Sabtu, 17 Ogos 2013

Tangan Ghaib Dalang Krisis Politik Di Mesir

SMAHADZIR

APAKAH yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq dan negara Islam lain perlu dibiarkan berlaku di negara kita Malaysia? Rusuhan, demonstrasi dan menentang undang-undang negara adalah suasana yang digemari oleh segelintir masyarakat di negara ini. Apa yang berlaku di Syria untuk menjatuhkan Presiden Bashar Assad menyebabkan rakyat negara itu hilang rasa selamat. Sekarang rakyat Mesir sedang melalui apa yang dirasai oleh rakyat Iraq dan Syria. Keamanan dan kemakmuran negara mereka sudah diragut oleh dua kumpulan yang saling bermusuhan dan berbunuhan.

Ramai penganalisis politik melihat ada tangan ghaib yang menjadi dalang dalam krisis politik di bumi Mesir. Tangan ghaib itu ialah Amerika Syarikat yang selama ini merupakan syaitan paling laknak yang telah menghuru-harakan seluruh dunia. Di Malaysia juga tangan ghaib ini cuba menyelusup masuk melalui pelbagai aktiviti mereka namun majoriti rakyat Malaysia masih lagi rasional dan tidak termakan madu beracun yang disajikan mereka.

Bersyukurlah kita kerana pasukan polis dan tentera Malaysia tidak sekejam pasukan keselamatan negara lain yang telah kita saksikan cara mereka menyelesaikan penentang kerajaan. Bersyukur juga kita kerana bermacam-macam strategi dan perhimpunan haram yang diatur oleh segelintit masyarakat negara kita berkesudahan dengan kegagalan. Beberapa kali usaha dan gerakan menghimpunkan ratusan ribu rakyat negara ini seperti yang berlaku di negara Asia Barat tidak berjaya malah ditolak oleh rakyat Malaysia yang mengutamakan keamanan dan kestabilan politik daripada kepentingan peribadi seseorang pemimpin yang kecewa. Sungguhpun begitu, segelintir masyarakat ini tidak pernah putus asa meracuni pemikiran rakyat. Oleh itu, kerajaan yang terus diberi mandat kali ke-13 untuk mentadbir kerajaan Malaysia diharap jangan berlembut dan terlalu beri muka kepada mana-mana pihak terutama dalam soal keselamatan negara.

Sebagaimana yang kita tahu, krisis politik di Mesir memuncak apabila kira-kira lebih 2,000 orang maut selepas polis dan tentera menggempur lokasi ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong bekas Presiden Muhammad Mursi di Kaherah. Kekejaman pasukan keselamatan Mesir itu membangkitkan kecaman dan kutukan daripada pemimpin dan masyarakat dunia. Walaupun jauh beribu kilometer dari Kaherah, tetapi kita dapat melihat kesan dan iktibar apabila rebutan kuasa politik akhirnya boleh memudaratkan kehidupan rakyat.

Paling membimbangkan jika perang saudara antara kumpulan penyokong Mursi dengan pihak anti-Mursi tercetus. Sentimen balas dendam bakal menjadi faktor utama dalam pergolakan di Mesir selepas ini, mungkin sama dengan apa yang berlaku kepada Iraq dan Syria sekarang. Dalam situasi ini, bagaimana nasib lebih 3,000 rakyat dan pelajar Malaysia di sana?

Ketika pergolakan menjatuhkan Hosni Mubarak pada 2011, atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Kerajaan Malaysia menyediakan pengangkutan udara untuk membawa pelajar dan rakyat kita pulang ke tanah air. Syukur, hampir semua pelajar kita yang pulang terselamat daripada tindakan perusuh ketika itu. Kita tidak lupa bagaimana tindakan sesetengah pihak dan suara-suara sumbang yang mempertikaikan bantuan kerajaan itu. Kali ini, jika operasi menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir dilakukan, utamakan mereka yang sedia menerima bantuan sahaja. Jangan dipaksa ahli dan penyokong ‘parti pembenci kerajaan’ yang berada di Mesir untuk turut serta.

Statistik terbaru menunjukkan lebih 3,000 orang awam dibunuh di Mesir. Mereka dibunuh oleh tentera kerajaan yang dibiayai oleh Amerika Syarikat  kerana menuntut demokrasi ditegakkan. Pertumpahan darah ini wajar dijadikan renungan supaya rakyat Malaysia jangan mudah terpedaya dengan demokrasi yang dijaja oleh pihak berkepentingan. Renunglah yang tersirat daripada yang tersurat.

Mohammed Mursi dari Ikhwanul Muslimin yang memenangi pilihan raya secara demokrasi bukanlah pilihan Amerika Syarikat. Maka kemenangan itu tidak akan bertahan lama dan Mursi dijatuhkan kononnya atas kehendak rakyat. Inilah akibatnya apabila membiarkan kuasa asing seperti Amerika Syarikat menentukan hala tuju politik sesebuah negara. Malah agensi media Barat seperti sepakat menyiarkan angka korban yang jauh lebih kecil daripada sebenarnya. Ini bertujuan menutup tindakan melampau tentera Mesir kerana Amerika Syarikat ada penglibatannya. Tetapi statistik oleh Ikhwanul Muslimin menunjukkan lebih 3,000 orang berbanding agensi berita Barat tidak sampai 1,000 orang.

Mursi dipenjara dan hingga kini belum dibebaskan. Tentera mengambil tindakan drastik menggempur penyokong Mursi dengan peluru hidup. Di negara kita, polis hanya menggunakan meriam air. Tetapi digambarkan oleh puak tertentu sebagai tindakan ‘paling tidak berperikemanusiaan.’

Dalam pilihan raya Jun tahun 2012, Mursi memenangi 52 peratus undi. Tetapi sebenarnya hanya mendapat sokongan satu perempat daripada 50 juta rakyat Mesir yang layak mengundi. Bagi Mesir, jatuhnya diktator Hosni Mubarak bukanlah berakhir konflik politik yang membelenggu negara itu. Mubarak diibaratkan tayar lama yang sudah tidak diperlukan lagi. Tetapi tayar baharu mesti dari jenama yang sama.

Banyak pihak melihat kejatuhan Mubarak sebagai hasil kebangkitan rakyat. Secara tersurat rakyatlah yang menukar rejim Mubarak kepada pemimpin yang dipilih menerusi sistem yang demokratik. Tetapi yang tersiratnya, gerakan menjatuhkan Mubarak dipersiapkan oleh Amerika Syarikat sejak tahun 2008 lagi. Kejatuhan Mubarak tidak ada kena mengena dengan kebangkitan rakyat yang dicanang-canangkan itu. Malah istilah Arab Spring itu sengaja dicipta supaya kelihatan keterlibatan rakyat di negara-negara Asia Barat menentukan masa depan mereka sendiri. Buktinya pada 2008 aktivis gerakan massa dari Mesir berhimpun di New York pada pelancaran Alliance of Youth Movement (AYM).

Sebenarnya, banyak yang tidak tahu kewujudan AYM dan peranannya dalam menentukan agenda Amerika Syarikat di Mesir. Ini adalah perkakas Amerika Syarikat untuk menggerakkan rakyat bagi menjatuhkan Mubarak, sekutu Amerika Syarikat yang sudah tidak diperlukan lagi. Tugas AYM bukan sahaja menjatuhkan Mubarak tetapi mana-mana pemimpin yang bertentangan dengan dasar Amerika Syarikat.

Apa itu AYM? AYM adalah sebuah organisasi yang melibatkan aktivis massa bergerak secara terancang dalam talian dan mencatatkan sejarah sebagai yang pertama pada abad ke-21. Jabatan Negara Amerika Syarikat berganding dengan gergasi dalam media sosial seperti Facebook, Howcast, MTV, Google dan Youtube menggerakkan AYM dengan menggunakan generasi muda untuk mencetuskan gerakan massa. Menerusi AYM, strategis Amerika Syarikat memberikan latihan kepada aktivis massa untuk menggunakan media sosial bagi meluaskan jaringan di peringkat antarabangsa. Malah AYM dan para aktivis diberi akses langsung dengan Jabatan Luar Negara Amerika Syarikat.

Sebenarnya pada pasca Mubarak, nama Mursi berada jauh di belakang. Malah tidak ada dalam senarai pengganti Mubarak kerana ada beberapa nama lain yang mempunyai hubungan dengan Amerika Syarikat lebih ditonjolkan. Antaranya Mohamed El Baradei yang mempunyai jaringan antarabangsa yang kuat malah sekutu rapat Amerika Syarikat. Tetapi siapakah El Baradei?

El Baradei adalah salah seorang ahli pemegang amanah International Crisis Group (ICG), sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh Amerika Syarikat dan dibiayai oleh George Soros menerusi National Endowment for Democracy (NED). Tetapi dalam pilihan raya, El Baradei tidak mendapat sokongan dan terpaksa mengalah kepada Mursi. Orang begini dipergunakan oleh Amerika Syarikat untuk menguasai Mesir dari jauh. Kerana itu faktor Amerika Syarikat memang tidak dapat dipinggirkan apabila berhujah tentang kemelut politik Mesir yang semakin tenat. Sebenarnya penglibatan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak hanya kerja sia-sia kerana Amerika Syarikat mempunyai perancangan siapa yang akan menggantikan Mubarak, bukannya ditentukan oleh rakyat Mesir.

Kerana itu pergolakan yang berlaku di Mesir malah beberapa negara Asia Barat bukan kebangkitan rakyat. Tetapi rakyat hanya digerakkan supaya bangkit oleh aktivis massa yang dipimpin oleh Amerika Syarikat tetapi berselindung di sebalik kebangkitan rakyat menuntut demokrasi. Lihat apakah tindakan luar biasa Amerika Syarikat untuk membendung pembunuhan beramai-ramai di Mesir? Walaupun Presiden Barack Obama membayangkan akan menangguhkan latihan ketenteraan bersama Mesir tetapi Amerika Syarikat terus menyalurkan dana kepada tentera. Dana inilah yang telah digunakan untuk membunuh penyokong Mursi baru-baru ini.

Tentera mempunyai banyak pendekatan lain untuk menyuraikan demonstrasi penyokong-penyokong Mursi. Melancarkan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah sama dengan serangan Amerika Syarikat terhadap beberapa buah negara yang dianggap sarang pengganas.


Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah pentingnya Mesir kepada Amerika Syarikat berbanding negara lain yang lebih kaya hasil buminya. Jawapannya Mesir memang sangat strategik baik dari segi geoekonomi mahupun geopolitik. Selain mempunyai kedudukan yang strategik untuk memainkan peranan penting di dunia Arab, Mesir juga strategik bagi negara-negara di Afrika. Mesir merupakan jambatan yang baik dari sudut geografi, sosial, ekonomi, dan etnik. Kerana itu Mesir sangat penting sebagai negara transit untuk menguasai Asia Barat dan Afrika. Cara Amerika Syarikat menguasai Mesir adalah menguasai tenteranya dan memastikan Presiden Mesir dalam kalangan pemimpin tentera. Malangnya Mursi kerana beliau bukan pemimpin tentera tetapi teraju pergerakan Islam yang memberi ancaman kepada Barat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA