Khamis, 12 September 2013

Menyanggah Hak Makhluk Alllah Yang Lain


SMAHADZIR

KETIKA itu baru saja fajar menyingsing di ufuk timur, orang tua yang telah bongkok belakangnya dan lemah persendiannya, bangun dari tidurnya. Dengan langkah yang tenang dan nafas yang sesak, sambil memegang tongkat di tangan, orang tua itu keluar dari rumahnya, menuju ke kebun. Sebelum matahari terbit, sudah pasti beliau berada dalam kebunnya itu setiap pagi, untuk bekerja, menjaga dan memelihara kebunnya itu. 
Dengan kerajinan yang ditumpahkan terhadap kebunnya itu, maka tidaklah hairan bila kebun itu sangat baik dan teratur, subur tanamannya, serta banyak sekali buah-buahan yang dihasilkan setiap tahun. Semua orang senang melihat kebun itu. Malah di sanalah mereka sering melepaskan lelah dan bersenang-senang, sambil menghirup hawa sejuk pada waktu pagi mahupun petang, lebih-lebih lagi bila sedang panas matahari terik orang-orang sama berteduh di bawah pohon-pohon kayu yang terdapat dalam kebun itu, sambil melepaskan pemandangan yang indah di sekitarnya. 

Merasa Bahagia

Setelah orang tua itu selesai melihat dan mengawasi kebunnya, iaitu memeriksa buah yang masih putik dan yang sudah matang, melihat bunga-bunga yang masih kuncup dan yang sudah kembang, setelah beliau mendengar bunyi burung-burung yang juga sama merasa bahagia tinggal dalam kebun itu, baru beliau pulang ke rumah, lalu bersembahyang dan bersujud syukur kepada Allah s.w.t yang telah memberikan nikmat yang demikian berharga kepadanya dan beliau bermohon ke hadrat Allah s.w.t agar dipelihara oleh Allah s.w.t dari segala dosa yang mungkin timbul dari kekayaan yang ada padanya, minta agar beliau dijauhkan Allah s.w.t dari fitnah kesenangan dunia, serta pengaruh syaitan dan hawa nafsu. 
Demikianlah cara hidup orang tua itu, sejak waktu mudanya sampai menjadi tua seperti sekarang ini. Begitu pada waktu pagi dan petang, pada waktu malam berganti siang. Dan bila waktu memetik buah dari kebunnya itu sudah datang, dipanggilnyalah tukang-tukang kebun dan para pekerjanya untuk bekerja menyediakan sabit dan keranjang, dipanggilnya juga semua fakir miskin untuk menolong. Setelah selesai memetik buah hasil perkebunannya itu, masing-masing diberinya upah menurut hasil tenaga mereka. Diberi pula sewa sabit dan keranjang yang mereka bawa. Kemudian, bila hasil itu sampai nisabnya semua fakir miskin itu dipanggil untuk menerima bahagian masing-masing, sebagai zakat dari hasil bumi tersebut. 
Demikianlah halnya saban tahun, sehingga kebun yang besar dan luas kepunyaan orang tua itu dapatlah semua orang yang tidak berpunya di sekitar kampung itu ikut serta mengecap hasilnya, sehingga mereka tidak bimbang tertadap kemiskinan mereka dan tidak dengki atas kekayaan orang tua tersebut. Tetapi anak-anak orang tua itu yang sekarang ini sudah besar-besar, berakal dan berfikir pula, maka adat kebiasaan orang tua yang sebaik itu dibantah dan disanggah mereka, tidak suka kalau hasil kebunnya dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin begitu rupa saban tahun. 
Salah seorang dari anak-anaknya itu berkata: ‘Bapaku, bila setiap orang yang miskin diberi, tiap orang yang minta-minta dikasi begitu rupa, maka itu bererti bahawa bapa sudah mengurangi hak-hak kami kerana makin sedikit hasil yang kami peroleh dari kebun kita itu.’ Berkata pula anak yang lainnya: ‘Hai bapa, kalau terus-menerus begitu, akhirnya habislah semua kekayaan kita dan hasil perkebunan kita ini, sepeninggalan bapa nanti, kami semua pasti melarat dan terpaksa mengemis kepada orang lain.’ 
Mendengar segala sanggahan itu, tampil pula anak yang ketiga. Dengan segala keterangan dan kesabaran anak yang tinggi mutunya ini pun berkata: ‘Semua yang kamu ucapkan itu adalah berdasarkan fikiran yang salah semata-mata, berdasarkan perhitungan manusia yang membelok dari kebenaran dan hanya dengan sangkaan-sangkaan belaka. Kamu tidak tahu akan apa yang sebenarnya harta kekayaan dunia itu. Harta itu bukan hanya harta kepunyaan aku dan kepunyaanmu saja. Kebun kita yang luas itu, bukan hanya kebun kita. Tetapi adalah harta dan kebun Allah s.w.t, yang diamanatkan Allah s.w.t kepada kita untuk menyelenggarakannya, dengan perjanjian dan aturan Allah s.w.t, bahawa semua hasilnya itu digunakan sebaik-baiknya kepada yang lebih memberi manfaat, dengan tidak boleh melupakan hak orang-orang fakir dan miskin, orang yang terlantar dan kekurangan syarat hidup atau dalam perjalanan. Sebahagian lagi untuk burung-burung yang datang ke dalam kebun ini. Burung-burung itu pun mempunyai hak, kerana ada pula jerih dan jasanya terhadap kebun itu. Sebab itu janganlah hak-hak orang fakir dan miskin itu dihalang-halangi dan disanggah. Salah benar perbuatan kita bila menyanggah aturan Allah s.w.t.’ 
Bapa mereka yang sudah tua dan tidak berdaya lagi itu pun turut memberi nasihat: ‘Aku sudah tua, kekuatanku sudah habis, tulang-temulangku sudah terasa kaku dan aku tidak lama lagi akan pergi meninggalkan kamu sekalian. Nasihat dan fatwaku yang penghabisan, ialah agar kamu sekalian yang menerima kebun itu sebagai pusaka dariku, pandai-pandailah menggunakan nikmat dan pemberian Allah s.w.t itu. Dua kalimat sebagai amanatku hendaklah kamu tanamkan dalam ingatanmu, jangan sampai dilupakan dan dilanggar: Bila kamu dapat menggunakan nikmat itu dengan baik, sepanjang aturan Allah s.w.t akan menambah nikmat-Nya atas kamu sekalian. Tetapi bila kamu bakhil dan menggunakan nikmat itu dengan cara yang salah, Allah s.w.t tentu akan kuasa mencabut nikmat-Nya itu dengan sekali gus. Kamu sekalian tidak akan luput dari tinjauan Allah s.w.t atas segala perbuatanmu. Dari itu hendaklah kamu berhati-hati.’ 
Tidak lama kemudian, orang tua yang baik itu pun meninggal dunia, semua kekayaan dan kebun itu menjadi hak anak-anaknya itu, sebagai pusaka. 

Mendekati Hari

Hari berganti bulan, semua tanaman-tanaman dari kebun itu dengan buah-buahannya yang lebat dan subur, semakin mendekati hari untuk dipetik hasilnya. Musim sekarang ini lebih baik dari musim-musim sebelumnya, berkat nikmat dan pemberian Allah s.w.t terhadap anak-anak itu. Datanglah masanya untuk memetik segala hasilnya. 
Tatkala itu mereka pun berkumpul. Yang paling tua di antara mereka mulai berkata dalam pertemuan itu: ‘Mulai saat ini tidak ada hak lagi bagi fakir miskin dan orang-orang yang mengemis atas hasil kebun kita ini. Semua hasil itu akan kita bahagi sama banyak antara kita saja, juga merdeka untuk menggunakan bahagian kita masing-masing, menurut kehendak masing-masing juga, baik untuk disimpan mahupun ditukarkan. Tetapi kalau bahagian itu kita simpan bersama-sama dan tidak disedekahkan kepada sesiapa pun juga, pasti kita akan semakin kaya raya dan harta kita akan bertambah banyak.’ 
Anak yang soleh antara anak-anak itu pun menjawab: ‘Engkau merencanakan sebuah rencana yang baik menurut fikiranmu, tetapi yang sebenarnya salah dan pasti membawa keburukan dalam masyarakat ini. Rencana yang engkau kira akan membawa manfaat itu, sebenarnya akan menimbulkan siksa dan bencana saja. Cuba, kalau hak fakir miskin itu kamu sanggah dan kamu langgar, akan timbullah perasaan hasad dan dengki di kalbu mereka. Akhirnya kita tidak akan merasakan keamanan lagi dalam hidup kita, sebab mungkin mereka akan memberontak terhadap kita. Sebab itu, janganlah rencanamu itu dijalankan dan mari kita kembali kepada rencana yang sudah diamanatkan almarhum bapa kita sendiri, dengan cara memberikan hak fakir miskin, dengan tidak menguranginya sedikit pun. Sesudah hak mereka kita keluarkan, maka yang tinggal itu adalah hak kita, hak yang diredhai Allah s.w.t dan akan penuh dengan berkat.’ 
Mendengar pendapat anak yang soleh ini, mereka sama menjerit dengan suara keras menyanggahkan: ‘Jangan kau kemukakan kata-kata itu, berhentilah kamu dari berkata-kata demikian. Hanya engkau saja yang tidak bersetuju dari apa yang sudah kami setujui bersama!’ 
Mendengar sanggahan sekeras ini, dengan sabar anak yang soleh itu berkata pula: ‘Sebelum menyanggah kata-kataku yang benar ini, lebih baik kamu bersabar dan berfikir tenang terlebih dahulu. Kalau masih juga belum dapat bersabar dan tenang hatimu, kuanjurkan agar kita sekalian lebih dahulu bersembahyang, kerana sembahyang itu adalah ubat ketenangan dan kesabaran batin!’ 
Ajakan ini tidak mereka jawab, yang ertinya mereka tidak mahu menerimanya sama sekali. 

Kembali Berunding

Matahari sudah mulai turun dan hari pun menjelang malam. Pada waktu senjakala yang lengang dan sepi itu, mereka kembali berunding dan bermusyawarah lagi. Yang mereka muafakatkan ialah bagaimana cara mereka dapat memungut hasil kebun itu dengan tidak setahu fakir miskin dan orang ramai, agar semua fakir miskin jangan sampai turut serta dan tidak perlu mendapat bahagiannya. Hasil dari permusyawaratan itu, ialah mereka akan memetik segala hasil kebun pada waktu pagi buta, sebelum terbit matahari dan sebelum orang-orang di sekitarnya bangun dari tidur. Semua hasil itu akan mereka bahagikan untuk mereka saja. 
Mereka menetapkan, bahawa esok hari sebelum matahari terbit, semua hasil kebun itu sudah berada dalam gudang masing-masing dengan pasti, tanpa ragu-ragu dan tanpa perlu dirisaukan lagi.  Allah s.w.t Maha Mendengar dan Maha Mengetahui atas segala perbincangan dan keputusan yang mereka ambil itu. Pada malam itu juga dikirim Allah s.w.t bala besar kepada kebun itu, sehingga seluruh tanaman dan buahnya kering, gugur dan hancur di atas tanah, sehingga tidak ada barang sebiji pun yang dapat diambil hasilnya. 
Pagi-pagi lagi mereka sudah bangun dari tidur masing-masing. Dengan diam-diam mereka menuju ke kebun dengan membawa sabit dan keranjang-keranjang buah. Setelah tiba di pagar kebun, mereka melihat apa yang sudah terjadi terhadap kebun serta tanaman mereka. Kesemuanya sudah kering, gugur, menjadi hancur dan busuk, serta menjadi satu dengan tanah. 
Kata mereka: ‘Petang kelmarin kita lihat kebun ini masih menghijau subur, tidak kurang air yang mengalir di antara tanaman-tanaman yang sedang berbuah lebat dan sudah matang-matang itu. Kenapa sekarang jadi begini? Barangkali ini bukan kebun kita, mungkin kita salah jalan, kerana hari masih gelap.’ 
Berkata pula anak yang soleh: ‘Ah, ini memang benar kebun kita sendiri, nyata sekali yang ini adalah kebun kita, Allah s.w.t rupanya telah menghukum kita, kerana kamu telah membuat rencana yang salah. Bukankah sudah kuterangkan dan diamanatkan pula oleh bapa kita sendiri, bahawa semua itu mudah saja bagi Allah s.w.t? Allah s.w.t tidak rela nikmat dan pemberian-Nya itu diperkosa oleh orang-orang yang berdosa dan aniaya.’ 
Barulah mereka insaf, lalu hadap-menghadapi, salah-menyalahkan antara satu sama lain dan akhirnya mereka mengeluh: ‘Maha Suci Allah s.w.t, kami mengaku bahawa kami sudah berbuat aniaya. Ya, kiranya kami sudah derhaka, kami berjanji akan tunduk pada aturan Allah s.w.t kami.’ 


Sesal yang sudah terlambat. Sesal kemudian yang sudah tidak berguna lagi. Ini baru siksaan dunia bagi mereka. Di akhirat nanti, untuk mereka disediakan lagi azab dan siksa yang lebih kejam dari itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA