SMAHADZIR
DIRIWAYATKAN daripada Hazrat Abu Hurairah r.a katanya,
“Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika sebatang anak sungai
mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu dan dia mandi di
dalam sungai itu sebanyak lima kali sehari, pada pendapat kamu masih adakah
lagi kekotoran (pada badannya)?
Para sahabat menjawab, “Tidak akan tertinggal sedikit pun
kekotoran,”
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Maka demikianlah juga solat
lima waktu, melalui solat Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa,” (Hadis riwayat
Imam Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan daripada
Hazrat Jabir r.a katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perumpamaan solat lima
waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang dalam yang
mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari,” (Hadis riwayat Imam
Muslim)
Keterangan
Air yang mengalir adalah suci daripada kekotoran.
Lebih dalam air itu maka lebih jernih dan lebih bersih air tersebut. Oleh itu,
dalam hadis di atas disebutkan keadaan air sungai yang mengalir dan ke dalaman
sungai itu. Jika air yang digunakan untuk mandi itu bersih maka badannya akan
menjadi bersih. Demikianlah juga solat yang ditunaikan dengan memelihara adab
maka solat itu akan membersihkan dosa. Perkara yang terkandung dalam banyak
kedua-dua hadis di atas juga terkandung dalam banyak hadis yang diriwayatkan
oleh sahabat yang berlainan dengan lafaz-lafaz yang berbeza.
Diriwayatkan daripada
Hazrat Abu Sa’id Al-Khudri r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Solat lima
waktu ialah kafarah (penghapus dosa) di antara dua waktu solat,” Yakni dengan
berkat solat, semua dosa-dosa kecil yang dilakukan di antara satu solat dengan
satu solat yang lain akan terampun. Kemudian Baginda s.a.w. bersabda yang
mafhumnya, umpama seseorang yang bekerja di dalam sebuah kilang miliknya. Oleh
itu terlekatlah debu dan kekotoran pada badanya.
Di antara kilang dan
rumahnya terdapat lima batang sungai. Apabila dia balik ke rumah dari
kilangnya, dia akan mandi di setiap batang sungai itu. Begitulah keadaanya
dengan solat lima waktu, apabila berlaku kesalahan dan kesilapan di antara dua
waktu solat makan melalui doa dan istighfar yang dipohon semasa bersolat, Allah
s.w.t. akan mengampuni keseluruhan dosa tersebut.
Tujuan Nabi s.a.w.
memberi perumpamaan seperti ini ialah untuk memberi kefahaman tentang satu
perkara iaitu Allah s.w.t. meletakkan kekuatan pada solat untuk menghapuskan
dosa. Oleh sebab dengan perumpamaan sesuatu perkara boleh difahami dengan lebih
jelas maka Baginda s.a.w. telah menjelaskan perkara ini melalui berbagai-bagai
perumpamaan.
Sekiranya kita tidak
mengambil manfaat daripada rahmat Allah s.w.t., kasih sayang-Nya,
kemurahan-Nya, keluasan keampunan-Nya dan limpah kurnia-Nya maka tiada sesiapa
yang rugi melainkan diri kita sendiri. Sepatutnya kita dihukum dan menerima
akibat yang buruk daripada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Raja Yang Maha Adil kerana
melanggari perintah-perinta-Nya, melakukan dosa, menyimpang daripada
perintah-Nya dan cuai dalam melaksanakan perintah-Nya.
Namun betapa agungnya
kemurahan Allah s.w.t. yang masih menunjukkan jalan untuk kita mendapat
keampunan-Nya. Jika kita masih tidak mengambil manafaat daripada peluang ini,
maka itu adalah di atas kejahilan kita. Allah s.w.t. melalui rahmat-Nya dan
kasih sayang-Nya sentiasa memberi peluang untuk menganugerahkan pemberian-Nya.
Dalam sebuah hadis
disebutkan bahawa seseorang yang tidur dengan niat untuk bangun mengerjakan
solat tahajud tetapi tidak terjaga maka dia mendapat pahala solat tahajud
dengan percuma walaupun pada ketika itu dia dalam keadaan tidur (At-Targhib).
Betapa malangnya dan ruginya kita jika tidak merebut pemberian dan kurnian
daripada zat Allah s.w.t. yang begitu luas kurnianya.
Diriwayatkan daripada Hazrat
Abu Uthman r.a katanya, “Saya bersama Hazrat Salman r.a di bawah sepohon pokok.
Beliau memegang sebatang dahan kering dari pokok tersebut, lalu
menggoncang-goncangkan dahan tersebut sehingga daun-daun pada dahan itu gugur.
Kemudian beliau berkata kepada saya, “Wahai Abu Uthman, mengapa kamu tidak
bertanya sebab saya berbuat begini?”
Saya bertanya, “Beritahulah
mengapa kamu berbuat begitu?”
Beliau menjawab, “Beginilah
yang dilakukan oleh Rasululullah s.a.w. di hadapan saya semasa saya
bersama-sama Rasululullah s.a.w. di bawah sepohon pokok. Baginda s.a.w. telah
mengambil sebatang dahan kering dari sepohon pokok lalu melakukan sebegini
sehingga semua daun gugur.
Kemudian Baginda s.a.w.
bertanya kepada saya, “Salman, mengapa kamu tidak bertanya sebab saya buat
begini?”
Sahutku, “Beritahulah mengapa
tuan berbuat begitu?”
Baginda s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya apabila seorang Islam mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian
dia menunaikan solat lima waktu maka gugurlah dosa-dosanya seperti gugurnya
daun-daun ini,” Kemudian Baginda s.a.w. membaca ayat yang berikut yang ertinya:
‘Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada
ketika-ketika yang berhampiran dengannya daripada waktu malam. Sesungguhnya
amAl-amal kebaikan itu (terutamanya solat) itu akan menghapuskan dosa.
Perintah-perintah Allah s.w.t. yang demikian adalah menjadi peringatan bagi
orang yang ingin mendapat peringatan’ (Surah Hud, Ayat 114) (Hadis riwayat Iman
Ahmad, Nisai dan Tabarani)
Hazrat Abu Zar r.a
berkata, “Suatu ketika Rasululullah s.a.w. keluar pada musim sejuk semasa
daun-daun gugur, lantas Baginda s.a.w. memegang dahan dari sebatang pokok maka
daun-daun tersebut mulai gugur dengan lebat dari dahan tersebut.
Baginda s.a.w.
bersabda, “Wahai Abu Zar,”
Saya menyahut, “Saya
ya Rasululullah,”
Kemudian Baginda
s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang Islam menunaikan solat untuk mendapatkan
keredhaan Allah s.w.t., dosanya gugur seperti gugurnya daun-daun ini dari
pokok,” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Keterangan
Pada musim sejuk banyak sekali daun yang gugur
sehingga kadang-kadang tiada sehelai daun pun yang tertinggal pada sesetengah
pohon. Inilah yang merupakan mafhum daripada sabdaan Nabi s.a.w. iaitu solat
yang dilaksanakan dengan ikhlas akan menghapuskan semua dosa sehingga tidak ada
satu dosa pun yang tertinggal.
Walau bagaimanapun,
satu perkara perlu diberi perhatian iaitu rumusan daripada kajian yang mendalam
daripada para alim ulama berdasarkan Al-Quran dan hadis menyatakan bahawa hanya
dosa kecil sahaja yang akan terampun melalui solat dan amalan-amalan kebaikan
yang lain. Dosa besar tidak terampun tanpa bertaubat.
Oleh itu, di samping
mengerjakan solat, kita hendaklah juga mengambil berat untuk bertaubat dan
beristighfar dan janganlah mencuaikan perkara ini. Lainlah jika Allah s.w.t.
mengampun dosa besar seseorang dengan limpah rahmat-Nya.
Diriwayatkan daripada
Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar r.a katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Islam
dibina atas lima (rukun). Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah s.w.t.
dan Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan
zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan,” (Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Keterangan
Kelima-lima perkara di atas merupakan asas Islam
yang unggul dan rukun yang penting. Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. mengibaratkan
Islam sebagai sebuah khemah yang ditegakkan oleh lima batang tiang. Tiang
tengah ialah kalimah syahadah, sementara keempat-empat tiang di empat penjuru
khemah itu merupakan empat lagi rukun Islam yang lain. Tanpa tiang tengah khemah
tersebut tidak boleh ditegakkan sama sekali.
Jika
khemah itu ada tiang tengah dan salah satu daripada empat tiang tadi tidak ada
maka khemah itu masih dapat ditegakkan tetapi penjuru yang tiada tiang itu akan
cacat dan condong. Setelah mengetahui sabdaan Nabi s.a.w. yang tersebut, kini
marilah kita sama-sama menyemak diri kita sejauh manakah teguhnya khemah yang
telah kita dirikan itu dan rukun Islam yang manakah telah dapat kita jaga
dengan sempurna?
Sebenarnya
kelima-lima rukun Islam tersebut amat penting sehingga dijadikan sebagai asas
Islam. Sebagai seorang Islam, kita sangat perlu mengambil berat terhadap
kesemua rukun Islam itu tetapi amalan yang terpenting sesudah iman ialah solat.
Hazrat
‘Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,
“Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah s.w.t.?”
Baginda
menjawab, “Solat,”
Saya
bertanya lagi, “Selepas solat apa pula?”
Jawab
Baginda s.a.w. “Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa,”
Saya
bertanya lagi, “Selepas itu apa pula?”
Rasulullah
s.a.w. bersabda, “Jihad,”
Mulla
‘Ali Qari rah. berkata bahawa hadis ini menjadi dalil bagi pendapat ulama yang
menegaskan bahawa solat adalah amalan yang paling afdal selepas iman. Pendapat
ulama tersebut dikuatkan lagi dengan sebuah hadis sahih yang berbunyi
“Sebaik-baik amalan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. adalah solat,”
Tentang
solat yang merupakan amalan paling afdal antara semua ibadat yang lain,
diterangkan dengan jelas dalam banyak hadis sahih. Antara hadis tersebut ada
yang terkandung dalam kitab ‘Jamiu’ Saghir’ seperti yang diriwayatkan oleh lima
orang sahabat iaitu Hazrat Thauban, Hazrat Ibnu ‘Amr r.anhuma, Hazrat Salamah,
Hazrat Thauban, Hazrat Abu Umamah dan Hazrat ‘Ubadah r.a.
Diriwayatkan
daripada Hazrat Ibnu Mas’ud r.a dan Hazrat Anas r.a bahawa amalan yang terbaik
ialah mengerjakan solat tepat pada waktu solat. Diriwayatkan juga daripada
Hazrat Ibnu ‘Umar r.anhuma dan Hazrat Ummi Fardah r.anha bahawa amalan yang
paling baik ialah solat pada awal waktu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan