan memasuki negeri itu, sebelum mereka keluar. Sebab itu hendaklah engkau saja yang masuk lebih dahulu ke dalam negeri itu bersama Tuhanmu. Maka berperanglah engkau dan Tuhanmu dengan mereka itu, kami duduk menanti di sini.’ 
Rupanya sanggahan mereka itu sudah tidak dapat tawar menawar lagi, walau bagaimanapun usaha Nabi Musa dan Nabi Harun menganjurkan mereka, agar tunduk terhadap perintah Allah s.w.t untuk memasuki negeri itu. Mereka tetap menolaknya, bahkan menyanggahnya dengan kata-kata kekafiran lagi. Akhirnya harapan Nabi Musa dan Nabi Harun mulai tipis, kerana Nabi Musa dan Nabi Harun tidak akan menjalankan paksaan terhadap mereka, hanya diserahkan kembali urusan ini kepada Allah s.w.t, sambil berkata: ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku tidak dapat memaksa mereka, selain dapat memaksa diri aku sendiri bersama diri saudara aku Nabi Harun. Sebab itu ceraikanlah antara kami berdua dengan orang-orang yang engkar dan fasik itu.’ 
Dengan kejadian ini, maka turunlah firman Allah s.w.t yang menghukum mereka: ‘Sesungguhnya tanah suci itu diharamkan bagi mereka untuk memasukinya selama empat puluh tahun, sedang mereka akan bergelandangan hidupnya di bumi ini dengan kesesatan. Sebab itu (hai Nabi Musa) janganlah engkau berdukacita terhadap orang-orang yang fasik itu. Benar saja, dalam empat puluh tahun lamanya, mereka tidak keruan tujuan hidupnya di bumi ini, tidak menentu apa yang harus mereka lakukan, tidak menentu pula makan dan minumnya. Dalam masa empat puluh tahun itu, boleh dikatakan kesemuanya yang menjadi biang keladi keingkaran dan kesesatan ini, begitu juga pembesar-pembesar turut musnah semuanya, kini tinggallah anak-anak dan keturunan mereka saja. Dari keturunan inilah kemudian ada yang baik dan ada pula yang sesat.’ 
Yang baik di antaranya, tetap mengikuti ajaran Nabi mereka dan yang sesat, terus menerus terusir dari sebuah negeri ke sebuah ke negeri yang lain. Pengusiran ini dialami mereka bukanlah selama empat puluh tahun saja, tetapi sampai dalam abad kedua puluh ini masih juga dialaminya.

Nabi Musa Membelah Laut

Bani Israel yang selama ini hidup dalam seksaan dan penghinaan, mulai terbuka kedua mata mereka, mulai tahu membezakan yang sesat dari yang benar. Mereka mulai percaya akan Rasul Allah Nabi Musa yang datang membawa petunjuk kepada mereka. Mereka mulai meninggalkan ketaatan kepada Firaun. Firaun mulai kekurangan pengaruh, sedang Nabi Musa selalu bertambah temannya. 
Lantaran itu dengan cara yang bagaimana pun, Firaun harus mengenyahkan Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dari Mesir, dengan jalan pembunuhan. Tetapi Nabi Musa dan Bani Israel yang tunduk kepadanya sudah siap sedia, mereka akan meninggalkan Mesir serentak pada suatu malam yang sudah ditetapkan. 
Pada malam yang sudah ditetapkan itu, berkumpullah Nabi Musa dengan kaum Bani Israel di sebuah tempat, lalu berangkat bersama-sama meninggalkan Mesir, menuju ke Tanah Suci Palestin kerana memang dari situlah mereka semua berasal. Mereka berangkat hati-hati sekali, kerana tentera Firaun sejak siang tadi telah disiapkan untuk menghalang keberangkatan ini. Firaun bercita-cita hendak memusnahkan mereka semuanya. Sekian lama mereka berjalan di atas gurun padang pasir yang kering, akhirnya mereka sampai di pinggir laut yang luas. Bagaimana akalnya untuk menyeberangi laut yang amat luas itu, kapal tidak ada, perahu pun tidak, sedang musuh, iaitu Firaun dengan tenteranya yang kuat, semakin dekat mendesak dari belakang, akan memusnahkan mereka. 
Di situlah Bani Israel mengalami ketakutan dan kebimbangan yang sehebat-hebatnya, kerana mereka tahu, bahawa tentera Firaun yang berkenderaan kuda dengan senjata-senjata panah yang tajam, telah semakin dekat, jauhnya antara mereka dengan tentera Firaun, kira-kira dua kali jalan anak panah atau kurang. 
Bukan lagi takut dan bimbang, malah mereka telah melihat maut sedang menghampiri, keluh-kesahnya sudah mulai terdengar dari mulut ke mulut. Di tengah-tengah keluh-kesah yang mendalam itu, tiba-tiba tampil ke muka seorang di antara Bani Israel yang ikut dalam perjalanan itu, berkata dengan suaranya yang keras, mengeluarkan kemarahan serta geramnya kepada Nabi Musa, mengemukakan rasa sesal di hatinya; dia ini pengikut Nabi Musa yang bernama Yusya bin Nun. 
Dengan lancangnya dia berkata: ‘Hai, orang yang bnoleh berbicara dengan Tuhan! Bagaimana urusan engkau ini? Engkau telah membawa kami menghadapi nasib yang tidak dapat dihindarkan ini! Laut terbentang di hadapan sedang musuh sudah mendesak dari belakang, tidak ada sedikit pun jalan untuk menghindarkan kematian.’ 
Mendengar kata-kata itu, Nabi Musa hanya berkata: ‘Tunggulah, mudah-mudahan aku dapat berbuat sesuatu terhadap laut ini!’ 
Kata-kata itu telah dapat memberikan harapan hidup kepada mereka, yang sudah yakin akan kematian itu. Tetapi kenapa belum juga ada apa-apa, sedang musuh sudah terdengar soraknya. Mereka kembali berputus asa, kesal dan geram terhadap Nabi Musa. Mulai keluar dari isi hati mereka yang busuk-busuk itu, celaan serta makian yang tidak terbatas. Tiba-tiba Allah s.w.t mewahyukan kepada Nabi Musa: ‘Pukulkanlah tongkatmu itu ke laut, hai Musa!’ 
Segera Nabi Musa memukul laut itu dengan tongkatnya, dengan tiba-tiba terbentanglah di atas laut itu dua belas jalan raya yang lapang, sedang di kedua-dua pinggir jalan itu masing-masing berdiri tembok air yang tebal, yang tidak dapat ditembusi oleh panah atau peluru. Kerana bangsa Israil yang turut ketika itu terdiri dari dua belas golongan (suku bangsa), maka tiap-tiap golongan mendapat sebatang jalan raya yang terbentang itu untuk mereka tempuh. 
Dengan gembira dan terima kasih yang sebesar-besarnya, mereka segera lari melalui jalan raya laut yang sudah terbentang itu, tepat ketika tentera Firaun kehihatan di belakang, sedia untuk memanah dan menghancurkan mereka. Firman Allah s.w.t: ‘Dibentangkan bagi mereka jalan raya di laut, jalan yang kering, tidak perlu takut karam dan basah. Sedang mereka berjalan dengan selamat di tengah-tengah jalan laut itu, maka terlihatlah oleh mereka akan Firaun dengan tenteranya sedang mengejarnya, melalui jalan raya laut itu juga. Setelah mereka tiba dengan selamat di seberang laut, kembali kebimbangan dan ketakutannya, kerana Firaun pun sudah dalam perjalanan di tengah-tengah jalan raya haut itu, menuju mereka. Nabi Musa lalu memerintahkan kepada laut itu agar kembali kepada keadaannya yang asal. Dengan perintah ini, dua dinding tembok air di pinggir masing-masing jalan itu pun bertemulah, sehingga semua tentera Firaun yang sedang berada di dalamnya, juga Firaun sendiri tenggelam, mati dan terkubur di sana semuanya.’ 
Di situlah tamatnya riwayat Firaun dengan segala kekejaman dan kesombongannya, sama-sama ditelan oleh laut yang dibentangkan oleh Allah s.w.t. Sedang Nabi Musa dan kaumnya selamat, tidak kurang suatu apa pun, sampai ke tempat yang mereka tuju. 
Pada waktu jiwa akan meninggalkan jasad Firaun di tengah-tengah perut laut itu, datanglah keinsafan kepada Firaun yang selama ini tidak mahu insaf. Insaf akan kebenaran Nabi Musa, akan kebesaran Allah s.w.t dan kelemahan dirinya, maka baginda berkata: ‘Aku percaya (iman), bahawa tidak ada Tuhan selain Allah s.w.t, yang sudah diimani oleh Bani Israel dan sekarang aku turut beriman pula sebagai seorang Muslim.’ 
Tetapi bukan saatnya ketika itu untuk menyesal dan memohon ampun, untuk menyatakan beriman atau tidak. Masa itu adalah masa seksaan yang terakhir. Dari itu taubat Firaun ditolak oleh Allah s.w.t, kerana terlambat dari waktu yang sudah ditentukan-Nya. 
Tatkala kedua-dua tembok air itu bertemu menelan Firaun dan tenteranya, terdengar bunyi hiruk-pikuk di dalam perut laut itu, sehingga Bani Israel bertanya kepada Nabi Musa: ‘Suara apakah yang hiruk-pikuk itu?’ Nabi Musa menjawab: ‘Ya, itulah bunyi seksaan Allah s.w.t yang ditimpakan kepada Firaun dan tenteranya.’ 
Rupanya masih ada di antara Bani Israel, yang menurut pengakuannya sudah beriman, tetapi dalam batinnya masih tertinggal kepercayaan lama, sehingga dia tidak percaya bahawa Firaun itu sudah mati, sebab Firaun itu katanya tuhan, dia boleh bisa di Mesir dan boleh pula hidup di dalam laut. Kepada Nabi Musa dikatakan oleh orang itu, bahawa Firaun belum mati. Diterangkan oleh Nabi Musa, bahawa sangkaan yang demikian itu adalah persangkaan yang batil, yang tidak benar belaka. Lalu laut itu memuntahkan mayat Firaun ke permukaan air, sehingga dapat dilihat oleh mereka, bahawa Firaun itu benar-benar sudah mati. 

Walau demikian, masih saja terdapat di antara mereka yang belum percaya akan kematian Firaun, malah dia berkata bahawa Firaun itu masih hidup di alam ghaib, pendekatan menurut kemahuan mereka saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA