Khamis, 12 September 2013

Mohon Perlindungan Allah Membutakan Mata Iblis


SMAHADZIR

TERSEBUTLAH dalam Al-Quran bahawa diciptakan Allah s.w.t pula Nabi Adam sebagai manusia yang pertama, untuk menghuni di bumi luas yang sudah terbentang, beranak dan berketurunan menjadi manusia banyak, berpuak-puak dan berbilang bangsa, berselerak ke seluruh pelosok bumi. Maksudnya manusia itu diciptakan Allah s.w.t, ialah agar manusia itu menyembah dan sentiasa mentaati segala perintah-Nya serta juga menjadi pengatur bumi yang tidak teratur; bercucuk tanam, mendirikan rumah, memelihara ternakan, dan sebagainya. 
Allah s.w.t memberitahu maksudnya kepada para Malaikat, ‘Aku ingin mencipta manusia untuk menguruskan muka bumi.’ Para Malaikat lalu menjawab, ‘Apakah manusia yang Engkau ciptakan itu untuk mengurus bumi, ya Yuhan kami? Tidakkah manusia itu nanti akan merosakkan bumi dan akan menumpahkan darah berbunuhan? Berbanding dengan kami yang sentiasa patuh dan memuliakan Engkau.’ 
Lalu Allah s.w.t menjawab. ‘Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui.’ 
Ya, Tuhanlah yang lebih tahu rahsia apa yang terkandung dari kejadian manusia ini. Tuhanlah yang lebih tahu kenapa manusia diciptakan Allah s.w.t untuk mengatur bumi, kendatipun Allah s.w.t tentu sudah tahu juga, banyak manusia di permukaan bumi ini akan berbuat kerosakan, akan bersilang sengketa, akan berbunuh-bunuhan menumpahkan darah. 
Tetapi janganlah sampai kita lupa bahawa Allah s.w.t juga tahu, bahawa tidak semuanya manusia itu perosak, tidak semua manusia suka bersengketa dan berbunuh-bunuhan. Di antara manusia yang banyak itu, ada banyak pula yang baik, yang selalu berbuat kebajikan terhadap sesama manusia, selalu berusaha dan berjuang untuk keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia yang lain. 
Setelah mendengar jawapan Allah s.w.t yang pendek, tetapi mempunyai erti dan maksud yang amat dalam itu, semua Malaikat menjadi diam, tidak menjawab lagi. Hanya berkata dengan berbisik antara sesama mereka: ‘Memang benar! Allah s.w.t Maha Mengetahui segala sesuatu, dari perkara yang sekecil-kecilnya sampai kepada perkara yang sebesar-besarnya. Dia mengetahui segala yang zahir dan yang batin, yang kelihatan oleh mata dan yang tidak kelihatan. Tidak ada satu perkara dan kejadian yang bagaimana pun kecilnya yang terjadi di langit dan di bumi atau antara kedua-duanya yang tidak diketahui oleh Allah s.w.t.’ 
Apa saja yang Allah s.w.t ciptakan, tentu ada guna dan faedahnya, tentu ada maksud dan tujuannya. Tidak satu benda pun yang diciptakan Allah s.w.t akan sia-sia. Hanya kita sendiri yang tidak atau belum mengetahuinya. Allah s.w.t meneruskan firman-Nya terhadap para Malaikat itu: ‘Manusia itu, iaitu Nabi Adam, akan Aku ciptakan dari tanah. Apabila sudah terbentuk dan selesai, akan Aku hembuskan kepadanya roh-Ku, agar baginda menjadi hidup, dapat bergerak, berperasaan, berpengertian dan berkesedaran. Bila Nabi Adam sudah menjadi hidup dengan pengertian dan kesedaran, hendaknya kamu sekalian sujud memberi hormat kepadanya.’

Kesedaran Yang Amat Tinggi

Malaikat adalah suatu makhluk Allah s.w.t yang mempunyai kesedaran yang amat tinggi. Dengan kesedaran yang amat tinggi itu, mereka menjadi makhluk yang mulia, selalu bertasbih dan beribadat mensucikan, membesarkan dan memuji-muji Allah s.w.t, selalu taat menjalankan apa saja yang diperintahkan Allah s.w.t kepada mereka. Mereka tidak pernah derhaka atau melanggar perintah Allah s.w.t, tanpa makan dan minum, tanpa rehat atau tidur, mereka selalu melaksanakan segala macam tugas yang dibebankan Allah s.w.t atas mereka masing-masing sampai hari kiamat. Bila mereka itu makhluk yang tinggi dan mulia, mengapa Allah s.w.t memerintahkan mereka untuk sujud atau menghormati Nabi Adam? Apakah Nabi Adam atau manusia lebih tinggi dan lebih mulia daripada Malaikat? 
Pertama kita harus ingat, bahawa Allah s.w.t memerintahkan Malaikat sujud kepada Nabi Adam, bukanlah dalam erti menyembah, melainkan dalam erti menghormati. Menghormati Nabi Adam tidak boleh diertikan sebagai menghormati manusia anak cucu Nabi Adam. Jadi penghormatan ini khusus terhadap peribadi Nabi Adam sahaja. 
Mengapa peribadi Nabi Adam harus dihormati oleh para Malaikat? Hal ini disebabkan oleh kerana peribadi Nabi Adam mempunyai keistimewaan yang banyak sekali dan luar biasa, yang tidak dipunyai oleh manusia-manusia lain atau makhluk yang mana pun juga. Keistimewaan-keistimewaan yang luar biasa itu adalah seperti berikut: 

  1. Nabi Adam adalah manusia pertama. Sebelum Nabi Adam, belum ada manusia. Seluruh manusia selain Nabi Adam, semuanya adalah keturunan Nabi Adam. Di antara manusia keturunan Nabi Adam itu, ada yang menjadi Nabi dan Rasul, menjadi orang-orang suci. Di antaranya ada orang pandai dalam berbagai bidang, yang menyebabkan kemajuan hebat bagi manusia dari abad ke abad. Lihatlah kemajuan anak cucu Nabi Adam yang hidup diketika ini. Kendatipun ada pula di antara anak cucu Nabi Adam sendiri yang menjadi perosak dan penjahat. Sebab itu, memang sudah sepatutnya kalau para Malaikat memberikan penghormatan atau sujud kepada Nabi Adam sebagai manusia pertama dan mempunyai keturunan yang hebat itu. 
  2. Nabi Adam diciptakan sendiri oleh-Nya. Sedangkan makhluk lain, seluruhnya diciptakan Allah s.w.t dengan perkataan-Nya: ‘Bila Allah s.w.t menghendaki sesuatu, Dia hanya berfirman: Jadilah! Maka jadilah apa yang dikehendaki Allah s.w.t itu.’ Hanya Nabi Adam, yang Allah s.w.t ciptakan dengan kedua tangan-Nya. Demikianlah menurut Al-Quran. Sedang menurut Hadis, selain Nabi Adam, juga ‘Arasy dan Syurga yang diciptakan Allah s.w.t dengan tangan-Nya. Maka sudah sepatutnya kalau para Malaikat diperintahkan Allah s.w.t untuk menghormati Nabi Adam. Kerana ia diciptakan Allah s.w.t dengan tangan-Nya, Nabi Adam sungguh suatu makhluk yang terhormat tiada taranya di alam ini.
  3. Selain manusia pertama yang diciptakan Allah s.w.t dengan tangan-Nya, Nabi Adam adalah pula seorang Nabi, seorang yang mendapat wahyu dari Allah s.w.t. Menurut sebahagian ulama, para Nabi dan Rasul memang sama darjat kemuliaannya dengan para Malaikat. Bahkan ada di antara ulama yang berpendapat bahawa Nabi dan Rasul itu darjat kemuliaannya melebihi para Malaikat, sebab Jibrail sebagai Malaikat tertinggi, ditugaskan pula menjadi perantara antara Allah s.w.t dengan para Nabi dan Rasul itu. 

Seperti halnya dengan para Malaikat, maka Nabi Adam juga mempunyai kesedaran dan pengertian (akal), sehingga Nabi Adam dan keturunannya dapat menyedari dan mengerti akan kebesaran Allah s.w.t yang menciptakan dirinya dan seluruh alam, dapat menyedari dan mengerti akan perintah-perintah dan larangan Allah s.w.t.
Nabi Adam dan manusia diciptakan Allah s.w.t dalam sebaik-baiknya kejadian, kerana baginda terdiri dari jasmani dan rohani (roh, akal, hati dan nafsu), sehingga baginda menjadi suatu makhluk yang beradab dan berkebudayaan, terus maju tidak beku. Nabi Adam dan keturunannya diciptakan Allah s.w.t untuk menjadi khalifah (penguasa atau pengatur) di bumi, sebagaimana Allah s.w.t menciptakan Malaikat sebagai khalifah di langit. 
Kerana menyedari akan kedudukan dan kemuliaan Nabi Adam, para Malaikat mengerti akan perintah Allah s.w.t untuk menghormati Nabi Adam. Mereka lalu menjawab: ‘Baiklah, ya Tuhan kami. Kami dengar dan kami taati segala perintah-Mu.’ Allah s.w.t lalu menciptakan Nabi Adam dari tanah dengan tangan-Nya sendiri. Berbentuk seperti bentuk kita sekarang ini. Iaitu berkepala, berbadan, bertangan dan berkaki. Lalu Allah s.w.t hembuskan roh kepadanya, sehingga Nabi Adam menjadi hidup. 
Nabi Adam menggerakkan kedua tangan dan kakinya, lalu baginda bersin (batuk), sehingga bergerak sekujur badannya, terbuka kedua-dua matanya, bergerak jantung dan paru-parunya. Sekali gus ketika Nabi Adam membuka kedua matanya, melihat seluruh alam di sekitarnya, timbullah pengertian dan kesedaran, dan dengan pengertian dan kesedaran itu, baginda mengucap: ‘Alhamdulillahi Rabbil Alamin (Segala pujian bagi Allah s.w.t yang mengatur seluruh alam).’ Para Malaikat kagum sekagum-kagumnya melihat dan mendengar ucapan pertama yang keluar dari mulut Nabi Adam. Satu ucapan yang berisi pengertian dan kesedaran tertinggi. Pengertian dan kesedaran bahawa alam ini seluruhnya diciptakan dan diatur oleh Allah s.w.t, sebab itu Allah s.w.t selamanya harus selalu disanjung dan dipuji. 
Para Malaikat serentak menjawab ucapan Nabi Adam: ‘Yarhamukallahu, ya Adam.’ Ertinya: Allah s.w.t selalu menumpahkan rahmat-Nya kepada engkau, ya Adam, dan selamatlah. Para Malaikat lalu beratur mengelilingi Nabi Adam, lalu sujud dan menghormati Nabi Adam, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada mereka. Hanya Iblis yang tidak mahu sujud dan tidak mahu menghormati Nabi Adam. Dia tetap berdiri dan membangkang dengan sombongnya, tidak mahu menjalankan apa yang diperintahkan Allah s.w.t. 
Allah s.w.t lalu berkata kepada Iblis itu: ‘Bukankah engkau juga makhluk ciptaan-Ku, yang juga harus tunduk dan menjalankan perintah-Ku? Tetapi kenapa engkau tidak sujud dan tidak memberi hormat kepada Nabi Adam sebagaimana Aku perintahkan?’ 
Iblis menjawab: ‘Engkau ciptakan aku dari api dan Nabi Adam dari tanah. Api lebih mulia dari tanah. Itu bererti yang aku lebih mulia dari Nabi Adam. Maka tidak sepatutnyalah aku sujud dan hormat terhadap Nabi Adam itu.’ 
Mendengar bantahan Iblis itu, Allah s.w.t menjadi murka, lalu berkata kepada Iblis: ‘Tempat ini (Syurga) bukan tempat orang yang menyanggah terhadap Aku. Sekarang juga, engkau harus keluar dari sini.’ 

Terusir Dari Syurga

Sesudah keluar dan terusir dari Syurga, Iblis kembali menyanggah dan berkata kepada Allah s.w.t: ‘Ya, Allah! Engkau usir aku dari Syurga ini kerana Nabi Adam. Aku bersumpah, bahawa aku dengan semua anak keturunanku akan memusuhi Nabi Adam dan semua anak dan keturunannya buat selama lamanya. Mereka akan aku sesatkan. Mereka akan aku celakakan. Aku akan ajak dan anjurkan kepada mereka untuk berbuat keburukan dan kerosakan didalam dunia ini nanti, agar kehidupan mereka selamanya susah dan kacau bilau belaka.’ 
Mendengar ancaman Iblis itu, Allah s.w.t lalu berfirman: ‘Untuk menghindarkan tipu dayamu itu, kepada manusia akan Aku beri suatu senjata yang ampuh, ialah akal. Akal itu akan Aku bimbing dengan petunjuk-petunjuk (agama), manusia yang tetap menggunakan akal dan menurut petunjuk-petunjuk-Ku tidak akan dapat engkau sesatkan dan perdayakan. Dengan akal itu, mereka akan dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Dengan tuntunan petunjuk-Ku, akal mereka akan mempunyai daya berfikir yang benar. Sesiapa yang tidak menggunakan akal dan tidak menurut petunjuk-Ku, tentu dapat engkau goda dan sesatkan. Ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan-Ku nanti pada hari kemudian (Akhirat).’
endengar keterangan Allah s.w.t itu, Iblis terdiam. Tetapi hatinya makin mendongkol, iri hati dan dengkinya terhadap manusia bertambah memuncak. Dia berpaling kepada Nabi Adam. Mata dan seluruh perhatiannya sekarang ini ditujukannya kepada Nabi Adam. Dia ingin tahu di mana letak kelemahan-kelemahan jasmani dan rohani manusia. Nabi Adam dipelajarinya dari segala segi. Akhirnya Iblis berkesimpulan bahawa manusia itu selain mempunyai kekuatan berfikir, iaitu akal yang amat hebat itu, juga mempunyai banyak kelemahannya.
Di samping akal itu, manusia mempunyai nafsu. Dan nafsu itu banyak macam ragamnya. Ada nafsu terhadap makanan dan minuman, ada nafsu kelamin atau syahwat, ada nafsu terhadap harta benda dan kekayaan, terhadap rumah tempat tinggal dan kenderaan dan ada pula nafsu terhadap pangkat dan kedudukan yang tinggi di tengah-tengah sesama manusia. Di tiap-tiap macam nafsu, tabiat dan karakter, terdapat banyak sekali pintu atau lubang kelemahan dan setiap waktu dapat dimasuki oleh Iblis untuk memperdayakan dan mengacau kehidupan manusia 
Setelah melihat semua kelemahan itu, Iblis ketawa kecut. Dia ketawa dan gembira, kerana berjaya melihat kelemahan manusia. Tetapi hatinya menjadi kecut dan takut, bahawa manusia di samping mempunyai kekuatan yang hebat, iaitu akal, juga dengan akal itu dapat menerima petunjuk-petunjuk Allah s.w.t. Petunjuk Allah s.w.t itu adalah merupakan satu benteng berlapis waja yang tidak mungkin dapat ditembus oleh Syaitan dan Iblis. 
Iblis dari awal lagi sudah mengakui akan kelemahan dirinya menghadapi manusia yang sedar dan iman yang berbentengkan petunjuk Allah s.w.t dalam hidup. Bahkan kalau manusia mengerti dan sedar pula akan kelemahan Iblis dan kekuatan rahsia dari keimanan yang penuh terhadap Allah s.w.t dan petunjuk-petunjuk Allah s.w.t, manusia akan selamat dalam kehidupan dunia dan akhiratnya dan akan terhindar dari tipu muslihat Iblis atau kesesatan dalam hidup.

Kekuatan Ghaib Sama Dengan Gelap

Iblis adalah satu kekuatan ghaib yang boleh disamakan dengan gelap. Sedang keimanan terhadap Allah s.w.t dan petunjuk-petunjuk Ilahi adalah pula satu kekuatan ghaib yang boleh disamakan dengan terang atau cahaya. Bila suatu tempat tidak dimasuki oleh cahaya, pasti tempat itu diisi oleh gelap. Bila tempat yang gelap itu dimasuki cahaya, pasti gelapnya lenyap. Begitu jugalah manusia sebagai tempat. Bila ia kosong dari keimanan dan petunjuk Ilahi, akan bermaharajalelalah Syaitan dan Iblis atas dirinya. Tetapi bila manusia mempunyai keimanan di dada dan selalu disiram dengan petunjuk-petunjuk Ilahi, segala daya Iblis tidak mampu memperdayakannya.
Kepada Nabi Adam diajarkan Allah s.w.t pengetahuan pokok untuk dapat hidup di permukaan bumi. Allah s.w.t mengajar kepada Nabi Adam nama tiap sesuatu. Untuk sekadar membuktikan kepada para Malaikat, bahawa manusia layak menjadi Khalifah di bumi, dan patut mendapat penghormatan dari Malaikat, Allah s.w.t lalu memanggil Nabi Adam dan Malaikat supaya berkumpul. Kepada Malaikat Allah s.w.t berfirman: ‘Cuba kamu sebutkan nama tiap-tiap sesuatu yang terdapat di permukaan bumi itu, sekiranya kamu mengetahuinya.’ 
Dengan merendahkan diri serendah-rendahnya, Malaikat menjawab: ‘Maha Suci Engkau, ya Tuhan kami! Kami tidak mengetahui nama-nama semua itu. Pengetahuan kami hanya sekadar apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Hanya Engkau saja, ya Allah, yang mengetahui segala galanya.’ 
Allah s.w.t lalu berkata kepada Nabi Adam: ‘Hai, Nabi Adam! Sekarang cuba engkau sebutkan nama benda-benda itu semuanya!’ 
Dengan segera Nabi Adam menyebutkan nama tiap-tiap benda yang dihadapkan Allah s.w.t kepadanya, di hadapan semua Malaikat. Kemudian Allah s.w.t lalu berfirman kepada Malaikat: ‘Bukankah Aku sudah katakan kepada kamu sekalian, bahawa Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui, tentang rahsia rahsia langit dan bumi, Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.’ 
Buat Nabi Adam diberi Allah s.w.t tempat di dalam Syurga. Makanan dan minuman tersedia serba cukup. Begitu juga apa saja yang baginda inginkan. Tetapi sayang, Nabi Adam tinggal di Syurga itu seorang diri, sebatang kara. Tempat yang terlalu bagus, makanan dan minuman yang bagaimana juga lazatnya tidaklah memberikan kepuasan dan kebahagiaan yang sempurna. Manusia memerlukan teman, kendatipun hanya seorang, dengan teman yang dapat mengemukakan suka dan dukanya, atau kasih dan sayangnya. Teman inilah yang tidak dipunyai oleh Nabi Adam, kendatipun baginda sudah mempunyai Syurga dengan segala kesenangan. Sebab itu hidupnya selalu dalam kesepian. 
Allah s.w.t tahu akan penderitaan yang berupa kesepian yang dialami oleh Nabi Adam di dalam Syurga itu. Dan Allah s.w.t kasihan melihatnya. Oleh kerana itu Allah s.w.t telah menciptakan makhluk baru yang sama dengan Nabi Adam, tetapi jenis wanita, untuk menyempurnakan segala kekurangan dan kesepian dalam hidup Nabi Adam, untuk menjadi isterinya. Dengan tujuan yang lebih tinggi, iaitu untuk meramaikan permukaan bumi, untuk membuat sejarah kebudayaan yang lebih menarik. 
Sejurus kemudian, Nabi Adam mengantuk, lalu tertidur. Tatkala baginda tertidur itulah, Allah s.w.t. menciptakan manusia kedua, jenis wanita, isteri Nabi Adam yang bernama Hawa. Setelah Nabi Adam terjaga dan membuka kedua matanya, baginda melihat seseorang berdiri di samping, orang yang belum pernah dilihat Nabi Adam sebelumnya. Orang itu dipersilakan Nabi Adam duduk di sampingnya, dan kepadanya Nabi Adam bertanya: ‘Siapakah engkau, dan siapa namamu?’ Hawa menjawab: ‘Aku adalah wanita, dan aku belum tahu akan namaku sendiri.’ Bukan main senang dan gembiranya Nabi Adam melihat wanita itu berkata dan menggerak-gerakkan badannya.
‘Engkau aku beri nama Hawa ertinya: Orang yang aku rindukan,’ kata Nabi Adam kepadanya. 
Para Malaikat datang dan bertanya kepada Nabi Adam: ‘Siapakah nama temanmu itu, ya Nabi Adam?’ 
‘Namanya Hawa,’ sahut Nabi Adam. 

Hilang Kesepian Dalam Hidup

Dengan isterinya yang bernama Hawa ini hilanglah kesepian dalam hidup Nabi Adam. Kedua-duanya hidup berbahagia di dalam Syurga, aman dan tenteram, tidak kenal takut dan lelah, makan dan minum sepuas-puasnya, kerana segala galanya tersedia serba cukup. Allah s.w.t lalu berfirman kepada Nabi Adam: ‘Hai, Nabi Adam! Tinggalllah engkau dengan isterimu di dalam Syurga ini. Makan dan minumlah sepuas-puasnya. Tetapi awas, janganlah engkau berdua memakan buah dari pohon Khuldi ini. Bila engkau berdua memakannya, bererti engkau berdua melanggar perintah-Ku, dan engkau berdua akan mengalami kerugian yang besar, dan bererti aniaya terhadap dirimu sendiri.’ 
Selain buah Khuldi itu, di dalam Syurga terdapat banyak dan bermacam ragam buah-buahan. Semuanya boleh dimakan oleh Nabi Adam dan Hawa. Hanya buah Khuldi itu saja yang dilarang oleh Allah s.w.t memakannya, agar dengan larangan itu, dapatlah Nabi Adam dan Hawa menahan hawa nafsunya, dan dengan adanya larangan itu Nabi Adam dan Hawa diuji tentang ingatan dan ketaatannya terhadap Allah s.w.t. Kerana hanya dengan ketaatan inilah Allah s.w.t dapat memberikan kesempatan bagi manusia untuk tetap tinggal di dalam Syurga bersenang-senang dan berbahagia. 
Allah s.w.t memberikan peringatan kepada Nabi Adam dan Hawa agar keduanya menjauhkan diri dari Iblis, jangan sampai menurutkan anjuran dan ajakan Iblis, kerana Iblis sudah terang terang menyatakan dirinya sebagai musuh Nabi Adam dan anak cucunya buat selama lamanya, dan akan selalu sedaya upaya siang dan malam dengan tidak rasa letih dan tidak bosan bosan, untuk menjauhkan Nabi Adam dan semua anak cucunya dari kebahagiaan hidup. 
Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Adam: ‘Hai, Nabi Adam! Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu. Dia akan selalu menggoda engkau berdua agar engkau berdua terusir dari Syurga ini, sehingga engkau berdua hidup sengsara. Di Syurga ini engkau berdua dapat hidup bahagia, tidak akan menderita lapar dan susah.’ 
Begitulah Nabi Adam dan Hawa tinggal di dalam Syurga. Hidup senang dan bahagia, riang dan gembira. Sedang Iblis yang sudah diusir dari Syurga, selalu berikhtiar untuk dapat masuk Syurga kembali, bagi menipu dan memperdayakan Nabi Adam dan isterinya. 
Pada suatu kali, Iblis berjaya masuk ke dalam Syurga, bertemu dengan Nabi Adam dan isterinya. Iblis segera memujuk dengan berkata: ‘Hai, Nabi Adam! Aku datang untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah kamu aku tunjuk, bahawa di sana itu ada satu pohon yang amat lazat cita rasa buahnya. Bila buah yang lazat itu engkau makan, maka engkau dapat tinggal tetap di dalam Syurga ini buat selama-lamanya, dan Syurga ini dapat engkau miliki sebagai satu kerajaan yang tidak akan rosak buat selama-lamanya bagi engkau berdua.’ 
‘Buah apakah gerangan yang engkau maksudkan itu?’ tanya Nabi Adam kepada Iblis. Iblis menunjuk ke arah pohon Khuldi yang sudah dilarang oleh Allah s.w.t memakannya. Melihat isyarat Iblis itu, tahulah Nabi Adam bahawa Iblis sudah mulai menggoda dan menyesatkannya. Nabi Adam lalu berpaling menjauhkan diri dari Iblis.
Tetapi Iblis tidak lekas putus asa. Dia mendapat kesempatan yang kedua bertemu dengan Nabi Adam dan Hawa. Segera pula dia memujuk: ‘Larangan Allah s.w.t kepada engkau berdua memakan buah Khuldi itu, dimaksudkan jika engkau berdua adalah Malaikat. Sedang engkau berdua bukan Malaikat. Jadi engkau berdua tidak terlarang memakannya.’ Nabi Adam dan Hawa tidak mengacuhkan pujukan halus itu. Keduanya berpaling dan menjauhkan diri dari Iblis tersebut. 
Seperti yang telah diterangkan, ketika Iblis terusir dari Syurga, dia bersumpah di hadapan Allah s.w.t bahawa dia dan anak keturunannya sampai hari kiamat akan berusaha menyesatkan Nabi Adam dan anak keturunannya. Bila dia gagal dalam usahanya yang pertama dan kedua, dia tidak berputus asa, pasti dia akan berusaha untuk ketiga, keempat hingga ke sekian juta kalinya dalam menyesatkan dan menggoda manusia. Dia tahu betul, bahawa salah satu kelemahan manusia itu, ialah sering lupa. Iblis menunggu satu waktu, di mana Nabi Adam dan Hawa sudah lupa akan perintah Allah s.w.t yang melarangnya memakan buah terlarang itu. 
Pada suatu ketika, setelah diselidikinya, Iblis tahu bahawa Nabi Adam dan Hawa senang berlengah-lengah kerana kesenangan di Syurga itu. Dan Iblis tahu betul bahawa Nabi Adam dan Hawa ketika itu sudah terlalu lapar atau dahaga. Dia segera masuk mendapatkan Nabi Adam dan Hawa setelah dia memetik sendiri akan buah yang terlarang itu. Terus dia berkata kepada Nabi Adam dan Hawa: ‘Makanlah buah ini, demi Allah, aku ini bukan memujuk dan menyesatkan kamu, melainkan semata-mata memberi nasihat yang baik, agar kamu berdua dapat menetap di Syurga ini untuk selama-lamanya. Makanlah buah ini, makanlah!’ 
Mendengar Iblis bersumpah dengan menyebut nama Allah s.w.t, Nabi Adam dan Hawa mulai berfikir: ‘Tentu seorang tidak akan berani bersumpah dengan menyebut nama Allah s.w.t dengan sumpah yang bohong. Iblis itu tentu berkata benar.’ Ketika Nabi Adam dan Hawa mulai ragu-ragu terhadap kebenaran perkataan Iblis itu, Iblis menyogokkan buah Khuldi itu kepada Nabi Adam dan Hawa. Melihat buah yang ranum dan harum semerbak itu, selera Nabi Adam dan Hawa mulai tertarik kepadanya. Nabi Adam dan Hawa lalu lupa akan larangan Allah s.w.t yang melarangnya memakan buah tersebut. Buah itu diambilnya lalu segera dimakannya. 
Baru saja buah Khuldi itu masuk ke dalam rongga perut Nabi Adam dan Hawa, maka lenyaplah pakaian yang menutup aurat kedua-duanya, sehingga mereka suami isteri menjadi telanjang. Kedua-duanya pandang memandang dengan perasaan malu yang tidak terhingga. Keduanya segera menyembunyikan diri agar tidak dilihat Allah s.w.t. Kedua-duanya memetik dua helai daun kayu yang terdapat di dalam Syurga, untuk menutup aurat masing-masing. 
Allah s.w.t lalu berfirman kepada Nabi Adam: ‘Hai, Nabi Adam! Apakah engkau lari dari Aku?’ Jawab Nabi Adam: ‘Bukan aku lari dari Engkau, ya Allah, tetapi aku malu dan takut kepada Engkau.’ Berkata Allah s.w.t: ‘Bukankah Aku sudah melarang kamu berdua memakan buah itu! Dan Aku katakan juga, bahawa Iblis itu adalah musuhmu yang nyata? Tetapi kenapa engkau berdua masih memakan buah yang Aku larang itu?’ 
Dengan menundukkan kepala serendah-rendahnya, Nabi Adam dan Hawa minta ampun dan taubat kepada Allah s.w.t: ‘Ya Tuhan kami! Kami sudah aniaya terhadap diri kami. Kalau Engkau tidak sudi kiranya mengampuni dan mengasihani kami, sungguh kami akan rugi dan sengsara berpanjangan.’ 
‘Ya, Aku perintah, tapi engkau berdua melanggar perintah-Ku,’ kata Allah s.w.t pula. ‘Maafkan dan ampunilah kami ini, ya Allah,’ kata Nabi Adam dan Hawa serentak. Kembali Allah s.w.t berfirman dengan marah: ‘Aku telah beri tempat engkau berdua di Syurga-Ku ini, dan Aku sediakan segala apa yang engkau inginkan. Hanya Aku larang engkau berdua memakan buah Khuldi itu. Apakah buah Khuldi itu lebih berharga bagi engkau berdua daripada Syurga dengan segala isinya ini?’ 
Sahut Nabi Adam: ‘Sungguh tidak aku sangka ya Allah, Iblis berani berkata bohong kepadaku dengan menyebut nama-Mu.’ 
Allah s.w.t lalu memutuskan dengan firman-Nya: ‘Demi kemuliaan-Ku. Engkau berdua harus meninggalkan Syurga ini, turun ke bumi yang sudah lama terbentang, di mana engkau berdua juga dapat hidup, tetapi harus dengan bersusah payah, dan dengan mencucurkan keringat, kadang-kadang juga air mata.’ 
Dengan air mata berlinang, sedih dan takut, Nabi Adam bersimpuh menundukkan kepala di hadapan Allah s.w.t minta ampun: ‘Tuhanku! Tuhanku! Ampunilah aku, ampuni aku.’ 
Terhadap Nabi Adam, Hawa dan Iblis, Allah s.w.t menetapkan keputusan yang tidak dapat diubah lagi dengan berfirman: ‘Kamu semua harus turun ke bumi. Di sanalah tempatnya bagi kamu untuk hidup bermusuh-musuhan, tipu menipu, perdaya memperdayakan, berhasad dan dengki. Aku beri kesempatan kepada kamu untuk hidup di bumi ini di dalam waktu yang terbatas, juga dengan segala macam kesenangan dan kesusahan yang terbatas pula. Nanti akan datang ajal kepada kamu, lalu kamu akan Aku panggil kembali kepada-Ku, untuk mempertanggungjawabkan apa yang kamu sudah lakukan selama hidup di muka bumi itu.’ 
Air mata semakin banyak jatuh bercucuran dari mata Nabi Adam dan Hawa. Keduanya menangis tersedu sedu, sambil menanggungkan sesal yang tidak terkira hebatnya atas kesalahan, lantaran godaan Iblis. 
Kepada Nabi Adam dan Hawa kembali Allah s.w.t berfirman: ‘Di bumi, kamu akan selalu didatangi dan digoda oleh Iblis dan semua anak cucu dan kakitangannya. Di bumi, kamu akan menghadapi perjuangan yang berat menghadapi mereka. Tetapi kamu jangan takut. Kepadamu dan anak cucumu akan Aku turunkan petunjuk-petunjuk (ajaran-ajaran agama). Siapa di antara kamu dan anak cucumu itu yang senantiasa mengikuti petunjuk-Ku itu, dia tidak akan tersesat dan tidak akan sengsara.’ 
Tidak lama kemudian, tibalah Nabi Adam dan Hawa di permukaan bumi yang fana. Diterimanyalah wahyu Ilahi yang pertama yang menyatakan, bahawa Allah s.w.t sudah berkenan mengampuni dosa dan menerima taubat Nabi Adam dan Hawa. Sungguh Allah s.w.t suka memberi keampunan dan taubat bagi sesiapa saja di antara hamba-Nya yang merasa dirinya bersalah dan suka minta ampun dan taubat 

Menghindarkan Manusia Dari Kesesatan

Cerita Nabi Adam yang memakan buah terlarang, lalu dikeluarkan dari Syurga dan ditempatkan di bumi ini, sudah menyesatkan banyak manusia dari dahulu hingga sekarang. Mereka katakan bahawa dengan perbuatan Nabi Adam itu maka baginda sudah berdosa sebesar-besar dosa, sehingga Nabi Adam diusir Allah s.w.t ke bumi ini. Bahkan bukan hanya Nabi Adam dan Hawa saja yang berdosa besar, melainkan juga seluruh anak keturunannya sampai hari kiamat. Demikian hebat dan besarnya dosa Nabi Adam dan keturunannya dengan kesalahan tersebut, tidak dapat diampuni begitu saja, sehingga Allah s.w.t kerana kasih-Nya, menjelma menjadi anak manusia melalui perut seorang wanita, lalu mati di tiang salib untuk menebus dosa tersebut. 
Untuk menghindarkan manusia dari kesesatan yang nyata ini, Allah s.w.t telah mengutus Rasul-Nya yang terakhir, iaitu Muhammad s.a.w., untuk menyampaikan wahyu-wahyu dari Allah s.w.t, iaitu Al-Quran. Berulang kali dalam Al-Quran, Allah s.w.t menyatakan bahawa Nabi Adam melanggar perintah Allah s.w.t itu, adalah semata-mata kerana terlupa sama sekali bukan kerana sengaja. Sebab itu, Nabi Adam dianggap Allah s.w.t hanya tersalah, dan bukan berdosa yang tidak terampun. Semua kesalahan yang dilakukan manusia kerana lupa, tidaklah dianggap Allah s.w.t sebagai dosa. Lebih-lebih lagi kesalahan Nabi Adam ini hanya sekadar memakan sebiji buah, tidaklah boleh dianggap sebagai kesalahan yang besar, melainkan hanya suatu kesalahan yang amat kecil sekali. 
Tetapi bagaimanapun kecilnya kesalahan ini, kerana kesucian dan kesedarannya yang amat tinggi itu, Nabi Adam sangat menyesal. Nabi Adam mengeluh, Nabi Adam minta ampun dan bertaubat. Seorang yang menyedari akan kesalahannya, bukanlah orang yang berdosa, melainkan seorang yang amat mulia, seorang yang amat suci. 
Berulangkali pula di dalam Al-Quran diterangkan, bahawa Allah s.w.t sudah berkenan mengampuni kesalahan Nabi Adam yang kecil itu. Bahkan bukan hanya diampuni dan diberi taubat saja oleh Allah s.w.t, melainkan kerana kesedaran dan penyesalannya itu, Nabi Adam menjadi manusia yang terpilih, diberi petunjuk dan diangkat Allah s.w.t menjadi Nabi. Adalah suatu kesesatan yang nyata, menganggap seorang Nabi orang berdosa. 
Meskipun tentang dikeluarkan-Nya Nabi Adam dan Hawa dari Syurga, lalu dipindahkan dan ditempatkan di bumi ini, bukanlah menunjukkan bahawa Nabi Adam berdosa. Kerana bukankah telah diterangkan bahawa sebelum Nabi Adam melakukan pelanggaran tersebut, Allah s.w.t sudah menyatakan kepada seluruh Malaikat, bahawa Nabi Adam itu diciptakan Allah s.w.t untuk menjadi khalifah di bumi ini. Ertinya bahawa Nabi Adam dan anak cucunya, diciptakan Allah s.w.t untuk menghuni bumi yang sudah terbentang luas. Adalah suatu kesesatan yang nyata pula, kalau dikatakan bahawa manusia ditempatkan di bumi ini, kerana dosa dan kesalahan yang telah dilakukan Nabi Adam dan Hawa. Umat Islam harus membersihkan diri dari kesesatan yang nyata ini. 
Nabi Adam menurut ajaran agama Islam, selain manusia pertama, juga seorang Nabi dan Rasul. Umat Islam diwajibkan beriman kepada semua Nabi dan Rasul, serta mempercayai bahawa setiap Nabi dan Rasul itu harus bersih dari segala dosa, kendatipun sebagai manusia mungkin saja tersalah, iaitu kerana lupa dan lain-lain. Kesalahan bukan dosa. Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang lain pun pernah tersalah kerana lupa. Nabi Muhammad s.a.w. pernah tersalah, iaitu mengakhiri sembahyang asar yang seharusnya empat rakaat, sesudah baginda baru saja melakukannya dua rakaat. Setelah diperingatkan oleh para sahabat yang menjadi makmumnya, barulah baginda sedar, dan baginda langsung meneruskan sembahyang tersebut sampai empat rakaat. 
Lebih hebat lagi kesesatan sebahagian manusia yang mengatakan bahawa: kesalahan Nabi Adam itu menjadi dosa pula bagi semua anak cucunya sampai hari kiamat, yang mereka katakan dosa asal. Padahal semua manusia yang baru lahir, bersih dari segala dosa, kendatipun ibu bapanya berdosa atau bersalah. Tidaklah adil dan patut kalau seorang ibu atau bapa berdosa, lalu anaknya dianggap berdosa juga kerana dosa ibu dan bapanya itu. Dosa itu baru timbul sesudah seorang anak menjadi baligh dan berakal (aqil baligh), kerana perbuatannya sendiri. 
Alangkah hebatnya dosa orang yang membawa manusia kepada agama kepercayaannya yang setiap waktu secara berulangkali mengatakan bahawa Nabi Adam berdosa. Mengambinghitamkan seorang manusia suci, Nabi dan Rasul, iaitu Nabi Adam, untuk mendapatkan pengikut, bukanlah suatu perbuatan yang suci, melainkan sebaliknya, suatu perbuatan yang tercela dan berdosa pula. 
Kisah Nabi Adam yang demikian itu disampaikan Allah s.w.t kepada manusia dengan perantaraan Kitab Suci-Nya Al-Quran, adalah sebagai pengajaran dan peringatan bahawa kita manusia kendatipun makhluk terbaik dan mulia tetapi tetap mempunyai kelemahan. Di antara kelemahan manusia itu ialah sifat pelupa. Dan ketika kita lupa itu, kita boleh diperdayakan dan disesatkan oleh Iblis. Hendaknya berhati-hati sekali jangan sampai dapat disesatkan oleh Iblis itu.

Kesusahan Hidup Di Bumi

Alangkah terkejutnya Nabi Adam dan Hawa setibanya di permukaan bumi ini. Sungguh besar perbezaan Syurga dengan Bumi, seperti perbezaan siang dengan malam. Dilihat Nabi Adam dan Hawa bahawa bumi ini penuh dengan hutan belantara. Penuh dengan pokok-pokok yang besar dan bercabang-cabang. 
Di dalamnya hidup segala macam binatang buas yang selalu hendak menerkam mangsanya. Singa, harimau, gajah, beruang, ular dan sebagainya. Kerana takut terhadap binatang buas itu, Nabi Adam dan Hawa dengan bersusah payah, sedaya upaya mencari tempat untuk bersembunyi. Di salah satu dataran tinggi, didapati Nabi Adam dan Hawa sebuah gua yang agak luas. Di sanalah mereka menetap dan bersembunyi. 
Tetapi akhirnya Nabi Adam dan Hawa merasa dahaga dan lapar. Dengan bersusah-payah pula, kedua-duanya harus keluar dari gua mencari air untuk diminum dan buah-buahan untuk dimakan. Tetapi tidak semua air boleh diminum dan tidak semua buah boleh dimakan, Ada yang pahit, masin, masam, dan ada pula yang enak, manis dan lazat. Ya, ternyatalah, bahawa kehidupan di dunia ini berbeza dengan kehidupan di Syurga dahulu. Kehidupan di dunia ini setiap saat atau detik penuh dengan perjuangan. Setiap saat harus memeras otak, memeras tenaga dan keringat. 
Begitulah, setiap kali merasa dahaga dan lapar, Nabi Adam dan Hawa terpaksa berjalan sejauh-jauhnya mencari air dan buah-buahan. Sedang bahaya binatang-binatang buas selalu mengancam jiwanya. Rupanya kehidupan di permukaan bumi ini, adalah satu cara hidup yang selalu dalam proses dan peredaran, yang selalu silih berganti antara senang dan susah, dingin dan panas, naik dan turun, kenyang dan lapar, sihat dan sakit, dan seterusnya. Segala macam penderitaan yang berbentuk dahaga, lapar, bahaya binatang buas dan lain-lain telah dapat menggerakkan akal dan fikiran Nabi Adam dan Hawa, bagaimana mereka boleh membebaskan diri dari penderitaan itu. 
Timbullah fikiran dalam hatinya untuk menanam pohon-pohon yang buahnya enak dimakan di sekitar tempat kediamannya, agar terhindar dari bahaya binatang-binatang buas di dalam hutan belukar sewaktu mencari atau memetik buah-buah yang mahu inginkan. Dengan menggunakan dahan-dahan kayu, tempat di sekitar gua itu ditebasnya. Dipindahkannya ke situ pokok-pokok yang dirasanya enak dimakan buahnya, untuk menghilangkan lapar. 
Ya, Nabi Adam terpaksa memeras tenaga, mencucurkan peluh, memeras otak dan fikiran, untuk mendapatkan makanan menghilangkan lapar. Isterinya Hawa pun demikian juga. Dia terpaksa menolong Nabi Adam dengan tenaga yang ada padanya. Begitulah, bertahun-tahun kemudian, Nabi Adam dan Hawa sudah dapat bercucuk tanam, dan sudah pandai pula berternak memelihara binatang ternakan seperti kambing dan ayam.

Ahli Keluarga Bertambah

Dalam kehidupan bersuami isteri, Hawa mulailah hamil. Tidak lama kemudian lahirlah ke permukaan bumi ini keturunan Nabi Adam dan Hawa yang pertama. Anak yang pertama ini lelaki seperti Nabi Adam. Anak itu diberi nama Qabil. Alangkah bahagianya Nabi Adam dan Hawa setelah dari pergaulannya berdua itu, lahir seorang manusia baru, anaknya yang pertama itu, menambah anggota masyarakat yang hanya terdiri dari dua orang menjadi tiga orang.
Hawa mulai sibuk menjaga dan mengasuh anaknya, tidak dapat lagi keluar membantu Nabi Adam bercucuk tanam dan mengembala ternakan. Nabi Adam terpaksa keluar seorang diri dan bekerja. Setiap petang kalau beliau sudah letih, beliau pulang kembali ke gua tempat kediamannya untuk istirahat, menemui isteri dan anaknya. Makanan yang didapatinya dibawanya pulang dan dimakan bersama-sama dengan isteri dan anaknya. 
Dengan begitu, kegembiraan hidup Nabi Adam dan Hawa di atas bumi kelihatannya semakin hari semakin bertambah. Kegembiraan yang bertambah itu telah dapat menghilangkan keletihan bekerja dan ketakutannya terhadap binatang-binatang buas. Setelah berlalu pula kira-kira setahun lamanya, kembali Hawa menjadi hamil. Tidak lama kemudian, lahirlah anaknya yang kedua, seorang wanita. Dan anak perempuan ini dinamakan Adik Qabil. Dengan kelahiran yang kedua ini, Nabi Adam dan Hawa semakin gembira hidupnya dan semakin rajin dan tekun bekerja mencari penghidupan. 
Begitulah dari tahun ke tahun, keluarga Nabi Adam selalu bertambah dengan anak yang ketiga, seorang lelaki dinamakan Habil, anak keempat seorang perempuan, dinamakan Adik Habil, kelima, keenam dan seterusnya. Nabi Adam terpaksa bekerja lebih keras untuk mendapatkan makanan lebih banyak kerana bilangan keluarganya semakin besar. 
Nabi Adam dan Hawa menjadi semakin tua, sedang anak-anaknya pun semakin besar dan meningkat dewasa. Qabil dan Habil sekarang sudah meningkat jadi muda remaja. Akal dan fikirannya mulai timbul. Timbul perasaan wajib menolong ibu bapanya, bekerja bertani dan menggembala, menghasilkan makanan dan minuman bagi keluarganya yang semakin besar, turut berjuang menjaga adik-adiknya dari bahaya singa dan harimau, dan binatang-binatang buas lainnya. 
Mulai kelihatan perbezaan alam wanita dengan lelaki. Anak-anaknya yang lelaki kebanyakan suka bekerja di luar rumah, bertani, berburu dan memelihara binatang-binatang ternakan. Sedang anak-anaknya yang wanita suka bekerja di rumah, memasak makanan dan minuman serta menjaga adik-adik dan mengurus keperluan-keperluan rumah tangga. 
Kendatipun Qabil dan Habil dua bersaudara, sebapa dan seibu, dan sama lelaki, sama-sama di bawah asuhan seorang ibu dan seorang bapa, tinggal di dalam dan iklim yang sama, tempat yang sama pula, namun kudrat Ilahi dan kehendak Allah s.w.t-lah yang lebih menentukan segala sesuatu di dalam alam yang luas ini. Keadaan rohani dan jasmani dari Qabil dan Habil tidaklah sama, berbeza satu dengan yang lain. Ada perbezaan besar. Qabil kendatipun lebih tua, tetapi badannya lebih kecil dan lemah. Habil kendatipun lebih muda, tetapi badannya lebih besar dan lebih kuat. Qabil kendatipun lebih tua dan berbadan lemah, tetapi tabiatnya amat kasar. Sedang Habil yang berbadan kuat dan besar, tetapi tabiatnya sangat baik dan perasaan yang sangat halus, lagi berbudi pekerti tinggi. 
Nabi Adam bermaksud akan membahagi-bahagikan perkerjaan kepada dua orang anaknya yang meningkat remaja itu. Qabil dengan tabiatnya yang kasar itu diserahkan oleh Nabi Adam kerja bertani, mengolah tanah, menyangkul dan menebas hutan belukar, kerana tanah dan hutan belukar adalah barang mati yang tidak memerlukan perasaan halus dan cinta kasih. 
Adapun Habil kerana perasaannya yang halus dan perasaan kasih sayangnya, diserahkan oleh Nabi Adam kerja memelihara binatang ternakan, iaitu kambing dan lembu yang boleh merasa haus dan lapar, sakit dan senang, sebab itu perlu disayang, dicintai, harus diurus oleh manusia yang mempunyai perasaan halus dan rasa kasih sayang. 
Baru saja matahari terbit pada waktu pagi, maka keluarlah Nabi Adam, Qabil dan Habil dari gua tempat kediaman mereka untuk bekerja. Qabil terus menuju ke hutan menebas belukar, ke ladang menyangkul, menaburkan benih atau menuai, bila tanam-tanamannya sudah masak untuk dituai. 
Sedang Habil menuju ke padang rumput untuk memelihara dan menggembalakan ternakannya. Nabi Adam kadang-kadang pergi berburu, mencari ikan atau burung, untuk dimakan dagingnya sebagai lauk-pauk. Atau pergi mencari air untuk diminum dan memandikan anak-anak dan isterinya. Kalau matahari sudah hampir tenggelam, siang akan berganti dengan malam, mereka kembalilah ke gua tempat kediaman mereka. Qabil membawa buah-buahan dan sayur-sayuran, Habil membawa susu, sedang Nabi Adam membawa burung-burung dan ikan hasil buruannya. Sesudah semua buah tangan itu dimasak oleh Hawa, mereka makanlah bersama-sama dengan enaknya. 
Pada waktu dan sesudah makan bersama ini, timbullah fikiran pada Nabi Adam untuk mengajar anak-anaknya bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah memberi mereka rezeki sebanyak itu. Maka berkatalah Nabi Adam kepada anak-anaknya: ‘Kita ini tidak akan ada kalau tidak diciptakan oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t-lah yang menciptakan diri kita. Diciptakan Allah s.w.t pula bumi yang lebar dan luas ini untuk tempat tinggal kita. Lihatlah, alangkah luas dan lebarnya bumi Allah s.w.t yang kita diami ini. Disinari oleh matahari pada waktu siang dan oleh bulan dan bintang-bintang, pada waktu malam. Ditumbuhkan Allah s.w.t segala macam tumbuh-tumbuhan, dikembangkan Allah s.w.t segala macam binatang-binatang untuk menjadi rezeki kita. Marilah kita menyembah Allah s.w.t dan mensyukuri segala nikmat dan rahmat-Nya kepada kita.’ 
Untuk menguji tentang keimanan dan kesyukuran kedua-dua orang anaknya yang sudah remaja itu, Nabi Adam menyuruh kedua-dua orang anaknya yang bernama Qabil dan Habil itu pergi ke puncak sebuah gunung. Kedua-dua orang anaknya itu disuruh oleh Nabi Adam membawa sebahagian dari penghasilan masing-masing, dan meletakkan penghasilannya di puncak gunung itu, agar dapat dimakan oleh makhluk Allah s.w.t yang memerlukannya, iaitu makhluk-makhluk Allah s.w.t yang tidak pandai bercucuk tanam dan memelihara binatang ternakan. Pekerjaan ini dinamakan Nabi Adam sebagai korban, berzakat dan beribadat. 
Pekerjaan berkorban, berzakat dan beribadat ini amat sesuai dan sesuai dengan perasaan Habil, kerana dengan perasaannya yang halus dan fikirannya yang dalam, beliau dapat merasakan kebesaran Allah s.w.t yang banyak nikmat pemberian-Nya. Lebih-lebih lagi pengorbanan tersebut, akan dapat pula menolong beberapa macam binatang yang dalam kehausan atau kelaparan. 
Adapun Qabil dalam hatinya sangat menentang pekerjaan itu. Mengorbankan sebahagian dari hasil kerjanya yang didapati dengan penat letih, untuk dijadikan zakat atau ibadat kepada Allah s.w.t, dianggapnya satu pekerjaan yang tidak berguna, atau pekerjaan orang bodoh dan merugikan. Alangkah susahnya mencari rezeki, katanya, kenapa rezeki itu dilemparkan ke puncak gunung untuk dimakan oleh binatang-binatang yang tidak ada gunanya. Iblis yang dilontarkan Allah s.w.t ke bumi, rupanya sudah mulai menjalankan peranannya, untuk memesongkan hati manusia dari amal dan perbuatan yang baik. Habil rupanya tidak mampu digoda dan diperdayakannya. Tetapi Qabil merupakan tanah yang subur bagi Iblis untuk menjalankan tipu dayanya. 
Iblis sudah dapat memasuki salah satu kelemahan dari unsur manusia dengan saluran kecintaan manusia kepada harta benda. Harta dan kekayaan adalah satu alat buat Iblis untuk memperdayakan manusia. Untuk berkorban ini, Habil memilih kambingnya yang terbaik dan tergemuk. Sesudah disembelihnya, lalu diletakkannya di puncak gunung, sebagai korban dan tanda terima kasihnya kepada Allah s.w.t yang telah memberikan rezeki. 
Qabil kendatipun dengan perasaan enggan dan terpaksa, juga melakukan ibadat korban itu. Tetapi untuk korban ini beliau memilih buah-buahan yang tidak baik, yang sudah setengah busuk, kerana hatinya memang tidak baik dan busuk juga. Baik Habil atau Qabil lalu meletakkan korban masing-masing di puncak gunung, dengan harapan korban itu akan diterima oleh Allah s.w.t dengan penerimaan yang baik. Pada hari berikutnya, pergilah kedua-dua bersaudara itu diiringkan oleh Nabi Adam, untuk melihat, apakah korban-korban itu sudah diterima oleh Allah s.w.t atau tidak. 

Korban Diterima Allah

Ternyata bahawa korban Habil sudah tidak ada lagi, bererti sudah diterima oleh Allah s.w.t dengan baik. Tetapi korban Qabil yang terdiri atas buah-buahan yang tidak elok dan busuk itu, masih saja ada di situ bahkan sudah menjadi lebih busuk. Itu bererti bahawa korban Qabil tidak diterima oleh Allah s.w.t. 
Bukan main girangnya Habil melihat korbannya diterima dengan baik oleh Allah s.w.t. Dia lalu bersyukur dan berterima kasih. Qabil menjadi marah dan iri hati, kerana korbannya tidak diterima oleh Allah s.w.t. Dengan marah beliau berkata kepada bapanya: ‘Korban si Habil diterima oleh Allah s.w.t, kerana bapa mendoakan untuknya. Korban aku tidak diterima oleh Allah s.w.t, kerana bapa tidak suka mendoakan aku.’ 
Nabi Adam segera menjawab: ‘Habil mengorbankan barang-barang yang baik, kerana hatinya baik. Korbannya diterima oleh Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t suka kepada barang-barang yang baik. Sedang engkau mengorbankan buah-buahan yang tidak baik dan busuk. Itu menunjukkan yang hatimu busuk. Korbanmu tidak diterima oleh Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t tidak suka kepada barang-barang yang busuk dan tidak baik.’ 
Qabil menjadi marah dan iri hati kerana korbannya tidak diterima oleh Allah s.w.t. Dengan marah beliau berkata kepada adiknya Habil, kendatipun Habil tidak bersalah apa-apa terhadap dirinya. Tetapi begitulah caranya Iblis menggoda manusia meskipun tanpa alasan yang tepat. Iblis dapat menggoda manusia-manusia yang lemah jiwa dan batinnya, lemah imannya untuk membenci saudaranya sendiri yang tidak bersalah apa-apa. Sesungguhnya tipu muslihat Iblis itu halus dan licin sekali. 
Qabil pulang ke rumahnya dengan hati yang marah dan menggerutu. Kepalanya digeleng-gelengkan tanda marah yang amat sangat. Marah kepada saudaranya Habil yang baik dan tidak bersalah apa-apa terhadap dirinya. Bukan marah terhadap dirinya sendiri yang tidak baik dan busuk itu. 
Ya, begitu halusnya godaan Syaitan dan Iblis terhadap manusia, untuk mengeruhkan pergaulan sesama manusia dalam kehidupan di permukaan bumi ini. Setelah masing-masing anak Nabi Adam itu meningkat dewasa, maka anak-anak lelaki mulai merasakan keperluan terhadap isteri, sedang anak-anak perempuan merasakan keperluan terhadap suami, kerana memang demikianlah sunah yang ditetapkan Allah s.w.t yang menciptakan manusia dan semua makhluk berjiwa lainnya. 
Kendatipun masyarakat manusia pada masa hidup Nabi Adam itu baru terdiri dari beberapa orang lelaki dan beberapa orang wanita saja, namun begitu untuk memenuhi hasrat bersuami isteri ini agar berjalan dengan teratur, maka Allah s.w.t menetapkan beberapa aturan (syariat) yang harus dijalankan oleh manusia yang menjadi anggota masyarakat yang kecil itu. 
Ditetapkan Allah s.w.t syariat (aturan) bagi anak-anak Nabi Adam dan Hawa yang sudah dewasa itu, iaitu aturan yang sangat sederhana sekali. Qabil anak pertama, boleh berkahwin dengan Adik Habil anak keempat, sedang Habil anak ketiga boleh berkahwin dengan Adik Qabil anak kedua. Jadi masing-masing Qabil dan Habil tidak boleh berkahwin dengan adiknya sendiri. Syariat itu diwahyukan Allah s.w.t kepada Nabi Adam. Nabi Adam menyampaikan wahyu ini kepada isteri dan anak-anaknya yang sudah berhasrat berkahwin itu. Syariat ini diterima dengan segala ketaatan dan kepatuhan oleh Nabi Adam, Hawa dan anak-anaknya. 
Hanya Qabil yang tidak mahu tunduk kepada syariat yang ditetapkan Allah s.w.t ini. Iblis mendapat peluang yang baik sekali dengan perantaraan perasaan berahi antara lelaki dan wanita, dengan perantaraan nafsu dan keinginan-keinginan hidup manusia. Kepada Qabil dibisikkan oleh Iblis bahawa Adik Qabil lebih cantik dari Adik Habil. 
Kata Iblis kepada Qabil: ‘Jangan kamu tunduk kepada penetapan bapamu yang tidak adil itu. Adikmu sendiri jauh lebih cantik dari Adik Habil. Kenapa bapa menyuruh kamu berkahwin dengan Adik Habil yang tidak cantik, sedang adikmu yang cantik itu disuruh berikan kepada Habil untuk menjadi isterinya?’ 
Dengan pujukan Iblis ini, mulailah ketara nafsu yang tidak mahu menurut keputusan dengan segala macam alasannya. Kecantikan seorang wanita telah dapat digunakan oleh Iblis untuk menimbulkan perselisihan antara dua orang lelaki yang bersaudara kandung itu. Ini bukan hanya terjadi ke atas diri anak-anak Nabi Adam dan Hawa dahulu kala, tetapi masih terjadi pada anak cucu Nabi Adam dan Hawa yang hidup abad ini, atau zaman moden sekarang ini. 
Nabi Adam dan Hawa sebagai bapa dan ibu mulai pening memikirkan bagaimana caranya agar baginda dapat memenuhi keinginan anak-anaknya dengan tidak melanggar syariat yang sudah ditetapkan Allah s.w.t, agar tetap hidup dalam keadaan aman tenteram dan selamat di muka bumi ini. 
Bila syariat Allah s.w.t dijalankan akan terjadi perselisihan antara anak-anaknya. Bila keinginan anaknya diteruskan akan terjadi keengkaran terhadap syariat yang ditetapkan Allah s.w.t. Satu kesempatan yang amat baik sekali bagi Iblis untuk menjalankan tipu daya dan siasatnya. Perselisihan antara manusia sesama manusia adalah jalan yang amat lurus bagi Iblis untuk sampai pada tujuannya. 
Kesempatan baik ini, tidak disia-siakan Iblis. Iblis segera datang berbisik ke telinga Qabil: ‘Hai, Qabil! Janganlah lekas putus asa. Ada satu cara yang amat mudah untuk mengatasi jalan buntu antara engkau dan adikmu Habil, untuk menyampaikan hasrat hatimu berkahwin dengan adikmu yang cantik itu. Jalan satu-satunya ialah supaya kamu bunuh saja adikmu yang bernama Habil itu.’ 
Mula-mula Qabil agak ragu-ragu terhadap cara penyelesaian yang dianjurkan Iblis itu. Iaitu dengan cara membunuh Habil, adik kandungnya sendiri, saudara yang seibu dan sebapa dengan beliau, selapik seketiduran, kadang-kadang sebantal sekalang hulu. 
Beberapa hari lamanya Qabil termenung tidak keruan hidupnya. Berdiri termenung, duduk termenung, tidur tidak berasa puas, makan tidak berasa enak. Duduk termenung dan melamun adalah merupakan tanah yang amat subur pula bagi Iblis untuk menanam siasat dan tipu dayanya terhadap manusia. Orang yang duduk bermenung bererti fikirannya menjurus ke satu jurusan saja. Dia lupa akan jurusan-jurusan lain dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi kalau yang dimenungkan itu hal yang tidak baik. Dia akan lupa akan kemaslahatan dirinya. Apa lagi kemaslahatan ibu bapa dan keluarganya. Dia akan lupa akibat-akibat yang akan timbul dari perbuatannya itu. Ketika yang amat kritikal dalam menungannya itu, Iblis datang terus menemui Qabil dengan anjuran yang lebih tegas: ‘Bunuh saja, hentam saja, jangan fikir panjang lagi!’ 
Melihat keadaan dan tabiat Qabil yang luar biasa itu, Nabi Adam, Hawa, Habil seluruh anggota keluarganya menjadi gelisah. Masing-masing mereka cuba memberi nasihat kepada Qabil. Berkata Nabi Adam kepada Qabil: ‘Jangan engkau turutkan ajakan Syaitan dan Iblis. Tunduklah kepada syariat yang telah ditetapkan Allah s.w.t yang telah disetujui oleh ibu bapamu sendiri.’ Habil dengan hati yang lapang dan pandangan yang luas cuba menasihati abangnya yang sudah lupa daratan itu: ‘Lebih baik engkau cari jalan yang hak, hai saudaraku, menempuh jalan yang membawa selamat, menjauhkan diri dari jalan yang membawa celaka dan kesengsaraan yang berlarut-larut.’ 
‘Ketahuilah, saudaraku,’ katanya lagi, ‘Bahawa apa yang terjadi ini adalah syariat dan takdir yang sudah ditentukan Allah s.w.t. Ibu dan bapa, meskipun aku sendiri hanya semata-mata menjalankan perintah dan syariat Allah s.w.t itu. Kita sekalian diciptakan Allah s.w.t hidup di permukaan bumi ini, adalah semata-mata untuk dapat menjalankan syariat dan untuk mengabdikan diri kita kepada Allah s.w.t yang menciptakan kita itu. Sungguh engkau akan berdosa bila keluar dari jalan yang sudah ditentukan Allah s.w.t. Maka lebih baik engkau minta ampun atas dosamu itu, sebagaimana aku selalu minta ampun dan menyerahkan nasib dan untungku seluruhnya kepada Allah s.w.t yang menciptakan seluruh alam ini.’ 
Nasihat yang bagaimana pun baik dan benar, rupanya tidak berbekas pada jiwa yang penuh nafsu yang sedang bergejolak membakar. Qabil malah menjadi semakin galak garang. Dia segera mendekati adiknya Habil yang masih memberi nasihat dan berkata: ‘Engkau jangan banyak bicara. Engkau pasti akan aku bunuh.’ 
Dengan hairan dan sabar, Habil menjawab: ‘Kenapa kau hendak bunuh aku?’
‘Kerana bapa dan Allah s.w.t lebih suka kepada engkau,’ jawab Qabil. ‘Dengan membunuh aku, keadaan tidak akan berubah, malah bapa dan Allah s.w.t akan semakin marah kepada engkau,’ jawab Habil.
‘Aku tidak peduli, engkau pasti aku bunuh, agar senang hatiku,’ kata Qabil dengan garangnya. Kendatipun Habil jauh lebih kuat badannya dari Qabil, kerana budinya yang tinggi, beliau tetap bersabar diri dan berkata: ‘Meskipun engkau telah mengacungkan tangan untuk membunuhku, aku tetap tidak akan menggerakkan tangan untuk membunuhmu. Aku takut kepada Allah s.w.t Semesta Alam.’ 
Habil terus berjalan menuju tempat kediamannya, Qabil mengikutinya dari belakang dengan hati mengkal. Setibanya di gua, masih saja beliau mengkal dan marah. Dicubanya menidurkan mata, tidak mahu tidur. Semalam-malaman itu beliau tidak sepicing juga dapat tidur. Dadanya berasa mengah. Ketika itu datang lagi Iblis meniup-niup hatinya yang sudah panas itu sambil berkata: ‘Bunuh Habil, bunuh Habil, bunuh Habil!’
Pada waktu pagi seperti biasa, Habil bangun dari tidurnya. Dengan perasaan lega beliau menuju ke padang rumput menggembalakan ternakannya. Qabil yang sedang diperkuda oleh Iblis secara sembunyi-sembunyi mengikutinya dari belakang. Maksudnya untuk membunuh Habil, tidak ragu-ragu lagi, malah bertambah menyala-nyala. Kala matahari, bulan, bintang-bintang beredar di angkasaraya menjalankan perintah Tuhannya, tatkala burung-burung berkicau bersiul berterbangan ke sana ke mari menjalankan tugas masing-masing sambil bertasbih mensucikan Allah s.w.t Yang Maha Suci, Qabil mencapai dahan kayu yang amat keras dan berat lalu memukul kepala Habil dari belakang sekuat hatinya. 
Darah bertumpah dan mengalir membasahi permukaan bumi buat pertama kali. Habil menjerit kesakitan, badannya terhempas ke bumi dan bergeletar. Terjadilah apa yang disangsikan para Malaikat terhadap manusia, ketika Malaikat diberitahu Allah s.w.t bahawa manusia akan diciptakan Allah s.w.t untuk menjadi Khalifah (pengatur) di atas bumi. Malaikat sangsi bahawa manusia akan berbuat binasa di bumi dan akan menumpahkan darah. Kesangsian itu kini untuk pertama kalinya sudah terjadi, mungkin akan disusul pula dengan kejadian-kejadian kedua, ketiga, keempat dan sampai entah ke berapa kali lagi; bahkan pembunuhan itu bukan hanya dilakukan oleh seorang manusia terhadap seorang manusia saja, tetapi akan terjadi pembunuhan-pembunuhan besar, beribu-ribu manusia dengan alat-alat pembunuh yang terkejam dan termoden akan membunuh beribu-ribu manusia lainnya, manusia yang bersalah dan tidak bersalah, wanita kendatipun kanak-kanak di bawah umur. 
Setelah melihat darah mengalir membasahi bumi, serta mendengar jeritan Habil yang memilu dan menyayat perasaan itu, maka Iblis yang memperkudanya itu tersenyum simpul, lalu pergi meninggalkan mangsanya, sebagai seorang yang menang, kerana helah dan tipu dayanya sudah berjaya. Makin yakin dia akan kelebihan dirinya dan akan kelemahan atau kekurangan Bani Adam (manusia). 

Mulai Timbul Kesedaran

Sepeninggalan Iblis itu, Qabil mulai sedar akan kebodohan dirinya. Perasaan menyesal atas perbuatan yang baru dilakukannya mulai tumbuh, muncul dengan perlahan dari lubuk hatinya. Teringatlah beliau, bahawa adiknya (Habil) adalah seorang yang baik dan tidak bersalah apa-apa. Mulailah beliau merasakan bahawa perbuatannya itu amat kejam. Mulai timbul kesedaran, bahawa beliau bersalah besar. Tidak ada keuntungan yang diperolehinya dari pembunuhan ini. Dan tidak mungkin pembunuhan ini akan membawa kesenangan hatinya. Malah sebaliknya, hatinya bertambah gundah, beliau merasa rugi, kosong dari perasaan aman dan tenteram.
Lebih-lebih lagi setelah dilihat dengan mata kepalanya sendiri keadaan adiknya Habil yang bergeletar di atas tanah menghadapi sakaratul maut. Suara rintihannya semakin halus, akhirnya hilang lenyap. Sebaliknya seluruh anggota badannya semakin hebat menghempas ke kiri dan ke kanan menandakan rasa sakit yang tidak terhingga. Nafasnya sesak, seakan-akan jantung dan paru-parunya sudah tidak kuasa lagi menghirup udara atau hawa. Akhirnya seluruh gerak gerinya berhenti, sekujur badannya menjadi lemah longlai, dan beliau lalu menghembuskan nafas yang terakhir.
‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun.’ Ya, semua manusia akan mati. Bahkan semua makhluk berjiwa akan mengalami mati. Kerana begitulah sunnah Ilahi yang menciptakan seluruh makhluk berjiwa ini. Kerana Allah s.w.t sudah menetapkan dari azali, bahawa kehidupan di dunia ini hanya buat sementara saja, hanya sebagai tempat persinggahan dalam perjalanan ke arah penghidupan yang kekal dan abadi di akhirat. Di akhirat nanti akan diperhitungkan satu persatu amal dan kerja setiap manusia selama hidupnya di dunia ini. Setiap amal, buruk dan baik, kecil dan besar tidak ada yang tertinggal dan tidak kena perhitungan itu. Semua akan mendapat balasan yang setimpal. Perbuatan baik balasannya baik. 
Perbuatan buruk atau jahat pembalasannya jahat juga. Orang yang hidupnya teraniaya di permukaan bumi ini janganlah terlalu bersedih hati. Bersabarlah, Allah s.w.t sanggup membalikkan penganiayaan itu ke alamat asalnya. Dan orang yang menganiaya, jangan terlalu bergembira dalam hidup, pasti akan merasakan sakit dan pedihnya penganiayaan yang dia lakukan itu! 
Angin sepoi mulai berhembus dan bertiup. Semua daun kayu bergerak dan berdesir. Hembusan angin sepoi itu seakan-akan menjamah sekujur tubuh Habil yang sudah tidak bernafas lagi itu sebagai hiburan dan tanda turut berdukacita. Sedangkan desiran daun-daun seakan-akan bertasbih meratapi dan mengucapkan selamat jalan kepada jenazah Habil yang sedang pulang kembali ke rahmatullah
Adapun Qabil mendengar desiran daun dihembus angin sebagai bisikan yang mengecam dan mengutuknya: ‘Qabil, engkau pembunuh, engkau pembunuh, engkau kejam, engkau kejam, bodoh, engkau bodoh.’ Burung-burung dan binatang-binatang buas dengan berbagai bunyi, seakan-akan berkata kepadanya menyesali perbuatannya itu: ‘Engkau pembunuh, engkau kejam.’ 
Qabil mulai mengerang panjang. Dia mulai merasa takut. Badannya berasa berat dan kakinya berasa lemah. Tiba-tiba beliau tersungkur jatuh di samping jenazah adiknya Habil. Dia memanggil-manggil: ‘Habil! Habil! Habil!’ 
Habil tidak menjawab, kerana beliau sudah menghembuskan nafas yang terakhir, telah bercerai jiwa dengan raganya. Tinggallah Qabil termangu-mangu di samping jenazah adiknya. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Apakah jenazah adiknya itu akan ditinggalkannya begitu saja biar dimakan serigala dan burung-burung? 
Tidak sampai hati beliau meninggalkannya begitu saja. Akhirnya jenazah itu dipikul ke bahu dan dibawanya. Tetapi beliau tidak tahu ke mana jenazah itu akan dibawanya dan akan diapakan jenazah itu. Dia terus berjalan dan berjalan. Akhirnya beliau menjadi letih, lalu berhenti melepaskan letih. Hatinya sedih dan mulai berkhayal agar adiknya hidup kembali. Sesalnya bertambah-tambah, sehingga beliau menjadi tidak keruan dan gelisah. Mulai beliau marah kepada dirinya sendiri. 
Setelah letihnya agak berkurangan, kembali jenazah adiknya itu dipikulnya ke bahunya. Dia berjalan tidak bertujuan. Setelah penat, beliau berhenti pula melepaskan letih. Begitulah berulang-ulang sampai letih dan lesu, di bawah terik panas matahari. 
Tiba-tiba beliau melihat dua ekor burung gagak berkejar-kejaran. Kedua-dua burung gagak itu sama terbang ke bawah, hinggap di atas tanah. Kedua-duanya berkelahi sehebat-hebatnya, tikam menikam, pukul memukul dengan paruh masing-masing. Salah seekor di antara dua burung itu kena pukulan yang kuat sekali, sehingga patah lehernya. Burung yang kena pukul itu bergeletar di tanah menghempaskan diri. Tidak lama kemudian burung itu pun mati. 
Setelah mengetahui bahawa burung yang kena pukul itu sudah mati, lalu burung yang masih hidup menggali lubang di tanah dengan menggunakan kaki dan paruhnya. Setelah lubang itu menjadi besar dan dalam, gagak yang hidup menarik gagak yang mati dengan paruhnya ke dalam lubang. Lubang itu lalu ditutupnya kembali dengan tanah. Gagak yang masih hidup kemudiannya terbang meninggalkan tempat itu 
Melihat itu, Qabil takjub dan hairan sekali lalu berkata kepada dirinya sendiri: ‘Rupanya aku ini jauh lebih bodoh dari gagak yang hitam itu.’ Dia lalu meniru gagak itu. Lubang digali, lalu jenazah adiknya dimasukkan ke dalam lubang itu, dikuburkan dan ditimbunnya dengan tanah. 
Setelah agak lama Habil dan Qabil tidak pulang, Nabi Adam dan Hawa mulai bimbang dan cemas. Nabi Adam lalu berangkat mencari kedua-dua orang anaknya itu. Alangkah terperanjatnya Nabi Adam melihat darah tertumpah di atas tanah membasahi bumi. Dadanya bergoncang, hatinya berdebar, Nabi Adam menjerit sekeras-kerasnya kepada Qabil: ‘Qabil, apa yang engkau telah lakukan terhadap saudaramu?’ 
Bergetar tubuh Qabil mendengar jeritan bapanya yang luar biasa itu. Alam seluruhnya dirasakan turut bergetar dan menjerit kepadanya: ‘Hai, Qabil! Apa yang engkau telah lakukan terhadap adikmu sendiri?’ 
Qabil terus lari dan lari, di celah gunung yang tinggi, melintasi jurang-jurang yang dalam. Dengan hati yang penuh ketakutan, badan gemetar dan jiwa gelisah. Bukit, gunung, jurang, pohon dan binatang apa saja yang beliau jumpai, seakan-akan turut mengejar dari belakang dan menjerit-jerit kepadanya: ‘Pembunuh, pembunuh, pembunuh.’ 
Qabil lari dan lari terus, tidak dapat merasa ketenangan dan kesenangan buat selama-lamanya. Dunia ini baginya sejak waktu itu adalah tempat pelarian dan ketakutan, kerana beliau sendiri yang membuat dirinya diselubungi ketakutan, sehingga menyangka musuh terhadap apa saja yang beliau jumpai dan temui. Begitu susahnya di dunia ini, belum lagi beliau di akhirat nanti! 
Nabi Adam dan Hawa kehilangan dua orang anak sekali gus. Seorang meninggal dunia dan seorang lagi hilang tidak tentu ke mana perginya. Terhadap yang sudah meninggal, Nabi Adam dan Hawa mendoakan kepada Allah s.w.t: ‘Ya Allah, ampunilah beliau; turunkanlah rahmat-Mu kepadanya di Alam Barzakh, dan berilah beliau tempat di Syurga di Alam Akhirat nanti.’ 
Terhadap anaknya yang hilang, Nabi Adam dan Hawa tidak berputus asa, mudah-mudahan beliau dapat kembali dengan kesedaran dan keinsafan, dapat menginsafi segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukannya, akhirnya dapatlah beliau menjadi manusia yang berguna hidupnya di dunia ini bagi ibu bapa dan adik-adiknya. Terhadap anak-anaknya yang lain, Nabi Adam memperingatkan bahawa manusia hidup di permukaan bumi ini bukan sendirian. Di samping manusia ada Syaitan dan Iblis yang menjadi musuh kita sampai ke anak cucu dan keturunan kita buat selama-lamanya. 
Nabi Adam dan Hawa menerangkan kepada anak-anaknya pengalaman hidupnya berdua selama berada di dalam Syurga, bagaimana hebat dan halusnya godaan Iblis. Kendatipun tatkala itu, kerana sama-sama berada dalam Syurga. Nabi Adam dan Hawa dapat melihat Iblis dan dapat mendengar suaranya, Nabi Adam dan Hawa masih digoda olehnya. Lebih-lebih lagi sekarang setelah berada di alam bumi, di mana manusia tidak dapat lagi melihat Iblis dan tidak dapat mendengar suaranya, sedangkan Iblis tetap dapat melihat kita manusia, maka godaan Iblis di muka bumi ini pasti jauh lebih hebat dan jauh lebih berbahaya bagi kita manusia. 
Iblis adalah musuh kita yang dapat melihat kita dan kita tidak dapat melihatnya. Dengan begitu, perjuangan kita terhadap Iblis adalah perjuangan atau perkelahian yang tidak setaraf. Tidak ubah seperti perkelahian dua orang manusia: yang pertama dengan mata terbuka dan yang kedua dengan mata tertutup. Dapatlah kita pastikan, orang yang dengan mata terbuka akan selalu menang, dan orang yang dengan mata tertutup akan selalu kalah. 
Tetapi kita manusia jangan sedih. Allah s.w.t Maha Pengasih dan Maha Adil. Kepada kita manusia diberi Allah s.w.t satu cara untuk membutakan mata Iblis terhadap kita, iaitu bila kita mohon perlindungan Allah s.w.t dari godaan Iblis dengan membaca: ‘A’uzubillahi minasy Syaitanir Rajim.’ Dan kepada kita manusia diberi kekuatan yang dinamakan iman, iaitu kepercayaan penuh terhadap Allah s.w.t. Dengan keimanan yang kukuh dan kuat, Iblis tidak sanggup menggoda manusia. Iblis malah menjadi takut dan lari dari manusia yang beriman itu. Iblis malah tidak berani mendekatinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA