Khamis, 12 September 2013

Kekejaman Raja Hirodus Terhadap Nabi Yahya


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH kisah bahawa ketika itu Nabi Zakaria sudah lanjut usianya, kepalanyanya sudah dipenuhi uban keseluruhannya dan tulangnya sudah tidak berdaya lagi serta belakangnya pun sudah bongkok. Baginda sudah tidak berdaya lagi hendak berjalan lebih jauh, selain ke tempat ibadatnya untuk beribadat dan memberikan pelajaran. Di tempat beribadat itulah baginda setiap hari menunaikan kewajibannya. 
Setelah larut malam, baginda pulang ke rumahnya mendapatkan isterinya, isteri yang tidak kurang juga tuanya dengan baginda, seluruh rambutnya sudah putih, badannya pun sudah lemah. Dia sudah tidak kuat berjalan jauh, selain berulangalik ke kedai kecil, tempat baginda berjualan kecil-kecilan untuk sekadar penutup hajat dan keperluan hidupnya sehari-hari. Kalau ada pendapatan yang berlebih, maka kelebihannya itu diberikan kepada orang-orang yang datang meminta, kepada orang-orang kekurangan yang perlu dibantu dan ditolongnya. Bila selesai berjualan, baginda pulang ke rumah dan tidak lain yang dikerjakannya, kecuali beribadat, memuji dan mensyukuri nikmat Allah s.w.t. 
Sudah sembilan puluh tahun konon usia Zakaria kala itu, namun belum beroleh seorang anak pun. Sejak masih muda belia, kedua suami isteri itu ingin beroleh seorang anak. Makin bertambah tuanya, hasrat untuk beroleh anak itu pun semakin hebat juga tumbuh di dalam jiwa kedua suami isteri itu. 

Sedih Dan Gundah

Inilah yang menyebabkan kedua-dua insan suci ini sedih dan gundah selalu, apalagi menurut kebiasaan, orang yang sudah tua seperti mereka itu, tidak mungkin lagi beroleh anak. Hasrat ini timbul dan semakin kuat, bukan semata-mata kerana ingin beroleh anak yang dapat mengurus hari tuanya, tetapi lebih-lebih lagi ingin untuk melanjutkan pelajarannya yang sudah diberikannya selama hidupnya, apa lagi masih ramai di antara orang dan keluarganya sendiri yang tidak mahu tunduk dan terus menerus melakukan perbuatan-perbuatan yang jahat dan sesat, tidak menghiraukan ajaran yang tertulis dalam al-Kitab. 
Hasratnya ini semakin bergejolak juga dalam jiwa di antara lapisan-lapisan jantung dan kalbunya. Untung kesabaran yang ada padanya, dapat juga mempertahankan dirinya untuk berlaku tenang. Tetapi bila hari sudah malam, seluruh alam sudah gelap gelita dan semua orang sudah tidur, tatkala itulah hasrat itu tidak terkira hebatnya. Bunyi cengkerik dan binatang-binatang kecil dalam kesepian malam yang gelap itu, sesungguh menyalakan hasratnya yang sudah bernyala itu, sehingga tidak tertahan lagi rasanya. 
Inilah nasib yang menimpa kedua-dua orang tua itu, nasib yang tidak kurang pula hebatnya dengan nasib-nasib para Nabi dan Rasul lainnya, nasib yang jauh lebih ngeri dan sengsara, dan menghadapi musuh di medan perang, sebagai nasibnya beberapa orang Nabi dan Rasul. 
Pada suatu hari, tatkala Zakaria masuk ke mihrabnya, seperti biasanya sesudah beribadat kepada Tuhannya, baginda lalu masuk ke mihrab Mariam gadis yang masih kecil yang berada di samping mihrabnya sendiri. Didapatinya Mariam sedang tenggelam dalam pemikirannya, asyik dengan solatnya, sedang di hadapannya terdapat makanan yang berupakan buah-buahan. 
Dia merasa hairan, dari manakah datangnya makanan itu, seorang manusia pun tidak diperbolehkan dan tidak dapat masuk ke situ, selain Zakaria dan Mariam sendiri. Lebih hairan lagi, kerana buah-buahan itu adalah buah musim panas, sedang tatkala itu waktunya musim dingin. 
Zakaria lalu bertanya kepada Mariam: ‘Hai Mariam, dari manakah datangnya buah buahan itu?’ 
Jawab Mariam: ‘Makanan ini dari Allah s.w.t. Allah s.w.t telah mengirimnya kepada aku tiap pagi dan tiap petang tanpa aku minta. Janganlah engkau terperanjat, bukankah Allah s.w.t memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki?’ 
Dengan kejadian itu, Zakaria memperoleh kejadian baru. Fikirannya memikir sedalam-dalamnya, tentang keluar biasaan dan kemuliaan gadis kecil itu. Yakinlah baginda bahawa gadis itulah yang akan memancar sinar yang lebih kemilau, cahaya yang lebih terang, untuk menerangi alam yang masih kabur. 

Hasrat Yang Menyala

Hasrat untuk beroleh seorang anak lelaki semakin tambah bernyala-nyala dalam hasrat hatinya, untuk menyambut cahaya itu, kerana baginda sudah mendekati ajalnya. Dia bimbang, kalau-kalau cahaya itu tidak diterima manusia yang lain, kerana manusia rata-rata masih engkar dan menyanggah setiap sinar yang memancar. Zakaria lalu menengadahkan kedua belah tangannya, berdoa ke hadrat Allah s.w.t dengan segenap jiwa raganya: ‘Ya, Allah s.w.t! Janganlah aku Engkau biarkan seorang diri, Engkau sebaik-baik Zat yang memberi turunan. Ya Tuhanku, telah lemah tulang belulangku dan telah penuh uban di kepalaku dan bukanlah aku seorang malang dalam berdoa kepada-Mu. Sesungguhnya aku bimbang akan keadaan keluarga yang akan kutinggalkan, sedang isteriku adalah mandul. Beri jualah kepadaku dan kurnia-Mu seorang yang akan menjadi penggantiku!’
Doa Zakaria itu dengan cepat dijawab oleh Malaikat yang sedang berada pula dalam mihrabnya: Ya, Zakaria! Allah s.w.t akan memberimu seorang anak yang bernama Yahya dan belum pernah ada manusia yang bernama Yahya.
Jawapan Malaikat itu terdengar jelas oleh Zakaria. Hatinya yang gembira segera diiringi oleh kehairanan yang lebih besar lagi. Dengan jalan bagaimanakah baginda akan memperolehi seorang anak yang dijanjikan Malaikat itu, kerana baginda sendiri sudah terlalu tua dan tidak sanggup lagi mendekati isterinya, untuk menjadi sebab beroleh anak yang dicita-citakan. 
Kehairanan Zakaria ini segera pula dijelaskan oleh Malaikat dengan menerangkan: ‘Bukankah Allah s.w.t yang menjadikanmu, sedangkan sebelumnya kamu tidak ada? Dan Allah s.w.t itu jugalah yang akan memberi engkau seorang anak.’ 
Jelas keterangan Malaikat itu, tetapi Zakaria ingin lebih jelas dan lebih nyata lagi. Sebab itu baginda lalu meminta kepada Allah s.w.t untuk memberikan tanda-tanda yang nyata atas janji itu. Allah s.w.t lalu menjawab dengan berfirman kepada Zakaria: ‘Sebagai tanda engkau tidak dapat berkata-kata kepada manusia tiga hari lamanya dan bila ingin berkata, engkau hanya dapat dengan isyarat saja.’ 
Tanda ini benar-benar terjadi. Hati Zakaria menjadi tenang. Kegelisahannya hilang. Dia hanya menunggu sahaja bila dan bagaimana caranya baginda akan beroleh seorang anak. Tidak lama kemudian, isterinya yang sudah tua itu, mengandung dan akhirnya melahirkan seorang anak yang suci dan mulia, lalu diberi nama Yahya, iaitu yang sudah ditentukan Allah s.w.t. 
Anak yang luar biasa keadaannya, sihat badannya dan amat cepat besarnya, kuat akalnya dan terang pemikirannya. Walaupun masih muda belia, baginda sudah cekap dengan berbagai ilmu pengetahuan, hafal akan segala isi Kitab Suci Taurat dengan segala keterangannya, begitu juga dengan masalah-masalah yang sekecil-kecilnya, sampai kepada masalah-masalah yang sebesar-besarnya. 
Sebab itu dialah yang ditetapkan menjadi penghukum antara manusia dengan manusia, dengan hukuman yang seadil-adilnya. Dia menjadi pemegang kekuasaan yang tertinggi. Dia berani menjalankan yang hak dan tidak gentar menghukum yang salah. Tidak seorang juga yang berani menentang kata dan melanggar aturan yang telah ditetapkannya. 

Raja Hirodus Jatuh Cinta

Akhirnya disampaikan orang kepadanya berita yang mengatakan bahawa Raja Hirodus yang menjadi Raja Palestin, jatuh cinta kepada anak saudara Yahya, Hirodia namanya. Memang gadis itu luar biasa cantiknya. Parasnya yang bulat seperti purnama penuh, matanya yang cemerlang laksana bintang kejora, pinggangnya yang ramping dengan rambutnya yang panjang itu, telah lama menjadi buah bibir setiap pemuda Palestin. 
Keinginan raja itu rupanya sudah menjadi suatu keputusan. Raja telah meminang anak gadis itu kepada ibu bapa dan keluarganya dan keputusan pun rupanya sudah ada, bahawa raja akan berkahwin dengan gadis itu. 
Mendengar hal ini Yahya menghukumkan dengan terus terang, bahawa perkahwinan Raja Hirodus dengan gadis Hirodia itu tidak sesuai dengan peraturan agama ketika itu, serta bertentangan dengan Kitab Suci Taurat. Yahya dengan tegas berkata: ‘Perkahwinan itu tidak akan aku akui, malah aku akan tetap menentangnya dengan sekeras-kerasnya.’ 
Mengapa Nabi Yahya tidak mengizinkan dan tidak membenarkan perkahwinan tersebut? Menurut Abdullah bin Zubair, gadis yang bernama Hirodia atau Harduba itu adalah anak Hirodus itu sendiri. Sedang menurut as-Suddy, gadis itu adalah anak isterinya (anak tirinya) sendiri. Sedang menurut Ibnu Abbas, gadis itu adalah anak dari saudara lelaki dan Hirodus sendiri. Menurut hukum Taurat sama dengan hukum Al-Quran sekarang ini, bahawa anak sendiri, anak tiri atau anak dan saudara sendiri tidaklah halal menikahinya. 
Nabi Yahya sebagai seorang Nabi dan Rasul Allah yang diutus Allah s.w.t untuk melaksanakan hukum Taurat, tentu saja tidak dapat menetapkan atau membenarkan sesuatu pernikahan yang bertentangan dengan hukum Taurat itu, kendatipun yang akan berkahwin itu seorang maharaja, bagaimana besar pun pengaruh dan kekuasaannya. 
Nabi Yahya menghadapi dua percubaan atau ujian yang amat kuat sekali gus. Pertama pertentangannya dengan seorang raja yang amat berkuasa dan sangat ganas, menghadapi mata pedang yang sudah teracung ke lehernya. Kedua baginda menghadapi rayuan dan cumbuan dari seorang gadis ayu yang tidak ada taranya, iaitu menghadapi mata pedang asmara yang lebih berbahaya dan lebih tajam lagi dan mata pedang yang berupa besi yang diasah tajam itu. 
Dia seolah-olah disuruh memilih antara hidup atau mati. Hidup dengan melanggar hukum Taurat, atau mati dengan mentaati hukum tersebut. Akhirnya Nabi Yahya mengumumkan keputusannya yang luar biasa, iaitu tetap tidak membenarkan perkahwinan antara Raja Hirodus dengan gadis Hirodia dan akan menentangnya. 
Keputusan Yahya ini akhirnya tersebar luas di kalangan penduduk, tersiar pula ke seluruh pelosok dunia, ke tiap kota dan istana raja-raja lainnya, ke tempat-tempat ibadat dan tempat-tempat keramaian. 
Alangkah terkejutnya gadis Hirodia mendengar keputusan Yahya ini, kerana dia sendiri sudah melamun akan menjadi permaisuri besar, menjadi isteri seorang raja yang besar. Dia tidak senang dengan adanya khabar itu, dengan perasaan marah dia segera merencanakan suatu tindakan, kendatipun dia harus bertentangan dengan Yahya, iaitu bapa saudaranya sendiri, kerana menurut sangkaannya, bapa saudaranya (Yahya) sendirilah yang ingin berkahwin dengannya. 
Tetapi dengan cara bagaimanakah dia akan dapat bertindak? Dia adalah seorang wanita. Fikiran jahatnya lalu timbul, iaitu dengan bersenjatakan kecantikannya, dia ingin mencemarkan dan menjatuhkan nama baik Yahya. 
Dia segera berhias diri secantik-cantiknya dan dipakainya pakaian serta perhiasan yang bagus-bagus dan mahal-mahal harganya. Dia lalu masuk ke tempat bapa saudaranya bekerja. Dengan senyuman manis dan gerak geri yang dibuat-buatnya itu, dia berkata kepada bapa saudaranya dengan kata-kata yang menarik hati. 
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. sebagai yang telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran, adalah seorang yang pertama membenarkan dan mempercayai akan kenabian dan kerasulan Isa al-Masih a.s., yang akan menjadi pemimpin yang terpelihara dari segala dosa dan kejahatan, lalu diangkat Allah s.w.t menjadi Nabi dan Rasul dari kalangan manusia-manusia yang baik. 

Kuat Beribadat

Menurut Ibnu Masud dan Ibnu Abbas serta sahabat lainnya, selain baik rupa dan perangainya, kuat beribadat, mengekang diri dari segala syahwat (nafsu) sehingga menjauhkan dia dari wanita. 
Ketika Hirodia datang menggodanya, Nabi Yahya menjauhkan diri dan memerintahkan kepada Hirodia agar menutup seluruh tubuhnya dan menerangkan kepadanya apa yang tertulis di dalam Kitab Suci Taurat bahawa orang-orang yang melakukan zina akan diseksa pada hari kiamat dan berbau lebih busuk daripada bangkai. 
Mendengar jawaban Yahya demikian, Hirodia menjadi malu dan jengkel. Semua manusia termasuk raja menginginkan dirinya, sedangkan Yahya menolak kendatipun dia yang datang sendiri merayunya. Maksudnya dengan rayuan ini, ialah bila Yahya dapat ditarik kepada dirinya, atau menyentuh dirinya, beliau akan menuduh bahawa kerana tertarik akan dirinya itulah Yahya tidak mahu membenarkan perkahwinannya dengan Raja Hirodus yang berkuasa. Dan dengan alasan itulah dia akan meminta kepada Hirodus agar Yahya dibunuh saja, agar perkahwinannya dengan Hirodus dapat dilangsungkan tanpa gangguan dari Yahya lagi. 
Kerana gagal dengan cara yang begitu, dia tidak kehilangan akal. Dia mendatangi Raja Hirodus dan berkata kepadanya: ‘Sekiranya engkau benar-benar cinta kepadaku, aku ingin bukti, ialah agar engkau membunuh Yahya bin Zakaria.’ 
Hirodus ini memerintah dari tahun 4 sebelum Masehi hingga tahun 37 sesudah Masehi, adalah anak Raja Hirodus Agung yang memerintah sebelumnya. Seorang raja yang telah membunuh beratus-ratus orang Nabi dan orang-orang soleh, di antaranya terdiri dari keluarganya sendiri. Tidaklah hairan kalau anaknya sendiri iaitu Hirodus yang ingin berkahwin dengan Hirodia, jauh lebih ganas dan bapanya dulu. Dengan segera baginda menangkap Nabi Yahya, dimasukkan ke dalam penjara dan akhirnya dibunuhnya pula, untuk memenuhi kehendak kekasihnya itu. 

Darah Membasahi Bumi

Tidak lama sesudah darah Nabi Yahya tertumpah membasahi bumi, Allah s.w.t murka, dan kemurkaan Allah s.w.t ini berubah menjadi bencana hebat yang menimpa Bani Israel termasuk Raja Hirodus dan Hirodia kekasihnya. 
Setelah Nabi Zakaria mengetahui akan kematian anaknya Nabi Yahya, Nabi Zakaria melarikan diri untuk menghindarkan penangkapan, kerana sudah tersiar pula khabar bahawa baginda juga akan dibunuh. Baginda bersembunyi di dalam sebuah kebun dekat kota Jerusalem. Akhirnya kebun itu pun dikepung oleh anggota pasukan keselamatan negara untuk menangkapnya. 
Konon khabarnya sebatang pokok kayu yang besar membelah dirinya dan mempersilakan Zakaria bersembunyi di dalam batangnya. Tetapi Iblis telah memberitahu kepada para pengepung bahawa Zakaria bersembunyi di dalam pokok kayu itu. Mereka lalu memotong kayu tersebut, sehingga Nabi Zakaria mati terbunuh juga. 
Dengan kematian Nabi Yahya dan Nabi Zakaria, Allah s.w.t menimpakan bencana demi bencana kepada Bani Israel, yang berupa serangan-serangan dari tentera musuh yang amat ganas, sebagaimana juga sudah sering terjadi sebelumnya. 
Pernah dalam suatu serangan yang dilakukan oleh musuh mereka, 120,000 orang, termasuk pembesar-pembesar mereka mati terbunuh semuanya. Hanya sedikit saja yang dapat meloloskan diri dalam pembunuhan itu. Terkenal dalam sejarah dunia serangan Nebukadnezar dari Babilon dan serangan Titus dan Rome, sebelum dan sesudah lahirnya Isa al-Masih a.s. 
Firman Allah s.w.t dalam Al-Quran surah al-Isra, ayat 48: ‘Dan Kami (Allah s.w.t) putuskan (takdirkan) bagi Bani Israel dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan mengadakan kerosakan di bumi dua kali (berulang-ulang), dan sesungguhnya kamu akan sombong dengan sebesar-besar kesombongan. Maka apabila datang perjanjian yang pertama dari yang dua itu, kami utus untuk menunjuki kamu, hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang sangat, lalu mereka bermaharajalela di seluruh negeri, dan adalah perjanjian itu sudah dilakukan. Kemudian Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan atas mereka dan Kami beri kepada kamu harta dan anak, serta Kami jadikan kamu menjadi bilangan yang banyak (kembali). Jika kamu berbuat kebajikan, bererti kamu berbuat kebajikan bagi dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat kejahatan, bererti kamu berbuat kejahatan bagi dirimu. Maka apabila datang perjanjian yang akhir (Kami utus mereka) supaya mereka membusukkan akan muka-muka kamu (merosak dan mengalahkan kamu), dan supaya mereka masuk ke dalam masjid (maksudnya Baitul Maqdis), sebagaimana mereka sudah masuk ke dalamnya pertama kali, dan supaya mereka binasakan kamu selagi mereka berkuasa. Mudah-mudahan Allah s.w.t kamu mengasihi kamu, dan jika kamu kembali, Kami akan kembali (menyeksamu), dan Kami jadikan Jahannam bagi orang-orang kafir sebagai kurungan.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA