SMAHADZIR
SEORANG soleh bercerita bahawa pada suatu hari dia datang
ke sebuah desa dan melihat tiga kuburan sebaris di tempat yang berdekatan. Dia
tertarik terhadap ketiga-tiga kuburan tersebut kerana di atasnya ada tertulis
beberapa rangkap syair.
Pada kubur pertama tertulis syair: Bagaimana orang yang
tahu Tuhan akan menyoalnya merasa seronok dan lazat dalam hidupnya? Dia akan
menyeksa orang yang zalim dalam hidupnya dan akan membalas baik orang yang baik
amalnya.
Pada kubur kedua tertulis: Bagaimana akan terasa lazat
kehidupan ini bagi yang meyakini kematian akan datang merenggut dalam sekelip
mata dan tiba-tiba kematian akan menghempapnya dengan kerajaan yang besar dan
megah dan akan menempatkannya di dalam kubur sempit sememangnya dia adalah
calon penghuninya.
Pada kubur ketiga terdapat syair: Bagaimana akan terasa
lazat kehidupan ini bagi yang
sedar dirinya akan pindah ke kubur di sanalah pemuda akan digugat kedudukannya
wajah jelita yang yang dibanggakan akan lenyap serta merta tinggallah badan dan anggota
menanggung seksa.
Orang soleh tadi pergi kepada seorang tua yang banyak
tahu tentang cerita desanya. “Wahai Syeikh! Aku melihat sesuatu yang ajaib di
dalam desamu ini,” kata orang soleh.
“Apa itu?” tanya Syeikh.
“Aku berjumpa dengan tiga pusara yang masing-masing di
atasnya tertulis beberapa syair,” kata orang soleh sambil membacakan kandungan
syair-syair yang telah dilihatnya.
“Sebetulnya cerita ketiga-tiga ahli kubur tersebut lebih
ajaib daripada rangkap-rangkap syair yang kamu lihat di atas kuburnya,”
“Apa itu? Sila ceritakan kepadaku!”
Syeikh menceritakan bahawa penghuni ketiga-tiga kubur itu
adalah tiga orang adik beradik yang pekerjaannya berlainan. Yang pertama
seorang zuhud, yang kedua seorang gabenor yang berkuasa dan yang ketiga seorang
saudagar kaya. Walaupun berlainan profesyen, ketiga-tiganya hidup rukun dan
saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.
Suatu ketika saudara yang zuhud sakit, dan apabila dirasa
bahawa ajalnya sudah hampir, berkumpullah kedua-dua suadaranya yang lain sambil
menanyakan halnya. Mereka menawarkan kepada si zahid untuk mensedekahkan
hartanya bagi kepentingan saudaranya yang hampir meninggal itu. Akan tetapi dia
menolak.
“Aku tidak berhajat kepada hartamu. Akan tetapi aku minta
kepadamu berdua agar berjanji kepadaku akan sesuatu yang tidak akan kamu
mungkiri selepas kematianku nanti,”
“Boleh, sila katakan, apa hajatmu?”
“Apabila aku mati, kamu mandikan, kafankan dan solatkan
mayatku. Setelah itu kamu kebumikan di bumi yang agak tinggi. Setelah itu
tuliskan di pusaraku itu dua rangkap syair ini: Bagaimana orang yang tahu Tuhan
akan menyoalnya merasa seronok
dan lazat dalam hidupnya Dia akan menyeksa orang zalim dalam hidupnya dan akan
membalas baik orang yang baik amalnya. Selepas itu hendalah engkau berdua
datang ke kuburku setiap hari dan baca syair itu, semoga ia akan menjadi
pengajaran bagimu berdua,”
Setelah berwasiat demikian, dia pun meninggal dunia. Dua
adik beradiknya melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya.setiap hari
kedua-duanya datang dan membaca syair itu sehingga menangis. Adik yang menjadi
gabenor datang dengan mengenderai kuda bersama askar-askarnya. Dia berdiri di
sisi kubur abangnya sambil membaca syair tersebut dan menangis kerana
kandungannya mengena pada dirinya.
Pada hari ketiga, dia datang lagi sebagaimana biasa
sambil diiringkan oleh askar-askaranya, lalu berdiri di sisi pusara membaca
syair dan menangis. Apabila dia akan pulang, tiba-tiba mendengar bunyi benturan
yang kuat dari dalam kubur yang menyebabkan hatinya gementar. Kemudian pulang
dengan perasaan takut, gementar dan risau. Pada sebelah malamnya pula dia
bermimpi melihat abangnya datang.
“Wahai abangku, bunyi apa yang aku dengar dari dalam
kuburmu semalam?”
Itulah bunyi pukulan terhadap ahli kubur yang zalim.
Dikatakan kepadaku: “Kamu lihat orang zalim itu? Mengapa engkau tidak
menolongnya?” jawab abangnya.
Sebaik saja terjaga dari tidurnya, si gabenor itu resah
dan dipenuhi rasa takut dan gementar yang berterusan. Dia segera memanggil
saudaranya yang menjadi saudagar dan menceritakan tentang mimpinya.
“Wahai saudaraku, aku yakin bahawa Allahyarham tidak
berwasiat agar menuliskan rangkap syair itu di atas pusaranya melainkan hanya untuk
memberi peringatan kepadaku,” kata gabenor kepada saudaranya yang menjadi
peniaga.
Kemudian dia berkata kepada para pegawai dan orang-orang
yang ada disekitarnya: “Aku persaksikan kepadamu semua, bahawa mulai saat ini
aku sudah bukan pemimpinmu lagi buat selama-lamanya,”
Dia meletakkan jawatan serta merta buat menumpukan
sisa-sisa hidupnya semata-mata untuk beribadah kepada Allah s.w.t. sambil
mengembara ke bukit-bukit dan perkampungan sehingga ajal datang menjemputnya di
hadapan sebahagian bekas rakyatnya. Pada hari-hari terakhir sebelum
kewafatannya, saudaranya yang menjadi peniaga telah mendengar kabar mengenai
bekas gabenor itu. Dia segera datang ke tempatnya untuk menanyakan apa-apa yang
diperlukan.
“Sila berwasiat wahai saudaraku!” kata si saudagar.
“Apa yang akan aku wasiatkan. Aku sudah tidak punya
apa-apa harta untuk diwasiatkan. Hanya saja aku minta kepadamu agar mahu
berjanji untuk melaksanakan sesuatu setelah kematianku nanti,”
“Boleh, sila katakan,”
“Apabila aku mati nanti, kuburkanlah di samping kubur
saudaraku dan tulislah di atas pusaraku syair ini: Bagaimana akan terasa lazat
kehidupan ini bagi yang meyakini kematian akan datang merenggut dalam sekelip
mata dan tiba-tiba kematian akan
menghempapnya dengan kerajaan yang besar dan megah dan akan menempatkannya di
dalam kubur sempit sememangnya dia adalah calon ahlinya. Hendaklah engkau
berziarah ke kuburku selepas tiga hari dari kematianku dan berdoalah kepada
Allah s.w.t. semoga Dia merahmati arwahku,”
Setelah berwasiat demikian, bekas gabenor itu pun
menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saudaranya segera menyempurnakan
pengurusan mayatnya sehingga selesai dikuburkan. Sebagai memenuhi janjinya, dia
menulis syair yang telah ditentukan di atas pusara saudaranya itu, kemudian pulang.
Tiga hari selepas pengkebumian, si saudagar datang
berziarah ke kubur saudaranya dan berdoa kepada Allah s.w.t. semoga arwah
saudaranya dicucuri rahmat. Apabila dia membaca syair yang tertulis di pusara
saudaranya itu, dia pun menangis kerana sagat terkesan akan maksudnya. Setelah
itu, dia pun bersiap sedia untuk pulang, tetapi tiba-tiba terdengar bunyi
gegaran yang sangat hebat dari dalam kubur sehingga membuatnya terperanjat dan
hampir-hampir tidak sedarkan diri. Dia pun pulang dalam keadaan sangat
ketakutan.
Pada sebelah malamnya, dia bermimpi melihat saudaranya
yang telah meninggal dunia datang menghampirinya.
“Wahai saudaraku, engkau datang menziarahi kami?”
“Ya, selepas ini tidak ada ziarah lagi. Aku telah tenang
dengan rumahku yang baru,”
“Bagaimana keadaanmu sekarang?”
“Alhamdulillah baik,”
“Bagimana keadaan abang kita?”
“Dia berkumpul bersama umat-umat yang baik,”
“Apa pesan engkau kepadaku?”
“Barangsiapa yang telah melakukan sesuatu, dia akan
mendapatkannya. Oleh itu, jagalah waktu hidupmu sebelum datang masa matimu,”
kata saudara yang telah mati.
Sejak itu, si peniaga mengasingkan diri dari urusan
dunianya dan hatinya sentiasa ingat pada mati. Harta kekayaannya dibagi bagikan
kepada fakir miskin dan dia sendiri menumpukan hidup beribadah kepada Allah
s.w.t. Anaknya yang sudah jadi seorang pemuda yang segak badan dan bagus
wajahnya juga bekerja sebagai peniaga yang berjaya. Beberapa masa telah
berlalu. Ajal bekas saudagar yang telah jadi sufi itu pun hampir menjemputnya.
Saudara mara dan anaknya telah berkumpul.
“Berwasiatlah sesuatu wahai ayah,” kata anaknya.
“Wahai anakku! Ayahku sudah tidak punya apa-apa harta
untuk diwasiatkan. Akan tetapi hanya minta kepadamu agar berjanji untuk
melakukan sesuatu selepas kematianku,”
“Boleh, boleh. Sila katakan wahai ayah,”
“Apabila aku mati, kuburkan di dekat kubur bapa-bapa
saudaramu dan tuliskan syair pada pusaraku: Bagaimana akan terasa lazat
kehidupan ini bagi yang sedar dirinya akan pindah ke kubur di sana kedudukan
pemuda akan digugat wajah jelita yang dibanggakan akan lenyap serta merta
tinggallah badan dan anggota menanggung seksa. Kemudian hendaklah engkau
berziarah ke kuburku sehingga tiga hari. Berdoalah kepada Allah s.w.t. semoga
Allah s.w.t. mencucuri rahmat kepadaku,”
“Insya-Allah, saya akan melakukannya,” jawab si anak.
Setelah dia meninggal dunia, anaknya segera melakukan
semua yang diamanahkan kepadanya. Dia berziarah ke kubur ayahnya setiap hari
sambil berdoa untuk ayahnya dan membaca syair yang tertulis di pusaranya. Pada
hari ketiga dia mendengar suara dari dalam kubur yang sangat menggerunkan dan
membangkitkan bulu roma dan memucatkan muka. Dia pulang kepada keluarganya
dalam keadaan takut dan gementar.
Pada sebelah malamnya pula, dia bermimpi melihat ayahnya
datang sambil berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya engkau berada sangat dekat
denganku, duniamu sudah berada di penghujungnya dan maut lebih dekat dari itu
lagi. Oleh kerana itu bersiap sedialah engkau untuk menempuh perjalananmu dan
periksalah keadaan kenderaanmu. Alihkan perhatianmu dari melengkapi isi rumah
yang engkau tempati sekarang pada rumah yang bakal engkau tempati buat
selama-lamanya. Janganlah engkau tertipu seperti orang-orang sebelummu yang
telah tertipu oleh keinginan pada harta sehingga tidak sempat membuat
persediaan untuk pergi. Akibatnya, mereka menyesal yang tidak berkesudahan
setelah mati. Padahal penyesalan ketika itu sudah tidak ada maknanya lagi.
Wahai anakku! Segera laksanakan, segera laksanakan!”
Mimpi pemuda terhenti, kerana dia terjaga dari tidurnya
dalam keadaan terkejut dan takut serta faham apa yang akan terjadi pada
dirinya. Pada sebelah paginya dia pun segera mengerjakan apa-apa yang perlu.
Semua hutang-hutangnya dijelaskan, hartanya disedekahkannya kepada fakir
miskin. Pada pagi hari ketiga dari hari bermimpi, dia memanggil semua
keluarganya dan anaknya kemudian berwasiat dan mengucapkan salam.
Setelah itu dia menghadap Kiblat, mengucapkan dua kalimah
Syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Orang ramai datang berpusu-pusu
menguruskan mayatnya dan berziarah ke kuburnya serta berdoa di sana. Radiallahu
‘anhum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan