SMAHADZIR
ORANG yang selalu berbangga dengan kelebihan dan
kebolehan dirinya mudah lupa diri. la akan berasa dirinya lebih daripada orang
lain. Hingga terlupa kelebihan dan kebolehannya itu tidak kekal, bahkan masih
boleh di atasi oleh orang lain.
Demikianlah yang berlaku kepada Amar bin Abdu Wud,
seorang jaguh bermain pedang di kalangan tentera berpedang pasukan kafir
Quraisy Makkah. Kehebatan, keberanian serta kelincahannya tidak ada tandingan.
Apabila berlakunya pertemuan satu lawan satu setiap kali sebelum bermulanya
peperangan, Amar akan menawarkan dirinya untuk menentang siapa sahaja.
Kali terakhir Amar tampil sebagai pahlawan pedang
terhandal ialah sebelum tercetusnya Perang Khandak. Walaupun tentera Muslimin
berkubu di kawasan strategik yang dikelilingi parit yang luas dan panjang,
tetapi akhirnya Amar berjaya juga melepasi parit tersebut. Dia menemui kawasan
parit yang agak sempit dan mampu melepasinya dengan lompatan kuda. Dalam jarak
yang tidak begitu jauh dari kelompok tentera Muslimin, Amar menjerit dengan
sombongnya mencabar pihak tentera Muslimin. Cabaran yang lantang dan penuh
kesombongan itu ingin disambut oleh Saiyidina Ali.
Beliau memohon kebenaran Rasulullah s.a.w. tetapi tidak
dibenarkan. Amar bukan sebarangan orang. Dari segi ketangkasannya serta
kematangan usia, Saiyidina Ali bukan tandingannya. Begitu pendapat Rasulullah
s.a.w.
Apabila laungannya tidak disambut, Amar terus melaung dan
melaung tiga kali. Saiyidina Ali memohon kebenaran Rasulullah s.a.w. Beliau mahu
menghapuskan kesombongan Amar.
Rasulullah s.a.w. memahami kegelisahan dan rasa hati
sepupunya itu. Memandangkan hanya Saiyidina Ali sahaja yang bersedia berdepan
dengan jaguh Quraisy yang angkuh itu, Rasulullah s.a.w. pun membenarkannya.
Baginda memakaikan serbannya di kepala Saiyidina Ali. Sepanjang perlawanan,
kehebatan Amar bin Abdu Wud memang nampak jelas. Tidak mudah untuk Saiyidina
Ali mengatasinya. Tubuhnya yang tinggi, tegap dan sasa memberi kemudahan bagi
Amar bergerak dan bertindak dengan pantas. Amar tidak langsung memberi peluang
lawannya bertindak.
Memang benar dia bukan sebarang pahlawan. Kelincahannya
berjaya mengguris bahagian tangan Saiyidina Ali. Serangan yang berterusan
memaksa Saiyidina Ali sekadar mampu bertahan.
Hinggalah pada sedikit kesempatan yang terluang, Saiyidina
Ali membuat tindakan pantas. Hayunan pedang yang kencang mengenai sasaran.
Kepala Amar terbelah menjadi dua. Dan berakhirlah hayat pahlawan berpedang
Quraisy yang angkuh dan sombong itu. Walaupun sebelum perlawanan Amar
meletakkan Saiyidina Ali setaraf dengan anak-anaknya, namun tidak bermakna yang
kecil tidak mampu mengatasi yang besar dan lebih dewasa daripadanya.
Sehebat mana pun seseorang itu, tetap masih ada yang
lebih hebat daripadanya. Dan kehebatan makhluk sangat terbatas. Kehebatan Allah
s.w.t. Yang Maha Hebat adalah mutlak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan