SMAHADZIR
TERSEBUTLAH catatan sejarah Islam bahawa negeri
Babylon subur tanahnya, dan makmur rakyatnya. Di dalam sejarah dunia disebutkan
bahawa rakyatnya maju, bahkan dari sanalah asal usul kemajuan dunia ini. Tetapi
lain keadaannya pada zaman hidupnya Nabi Ibrahim. Memang subur dan makmur
rakyatnya, tetapi picik dalam pengetahuan, bergelumang dalam dunia kegelapan
dan kebodohan.
Di negeri yang subur dan rakyat yang
makmur tetapi bodoh itu, memerintahlah seorang Raja yang hanya mengikut
kehendak nafsu dan dirinya sendiri sahaja. Itulah dia Raja Namrud bin Kanan bin
Kusy. Di tangannyalah letak segala kekuasaan. Dia yang memutuskan tiap-tiap
perkara. Apa saja yang dikatakannya, itulah undang undang yang harus dijalankan
oleh rakyatnya.
Bila ada seorang saja yang membantah
kata-kata Raja, dinyahkan orang itu dengan kekuatan mata pedang. Lantaran itu tidak
seorang pun rakyat yang dapat menjalankan akal dan fikiran sendiri. Tetapi
hanya tunduk kepada apa yang diperintahkan oleh Raja, meski bagaimana pun juga.
Rakyat semakin jauh terperosok ke lembah kegelapan dan kebodohan.
Raja itu jugalah yang memerintahkan
membuat patung dari batu. Dan telah menjadi kegemaran Raja itu untuk memuja-muja
patung batu yang terbaik. Kemudian rakyat banyak diperintahkan Raja menyembah patung
dari batu tersebut. Itulah Tuhan, kata Raja, sedang rakyat hanya diberi
kesempatan untuk tunduk saja.
Mimpi Raja Namrud
Hal itu lama kelamaan menambah bodohnya rakyat,
sehingga dengan rakyat yang bodoh itu, keadaan masyarakat bertambah buruk dan
kacau bilau. Sesudah keadaan menjadi kacau dan rosak serosak-rosaknya,
Raja Namrud yang berkuasa itu pada suatu malam bermimpi dalam tidurnya, bahawa baginda
melihat seorang anak kecil melompat masuk ke dalam kamarnya, lalu merampas
mahkota yang sedang dipakai di atas kepalanya, lalu menghancurkan mahkota tersebut.
Setelah baginda terjaga, baginda termenung memikirkan mimpinya yang luar biasa
itu.
Hampir seluruh manusia yang rosak kepercayaan,
dahulu dan juga sampai sekarang ini amat percaya kepada mimpi-mimpi, bahkan
menggantungkan nasib mereka kepada mimpi-mimpi itu. Termasuk raja-raja yang
sedang berkuasa, sebab ramai di antara raja-raja yang berkuasa besar itu pada
zaman purbakala adalah terdiri dari orang-orang yang bodoh, tetapi berkuasa kerana
pengaruh keturunan semata-mata. Raja Namrud termasuk salah seorang raja yang
bodoh tersebut. Kerana kebodohannya baginda tidak dapat menggunakan akal yang
diberikan Allah s.w.t kepadanya, lalu baginda mempercayai nasibnya kepada
tukang-tukang tenung atau dukun-dukun tukang ramal. Kepada tukang-tukang tenung
itulah baginda bertanya segala perkara, lebih-lebih lagi tentang mimpi-mimpi
atau keadaan yang akan datang mengenai nasibnya.
Raja Namrud segera memanggil tukang-tukang
tenungnya menanyakan apa ertinya mimpi yang dilihatnya itu. Tukang-tukang
tenung itu mengatakan kepadanya, bahawa akan lahir seorang anak, sedang anak
itu setelah besar badannya besar pula pengaruhnya. Dan kerana besarnya pengaruh
anak itu, maka akan hilanglah semua kekuasaan yang ada di tangannya. Akhirnya
Namrud akan jatuh dan mahkotanya akan hilang.
Kerana tabir mimpi menurut apa yang
dikatakan tukang-tukang tenung itu, Raja Namrud memutuskan dan memerintahkan
untuk membunuh semua anak yang dilahirkan, agar jangan sampai jatuh kekuasaan
atau mahkota yang ada di atas kepalanya.
Ketika itu ibu Nabi Ibrahim sedang
mengandung, menghamilkan Nabi Ibrahim dalam perutnya. Kerana takut bayi yang
dikandungnya itu setelah lahir akan dibunuh oleh Raja Namrud, maka ibu Nabi
Ibrahim lari menyembunyikan diri ke sebuah gua di luar kota, di mana baginda
akhirnya melahirkan anaknya seorang laki-laki yang diberi nama Ibrahim.
Begitulah menurut ceritanya, Nabi Ibrahim
sejak dilahirkan dan selama masa kanak-kanak dibesarkan di dalam gua itu,
disembunyikan oleh ibunya. Di sanalah baginda disusukan, diasuh, dibesarkan
sampai baginda menjadi besar. Setelah besar dan mulai dapat berfikir, tatkala
ditinggalkan oleh ibunya kerana pergi ke kota mencari makanan, Nabi Ibrahim cuba
melihat ke luar gua dari celah-celah batu yang menutup pintu guanya. Nabi
Ibrahim tercengang dan kagum melihat luasnya alam di luar guanya yang sempit
itu.
Luas dan luas sekali alam (bumi) ini
dilihatnya, berpinggiran langit yang biru, terdiri dari dataran dan
gunung-gunung serta jurang-jurang, penuh dengan tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman.
Pada waktu siang ada matahari bersinar terang, pada waktu malam gelap-gelita,
hanya diterangi oleh bintang-bintang yang berkedip-kedipan bertebaran jutaan di
angkasa luas.
Akhirnya baginda bertambah besar dan
akalnya bertambah cerdik. Baginda bukan hanya tertarik dan tercengang melihat
keindahan dan kehebatan alam luas, bermatahari, bintang dan tumbuh-tumbuhan,
tetapi akhirnya berfikir pula siapa yang mencipta semuanya itu, siapa yang
mengaturkannya sedemikian rupa. Dia bertanya dalam hatinya: ‘Siapakah yang menggilirkan
malam dan siang? Siapakah yang menjalankan matahari, bulan dan bintang-bintang?
Siapakah yang menumbuhkan tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan? Siapakah yang
menghidupkan segala yang hidup dan yang mematikan segala yang mati?’
Sampailah Nabi Ibrahim kepada taraf
mencari jawapan dari semua pertanyaan tersebut. Dia tidak mempunyai teman untuk
bertanya, selain ibunya yang datang hanya sebentar saja, sekadar menghantarkan
makanan dan minuman untuknya. Kendatipun baginda menanyakan juga pertanyaan-pertanyaan
tersebut kepada ibunya, tetapi ibunya tidak mempunyai perhatian terhadap
pertanyaan-pertanyaan semacam itu, sebab perhatian ibunya hanya tertuju
bagaimana caranya mahu menyembunyikan Nabi Ibrahim agar jangan diketahui oleh
seorang manusia pun, agar jangan dibunuh oleh Raja.
Hal lain, yang menjadi perhatian ibunya
ialah bagaimana mahu memperoleh makanan dan minuman bagi Nabi Ibrahim, dan
bagaimana cara menghantarkan makanan dan minuman tersebut kepada Nabi Ibrahim
agar jangan diketahui oleh orang lain.
Ya, Nabi Ibrahim terpaksa mencari dan
memikirkan sendiri jawapan dari segala pertanyaan yang muncul di otak atau
fikirannya itu. Akhirnya setelah baginda besar, akalnya yang murni,
fitrahnya yang suci, yang tidak dikotorkan dan dipengaruhi oleh sesiapa dan
oleh apa pun, tidak pernah dipengaruhi oleh berbagai-bagai kepercayaan palsu
yang dipercayai oleh orang ramai, dengan semata-mata atas kekuatan akal dan
fikirannya sendiri yang diberikan Allah s.w.t kepadanya, baginda dapat
meyakinkan adanya Allah yang menciptakan seluruh alam yang ada. Dan Allah s.w.t
itu pasti Maha Besar, Maha Mengetahui segala, dan pasti Maha Esa.
Kehebatan Nabi Ibrahim
Di sinilah letak kehebatan Nabi Ibrahim itu. Sejak
masa muda remajanya, tanpa seorang pun guru atau pengasuh, hanya semata-mata
dengan akal yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya saja, baginda sudah dapat menggunakan
akal itu sehingga memperoleh ilmu pengetahuan dan keyakinan (kepercayaan) yang
tidak dapat dicapai oleh orang lain, kendatipun orang lain itu hidup di alam
bebas, beroleh harta kekayaan atau pangkat yang tinggi seperti Raja Namrud
itu.
Memang benar juga kalau ada sebahagian
orang berpendapat, bahawa dengan akal atau fikiran semata-mata, manusia harus boleh
mempercayai akan adanya Allah dan semua kebesaran-Nya, harus boleh mempercayai
bahawa Allah s.w.t itu Maha Tunggal dan tidak ada Allah s.w.t selain Allah
s.w.t itu. Benar juga pendapat manusia yang mengatakan, bahawa kadang-kadang
ilmu pengetahuan yang diperoleh manusia tidak secara ikhlas dan murni, atau
harta kekayaan dan pangkat-pangkat yang tinggi, tidak menjadikan manusia
bertambah pintar, melainkan menjadikan manusia bertambah bodoh. Dan kerana
kebodohan itu, mereka yang berilmu, yang berharta dan berkuasa itu sampai tidak
percaya kepada Allah s.w.t Pencipta, malah menyembah berhala-berhala,
patung-patung dan mempercayai tukang-tukang tenung atau dukun-dukun palsu.
Demikianlah kehebatan Nabi Ibrahim. Wajarlah
kalau Allah s.w.t di dalam Kitab Suci Al-Quran, mengucapkan salam kepada Nabi
Ibrahim: ‘Salamun ala Ibrahim (salam
kepada Nabi Ibrahim).’ Dan sepatutnyalah kalau setiap orang yang beriman, iaitu
kita orang Islam, lima kali kita mengerjakan sembahyang dalam sehari semalam,
lima kali kita mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi
Ibrahim yang beriman kepadanya, sesudah kita mengucapkan selawat dan salam
kepada Muhammad s.a.w dan semua keluarganya yang beriman kepada Muhammad.
Setelah Nabi Ibrahim menjadi remaja,
bahaya pembunuhan terhadap anak-anak yang baru lahir sudah dilupakan dan tidak
dijalankan lagi, Nabi Ibrahim keluar menceburkan dirinya ke dalam masyarakat
manusia yang bergelumang dengan kebodohan dan kepercayaan-kepercayaan yang rosak
itu. Dia dapati manusia seluruhnya sudah sesat. Mereka melakukan berbagai-bagai
kejahatan, menyembah berhala-berhala dan patung-patung, ada pula yang menyembah
bintang, bulan dan matahari. Bapanya sendiri bekerja membuat patung-patung dari
kayu atau batu, lalu menjual patung-patung itu kepada orang ramai.
Patung-patung itu mereka sembah. Termasuk yang menyembah patung-patung itu ialah
bapanya sendiri yang membuat patung-patung tersebut.
Nabi Ibrahim mengeluh dan mengeluh. Dia
mengeluh kepada Allah s.w.t: ‘Oh Tuhan, aku menderita, iaitu penderitaan batin,
melihat kemungkaran dan kesesatan. Untuk apakah gerangan akal yang dikurniakan Allah
s.w.t, mereka gunakan? Apakah semata-mata untuk membuat kerosakan dan mencari
kekayaan? Dia berdoa: Oh Tuhan, tunjukkanlah aku, kalau Allah s.w.t tidak
menunjukkan akan aku, sungguh aku akan menjadi sesat seperti orang ramai yang
sesat dan aniaya itu.’
Allah s.w.t lalu memberikan petunjuk
kepada Nabi Ibrahim. Dia diangkat Allah s.w.t menjadi Nabi dan Rasul. Kepadanya
dikirimkan wahyu-wahyu, sehingga keyakinannya kepada Allah Pencipta, sekarang
ini bukan lagi sebagai kesimpulan pendapat dan pemikiran semata-mata, melainkan
sebagai iman atau kepercayaan yang tidak goyah atau goncang lagi. Allah s.w.t
mengajarkan kepadanya segala sesuatu dan segala rahsia yang ada di sebalik alam
nyata yang dilihat Nabi Ibrahim. Diajarkan Allah s.w.t kepadanya bahawa di sebalik
alam nyata ini ada alam ghaib yang lebih luas. Setiap manusia yang mati akan
dihidupkan kembali dalam kehidupan di alam Akhirat nanti.
Memikirkan Tentang Akhirat
Setelah bertahun-tahun lamanya Nabi Ibrahim
memikirkan tentang alam nyata ini, fikiran Nabi Ibrahim sekarang ini tertumpah
ke alam Akhirat itu. Timbul persoalan dalam hatinya bagaimana caranya Allah
dapat menghidupkan semua manusia yang sudah mati di alam Akhirat nanti. Kendatipun
baginda sudah yakin akan kehidupan di alam Akhirat itu, tetapi baginda ingin
tahu bagaimana caranya Allah menghidupkan manusia di alam Akhirat.
Baginda berfikir dan bermenung lagi,
ingin tahu bagaimana caranya Allah menciptakan dan menghidupkan segala yang ada
dan yang hidup ini. Walaupun baginda sentiasa berusaha mendapatkan penyelesaian
terhadap apa yang direnungkannya ini, baginda tidak berjaya mendapatkannya, kerana
yang difikirkannya ini adalah di luar kemampuan akal dan fikiran manusia,
termasuk akal dan fikiran Nabi Ibrahim sendiri. Baginda menjadi gelisah dan tidak
tenang kembali.
Lalu Nabi Ibrahim mendoa memohonkan
kepada Allah s.w.t, agar Allah s.w.t memperlihatkan kepadanya, bagaimana Allah
s.w.t mengadakan kebangkitan tersebut, bagaimana caranya Allah menghidupkan apa
yang sudah mati itu kembali.
Kerana doa yang luar biasa ini, Allah
s.w.t lalu bertanya kepada Nabi Ibrahim: ‘Apakah engkau belum beriman, ya Ibrahim?’ Nabi
Ibrahim menjawab: ‘Sekali kali tidak, ya Tuhanku; bukankah Engkau telah memberi
wahyu kepadaku, dan aku telah percaya dan membenarkannya, tetapi dalam hal ini
adalah semata-mata supaya lebih terang kepadaku dan lebih tenang jiwaku ini.’
Permohonan Nabi Ibrahim ini dikabulkan Allah
s.w.t. Lalu diperintahkan Allah s.w.t agar Nabi Ibrahim mengambil (menangkap)
empat ekor burung. Supaya masing-masing burung empat ekor itu dipotong-potong,
diceraikan setiap anggota tubuhnya, supaya Nabi Ibrahim melihat sendiri
bagaimana cara burung itu dijadikan hidup semula oleh Allah s.w.t.
Potongan-potongan kecil dari keempat-empat
ekor burung itu, dihancur-lumatkan menjadi serbuk yang halus, lalu
dicampur-adukkan semuanya. Campuran itu lalu disuruh dibahagi menjadi empat
longgok. Masing-masing longgok itu disuruh diletakkan di atas puncak empat buah
bukit yang berjauh pula kedudukannya.
Kepada Nabi Ibrahim lalu diperintahkan Allah
s.w.t memanggil burung-burung yang sudah hancur lumat itu. Baru saja Nabi
Ibrahim memanggilnya, longgokan burung yang hancur itu lalu terbang menjadi
burung biasa semula. Berbulu, berparuh, tidak ada beza sedikit pun dengan burung-burung
itu sebelum hancur menjadi satu. Masing-masing burung itu menuju kepada Nabi
Ibrahim, agar Nabi Ibrahim dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri,
bagaimana caranya Allah menghidupkan apa yang sudah mati dan hancur.
Dengan cara dan dengan semudah itu jugalah Allah
s.w.t akan menghidupkan dan membangkitkan semua manusia yang sudah mati di
kampung Akhirat nanti, untuk dihisab dan diperhitungkan segala amal dan
kejahatan tiap-tiap manusia. Untuk diadili dan dibalas
setiap amal itu dengan pembalasan yang setimpal. Amal baik dengan balasan yang
baik, dan amal jahat dengan balasan yang jahat pula. Bila Allah s.w.t telah
menghendaki sesuatu, maka tidak ada seorang pun yang dapat menghalang adanya
sesuatu tersebut. Sungguh Allah s.w.t Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan