Khamis, 17 Oktober 2013

Siti Fatimah Az Zahra

SMAHADZIR


LAHIRNYA Siti Fatimah Az Zahra r.a merupakan rahmat yang telah dilimpahkan Ilahi kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ia telah menjadi wadah suatu keturunan yang suci. Ia laksana benih yang akan menumbuhkan pohon besar penyambung keturunan Rasulullah s.a.w. Ia satu-satunya yang menjadi sumber keturunan paling mulia yang dikenali umat Islam di seluruh dunia. Siti Fatimah Az Zahra r.a dilahirkan di Makkah, pada hari Jumaat, 20 Jamadil Akhir, lebih kurang lima tahun sebelum Rasulullah s.a.w. di angkat menjadi Rasul.

Siti Fatimah Az Zahra r.a membesar di bawah naungan wahyu Ilahi, di tengah kancah pertarungan sengit antara Islam dan jahiliyah, di kala sedang hebatnya perjuangan para perintis iman melawan penyembah berhala.

Ketika masih kanak-kanak, Siti Fatimah Az Zahra r.a sudah mengalami penderitaan, merasakan kehausan dan kelaparan. Dia berkenalan dengan pahit getirnya perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Lebih dari tiga tahun, dia bersama ayah bondanya hidup menderita dibuang daerah akibat pemboikotan orang-orang kafir Quraisy terhadap keluarga Bani Hasyim.

Setelah bebas penderitaan setelah 3 tahun diboikot, datang pula ujian berat atas diri Siti Fatimah Az Zahra r.a, apabila wafatnya bonda tercinta, Siti Khadijah r.a. Perasaan sedih selalu sahaja menyelubingi hidup sehari-harinya dengan putusnya sumber kecintaan dan kasih sayang ibu.

Rasulullah s.a.w. sangat mencintai puterinya ini. Siti Fatimah Az Zahra r.a adalah puteri bongsu yang paling disayang dan dikasihani junjungan kita Rasulullah s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w. merasa tidak ada seorang pun di dunia, yang paling berkenan di hati baginda dan yang paling dekat di sisinya selain puteri bongsunya itu.

Demikian besar rasa cinta Rasulullah s.a.w. kepada puteri bongsunya itu dibuktikan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Menurut Hadis tersebut, Rasulullah s.a.w. berkata kepada Saiyidina Ali r.a demikian: “Wahai Ali, sesungguhnya Fatimah adalah bahagian dari aku. Dia adalah cahaya mataku dan buah hatiku. Barang siapa menyusahkan dia, ia menyusahkan aku, dan siapa yang menyenangkan dia, ia menyenangkan aku.”

Penyataan baginda itu bukan sekadar cetusan emosi, melainkan suatu penegasan bagi umatnya, bahawa puteri baginda itu merupakan lambang keagungan peribadi yang ditinggalkan di tengah umatnya.

Ketika masih kanak-kanak, Siti Fatimah Az Zahra r.a menyaksikan sendiri ujian-uijian getir yang dialami oleh ayah bondanya, baik berupa gangguan-gangguan, mahupun penganiayaan-penganiayaan yang dilakukan orang-orang kafir Quraisy. Siti Fatimah hidup di udara Makkah yang penuh dengan debu perlawanan orang-orang kafir terhadap keluarga Nubuwah, keluarga yang menjadi pusat iman, hidayah dan keutamaan.

Dia menyaksikan keteguhan dan ketegasan orang-orang mukmin dalam perjuangan gagah berani menghadapi komplot-komplot Quraisy. Suasana perjuangan itu membekas sedalam-dalamnya pada jiwa Siti Fatimah Az Zahra r.a dan memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadinya, serta mempersiapkan kekuatan rohaniah bagi menghadapi kesukaran-kesukaran di masa depan.

Setelah ibunya wafat, Siti Fatimah Az Zahra r.a hidup bersama ayahandanya. Satu-satunya orang yang paling dicintai. Dialah yang meringankan penderitaan Rasulullah s.a.w. ketika ditinggal wafat isteri baginda, Siti Khadijah. Pada suatu hari Siti Fatimah Az Zahra r.a menyaksikan ayahnya pulang dengan kepala dan tubuh penuh pasir, yang baru saja dilemparkan oleh orang-orang Quraisy, sewaktu ayahandanya sedang sujud. Dengan hati remuk-redam laksana disayat sembilu, Siti Fatimah r.a segera membersihkan kepala dan tubuh ayahandanya. Kemudian diambilnya air untuk mencucinya. Dia menangis tersedu-sedu menyaksikan kekejaman orang-orang Quraisy terhadap ayahnya.

Kesedihan hati puterinya itu dirasakan benar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Untuk menguatkan hati puterinya dan meringankan rasa sedihnya, maka Nabi Muhammad s.a.w. sambil membelai-belai kepala puteri bongsunya itu, berkata, “Jangan menangis, Allah s.w.t. melindungi ayahmu dan akan memenangkannya dari musuh-musuh agama dan risalah-Nya.”

Dengan tutur kata penuh semangat itu, Rasulullah s.a.w. menanamkan daya juang yang tinggi ke dalam jiwa Siti Fatimah r.a dan sekaligus mengisinya dengan kesabaran, ketabahan serta kepercayaan bahawa Islam akan menang. Meskipun orang-orang sesat dan derhaka seperti kafir Quraisy itu sentiasa mengganggu dan melakukan penganiayaan-penganiayaan, namun Nabi Muhammad s.a.w. tetap melaksanakan tugas risalahnya.

Pada ketika lain, Siti Fatimah r.a menyaksikan ayahandanya pulang dengan tubuh penuh dengan kotoran kulit janin unta yang baru dilahirkan. Yang melemparkan kotoran atau najis ke punggung Rasulullah s.a.w. itu adalah Uqbah bin Mu’aith, Ubay bin Khalaf dan Umayyah bin Khalaf. Melihat ayahandanya berlumuran najis, Siti Fatimah r.a segera membersihkannya dengan air sambil menangis.

Nabi Muhammad rupa-rupanya menganggap perbuatan ketiga kafir Quraisy itu sudah keterlaluan. Kerana itulah maka pada waktu itu baginda memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t.: “Ya Allah, celakakanlah orang-orang Quraisy itu. Ya Allah, binasakanlah Uqbah bin Mu’aith, Ya Allah binasakanlah Ubay bin Khalaf dan Umayyah bin Khalaf.”

Masih banyak lagi pelajaran yang diperolehi Siti Fatimah dari penderitaan ayahandanya dalam perjuangan menegakkan kebenaran Allah s.w.t. Semuanya itu menjadi bekal hidup baginya untuk menghadapi masa mendatang yang berat dan penuh ujian. Kehidupan yang serba berat dan keras di kemudian hari memang memerlukan kekuatan jiwa dan mental.

Tepat pada saat orang-orang Quraisy selesai mempersiapkan komplot untuk membunuh Rasulullah s.a.w., Madinah telah siap menerima kedatangan baginda. Nabi Muhammad meninggalkan kota Makkah secara diam-diam di tengah kegelapan malam. Baginda bersama Abu Bakar As Siddiq meninggalkan kampung halaman, keluarga tercinta dan sanak saudara. Baginda berhijrah sepertimana dahulu pernah juga dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Musa a.s.

Di antara orang-orang yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. termasuk puteri kesayangan baginda, Siti Fatimah r.a dan putera bapa saudara baginda yang diasuh dengan kasih sayang sejak kecil, iaitu Saiyidina Ali r.a yang selama ini menjadi pembantu yang paling dipercayai oleh baginda.

Saiyidina Ali r.a sengaja ditinggalkan oleh Nabi Muhammad untuk melaksanakan tugas khas, iaitu berbaring di tempat tidur baginda untuk mengaburi mata orang-orang Quraisy yang bersedia hendak membunuh baginda.sebelum Saiyidina Ali r.a melaksanakan tugas tersebut, ia dipesan oleh Nabi Muhammad s.a.w. agar barang-barang amanah yang ada pada baginda dikembalikan kepada pemiliknya masing-masing. Setelah itu bersama semua anggota keluarga, Rasulullah s.a.w. segera menyusul berhijrah.

Saiyidina Ali r.a membeli seekor unta untuk kenderaan bagi wanita yang akan berangkat hijrah bersama-sama. Rombongan hijrah yang menyusul perjalanan Rasulullah s.a.w. terdiri dari keluarga Bani Hasyim dan dipimpin sendiri oleh Saiyidina Ali r.a. Di dalam rombongan Saiyidina Ali r.a ini termasuk Siti Fatimah r.a, Fatimah binti Asad bin Hasyim (ibu Saiyidina Ali r.a), Fatimah binti Zubair bin Abdul Mutalib dan Fatimah binti Hamzah bin Abdul Mutalib. Aiman dan Abu Waqid Al-Laitsiy ikut bergabung dalam rombongan.

Rombongan Saiyidina Ali r.a berangkat dalam keadaan terburu-buru. Perjalanan ini tidak dilakukan secara diam-diam. Abu Waqid berjalan cepat-cepat menuntun unta yang ditunggang oleh kaum wanita, agar jangan dikejar oleh orang-orang Quraisy. Mengetahui hal itu, Saiyidina Ali r.a segera memperingatkan Abu Waqid, supaya berjalan perlahan-lahan, kerana semua penumpangnya adalah wanita. Rombongan berjalan melalui padang pasir di bawah sengatan terik matahari.

Di Dhajnan, rombongan Saiyidina Ali r.a beristirehat semalam. Ketika itu tiba pula Ummu Aiman (ibu Aiman). Ia menyusul anaknya yang telah berangkat lebih dahulu bersama Saiyidina Ali r.a. Bersama Ummu Aiman turut pula sejumlah orang muslimin yang berangkat hijrah. Waktu itu masing-masing sungguh sangat rindu ingin segera bertemu dengan Rasulullah s.a.w.

Waktu itu Rasulullah s.a.w. bersama Abu Bakar As Siddiq sudah tiba dekat kota Madinah. Untuk beberapa waktu, baginda tinggal di Quba. Baginda menanti kedatangan rombongan Saiyidina Ali r.a. Rasulullah s.a.w. memberitahu Abu Bakar As Siddiq bahawa baginda tidak akan memasuki kota Madinah, sebelum putera bapa saudaranya dan puterinya sendiri datang.

Selama dalam perjalanan itu, Saiyidina Ali r.a tidak berkenderaan sama sekali. Ia berjalan kaki menempuh jarak 450 km sehingga kakinya pecah-pecah dan membengkak. Akhirnya tibalah semua anggota rombongan dengan selamat di Quba. Betapa gembiranya Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan orang-orang yang disayanginya itu.

Ketika Nabi Muhammad s.a.w. melihat Saiyidina Ali r.a tidak dapat berjalan kaki kerana kakinya membengkak, baginda merangkul dan memeluknya sambil menangis kerana sangat terharu. Baginda kemudian meludah di atas tapak tangan lalu diusapkan pada kaki Saiyidina Ali r.a. Dikatakan sejak itu sehinggalah wafatnya, Saiyidina Ali r.a tidak pernah mengeluh kerana sakit kaki.

Peristiwa yang sangat mengharukan itu sangat memberi kesan dalam hati Rasulullah s.a.w. dan tidak dilupakan selama-lamanya. Berhubung dengan peristiwa itu, turunlah wahyu Ilahi yang memberi penilaian tinggi kepada kaum Muhajirin, seperti terdapat dalam surah Ali Imran ayat 195.

Ijab Kabul Pernikahan

Siti Fatimah Az Zahra r.a mencapai puncak keremajaan dan kecantikannya ketika Islam dibawa Nabi Muhammad s.a.w. sudah maju dengan pesat di Madinah dan sekitarnya. Ketika itu Siti Fatimah Az Zahra r.a benar-benar telah menjadi anak gadis remaja.

Keelokan parasnya banyak menarik perhatian. Tidak sedikit pemuda terhormat yang menaruh harapan ingin mempersuntingkan puteri Rasulullah s.a.w. itu. Beberapa orang terkemuka dari kaum Muhajirin dan Ansar telah berusaha melamarnya. Menangani lamaran itu, Nabi Muhammad s.a.w. menyatakan bahawa baginda sedang menanti datangnya petunjuk dari Allah s.w.t. mengenai puterinya itu.

Pada suatu hari Abu Bakar As Siddiq r.a, Umar Ibnul Khattab r.a dan Saad bin Muaz bersama-sama Rasulullah s.a.w. duduk dalam masjid baginda. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasulullah s.a.w. Ketika itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As Siddiq r.a, “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Thalib?”

Abu Bakar As Siddiq r.a menyatakan kesediaannya. Ia berangkat untuk menghubungi Saiyidina Ali r.a.sewaktu Saiyidina Ali r.a melihat datangnya Abu Bakar As Siddiq r.a dengan tergopoh-gopoh, ia menyambutnya dengan terperanjat kemudian bertanya, “Anda datang membawa berita apa?”

Setelah duduk rehat sejenak, Abu Bakar As Siddiq r.a segera memperjelaskan persoalannya, “Wahai Ali, engkau adalah orang pertama yang beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya serta mempunyai lebih keutamaan dibandingkan dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian juga engkau adalah kerabat Rasulullah s.a.w. s.a.w. Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk dapat mempersuntingkan puteri baginda.

Lamaran itu semuanya baginda tolak. Baginda menyatakan, bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah s.w.t. Akan tetapi, wahai Ali, apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri baginda itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah s.w.t. dan Rasul-Nya akan menahan puteri itu untukmu.”

Mendengar perkataan Abu Bakar r.a itu, mata Saiyidina Ali r.a. berlinang-linang. Menanggapi kata-kata itu, Saiyidina Ali r.a. berkata, “Wahai Abu Bakar, anda telah membuat hatiku goncang yang sebelumnya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah, aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”

Abu Bakar r.a terharu mendengar jawapan Saiyidina Ali yang menyentuh perasaan itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Saiyidina Ali r.a, Abu Bakar berkata, “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!”

Setelah berlangsung dialog seterusnya, Abu Bakar r.a berjaya mendorong keberanian Saiyidina Ali r.a. untuk melamar puteri Rasulullah s.a.w.

Beberapa waktu kemudian, Saiyidina Ali r.a datang menghadap Rasulullah s.a.w. yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salamah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Siapakah yang mengetuk pintu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, dan ia pun mencintai Allah s.w.t. dan Rasul-Nya!”

Jawapan Nabi Muhammad s.a.w. itu belum dapat memuaskan hati Ummu Salamah r.a. ia bertanya lagi, “Ya, tetapi siapakah dia itu?”

“Dia saudaraku, orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad s.a.w.

Tercantum dalam banyak riwayat, bahawa Ummu Salamah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Saiyidina Ali r.a kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu, sampai kakiku terhantuk-hantuk. Setelah pintu kubuka, ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu kembali ke tempatku semula. Dia masuk, kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Ia dipersilakan duduk di depan baginda. Ali bin Abi Thalib menundukkan kepala, seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.”

Rasulullah s.a.w. mendahului berkata, “Wahai Ali, nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan, akan kau peroleh dariku!”

Mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. itu, lahir keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata, “Maafkanlah aku, ya Rasulullah s.a.w. Engkau tentu ingat bahawa engkau telah mengambil aku dari bapa saudara engkau, Abu Thalib dan ibu saudara engkau, Fatimah binti Asad, ketika aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. Sesungguhnya Allah telah memberi hidayah kepadaku melalui engkau juga. Dan engkau, ya Rasulullah s.a.w., adalah tempat aku bernaung dan engkau jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat. Setelah Allah s.w.t. membesarkan aku dan sekarang menjadi dewasa, aku ingin berumah tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri engkau, Fatimah. Ya Rasulullah s.a.w., apakah engkau berkenan menyetujui untuk menikahkan diriku dengannya?”

Ummu Salamah meneruskan kisahnya, “Ketika itu kulihat wajah Rasulullah s.a.w. nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Talib, “Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”

“Demi Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri mengetahui bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”

“Tentang pedangmu itu,” kata Rasulullah s.a.w. menanggapi jawapan Ali bin Abi Talib, Demikianlah riwayat yang diceritakan Ummu Salamah r.a.

Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan hati gembira, dengan disaksikan oleh para sahabat, Rasulullah s.a.w. mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “BahawasanYa Allah memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kahwin 400 dirham (nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”

“Ya, Rasulullah s.a.w., itu kuterima dengan baik,” jawab Ali bin Abi Tali r.a dalam pernikahan itu.

Demikianlah berlakunya pernikahan antara dua orang yang sangat dicintai oelh Rasulullah s.a.w. yakni puterinya, Siti Fatimah dan sahabat yang jua merupakan sepupu baginda yakni Saiyidina Ali. Rasulullah s.a.w. mendoakan keberkahan atas perkahwinan itu.

Sejarah menyaksikan bahawa Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. adalah seorang wanita mulia yang menempuh berbagai ujian yang memerlukan pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya. Walaupun beliau adalah puteri Rasulullah s.a.w., namun hidupnya bukannya disaluti kemewahan dan kesenangan, tetapi kemiskinan dan kesusahan. Apabila berkahwin dengan Saidina Ali, kehidupannya tetap susah.

Walaupun Rasulullah s.a.w. pemilik kepada seluruh kekayaan di muka bumi tetapi baginda tidak pernah mendidik anaknya dengan kemewahan.

Sewaktu menjadi isteri Saiyidina Ali, Siti Fatimah menguruskan sendiri keperluan rumahtangganya.Saiyidina Ali sering tiada kerana keluar berjuang bersama Rasulullah s.a.w. Setiap hari, Siti Fatimah mengangkut air dari sebuah perigi yang jauhnya dua batu dari rumahnya. Beliau mengisar tepung untuk keperluan makanan keluarganya.

Dalam serba susah dan miskin, beliau tetap ingin bersedekah walaupun hanya dengan sebelah biji kurma. Siti Fatimah tidak pernah mengeluh atau menyalahkan suaminya terhadap kesusahan yang terpaksa dihadapinya. Bahkan dikatakan bahawa seluruh kesusahan wanita di dunia ini telah ditanggung oleh beliau sehingga beliau tidak perlu dipologamikan. Wanita mulia ini sangat pemalu dan sangat menjaga maruah dirinya.

Sewaktu Rasulullah s.a.w. hampir wafat, dia menemani ayahnda kesayangannya itu. Ketika itu Rasulullah s.a.w. telah berbisik ke telinga kanannya. Rasulullah s.a.w. memberitahu Siti Fatimah bahawa sudah sampai masanya untuk baginda mengadap Tuhan. Siti Fatimah sungguh sedih kerana akan berpisah dengan ayah yang sangat dikasihinya.

Kemudian baginda berbisik ke telinga kirinya pula.siti Fatimah tersenyum gembira. Rupa-rupanya, Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa Siti Fatimah adalah orang yang pertama yang akan menyusuli baginda. Siti Fatimah meninggal pada usia 28 tahun, lebih kurang lima bulan selepas wafatnya Rasulullah s.a.w. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA