SMAHADZIR
DIRIWAYATKAN oleh Muslim dari Al-Nawas bin Sam’an bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda tentang Nabi Isa: Beliau akan turun berdekatan
dengan menara putih di timur Damsyik, dengan memakai pakaian kuning. Dua
telapak tangannya terletak di atas sayap dua malaikat. Apabila dia menundukkan
kepalanya menitislah air. Apabila dia mengangkat kepalanya lagi, turunlah
daripadanya seperti untaian mutiara.
Berdasarkan hadis ini bererti Nabi Isa akan turun di
Syam, bahkan juga di Damsyik, iaitu di sisi menara sebelah timur. Beliau akan
turun pada waktu fajar. Ibnu Katsir ada berkata: Sesungguhnya tidak ada di
Damsyik menara yang dikenal di sebelah timurnya kecuali yang berada di samping
masjid jamik Amawi, iaitu di sebelah timur Damsyik.
Menara tersebut telah diperbaiki pada zaman Ibnu Katsir,
iaitu pada tahun 741 hijrah. Pembiayaannya diambil dari harta orang-orang
Nasrani yang sebelumnya telah membakar menara masjid tersebut. Besar
kemungkinan nanti Nabi Isa akan turun di tempat itu.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Abu Hurairah, bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda: Para nabi semuanya bersaudara disebabkan ayah
mereka satu dan hanya ibu mereka yang berlainan. Sedangkan agama mereka adalah
satu. Dan akulah orang yang paling dekat dengan Isa bin Maryam kerana tidak ada
Nabi di antara kami. Sesungguhnya dia akan turun. Apabila dia turun nanti,
untuk me-ngenalinya orangnya sedang dan kulitnya putih kemerah-merahan. Dia
memakai pakaian yang kuning. Dari kepalanya seperti menitis air walaupun rambut
dan kepalanya tidak basah. Dia akan mengajak orang kepada Islam.
Pada zamannya juga nanti dia akan menghancurkan segala
agama kecuali Islam. Allah s.w.t. akan membinasakan Dajjal pada zamannya,
bahkan di tangannya. Pada zamannya nanti dunia akan aman sehingga harimau dan
unta berkawan dengan baik. Begitu juga harimau dengan lembu, serigala dengan
kambing. Kanak-kanak akan bermain dengan ular dan ular itu tidak menggigit
mereka. Keadaan seperti itu berjalan selama empat puluh tahun. Kemudian Nabi
Isa a.s. wafat dan disembahyangkan oleh kaum muslimin.
Muhammad s.a.w. adalah nabi penutup dan tidak akan ada
lagi nabi sesudahnya. Turunnya Nabi Isa pada akhir zaman akan menguatkan lagi
kebenaran agama Islam. Islam bererti menyerahkan segala urusan bagi Allah
s.w.t. yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, beriman dengan semua Rasul,
berserah kepada Allah s.w.t. dan taat dengan sebenar-benar taat. Itu semua
sebenarnya sudah dianjurkan oleh agama-agama langit semenjak zaman Nabi
Ibrahim, selaku bapa nabi-nabi, sampai kepada Muhammad s.a.w. selaku nabi
terakhir.
Isa a.s. adalah nabi dan rasul yang mulia, datang dari
sisi Allah s.w.t. Beliau dahulu sudah ada membawa syariat kepada umatnya
tiba-tiba beliau diangkat ke langit. Nanti di akhir zaman beliau akan turun
lagi dengan izin Allah s.w.t. tetapi bukan membawa agama atau syariat baru.
Beliau datang nanti untuk menguatkan agama Islam,
Ummu Syuraik bertanya kepaad Rasulullah s.a.w. tentang
hari Dajjal: Ya Rasulullah s.a.w., ke mana orang-orang Arab ketika itu?
Rasulullah s.a.w. menjawab: Jumlah mereka pada waktu itu
terlalu sedikit. Mereka lari ke Baitul Maqdis menjumpai Imam mereka, seorang
lelaki soleh (Imam Mahdi menurut riwayat itu).
Ketika Imam mereka sudah berdiri di depan untuk mengimami
solat Subuh, tiba-tiba datang Nabi Isa. Imam mereka itu mundur untuk memberi
peluang kepada Nabi Isa untuk mengimami solat Subuh itu tetapi Isa a.s sambil
memegang bahu Imam itu berkata: Teruskanlah, sesungguhnya iqamat dibacakan
untuk engkau.
Maka sembahyanglah mereka semua di belakang Imam tadi.
Selesai solat, Isa a.s berkata kepada semua jemaah:
Bukakan pintu itu.
Mereka membuka pintu masjid itu, tiba-tiba Dajjal sudah
berdiri di situ dan di belakangnya ada 70,000 Yahudi lengkap membawa senjata. Melihat
Nabi Isa ada di dalam masjid itu, Dajjal tiba-tiba saja layu atau cair seperti
cairnya garam disirami air. Dajjal itu lari terbirit-birit kerana ketakutan.
Nabi Isa bersama kaum Muslimin terus saja mengejarnya kemudian menjumpainya di
Babu Luddi. Dan di sanalah Nabi Isa membunuh Dajjal itu.
Orang-orang Yahudi pun akan tatkalahkan dan dibinasakan
Allah s.w.t. pada waktu itu. Mereka cuba lari dan bersembunyi tetapi semua
benda tempat mereka bersembunyi akan pandai bercakap atau bercerita dengan izin
Allah s.w.t. Benda-benda dimaksud termasuklah dinding, batu, pokok kayu dan
sebagainya. Kalau ada orang Yahudi yang bersembunyi di balik belakang mereka,
benda-benda itu akan memberitahukannya. Termasuk juga satu pokok berduri
(disebut pokok Yahudi), jika mereka bersembunyi di bawahnya, pokok itu akan
berkata: Wahai hamba Allah. yang beriman, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah
dia.
Kata Rasulullah s.a.w. lagi: Dajjal akan berada di dunia
selama empat puluh tahun. Satu tahun lamanya seperti setengah tahun, terkadang
seperti satu bulan. Satu bulan seperti satu minggu. Dan pada hari yang terakhir
terasa sekejap sahaja. Pagi-pagi kamu berada di pintu masuk kota Madinah
(Madinah pada zaman Rasul), sampai kamu di pintu yang lain hari pun masuk waktu
malam.
Mendengar yang demikian ada yang bertanya:Bagaimana kami
mengerjakan solat dalam waktu yang begitu singkat ya Rasulullah s.a.w.?
Rasulullah s.a.w. menjawab: Ukur sajalah jaraknya dan bandingkan dengan waktu
yang panjang sekarang ini.
Rasulullah s.a.w. berkata: Isa bin Maryam akan memimpin
umatku dengan bijaksana dan adil. Beliau akan menghancurkan salib-salib yang
ada di dunia ini dan akan membunuh semua babi. Beliau juga akan menghapuskan
cukai. Manusia pada waktu itu tidak perlu membayar cukai, bahkan zakat pun
tidak dibayar lagi kerana tidak ada orang yang berhak menerimanya.
Pada hari itu semua makhluk dalam keadaan aman dan
tenteram. Tidak ada saling cemburu, dengki, saling memarahi dan mengganggu
antara sesama makhluk Allah s.w.t. Sehingga ada anak perempuan yang
bermain-main dengan harimau dan harimau itu tidak menerkamnya, begitu juga
kambing berkawan dengan serigala.seluruh dunia ketika itu nanti diliputi oleh
kedamaian, keamanan dan ketenteraman. Bahkan ketika itu nanti tidak ada
pertelingkahan keyakinan dan pendapat. Tidak ada yang disembah selain Allah
s.w.t.
Orang Arab ketika itu nanti akan merampas kembali semua
miliknya. Bumi mengeluarkan cahayanya, menumbuhkan tanam-tanamannya seperti
zaman Nabi Adam. Sehingga manusia akan memetik buah anggur dan delima sehingga
mereka kenyang memakannya.
Ibnu Katsir berkata: Abdul Rahman Al-Muharibiy berkata:
ebaiknya hadis ini dijadikan untuk mendidik saja. Hadis ini tidak sahih tetapi
banyak hadis lain yang hampir sama maksudnya dengannya. Di antaranya ada
diriwayatkan oleh Muslim dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda: Kamu akan memerangi orang-orang Yahudi. Kamu akan memerangi mereka
habis-habisan sehingga batu tempat mereka bersembunyi pun akan berkata: Wahai
orang muslim, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah dia.
Menurut riwayat, bumi nanti akan mengeluarkan segala
khazanah kekayaannya, iaitu pada zaman Nabi Isa. Pada waktu itu dunia dalam
keadaan makmur dan harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi orang yang
berhak menerima zakat.
Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sudah hampir masanya turun kepada kamu Ibnu Maryam menjadi hakim yang adil,
yang akan membunuh Dajjal, membunuh babi, menghancurkan salib dan menghapuskan
cukai kerana harta ketika itu melimpah ruah. Ketika itu nanti manusia hanya
sujud kepada Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam.
Diriwayatkan oleh Ahmad, dari Ibnu Mas’ud, dari
Rasulullah s.a.w.: Pada malam aku diisrak mikrajkan, aku telah berjumpa dengan
Ibrahim, Musa dan Isa a.s. Mereka membincangkan hari kiamat dengan menanyakan
permasalahannya kepada Ibrahim. Tetapi beliau hanya menjawab: Tidak ada
pengetahuanku tentang hari kiamat. Cuba kalian tanya kepada Musa. Mereka tanya
Nabi Musa tetapi beliau juga hanya menjawab: Aku tidak tahu tentang kiamat.
Cuba kalian tanyakan kepada Isa.
Mereka tanyakan kepada Isa kemudian beliau berkata:
Sebenarnya tidak ada yang mengetahui masalah ini kecuali Allah s.w.t. Menurut
yang dijanjikan Allah s.w.t. kepadaku, Dajjal nanti muncul sedangkan di
tanganku ada dua sabit (alat pemotong). Sebaik saja Dajjal itu melihat aku, dia
pun hancur seperti hancurnya timah yang terkena panas. Allah s.w.t. akan
membinasakannya, begitu juga orang-orang kafir lainnya.sehingga batu dan pokok
kayu nanti akan ikut berkata: Wahai orang muslim, di bawahku ada orang kafir
bersembunyi, marilah dan bunuhlah dia.
Kata Nabi Isa lagi: Setelah Allah s.w.t. membinasakan
mereka, orang-orang muslim pulang ke rumah mereka masing-masing. Dalam keadaan
demikian keluar pula Yakjuj dan Makjuj, yakni bertebaran dari segenap penjuru.
Kerana banyaknya Yakjuj dan Makjuj itu, maka semua
kampung dan tempat tidak ada yang tidak dipijak oleh mereka. Mereka memakan
semua makanan yang ada dan meminum semua air. Setelah habis makanan dan
buah-buahan, daun-daunan pun habis mereka makan. Air sungai dan tasik semua
habis mereka minum.
Tambah beliau lagi: Orang-orang mukmin ketika itu tidak
tahan melihat ulah Yakjuj dan Makjuj itu sehingga mereka memohon kepada Allah
s.w.t. supaya dibinasakan binatang itu. Berkat doa mereka itu, Yakjuj dan
Makjuj itu mati semua.sekarang timbul masalah yang cukup besar lagi, yakni
bangkai Yakjuj dan Makjuj yang bergelimpangan di mana-mana. Di mana-mana
seluruh dunia terasa bau bangkai. Akhirnya Allah menurunkan hujan lebat sehingga
bangkai-bangkai itu hanyut ke sungai dan kemudian hanyut ke laut.
Diriwayatkan oleh Ismail bin Ishak, Rasulullah s.a.w.
bersabda: Belum terjadi kiamat sebelum Isa bin Maryam berjalan di udara untuk
mengerjakan haji dan umrah, atau sehinga Allah s.w.t. menghimpunkan haji dan
umrah dan menjadikan Ashabul Kahfi sahabatnya. Nabi Isa dan kelompok Ashabul
Kahfi akan berjalan untuk mengerjakan haji kerana mereka selama ini belum mati
dan belum pernah mengerjakan haji.
Sebelum ini sudah diterangkan riwayat dari Abu Hurairah
yang mengatakan bahawa Nabi Isa a.s akan memimpin dunia nanti selama 40 tahun.
Namun demikian disebutkan dalam sahih Muslim, dari Abdullah bin Amr bahawa Nabi
Isa akan berada di dunia selama 7 tahun. Pendapat yang lebih kuat ialah yang
mengatakan 40 tahun.
Menurut Ibnu Katsir kedua-dua pendapat itu sama-sama
benar. Maksudnya kata beliau Nabi Isa diangkat ke langit pada usia 33 tahun,
kemudian turun nanti ke dunia selamaa 7 tahun lagi, yakni sebelum beliau
diwafatkan Allah s.w.t. Setelah tujuh tahun memimpin dunia, Nabi Isa wafat.
Maka umur Nabi Isa secara keseluruhannya 40 tahun. Wallahu A’lam.
Menurut Ibnu Katsir, sesuai dengan yang termaktub dalam
hadis sahih, Yakjuj dan Makjuj akan keluar pada zaman Nabi Isa. Kemudian Allah
s.w.t. memusnahkannya berkat doa Nabi Isa pada satu malam. Ada juga disebutkan
dalam hadis bahawa Nabi Isa akan mengerjakan haji setelah turun nanti. Muhammad
bin Ka’ab Al-Quraiziy berkata, Ashabul Kahfi akan menjadi sahabat Nabi Isa
nanti dan mereka akan sama-sama mengerjakan haji. Katanya Nabi Isa akan wafat
di Madinah. Beliau akan disembahyangkan oleh kaum muslimin dan dimakamkan
berdekatan dengan makam Rasulullah s.a.w.
Menurut riwayat, Isa bin Maryam akan dimakamkan
bersebelahan dengan kuburan Nabi Muhammad s.a.w., kuburan Abu Bakar dan Umar.
Bererti kuburan Nabi Isa merupakan kuburan yang keempat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan