Isnin, 16 Ogos 2010

Jauhnya Umat Daripada Islam; Salah Siapa?

SMAHADZIR

UMAT akhir zaman sememangnya hidup dalam suasana yang sangat mencabar keimanan mereka. Cabaran-cabaran keimanan ini banyak digambarkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis-hadis baginda. Ia dikumpulkan oleh sarjana-sarjana hadis dalam satu bab dipanggil bab al-Fitan

Antara hadis baginda bermaksud: ‘Bersegeralah melakukan amalan-amalan sebelum berlaku fitnah-fitnah (ujian-ujian) bagaikan potongan-potongan malam di mana seorang lelaki itu pagi dalam keadaan beriman dan petang pula dalam keadaan kufur. Berpetang dalam keadaan beriman dan berpagi pula dalam keadaan kufur. Dia menjual agamanya dengan mata benda yang sangat sedikit.’ (hadis riwayat Muslim, Kitab al-Iman, Abu dawud, Kitab al-Fitan dan Tirmizi, Kitab al-Fitan)

Perkataan ‘fitnah’ bukannya bermaksud ‘fitnah’ yang difahami oleh masyarakat Melayu iaitu ‘membuat tuduhan tidak berasas atau memburuk-burukkan seseorang’, tetapi fitnah di sini bermaksud ‘ujian-ujian’. Ujian-ujian yang berlaku pada umat akhir zaman adalah ujian yang melibatkan akidah dan keyakinan mereka terhadap Islam.

Baginda s.a.w membuat perumpamaan ujian-ujian tersebut dengan potongan-potongan malam. Malam bermula dengan tenggelam matahari. Suasana sedikit demi sedikit bertukar menjadi gelap. Ia bermaksud kekaburan demi kekaburan yang berlaku terhadap hakikat Islam yang sebenar.

Islam tidak pernah kabur. Islam sentiasa jelas. Hakikat Islam sentiasa dihuraikan oleh ulama-ulama Islam yang mewarisi tugas para Anbiya’ memberi penjelasan tentang Islam. Tetapi kekaburan berlaku dari sebelah pihak masyarakat. Ini berlaku kerana mereka semakin menjauhi Islam. Ilmu pengetahuan tentang Islam tidak dipelajari oleh mereka.

Ini berlaku kerana suasana kehidupan yang mempengaruhi mereka. Sogokan gaya hidup mewah menjadikan masyarakat berlumba-lumba membina kekayaan. Justeru, ilmu-ilmu yang menjadi alat untuk mendapat kekayaan dan kesenangan hidup lebih mendapat perhatian masyarakat.

Apatah lagi dengan kempen-kempen yang agresif yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan swasta. Mereka melakukan promosi besar-besaran mengajak masarakat menimba ilmu-ilmu yang bakal menjamin kesenangan hidup selepas alam pengajian.

Malangnya pengajian tentang Islam tidak diberikan ruang iklan seumpama ini. Tidak ada kempen besar-besaran menerusi media arus perdana. Tidak ada penaja-penaja swasta yang bersedia menawarkan biasiswa-biasiswa bagi pengajian Islam di peringkat universiti. Ini berlaku kerana keyakinan bahawa pengajian Islam tidak mempunyai nilai komersial.

Hasilnya, masyarakat semakin jauh daripada agama. Islam hanya mampu kedengaran di ruang-ruang surau dan masjid. Corong radio dan skrin televisen hanya menyediakan ruang ilmu untuk Islam dalam masa-masa yang terbatas, bagai melepaskan batuk di tangga.

Penulisan tentang Islam kurang mendapat sambutan masyarakat. Inilah hakikatnya. Umat menjauhi Islam kerana kempen keseronokan dunia yang dibuat secara agresif. Bukan kerana kelesuan ulama Islam dalam menyampaikan Islam.

Malangnya ada pula membuat tanggapan, jauhnya umat daripada Islam kerana ulama Islam tidak menjalankan tanggungjawab. Bagi saya, mereka sudah menjalankan tanggungjawab tanpa dinafikan ada segelintir yang mungkin cuai dalam melaksanakan tanggungjawab menyebarkan ilmu.

Namun, adakah ruang-ruang untuk menyebarkan Islam dibuka seluas-luasnya buat mereka? Mungkin ada kelemahan di pihak ulama Islam ini, namun, untuk meletakkan kesalahan pada ulama semata-mata di atas jauhnya umat daripada Islam dan menafikan hakikat persekitaran yang berlaku adalah amat tidak wajar dan tidak adil sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA