SMAHADZIR
MERASAKAN diri hina itu satu sifat yang mulia. Ia satu
dari sifat kehambaan. Ia timbul dari merasakan bahawa Tuhan itu Maha Mulia.
Merasakan Tuhan itu Maha Mulia ialah satu dari rasa-rasa bertuhan. Sebaik
sahaja kita dapat merasakan Allah s.w.t. itu Maha Mulia, maka dengan secara
spontan kita akan merasakan bahawa diri kita itu terlalu hina di sisi-Nya.
Lawannya ialah rasa diri mulia. Ini satu sifat yang
tercela. Rasa diri mulia bukan satu sifat kehambaan tetapi ia lahir dari sifat
ketuanan yang bersarang di hati kita. Kita rasa kita tuan. Kita rasa kita
lebihdari orang lain. Rasa diri tuan itu syirik khafi (syirik tersembunyi)
hukumnya. Kita sudah hampir hendak menyamakan kedudukan dan taraf kita dengan
Tuhan. Kita hendak pakai apa yang menjadi pakaian Tuhan. Ia tumbuh dari sifat
kibir, ego, angkuh dan sombong.
Sifat kikir, ego, angkuh atau sombong ini, semua orang
ada. Hanya ada yang kuat mengawalnya dan ada yang lemah mengawalnya. Kibir atau
ego ini ibarat harimau yang sedang tidur. Bagi orang yang kuat mengawalnya,
kalau dicabar, harimau itu akan terjaga tetapi ia tidak menerkam dan tidak
membaham mangsanya. Tetapi bagi orang yang lemah mengawalnya, kalau dicabar,
akan marah dan akan bertindak terhadap orang yang mencabarnya.
Lebih hina kita rasakan diri kita di sisi Tuhan, maka
lebih tajam dan lebih mendalamlah sifat kehambaan kita dan lebih tinggilah
darjat kita di sisi Tuhan. Sebaliknya, lebih mulia kita rasakan diri kita, maka
rosaklah sifat kehambaan kita dan hinalah kita di sisi Tuhan.
Hina diri itu ialah amalan hati. Tidak payah
disebut-sebut dan tidak payah ditunjuk-tunjuk. Kalau disebut-sebut, takut-takut
ianya bukan datang dari hati. Ini sumah namanya. Kalau ditunjuk-tunjuk dan ia
bukan datang dari hati, maka ini riyak pula namanya.
Di dalam kita menghina diri, tidak payah kita tunjuk
kotor seperti menyapu kotoran atau najis ke tubuh badan kita contohnya. Ini
sudah jatuh haram. Ramai orang tunjuk kotor seperti peminta sedekah dan kaki
dadah tetapi hati-hati mereka penuh dengan ego dan keangkuhan. Mudah sahaja
mereka ini menipu manusia dan berbuat maksiat kepada Tuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan