SMAHADZIR
SESUNGGUHNYA aurat menurut bahasa ialah keaiban.
Menurut pengertian syarak ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh badan
manusia yang wajib ditutup dari pandangan.
Batas-Batas Aurat Dalam
Islam
1. Aurat Ketika
Bersendirian
Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat; “Sebagaimana
dilarang seorang mukallaf (orang yang
dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat
ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian
juga dilarang mendedahkan auratnya ketika bersendirian, kecuali ketika dharurat
atau terpaksa dibuka, seperti ketika qodho
hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya.”
Imam Maliki dan Imam Syafie berpendapat ; “Ketika
seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya, cuma makruh,
kecuali ketika dharurat. Ketika dharurat diharuskan membukanya.
2. Batas-Batas Aurat Lelaki
Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi
bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Seseorang lelaki tidak boleh melihat
aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain.
Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga
dengan wanita dilarang berbuat demikian.”
- Imam
Hanafi dan Imam Hambali berpendapat: “Lelaki diwajibkan menutup auratnya
di antara pusat dan lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang
bukan mahramnya, kecuali kepada isterinya. Selain isterinya diharam
melihat aurat di antara pusat dan lututnya.” Isteri boleh (harus) melihat
aurat suaminya, kecuali kemaluannya dan demikian sebaliknya, kerana hukum
suami isteri melihat kemaluan masing-masing adalah makruh.
- Imam
Maliki dan Imam Syafie berpendapat: “Aurat lelaki ada dua keadaan iaitu:
- Auratnya
dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Ertinya sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya ialah di antara
pusat dan lutut sahaja.
- Auratnya
dengan perempuan yang bukan mahram-nya.
Ertinya iaitu dengan perempuan bukan mahram-nya
ialah seluruh badannya adalah aurat bagi mereka.
3. Batas-Batas Aurat
Wanita
a) Batas Aurat Wanita Dengan Lelaki
Para ulama sepakat berpendapat bahawa aurat
perempuan kepada lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh kecuali muka dan
kedua tapak tangannya. Ini berpandukan ayat Al-Quran surah An-Nur ayat 31, Al-Azhab
ayat 53 dan 59 serta riwayat beberapa buah hadis.
Firman Allah surah An-Nur ayat 31: Maksudnya; “Dan
janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa
nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah
dada.”
Firman Allah surah Al-Azhab ayat 59: Maksudnya; “Wahai
Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak perempuan kamu serta kepada
isteri orang Mukmin sekalian, hendaklah mereka menghulurkan jilbab mereka
keseluruhan tubuh badan mereka, kerana dengan itu mereka mudah untuk dikenali (sebagai
wanita Mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah
itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Firman Allah surah Al-Azhab ayat 53, maksudnya; “Apabila
kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi s.a.w),
maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian lebih mensucikan hati kamu dan
hati mereka...”
Sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dalam Tafsir Ibnu
Kasir, juz 3 halaman 284 disebut riwayat dari Ibnu Syahab dari Urwah dan dari
Aishah, kata Aishah: “Moga-moga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita
Muhajirin yang mulia, iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An Nur,
mereka terus mengoyak kain selendang mereka lalu menutup diri mereka dengannya.”
b) Golongan Mahram Dengan Wanita
Berdasarkan surah An Nur ayat 31, golongan yang
dibolehkan melihat aurat wanita ialah;
- Suami
- Bapa
Sendiri
- Bapa
suami atau bapa mertua
- Anak
lelaki
- Anak
lelaki suaminya iaitu anak tiri
- Saudara
lelaki iaitu adik atau abang kandung
- Anak
lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)
- Anak
lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)
- Wanita
Islam iaitu yang berakhlak
- Hamba
lelaki yang mereka miliki
- Pelayan
lelaki (khadam) yang sudah tidak ada syahwat kepada wanita.
- Kanak-kanak
lelaki (yang bukan mahram) yang
belum mengerti tentang aurat wanita (mumayyiz)
- Sementara
5 golongan lain lagi disebut oleh hadis. Mereka ialah:
- Anak
lelaki susuan.
- Bapa
susuan.
- Saudara
susuan.
- Bapa
saudara susuan, datuk susuan hingga ke atas. Dan anak saudara susuan
hingga ke bawah.
- Menantu
lelaki.
c) Batas Aurat Wanita Sesama Wanita dan Mahramnya
Imam Hanafi dan Imam Syafie berpendapat; “Dalam
keadaan tersebut (sesama wanita dan mahramnya), mereka diwajibkan menutup apa
yang di antara pusat dan lututnya.”
Sementara Imam Maliki dan Imam Hambali pula
berpendapat; “Bagi sesama perempuan hendaklah mereka menutup di antara pusat
dan lutut dan dengan lelaki mahramnya hendaklah mereka menutup seluruh tubuh,
kecuali anggota-anggota tepi seperti kepala dan tangan.”
d) Aurat Wanita Dengan Wanita Bukan Islam
Ketika mentafsir ayat 31 surah An Nur, bermaksud; “Janganlah
para wanita Muslimah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada wanita-wanita
Islam...,” Ibnu Abbas berkata: “Wanita Muslimah hanya boleh menampakkan
perhiasan kepada wanita Islam dan dilarang kepada wanita bukan Islam. Tidak
halal wanita-wanita Yahudi dan Nasrani melihat aurat wanita Muslimah.”
Tersebut dalam riwayat hadis sahih bahawa Saiyidina
Umar r.a pernah mencegah wanita kafir memasuki bilik mandi bersama
wanita-wanita Islam.
e) Dibolehkan Lelaki Bukan Mahram Melihat Aurat
Wanita Dalam Beberapa Keadaan
(1) Ketika Hendak Meminang
Menurut dalam kitab fiqh, bahawa harus bagi lelaki
ajnabi yang halal bernikah dengan seseorang wanita itu melihatnya ketika ia
berazam untuk meminangnya. Kadar sempadan aurat yang boleh dilihatnya ialah
muka dan kedua tapak tangan (dari pergelangan tangan hingga ke jari). Bahkan
ada sesetengah ulama berpendapat, hukum melihat untuk tujuan meminang adalah
sunat pula, kerana bertujuan untuk menambat hati.
Pendapat dan hukum itu berdasarkan hadis, bahawa
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya; “Apabila seseorang (lelaki) itu hendak meminang
seseorang wanita, digalakkan ia melihatnya, sekiranya dengan melihatnya
bertambah mendorongnya untuk berkahwin dengannya”- (Riwayat Imam Ahmad, Abu
Daud dan Al-Hakim) .
(2) Ketika Berjual-beli
Ketika berjual-beli, diharuskan melihat wajah wanita
yang datang membeli barang, kerana sekiranya berlaku kecacatan ke atas barang
tersebut, mudah untuk membuktikan bahawa barang yang hendak dipulangkan semula
itu dibeli oleh wanita itu. Demikian dengan pinjam-meminjam dan
lain-lain.
(3) Doktor Atau Tabib, Bertujuan Mengubat
Bagi doktor atau tukang ubat, bila ia hendak mengubati
atau merawat pesakit wanitanya, harus baginya melihat atau menyentuh mana-mana
bahagian yang perlu dirawat, dengan syarat wanita itu ditemani oleh suaminya
atau lelaki mahramnya atau wanita yang amanah. (Apabila ketiadaan doktor wanita).
Wanita Solehah Menjaga
Aurat
Surah An-Nuur, ayat 31: “Dan katakanlah kepada
perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan
hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang
gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada
perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan;
dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah,
wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Firman Allah s.w.t di dalam surah an-Nuur: 58,
dengan pegertian masa. “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba
kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada
kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum
sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari,
dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya
terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian
daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu
keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat
antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu
ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Pengertian Hijab
Apabila menyebut perkataan ‘Hijab’ maksud sebenarnya
ialah penutup dan boleh dijurus kepada jubah, tudung, dan purdah untuk
dijadikan penutup aurat seseorang wanita. Ada juga ulama mengatakan, hijab itu
merupakan pakaian yang dituntut oleh syariat yang bersifat kesempurnaan, dengan
pakaian tersebut ia dapat menjadikan seorang itu benar-benar mengikut syariat
Allah s.w.t. Di samping dapat menghalang berlakunya fitnah daripada kaum
lelaki.
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Ahzab: 53, “Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan
masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri
jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu
dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu
makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk
bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti
dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada
kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu
meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada
mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan
hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak
boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya.
Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.”
Allah s.w.t menyatakan sebab wajib bertabir adalah
ia dapat menyucikan hati-hati lelaki dan perempuan daripada kemahuan yang tidak
diingini yang mana ia jauh dari darjat seorang nabi.
Pengertian Jilbab
Jilbab pada syariat ialah menutupi seluruh badan
sebagaiman firman Allah s.w.t dari surah al-Ahzab: 59, ”Wahai Nabi,
suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan
yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar) ; cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai
perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah)
Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Kalau kita kembali kepada maksud berhijab itu adalah
untuk menutup tubuh dari lelaki ajnabi. Jadi, bukanlah dengan pakaian yang
nipis, ketat, mahupun bercorak-corak yang boleh menimbulkan keseronokan lelaki untuk
melihatnya.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa jilbab itu
ialah pakaian yang digunakan oleh perempuan untuk menutup dada dan belakang
seperti selendang dan pakaian bahagian luar. Pendapat lain mengatakan iaitu
tudung perempuan. Walau apa sekalipun, ada sebahagian ulama mengeluarkan
pendapat mereka berkenaan firman Allah s.w.t dalam surah al-Ahzab yang
menyatakan tidak semestinya menutup muka.
Wanita Solehah Menjaga
Persahabatan
Sahabat adalah perangsang, penghibur, pembentuk dan
segala-galanya di dalam hidup ini. Manfaat persahabatan yang sedikit atau
banyak itu adalah hanya perkara yang membezakan seseorang itu memperoleh
manfaat tersebut. Manfaat persahabatan juga bergantung kepada ramainya sahabat
di kalangan teman-temannya dan bagaimana beliau menghayati hubungan
persahabatannya untuk dimanfaatkan.
Terdapat lima nilai di sebalik persahabatan yang
ingin dibincang di sini. Pertamanya, asas persahabatan dan pergaulan dalam
Islam, siapa sahabat kita, etika kita terhadap sahabat, apa ada dengan
persahabatan serta ketidaksepakatan dan konflik di antara sahabat. Nilai-nilai
ini ingin saya kaitkan dengan remaja Islam. Hal ini kerana kehidupan remaja itu
hampir keseluruhannya terlalu banyak melibatkan hubungan persahabatan. Justeru,
persahabatan mempunyai hubungan yang amat signifikan di dalam pembentukan
peribadi seseorang di peringkat muda remaja. Begitu juga dengan banyak
meramalkan keadaan masa depan kita.
Selain itu, semakin meningkat umur bagi para remaja,
ia amat normal bagi mereka untuk mencari pengaruh yang sihat dan bermanfaat.
Jadi, kita sebagai masyarakat dewasa wajar untuk menuding hal ehwal
persahabatan bagi mereka untuk bertanggungjawab menentukan pengaruh yang sihat
dan bermanfaat itu contohnya, pengaruh yang sihat dari sudut menjaga
etika-etika persahabatan dan memanfaatkan hubungan dengan menyedari serta
menghayati nilai-nilainya. Dari sudut membangkitkan motivasi pula, kekosongan
jiwa kita akan selalu diisi oleh para sahabat di samping mengingati Allah dari
sudut sebagai seorang hamba.
Maka semangat yang diperolehi di samping meminta
pertolongan daripada Allah adalah dorongan serta rangsangan para sahabat.
Kesimpulannya, untuk meningkatkan kedudukan hubungan persahabatan, itu
bergantung kepada nilai-nilai keikhlasan di dalam menjalinkannya. Begitu juga
dengan pengalaman yang dilalui bersama, suka duka dan juga tempoh seseorang
menjalinkan perhubungan tersebut. Semakin tulus ikhlas hati kedua-duanya, maka
semakin baiklah hubungan tersebut. Semakin banyak pengalaman dan suka duka yang
dialui bersama, semakin rapatlah hubungan mereka.
Persahabatan
Persahabatan dari segi istilah bermaksud menandakan
tingkah laku kerjasama dan sikap tolong-menolong antara dua atau lebih orang.
Ia berlaku antara orang-orang yang mempunyai kesamaan intelektual dan emosi.
Mengikut pandangan para sahabat Rasulullah, sahabat bermaksud pengikut atau
murid. Maka setiap orang Islam yang mengikuti dan menerima didikan daripada
Rasulullah s.a.w pada zaman itu dipanggil sebagai sahabat. Sebagai kesimpulan,
setiap maksud yang difahami oleh seseorang membayangkan kita dengan sifat
keintiman atau kebersamaan makhluk di antara satu sama lain.
Bagi para ulama pula, mereka mendefinisikan
perkataan ‘sahabat’ sebagai seorang yang hidup pada zaman Rasulullah s.a.w dan
mati dalam keadaan Islam. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa betapa
agungnya dakwah Rasul itu di dalam mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam
zaman itu. Dek kerana agungnya nur Muhammad itu ia menjadikan sekelilingnya
juga turut disinari dengan nur keagungannya.
Dalam konsep persahabatan, terdapat asas-asas
persahabatan dalam Islam yang boleh diringkaskan kepada asas, iaitu keikhlasan.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa di dalam
jasad itu terdapat segumpal daging. Jika ianya baik, maka baiklah seluruh jasad
itu. Dan jika ianya rosak, maka rosaklah seluruh jasad itu. Ianya adalah hati.”
Sabda di atas boleh dikaitkan dengan keikhlasan
dalam persahabatan. Dari segi persahabatan, ada beberapa tujuan yang dapat
dipersoalkan. Salah satu daripadanya adalah bersahabat demi memenuhi kehendak
jiwa dan memperoleh manfaat serta kepentingan tertentu. Keikhlasan kita untuk
bersahabat tidak terjejas selagi asas-asas persahabatan tersebut tidak
ditinggalkan dan kita bersahabat mengikut landasan yang sebenarnya. Kita boleh
mengaut manfaat yang ada di dalam sesebuah persahabatan dan kautlah sebanyak
mungkin daripadanya. Hal ini kerana ia untuk manfaat diri kita sendiri juga.
Selagi ia berkaitan dengan galakan ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran,
maka itulah persahabatan yang ikhlas kerana Allah.
Betapa agungnya persahabatan itu sehingga ianya
diperlukan di dalam setiap jalinan hubungan. Hubungan di antara keluarga, suami
isteri, teman dan sebagainya itu sesungguhnya amatlah kaya jika ia disertakan
dengan nilai persahabatan. Iaitu hubungan yang paling banyak nilai keikhlasan
dan kejujurannya berbanding yang lain.
Keikhlasan di dalam setiap perkara itu hanya akan
lahir apabila setiap yang kita lakukan itu diasaskan sebagai tanggungjawab,
iaitu kita melakukan sesuatu lantaran tanggungjawab. Bukan kerana terdesak atau
secara terpaksa. Sebagai kesimpulan, semakin lama tempoh persahabatan itu,
semakin sukar untuk ia dipisahkan. Semakin banyak kita lalui perkara-perkara
bersama, maka semakin cepatlah hubungan yang dimulai dengan perkenalan itu
meningkat membentuk sebuah persahabatan atau kerabat.
Huraian
1. Bertolong-Tolonglah Kamu
Berbuat Kebaikan Dan Takwa
Allah s.w.t berfirman: “Bertolong-tolonglah kamu
berbuat kebaikan dan takwa. Dan janganlah kamu bertolong tolongan berbuat dosa
dan aniaya dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras
seksaan-Nya.” (surah Al-Maidah: 2)
Islam sejak awal lagi telah menunjukkan cara
pergaulan dan persahabatan yang benar dan sepatutnya. Sebagaimana
hidup-tolong-menolong sesama Muslim itu amatlah digalakkan, maka di sebalik
galakan tersebut masih terdapat batas-batasnya. Itulah yang menunjukkan
kesempurnaan Islam sebagai agama wahyu mendidik jiwa manusia.
Memberi pertolongan kepada seseorang itu amatlah
dituntut agar hubungan sesama masyarakat terutama sekali di antara para sahabat
itu menemui keharmonian yang berpanjangan. Sesungguhnya bantu-membantu itu
adalah tindakan yang baik. Dan kita perlu menjaganya agar perbuatan baik dan
suci itu tidak dicemari dengan perbuatan jahat secara tidak disedari.
Kita mestilah pandai memilih sahabat kerana
sesungguhnya perkara itu adalah yang terbaik buat dirikita sendiri. Sebagai
contoh, setiap orang pasti akan menemui suatu keadaan yang mendesak ke arah pertolongan
dan setiap orang juga pasti akan menemui keadaan yang mendesak untuk memberikan
pertolongan. Seseorang sahabat terutama sahabat yang paling intim tidak akan
sanggup melihat rakannya dalam kesusahan. Lantaran itu, ia telah mewujudkan
sifat perikemanusiaan di dalam jiwa seseorang serta akan bertambah kuat lagi
jiwa ia diiringi dengan sifat setia kawan.
Sebagai kesimpulan, segala pertolongan yang kita
lakukan di dunia akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t di akhirat kelak. Tentang
adakah pertolongan kita yang melibatkan harta, tenaga dan sebagainya itu
disalurkan ke jalan yang sepatutnya ataupun tidak. Banyak perkara yang sering
kita rasakan bahawa ianya kecil lalu dipandang remeh atau tidak diambil berat
ke atasnya. Membantu kea rah kebaikan itu Nampak kecil tetapi kesannya amat
besar di dalam mempengaruhi kehidupan bermasyarakat.
Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq pernah berkata bahawa “orang
yang melakukan kebaikan itu adalah orang yang memerangi kejahatan. Dekatilah
mati nescaya ia akan memberikan kehidupan kepadamu. Jika kebaikan itu terlepas
daripada dirimu, maka kejarlah ia. Jika engkau menemui keburukan, tinggalkanlah
ia. Perbaikilah dirimu nescaya semua orang akan berbuat baik pula kepadamu.”
2. Jauhi Hasad Dengki
Sifat hasad dengki terhadap sesama manusia amatlah
dilarang sama sekali dalam Islam. Daripada hasad dengkilah akan berpuncanya
kata-kata penyebar fitnah. Begitu juga dengan tindak-tanduk yang tidak
menyenangkan setiap orang. Ia mampu merosak dan memusnah sesuatu tidak kira
ianya berbentuk harta benda, kekayaan, kemampuan dan sebagainya.
Allah s.w.t berfirman: “Katakanlah, aku berlindung
kepada tuhan yang menguasai waktu subuh daripada kejahatan makhlukNya dan
daripada kejahatan malam apabil telah gelap-gelita daripada kejahatan wanita-wanita
tukang sihir yang menghembus pada bahul-bahulnya dan daripada kejahatan orang
dengki apabila ia dengki.” (surah Al-Falaq: 1-5)
Persahabatan yang harmoni perlukan bebas daripada
sebarang hasad dengki kerana ia bukan sekadar akan menghilangkan fungi persahabatan,
malah akan menghancurkan masyarakat dengan permusuhan yang tidak akan
berkesudahan di antara mereka. Cara untuk mengatasi orang yang berhasad dengki
ini sebenarnya mudah kalau kena dengan caranya. Ada dalil yang mengatakan: “Bersabarlah
terhadap perbuatan dengki, kerana kesabaran itu mampu membunuhnya. Sesungguhnya
api itu akan memakan sebahagian daripada dirinya jika tiada makanan lain
baginya.”
Sabar adalah cara yang paling tepat untuk menangani
seseorang yang berhasad dengki ini. Sebagai sahabat yang baik, kita haruslah
menggunakan ‘kuasa’ kita sebagai sahabat untuk memerangi dan membersihkan jiwa
rakan kita yang mempunyai sifat hasad dengki kerana sesungguhnya seseorang itu
amat rugi kerana membenci nikmat Allah s.w.t yang diberikan kepada orang lain.
Kesimpulannya, kita mestilah memperbanyakkan amalan
suka membantu, merasa belas kasihan, bertakwa kepada Allah serta mendoakan
kejayaan orang lain. Sesungguhnya rezeki dan nikmat Allah s.w.t adalah untk
sekalian makhluk dan ianya hanya pinjaman dan bukanlah sesuatu yang boleh
dimiliki dengan kekal melainkan kebahagiaan di akhirat kelak.
3. Syarat-Syarat
Persahabatan
Di dalam persahabatan juga terdapat beberapa syarat
dan perkara ini perlu disemai sesame manusia. Antaranya ialah jangan ada maksud
yang tidak jujur. Jalinlah persahabatan dengan jujur dan tidak memandang harta,
kecantikan dan sebagainya yang berkaitan dengan hal ehwal luaran. Sebaliknya,
jalin persahabatan dengan jujur, pandang mereka dari segi dalaman dan peroleh
kepentingan dan manfaat daripadanya.
Sesungguhnya persahabatan yang mencari nilai
pelajaran dan pengajaran akan diperoleh hasilnya dari segi improvement
nilai-nilai murni kepada seseorang. Keduanya, sabar dan matang mengawal diri.
Sahabat yang baik akan tahan melihat perangai dan kerenah kita yang kerap kali
berubah-ubah dan tabiat buruk yang sama sekali tidak menyenangkan mereka.
Lantas, apabila melihat perkarayang buruk ini, si
sahabat ini dengan sabar akan mendidik kita ke jalan yang benar. Ketiga, rahsia
kita disimpan dengan baik. Sahabat menjadi tempat kita mengadu dan berkongsi
rahsia lantaran tiada lagi orang di dalam dunia ini yang boleh dipercayai
melainkan sahabat. Maka sahabat yang sejati itu kukuh pendiriannya menjaga
rahsia diri kita.
4. Sikap Tegur-Menegur
Satu kewajipan yang wajib dalam persahabatan, iaitu
tegur-menegur. Sikap ini terbit secara fitrah daripada dua perkara asas yang
sedia wujud di dalam jiwa seseorang sahabat iaitu jujur dan mementingkan
adab-adab kemanusiaan.
Hadis Nabi ada berbunyi: “Sesiapa di antara kamu
yang melihat kemungkaran maka hendaklah kamu mengubah atau memperbaikinya
dengan tindakan. Jika kamu tidak mampu melakukannya maka perbaiklah ia dengan
lida dan jika kamu tidak mampu juga, maka sekurang-kurangnya dengan hati.
Demikian adalah selemah-lemah iman.”
Sebagai seorang sahabat, kita perlu tegas menegur
kesilapan dan menambah kekurangan yang dimiliki oleh rakan. Ia adalah kewajipan
untuk kita menitikberatkan adab hormat-menghormati di antara satu sama lain
bahkan ianya lebih utama di hadapan seorang sahabat.
Menegur itu juga perlu kena caranya. Teguran yang
ikhlas adalah teguran yang mengandungi pujian dan teguran kerana ianya lebih
seimbang; ia mengandungi nilai menghargai dan keikhlasan bertanggungjawab
memperbaiki. Menegur seseorang tanpa memikirkan perasaan dan sensitivitinya
adalah tindakan yang menguntungkan sebelah pihak sahaja. Hal ini kerana ia
hanya mementingkan misi dan visi seseorang itu atau tindakan semata-mata tanpa
mementingkan apakah hasilnya.
Kesimpulannya, Islam menggalakkan kita berdakwah
dengan penuh hikmah serta berkata-kata dengan baik.
5. Faedah Dalam
Persahabatan
Pertama ialah memberi semangat dan dorongan kepada
orang lain untuk meneruskan hidup. Dalam hidup yang serba ujian dan kesusahan
ini, manusia memerlukan sahabat yang boleh membakar semangat dan memberi
dorongan kepadanya untuk meneruskan hidup. Kita sebagai seorang sahabat perlu
memberikan semangat serta komitmen yang sebaiknya sekiranya melihat rakan kita
sedang berusaha untuk melangkah maju ke hadapan.
Beri mereka sokongan atau hanya setuju dengan
tindakannya agar mereka akan lebih bersemangat untuk melakukan apa yang
diinginkan. Kedua, mewujudkan kerjasama. Hal ini adalah berkenaan dengan
kelompok manusia yang melakukan pekerjaan bersama-sama. Sesuatu pekerjaan tidak
akan sama mutunya jika dilakukan perseorangan. Antara manfaat kerjasama ialah
dapat meningkatkan produktiviti dan kemahiran berkomunikasi. Dari segi ibadat
juga, Allah s.w.t menggandakan pahala bagi mereka yang suka beribadat secara
berjemaah.
Dari sudut kuantiti kerja pula, kerja berkumpulan
dapat menambahkan hasil dan pengeluaran bagi setiap pekerjaan yang dilakukan.
Urusan seharian dalam pekerjaan juga menjadikan kita lebih mahir berkomunikasi
kerana setiap seorang itu berusaha memahamkan dan memahami apa yang
diperkatakan untuk menyelesaikan sesuatu tugas. Ketiga, peningkatan proses
kerja. Sesuatu pekerjaan menjadi lebih pantas, cekap dan sempurna jika tenaga
manusia digandingkan.
6. Cara-Cara Penyelesaian
Cara-cara penyelesaian sekiranya berlaku konflik
dalam persahabatan adalah pertama, jadilah seorang pemaaf dan peminta maaf Ia
melibatkan perasaan ego dan maruah diri setiap orang. Dalam konteks ini, kita
haruslah merendahkan perasaan tersebut dan jadilah seorang yang prihatin untuk
memperbaiki dan memulihkan persahabatan sesama insan. Kita semua sering
melakukan kesilapan dan kesalahan. Janganlah menjadi seorang yang bodoh
sekiranya kita sengaja membiarkan persahabatan kita hancur dek kerana
kesombongan untuk mencegah pertelingkahan yang berlaku.
Kedua, cari punca dan sebab berlaku masalah. Tatkala
berlakunya masalah salah faham di antara sahabat, adalah penting untuk kita
belajar dan berusaha mencari punca masalah tersebut. Pandanglah ke belakang dan
cari apakah perkara yang masih belum selesai di antara di antara sahabat kita.
Alangkah bijaknya jika kita tidak mengungkit-ungkit perkara yang lalu kerana ia
boleh melaratkan persengketaan yang sedang berlaku. Kita juga haruslah
bertindak untuk mencegah sebelum melakukan suatu kesilapan atau kesalahan dalam
persahabatan kita. Ketiga, secara perbincangan.
Setiap kali kita berhadapan dengan konflik, maka
ambillah masa dan tegaskanlah diri untuk segera memulakan perbincangan dengan
berterus terang. Titik beratkanlah perkara-perkara yang berkaitan dengan
kepentingan seseorang, kehormatan, penghargaan dan kehendak dirinya.
Sesungguhnya keredhaan dan keselesaan kehendak perasaan adalah puncak kepuasan
yang dianggap sebagai kemenangan bagi setiap pihak.
Penutup
Persahabatan menghadiahkan sesuatu yang
diharap-harapkan oleh setiap orang dan hadiah tersebut hanya benar-benar
dimiliki oleh mereka yang tidak mengejarnya semata-mata. Kebaikan dalam
persahabatan bukanlah bermakna bahawa di sepanjang persahabatan itu kita hanya
melalui pengalaman-pengalaman manis atau hanya melalui senario yang
menggembirakan sahaja.
Akan tetapi, ia juga merupakan sebuah perjalanan
yang turut diselangi dengan suka duka kehidupannya. Maka daripada kesusahan itu
akan timbul nilai-nilai yang lebih menjadikan persahabatan itu semakin berharga
iaitu pengorbanan dan kesetiaan. Kesimpulannya, jangan hanya mencari sahabat
yang diperhatikan tidak mempunyai sebarang kelemahan. Kita tidak akan mendapat
sahabat sampai bila-bila jikalau kita hanya mencari sahabat yang tiada sebarang
kesalahan sama sekali dan memegang prinsip untuk memutuskan persahabatan akibat
terdapat kesalahan daripadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan