Khamis, 12 September 2013

Rahsia Terbongkar Dari Mayat


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH dalam sejarah bahawa di kalangan Bani Israel suatu ketika dulu ada seorang yang sudah tua umurnya dan telah dapat merasakan sendiri, bahawa dalam waktu yang tidak lama lagi, beliau akan meninggalkan dunia yang fana ini. Orang tua itu adalah orang tua yang soleh, tidak menghiraukan kekayaan dunia, sehingga kehidupannya boleh dikatakan sederhana sekali, tidak ada yang dipunyainya, kecuali seorang anak yang masih muda dan seekor lembu yang sangat disayanginya. 

Berwasiat Kepada Anaknya

Setelah terasa olehnya, bahawa ajalnya sudah dekat, lalu anaknya itu dipanggil. Beliau berkata dan berwasiat kepada anaknya: ‘Anakku, aku akan pergi meninggalkan engkau untuk selama-lamanya dan engkau akan tinggal sendirian menjadi yatim piatu, kerana ibumu sudah meninggal dunia terlebih dahulu. Tidak ada pula peninggalanku untukmu, kecuali lembu seekor. Peliharalah lembu itu sehingga besar. Aku doakan kepada Tuhan, agar hidupmu mendapat perlindungan-Nya.’ 
Setelah orang tua tersebut meninggal dunia, maka tinggallah anak itu seorang diri dengan seekor lembu, sebagai harta pusaka peninggalan bapanya. Lembu itu sesuai dengan wasiat bapanya, dijaganya dengan baik dan selalu beliau memohon pertolongan serta perlindungan dari Allah s.w.t. 
Tidak jauh dari tempat itu, di kalangan Bani Israel itu juga, terdapat pula orang tua. Berbeza dengan orang tua yang sudah meninggal dunia itu, kerana orang tua ini adalah orang yang kaya-raya, mempunyai harta benda yang amat banyak, yang tidak ada tolok bandingannya dalam masyarakat tatkala itu. 
Orang ini pun hanya mempunyai seorang anak juga. Kepadanyalah semua harta benda peninggalan (pusaka) itu harus diserahkan, bila dia sudah meninggal dunia nanti. Tetapi orang tua itu mempunyai beberapa orang anak saudara dan keluarga pula, yang kesemuanya menginginkan harta yang akan ditinggalkan itu. Namun menurut aturan ketika itu, selagi ada anak, orang lain tidak mendapat bahagian dari harta peninggalan tersebut. Akhirnya timbullah nafsu dan fikiran jahat dalam hati mereka, untuk mendapatkan harta sebanyak itu. Mereka semuafakat akan membunuh anak yang berhak itu dan sudah tentulah mereka akan didapati tidak terlibat dalam pembunuhan tersebut, akan menuntut kepada Nabi Musa supaya menghukum pembunuhnya. Akal busuk ini segera dijalankan dengan teratur sekali, sehingga tidak seorang pun yang dapat mengesan rahsianya. 
Begitulah, dengan cara yang sangat teliti sekali, pembunuhan terhadap anak itu mereka lakukan, sehingga seorang manusia pun tidak ada yang mengetahuinya, siapa sebenarnya yang menjadi pembunuh. Keesokan harinya dengan berpura-pura sedih dan dalam keadaan berkabung atas kematian sepupu yang tercinta itu mereka bersama-sama datang ke tempat Nabi Musa untuk mengadukan tentang pembunuhan kejam itu agar dapat menutupi kejahatan yang mereka lakukan sendiri. Malah mereka menuntut kepada Nabi Musa; agar pembunuhnya segera ditangkap dan dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya. 

Menyembelih Seekor Lembu

Walau bagaimanapun Nabi Musa menyelidiki kejadian yang gelap ini, masalahnya masih tetap gelap juga, tidak dapat diketahui, siapa sebenarnya yang menjadi pembunuhnya. Akhirnya Nabi Musa berdoa kepada Allah s.w.t tentang masalah gelap ini. Allah s.w.t lalu memerintahkan kepada Nabi Musa, agar kepada semua orang yang datang mengadu itu, diwajibkan menyembelih seekor lembu dan dengan lembu yang disembelih itu, Nabi Musa diperintahkan Allah s.w.t untuk memukul orang yang sudah mati terbunuh itu. Dengan cara ini orang yang sudah mati itu akan hidup kembali dan dapat menceritakan sendiri siapa yang telah membunuhnya. Lalu Nabi Musa memerintahkan kepada mereka supaya menyembelih seekor lembu. 
Sungguh ganjil sekali perintah itu menurut pandangan mereka, sebab tidak ada hubungannya dengan tuntutan. Mereka berkata: ‘Apakah engkau hendak mempermainkan kami?’ Dengan tegas dijawab oleh Nabi Musa: ‘Aku berlindung diri kepada Allah s.w.t, bahawa aku akan menjadi orang bodoh.’ 
Entah kerana masih belum percaya, entah kerana engkar terhadap perintah ini, mereka menjawab lagi kepada Nabi Musa: ‘Tanyakan kepada Tuhanmu, lembu yang bagaimanakah yang dimaksudkan Allah s.w.t itu?’ 
Nabi Musa kembali berdoa dan bertanya kepada Allah s.w.t, lembu yang bagaimanakah yang dimaksudkan Allah s.w.t dalam perintah tersebut. Setelah Allah s.w.t menerangkan keadaan lembu yang dimaksudkan itu, lalu Nabi Musa menyampaikan keterangan Allah s.w.t itu kepada mereka dengan berkata: ‘Allah s.w.t mengatakan, lembu itu adalah lembu yang tidak tua dan tidak pula muda, iaitu pertengahan antara tua dan muda. Kerjakanlah apa yang diperintahkan Allah s.w.t itu!’ 
Kembali mereka meminta, agar Nabi Musa kembali berdoa dan bertanya kepada Allah s.w.t, tentang bagaimana warna lembu yang dimaksudkan itu. Setelah Nabi Musa berdoa dan bertanya kembali kepada Allah s.w.t, maka diterangkan Allah s.w.t tentang warna lembu itu, lalu oleh Nabi Musa sampaikan pula kepada mereka: ‘Bahawa Allah s.w.t berkata, iaitu lembu yang berwarna kuning dengan warna yang cemerlang dan dapat menggembirakan orang yang melihatnya.’ 
Dengan jawapan ini, mereka masih bertanya lagi dengan menyatakan, bahawa mereka masih ragu-ragu, mereka minta supaya Nabi Musa berdoa dan bertanyakan kepada Allah s.w.t sekali lagi, bagaimana yang benar-benar dimaksudkan oleh Allah s.w.t itu. Nabi Musa berdoa dan bertanya lagi kepada Allah s.w.t, serta mendapat jawapan juga. Segera Nabi Musa menyampaikan apa yang diterangkan Allah s.w.t itu kepada mereka: ‘Iaitu lembu yang tidak jinak untuk digunakan membajak sawah dan pengangkut air dan harus yang bersih, tidak ada belang warnanya sedikit pun.’ 
Dengan persoalan yang terus menerus terhadap apa yang mula-mula diperintahkan Allah s.w.t kepada mereka, akhirnya mereka diharuskan mencari lembu yang banyak sekali syaratnya. Beberapa hari lamanya mereka berjalan ke sana ke mari untuk mencari lembu seperti yang diterangkan itu, tetapi tidak mereka Berjaya mendapatkannya. Sukar sekali mencari lembu yang berwarna kuning serta cemerlang, apa lagi harus bersih yang tidak ada belangnya sama sekali, ditambah pula harus yang tidak jinak, sedangkan umumnya lembu sudah biasa digunakan orang untuk membajak atau mengangkut air. 

Terbukalah Rahsia

Sesudah bersusah payah mencari, akhirnya mereka menemui juga seekor lembu yang memenuhi syarat-syarat yang ditentukan itu, iaitu seekor lembu pusaka yang diwariskan oleh orang tua soleh kepada anaknya yang masih kecil serta yatim piatu, sebagaimana diterangkan dahulu. Oleh kerana lembu ini lembu pusaka yang dipelihara dengan pemeliharaan yang luar biasa pula, maka anak ini tidak mahu dan tidak mempunyai keinginan sama sekali untuk menjualnya, apa lagi lembunya itu akan dibeli orang untuk disembelih pula. 
Tetapi kerana ini adalah perintah Allah s.w.t, maka dengan cara yang bagaimana pun lembu itu harus mereka peroleh. Akhirnya kerana untuk keperluan menjalankan perintah Allah s.w.t, anak itu pun rela juga menjual lembunya, tetapi harus dibeli dengan harga yang tinggi, kerana memang hanya lembu yang seekor itulah kekayaannya di atas dunia ini.

Setelah lembu itu mereka beli, lalu disembelih, lidahnya segera diambil oleh Nabi Musa, lalu menuju ke tempat orang yang mati terbunuh itu yang sudah lama dikuburkan. Setelah disuruhnya membongkar kuburan itu, mayat itu pun lalu dipukul oleh Nabi Musa dengan lidah lembu, mayat itu pun hidup kembali. Maka ditanyakan kepadanya, siapa yang membunuhnya. Mayat itu menunjukkan bahawa yang membunuhnya adalah mereka yang datang mengadu kepada Nabi Musa tersebut. Dengan kejadian ini, terbukalah rahsia selama ini dan tersimpul pula berbagai-bagai pengajaran dan peringatan yang sangat tinggi nilai serta harganya, untuk orang-orang yang percaya kepada Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA