Khamis, 12 September 2013

Dihukum Dua Malaikat


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH bahawa pada masa itu Oria bin Hannan sudah meningkat umur remajanya. Badannya sihat. kuat dan segar bugar, baik rupa dan tampan. Tiada pula kekurangan dalam penghidupannya. Sungguhpun begitu, dia selalu kelihatan gelisah saja, sering pula dia duduk mengelamun. Tidak lain yang menggoda fikirannya yang menyebabkan dia sering mengelamun itu, ialah cita-cita baru yang timbul dalam hatinya, cita-cita yang datangnya keras maha dahsyat, iaitu cita-cita ingin mempunyai teman hidup. Kenapa hal ini menyebabkan dia gelisah dan mengelamun? Bukankah di kalangan orang sekampung dan bangsanya sendiri ramai gadis yang tidak keberatan berkahwin dengan dia, kalau dia mahu? 
Yang menyebabkan gelisahnya, bukanlah kerana kekurangan gadis, tetapi adalah kerana ramai anak-anak gadis itu. Dia menginginkan seorang gadis yang paling cantik dan manis, yang paling menarik hatinya. Menetapkan yang paling cantik dan menarik inilah yang sangat dia susah dan inilah yang menyebabkan dia melamun dan gelisah tersebut. 
Kegelisahan ini tidak dibiarkannya lama. Dia bangun dari lamunannya, berdiri dan berkata kepada dirinya: ‘Dengan sekadar mengelamun saja, tidak akan menamatkan perjuangan batinku ini. Lebih baik aku mulai hari ini juga berjalan dan terus berjalan mencari wanita atau gadis yang sesuai dengan kehendak hatiku. Siapa tahu, bahawa di sana, di bawah lingkaran langit yang biru ini, ada seseorang yang dapat memenuhi hasrat hati, yang sesuai dengan syarat mutlak yang terguris dalam kalbuku ini.’ 

Panah Asmara

Tidak lama dia berjalan mencari-cari itu, dengan takdir Allah s.w.t, pada suatu hari di sebuah tempat, panah asmara yang tersembur dari matanya sendiri jatuh tertambat di wajah seorang gadis dari kaumnya juga, bernama Sabiq binti Syaik. Dalam pandang pertama yang lamanya hanya sekejap itu, Oria bin Hannan melihat, lalu menimbang, lantas mengusul, akhirnya memutuskan dalam hatinya, bahawa inilah dia gadis yang dicari-carinya itu. 
Memang pilihannya tidak salah lagi. Memang Sabiq adalah seorang gadis yang cantik jelita, termasuk gadis-gadis yang mulia di negerinya, tenang dan dalam pula pemikirannya. Yang semua itu, kalau dikirakan akan menambah molek dan jelitanya pula, dengan pandangan lahir, lebih-lebih lagi dengan batin manusia yang melihatnya. 
Segera dia datang kepada keluar gadis tersebut. Pinangan dan lamarannya disambut dengan tangan terbuka dan dada yang lapang. Perkahwinan antara kedua merpati itu segera berlangsung. Hasrat pemuda kita itu segera terkabul, sehingga dunia yang selama ini gelap dalam pandangannya, menjadi sinar diterangi surya bahagia rumah tangga. 
Sedang kedua-dua suami isteri itu hidup dalam suasana asyik dan masyuk, seakan-akan selalu dalam bulan madu, tiba-tiba Raja Daud mengumumkan adanya bahaya dari luar. Pemuda-pemuda Israel diperintahkan untuk mencatatkan diri menjadi tentera pembela tanah air dan agama, untuk menghadapi perang dan jihad dalam jalan Allah s.w.t. 
Berat hati Oria bin Hannan untuk melangkahkan kakinya ke medan perang, yang mungkin menjadi medan maut tatkala dia sedang terpaku di tengah-tengah alam bahagia di samping isterinya yang dicintainya itu. Takut dia kalau lama dia tidak dapat pulang, lebih takut lagi kalau dia mati syahid di medan perang. Bagaimanakah isterinya tinggal tanpa dia dan bukankah kedua-duanya sudah begitu asyik, sehingga terpisah sebentar saja pun akan menguraikan air mata? 
Tetapi kewajipan terhadap tanah air dan agama, adalah kewajipan yang berdiri atas segala kewajipan. Kewajipan yang harus ditunaikan kendatipun akan menyebabkan membanjirnya air mata dan darah. Oria bin Hannan terjunkan dirinya dalam ketenteraan dan terus dikirimkan ke medan perang menghadapi serangan musuh yang kuat. Pertempuran terjadi dan berkobar dengan hebatnya. Pertempuran demi pertempuran, silih berganti tidak ada putus-putusnya. Kerana sama-sama kuat, maka perang itu bukan berjalan dalam masa satu dua hari saja, tetapi puluhan dan ratusan hari, belum juga berkesudahan. 
Fikiran Oria bin Hannan sebaik habis tiap-tiap pertempuran yang dihadapinya, selalu terbang melayang ke rumah, kepada isteri tercintanya. Kewajipan dijalankan sebaik-baiknya, dengan harapan dan doa yang saban waktu diucapkannya kepada Allah s.w.t, mudah-mudahan perang lekas berakhir dengan kemenangan yang gilang gemilang bagi negeri dan agamanya. Tetapi perang tidak kunjung berhenti, malah semakin sengit. 

Mengajukan Lamaran

Takdir Allah s.w.t menentukan, bahawa pada suatu hari mata Raja Daud, Nabi Yang Mulia ini terpandang ke wajah Sabiq bin Syaik, isteri Oria bin Hannan, hati Nabi Daud bergetar dibuatnya, ingin mempersuntingkan wanita jelita itu menjadi isterinya pula. Dengan segera Nabi Daud mengajukan lamaran kepada keluarga Sabiq. Siapakah gerangan yang akan menolak lamaran dari seorang Nabi Yang Mulia, raja yang besar seperti Nabi Daud itu? Raja dan Nabi yang terbesar di seluruh dunia tatkala itu, lebih-lebih lagi suami Sabiq sendiri sudah lama benar tidak terdengar beritanya, mungkin tewas atau sudah meninggal dunia.
Perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq binti Syaik segera pula terjadi, dengan riang gembira bagi Nabi Daud dan keluarga sendiri. Tetapi di sana, di bawah ufuk yang tinggi, ada seorang pemuda yang mendengar terjadinya perkahwinan ini, seperti pukulan yang hebat menimpa dirinya, pukulan yang menghancurkan segala sendi dan urat sarafnya, menembusi jantung dan kalbunya. 
Sejak perkahwinan dengan Sabiq binti Syaik ini, Nabi Daud lebih gembira dalam menjalankan tugasnya sebagai raja dan Nabi Allah s.w.t. Rencana pekerjaannya ditetapkan dan diatur begitu rupa, sehingga segala-galanya berjalan dengan lancar dan baik. Rencana itu ialah dengan membahagi waktunya kepada empat bahagian. Bahagian pertama untuk kepentingan dirinya sendiri, hari kedua untuk kepentingan kepada Tuhannya, hari ketiga untuk menghukum dan menyelesaikan urusan-urusan umat dan hari yang keempat untuk mengajar dan memimpin rakyat ke jalan yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Begitulah dijalankan seterusnya oleh Nabi Daud. 
Sebagai raja besar dan Nabi Mulia, rumah Nabi Daud selalu dijaga oleh penjaga-penjaga dan tentera. Tidak seorang pun yang dibolehkan masuk menemui Nabi Daud, sebelum mendapat izin dari penjaga dan sesudah dibenarkan oleh Nabi Daud sendiri dan tidak seorang juga yang dibolehkan masuk, kalau tidak sepadan dan sesuai dengan rencana pekerjaan yang sudah ditetapkan oleh Nabi Daud itu. Pada hari baginda beribadat, siapa pun tidak diizinkan masuk untuk mengadukan perkara.
Begitulah seterusnya, pada suatu hari ada dua orang lelaki yang tidak ada bezanya dengan lelaki lain, minta izin masuk kepada penjaga-penjaga itu, untuk bertemu dengan Nabi Daud. Setelah aturan itu diterangkan oleh penjaga, tetapi kedua-dua orang lelaki ini mendesak mahu bertemu. Bagaimana pun desakan dan permintaan ini, tidak dapat dikabulkan oleh penjaga-penjaga itu. Tetapi hairan, keadaan yang sangat luar biasa, yang belum pernah terjadi. Dengan keadaan pintu tertutup, tiba-tiba kedua-dua orang itu sudah sampai di hadapan kamar Nabi Daud, lantas masuk menemui Nabi Daud. 
Memang kedua-dua lelaki itu bukanlah manusia biasa, kedua-duanya adalah Malaikat yang diutus Allah s.w.t berbentuk manusia untuk mendatangi Nabi Daud dan memberikan peringatan dan pengajaran kepada baginda. Alangkah terkejutnya Nabi Daud dengan kedatangan kedua-dua tetamu itu ke dalam kamarnya sendiri, sedang dia sendiri tidak pernah mengizinkan masuknya kedua-dua orang tersebut.
Kedua-dua Malaikat itu segera duduk dekat Nabi Daud dan berkata: ‘Jangan takut hai Nabi Daud, kami ini dua orang bersaudara yang bertentangan satu sama lain. Maka berilah kami hukuman yang benar, atas pertentangan dan perselisihan kami, tetapi jangan dihukum dengan cara yang tidak adil. Tunjukkanlah kami kepada jalan yang sebaik-baiknya.’ 
Nabi Daud tidak dapat menolak perkara yang sudah ada di hadapannya itu, kendatipun hari itu bukan hari untuk menyelesaikan sebarang perkara. Dia bersedia untuk menjatuhkan keputusan hukum terhadap dua orang yang berselisih itu. Setelah mendengar keterangan-keterangan yang diperlukan dalam perkara ini, akhirnya seorang di antara kedua-dua orang itu berkata kepada Nabi Daud: ‘Saudara aku ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing dan aku hanya mempunyai seekor kambing. Tetapi saudara aku ini menuntut kepada aku untuk mengambil kambing aku itu, agar kambingnya genap menjadi seratus, sedang aku tidak mempunyai kambing sama sekali. Tuntutan ini sudah beberapa kali aku tolak, tetapi dia membantah dengan kata-kata yang fasih, sehingga aku kalah dengan kefasihannya itu.’ 
Setelah mendengar itu semua, Nabi Daud lalu menghadapkan mukanya kepada yang seorang lagi dan bertanya kepadanya tentang duduk perkara yang sebenarnya. Orang itu menjawab, bahawa memang dia sudah mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing dan lagi seekor kepunyaan saudaranya itu, agar cukup kambingnya berjumlah seratus ekor. 
Mendengar keterangan itu, merah padamlah muka Nabi Daud kerana marahnya; dengan badan gementar dan suara yang keras, dia berkata kepada orang yang menuntut itu: ‘Tuntutanmu itu tidak baik, kalau engkau tetap menuntut begitu, akan kami pukul dahi dan hidungmu itu.’ 
Baru saja Nabi Daud berkata demikian Malaikat itu berkata: ‘Engkau seharusnya yang lebih baik dipukul, sebab engkau sudah mempunyai sembilan puluh sembilan orang isteri, lantas mengambil isteri Oria bin Hannan yang hanya mempunyai isteri seorang itu saja.’ 
Mendengar kata-kata yang terang dan tepat itu, Nabi Daud tunduk kepalanya, gementar badannya, terbuka kepadanya hakikat keadaan yang dihadapinya itu, bahawa yang dihadapinya itu adalah dua orang Malaikat yang diutus Allah s.w.t untuk membetulkannya. Nabi Daud lalu tunduk dan sujud minta ampun kepada Allah s.w.t, atas kekeliruannya, Allah s.w.t segera memberi ampun dan taubat buat Nabi Daud, dengan berkat petunjuk-petunjuk dan peringatan-peringatan dari Allah s.w.t. 

Tetap Diperhatikan Allah

Allah s.w.t memperlihatkan kepada manusia dan Nabi Daud sendiri, bahawa baik soal kecil apa lagi soal besar, tetap diperhatikan oleh Allah s.w.t. Bukan saja terhadap manusia biasa, tetapi juga terhadap orang-orang pilihan Allah s.w.t, Nabi-nabi mulia dan Rasul-rasul yang suci, dengan tidak dibezakan sedikit pun antara Nabi dan manusia biasa, antara raja dan rakyat biasa. Hanya bezanya, para Nabi itu senantiasa dapat menerima ajaran Allah s.w.t dan menjalankannya dengan baik dan patuh, sedang manusia biasa kadang-kadang engkar dan tidak ambil peduli semua petunjuk yang baik-baik itu.
Berbagai-bagai pendapat telah dikemukakan para ahli tafsir mengenai cerita perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq ini. Ada yang mengatakan bahawa Nabi Daud mengahwininya setelah yakin bahawa suaminya telah lama mati di medan perang. Pendapat yang lain mengatakan pula bahawa setelah suami Sabiq hilang tanpa berita demikian lama, maka dianggaplah talaknya telah gugur, barulah dikahwini Nabi Daud.
Ada juga yang mengatakan bahawa peraturan zaman itu tidak melarang seorang lelaki melamar seorang perempuan yang telah bersuami asalkan si perempuan itu ingin kepada lelaki yang melamarnya, lalu dimintakan fasakhnya. Bahkan ada pula para mufassir yang menolak sama sekali berita perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq itu dan dianggap berita itu sebagai cerita-cerita dongeng Israeliyat yang tidak patut dipercayai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA