SMAHADZIR
SESUNGGUHNYA setiap makhluk diciptakan Allah s.w.t berpasang-pasangan.
Begitu juga Allah s.w.t. menciptakan manusia ada lelaki dan wanita.
Kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu Islam
menggalakkan umat dari agama Islam mengikat tali perkahwinan yang sah supaya
akan melahirkan zuriat keturunan. Nabi s.a.w merasa bangga apabila melihat
umatnya ramai pada hari akhirat nanti, berbondong-bondong masuk ke Syurga.
Perkahwinan adalah sunah Nabi s.a.w dan baginda tidak mengaku sebagai umatnya
apabila ada di kalangan mereka enggan berkahwin tanpa mempunyai alasan yang dibenarkan
oleh syarak.
Persoalannya adalah bagaimana seorang Muslim dapat
mengenalpasti ciri Muslimah sebelum nikah, kerana ia diperintahkan untuk
menundukkan pandangan (shaddul bashar)
terhadap wanita? Seorang yang soleh akan tetap menjaga ketinggian akhlak dan
mengelakkan perhubungan yang tidak diizinkan syarak.
Berikut adalah antara perkenalan yang perlu dan cara
pendekatan yang dapat dilaksanakan:
1. Mengetahui Akhlak Dan
Tingkahlaku Muslimah Dalam Kehidupan Harian
Kehidupan harian yang dilalui setiap individu yang
beriman dan beramal soleh digambarkan melaliu ciri-ciri berikut iaitu:
- Ibadah
yang kusyuk.
- Berpakaian
menutup aurat yang sempurna. (menutup seluruh tubuh melainkan muka dan dua
tapak tangan).
- Cara
percakapannya tidak dibuat-buat (mengada-ngada).
- Menjaga
pandangannya (tidak melingas matanya memandang, terutamanya melihat pemuda
yang bukan mahramnya).
- Bergaul
dengan semua muslimah (tidak membataskan pada kriteria fizikal, seperti
bergaul hanya yang sesama berbusana tertentu) dengan akhlak yang karimah.
Pengamatan ini boleh dilakukan melalui pertanyaan
kepada siapa yang mengenalinya. Harus diingat bahawa pengamatan ini hendaklah
dilakukan dengan cermat, jangan sampai diketahui oleh Muslimah itu, bahawa ia
sedang diperhatikan, kerana ini akan menyebabkan salah tingkah atau tindakannya
jadi tak natural (bersahaja).
2. Melihat Keadaan Rumah
Tangga Keluarga Wanita
Hal ini adalah dibolehkan, semasa bertunang. Ia boleh
dilakukan semasa menziarahi kedua orang tua kepada wanita yang dipinang. Ketika
ini juga ia boleh menanyakan lebih lanjut mengenai wanita itu pada ahli
keluarganya. Biasanya jika ia berasal dari keturunan yang baik dan taat agama
akan melahirkan wanita yang solehah. Tetapi, harus juga diingat ada juga wanita
solehah yang berasal dari keluarga yang kurang taat pada ajaran agama.
3. Penglibatan Dalam Dakwah
Islam
Bagi lelaki Muslim yang memahami bahawa
tanggungjawab terhadap agamanya tidak dipisah dengan usaha dakwah dan merasakan
tidak mencukupi melalui dua perkenalan di atas, maka eloklah ditinjau juga
setakat mana penglibatan wanita itu dan peranannya dalam kegiatan dakwah Islam.
Bagi ibu bapa yang baik dan taat beragama, dasar
pemilihan dan urusan jodoh anaknya berdasarkan agama yang utama. Namun bagi
yang lalai dan silau dengan kilauan harta dan pangkat dunia faktor agama bukan
lagi neraca pertimbangannya. Penjodohan dengan dorongan aspek duniawi sangat
menyalahi ajaran Islam dan wajib ditolak.
Sekiranya ibu bapa kita tergolong dalam golongan
yang tidak menjadikan nilai agama sebagai tunggak dalam perjodohan anaknya maka
adalah wajar mendapatkan bantuan mereka yang membimbing dalam pendidikan
Islamnya sebagai orang tengah. Melalui kaedah ini adalah lebih baik dan
terpelihara dari unsur kerosakan akhlak seperti percintaan sebelum pernikahan
yang mendekati zina (bertemu janji berdua-duaan sebelum pernikahan).
Menurut Al-Quran, wanita ideal mestilah wanita yang
solehah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Wanita yang baik (solehah) adalah
yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya, oleh kerana
Allah telah memelihara mereka.” (surah An-Nisa’ ayat 34)
Seorang Mukmin yang benar-benar taat pada Allah
s.w.t. tidak akan mengambil mudah soal jodoh, dengan kata-kata ‘kita kahwin
dulu, nanti kita tarbiyyah kemudian’.
Perlu diingat apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak kadangkala tidak ada
masa untuk mendidik isteri, dan isteri pula enggan menghadiri majlis ilmu dan
kemungkinan kemampuan suami pula tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk
mentarbiyah isterinya, akhirnya hajat yang awal ingin membina rumah tangga
Muslim kecundang ditengah jalan. Oleh itu pemilihan berdasarkan agama (wanita
solehah) adalah amat penting, lebih penting dari kecantikannya, hartanya atau
kerjayanya.
Setiap wanita pula perlulah mempersiapkan diri
mereka untuk menjadi wanita solehah samaada yang belum berkahwin atau yang
telah bersuami. Kerana sesungguhnya sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita
solehah. Di akhirat nanti wanita yang solehah di dunia ini apabila ia
dimasukkan ke dalam Syurga, kedudukannya lebih cantik dan mulia daripada
bidadari Syurga. Seandainya kedua-duanya suami dan isteri yang soleh dan
solehah, andainya mereka dapat memasuki Syurga mereka akan di nikahkan semula
oleh Allah s.w.t. di Syurga dan ini adalah kenikmatan yang tidak ada tolok
bandingnya.
Perempuan Solehah Dan
Bidadari Syurga
Daripada Ummu Salamah, katanya: “Aku bertanya: “Wahai
Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Jawab Baginda s.a.w:
“Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik
daripada yang batin.” Aku bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”
Baginda s.a.w menjawab: “Dengan solat, puasa dan ibadah mereka kepada Allah, Allah
akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera
yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning.” (hadis riwayat
At-Thabrani)
Sungguh mulia dan sempurna seorang perempuan solehah
itu, tarafnya di sisi Allah s.w.t lebih tinggi daripada bidadari, malahan
bidadari hanyalah ibarat gundik-gundik yang mengiringi setiap pergerakannya.
Seringkali orang bertanya, kenapa perlu adanya
bidadari di syurga, sedangkan perempuan solehah itu sudah cukup mempesona, sudah
cukup sempurna?
Sebenarnya, bidadari-bidadari syurga hanyalah
memainkan peranan sebagai penyerlah kecantikan perempuan solehah tersebut.
Bayangkan sebuah bintang yang bersinar paling gemerlap di langit, mana mungkin
terserlah kecantikannya tanpa bintang-bintang lain yang kurang bersinar di
sekeliling. Mana mungkin terserlah kecantikannya jikalau hanya bintang tersebut
satu-satunya yang ada di langit. Samalah juga dalam hal ini, perempuan solehah
di syurga akan terserlah kecantikannya dengan hadirnya bidadari-bidadari di
sekelilingnya.
Nilai Seorang Perempuan
Solehah
Apakah nilai seorang perempuan solehah? Berapakah
harganya di sisi Allah s.w.t? Jawab Al-Khawarizmi, pakar Matematik Islam:
Jika wanita solehah dan beragama = 1
Jika dia cantik, tambah 0 kepada 1 = 10
Jika dia kaya, tambah lagi 0 = 100
Dan jika dia dari keluarga baik-baik, tambah lagi
0 = 1000
Tetapi jika yang ‘1? tiada
Maka, tiada apa yang tersisa pada wanita tersebut
kecuali sekelompok ‘0’.
|
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa nilai perempuan
solehah itu terlampau berharga, sehinggakan kecantikan, kekayaan dan
keturunannya tidak akan dilihat sama sekali tanpa keimanan dan kepatuhan kepada
Allah s.w.t.
Wahai perempuan solehah, ketahuilah bahawa:
|
Rahsia Jadi Isteri Solehah
Bagaimana mahu menjadi wanita atau isteri solehah.
Adakah perlu warak (kuat beribadat), memakai purdah atau pandai membaca Al-Quran?
Wanita solehah ialah mereka yang pandai menghibur
dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta
sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya malah tidak mahu berpisah
walaupun sekejap. Bukan perkara yang susah mahu menjadi wanita solehah. Hanya
dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki
carta itu.
Ada yang berkata senyuman isteri yang dilakukan
dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk
alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit. Pandangan yang
mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya.
Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik
dipakainya.
Suami mana akan memandang ke belakang apabila
isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera
suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan
di kedai kopi. Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan
yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami
keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.
Rasululullah s.a.w pernah bersabda bahawa isteri
solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya. Bayangkan
suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah
kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah
yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan
minuman untuk menghilangkan dahaga.
Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian
kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai
mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu
dan sengaja balik lewat ke rumah. Kadangkala kita tertanya-tanya mengapa
sesetengah lelaki suka mencari pelacur untuk memuaskan nafsu. Tidakkah mereka
takut dengan hukum Allah dan risiko jangkitan penyakit yang boleh mereka dapat.
Sebenarnya, sesetengah lelaki gemar mencari
perempuan lacur kerana mereka mendapat layanan kelas satu ketika bersama wanita
berkenaan. Mereka tidak mendapatnya ketika di rumah apatah lagi isteri yang
terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabai nafkah batin kepada suami.
Mungkin ada yang berkata, wanita pelacur memberi
layanan kelas satu kerana mereka dibayar atau mendapat bayaran. Adakah isteri
juga mahu suami memberi bayaran kepada mereka semata-mata untuk mendapatkan
layanan kelas satu? Jika isteri mempunyai pandangan sedemikian, jangan
melenting jika dikatakan mereka juga sama dengan pelacur.
Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur
kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada
isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri. Jika
perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas
satu kepada suami.
Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan
suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala
daripada Allah. Isteri yang sengaja enggan melayan nafsu suami akan
dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suri rumah
tangga.
Kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan
kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka
tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi. Mungkin ramai yang
tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang
isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika
dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.
Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah
untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang
banyak. Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa,
tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang
ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.
Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana
pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang
dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah
senjata untuk memancing manusia bernama lelaki.
Wanita Solehah Dan Suami
Rasulullah s.a.w bersabda, “Lihatlah di mana dirimu
pada suamimu, sesungguhnya ia adalah syurga atau nerakamu.” (hadis riwayat Thabrani)
Allah s.w.t berfirman, “Mereka (para isteri) adalah
pakaian bagimu dan kamu (para suami) adalah pakaian bagi mereka.” (surah al-Baqarah:
187)
Sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Ibrahim Ali
bahawa tempat ketenangan bagi seorang suami adalah isterinya. Begitu juga
sebaliknya ketenangan seorang isteri adalah suaminya. Di antara keduanya akan
terbentuk rasa kasih sayang dan cinta.Ini adalah satu nikmat daripada Allah
bagi manusia. Melalui pernikahan Islam menghendaki agar hubungan lelaki dan
wanita menjadi kuat, mantap dan kekal serta dapat menjadi pasangan yang bersatu
dalam kerja, maksud, tujuan dan cita-cita.
Sedangkan Syeikh Abdul Halim mengatakan Allah
menghendaki daripada seorang wanita solehah agar menjadi pententeram hati bagi
suami dengan segala makna kata ‘tenteram’ yang meliputi; kepuasan, ketenangan, kebahagiaan,
kedamaian dan seterusnya. Asmaa’ binti Kharijah menasihati anak perempuannya
ketika melangsungkan pernikahan anak perempuannya iaitu:
- Wahai
anakku, kini engkau telah keluar dari sarang yang di situlah engkau dahulu
dilahirkan sehingga engkau menjadi besar.Kini engkau akan beralih ke satu
hamparan dan rumah yang engkau belum mengenalnya dan juga engkau harus
berkawan dengan seseorang yang belum tentu serasi denganmu.
- Itulah
suamimu, jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi langit
bagimu. Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia akan menjadi sebagai
tiang untukmu.
- Janganlah
engkau menyibukkannya dengan bermacam kesukaran, sebab, itu akan
membuatkan ia meninggalkanmu.
- Janganlah
engkau terlampau menjauh daripadanya, agar ia tidak melupakanmu, tetapi
jika dia mendekatimu, maka dekatilah ia.
- Peliharalah
suamimu itu dengan benar, baik hidungnya, pendengarannya, matanya dan
lain-lainnya. Janganlah kiranya suamimu itu mencium sesuatu darimu
melainkan yang harum. Jangan pula mendengarkannya melainkan yang enak dan
jangan pula melihatkannya melainkan yang indah.
- Apa
yang penting seorang isteri adalah sendi utama di tengah-tengah rumahnya. Seorang
isteri hendaknya banyak duduk di dalam rumahnya, sedikit berbicara dengan
jiran tetangganya dan jangan masuk ke rumah jiran kecuali dalam keadaan
yang sangat perlu.
- Seorang
isteri hendaknya menjaga suaminya baik di waktu suami berpergian atau
ketika suami di rumah. Usahakanlah agar suami selalu berada di dalam
keadaan ‘gembira’. Jangan sesekali kamu mengkhianati suamimu dan hartanya.
Dan jangan pula kamu keluar dari rumahnya melainkan dengan ada izin
daripada suamimu.
- Sekiranya
ada seorang kawan suamimu datang ke rumahmu dan beliau berada di muka
pintu rumah tetapi saat itu suamimu tidak ada di rumah maka tidak perlulah
kamu cuba untuk bercakap-cakap dengannya. Hendaklah kamu sentiasa menjaga
perasaan ‘cemburu’ suamimu terhadapmu.
- Seorang
isteri hendaklah merasa puas dengan apa yang ada pada suamimu. Mengenai
apa sahaja yang di rezeqikan Allah s.w.t padanya. Kamu harus mendahulukan
hak suamimu di atas hakmu sendiri serta hak keluarga lainnya.
Demikianlah nasihat seorang ibu yang budiman kepada
puterinya dalam kewajipannya untuk menjadikan puterinya sebagai isteri yang
solehah dan taat pada suami. Maka ada beberapa hal yang selayaknya ditunaikan
oleh setiap wanita solehah terhadap suaminya dalam rangka mewujudkan keredhaan
Allah s.w.t dan suami sehingga menjadi bekal menuju syurga.
Hak Suami
Rasulullah s.a.w bersabda, “Wanita tidak dapat
menunaikan hak Allah s.w.t sehingga dia menunaikan semua hak-hak suaminya
walaupun suaminya memintanya (untuk menggaulinya) di atas pelana kenderaan, tetap
belum tertunaikan haknya.” (hadis riwayat Thabrani)
Bersabda Rasulullah s.a.w lagi, “Wahai sekalian
wanita! Bertakwalah kepada Allah s.w.t dan peganglah keredhaan suamimu. Sesungguhnya
wanita apabila mengetahui akan hak-hak suaminya dia akan tetap berdiri selama
makan siang dan makan malamnya.” (hadis riwayat Abu Nuaim)
Aisyah r.a berkata, “Wahai kaum wanita, sekiranya
kamu tahu hak-hak suamimu yang harus kamu penuhi, kamu pasti menyapu debu-debu
dari kedua tapak kaki suamimu dengan wajahmu.”
Hadis-hadis di atas secara jelas telah menekankan
betapa tingginya hak seorang suami yang harus ditunaikan oleh isteri. Akan
tetapi pada zaman sekarang ini, berapa ramaikah isteri-isteri yang ambil kisah
dalam menunaikan hak-hak suaminya? Bahkan, jangankan menunaikan hak-hak suami, rasa
ingin tahu apakah ‘hak-hak’ seorang suami pun masih ramai yang tidak mahu ambil
tahu.
Hak manusia yang paling utama ditunaikan bagi
seorang isteri adalah suaminya. Selagi hak-hak suami belum ditunaikan selagi
itulah hak-hak Allah s.w.t belum terpenuhi. Allah s.w.t akan tanya kembali di
akhirat nanti mengenai hak-hak sesama manusia, sama ada ditunaikan ataupun
tidak. Sehebat mana pun si isteri beribadah kepada Allah s.w.t, tetap Allah s.w.t
menganggap belum tertunaikan hak-Nya jika si isteri belum menunaikan hak-hak
suaminya.
Ada beberapa hak yang utama menjadi kewajipan isteri
untuk menunaikannya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, “Hak suami atas isteri
adalah, bermalam di tempat tidurnya, menyenangkan janjinya, mentaati
perintahnya, tidak keluar rumah kecuali dengan izin daripadanya dan tidak
membenarkan siapa sahaja yang dibenci suaminya masuk ke rumah.” (hadis riwayat Thabrani)
Alim ulama telah menyimpulkan beberapa hak-hak suami
yang harus dipenuhi oleh isteri, di antaranya ialah:
- Taat
kepada suami.
- Menjaga
kehormatan suami.
- Bersikap
menyenangkan di hadapan suami.
- Berhemah
dalam mengeluarkan harta suami.
- Tidak
benarkan lelaki lain masuk ke rumah tanpa izin dari suam.i
- Tidak
menolak ajakan suami untuk bersetubuh.
- Menjaga
rahsia suami.
- Tidak
keluar rumah tanpa izin daripada suami.
- Menjaga
hartanya.
- Menerima
giliran sekiranya mempunyai saudara ‘madu’ dan banyak lagi hak-hak suami
ke atas isterinya selain di atas.
Sekarang ini, ramai wanita faham akan hak-hak
dirinya sendiri terutama dalam ‘pemberian’ nafkah ataupun material tetapi dalam
hal agama? Sedikit sekali wanita yang ambil peduli sehingga sangat jarang
mereka menuntut hak-hak itu daripada suaminya. Ini menyebabkan fitnah demi
fitnah pun muncul di mana-mana.
Ketaatan Kepada Suami
Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku boleh
perintahkan seseorang untuk sujud di hadapan selain Allah s.w.t maka
sesungguhnya aku perintahkan para isteri untuk sujud kepada suaminya. Demi jiwa
Muhammad yang ada di tangan-Nya, tidak seorang isteri itu menunaikan hak-hak
Allah s.w.t sebelum dia tunaikan semua hak-hak suaminya. Hinggakan, seandainya
suaminya ‘meminta’ dirinya dan kala itu dia berada di atas pelana kenderaan, tidaklah
boleh dia menolaknya.” (hadis riwayat Ahmad, IbnuMajah, Ibnu Hibban)
Allah s.w.t berfirman, “Lelaki lebih kuat daripada
wanita.” (surah An Nisaa’:24)
Sebagai wanita solehah, haruslah yakin dan terima
dengan penuh kerelaan bahawa suaminya adalah pemimpin dalam rumahtangganya dan
berkedudukan di bawah suaminya. Juga mempunyai rasa tanggungjawab untuk taat
kerana kesolehan itu berkait rapat dengan ketaatan. Tidak boleh seseorang
dikatakan soleh jika dia tidak mempunyai ketaatan. Orang yang tidak taat adalah
orang yang bermaksiat. Sebagaimana firman Allah s.w.t, “Adapun orang-orang yang
solehah adalah qanitaatt (orang-orang
yang taat) dan hafizaat (orang-orang
yang menjaga diri) saat suami tiada dengan sebab penjagaan Allah s.w.t ke
atasnya.” (surah An Nisaa’:34)
Dalam ‘Huququl
Mar’ah’ dikatakan bahawa isteri yang tidak taat kepada suami bererti dia
telah bermaksiat kepada suaminya dan isteri yang bermaksiat kepada suami
bererti dia telah bermaksiat kepada Rasul-Nya dan barangsiapa bermaksiat kepada
Rasulullah s.a.w bererti dia telah bermaksiat kepada Allah s.w.t.Jadi wajarlah
sekiranya Malaikat mendoakan laknat kepada isteri yang tidak mentaati suaminya.
Imam Nawawi r.a menulis bahawa, isteri mesti sedar
bahawa dirinya adalah milik suami seperti tawanan yang lemah yang tak berdaya
di hadapan suami. Selalu tunduk dan taat kepada suami. Sehingga ulama telah
berpendapat bahawa:
- Segala
perbuatan isteri mesti ada izin daripada suami.
- Isteri
hendaklah merasa malu terhadap suami.
- Tidak
berani menentang suami.
- Menundukkan
pandangan di hadapan suami.
- Merendahkan
suara.
- Taat
kepada suami apabila diperintahkan oleh suami selain perkara yang membawa
kemaksiatan kepada Allah s.w.t.
- Diam
ketika suami bercakap.
- Hantar
suami ke muka pintu ketika suami mahu keluar rumah.
- Menyambut
ketika suami hadir dengan manis muka.
- Menunjukkan
rasa cinta kepada suami.
- Mencium
suami sebelum tidur.
- Memakai
wangian ketika berada di samping suami.
- Selalu
berhias ketika berhadapan dengan suami.
- Tidak
berhias ketika ketiadaan suami di sisi.
Ketaatan kepada suami adalah mutlak sebagaimana yang
dinasihatkan oleh Ibnul Jauzi bahawa ketaatan seorang isteri kepada suaminya
adalah wajib. Namun ketaatan yang wajib itu terbatas, iaitu hanya perkara yang
dihalalkan bukan yang diharamkan, contohnya, sekiranya suami mengajak
bersetubuh ketika haid, pada siang hari pada bulan Ramadhan, mengajak untuk
tidak solat dan sebagainya, maka tidak wajib taat. Allah s.w.t tidak akan
menyuruh mentaati makhluk dalam hal-hal yang bertentangan dengan-Nya.
Syeikh Abdul Halim menambah, sekiranya suami menyuruh
untuk berhias seperti jahiliyyah, berkumpul
dalam majlis yang bercampur lelaki dan wanita maka isteri tidak wajib untuk
taat kepada suaminya.
Selanjutnya beliau menulis bahawa seorang wanita solehah
mestilah berhati-hati agar kekurangan yang ada pada suami tidak menjadi alasan
untuk membantah perintahnya. Kurang harta, ilmu, kedudukan mahupun
kebangsawanan terutama apabila isteri itu sendiri mempunyai kelebihan tersebut
lebih tinggi daripada suaminya, seharusnya seorang isteri itu bertakwa kepada
Allah s.w.t, istiqamah dengan
batas-batas syariat-Nya semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t.
Ada satu cerita pada zaman Nabi s.a.w, ada seorang
lelaki mahu berangkat pergi berperang, dia berpesan kepada isterinya, “Wahai
isteriku, jangan sekali-kali keluar dari rumah ini sehingga aku pulang.”
Kebetulan ayah isterinya menderita sakit, maka isteri tadi mengutuskan seorang
lelaki pergi menemui Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bersabda kepada utusan itu,
‘‘Suruhlah isteri itu taat kepada suaminya.”
Maka wanita itu taat kepada suaminya dan tidak
berani keluar dari rumahnya. Selepas itu ayahnya pun meninggal dunia tetapi dia
tetap sahaja di rumahnya dan tidak sabar menunggu kepulangan suaminya. Maka
Allah s.w.t mewahyukan kepada Nabi s.a.w, “Sesungguhnya Allah s.w.t telah
mengampuni ayah wanita itu kerana ketaatan kepada suaminya.”
Untuk itu, sangat ditekankan kepada para isteri agar
tidak mencari-cari kelemahan suami sehingga mempengaruhi ketaatannya kepada
suami. Jika dicari kelemahan itu pasti akan menjumpainya dan perkara ini boleh
menghancurkan rumah tangga sendiri. Sekiranya kelemahan itu terlihat juga oleh
mata kita, tugas isteri adalah cuba memperbaikinya dengan cara bijaksana tanpa
mengurangi rasa hormat dan taat kepada suami.
Khidmat Atau Melayani Suami
Rasulullah s.a.w telah memberi perhatian yang tinggi
kepada setiap isteri dalam berkhidmat kepada suami seperti dalam nasihat
Baginda s.a.w kepada puterinya Fathimah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
- Wahai
Fathimah, wanita yang membuat tepung untuk suami dan anak-anaknya, Allah s.w.t
akan menetapkan pada setiap biji tepung itu, kebaikan, menghapuskan
keburukan dan meningkatkan darjat wanita itu.
- Wahai
Fathimah, yang lebih utama dari seluruh keutamaan yang disebutkan di atas
adalah keredhaan suami ke atas isterinya.Andaikata suamimu tidak redha
kepadamu maka aku tidak akan mendoakanmu.Ketahuilah wahai Fathimah, kemurkaan
suami adalah kemurkaan Allah s.w.t.
- Wahai
Fathimah, tidaklah wanita yang berkhidmat melayani suaminya sehari semalam
dengan rasa senang hati dan penuh keikhlasan serta niat yang betul
melainkan Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosanya dan memakaikannya dengan
pakaian hijau gemerlapan pada hari qiamat dan menetapkan baginya pada
setiap rambut pada tubuhnya 1,000 kebaikan dan Allah memberi kepadanya
pahala 100 ibadah haji dan umrah.
- Wahai
Fathimah, apabila seseorang isteri itu tersenyum manis kepada suaminya, Allah
akan memandangnya dengan pandangan kasih sayang.
- Wahai
Fathimah, wanita yang membentangkan tempat tidur untuk suaminya
dengan senang hati, malaikat pemanggil dari langit akan menyerunya untuk
menghadapi amalnya dan Allah mengampuni dosa-dosanya yang sudah lalu dan
yang akan datang.
- Wahai
Fathimah, seseorang wanita yang meminyaki rambut dan janggut suaminya, mencukur
kumisnya dan memotong kukunya, Allah s.w.t akan memberinya arak yang masih
tertutup, murni dan belum terbuka dari sungai-sungai dalam syurga
Allah.Allah akan mudahkan saat sakratulmautnya, kuburnya akan ditemui
sebagai taman-taman syurga dan Allah menetapkan baginya bebas dari api
neraka dan selamat melalui titian sirat.
Ibnu Mas’ud RA berkata, Nabi s.a.w bersabda, “Apabila
seorang isteri membersihkan pakaian suaminya maka Allah mencatatkan baginya 1,000
kebaikan dan mengampuni kesalahannya dan segala sesuatu yang disinari oleh
matahari meminta ampun baginya dan Allah mengangkat 1000 darjat baginya.”
Saiyidina Ali r.a berkata, “Jihad seorang wanita
adalah menguruskan suaminya dengan baik.” Dalam Mustadrak dinukilkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tugas
seorang wanita adalah, membuka pintu dan menyambut suaminya.” Dalam
sabdanya yang lain, “Seorang isteri bertugas untuk menyediakan bekas air dan
tuala untuk membasuh tangan suaminya.”
Keredhaan Suami
Hendaklah difahami bahawa keredhaan suami adalah
kunci kebahagiaan hidup seorang isteri. Ini yang seharusnya selalu diusahakan, Rasulullah
s.a.w, “Sesiapa sahaja wanita yang meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya
maka dia kan masuk syurga.” (hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Tidak halal bagi
seorang isteri berpuasa sunat pada waktu adanya suami di sisi melainkan diizinkan
oleh suaminya. Juga tidak boleh isteri membenarkan orang lain masuk ke rumahnya
melainkan dengan izin suaminya.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiga orang yang tidak
akan naik solat mereka dari kepala walaupun sejengkal ialah seorang lelaki yang
mengimami suatu kaum padahal mereka membencinya, seorang isteri yang bermalam
padahal suaminya marah padanya dan dua orang saudara yang bermusuhan.” (hadis
riwayat Ibnu Majah).”
Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiga orang yang solat mereka
tidak akan diterima dan tidak akan sampai kebaikan mereka ke langit ialah hamba
yang lari daripada majikannya, sehingga dia kembali, isteri yang dimarahi
suaminya sehingga suaminya redha kepadanya dan orang yang mabuk sehingga dia
sedar.”
Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa suatu ketika
Fathimah r.a, datang menemui Rasulullah s.a.w, ketika melihat Rasulullah s.a.w,
bercucuranlah air matanya dan riak wajahnya berubah kesedihan. Nabi s.a.w
bertanya, “Kenapa denganmu anakku?” Fathimah r.a menjawab, “Wahai
Rasulullah s.a.w, malam tadi aku dan Ali bergurau dan aku tercakap sesuatu yang
membuatkan dia marah padaku. Ketika aku melihat dia (Ali) marah, aku menyesal
dan mula rasa susah hati maka aku berkata kepadanya, ‘Hai kekasihku, kesayanganku,
maafkanlah kesalahanku, lalu aku mengelilinginya dan merayu kepadanya sebanyak
72 kali sehingga akhirnya dia rela dan mentertawakanku dengan segala
kerelaannya, tapi aku tetap merasa takut kepada Tuhanku.”
Rasulullah s.a.w bersabda kepada Fathimah r.a, “Wahai
anakku demi zat yang telah mengutusku sebagai Rasul dengan agama yang benar, sesungguhnya
sekiranya kamu mati sebelum Ali r.a rela kepadamu maka aku tidak akan
menyembahyangkan mayatmu.”
Kemudian Baginda bersabda lagi:
- “Wahai
anakku, tidakkah kamu tahu, kerelaan suamimu itu adalah kerelaan Allah dan
kemurkaan suamimu itu adalah kemurkaan Allah.
- Wahai
anakku, seorang perempuan yang beribadah betul-betul seperti ibadahnya
Maryam a.s puteri Imran tetapi suaminya tidak redha kepadanya maka Allah
tidak akan terima segala amal ibadahnya.
- Wahai
anakku, amal yang paling utama bagi para wanita ialah ketaatannya terhadap
suaminya dan sesudah itu tidak ada lagi amal yang paling utama
daripada ‘bercumbu’dengan suami.
- Wahai
anakku, duduklah satu jam bercium dengan suami lebih baik dari beribadah
100 tahun dan di catat pada setiap pakaian yang dipakai pada waktu bercium
tadi seperti pahala seorang yang mati syahid.
- Wahai
anakku, sesungguhnya seorang wanita yang mencium suaminya, memakai pakaian
kepada suami dan anak-anaknya, maka sudah pasti baginya syurga.Allah
memberikan untuk setiap pakaian yang dipakai dari berbagai jenis pakaian, sebuah
kota di dalam syurga.”
Syeikh Abdul Halim mengatakan bahawa seorang
muslimah yang bijak adalah yang merasa bahawa suaminya sangat serasi dengannya
walaupun ada kekurangan suami dalam segi keduniaan. Perkara ini sama sekali
tidak mempengaruhi kehidupan rumahtangganya, dia redha dengan apa yang dimiliki
suaminya.
Suri tauladan bagi wanita solehah adalah
pasangan-pasangan solehin yang terdahulu. Lihatlah bagaimana mereka mendapatkan
‘kunci’ tersebut dalam kehidupan mereka. Abu Dardaa’ r.a berpesan kepada
isterinya, “Jika kamu lihat aku sedang marah, maka maafkanlah aku, dan
sekiranya aku lihat kamu sedang marah, aku akan memaafkanmu. Kalau tidak
demikian maka kita tidak akan pernah bersahabat.”
Imran ibnu Hathan pernah berkata kepada isterinya
seorang wanita yang sangat cantik dan muda pula. Sementara itu dia sendiri
adalah lelaki yang tidak tampan dan kurang menarik, “Sesungguhnya aku dan kamu
akan masuk syurga, Insya-Allah.”
Isterinya bertanya, “Bagaimana itu boleh berlaku?” Imran
menjawab, “Aku telah diberi oleh Allah s.w.t isteri yang secantik kamu, lalu
aku bersyukur dan kamu telah diberi oleh Allah s.w.t suami sperti aku, lalu
kamu bersabar.” (hadis riwayat Ibnu Abi Rabbah)
Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada para
sahabatnya, “Mahukah aku beritahu kalian, bakal isterimu di syurga?” Para
sahabat R.anhum menjawab, “Ya, ya Rasulullah s.a.w.” Rasulullah s.a.w bersabda,
“Mereka itu ialah, setiap isteri yang penuh dengan kasih sayang dan banyak anak
(subur) dan apabila dia marah atau diganggu atau dimarahi oleh suaminya, lalu
dia menyerahkan dirinya dan berkata, ‘Ini tanganku, terserah kamu, aku tidak
boleh tidur selagi kamu tidak relakanku.” (hadis riwayat Thabrani)
Jika melihat hadis di atas nampaknya mudah sekali
bagi seorang wanita untuk masuk syurga Allah s.w.t. Seolah-olah syurga bagi
wanita itu hanya dua langkah sahaja, ‘redha Allah dan redha suami’, itu sahaja.
Untuk mendapatkan redha Allah dan redha suami memerlukan keimanan dan amal
soleh.
Perbicaraan Dengan Suami
Wanita yang solehah adalah wanita yang sentiasa
menjaga percakapannya di hadapan suaminya. Jangan sampai akibat perkataannya
boleh membawa kepada kemurkaan Allah dan menyakiti hati suami. Sememangnya hal
ini berlaku kerana dorongan nafsu dan emosi yang tidak terkawal.
Perkara inilah yang sangat-sangat dikhuatirkan oleh
Nabi s.a.w. Diriwayatkan bahawa ketika Baginda s.a.w mengerjakan solat kusuf, terbayang-bayang di minda
Rasulullah s.a.w syurga dan neraka. Di dalam neraka itu, Rasulullah s.a.w
melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita. Para sahabat bertanya, apakah
sebabnya? Rasulullah s.a.w menjawab, “Mereka tidak mengakui kebaikan suami dan
tidak berterima kasih kepada suami. Yakni kamu berbuat baik kepada isterimu
sepanjang hayatmu tapi suatu ketika apabila pergaduhan atau salah faham, mereka
berkata, ‘Aku tidak pernah dapat apa-apa kebaikan pun daripada kamu.’’ (Muttafaqun
Alaih)
Ya’la Ibnu Munabbih menceritakan, ada seorang suami
yang datang berjumpa Rasulullah s.a.w, menceritakan bahawa setiap kali dia
datang, maka isterinya yang solehah menyambutnya dengan kata-kata, “Selamat
datang wahai tuan pemilik rumah, jika kehendakmu adalah untuk akhiratmu, semoga
Allah meningkatkan dengan kemahuanmu itu. Jika kehendakmu untuk duniamu, semoga
Allah s.w.t sentiasa memberi rezqi dan merestuimu.”
Mendengar demikian Rasulullah s.a.w bersabda, “Untuk
isterimu itu pahala separuh pejuang di jalan Allah. Dialah pekerja yang berada
di bawah pimpinan Allah.”
Puteri Sa’id Ibnu Musayyab yang terkenal dengan kesolehannya,
mengajarkan kepada para isteri bagaimana caranya berkelakuan di hadapan suami, beliau
berkata, “Tidaklah kami berbicara dengan suami-suami kami kecuali sepertimana kalian
berbicara di hadapan raja-raja kalian. “ (Ahkamun Nisaa’)
Syeikh Zakaria mengulas tentang perkara ini, beliau
mengatakan, “Maka dari riwayat-riwayat ini dapat difahami bahawa penyebab
mengapa wanita kebanyakannya masuk neraka. Dalam sebuah hadis mengenai Hari
Raya, diceritakan bahawa setelah mendengar nasihat Rasulullah s.a.w, semua kaum
wanita telah membuka perhisan emas dan perak dari telinga dan leher mereka, lalu
diletakkan di dalam kain Bilal r.a yang bertugas mengumpulkan sedekah pada masa
itu.
Dinukilkan oleh Syeikh Ahmad Hussin dalam buku Al-Maraatul Muslimaat Amamaat Tahdiyaat
bahawa satu kali As-Sya’bi bertanya kepada Syuraih Al-Qadhi tentang rumah tangga.
Syuraih berkata. “Selama 20 tahun aku belum pernah melihat sesuatu yang
membuatkan aku kesal dengan isteriku. Semenjak malam pertama aku bertemu dengan
isteriku, ternyata dia sangat cantik, tidak ada bandingannya. Ketika aku
melaksanakan dua rakaat solat syukur, aku melihat isteriku juga melakukan
perkara yang sama. Dia berkata kepadaku, “Alhamdulillah, aku bersyukur kepada
Allah, aku memohon pertolohan kepada Allah s.w.t, sesungguhnya aku adalah
seorang wanita yang tidak tahu sedikit pun tentang kebaikanmu, maka jelaskanlah
kepadaku apa yang kamu suka, agar aku boleh menunaikannya dan apa yang kamu
tidak suka, agar aku dapat meninggalkannya. Dalam kaummu ramai wanita yang
layak kamu nikahi dan dalam kaumku ramai lagi lelaki yang layak menjadi suamiku.
Tetapi Allah sudah tetapkan ini terjadi, aku sudah menjadi milikmu. Kerjakanlah
apa yang Allah telah perintahkan kepadamu, milikilah aku dengan sebaik-baiknya
atau ceraikan aku dengan sebaik-baiknya. Aku sampaikan hal ini dan aku memohon
kepada Allah untukmu dan diriku.”
Syuraih meneruskan, “Wahai Sya’bi, demi Allah, dia
membuatkan aku berceramah dengan masaalah tersebut. Aku berkata, “Alhamdulillah,
Nahmaduhu wa Nusolli Alaa Rasulihil
Kareem. Sungguh kamu telah mengatakan sesuatu yang jika kamu dapat buktikan
kebenaran tentang perkara ini, itu nasibmu. Tetapi jika kamu hanya mengada-ada
maka hal itu hanya akan ‘berbalik’ kepadamu. Aku suka ini dan itu, aku tidak
suka ini dan itu. Apa yang kamu lihat dari kebaikanku maka sebarkanlah dan apa
yang kau lihat dari keburukanku maka sembunyikanlah.”
Isteriku berkata, “Siapakah jiran tetanggamu yang
kamu benarkan masuk ke rumah? Agar aku membenarkannya dan siapakah mereka yang
kamu tidak suka untuk memasuki rumahmu agar aku tidak membenarkannya.”
Aku menjawab. “Si polan, adalah orang baik-baik dan
si polan adalah orang yang tidak baik.”
“Wahai Sya’bi, aku hidup dengannya selama 20 tahun
belum pernah aku rasa tidak puas hati kepadanya tentang sesuatu perkara kecuali
sekali, itu pun ketika aku berbuat zalim kepadanya.”
Untuk itu diingatkan bahawa seorang isteri mesti
menjadikan perbicaraannya dengan suami sebagai penghibur suaminya. Apabila
isteri ada ‘keluhan’ haruslah dilihat waktu dan keadaan suami. Ambil kira
tentang suami, yang mana suami pun ada perkara yang banyak menggunakan tenaga
dan fikirannya. Maka, walaupun berbagai masalah yang dihadapi si isteri, sebaiknya
isteri menyambut dan berhadapan dengan suami dengan kata-kata yang menghiburkan
hati dan menyenangkan suami. Jangan sesekali tidak ambil peduli dengan keadaan
suami, jadi isteri mengeluarkan kata-kata yang tidak menyenangkan dan menyakiti
suami.
Nabi s.a.w bersabda, “Solat seorang wanita yang
menggangu suaminya dengan lidahnya tidak diterima oleh Allah walaupun dia
berpuasa setiap hari, bangun dan solat di waktu malam, membebaskan hamba sahaya
dan membelanjakan hartanya di jalan Allah. Wanita yang lidahnya busuk yang
menyakiti suaminya dengan cara seperti iniadalah orang yang pertama akan masuk
ke dalam api neraka.” (Biharul Anwar; 203)
Menghiburkan Suami
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Agar kamu merasa
tenteram kepadanya.” (surah Ar-Rumm: 21)
Dalam ayat di atas memberi isyarat bahawa wanita
haruslah menjadi sebagai ‘pelabuhan’ ketenteraman, kedamaian dan keamanan bagi
kaum lelaki. Ini merupakan tugas fitrah wanita dalam kehidupan ini yang penuh
dengan segala macam kesulitan.
Ummu Mukiminin, Khadijah r.a sebagai teladan nombor
satu dalam aspek ini. Ketika Rasulullah s.a.w mengalami ketegangan, Khadijah r.a
telah meringankan bebanan perasaan yang ditanggung oleh Baginda s.a.w. Beliau
menyejukkan dan menghiburkan Rasulullah s.a.w seraya berkata, “Demi Allah, Allah
tidak akan pernah menghinamu kerana kamu telah menyambung perasaan, membela
orang yang dalam kesusahan, menutup kebutuhan orang yang tidak punya, memuliakan
tetamu dan menolong sedaya upaya dalam menegakkan kebenaran.
Saiyidina Ali r.a menasihati kepada pasangan suami
isteri, “Hiburkanlah hati dari masa ke semasa sebab sekiranya hati itu berbuat
benci maka ia akan menjadi buta.”
Sesungguhnya inilah yang diinginkan oleh para suami
yakni mendapat ketenangan dan penghibur hati daripada isterinya sendiri
sehingga dalam wujudnya ‘Rumahku Syurgaku’.
Syeikh Abdul Halim Hamid mengatakan bahawa, sesungguhnya
Allah s.w.t menjadikan isteri itu sebagai tempat berteduh agar suami tenang dan
tenteram pada haribaannya. Cinta yang ditunjukkan kepada suami dengan hati nan
lembut penuh dengan kasih dan sayang akan segera melenyapkan segala perasaan
kusut, penat dan letih setelah bergelut dengan gelombang kehidupan yang penuh
cabaran. Setiap orang mengimpikan seorang teman yang mahu mendengar dan berbahagi
rasa dengannya, termasuklah suami. Wajarlah jika suami mahu keluarganya menjadi
sebagai tempat untuk menghiburkan dan melegakan hatinya. Ini semua akan
diperolehi setelah isteri memahami perkara tersebut.
Sebaliknya adalah sangat dicela bagi isteri-isteri
yang tidak pandai menghibur suami. Rasulullah s.a.w bersabda, “Mana-mana wanita
yang bermasam muka apabila berhadapan dengan suaminya, maka akan dimurkai Allah
s.w.t sehingga dia dapat membuat suaminya senyum dan redha dengannya.” Dalam
riwayat lain menyebutkan, “Mana-mana wanita yang derhaka dengan suaminya, akan
bangkit dari kuburnya dengan wajah yang berubah menjadi hitam.”
Kisah Menghiburkan Suami
Kisah 1
Ketika putera Abu Talhah r.a meninggal dunia, berkatalah
Ummu Sulaim r.a kepada keluarganya, “Janganlah kalian memberitahu Abu Talhah
tentang anaknya sehingga aku sendiri yang akan beritahunya.”
Maka datanglah Abu Talhah r.a pada waktu berbuka
puasa, lantas mereka berbuka puasa. Kemudian Ummu Sulaim r.a berdandan dengan
sangat cantik yang tidak pernah dilakukan sebelum ini maka tertariklah Abu
Talhah r.a kepada isterinya maka terjadilah hubungan suami isteri pada malam
itu. Setelah isterinya (Ummu Sulaim r.a) merasa bahawa Abu Talhah r.a telah
puas, berkatalah Ummu Sulaim r.a kepada Abu Talhah r.a, “Wahai Abu Talhah, apa
pendapatmu apabila ada satu kaum meminjamkan barang pinjaman kepada kaum lain, ketika
kaum tersebut ingin meminta barangnya kembali, apakah yang meminjam itu ada hak
untuk menghalang?”
Abu Talhah r.a menjawab, “Tidak.” Ummu Sulaim r.a
berkata, “Mohonlah pahala Allah s.w.t untuk anakmu. “Maka marahlah Abu Talhah r.a
seraya berkata, “Kenapa kau biarkan aku sehingga aku kotor (berjunub) begini
baru kau khabarkan kepadaku tentang anakku?” Maka berlalulah Abu Talhah r.a
menemui Nabi s.a.w lalu menceritakan kepada Nabi s.a.w tentang perkara itu.
Maka berkatalah Rasulullah s.a.w, “Semoga Allah
memberkati malam kalian berdua.”
Selepas itu hamillah Ummu Sulaim r.a, kemudian
beliau melahirkan bayinya. Ketika pagi tiba, Ummu Sulaim r.a membawa bayinya
kepada Rasulullah s.a.w dan Abu Talhah r.a menitipnya dengan beberapa buah
kurma, kemudian Rasulullah s.a.w mengambil buah kurma itu dan mengunyahnya, lalu
memasukkan ke dalam mulut bayi dengan dioleskan ke seluruh rongga lantas
memberinya nama, Abdullah. (Muttafaqun Alaih)
Kisah 2
Ketika Fathimah binti Abdul Malik, isteri Khalifah
Umar Ibnu Abdul Aziz memasuki kamarnya dan mendapati suaminya sedang duduk di
atas sejadah sambil menangis. Beliau bertanya kepada suaminya, “Mengapa kamu
menangis sebegini rupa?”
Khalifah Umar menjawab, “Ohh malangnya wahai
Fathimah, aku diberi tugas menguruskan umat seperti ini. Yang sentiasa bermain
di fikiranku ialah nasib si miskin yang kelaparan, orang yang merintih
kesakitan, orang yang terasing di negeri ini, orang tawanan, orang yang sudah
tua, janda-janda yang sendirian, orang yang mempunyai tanggungan keluarga yang
besar dengan pendapatan yang kecil dan orang yang senasib dengan mereka di
seluruh pelosok negeri ini, baik di timur atau di barat, utara mahupun selatan.
Aku tahu, Allah akan minta pertanggungjawaban dariku pada hari kiamat sedangkan
pembela mereka yang menjadi lawanku kelak adalah Rasulullah s.a.w. Aku
betul-betul merasa takut tidak dapat mengemukakan jawapan di hadapannya, itulah
sebabnya aku menangis.”
Pada saat itulah Fathimah menghiburkan suaminya
dengan penuh kasih sayang walaupun suaminya banyak masa untuk menunaikan
kepentingan agama dan umat sehingga tiada masa untuk menguruskan dirinya
sendiri.
Berdandan Untuk Suami
Sabda Rasulullah s.a.w, “Tiada yang lebih bermanfaat
bagi seorang mukmin setelah ketakwaannya kepada Allah s.w.t iaitu
isteri yang solehah. Jika diperintahkan dia taat, jika suami melihatnya
menyenangkan.” (hadis riwayat Ibnu Majah)
Syeikh Abdul Halim Hamid, menasihati kepada para
isteri, hendaklah isteri menjadi Ratu kecantikan dan keindahan di dalam
rumahnya, membawa keredhaan kepada Rabbnya dan menciptakan
kebahagiaan untuk suaminya. Islam mengajar wanita Muslimah agar
berhias dan berdandan, memakai wangi-wangian, bersolek dan sebagainya tetapi
dengan syarat itu semua dilakukan untuk suami sahaja dan sangat-sangat dilarang
jika dilakukan untuk selain suami.
Ibnu Jauzi menjelaskan mengenai berdandan seseorang
wanita di hadapaan suaminya, katanya, “Setelah usai penciptaan dan sempurna
kebagusannya, dituntut selalu berada di dalam keadaan berhias dan bersih dengan
menggunakan alat-alat kosmetik, bermacam pakaian dan berbagai fesyen dandanan
yang sesuai dengan selera suami.”
Syeikh Abdul Halim Hamid telah memberikan beberapa
nasihat unutk para isteri dalam perkara berhias ini;
- Hati-hatilah
jangan sesekali pandangan suami jatuh pada sesuatu yang dibencinya seperti
kotoran dan bau yang tidak enak atau sifat-sifat yang menjengkelkan.
- Bervariasilah
dalam berdandan dan menggunakan wangi-wangian kerana dengan cara itu ada
kesegaran dan daya tarik.
- Usaha
sedaya upayalah untuk memenuhi selera suami meliputi warna baju, jenis
fabrik serta fesyennya, aroma parfum, gaya rambut dan lain-lain seperti
celak dan pemerah kuku.
Ada seorang wanita yang bertanya kepada A’isyah r.a
tentang pemerah kuku, maka beliau menjawab, “Boleh memakainya tapi aku tidak
menyukainya kerana kekasihku (Nabi s.a.w) dahulu tidak suka baunya.” (hadis
riwayat Abu Daud, An-Nasaa’i)
Dalam Fathul Qadir disebutkan bahawa Alim Ulama’
telah berkata, “Berhias seseorang wanita serta mengharumkan badannya dengan
wangian adalah faktor utama yang dapat mengukuhkan bangunan cinta kasih suami
isteri. Ia dapat menjauhkan perasaan benci dan enggan di antara mereka kerana
mata, hidung adalah jendela hati, darinya cinta keluar. Sekiranya suami melihat
sesuatu yang menjengkelkan atau sesuatu yang tidak disukainya seperti dalam
berpakaian dan gaya berhias isterinya, maka ini akan tereksan juga dalam hati
suami dan lahirlah perasaan benci dan enggan terhadap isterinya.”
Seorang wanita solehah juga mesti bijak dalam
memilih waktu-waktu yang tepat dan sesuai unutk berhias dan memakai wangian
agar dapat menarik dan memikat hati suami, antaranya ialah:
- Semasa
istirehat.
- Semasa
bergurau senda dan bersembang dengan suami.
- Pada
waktu anggota badan banyak dalam keadaan terbuka (Yakni sebelum Subuh, istirehat
siang hari dan selepas Isyak)
- Semasa
berjimak dengan suami.
Jangan berhias dengan berlebih-lebihan seperti menghabiskan
terlalu banyak wang membeli alat-alat untuk berhias, menggunakan waktu
sehingga berjam-jam untuk berhias dan sebagainya. Ini termasuk dalam perbuatan
yang membazir sahaja.
Jimak
Rasulullah s.a.w bersabda, “Sebaik-baik wanita di
antara kamu adalah yang paling menjaga dan pandai membangkitkan syahwat. Paling
menjaga kemaluannya dan yang paling pandai mengghairahkan syahwat suaminya.”
(hadis riwayat Dailami)
‘Yang paling menjaga’, maksudnya ialah menjaga aurat
serta kehormatannya dari lelaki ajnabi.
Sedangkan ‘yang pandai mengghairahkan syahwat’, adalah hanya ditujukan kepada
suami. Inilah isteri yang paling baik iaitu pandai menggoda, pandai menghibur, pandai
merayu, pandai bersolek dan berdandan di hadapan suaminya.
Rasulullah s.a.w bersabda kepada Jabir r.a, “Alangkah
baiknya jika isterimu itu seorang gadis yang kamu dapat bermain-main dengannya
dan dia dapat bermain-main denganmu.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)
Anjuran utama bagi wanita solehah dalam masalah jimak
dengan suami ialah jangan sesekali menunda-nunda ajakan
suami untuk berhubungan badan apalagi menolaknya ketika isteri dalam
keadaan sihat. Menyegerakan keinginan suami dalam urusan tempat tidur (jimak)
adalah sangat besar pengaruhnya dalam hubungan cinta kasih antara suami isteri.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Seorang wanita itu
datang dalam bentuk syaitan, sekiranya salah seorang daripada kamu melihat
wanita yang memikatnya segeralah mendatangi isterinya kerana perkara itu boleh
menyejukkan gelojak nafsu yang ada dalam dirinya.” (hadis riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Allah melaknat
isteri yang suka berkata ‘nanti… nanti’ (dalam memenuhi ajakan suaminya).”
(hadis riwayat Thabrani)
Hikmah-hikmah dalam menyegerakan panggilan suami
dalam hubungan jimak ini adalah:
- Dapat
memenuhi hubungan biologi suami hingga puas.
- Menjaga
sehingga tidak terjerumus dalam penzinaan.
- Jika
menolak maka akan timbul syak wasangka suami kepada isteri.
- Menjaga
keharmonian rumah tangga.
Sebaik-baiknya isteri yang solehah tahu waktu-waktu
yang tepat untuk berhubungan dengan suami, agar hubungan tersebut akan tercipta
suasana yang harmoni, mesra dan berkesan. Waktu-waktu tersebut adalah:
- Setelah
suami pulang dari berpergian yang jauh.
- Malam
ketika merayakan sesuatu.
- Saat
berbaik-baik setelah berlaku pergaduhan.
- Ketika
banyak ujian.
Nabi s.a.w bersabda, “Jika seseorang isteri bermalam
dengan meninggalkan tempat tidur suaminya para Malaikat akan melaknatnya
sehinggalah dia kembali kepada suaminya.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “JIka suami
memanggil isterinya, maka hendaklah isteri mendatangi suaminya walaupun dia
sedang berada di atas tungku.” (hadis riwayat Tirmidzi, Nasaa’i)
Islam mengatur hubungan lelaki dan wanita agar
menjadi hubungan yang suci dan bersih. Anjuran Rasulullah s.a.w agar isteri
jangan menolak ajakan suami dalam hubungan seksual adalah termasuk untuk
menjaga hubungan bersih dan suci agar terhindarnya perzinaan, maka isteri
mestilah berusaha memberikan layanan kepada suami bila-bila masa saja dengan
layanan yang terbaik kecuali pada masa-masa yang Allah SWt haramkan bersetubuh
iaitu:
- Ketika
sedang haid.
- Ketika
nifas.
- Ketika
berpuasa wajib pada bulan Ramadhan.
- Ketika
haji dan umrah sebelum tahallul.
Syeikh Abdul Halim Hamid menasihatkan bahawa ada
satu tatatertib yang harus diperhatikan oleh isteri agar pertemuan dengan
suaminya akan menjadi pertemuan yang menyenangkan dan indah. sebahagian
tatatertib itu adalah:
- Memulakan
dengan membaca doa.
- Menjaga
tempatnya dengan bersih dan harum juga penampilannya yang menarik.
- Saling
membisikkan ungkapan-ungkapan mesra agar sentiasa harmoni.
- Kelembutan
ketika melakukan jimak.
- Tidak
menyudahi jimak sehingga kedua-duanya merasa redha dan puas.
Hendaklah diingatkan bahawa makruh untuk bersetubuh
pada tiga malam dari sebulan iaitu, awal, pertengahan dan akhir bulan. Abu
Hurairah r.a berkata bahawa syaitan menghadiri persetubuhan malam-malam
tersebut.
Setia Kepada Suami
Seterusnya kebaktian seorang isteri kepada suaminya
ialah ‘kesetiaan’. Walau apa pun keadaan suami sama ada miskin, kaya, sakit, sihat,
ketika ada atau ketika tidak ada, wanita solehah tetap menjaga kesetiaannya
terhadap suami. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya setia dengan janji (termasuk
akad nikah) adalah sebahagian daripada iman.” (hadis riwayat Hakim, Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiga perkara tergolong
dalam kebahagiaan iaitu isteri yang apabila kamu memandangnya, menyenangkanmu,
apabila kamu meninggalkannya (di sebabkan sesuatu urusan) kamu merasa yakin
akan kesetiaannya dan perkataannya menyenangkanmu. Dan tiga perkara yang
termasuk kesengsaraan ialah isteri yang apabila kamu pandang menjemukan, apabila
engkau pergi, kamu tidak merasa aman terhadapnya (khuatir dikhianati) dan perkataannya
selalu mengumpatmu.” (hadis riwayat Hakim)
Mengenai perkara ini ada satu kisah, A’isyah r.a
berkata, “Ketika penduduk Mekah di beri tawaran untuk menebus
tawanan-tawanannya maka diutuslah Zainab binti Rasulullah s.a.w untuk menebus
suaminya, Abul-Ash Bin Rabi’ dengan hartanya. Beliau membawa rantai perhiasan
milik ibunya, Khadijah r.a. Beliau pun masuk dengan membawa rantai
itu untuk menebus Abul-Ash. Ketika Rasulullah s.a.w melihatnya, Baginda sangat
terharu dan berkata, “Apa pendapat kamu semua jika dia dibebaskan dan
tebusannya itu dikembalikan kepada Zainab.”
Mereka menjawab, “Boleh.” Maka Rasulullah s.a.w
membawanya dan berjanji untuk membiarkan Zainab menuju ke arah suaminya. Kemudian
Rasulullah s.a.w mengutus Zaid Ibnu Haritsah r.a dan seorang lelaki Ansar seraya
berkata kepadanya, “Aku harap kalian terus berada di Batnu Yakjuj hingga Zainab
melewati kalian berdua.” Akhirnya mereka berdua mendampinginya dan datang
bersama Zainab. (hadis riwayat Abu Daud)
Syeikh Abdul Halim Hamid berkata bahawa kisah ini
ada dua nilai kesetiaan iaitu:
- Kesetiaan
isteri kepada suami. Zainab menebus suaminya yang ketika itu masih musyrik
dengan harta yang paling berharga iaitu rantai milik ibunya.
- Kesetian
suami kepada isterinya. Tersentuh perasaan Rasulullah s.a.w apabila
melihat rantai milik isterinya Khadijah r.a. Baginda s.a.w membebaskan
tawanannya dan mengembalikan semula rantai itu kepada puterinya, Zainab r.a.
Zaid Ibnu Aslam merumuskan bahawa yang dimaksudkan
setia itu ialah, ‘‘Wanita yang selalu mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan
tidak pernah membawa lelaki lain ke tempat tidur. Perkara ini sama nilainya
dengan orang yang berjihad di jalan Allah.”
Muslim Ibnu Yasir r.a mengatakan bahawa, “Tidak ada
lelaki yang merasa gembira seperti gembiranya terhadap tiga perkara, iaitu isteri
yang baik, jiran yang baik dan tempat tinggal yang baik.”
Al-Asmu’i berkata, “Aku telah masuk ke sebuah
kampung tiba-tiba ada seorang wanita yang sangat cantik wajahnya berada di
bawah naungan lelaki yang buruk wajahnya. Aku bertanya kepada wanita itu, “Wahai
wanita, apakah kamu redha berada di bawah lelaki sperti dia?’’ Dia menjawab, ‘Wahai
kamu, diamlah! Sesungguhnya kamu telah berbuat buruk dalam perkataanmu. Semoga
dia berbuat baik dalam apa saja perantaraan dia dengan Penciptanya maka
memberikan pahalanya kepadaku atau barangkali aku berbuat buruk dengan
perantaraanku dengan Penciptaku lalu dia menjadikannya sebagai seksaanku. Apakah
aku tidak redha kepada apa yang diredha Allah untukku? Maka kata-kata wanita
itu membuat aku terdiam.”
Nabi s.a.w bersabda, “Aku melihat-lihat ke dalam
Neraka, sebahagian besar penghuninya adalah wanita.” Para wanita bertanya,
“Mengapa wahai Rasulullah s.a.w?” Rasulullah s.a.w bersabda, “Mereka selalu
mengutuk dan mengingkari keluarga (Yakni suami yang menggaulinya).” (hadis
riwayat Muttafaqun Alaih)
Syeikh Abdul Halim Hamid menulis bahawa, setia
menjaga diri kala pemergian suami adalah ‘wajib syar’i’ dan bukan sekadar
galakan dan bersifat semula jadi sahaja. Maka kami merasa perlu untuk
menjelaskan bagaimanakah bentuk penjagaan atau kesetiaan seorang isteri ketika
ketiadaan suami. Di ringkaskan seperti berikut:
- Menjaga
rahsia-rahsia suami.
- Menjaga
anak-anak.
- Menjaga
harta suami.
- Menjaga
maruah dan kehormatan diri.
- Menjaga
hubungan baik dengan sanak saudara dan keluarga terdekat.
Beliau meneruskan, “Janganlah menyingkap rahsia dan
membantah suami. Apabila kamu menyingkap rahsianya kamu tidak akan merasa aman
dari perceraian dan apabila kamu membantah perintahnya bermakna kamu telah
melukai hatinya.”
Saiyidina Ali r.a juga telah menasihati, “Kebaikan
di dunia dan di akhirat ada dua iaitu, menjaga rahsia dan berkawan dengan orang
yang baik-baik. Dan kejahatan juga ada dua iaitu, mengungkap rahsia dan
berkawan dengan orang yang tidak baik.”
Mengingatkan Suami
Rasulullah s.a.w bersabda, “Rahmat Allah ke atas wanita
yang bangun malam dan solat kemudian membangunkankan suaminya supaya turut
solat. Apabila suaminya enggan lalu dipercikkan air ke wajah suaminya.” (hadis
riwayat Ahmad, Abu Daud)
Firman Allah s.w.t, “Dan orang-orang yang beriman
lelaki dan wanita, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang
lain. Mereka yang menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari perkara mungkar, mendirikan
solah, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah berserta Rasul-Nya. Mereka
itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(surah At-Taubah;71)
Urusan ingat-mengingati ini adalah tugas seluruh Muslimin
dan Muslimaat. Begitu juga suami isteri perlu ada sikap saling
ingat-mengingatkan antara satu sama lain. Syeikh Abdul Halim menulis bahawa
salah satu kerjasama yang amat penting yang dianjurkan dalam islam terhadap
pasangan suami isteri adalah kerjasama dalam jihad fisabilillah, dakwah dan tabligh.
Seseorang isteri juga perlu ikut memberikan usul
agama kepada suaminya sebagaimana Hafshah r.a yang memberi usul kepada ayahnya
yakni Amirul Mukminin Umar r.a mengenai tempoh batas kesabaran seseorang wanita
yang ditinggalkan suami yang berjihad di jalan Allah. Kita sudah maklumi cerita
ini. Adalah satu bentuk kerjasama yang indah apabila seorang isteri dapat
mengingatkan kembali bahawa pertolongan dan sokongan Allah sentiasa bersamanya.
Sebagaimana dalam kisah Perjanjian Hudaiybiyyah, Ummu
Salamah r.a ikut memberi pendapat kepada suaminya, Rasulullah s.a.w demi
kemashlahatan kaum Muslimin. Sebaliknya janganlah bersikap seperti isteri Abu
Lahab (laknatullah alaihimaa) yang
ikut memberi usul-usul kepada suaminya dalam memusuhi Islam. Sekiranya usul
isterinya baik dan diamalkan oleh suami maka pahala kebaikan tersebut turut
mengalir kepada isterinya. Sebaliknya jika usul tersebut buruk untuk agama dan
diamalkan oleh suami maka dosanya sama-sama ditanggung.
Sebagaimana para sahabiyyah
yang selalu mendorong suami mereka keluar ke medan jihad, menyahut seruan jihad.
Si isteri melepaskan suami mereka sambil memohon doa kepada Allah s.w.t agar
suami mereka dikurniakan anugerah salah satu dari dua kebaikan yakni ‘menang
atau syahid’. Meskipun ketika itu adalah malam pengantin, malam pertama milik
mereka berdua yang paling indah seperti kisah Hanzalah bin Abu Amir r.a, syuhada
yang dimandikan oleh para Malaikat kerana beliau berangkat ke medan jihad dalam
keadaan berjunub.
Mereka yakni para sahabiyyah juga selalu membangkitkan semangat suami dan menyirnakan
kekhuatiran diri dan anak-anaknya dengan mengucapkan satu ayat yang berbunyi, “Allah
adalah pelindung orang-orang beriman. Allah adalah Pelindungku dan anak-anak
kita dan kita tidak memiliki kekuasaan atas urusan kita. Allah telah menjaga
kami saat pemergianmu lebih ketat dari saat kau ada di sisiku. maka
bertawakkallah kepada Allah. Janganlah sibukkan benakmu dalam memikirkan rezeki.
Aku melihatmu sebagai tukang makan dan bukan sebagai pemberi rezeki. Jadi
apabila si tukang makan tiada, Sang Pemberi rezeki akan tetap hidup.”
Dan apabila suaminya keluar dari rumahnya maka
isteri atau anak perempuannya akan berkata kepadanya, “Hati-hatilah terhadap
usaha yang haram sesungguhnya kami sabar dengan kelaparan dan kesulitan dan kami
tidak mampu bersabar dengan neraka.”
Suami isteri adalah da’i Allah s.w.t, kedua-duanya bertanggungjawab atas kehidupan
beragama dalam sesebuah rumah tangga khususnya dan secara umumnya untuk seluruh
alam ini. Sebagai wanita solehah selalulah mengingatkan suami apabila dia lalai
dalam urusan agama isteri dan keluarganya kerana dalam urusan nafkah agama
adalah menjadi tanggungjawab seorang suami. jika seseorang isteri membiarkan
kerosakan berkeliaran dalam rumahtangganya maka seperi ia membiarkan satu penyakit
menular dan berbahaya bertebaran dalam rumahtangganya sendiri.
Suatu ketika Rasulullah s.a.w bertanya kepada Saiyidina
Ali r.a, “Bagaimana dengan pasanganmu?” Saiyidina Ali r.a menjawab, “Aku dapati
Fathimah r.a pendorong yang terbaik dalam urusan mengabdikan diri pada Allah.” Lalu
Rasulullah bertanya kepada Fathimah r.a mengenai Ali r.a, beliau menjawab, “Dia
adalah suami yang terbaik.”
Dalam kitab Sifatus-Sofwah
dinukilkan bahawa Abu Ja’far As-Sa’ih berkata, “Ada berita yang sampai kepada
kami bahawa ada seorang isteri yang sangat rajin mengerjakan solat-solat sunat
berkata kepada suaminya, “Celakalah engkau! Bangunlah sampai bila kamu mahu
tidur saja, sampai bila mahu dalam keadaan lalai selalu? Aku akan bersumpah
demi kamu, janganlah cari pendapatan kecuali dengan cara yang halal. Dan aku
akan bersumpah demi kamu, janganlah masuk neraka hanya kerana diriku. Berbuat
baiklah terhadap ibumu, sambunglah silaturrahiim
janganlah memutuskan tali persaudaraan dengan mereka sehingga Allah akan
memutuskan dengan dirimu.”
Berselisih Dengan Suami
Dalam kehidupan sebagai suami isteri adakalanya
diuji dengan tidak keserasian antara satu sama lain dalam sesuatu perkara. Sebagai
wanita solehah sentiasalah menjaga adab-adab dan kesopanan dalam berbicara dan
juga setiap tingkah laku. Kehormatan suami sebagai pemimpin dalam keluarga
harus dijunjung tinggi.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Isteri yang redha
menerima sifat pemarah suaminya akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t seperti
ganjaran yang diberi kepada Asiah binti mzhahim, isteri Firaun.” (Birharul
Anwar, 247)
Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Apabila dua orang Muslim
tidak berbicara selama dua hari maka kedua-duanya telah keluar dari agama Islam
dan tidak akan ada persahabatan yang tinggal untuk mereka berdua, kemudian
salah seorang daripada merka bermaksud untuk berbaik semula maka dia akan masuk
syurga lebih cepat daripada yang lainnya pada hari Pengadilan kelak.” (Biharul
Anwar: 103)
Sebagai wanita solehah fahamilah dengan benar aturan
Allah dalam perkara perselisihan di antara suami isteri. Sekiranya perselisihan
ini berlaku atas sebab nusyuz-nya
isteri, Allah s.w.t memerintahkan beberapa garis panduan yang harus ditempuh
oleh seseorang suami dalam memperbaikinya. Iaitu dengan:
- Memberi
nasihat
- Berpisah
tempat tidur
- Pukulan
yang tidak menyakitkan.
Peraturan ini telah diungkapkan oleh Allah s.w.t
dalam firman-Nya yang bermaksud, “Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyusnya
maka nasihatilah mereka dan pisahkan mereka dari tempat tidur dan pukullah
mereka.” (surah An-Nisaa’: 34)
Tentunya sebagai wanita solehah, apabila berlaku
perselisihan dan kesalahan itu di pihak kita maka cukup dengan nasihat. Segeralah
memperbaiki diri, bertaubat dan beristighfar kepada Allah s.w.t. Jangan
sesekali melontarkan kata-kata yang kotor dan menyakitkan hati suami dati mulut
kita. Diriwayatkan bahawa Laqit bin Saribah r.a bertanya kepada Nabi s.a.w, “Ya
Rasulullah s.a.w aku mempunyai isteri yang kata-katanya selalu mengeluarkan
kata-kata yang tidak baik.”
Sabda Rasulullah s.a.w, “Ceraikanlah dia.” Kataku
lagi, “Aku mempunyai ramai anak dengannya dan aku telah hidup bersamanya lama
sekali.” Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Nasihatilah dia, jika dia mendengar
nasihat maka terimalah dia dan jangan kamu pukul isterimu sebagaimana ketika
kamu memukul hamba-hamba kamu.” (hadis riwayat Abu Daud).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan