SMAHADZIR
DI DALAM kitab Al-Multaqith diceritakan, bahawa
sebahagian bangsa Alawiyah ada yang bermukim di daerah Balkha. Ada sebuah
keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dengan beberapa anak wanita
mereka. Keadaan keluarga tersebut serba kekurangan.
Ketika suaminya meninggal dunia, isteri beserta anak-anak
wanitanya meninggalkan kampung halamannya pergi ke Samarkand untuk menghindari
ejekan orang ramai di sekitarnya. Kejadian tersebut berlaku pada musim sejuk.
Saat mereka telah memasuki kota, si ibu mengajak
anak-anaknya singgah di masjid, sementara dirinya pergi untuk mencari sesuap
nasi. Di tengah perjalanan si ibu berjumpa dengan dua kelompok orang, yang satu
dipimpin oleh seorang Muslim yang merupakan tokoh di kampung itu sendiri, sedang
kelompok satunya lagi dipimpin oleh seorang Majusi, pemimpin kampung itu.
Si ibu tersebut lalu menghampiri tokoh tersebut dan
menjelaskan mengenai dirinya serta berkata, “Aku mohon agar tuan berkenan
memberiku makanan untuk keperluan malam ini!”
“Tunjukkan bukti-bukti bahawa dirimu benar-benar bangsa
Alawiyah,” kata tokoh orang Muslim di kampung itu.
“Di kampung tidak ada orang yang mengenaliku,” kata ibu
tersebut.
Sang tokoh itu pun akhirnya tidak
menghiraukannya.seterusnya dia hendak memohon kepada si Majusi, pemimpin
kampung tersebut. Setelah menjelaskan tentang dirinya dengan tokoh kampung,
lelaki Majusi lalu memerintahkan kepada salah seorang anggota keluarganya untuk
datang ke masjid bersama si ibu itu, akhirnya dibawalah seluruh keluarga janda
tersebut untuk tinggal di rumah Majusi yang memberinya pula pelbagai perhiasan
serba indah.
Sementara tokoh masyarakat yang beragama Islam itu
bermimpi seakan-akan hari Kiamat telah tiba dan panji kebenaran berada di atas
kepala Rasulullah s.a.w. Dia pun sempat menyaksikan sebuah istana tersusun dari
zamrud berwarna hijau. Kepada Rasulullah s.a.w. dia lalu bertanya, “Wahai
Rasululah! Milik siapa istana ini?”
“Milik seorang Muslim yang mengesakan Allah s.w.t.,”
jawab baginda.
“Wahai Rasulullah s.a.w., aku pun seorang Muslim,”
jawabnya.
“Cuba tunjukkan kepadaku bahawa dirimu benar-benar
seorang Muslim yang mengesakan Allah s.w.t.,” sabda Rasulullah s.a.w.
kepadanya.
Tokoh di kampung itu pun bingung atas pertanyaan baginda,
dan kepadanya Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda lagi, “Sewaktu wanita
Alawiyah datang kepadamu, bukankah kamu berkata kepadanya, “Tunjukkan mengenai
dirimu kepadaku!” Kerananya, demikian juga yang harus kamu lakukan, iaitu
tunjukkan dahulu mengenai bukti diri sebagai seorang Muslim kepadaku!”
Sesaat kemudian lelaki muslim itu terjaga dari tidurnya
dan air matanya pun jatuh berderai, lalu dia memukuli mukanya sendiri. Dia
berkeliling kota untuk mencari wanita Alawiyah yang pernah memohon pertolongan
kepadanya, hingga dia mengetahui di mana kini wanita tersebut berada.
Lelaki Muslim itu segera berangkat ke rumah orang Majusi
yang telah menampung wanita Alawiyah beserta anak-anaknya.
“Di mana wanita Alawiyah itu?’ tanya lelaki Muslim kepada
orang Majusi.
“Ada padaku,” jawab si Majusi.
“Aku sekarang menghendakinya,” ujar lelaki Muslim itu.
“Tidak semudah itu,” jawab lelaki Majusi.
“Ambillah wang seribu dinar dariku dan kemudian serahkan
mereka padaku,” desak lelaki Muslim.
“Aku tidak akan melepaskannya. Mereka telah tinggal di
rumahku dan dari mereka aku telah mendapatkan berkatnya,” jawab lelaki Majusi
itu.
“Tidak boleh, engkau harus menyerahkannya,” ujar lelaki
Muslim itu seolah-olah mengugut.
Maka, lelaki Majusi pun menegaskan kepada tokoh Muslim
itu, “Akulah yang berhak menentukan apa yang kamu minta. Dan istana yang pernah
kamu lihat dalam mimpi itu adalah diciptakan untukku! Adakah kamu mahu
menunjukkan keislamanmu kepadaku? Demi Allah, aku dan seluruh keluargaku tidak
akan tidur sebelum kami memeluk agama Islam di hadapan wanita Alawiyah itu, dan
aku pun telah bermimpi sepertimana yang kamu mimpikan, serta Rasulullah s.a.w.
sendiri telah pula bersabda kepadaku, “Adakah wanita Alawiyah beserta anaknya
itu padamu?”
“Ya, benar,” jawabku.
“Istana itu adalah milikmu dan seluruh keluargamu. Kamu
dan semua keluargamu termasuk penduduk syurga, kerana Allah s.w.t. sejak zaman
azali dahulu telah menciptakanmu sebagai orang Mukmin,” sabda baginda kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan