Khamis, 12 September 2013

Zikir Penyelamat Nabi Yunus


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH kisah ada sebuah negeri Ninuwi namanya, di mana setiap rumah penuh dengan berhala yang disembah dan hampir setiap penduduknya hidup dalam kejahilan, kegelapan, kesesatan dan berbagai hal yang jauh dari kebenaran. Kepada mereka itulah Nabi Yunus diutus Allah s.w.t untuk menyingkapkan kegelapan dan membawa cahaya terang. Untuk membimbing akal dan fikiran mereka, agar dapat memikirkan alam yang luas bukan hanya alam yang sempit, agar dapatlah mereka menginsafi bahawa berhala itu adalah barang buatan yang tidak ada gunanya disembah, yang harus disembah adalah Allah s.w.t yang menjadikan bumi dan langit, bulan, matahari dan segalanya. 
Mereka terkejut mendengar keterangan baru itu, yang memang bertentangan dengan apa yang sudah menjadi tradisi kehidupan mereka turun temurun; iaitu menyembah dan memuja batu-batu yang berupakan patung atau berhala. Mereka bukan hanya terkejut saja, tetapi kerana sudah menjadi tabiat pula bagi mereka, bahawa mereka tidak akan tunduk menurutkan kata seseorang yang dianggapnya bukan raja dan bukan bangsawan, tidak mempunyai kekayaan dan kekuasaan apa-apa, tetapi hanya orang biasa saja. 

Mendapat Tentangan

Sebagaimana nasibnya semua Nabi dan Rasul, demikian jugalah nasib dan pengalaman yang dialami oleh Nabi Yunus. Baginda ditentang dan didebat orang dengan berbagai-bagai tentangan dan debatan. Dengan sabar dan tahan hati, dengan lunak dan budi yang tinggi, Nabi Yunus menghadapi mereka. Bukan sebulan dua, tetapi sampai bertahun-tahun pula, namun mereka tetap mengengkari akan ajakan Nabi Yunus. 
Kerana keengkaran yang tidak boleh ditawar-tawar ini, Nabi Yunus mulai bimbang, kalau-kalau mereka itu akan mengalami pula seksa dan azab Allah s.w.t, sebagaimana yang telah dialami oleh bangsa-bangsa yang terdahulu dari mereka. Hal ini dikemukakan Nabi Yunus kepada mereka: ‘Aku bimbang kalau seksaan Allah s.w.t turun atas kamu sekalian, kerana keengkaran kamu yang tidak boleh ditawar-tawar ini dan tidak seorang juga yang dapat menghindarkan dirinya dan seksaan Allah s.w.t itu, selain orang yang dikehendaki Allah s.w.t iaitu orang-orang beriman dan tunduk kepada ajaran Allah s.w.t.’ 
Lucu dalam pendengaran telinga mereka peringatan Nabi Yunus yang demikian itu. Kerana semua itu mereka anggap hanya omong kosong belaka. Mereka menjawab peringatan ini dengan kesombongan: ‘Kami tidak akan tunduk kepadamu, kami tidak takut akan seksa Tuhanmu itu. Datangkanlah siksa itu kalau engkau memang benar.’ 
Nabi Yunus tidak dapat menahan sabarnya lagi. Hatinya marah tidak terhingga, harapannya putus sama sekali. Nabi Yunus berjanji tidak akan berhubungan dan berkata lagi di hadapan mereka. Nabi Yunus lalu berjalan, bertolak meninggalkan kampung dan bangsa yang engkar itu. Baginda pergi merantau ke negeri lain, dengan hati yang kesal dan putus asa. 
Tidak lama dan belum jauh perjalanan Nabi Yunus dari negeri itu, turunlah seksa Allah s.w.t atas penduduk negeri yang sombong dan bongkak itu. Mula-mula hawa panas meningkat tinggi, kerananya warna kulit mereka berubah ketika itu juga, menjadi hodoh serta banyak cacat-cacatnya. Derita hawa panas semakin meningkat tinggi lagi, sehingga mereka merasakan benar pedihnya seksaan itu. Mulai timbul di hati, rasa takut dan mereka mulai percaya akan kata-kata Nabi Yunus itu memang benar. Sekarang mereka menjerit-jerit mencari Nabi Yunus, ingin bertaubat serta ingin menurut perintahnya. Mereka teringat akan azab dan seksa yang pernah diturunkan terhadap kaum Nabi Nuh, terhadap bangsa Ad dan Tsamud. Mereka ingin bertaubat dan menurut akan segala ajaran Nabi Yunus. Tetapi sayang, Nabi Yunus sudah pergi dan tidak seorang pun mengetahui ke mana perginya baginda. 

Minta Taubat Dan Keampunan

Hawa makin meningkat juga panasnya. Kaum ibu sudah tidak menghiraukan lagi anak-anak mereka sendiri, begitu juga keadaan kambing dan biri-biri sama-sama tidak diladeni lagi, lembu dan unta pun demikian juga keadaannya. Baik manusia mahupun binatang, masing-masing memikirkan nasibnya sendiri. 
Tatkala itulah mereka minta taubat dan ampun sehebat-hebatnya kepada Allah s.w.t yang pernah diajarkan Nabi Yunus kepada mereka yang pada waktu itu mereka tolak. Kerana taubat dan kehendak itu benar-benar keluar dan hati mereka, taubat yang ikhlas, segera Allah s.w.t menghentikan seksaan yang telah diturunkan itu. 
Mereka kembali hidup dalam keadaan biasa, aman dan tenteram. Mereka menginginkan agar Nabi Yunus segera kembali kerana mereka merasa rindu kepada baginda dan pelajaran Nabi dan Rasul, sebagai guru dan kalau perlu akan mereka angkat menjadi raja mereka. Tetapi Yunus tidak kembali. Baginda berjalan terus-menerus dengan hatinya yang kesal dan kecewa.
Sesudah lama berjalan, akhirnya Nabi Yunus tiba di pinggir laut, di tepi sebuah pantai. Tampaklah olehnya sekelompok manusia yang sedang bersiap untuk belayar menyeberangi lautan luas itu dengan sebuah kapal. Nabi Yunus minta agar diizinkan turut menumpang dan bersama-sama belayar. Sebagai tetamu, Nabi Yunus mereka sambut dengan penghormatan dan kemuliaan. Permintaan Nabi Yunus mereka kabulkan, apalagi setelah terbukti Nabi Yunus adalah seorang yang baik budi serta halus tutur bahasanya. Penghormatan terhadap Nabi Yunus semakin bertambah sehingga baginda benar-benar menjadi tetamu yang paling terhormat di kalangan mereka. 
Kapal belayar dengan lancarnya mengharungi lautan luas akhirnya hilanglah tepi pantai dan pandangan mata. Mereka tiba di tengah-tengah lautan luas yang tidak bertepi. Dengan takdir Allah s.w.t, di tengah-tengah lautan yang luas itu, kapal tersebut dilanda gelombang yang sangat tinggi, gulung menggulung, seperti gunung-gunung yang sedang berkejar-kejaran, seolah-olah hendak menyerang bahtera kecil yang sedang mereka kayuh.
Hati para penumpang berdebar hebat, bahaya maut menghadang mereka. Tidak ada jalan lain yang dapat menghindarkan diri dan bahaya lautan itu selain dengan mengurangi muatan kapal. Semua barang muatan pun segera dilemparkan ke luar kapal, tetapi kapal masih dalam bahaya, sehingga terpaksa harus mengurangi muatan lainnya, iaitu muatan yang berupakan manusia. 
Tetapi siapakah di antara mereka yang harus dilemparkan ke laut, untuk menjaga keselamatan jiwa orang yang ramai itu? Untuk ini, tidak dapat hanya dengan cara ditunjuk belaka. Akhirnya mereka mengadakan undian, untuk menentukan siapa yang harus berkorban demi keselamatan jiwa lainnya. Mereka rela menjalankan korban jiwa dilemparkan ke laut, bila takdir menentukan demikian dengan undian itu. 

Undian Untuk Nabi Yunus

Setelah undian dilangsungkan, maka jatuhlah pada nama Nabi Yunus. Tetapi kerana Nabi Yunus adalah tetamu yang terhormat yang harus mereka pelihara dan menjaganya bersama-sama, maka mereka tidak sudi menjalankan keputusan undian terhadap diri Nabi Yunus tatkala itu. Mereka tetap mengadakan undian yang kedua kalinya. Tetapi kali yang kedua ini pun, undian itu jatuh pada Nabi Yunus juga. Timbul keyakinan dalam hati Nabi Yunus, bahawa jatuhnya undian yang berulang dua kali atas dirinya itu, adalah hal yang sangat luar biasa dan mungkin ini mengandungi rahsia yang luar biasa juga. 
Dengan demikian, Nabi Yunus tidak suka undian itu diulang ketiga kalinya. Baginda minta supaya ketetapan undian yang sudah berlangsung dua kali itu dijalankan. Baginda sendiri bersedia untuk dilemparkan ke dalam laut, sedia untuk ditelan oleh gelombang yang datang mengganas itu. Mungkin ini sebagai peringatan Allah s.w.t atas dirinya, yang telah meninggalkan kewajibannya sendiri menghadapi kaumnya dengan berputus asa dan berhijrah sebelum ada perintah Allah s.w.t untuk berhijrah. 
Sesudah mengucapkan selamat tinggal dan selamat jalan kepada semua penumpang dan kawan-kawan sekapal, Nabi Yunus lalu melompat ke tengah-tengah gelombang besar itu, menyerahkan nasibnya kepada Allah s.w.t. 
Ikan besar yang sedang berenang dekat tempat itu, mendapat wahyu dari Allah s.w.t untuk menelan Nabi Yunus dengan syarat, ikan itu tidak akan memakan daging Nabi Yunus dan tidak akan merosakkan tulang temulangnya, kerana baginda itu adalah Nabi Allah yang mulia, seorang Nabi yang sudah mengambil keputusan dan diserang putus asa. Hal itu dijalankan Nabi Yunus untuk menebus kesalahan dan keputusasaannya sendiri. 
Nabi Yunus ditelan oleh ikan besar itu, masuk ke dalam perutnya dengan selamat, tidak kurang suatu apa pun. Kemudian ikan besar itu berenang ke sana ke mari di tengah gelombang yang besar, kadang-kadang ke permukaan lautan dan kadang-kadang pula sampai ke dasar laut yang jauh di bawah. 
Gelap di bilik gelintin, dengan perasaan yang tidak dapat dibayangkan dengan pena. Tetapi baginda rela, baginda sabar dan tabah untuk menebus kesalahan-kesalahannya dan selalu berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t mengampuninya dan Allah s.w.t sudi menurunkan rahmat yang lebih besar atas diri dan bangsanya. ’Tidak ada Allah s.w.t selain Engkau, Maha Suci Engkau, ya Tuhanku, dan sungguh aku ini orang yang sudah aniaya terhadap diriku sendiri.’ 
Demikianlah ucapan Nabi Yunus di dalam perut ikan yang gelap gelita itu. Doa dan permohonan Nabi Yunus itu didengar oleh Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t Maha Mendengar akan doa hamba-Nya, di mana saja hamba-Nya itu berdoa kepada-Nya. Ikan diwahyukan Allah s.w.t untuk memuntahkan tetamu yang ada dalam perutnya itu ke atas daratan di tepi pantai. Keadaan Nabi Yunus sebaik keluar dari ‘kapal selam’ yang berjiwa itu sangat luar biasa, badannya kurus kering, lemah longlai dan tidak mempunyai daya lagi. 

Tumbuh Sepohon Yaqtin

Dengan rahmat Allah s.w.t atas diri Nabi Yunus, di tempat baginda terdampar itu, lalu tumbuh sepohon yaqtin yang berbuah dan berdaun rimbun. Buahnya lalu dimakan oleh Nabi Yunus dan di bawah naungan daunnya yang rimbun itulah Nabi Yunus berlindung dari terikan panas matahari. 
Berhubung dengan kejadian atas diri Nabi Yunus mi, Allah s.w.t dengan tegas membukakan rahsianya dengan firman-Nya surah as-Saffat, ayat I 144: ‘Kalau bukanlah dia (Yunus), yang sebelumnya banyak menyebut nama Allah s.w.t (ibadat), nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari kiamat.’ 
Jadi nyatalah bahawa yang menyebabkan baginda dapat tetap hidup dalam perut ikan selama tiga hari tiga malam, tanpa udara, makanan dan minuman itu, adalah lantaran zikir dan ibadat yang banyak dilakukannya sebelum kejadian itu. Zikir dan ibadat itulah yang dapat menjadi udara, makanan dan minumannya. Sungguh beruntunglah manusia yang dalam hidupnya banyak melakukan zikir dan ibadat terhadap Allah s.w.t, Allah Rabbul Alamin. 
Lama kelamaan Nabi Yunus menjadi sihat dan kuat kembali dan mulai merasakan keenakan hidup di tengah udara yang cukup. Baru saja Nabi Yunus dapat duduk dan berdiri, perintah Allah s.w.t datang berupa wahyu kepadanya: ‘Kembalilah engkau sekarang juga ke kampung halamanmu kerana bangsamu sedang menunggu pimpinanmu. Mereka sudah beriman semuanya dengan keimanan yang suci murni. Mereka sudah membuang segala berhala dan patung yang selama ini mereka puja dan sembah. Mereka sedang bersusah payah mencari engkau, tetapi tidak bertemu.’ 
Nabi Yunus kembali ke kampung halamannya, bertemu dengan sanak saudaranya dan bangsanya. Nabi Yunus lalu sujud bersimpuh memuji dan menyembah Allah s.w.t, diikuti oleh seluruh keluarga dan bangsanya yang sudah bertaubat dan sedar itu. Dengan merekalah Nabi Yunus hidup dalam keadaan yang aman dan tenteram, merupakan suatu masyarakat manusia makmur dan diredhai Allah s.w.t. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA