Isnin, 16 Ogos 2010

Syariat Islam Mengenai Cinta dan Menikah Tanpa Cinta

SMAHADZIR

CINTA seorang lelaki kepada wanita dan cinta wanita kepada lelaki adalah perasaan yang manusiawi, yang bersumber dari fitrah yang diciptakan Allah s.w.t di dalam jiwa manusia, iaitu kecenderungan kepada lawan jenisnya ketika telah mencapai kematangan pikiran dan fizikalnya.

Sebagaimana firman Allah s.w.t, yang bermaksud: ‘Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar- benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.’ (surah Ar Rum: 21)

Cinta pada dasarnya bukanlah sesuatu yang kotor, kerana kekotoran dan kesucian bergantung kepada bingkai yang memegangnya. Ada bingkai yang suci dan halal dan ada bingkai yang kotor dan haram. Cinta mengandungi segala makna kasih sayang, keharmonisan, penghargaan dan kerinduan, di samping mengandungi persediaan untuk menempuh kehidupan tatkala suka dan duka, lapang dan sempit.

Cinta Adalah Fitrah Yang Suci

Cinta bukanlah hanya sebuah ketertarikan secara fizikal saja. Ketertarikan secara fizikal hanyalah permulaan cinta bukan puncaknya. Dan sudah fitrah manusia untuk menyukai keindahan. Tetapi di samping keindahan bentuk dan rupa harus disertai dengan keindahan keperibadian dengan akhlak yang baik. Islam adalah agama fitrah lantaran itulah Islam tidaklah membelenggu perasaan manusia.

Islam tidaklah mengingkari perasaan cinta yang tumbuh pada diri seseorang manusia. Akan tetapi Islam mengajarkan pada manusia untuk memastikan perasaan cinta itu dijaga, dirawat dan dilindungi dari segala kehinaan dan apa saja yang mengotorinya.

Islam membersih dan mengarahkan perasaan cinta dan mengajarkan bahawa sebelum dilaksanakan akad nikah harus bersih dari persentuhan yang haram.

Menikah Tanpa Cinta

Adakalanya sesebuah pernikahan terjadi tanpa dilandasi oleh cinta. Mereka berpendapat bahawa cinta itu boleh menjelma selepas pernikahan. Islam memandang bahawa faktor ketertarikan merupakan faktor yang tidak boleh diabaikan begitu saja. Islam melarang seorang wali menikahkan seorang gadis tanpa persetujuannya dan menghalangnya untuk memilih lelaki yang disukainya seperti yang termuat dalam Al-Quran dan Al Hadist

Firman Allah s.w.t, yang bermaksud: ‘Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya.’ (surah Al-Baqarah: 232)

‘Dari Ibnu Abbas r. a, bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w , lalu dia memberitahu bahawa ayahnya telah menikahkannya padahal dia tidak suka, lalu Rasulullah s.a.w memberikan hak kepadanya untuk memilih.’ (hadis riwayat Abu Daud) Kerana yang menjalani sebuah pernikahan adalah kedua-dua pasangan itu bukanlah wali mereka.

Selain itu seseorang yang hendak menikah hendaklah melihat dahulu calon pasangannya seperti termuat dalam hadis: ‘Apabila salah seorang dari kamu meminang seorang wanita maka tidaklah dosa atasnya untuk melihatnya, jika melihatnya itu untuk meminang, meskipun wanita itu tidak melihatnya.’ (hadis riwayat Imam Ahmad)

Memang benar dalam beberapa kes, pasangan yang menikah tanpa didasari cinta boleh mempertahankan pernikahannya. Tetapi apakah hal ini selalu terjadi, bagaimana bila yang terjadi adalah sebuah neraka pernikahan, kedua pasangan saling membenci dan saling mencaci maki antara satu sama lain.

Sebuah pernikahan dalam Islam diharapkan dapat memayungi pasangan itu untuk menikmati kehidupan yang penuh cinta dan kasih sayang dengan mengikat diri dalam sebuah perjanjian suci yang diberikan Allah s.w.t. Lantaran itulah rasa cinta dan kasih sayang ini sudah sewajarnya merupakan hal yang harus diperhatikan sebelum kedua pasangan mengikat diri dalam pernikahan. Kerana inilah salah satu kunci kebahagiaan yang hakiki dalam mensikapi sebarang permasalahan rumah tangga nantinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA