Khamis, 12 September 2013

Dua Bangsa Terburuk Di Permukaan Bumi


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH kisah bahawa bangsa Ad sudah lenyap binasa, kerana dosa yang mereka lakukan. Negeri mereka sudah tandus dan kosong. Tetapi lama kelamaan di negeri itu terdapat satu bangsa yang menempati dan mendiaminya. Bangsa baru ini dinamakan dalam Al-Quran, sebagai bangsa Tsamud. Merekalah yang berkuasa di atas bumi yang dikuasai oleh bangsa Ad dahulu itu. 

Negeri Yang Makmur

Negeri itu dibina kembali, sehingga menjadi sebuah negeri yang makmur, lebih makmur lagi dari zaman bangsa Ad yang sudah lenyap itu. Penuh dengan kebun-kebun, taman-taman yang indah permai, dengan hasil yang berlipat ganda. Berdirilah kembali rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang besar dan molek merupakan istana-istana yang indah. Malah bukit-bukit yang tinggi itu mereka lubangi menjadi rumah tempat tinggal yang teratur. Dengan rumah yang berupakan benteng-benteng perlindungan yang kukuh dan kuat itu, mereka berharap dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga mereka dari berbagai-bagai gangguan manusia dan alam. Hidup bangsa Tsamud ini penuh dengan harta kekayaan, senang bahagia tidak kekurangan sesuatu apa pun. 
Hanya seperkara, sebagaimana juga bangsa Ad dahulu, mereka lupa sama sekali kepada Allah s.w.t, tidak kenal sama sekali kepada Allah s.w.t. Kerana itu lama kelamaan mereka semakin jahat, jauh dari segala yang baik, malah menjadi sombong sesombong sombongnya dengan harta dan kekayaan yang mereka miliki itu. Mereka kira bahawa harta kekayaan mereka itu akan kekal di tangan mereka, kesenangan dan kebahagiaan hidup mereka akan tetap selamanya. Lalu mereka berbuat sekehendak hati mereka sendiri, menyembah dan memuja pula batu-batu yang mereka buat sendiri, yang merupakan patung. Tepat sebagaimana yang sudah terjadi pada zaman Ad. 
Kepada mereka lalu diutus Allah s.w.t pula seorang utusan, Nabi Saleh namanya. Untuk membawa mereka mengenal Allah s.w.t, mensyukuri nikmat Allah s.w.t, meninggalkan penyembahan terhadap batu-batu yang tidak berhak disembah itu. Terhadap semua yang disampaikan Nabi Saleh itu, mereka menutup telinga dan memejamkan mata, tidak mahu tahu dan percaya. Nabi Saleh mereka pandang seperti seorang yang tidak sepatutnya menasihati mereka, kerana merekalah yang lebih pintar dan pandai, lebih kaya, terhormat dan berkuasa, kata mereka. 
Hanya sebahagian kecil yang terdiri dari orang-orang melarat tingkatan rendah saja yang mahu mendengar dan menurut ajaran itu. Sedang yang lain jangankan mengikut dan tunduk, malah Nabi Saleh mereka anggap tidak siuman otaknya, kena sihir atau dimasuki Syaitan. ‘Kalau memang perlu nabi, maka kamilah yang wajar menjadi nabi, kerana kami lebih pintar dan lebih mulia dalam masyarakat daripada engkau,’ kata mereka kepada Nabi Saleh. 
Sungguhpun begitu, Nabi Saleh tetap menjalankan apa yang diperintahkan Allah s.w.t kepadanya, menyampaikan ajaran-ajaran yang benar, dengan kesabaran dan ketenangan. Sebab itulah maka ada pula orang-orang yang melarat yang turut dan tunduk akan ajaran itu. Hal ini akhirnya membimbangkan orang-orang yang tidak mahu tunduk tersebut. 
Mereka mencari cara dan jalan untuk memalingkan perhatian orang dari Nabi Saleh itu, yang dapat melemahkan dan merendahkan pandangan orang terhadap baginda. 

Meminta Mukjizat Nabi

Begitulah pada suatu hari, mereka datang kepada Nabi Saleh dan berkata: ‘Cuba engkau tunjukkan kepada kami satu mukjizat (keluarbiasaan) sebagai tanda kenabianmu itu. Kalau tidak, tentu engkau ini orang yang bohong semata-mata.’ 
Mendengar kata dan pendirian mereka yang demikian itu, tidak ada yang dapat dilakukan Nabi Saleh selain berdoa kepada Allah s.w.t: ‘Ya, Tuhanku! Kaumku tetap mendustakan aku, selain sebahagian kecil saja yang beriman denganku. Untuk mengatasi ini, sudi apalah kiranya Tuhanku memberi aku satu mukjizat untuk jadi tanda kebenaranku. Dengan mukjizat itu, mudah-mudahan mereka beriman juga!’ 
Allah s.w.t mengabulkan permintaan Nabi Saleh, lalu berfirman kepadanya: ‘Pergilah mendapatkan kaummu dan katakan kepada mereka agar mereka berkumpul di luar kota di kaki gunung yang kelihatan itu, untuk dapat melihat mukjizat yang mereka kehendaki itu. Dari gunung itu nanti akan muncul seekor unta betina yang luar biasa bagus, besar dan gemuk, tidak pernah mereka melihat unta seperti itu. Tetek unta itu akan selalu penuh dengan air susu, meskipun setiap jam diperah tidak henti-hentinya. Setiap orang dibolehkan mengambil air susunya, dengan syarat bahawa unta itu dibiarkan bebas sebebas bebasnya, tidak boleh diganggu dan diusik oleh sesiapa pun. Dan unta itu harus dibiarkan meminum air yang ada di sumur itu berganti hari dengan penduduk. Ertinya hari ini air minum itu semuanya untuk unta itu, dan besoknya air sumur itu semuanya untuk penduduk. Begitulah seterusnya. Pada hari giliran unta, tidak seorang juga manusia dibenarkan mengambil air. Begitu juga pada hari giliran penduduk, unta tidak akan meminum sedikit pun.’
Setelah wahyu itu disampaikan oleh Nabi Saleh kepada mereka, mereka berkumpullah menanti unta yang dimaksudkan itu. Tidak lama kemudian, dari gunung itu muncullah seekor unta yang luar biasa bagus, gemuk dan besarnya, persis seperti apa yang diterangkan Nabi Saleh kepada mereka. 
Unta itu terus berjalan ke sumur dan meminum semua air yang ada. Dan benar bahawa tetek unta itu selalu penuh dengan air susu. Mereka mulailah mengambil bekas susu untuk mengambil air susu dari unta itu. 
Demikianlah saban hari, pada hari mereka tidak dapat air dari sumur kerana habis diminum unta, sebagai gantinya mereka dapat memerah air susu dari unta itu untuk diminum. Begitulah dari hari ke hari, minggu ke minggu, orang-orang beriman semakin bertambah kuat keimanannya, tetapi bagi orang-orang yang engkar bukan menjadi tambah beriman. Seperti kata-kata mereka ketika meminta-minta mukjizat dahulu, malah mereka bertambah iri hati terhadap Nabi Saleh dan orang-orang yang beriman, mereka terus mengengkari seruannya secara terang-terang. 
Maka timbullah keinginan buruk dalam batin mereka untuk membunuh unta itu, agar kebenaran Nabi Saleh tidak tersiar ke serata tempat. Mula-mula mereka berani, tetapi kemudian ragu-ragu dan takut, sebab seperti dikatakan, Nabi Saleh mengancam dengan turunnya seksa Allah s.w.t bila unta itu diusik. 
Lama mereka berfikir-fikir sama ada mahu membunuh unta itu atau tidak membunuhnya. Berapa kali di antara mereka cuba mendekati unta tersebut untuk dibunuhnya, tetapi mereka akhirnya mundur kerana bimbang akan seksaan yang dijanjikan Nabi Saleh. Lama juga unta itu hidup merdeka menjadi perhatian orang ramai. Semakin ramai juga orang yang percaya kepada Nabi Saleh. Tetapi akal jahat dan niat buruk mereka itu membuka jalan bagi mereka untuk melakukan satu perbuatan yang sejahat-jahatnya. Kecantikan seorang perempuan, akan mereka jadikan alat untuk menjalankan niat mereka yang jahat itu. Dengan perempuan cantik, dengan mudah mereka akan memperolehi pemuda yang berani untuk membinasakan unta tersebut. 
Bila seorang lelaki telah dapat ditawan hatinya oleh seorang perempuan cantik, maka lelaki penakut boleh menjadi orang paling berani untuk menunaikan perintah perempuan yang cantik itu. Seorang lelaki yang pintar sekalipun, bila sudah dapat ditawan hatinya oleh seorang perempuan cantik akan menjadi lelaki yang paling bodoh, sehingga dapat diperintahkan oleh si perempuan cantik tersebut melakukan pekerjaan yang bahaya. Hal ini diketahui oleh mereka yang engkar dan kafir itu. Mereka tidak segan-segan menjalankan tindakan keji tersebut. Seorang perempuan cantik yang derhaka, menyerahkan diri untuk melakukan lakonan yang berat ini.
Seorang perempuan cantik anak bangsawan dan kaya raya pula, Saduq binti Al-Mahya namanya, sanggup menyerahkan kehormatan dirinya kepada seorang pemuda berani, iaitu Masdak bin Mahraj, asal saja pemuda itu berani membunuh unta yang menjadi bukti kebenaran Nabi Saleh itu.

Perempuan Tua Keparat

Ada lagi seorang perempuan tua yang keparat pula, dengan rela hati menyerahkan pula seorang anak gadis remaja kepada pemuda yang bernama Qudar bin Salif, asal saja pemuda itu berani membunuh unta tersebut. 
Kedua-dua pemuda itu pun rupa-rupanya belum berani melakukan pembunuhan terhadap unta itu berdua-duaan saja, lalu mencari rakan-rakan lainnya. Mereka mendapat tujuh orang lagi rakan. Begitulah akhirnya mereka dengan diam-diam mendekati tempat di mana unta itu berada, lalu memanah unta tersebut sehingga patah kakinya sebelah, diiringi oleh pukulan pedang yang tajam oleh Qudar bin Salif, sehingga terburailah perut besar dan usus unta itu keluar. Unta itu pun lalu rebah ke tanah dan mati. 
Kedua-dua pemuda tadi lalu kembali mendapatkan kaumnya membawa khabar gembira ini dengan buktinya sekali. Semua rakyat engkar yang menjadi golongan mereka, menyambut kedua-dua pemuda itu dengan sambutan seorang jenderal besar yang menang perang layaknya, bahkan lebih dari itu. Keberanian pemuda-pemuda itu dipuja setinggi langit dengan kata dan pujaan yang luar biasa. 
Mereka sudah bunuh unta itu, dan tidak terjadi apa-apa. Lalu mereka mengejek akan firman Allah s.w.t, peringatan Nabi Saleh yang telah memberi ancaman kepada sesiapa yang berani membunuh unta itu. Mereka mengejek dan berkata: ‘Ya Saleh, datangkanlah seksaan yang telah engkau janjikan itu, sekiranya engkau benar-benar utusan Tuhan.’
Nabi Saleh berkata kepada mereka: ‘Aku sudah beri peringatan kepadamu sekalian, tetapi peringatan aku itu sudah kamu langgar dengan nyata. Kamu sudah berbuat dosa. Sekarang kamu boleh bersenang-senang dan bergembira atas kematian unta itu tiga hari saja. Sesudah tiga hari, seksaan yang dijanjikan Allah s.w.t itu akan datang, dan bukanlah ini perjanjian yang bohong.’ 
Tempoh tiga hari masih diberikan kepada mereka oleh Nabi Saleh, dengan harapan mudah-mudahan mereka insaf dan minta ampun, beriman kepada Allah s.w.t dan utusan-Nya. Tetapi oleh kaum yang derhaka dan celaka itu, dianggap sebagai tanda kelemahan. Belum sampai tiga hari, mereka sama-sama datang kepada Nabi Saleh mengejek lagi dengan bertanya: ‘Percepatkanlah datangnya seksaan yang engkau janjikan itu.’ Dan banyak lagi cara-cara mereka mengejek itu. 
Nabi Saleh hanya berkata: ‘Hai, kaumku, kenapa kamu minta segera datangnya seksaan, bukan kebaikan? Kenapa kamu tidak minta ampun kepada Allah s.w.t, mudah-mudahan kamu diberinya ampun?’ 
Sehari sebelum janji itu habis, kerana mereka masih ragu-ragu dan syak, sehingga berhati takut terhadap seksa yang dijanjikan itu, maka mereka mengadakan rapat raksasa, di mana mereka bersepakat akan membunuh Nabi Saleh pada malam itu juga, kerana sangkaan mereka dengan matinya Nabi Saleh, seksaan itu mungkin tidak datang. Allah s.w.t melindungi Nabi-Nya, sehingga terhindar dari pembunuhan pada malam itu. 

Azab Seksa Yang Dijanjikan

Besoknya sebagaimana yang dijanjikan Nabi Saleh, maka azab atau seksa yang dijanjikan Allah s.w.t itu pun turunlah, berupa badai taufan yang sedahsyat-dahsyatnya, sehingga mereka berserta harta benda dan ternakan mereka musnah sama sekali. Rumah-rumah mereka yang besar-besar dan kukuh menjadi abu yang berterbangan kena tiupan taufan yang dahsyat. Hanya Nabi Saleh dan para pengikutnya saja yang selamat. Melihat kejadian sedih itu, Nabi Saleh berkata: ‘Hai, kaumku, sudah aku sampaikan kepadamu apa yang diperintahkan Allah s.w.t untuk menyampaikannya, dan sudah cukup nasihatku kepadamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang yang beri nasihat.’
Bangsa Ad dan Tsamud ini berulang-ulang disebut Allah s.w.t di dalam Kitab Suci Al-Quran sebagai dua bangsa terburuk di permukaan bumi ini pada zaman purba, sebelum lahirnya Nabi Muhammad s.a.w., sesudah kaum Nabi Noh yang juga sering disebut sebagai bangsa yang terburuk. Kedua-dua bangsa terburuk tersebut sudah dihancurkan Allah s.w.t se penuhnya. Bukan saja bangsa atau manusianya yang dihancurkan Allah s.w.t, tetapi juga seluruh harta benda, rumah dan tanah yang mereka diami, lebih hebat dari penghancuran yang disebabkan bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki.
Kalau ditanyakan orang, bangsa manakah yang terburuk pada zaman sekarang ini, kita tidak dapat menjawabnya, hanya Allah s.w.t sajalah yang mengetahuinya. Dan menurut sebahagian ulama, sebagai mukjizat dari Nabi Muhammad s.a.w., sesudah Nabi Muhammad s.a.w., Allah s.w.t tidak lagi akan melakukan penghancuran secara menyeluruh sedemikian rupa kendatipun terhadap bangsa terburuk, tidak kira bangsa terburuk itu pada zaman sekarang atau pada zaman yang akan datang. Kepada Nabi Muhammad s.a.w diajarkan bahawa Allah s.w.t bersifat as-Sabur, yang bererti sangat sabar. Segala seksaan hebat, Allah s.w.t undurkan pelaksanaannya sampai di akhirat nanti terhadap orang-orang atau bangsa-bangsa terburuk tersebut. 
Kendatipun begitu, namun seksa-seksa yang tidak bersifat total, bersifat insidental dan bersifat setempat, akan terus menerus dilaksanakan Allah s.w.t atas orang dan bangsa atau golongan yang sudah melewati batas kejahatan atau dosanya. Seksa itu mungkin berupa perang hebat, kekacauan atau bencana alam. Setiap kekacauan dan bencana alam pada hakikatnya menurut agama Islam adalah merupakan peringatan dari Allah s.w.t, agar manusia kembali ingat dan beriman kepada Allah s.w.t.

Sebab itu, untuk mengatasi segala macam kekacauan dan bencana, selain tindakan yang bersifat politik, ekonomi dan sosial, harus dilaksanakan juga dengan cara bertaubat, minta ampun, bersyukur, memuji-muji Allah s.w.t, dan dengan mempergiatkan berbagai-bagai ibadat dan amal kebajikan yang diperintahkan dan diajarkan Allah s.w.t. Perbanyakan sembahyang, puasa, zikir, doa dan bersedekah kepada fakir miskin atau orang-orang yang berada dalam kesusahan. Dengan jalan begitu, Allah s.w.t akan melenyapkan segala kekacauan dan bencana-bencana itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA