Isnin, 16 Ogos 2010

Merdeka Menurut Kacamata Islam

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SEBENARNYA, kemerdekaan melalui proses yang panjang dan penuh ranjau. Kita sudah sekian lama diinterpretasikan bahawa kemerdekaan dicapai tanpa pertumpahan darah tetapi melalui perundingan yang dilakukan dengan mudah. Ini menyebabkan, kita memahami bahawa ia bukan sesuatu yang melibatkan pengorbanan jauh sekali menuntut pengiktirafan. Kesannya, generasi pasca merdeka tidak memahami kesukaran yang dihadapi oleh para pejuang kemerdekaan. Malah, tidak mengetahui terdapat elemen penting yang membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

Gerakan menyedarkan orang Melayu bermula pada tahun 1906 dengan penerbitan akhbar al-Imam oleh Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Abbas Mohd Taha. Ini adalah pendekatan berkesan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu pada waktu itu. Institut madrasah turut memainkan peranan penting terutama kaum muda yang menerima pendedahan pendidikan dari Asia Barat. Bagaimanapun, proses menimbulkan kesedaran berjalan agak perlahan dan mengambil masa yang panjang. Tidak mungkin masyarakat Melayu akan merdeka sekiranya tidak ditanamkan dengan unsur kesedaran.

Bagi generasi muda yang melihat perundingan bukan satu pengorbanan, mereka sukar menghayati semangat kemerdekaan. Pada tafsiran mereka, hari kebangsaan adalah hari yang perlu diraikan dengan gembira dan berpesta. Sekiranya masyarakat memahami begitu banyak darah dan air mata yang ditumpahkan, sudah pasti penghayatan erti kemerdekaan jauh berbeza.

Bagi menghayati semangat para pejuang kemerdekaan, masyarakat perlu kembali memahami sejarah. Bangsa yang tidak dapat menghayati sejarah akan diancam kepupusan jati diri. Dalam konteks negara kita hari ini, pengajian sejarah di sekolah-sekolah perlu diperkasakan dan bukannya sebagai subjek yang membosankan. Generasi muda perlu difahamkan tentang kepentingan sejarah.

Sebagai warga negara yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, sewajarnya kita sering membelek-belek lembaran sejarah bagi mengetahui latar belakang pergerakan kemerdekaan negara, yang merangkumi motivasinya, pasang surut dan pasang naiknya perjuangan tersebut, pengorbanan para pejuang dan pahlawan dalam mencapainya, sejak bermulanya usaha ke arah itu hingga kepada pengisytiharan kemerdekaan yang dilaungkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, terus ke masa penyusunan negara hinggalah kepada pembangunan yang telah dicapai sekarang ini.

Sejarah sudah mencatatkan bahawa latar belakang kebangkitan perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu pada zaman penjajahan dahulu adalah didorong oleh dua unsur kekuatan yang saling berkaitan antara satu dengan yang lainnya, iaitu kekuatan nasionalisme dan patritotisme serta kekuatan semangat dan ajaran Islam. Sudah menjadi naluri setiap bangsa untuk mempunyai rasa kebanggaan nasional dan kehormatan bangsanya, iaitu tidak mahu bangsanya diperhamba oleh bangsa lain, tetapi ingin duduk setaraf dengan bangsa-bangsa yang ada di dunia ini. Cinta kepada tanah air termasuk sebahagian daripada ajaran Islam, sebagaimana yang sering diungkapkan para hukama: ‘Cinta kepada tanah air adalah sebahagian daripada iman.’

Manakala dorongan semangat dan ajaran Islam jelas kelihatan dalam riwayat perjuangan datuk nenek kita, mereka berjuang bukan saja kerana hendak membebaskan bangsa Melayu dari kongkongan penjajah kuffar, yang datang ke negeri ini dengan membawa bersama misi keagamaan mereka, tetapi juga adalah untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Perjuangan kemerdekaan yang dijiwai oleh semangat ajaran Islam itu dilakukan secara silih berganti daripada generasi ke generasi, yang bermuara pada tertubuhnya UMNO pada tahun 1946, sebagai sebuah organisasi besar yang menghimpun beberapa kesatuan Melayu di negara ini, semangat dan perjuangan UMNO dijiwai oleh semangat ajaran Islam.

Dipaparkan perkara ini tidak ada maksud sehujung rambut pun untuk memperkecilkan usaha perjuangan yang dilaksanakan oleh orang perseorangan atau pertubuhan-pertubuhan lain, atau perjuangan yang dilaksanakan atas dasar dorongan nasionalisme dan patriotisme, kerana nasionalisme dan patriotisme tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Adapun yang kita ingini ialah wujudnya keseimbangnan penilaian dalam sejarah, bahawa kedua-dua unsur ini pada hakikatnya adalah satu, perbezaan nama dan sebutan itu hanya disebabkan oleh perkara yang ditonjolkan dalam pergerakan tersebut. Selain itu tulisan ini juga tidak bermaksud untuk mengecilkan usaha yang dilakukan oleh kaum dan agama lain dalam perjuangan merebut kemerdekaan. Namun perlu diakui bahawa keikutsertaan mereka dalam perjuangan boleh dikatakan apabila jalan ke arah itu sudah mulai terbuka.

Setiap perjuangan yang didorong oleh semangat roh Islam, pada umumnya sentiasa mendapat pertolongan Allah s.w.t atau Nashrun Minallah, yang adakalanya pertolongan itu datang tanpa disangka-sangka dan tidak dapat dicapai oleh perhitungan manusiawi. Dari sudut ini kita melihat bahawa kemerdekaan Malaysia yang dicapai pada tanggal 31 Ogos 1957, yakni 50 tahun yang lalu adalah atas izin dan restu Yang Maha Kuasa, yang membulatkan tekad pemimpin Melayu untuk sudi berkongsi kuasa dengan kaum lain untuk menuntut hak dari pihak penjajah. Bahkan restu dan pertolongan-Nya jugalah yang akhirnya meletakkan Negeri Melayu ini setaraf dengan negara-negara merdeka lain di dunia ini.

Bertitik tolak dari alam pemikiran yang diungkapkan di atas, maka setiap Muslim bahkan seluruh rakyat Malaysia amnya, akan menyedari sepenuhnya, bahawa kemerdekaan yang dicapai oleh Malaysia adalah rahmat dan kurnia Allah Yang Maha Kuasa, dan sentiasa berharap agar kemerdekaan yang diraih dengan harta, darah dan nyawa ini diberkati-Nya sentiasa.

Kini telah 50 tahun Malaysia hidup dalam alam merdeka, dan banyak atau sedikitnya rakyat Malaysia telah merasakan betapa nikmatnya kemerdekaan itu. Terutama bagi orang-orang yang pernah merasakan betapa pahit dan getinya hidup di bawah kuasa penjajah. Kemerdekaan yang diraih oleh sesebuah negara bermakna bahawa rakyat negara tersebut telah berhak sepenuhnya untuk mengatur, menyusun, menetapkan perlembagaan, merangka undang-undang dan akta serta pemerintahan negara tersebut. Semuanya ini adalah selonggok tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan baik. Pelaksanaan tanggungjawab ini bukan hanya teletak di bahu orang yang memegang tampuk pemerintahan, tetapi ianya terletak di atas bahu semua warganegara.

Lima puluh tahun tidaklah termasuk usia yang sudah boleh dikatakan lama bagi sebuah kemerdekaan, kerana hasil perjuangan sesuatu bangsa itu adakalanya memakan masa yang panjang hingga berabad atau berkurun. Namun sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang progresif, berwawasan dan kharismatik, Malaysia sudah mampu membangun infrastruktur dan prasarana untuk kemudahan rakyat, Malaysia telah mampu meningkatkan perekonomian rakyat, dan telah mampu melahirkan cendekiawan, ilmuwan ratusan pakar dalam bidang masing-masing, bahkan Malaysia telah tampil ke permukaan, telah mampu duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan negara-negara yang lebih dahulu merdeka daripada kita.

Bahkan mahu atau tidak Malaysia telah dipandang sebagai syurga oleh orang-orang yang memerlukan pekerjaan di rantau ini. Semuanya ini adalah berkat kegigihan pemimpin dan rakyat negara ini di samping kurnia Ilahi yang tidak ada seorang jua pun boleh menafikannya, kecuali orang-orang yang tidak waras atau orang-orang yang tidak mampu melihat kebaikan yang ada ini dengan mata hati mereka.

Kemerdekaan bukanlah kebebasan yang tiada sempadan, bukanlah bermakna bahawa seseorang itu boleh melakukan sesuka hatinya tanpa mempedulikan hak dan kepentingan orang lain. Meraikan kemerdekaan bukanlah dengan menunggu countdown pukul 12 tengah malam, 31 Ogos setiap tahun yang selanjutnya diiringi dengan sorak-sorai. Menyambut ulang tahun kemerdekaan bukan dengan meningkatkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga meningkat pula gejala keruntuhan moral di kalangan generasi harapan bangsa. Memperingati Hari Ulang Tahun Kemerdekaan adalah dengan mengenang kembali jasa pejuang dan pahlawan yang telah membasahi bumi ini dengan darah dan air mata mereka. Menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan adalah dengan meningkatkan kesyukuran kepada Ilahi yang telah mengurniakan kemerdekaan itu.

Kemerdekaan yang telah dicapai ini akan semakin bermakna dan berdaya apabila rakyat negara ini bersama-sama mengisinya dengan pelbagai kegiatan yang bermanfaat sesuai dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing. Kemerdekaan yang telah diraih ini akan semakin indah apabila rakyatnya bersatu padu, menyelesaikan segala masalah yang timbul dengan mesyuarat dan perbincangan yang penuh ukhuwwah Islamiyah.

Mungkin ramai warga negara kita yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenarnya. Makna merdeka secara ringkas difahami oleh kebanyakkan rakyat Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dari cengkaman penjajah. Di dalam konteks ini, kita sedari bahawa negara Malaysia sememangnya bebas dari penjajah tetapi kita lupa bahawa sedikit demi sedikit minda kita ditarah serta dihakis dari menjiwainya. Keaslian dan ketulenan kemerdekaan serta pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin juga perwira negara dahulu dicemarkan oleh minda yang lupa asal-usulnya.

Minda yang dikatakan merdeka adalah minda yang bersih dari segala jajahan penyaluran informasi baik dari segi ikutan, budaya dan sosialnya. Kita mempunyai sejarah yang perlu diingati dan dipelajari dari masa ke semasa supaya kita tidak dijajah semula. Generasi sekarang perlu pandai menjana minda untuk menghadapi cabaran yang ada pada masa ini kerana pelbagai rasa bertentangan dengan budaya kita sedang berlaku. Profesor Diraja, Ungku Aziz masih mempertikaikan makna kemerdekaan yang belum dapat dicerap sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Malah, inilah yang menjadi keluhan seluruh kepimpinan negara, termasuklah rakyat yang memiliki daya minda berkualiti. Penilaian tentang kemerdekaan sebenarnya sangat kabur lantaran bahana imperialisme dan penjajahan dalam bentuk soft imperialism masih berlaku.

Penjajahan oleh kuasa-kuasa Barat bermula abad ke-15 dan 16 Masihi. Pedagang Eropah yang berorientasikan God, Gold, dan Glory (3G) mula mendendangkan imperialisme mereka. God membawa maksud penyebaran agama Kristian, Gold pula menghimpun kekayaan dari pelbagai ceruk dan Glory adalah kehebatan sesebuah kuasa melalui empayar jajahannya yang luas. Abad 18 dan 19 menjadi saksi pertembungan antara negara-negara penjajah meliputi British, Belanda, Perancis, Jerman, Portugal, Itali, dan sebagainya. Apatah lagi revolusi perindustrian yang berlaku pada abad ke-19 melihatkan Britain telah mengalami kemerosotan sumber bijih timah di Cornwall manakala getah merupakan bahan terpenting dalam industri automobil yang sedang berkembang.

British dengan gagasan Pax-Britannica bercita-cita besar untuk menerjah setiap inci ruang bumi. Malah, dengan idea ini, bekas tokoh pelajar Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya (PMIUM), yang kini bertugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Sastera Dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman menjelaskan bahawa British tersohor dengan ungkapan ini: The sun is never set in the British empire (matahari tidak pernah terbenam di Empayar British).

Malah, Barat yang kononnya cuba memberikan tamadun dan melakukan pencerahan di dunia sebelah Timur daripada sebarang kemunduran dan kekolotan telah melakukan propaganda yang licik. Mereka tidak henti-henti mendendangkan tugas berat mereka itu kononnya dengan istilah The White Man Burden (Beban Orang Putih). 

Di Malaysia, rakyat telah bangkit untuk menentang penjajahan. Tok Janggut di Kelantan, Mat Kilau dan Tok Gajah serta Dato’ Bahaman di Pahang, Mat Saleh di Sabah, Rentap di Sarawak, Abdul Rahman Limbong dan gurunya Tokku Paloh di Terengganu, dan sebagainya bangkit menyatukan rakyat menentang penjajahan. Penentangan berdarah ini telah memberikan satu tamparan yang hebat kepada pihak penjajah yang tidak menyangka kekuatan yang dimiliki oleh rakyat di bawah jajahan mereka. Apatah lagi satu kajian menunjukkan sebenarnya penentangan itu merupakan satu jihad yang mendapat perintah daripada Khilafah Islamiyah yang ketika itu bertapak di Turkey.

Menurut Dr. A. Hamid Majid al-Quwaisi dalam mendefinisikan gerakan: ‘Aliran sosial yang merakyat; bertolak dari kesedaran khusus terhadap Islam sebagai suatu wawasan dakwah yang bergerak untuk merealisasi ajarannya dalam bentuk negara dan sistem politik khususnya - sekurang-kurangnya dalam peringkat awal, melalui beberapa tatacara dan wahana yang sah dari perspektif Islam.’

Fathi Yakan menambah bahawa gerakan itu mestilah memiliki wawasan Islam global, komprehensif, ilmiah, dan bersifat intelektual. Gerakan juga mesti memiliki keupayaan keimanan dan pengetahuan yang tinggi, daya untuk berkembang dan berdaya maju, memiliki kualiti produktiviti yang tinggi, dan lain-lain.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan kepimpinan Tanah Melayu ketika itu telah mengambil inisiatif yang agak berlainan dengan cara pemberontakan secara terang-terangan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Mereka menggunakan jalan perundingan yang mana akhirnya telah membuka kunci kemerdekaan yang dikehendaki oleh rakyat yang menderita ketika itu.

Namun sebagaimana yang dipaparkan, berkenaan dengan perancangan-perancangan sulit musuh, maka timbullah beberapa persoalan. Antaranya ialah, kenapakah kemerdekaan diberikan melalui perundingan? Adakah ketika itu penjajah sudah mula menggeruni pejuang kemerdekaan dan untuk mengelakkan malu, mereka terus mengalah secara terhormat? Bagaimana pula dengan tujuan pendidikan yang diperkenalkan penjajah yang bertujuan to combine the diffusion of general knowledge with the promotion of Christianity. Malah, misinya bukan untuk mengkristiankan anak-anak Melayu sebaliknya rather of inculting in them the tenest of Christianity dengan harapan supaya mereka akan menganut Kristian pada masa akan datang.

Masih bolehkah kita mengganggap 31 Ogos sebagai tarikh keramat sedangkan masih ramai anak muda yang rendah daya minda, beku intelektual dan longlai gerak langkah. Barat telah melahirkan ramai sarjana yang memiliki ufuk cendekiawan dan inteligensia yang berkualiti namun kita masih lagi meraba-raba dalam gelap kejahilan. Kabus akhlak kian terhakis dan motivasi keimanan semakin tercabut dari nilai kemanusiaan. Barat meneruskan penjajahan dan imperialisme mereka sehingga ke luar angkasa.

Kemajuan mereka berkembang pantas sehingga menampakkan kebejatan dan kelemahan umat Islam. Barat meskipun tidak dinafikan kebanyakan remaja mereka tenggelam kelemasan dalam dunia hiburan namun mereka juga tenggelam dalam keasyikan mengejar ilmu. Sedangkan kita di dunia Islam pula tenggelam kelemasan dalam hiburan tetapi tidak menguasai ilmu sebagaimana Barat.

Yang paling penting sekarang ialah kita perlu memahami apakah makna sebenarnya perkataan merdeka? Negara merdeka bermakna negara telah mendapat kebebasan dari penjajahan bangsa asing dan mendapat kedaulatan atau pengiktirafan sebagai sebuah negara yang ditadbir oleh rakyat negara itu sendiri (dalam konsep sesebuah negara merdeka). Manakala dalam konsep kemanusiaan, merdeka bermaksud fikiran yang ‘bebas’ dari sebarang penjajahan luar. Tetapi sekarang adakah kita benar-benar merdeka? Inilah persoalan yang timbul pada masa globalisasi dunia kerana pengertian merdeka adalah terlalu besar yang meliputi semua aspek dalam diri seseorang dan setiap individu mempunyai persepsi sendiri berkaitan dengan maksud kemerdekaan tersebut.

Sambutan hari kebangsaan kita ini juga sering dicemari oleh perbuatan segelintir warga yang tidak bertanggungjawab. Mereka begitu sinonim dengan konsep open minded yang juga merupakan salah satu faktor kemerdekaan pada hal inilah konsep yang cuba diterapkan oleh pemikir Barat untuk menghancurkan konsep keagamaan dalam diri seseorang manusia iaitu konsep takdir. Tumpuan utama populasi konsep ini bukan sahaja kepada orang Islam malah agama lain yang juga turut mengalami permasalahan yang sama. Konsep kebebasan pemikiran ini termasuk nilai diri, penampilan, pemakaian, cara hidup dan sebagainya adalah kebebasan berfikir tanpa had dan dinilai oleh logik akal yang akan menentukan kebaikan dan keburukan. Inilah konsep sebenar open minded atau dalam bahasa Melayunya kebebasan berfikir.

Tetapi kita perlu ingat dan mengkaji bahawa konsep kemerdekaan dan open minded ini telah diambil daripada konsep Islam, dari satu peristiwa yang patut kita selami sepenuhnya iaitu ‘HIJRAH’ Rasullullah s.a.w dan para sahabat yang memperjuangkan kemerdekaan keagamaan dan perpindahan fikiran kepada dunia yang lebih luas dan terbuka. Begitu juga konsep globalisasi yang telah wujud sejak dulu lagi dan hanya dapat dilihat setelah Islam menguasai 2/3 dunia beberapa konsep ketamadunan manusia seperti konsep Islam Hadhari atau Hadharah Islamiah. Konsep ketamadunan ini termasuk keilmuan, seni bina, seni muzik dan seumpananya telah diketengahkan oleh Islam di mata dunia yang juga merupakan globalisasi pada masa itu dan tamadun lain cuba menghalang globalisasi ini dengan cara peperangan.

Kita sebagai warga yang merdeka perlu tahu bahawa kemerdekaan itu adalah untuk mendapatkan kebebasan berlandaskan Islam yang bukan kebebasan sepenuhnya. Kemerdekaan perlu dijaga dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Tiap tindakan kita ada dosa dan pahala, ada baik dan buruknya, ada halal dan haramnya, juga diberikan balasan baik di dunia mahupun akhirat dan mestilah berlandaskan ketetapan Allah s.w.t dalam Al-Quran dan diterangkan dengan Sunnah Rasullullah s.a.w. Kita juga perlu faham bahawa agama lain juga menuntut ke arah keamanan dan kebaikan dan konsep berfikiran terbuka juga perlulah berlandaskan kepada suruhan agama masing-masing.

Yang jelasnya, segelintir generasi remaja dan belia kita hari ini pada dasarnya belum benar-benar faham konsep kemerdekaan sebenar. Mereka kebanyakannya berpendapat bahawa merdeka adalah bersamaan dengan ‘kebebasan mutlak’ dalam semua aspek kehidupan. Mereka perlu ditanan dengan pemahaman bahawa ‘merdeka’ bukan sahaja bebas dari penjajahan secara fizikal oleh ‘orang luar’ malah termasuk dari aspek pemikiran, kerohanian, fahaman dan pengaruh yang lebih berbentuk subjektif. Konsep kemerdekaan perlulah difahami sepenuhnya secara keseluruhan bukan hanya mengambil sebahagiannya sahaja.

Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam kehidupan insan. Jika insan berjiwa hamba atau menghina diri sesama mereka, maka dia tidak akan lagi menjadi hamba yang sebenar kepada Allah, Tuhan segala ciptaan yang wujud. Jika insan benar-benar menjadi hamba yang penuh ikhlas akidahnya kepada Allah, maka dia akan berjaya membebaskan diri dari cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dalam erti kata lain, jika insan benar-benar tulus akidahnya, maka merdekalah dirinya dari kerendahan perasaan dan penghinaan jiwa terhadap selain Allah.

Begitulah sebaliknya. Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hingga mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar. Lihatlah apa yang berlaku kepada penganut ajaran dan blok komunis. Akhirnya Lenin dan Karl Mark menjadi Tuhan baru dalam kehidupan mereka.

Firman Allah dalam surah al-Jathiyyah ayat 23 (maksudnya): ‘Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?’

Sebab itulah, apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami. Ini bermaksud kedatangan umat Islam kepada sesuatu wilayah atau negara bertujuan memberikan kemerdekaan jiwa dari penindasan, kehinaan, kekejaman kepada satu sistem yang adil, yang berteraskan akidah yang benar.

Jika hal itu tidak berlaku, maka bererti penaklukan atau penjajahan telah dilakukan. Ini menafikan tabiat Islam yang tulen, kerana Islam bukan agama yang diutuskan untuk menjajah orang lain, sebaliknya peranan umat ini adalah membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama mereka, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua. Inilah yang ditegaskan oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: ‘Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.’ *

Misi inilah yang cuba dilaksanakan oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya. Maka apabila umat Islam menguasai dunia pada zaman tersebut mereka membina jiwa yang merdeka dan pembangunan tamadun untuk dikongsi oleh semua. Di bawah panji-panji Islam kaum Muslimin Arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keadilan untuk semua. Tanyalah orang-orang Yahudi, bilakah penulisan ilmu mereka berkembang? Tidak lain hanyalah pada zaman mereka hidup di bawah kerajaan Islam di Baghdad.
Padahal sebelum itu mereka sentiasa ditindas oleh berbagai-bagai puak dan agama. 

Namun mereka bangsa yang melupai jasa. Tanyalah kepada agama-agama lain, pernahkah mereka diburu dan dibunuh secara kejam di bawah pentadbiran yang menjadikan Islam sebagai terasnya? Malangnya, umat Islam sentiasa mempunyai pengalaman diburu dan dibunuh secara rakus di bawah sistem kuasa yang mengambil agama selain Islam sebagai pegangan. Adapun umat Islam sesama mereka, tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam, mereka berkongsi ketamadunan yang agung. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab.

Di dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam umpamanya; al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail (meninggal dunia 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (meninggal dunia 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang Arab.

Beliau berasal dari Tirmiz. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sajistan (meninggal dunia 275H) juga bukan seorang Arab. Berasal dari Sajastan. Demikian pengarang Sunan al-Nasai Ahmad bin ‘Ali bin Syu’aib al-Nasai (meninggal dunia 303H) juga bukan Arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (meninggal dunia 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (meninggal dunia 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat sama ada beliau seorang Arab atau tidak.

Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab. Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam menjadikan mereka tokoh-tokoh hadis umat, kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab. Dalam politik, Salahuddin al-Ayubi (meninggal dunia 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia berjaya menjadi sultan yang disayangi Arab dan bukan Arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.

Namun apabila umat Islam gagal menunaikan misi ini, mereka menjadi umat yang amat hina. Bayangkan, bagaimana mungkin Belanda yang kecil boleh menyeberangi lautan yang luas lalu menjajah Indonesia yang besar? Begitu juga Portugis yang datang begitu jauh dengan beberapa buah kapal mampu menjajah Melaka. Demikian tentu lebih dahsyat halnya di negara-negara Arab. Satu umat yang pernah membina tamadun gemilang akhirnya bertukar menjadi bangsa yang dijajah dan melutut hina di hadapan penjajahan. Benarlah engkau Umar ibn al-Khattab, ungkapan keramatmu ketika pembukaan Masjid al-Aqsa: ‘Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.’ **

Namun dengan kurniaan Allah, penjajah kebanyakannya telah keluar dari bumi umat Islam. Itu pun setelah mereka merampas hasilnya dan memerah keringat dan darah umat ini. Mungkin kesan ajaran Islam, menyebabkan umat ini tidak dapat menerima kelangsungan penjajahan.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa’ ayat: 75 maksudnya: ‘Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak- kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami dari ancaman musuh.’ ***

Sama ada disebabkan kesedaran agama atau politik, kebangkitan menentang penjajahan berlaku hampir di seluruh negara yang dijajah. Namun, keluarnya penjajah dari sesebuah wilayah tidaklah bererti berakhirnya penjajahan dalam segenap aspek. Bangsa yang dijajah, jika gagal menegakkan identiti murni sendiri, mereka akan sangat terkesan dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Penjajah keluar meninggalkan tanah air, namun bangsa yang lemah selalu memandang tinggi dan ingin bersama bangsa yang lebih gagah dan hebat. Atau, manusia apabila tertindas, ada yang hanya memikirkan kepentingan diri, bukan umatnya.

Maka tidak hairan jika kita melihat ramai yang sanggup menjadi talibarut bagi setiap penjajah. Merekalah yang membawa misi dan polisi penjajahan. Sebab itu jika kita berjaya mempertahan identiti diri, kita akan merdeka sekalipun bumi terjajah. Dalam sejarah Islam, bangsa Mongol yang menjajah umat Islam bertukar menjadi Muslim. Walaupun ada kekurangannya, namun ia adalah lambang tidak tumpasnya umat yang dijajah sekalipun kekuatan ketenteraan gugur dan hancur. Dalam dunia tanpa sempadan, penjajahan tidak semestinya memerlukan tentera dan peralatan perang, sebaliknya kekuatan identiti dan propaganda. Demikian pemikiran Hollywood berjaya menjajah anak-anak muda kita. Dunia ini sebenarnya dalam banyak hal terus dijajah oleh propaganda Barat melalui media, kuasa ekonomi dan ketidakmerdekaan jiwa bangsa-bangsa lain.

Justeru bagi umat Islam, membina identiti Muslim dan jiwa yang merdeka adalah amat mustahak sebagai lambang kemerdekaan. Bukan kita tidak boleh mengambil manfaat dari Barat, namun identiti Islam mesti dipelihara. Saya amat bergembira apabila Tun Ahmad Fairuz mencadangkan supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Hal ini disokong pula oleh Peguam Negara dan pimpinan kerajaan. Ini adalah perlambangan jiwa yang merdeka dan kembali kepada identiti asal. Namun hasrat itu mesti terus berkobar, bukan sekadar berita akhbar sahaja.

Kesimpulannya, makna kemerdekaan yang seperti ini perlulah sentiasa diterapkan. Sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah membiarkan generasi muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan dengan jiwa yang merdeka, sekadar mengisi acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur. Kita amat tidak dapat menerima pelaksanaan perkara-perkara agama tanpa memahami dalil dan maknanya.

Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tetapi kontang dari segi penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda sempena kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata-mata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan. Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Nota:

* Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/413.
** Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi, lihat: Al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah.
*** Kata al-Qurtubiy (meninggal dunia 671H): ‘Allah menggesa untuk berjihad bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (Muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyeksa mereka dengan seburuk-buruk seksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah s.w.t mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimah-Nya, memenangkan agama-Nya dan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang lemah.’ (al-Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279, Beirut: Dar al-Fikr).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA