Isnin, 16 Ogos 2010

Keselamatan Sosial Dan Sumber Penghidupan Manusia

SMAHADZIR

Yang dimaksudkan dengan sumber penghidupan manusia adalah apa yang menjadi sandaran kehidupan. Termasuk di dalamnya dimensi waktu dan tempat yang menjadi asas kehidupan seperti makan dan minuman, dan perkara-perkara lain yang menjadi keperluan hidup. Oleh itu, dalam Al-Quran difirmankan: ‘Dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan.’ (surah An Naba: 11). Maknanya, tempat untuk mencari penghidupan.
Dalam Al-Quran juga disebutkan: ‘Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi itu (sumber) penghidupan.’ (surah al-A’raaf: 10). kata-kata ma’asy dan ma’iisyah itu maksudnya adalah apa yang menjadi penopang kehidupan manusia. (Lisan al-Arab, dan Qamus al-Musthalahat al-Iqtishadiah fi al-Hadharah al-Islamiah).
Untuk memahami pandangan Islam tentang keselamatan manusia atas penghidupan dan keperluan-keperluan hidup, kita harus memahami dahulu pemahaman tentang pemberian kedaulatan kekhalifahan oleh Allah s.w.t. kepada manusia untuk membangunkan bumi ini. Kerana sikap Islam tentang hubungan antara manusia, kekayaan dan harta, serta hak-hak untuk mendapatkan nikmat dan kekayaan yang diciptakan oleh Allah s.w.t., yang disebarkan dalam alam ini, merupakan sikap Islam yang dibina di atas falsafah kekhalifahan dan istikhlaf ini.
Kata istikhlaf - dalam bahasa Arab - adalah bentuk mashdar. Maknanya, menjadikan khalifah (pengganti), yang menggantikan dan menjalankan peranan yang diamanahkan dalam kerangka istikhlaf tersebut. Ketika Allah s.w.t. hendak menciptakan Adam a.s., Allah s.w.t memberitahu kepada malaikat-malaikat-Nya bahawa Dia akan menjadikan Adam sebagai khalifah Allah di muka bumi. Yang bertugas untuk mengemban amanat ilmu, berusaha, menanggung beban dan tanggungjawab, serta membangunkan bumi itu.
Allah s.w.t. berfirman: ‘Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’ (surah al-Baqarah: 30).
Pemberian amanat kekhalifahan ini, yang dikehendaki oleh Allah s.w.t., kepada manusia di muka bumi, adalah ungkapan yang paling tepat dan paling sesuai untuk menjelaskan tentang kedudukan manusia dalam alam ini, tentang risalah manusia dalam kehidupan dunia, dan tentang tugas Tuhan yang dipertanggungjawabkan manusia dalam perjalanannya di muka bumi.
Seseorang yang memberikan suatu tugas perwakilan kepada orang lain untuk menjalankan sesuatu perkara, tentulah ia perlu memberikan batasan tentang tugasnya itu, batasan kuasa yang diemban, dan prinsip-prinsip utama yang harus diperhatikan sebagai batasan kebebasan dalam menjalankan tugas. Tugas kekhalifahan atau perwakilan yang diemban hanya bersifat perantara, tidak mencapai tingkat sang pemberi kuasa. Juga tidak sampai merendah hingga pada tingkatan seseorang yang tidak mempunyai kekuasaan sama sekali dalam tugasnya itu.
Dengan pengertian kekhalifahan seperti inilah Islam melihat kedudukan manusia dalam alam ini iaitu sebagai makhluk yang mengemban tugas kekhalifahan, yang mendapat kuasa untuk membangunkan bumi ini, dan yang mempunyai kehendak bebas untuk mengambil tindakan dalam batasan kekuasaannya. Kerana dengan sifat kebebasan yang beraturan itulah manusia dapat mengemban tugas membangunkan dunia ini. Namun demikian, kehendak bebas dan inisiatif itu harus tunduk kepada aturan-aturan dan batasan-batasan kekuasaan tugas kekhalifahan atau syari’ah Ilahiah yang menjadi rambu-rambu, aturan, batasan dan skop operasional tugas perwakilan dan amanah kekhalifahan tersebut.
Makna istikhlaf dan kedudukan khalifah (manusia) yang menjadi ciri falsafah pandangan Islam terhadap kedudukan manusia di alam semesta (iaitu sebagai pengemban tugas kekhalifahan dari Sang Pencipta semesta alam) adalah makna yang tidak dapat dicapai oleh falsafah-falsafah materialis dan peradaban-peradaban yang dibina di atasnya. Kerana mereka menuhankan manusia, dan menjadikan para pahlawan sebagai tuhan. Atau mereka memanusiakan Tuhan, dan berpendapat bahawa Tuhan telah merasuk dan telah berfungsi dalam diri manusia.
Orang-orang Yunani (dalam peradaban Yunani kuno) menjadikan pahlawan-pahlawan mereka sebagai tuhan. Ini adalah suatu tindakan menuhankan manusia. Dan ketika orang-orang Romawi memeluk Kristian, mereka memasukkan pemahaman paganis ini ke dalam ajaran Kristian, sebagai ganti pentauhidan terhadap Khaliq dan penyucian-Nya dari segala keserupaan terhadap alam. Mereka menuhankan Isa bin Maryam a.s. dengan alasan bahawa Lahut telah merasuk dalam Nasut (Tuhan telah berfusi dengan makhluk)! Dua sikap tadi (iaitu menuhankan manusia atau memanusiakan Tuhan) amat berbeza jauh dengan falsafah kekhalifahan anjuran Islam.
Sehingga mereka menjadikan manusia sebagai pemilik mutlak semesta, bukan sebagai pengemban amanah kekhalifahan Tuhan di muka bumi. Kesalahan dan penyelewengan terhadap falsafah kekhalifahan dan istikhlaf inilah yang menjadikan manusia peradaban materialis, baik pada era Yunani-Paganis, atau pada era Barat-Sekuler, mengumbar kebebasan kemanusiaan mereka dengan sebebas-bebasnya. Tanpa ada ikatan, batasan atau ruang lingkup yang diberikan oleh hukum dari langit. Jika falsafah kekhalifahan dan istikhlaf itu lenyap, lenyap jugalah ikatan, batasan, prinsip, serta sifat transaksasi dan pendelegasian kekhalifahan tersebut.
Inilah yang menjadikan kebebasan manusia, dengan pengertian Barat, dan selanjutnya sistem demokrasi (dalam falsafah Barat) tidak patuh, dalam masalah-masalah keduniaan, dengan batasan-batasan halal dan haram yang diberikan oleh agama, untuk membatasi kebebasan manusia dan mengatur urusan-urusan duniawi mereka.
Sebaliknya dengan penyelewangan pandangan materialis ini (melihat kedudukan manusia dalam alam) adalah falsafah-falsafah agama bumi. Seperti Nirvana, dan sebahagian aliran tasawuf-falsafi-bathini. Falsafah-falsafah ini membawa ajaran yang menafikan kebebasan dan apa pun kemampuan dari manusia. Sehingga ia melihatnya sebagai suatu makhluk yang ‘hina dan fana’, yang kebebasannya, kesuciannya dan peningkatan darjatnya hanya dapat dicapai dengan ‘peleburan diri’, dan memfanakan jiwa dalam Yang Muthlaq, atau dalam Dzat ‘Allah’!
Sikap ekstrem dalam membelenggu dan menilai rendah manusia, serta penafian kebebasannya, adalah juga suatu penyelewangan dari pandangan Islam. Yang melihat manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, yang Allah s.w.t berikan kuasa kekhalifahan kepadanya untuk membangunkan bumi ini, Allah s.w.t berikan kepadanya dasar-dasar kebebasan, kemampuan dan kreativiti, yang tidak mengeluarkannya dari lingkup tugas kekhalifahan dan duta Tuhan.
Manusia bukan tuan atau pemilik atas alam, juga bukan sesuatu makhluk hina yang fana dalam dzat lainnya. Namun ia adalah makhluk yang berada di tengah antara dua kedudukan - materialisme dan bathini - bertugas mengemban amanah kekhalifahan dari Tuhan semesta alam, yang menjadikannya sebagai penguasa dalam dunia, namun bukan penguasa dan pemilik dunia!
Allah s.w.t. menundukkan kekuatan-kekuatan alam dan kekayaan-kekayaan bumi, dengan segala kandungannya. Manusia baginya - dalam ungkapan Syaikh Muhammad Abduh (1265-1323 H, 1849-1905 M) adalah: ‘Hamba bagi Allah s.w.t. semata-mata, dan penguasa bagi segala sesuatu selain Allah s.w.t.’! Inilah pemahaman tentang istikhlaf, kekhilafahan dan kedudukan manusia dalam wujud ini.
Pandangan Islam tentang kekhalifahan dan istikhlaf - dalam aspek filosofi, lebih-lebih lagi aspek harta dan penghidupan - adalah sebahagian dari sumber-sumber keselamatan sosial manusia. Kerana kekhalifahan manusia yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. itu, bermakna adanya asosiasi dan hubungan manusia dengan kekuatan Yang Maha Agung, yang mengatur seluruh alam ini.
Dengan hubungan ini, manusia tidak berdiri seorang diri dalam menghadapi bahaya dan cabaran yang ada. Tidak seperti yang terjadi pada orang yang menyangka dirinya adalah penguasa alam ini; ia kehilangan hubungan dan asosiasinya dengan kekuatan yang mengatur seluruh alam dan yang membimbingnya dalam menghadapi sesuatu yang tidak diketahuinya, dan memberikannya pengetahuan tentang yang ghaib dan apa yang tidak dapat dicapai oleh akalnya semata.
Keimanan sang khalifah atas rambu-rambu jalan yang diletakkan oleh pemberi amanah kekhalifahan, yang ditujukan untuk menuntun perjalanan hidup dan sebagai pemeliharaan dan pembetulan-Nya terhadap ayunan langkah manusia di jalan kekhalifahan, adalah suatu asosiasi dan hubungan yang menghasilkan keselamatan. Yang tidak dimiliki oleh orang yang berpendapat bahawa perbuatan Pencipta hanya terbatas pada tahap penciptaan saja, kemudian membiarkan manusia berbuat sekehendak hatinya dalam alam ini!
Di samping keselamatan yang dihasilkan oleh insan Muslim dengan hubungan kekhalifahan dan istikhlaf, falsafah pola pandang Islam juga membuahkan sikap moderat dan pertengahan dalam bidang harta, kekayaan dan penghidupan manusia, jika dibandingkan dengan falsafah-falsafah sosial positivistik, dalam melihat hubungan manusia dengan kekayaan dan harta.
Kekayaan dan harta adalah ciptaan Allah s.w.t., yang disimpan oleh Allah s.w.t. dalam alam, dan kemudian dianugerahkan kepada manusia. Dia telah menundukkan pelbagai jenis kekuatan alam dan tenaga untuk kepentingan manusia, sang khalifah. Dengannya manusia dapat hidup lebih baik, dan membantunya untuk menjalankan amanah membina dan meramaikan bumi ini.
Sesuai dengan falsafah istikhlaf (pendelegasian kuasa kekhalifahan), pemilik yang sebenar dan pemilik langsung atas semua barang dan kekayaan di dunia ini adalah Penciptannya, Allah s.w.t., yang memberikan dan menganugerahkannya kepada manusia.
Dengan istikhlaf itu juga, terletak hubungan manusia dengan harta kekayaan, iaitu sebagai pemegang kuasa kekhalifahan. Ia mempunyai kuasa yang dibatasi oleh aturan dan batasan pemegang kekhalifahan, iaitu batasan syari’ah Ilahiah. Kekuasaan dan kepemilikan yang ia pegang adalah kepemilikan majazi, kepemilikan manfaat saja, untuk dikembang dan digunakan.
Kerana istikhlaf ini hanya diberikan kepada manusia, manusia mana pun, maka hak-hak kepemilikan atas kekayaan dan harta yang diberikan kepada manusia adalah untuk manusia seluruhnya. Atau, dalam topik kita ini, dengan kata lain adalah umat. Bukan semata-mata untuk ‘seorang individu’, juga bukan untuk ‘kelas tertentu’ dan bukan pula untuk suatu kelompok manusia tertentu sahaja.
Teori istikhlaf ini, yang mencirikan pandangan Islam moderat dalam kepemilikan dan hubungan manusia dengan kekayaan dan harta, telah memberikan pula ciri sikap khas pandangan Islam tentang siapa ‘pembawa misi kemajuan’ itu? Ia bukanlah seseorang ‘individu’, seperti Firaun atau Qarun, juga bukan suatu ‘kelas’ tertentu, kelas borjuis atau proletar.
Dalam Islam, pembawa misi itu adalah umat, masyarakat secara kolektif. Kerana Islam adalah agama bagi seluruh manusia. Dengan bertolak dari keyakinan bahawa makhluk yang diberikan kuasa kekhalifahan itu adalah manusia. Manusia telah diberikan kuasa untuk membina bumi ini, sesuai dengan firman Allah s.w.t.: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ (surah al-Baqarah: 30).
Manusia - dalam perkara ini umat - juga diberikan kuasa untuk memegang kekayaan dan harta: ‘… dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.’ (surah al-Hadiid: 7).
Dari dimensi falsafah kekhalifahan Ilahi yang diberikan kepada manusia untuk memegang kekayaan dan harta itu, Al-Quran menggunakan istilah ‘hak’ bagi orang-orang yang tidak memiliki harta, yang berada pada orang-orang yang memiliki harta: ‘dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu, bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta).’ (surah al-Ma’arij: 24-25).
Bahkan kita temui, individu jemaah atau umat ini, dalam pandangan Islam dilihat sebagai suatu individu tubuh yang satu. Yang memiliki anggota tubuh yang berjenis-jenis, dan berbeza kekuatan dan kemampuan masing-masing, serta berbeza pula keperluan anggota-anggota tubuh tersebut. Namun dengan tubuh yang bersatu, dan anggota tubuh yang saling bantu-membantu.
Ada puluhan ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan tentang individu ini, yang anggota-anggotanya saling berinteraksi dengan baik dan saling bantu-membantu. Di antaranya adalah:
1. ‘Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.’ (surah al-Anbiyaa: 92).
2. ‘Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku.’ (surah al-Mukminuun: 52).
3. ‘Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka jelas pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas asasnya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan melaksanakan amal-yang soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar.’ (surah al-Fath: 29).

Dalam penjelasan Rasulullah s.a.w. atas ajaran Al-Quran itu, baginda bersabda: ‘Perumpamaan kaum Mukminin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seperti tubuh yang satu, yang jika salah satu bahagian tubuh mengalami sakit, maka seluruh anggota tubuh akan turut tidak dapat tidur dan merasakan demam.’ (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Solidariti sosial Islam ini, yang mencerminkan suatu sistem yang membina hubungan interaksi, solidariti, tolong-menolong, dan gotong-royong dalam seluruh sektor kehidupan bagi seluruh anggota masyarakat manusia itu, berdiri di atas kaedah Islam yang general. Iaitu kaedah iradah Allah s.w.t. untuk mengadakan keseimbangan dan equilibrium di antara individu, kelas, kelompok masyarakat, dan suku-suku yang menjadi elemen bangunan masyarakat dan umat.
Sebagaimana terciptanya keseimbangan antara anggota tubuh yang satu, meskipun berbeza-beza kemampuan, kekuatan, tugas dan keperluannya, dengan kehidupan yang satu, dan kesatuan hidup bagi tubuh ini; tercipta pula keseimbangan antara individu umat, kelas dan lapisan sosialnya dengan solidariti sosial ini, yang mewujudkan kesatuan dan keseimbangan di antara elemen-elemen bangunan masyarakat Islam tersebut.
Allah s.w.t. telah memonopoli sifat keesaan. Tidak ada makhluk yang menyerupai-Nya. Seluruh apa yang selain-Nya, berdiri di atas aturan berpasang-pasangan. Oleh itu, falsafah Islam, dalam mewujudkan keadilan dan hubungan yang sihat di antara suami-isteri dan antara orang-orang yang berbeza kecenderungan, kemaslahatan, tujuan dan keperluannya, adalah dengan menciptakan keseimbangan kecenderungan, kemaslahatan, tujuan dan keperluan manusia, serta mewujudkan hubungan solidariti yang menganyam kesatuan masyarakat. Sehingga kontradiksi dan perbezaan kepentingan antara individu tidak menjadi faktor yang membawa masyarakat kepada perselisihan dan kehancuran.
Keadilan Allah s.w.t adalah ‘al-Mizan’ yang diturunkan-Nya bersama dengan al-Kitab (Al-Quran), untuk mengatur seluruh urusan kemasyarakatan. Dan di antaranya adalah urusan-urusan masyarakat manusia:
1. ‘Allah-lah yang menurunkan kitab dengan (membawa) kebenaran dan (menurunkan) neraca (keadilan). Dan tahukah kamu, boleh jadi hari kiamat itu (sudah) dekat?’ (Asy Syuuraa:17)
2. ‘Dan telah Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.’ (surah al-Hadiid: 25)

Perwujudan solidariti sosial dalam kekayaan, harta dan penghidupan adalah tanda bagi masyarakat yang mengimani keseimbangan Ilahi ini dalam hubungan manusia - sang khalifah - dengan kekayaan dan harta, yang dititipkan oleh Allah s.w.t. Oleh itu, jika kita ingin mengungkapkan dengan ringkas falsafah sosial Islam yang menciptakan keselamatan sosial bagi manusia, boleh kita katakan: Islam telah memihak kepada masyarakat (umat) dan membela kaum pekerja - dengan segala perbezaan pekerjaan dan bidangnya - dari seluruh anggota umat. Kemudian membiarkan realiti yang terus berevolusi dan berubah, untuk memilih dan membentuk ‘sistem-sistem’ yang mendekati ‘falsafah’ ini, sebagai aturan-aturan tertinggi dan ideal untuk diwujudkan dan diimplementasikan.
Kita juga boleh melihat Al-Quran, sunnah Nabi, dan eksprimen pada masa Nabi Muhammad s.a.w. dan khulafa rasyidin sebagai sumber yang jelas dan mata air yang jernih, serta suatu bentuk konkrit dan realistik tentang falsafah sosial Islam. Juga sebagai model aplikatif falsafah tersebut dalam suatu masa tertentu. Sehingga semua itu dapat dijadikan labuhan dan rujukan bagi usaha pembumian falsafah tersebut, dalam era kontemporari, untuk mewujudkan keselamatan penghidupan bagi manusia moden dan menumbuhkan sifat kebersamaan yang membawa kepada kesatuan umat, yang telah diberikan amanah untuk mengatur kekayaan dan harta.
Seluruh bumi ini, dan seluruh kekayaan yang berada di dalam perut bumi, mahupun yang berada di permukaannya, telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. untuk seluruh manusia: ‘Dan Allah telah meratakan bumi untuk makhluk (-Nya).’ (surah Ar Rahmaan: 10).
Seluruh masyarakat (jemaah) dan umat (kerana Allah s.w.t. menggunakan redaksional-plural) adalah makhluk yang mendapat mandat untuk menggunakan dan mengatur harta Allah s.w.t. itu: ‘Dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.’ (surah al-Hadiid: 7).
Allah-lah yang menciptakan harta kekayaan itu dan menganugerahkannya kepada makhluk-Nya: ‘Dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikurniakan-Nya kepadamu.’ (surah An Nuur: 33)
Sebagaimana halnya logik manusia tidak dapat menerima pemikiran kepemilikan seorang ayah atas anak-anaknya, sehingga ia dapat melakukan apa saja terhadap anak-anaknya itu, demikian juga halnya (sesuai dengan logik Al-Quran) tidak dapat diterima kepemilikan total manusia atas harta kekayaannya, sehingga ia bebas melakukan apa saja terhadap hartanya itu. Kerana harta dan anak-anak itu adalah anugerah dari Allah s.w.t.:
1. ‘Apakah mereka menyangka bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bermakna bahawa), Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.’ (surah al-Mukminuun: 55-56)
2. ‘Biarkanlah Aku bertindak terhadap orang yang Aku telah menciptakannya sendirian. Dan Aku jadikan baginya harta benda yang banyak, dan anak-anak yang selalu bersama dia.’ (surah al-Muddatstsir: 11-13).
3. ‘Kemudian Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.’ (surah al-Israa: 6).
4. ‘Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.’ (surah Nuh: 11-12).

Kemudian sunnah Nabi menjelaskan dan memperincikan lebih lanjut sikap Al-Quran itu, dan menetapkan apa hak manusia, sebagai seorang manusia, atas harta Allah s.w.t. yang telah diamanahkan kepada manusia secara umum tersebut, seperti dijelaskan dalam Al-Quran. Sunnah menjelaskan, hak manusia atas harta adalah sebatas digunakan untuk memenuhi keperluan dan kecukupannya saja, sesuai dengan ukuran tradisi dan keadaan sosial yang ada. Sambil menjaga kesederhanaan yang baik. Tidak sampai berlebihan dari keperluan dan kadar kecukupannya.
Perkara ini dijelaskan oleh sunnah Rasul, ketika baginda membezakan antara harta kekayaan secara mutlak, yang merupakan harta Allah, dan kemudian diamanahkan kepada manusia secara umum, dengan harta kekayaan yang dimiliki dan menjadi hak peribadi seseorang individu, sehingga ia boleh berkata: ‘Ini adalah hartaku!’
Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Ada orang yang berkata: ‘Hartaku-hartaku!’ Sesungguhnya bahagiannya dari hartanya itu ada tiga perkara: apa yang ia telah makan hingga habis, apa yang ia pakai hingga rosak dan apa yang ia berikan kepada orang lain hingga ia mendapatkan pahalanya.’ (Hadis diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad).
Dalam riwayat kedua hadis ini: ‘Anak Adam ada yang berkata: ‘Hartaku-hartaku!’ Bukankah bahagianmu dari hartamu hanyalah apa yang telah engkau sedekahkan, sehingga engkau mendapatkan pahalanya, atau engkau pakai hingga rosak, atau engkau makan hingga habis?’ (Hadis diriwayatkan oleh Muslim, Tirmizi dan Ahmad).
Dalam riwayat ketiga: ‘Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur.’ (surah At Takaatsur: 1-2), anak Adam ada yang berkata: Hartaku-hartaku!! Sesungguhnya yang engkau dapati dari hartamu itu hanyalah apa yang telah engkau makan hingga habis, atau engkau pakai hingga rosak, atau engkau sedekahkan hingga engkau mendapatkan pahalanya.’ (Hadis diriwayatkan oleh An-Nasai).
Rasulullah s.a.w. bersabda kepada sahabat-sahabat baginda, bahawa apa yang dinamakan dengan harta mereka itu adalah harta yang digunakan untuk memenuhi keperluan dan keperluannya, sedangkan selain itu adalah harta ahli warisnya, bukan hartanya. Dan orang yang gemar mengumpulkan harta yang berlebihan dari keperluan dan kecukupannya, adalah orang yang mencintai harta orang lain!! Kerana harta itu berlebihan dari keperluannya!! Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Ketahuilah, kamu lebih mencintai harta pewaris kamu daripada harta kamu sendiri! Hartamu adalah apa yang telah engkau pergunakan (atau sedekahkan), sedangkan harta pewarismu adalah yang engkau simpan.’ (Hadis diriwayatkan oleh An-Nasai).
Islam, ketika ia memihak, dalam masalah keselamatan sosial atas penghidupan manusia, kepada kelompok umat, dan menjadikan faktor jumlah harta yang dapat memenuhi keperluan-keperluan individu sebagai ukuran kepemilikan individu, maka, pada ketika itu, Islam bertujuan (sambil mewujudkan manfaat, iaitu manfaat kepentingan keamanaan atas penghidupan bagi semua orang) menghindari dan mencegah bahaya dan ancaman yang timbul dari penumpukan kekayaan dan harta Allah (harta dan kekayaan umat) pada segelintir orang kaya raya, yang memonopoli kepemilikan harta itu di antara mereka sendiri.
Kerana jika perkara itu terjadi, akan timbul kerosakan yang besar dalam bidang material, pemikiran, masyarakat, ekonomi, politik, dunia dan negara. Oleh kerana itu, Islam dengan tegas memberikan batasan dan mengajukan contoh, nasihat, serta pelajaran sejarah dari eksprimen manusia sepanjang sejarahnya yang panjang.
Yang terpenting, dalam pengagihan kekayaan dan harta harus diperhatikan pemenuhan keperluan-keperluan umat, selepas itu baru terjadi perbezaan dalam kepemilikan harta. Sehingga dapat dihindari situasi orang kaya menjadi semakin kaya, dan harta kekayaan hanya menjadi milik khusus kalangan kaya itu: ‘Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.’ (surah al-Hasyr: 7).
Dalam banyak surah, ayat-ayat Al-Quran menampilkan gambaran yang tidak baik, bahkan buruk, terhadap orang-orang kaya yang berlebihan dan memonopoli harta dan kekayaan. Baik mereka itu dalam masyarakat nabi-nabi, atau dalam masyarakat lainnya pada masa lalu.
Satu di antara sunnah dan undang-undang Allah s.w.t. yang tidak dapat diganti dan diubah dalam masyarakat manusia adalah sikap monopoli kekayaan dan kekuasaan hanya menjerumuskan orang yang bersikap seperti itu kepada tindakan korup dan aniaya. ‘Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana ia melihat dirinya serba cukup.’ (surah al-‘Alaq: 6-7).
Fenomena ‘Qarun sang monopoli kekayaan’ dan ‘Firaun yang zalim’ tidak lebih dari contoh bejat monopoli kekuasaan atas harta dan negara. Ketika Qarun menolak untuk menempatkan dirinya sebagai khalifah atas harta kekayaan yang diberikan Allah s.w.t. kepadanya, kemudian dia memonopoli dan bertindak aniaya kerana kepemilikannya itu, kerana menyangka dia memiliki semuanya itu semata-mata kerana usahanya, maka semua itu akhirnya membawanya kepada sikap lepas kendali dan lupa diri, yang berakhir dengan turunnya azab Tuhan berupa kebinasaan.
‘Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: ‘Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri.’ Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.’ (surah al-Qashash: 76-77).
Qarun menolak kedudukan khalifah terhadap harta dan kekayaan, dan mencampakkan faktat-faktat kesepakatan dan janji amanah kekhalifahan atas harta kekayaan itu: ‘Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri. Sementara ia menjadi orang yang aniaya dan zalim, kerana harta yang ia miliki itu. ‘Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, sehingga dunia tidak menjadi tujuan utamamu dalam penggunaan harta itu dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi… harta yang engkau miliki hanyalah ‘sebahagian’ darinya, bukan seluruhnya. ‘Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.’
Amanah kekhalifahan yang Allah s.w.t. berikan kepadamu atas harta kekayaan adalah sebagai perantara dan tugas sosial, tempat berjalannya harta kepada orang-orang yang berhak, dari sekalian khalifah yang diberikan amanah atas harta itu oleh Allah s.w.t. ‘dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi.’ Dengan kekuasaan harta. Ia adalah ujian dengan kenikmatan, yang dengannya Allah s.w.t. menguji manusia: ‘Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya).’ (surah al-Anbiyaa: 35).
Qarun jatuh dalam ujian ini. Dia tidak menjalankan transaksi dan perjanjian amanah kekhalifahan atas kekayaan dan harta tersebut. Bahkan dia menolak prinsip kekhalifahan atas harta, dan membiarkan dirinya bertindak bebas dan memonopoli harta kekayaan. Hingga: ‘Qarun berkata: ‘Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.’ (surah al-Qashash: 78).
Maka, dia pun mendapat kebinasaan, yang merupakan akhir pasti bagi orang-orang yang berlebihan dan bertindak aniaya atas harta dan kekayaan yang Allah s.w.t. amanahkan kepadanya. Baik individu atau kelompok masyarakat: ‘Dan apakah ia tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka. Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: ‘Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar.’ Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: ‘Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu kecuali oleh orang-orang yang sabar.’ Maka Kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah. dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya). Dan jadilah orang-orang yang kelmarin mencita-citakan kedudukan Qarun itu. berkata: ‘Aduhai, benarlah Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya dan menyempitkannya; kalau Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya atas kita benar-benar Dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai benarlah, tidak beruntung orang-orang yang mengingkari (nikmat Allah).’ Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.’ (surah al-Qashash: 78-83).
Kepastian dan nasib seperti itu juga yang menjadi nasib akhir orang-orang yang despotik dan zalim seperti Firaun dalam memegang kekuasaan dan kenegaraan. Firaun begitu sombong dengan kekuasaannya itu, sehingga:
1. ‘Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: ‘Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat (nya)?’ (surah Az Zukhruf: 51).
2. Ia bertindak lebih jauh lagi dalam keangkuhan kekuasaannya itu: ‘Maka Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.’ (surah Az Zukhruf: 54)
3. Ia pun memonopoli kekuasaan pendapat, politik dan keputusan: ‘Firaun berkata: ‘Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik; dan aku tiada menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar.’ (surah Ghaafir: 29)
4. Sehingga sikap angkuh, zalim dan monopoli ini membawa Firaun dan kaumnya kepada kebinasaan: ‘Kemudian Kami menghukum mereka, maka Kami tenggelamkan mereka di laut disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka adalah orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami itu.’ (surah al-A’raaf: 136).

Itu adalah sunnah Allah s.w.t. dan undang-undang-Nya dalam masyarakat manusia, baik dalam bidang harta mahupun politik. Iaitu sikap monopoli dan menindas dalam kekuasaan apa pun (harta, pentadbiran atau politik) hanya akan membawa kepada kekacauan, yang berakhir pada hancur dan binasanya bangunan masyarakat.
Al-Quran menggunakan kisah-kisah orang terdahulu untuk menegaskan bahawa sunah dan undang-undang ini selalu berlaku sepanjang masa dan tempat. Tidak ada yang mengganti dan merubahnya. Perkara itu untuk mengajar kaum Muslimin (yang merupakan umat penutup) bahawa kemuliaan mereka dengan mendapatkan syari’ah penutup tidak membuatkan mereka bebas dari aturan ketentuan dan undang-undang Allah ini: ‘(Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barangsiapa yang melaksanakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah.’ (surah An Nisaa: 123)
Orang-orang yang memegang kekayaan dan memonopoli harta, akan terseret (sepanjang catatan sejarah) kepada tindakan aniaya dan kesombongan diri. Sehingga membuatkan mereka selalu menjadi kelompok yang memusuhi rasul-rasul dan risalah langit: ‘Nuh berkata: ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menderhakaiku, dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka.’ (surah Nuuh: 21).
Para penganjur kemusyrikan di tengah kaum Nabi Syu’aib a.s. adalah orang-orang yang banyak memiliki kekayaan, dan orang-orang yang membebaskan diri dari segala ikatan untuk memilih dan memonopoli apa saja yang mereka kehendaki: ‘Mereka berkata: ‘Hai Syu’aib, apakah agamamu yang menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang kami melakukan apa yang kami kehendaki tentang harta kami.’ (surah Huud: 87).
Sebagaimana halnya tindakan memonopoli harta telah menjerumuskan Qarun menjadi orang yang sombong dan angkuh, sehingga ia membebaskan dirinya (dalam hubungannya dengan harta) dari ikatan-ikatan dan aturan kekhalifahan, dan membuatkan dia tidak puas dengan ‘bahagiannya’ dari dunia ini. Malah dia tenggelam dalam kenikmatan dunia, dan menjadi orang yang berlebihan.
Al-Quran juga telah menegaskan kepada kita, bahawa tindakan berlebihan ini, yang biasanya disebabkan oleh sikap memonopoli harta dan kekayaan, juga menjadi faktor yang membawa kepada kemunduran dan kehancuran masyarakat, dan peradaban-peradaban. Ini adalah sunah dan undang-undang Allah s.w.t. dalam tatanan sosial dan peradaban manusia. Keruntuhan dan kehancuran suatu kampung, negeri, masyarakat atau peradaban, dan lenyapnya mereka, selalu disertai dengan tindakan monopoli dan oligopoli sebahagian anggota masyarakat tersebut: ‘Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sewajarnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.’ (surah al-Israa: 16)
Di antara ulama qiraat Al-Quran ada yang membaca ammarnaa (dengan tasydid mim) maknanya ‘Kami jadikan orang-orang yang berlebihan itu, yang memonopoli kekuasaan harta, sebagai pegawai dan pemerintah.’ Maknanya, mereka akhirnya juga menjadi pemonopoli kekuasaan.
Oleh itu, orang-orang yang berlebihan, selalu menjadi musuh para Rasul, risalah-risalah langit, mereka yang membawa misi pembaharuan, pembangunan, serta keselamatan bagi masyarakat berperadaban, dalam seluruh umat dan bangsa. Bahkan sikap permusuhan mereka ini - seperti ditegaskan Al-Quran - telah menjadi undang-undang tersendiri:
1. ‘Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri seorang pemberi peringatan pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: ‘Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya.’ Dan mereka berkata: ‘Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan diazab.’ (surah Saba: 34-35)
2. ‘Dan berkatalah pemuka-pemuka yang kafir di antara kaumnya dan yang mendustakan akan menemui hari akhirat (kelak) dan yang telah Kami mewahkan mereka dalam kehidupan di dunia. (Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum. Dan sesungguhnya jika kamu sekalian mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya bila demikian, kamu benar-benar (menjadi) orang-orang yang rugi.’ (surah al-Mukminuun: 33-34).

Orang-orang yang berlebihan biasanya adalah musuh pembaharuan peradaban, pembela kebekuan sesuatu yang telah jelas rosaknya, dan taklid yang mengagungkan realiti yang zalim: ‘Dan demikianlah, Kami tidak utuskan sebelum kamu seorang pemberi peringatan pun dalam suatu negeri, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: ‘Sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak-jejak mereka.’ (surah Az Zukhruf: 23)
Ketika kemewahan penduduk sesebuah negeri menjadi penghalang untuk mencipta pembaharuan peradaban dan reformasi pembangunan, perkara itu menjadi ‘kejahatan’ bagi masyarakat manusia. Lebih-lebih lagi jika perilaku sehari-hari penduduk penuh dengan berjenis pelanggaran atas norma-norma. Kemewahan menguasai penduduk, sehingga ia menjadi suatu kekuatan yang mendorong orang-orang yang menzalimi dirinya sendiri untuk melakukan kejahatan dan mengikuti perilaku orang-orang jahat: ‘Dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa.’ (surah Huud: 116)
Bahkan di antara mereka ada yang merasa memang berhak untuk melakukan monopoli. Sehingga setelah mereka memonopoli kekayaan, mereka ingin pula memonopoli kenabian dan risalah: ‘Dan mereka berkata: ‘Mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah satu dua negeri (Mekah dan Thaif) ini (Iaitu Walid bin Mughirah - pembesar Mekah - dan Isa bin Mas’ud ats Tsaqafi - pembesar Thaif)? Apakah mereka yang membahagi-bahagi rahmat Tuhanmu?’ (surah Az Zukhruf: 31-32).
Sebagaimana halnya mereka merasa diri mereka berhak (setelah memonopoli harta kekayaan) untuk memonopoli kekuasaan (untuk melengkapi monopoli kekayaan dengan monopoli kekuasaan): ‘Nabi mereka mengatakan kepada mereka: ‘Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab: ‘Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang banyak?’ (surah al-Baqarah: 247).
Itu semua adalah perilaku orang-orang yang berlebihan, yang memonopoli harta kekayaan, sehingga mereka keluar dari koridor manhaj Islami dalam mengemban amanah harta kekayaan. Mereka membawa masyarakat mereka menuju kebinasaan, ketika mereka menempatkan ketakutan sebagai ganti keselamatan atas penghidupan manusia. Ayat-ayat Al-Quran telah menceritakan tentang perkara tersebut dan akibat yang dihasilkan oleh sikap bermewahan mereka. Yang pengaruhnya tidak hanya menimpa orang-orang yang berperilaku mewah, namun juga menimpa orang-orang yang menjilat sistem yang bermewah-mewahan, atau orang-orang yang membiarkannya tanpa berusaha merubahnya:
1. ‘Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu’ (surah al-Anfaal: 25).
2. ‘Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang zalim yang telah Kami binasakan, dan Kami adakan sesudah mereka itu kaum yang lain (sebagai penggantinya). Maka tatkala mereka merasakan azab Kami, tiba-tiba mereka melarikan diri dari negerinya. Janganlah kamu lari tergesa-gesa; kembalilah kamu kepada nikmat yang telah kamu rasakan dan kepada tempat-tempat kediamanmu (yang baik), supaya kamu ditanya. Mereka berkata: ‘Aduhai, celaka kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.’ Maka tetaplah demikian keluhan mereka, sehingga Kami jadikan mereka sebagai tanaman yang telah dituai, yang tidak dapat hidup lagi.’ (surah al-Anbiyaa: 11-15)
3. ‘Hingga apabila Kami timpakan azab, kepada orang-orang yang hidup mewah di antara mereka, dengan serta merta mereka memekik minta tolong. Janganlah kamu memekik minta tolong pada hari ini. Sesungguhnya kamu tiada akan mendapat pertolongan dari Kami. Sesungguhnya ayat-ayat-Ku (Al-Quran) selalu dibacakan kepada kamu sekalian, maka kamu selalu berpaling ke belakang, dengan menyombongkan diri terhadap Al-Quran itu dan mengucapkan perkataan-perkataan keji terhadapnya pada waktu kamu bercakap-cakap pada malam hari.’ (surah al-Mukminuun: 64-67)
4. ‘Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu. Dalam (siksaan) angin yang amat panas dan air yang panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah.’ (surah al-Waaqi’ah: 41-45)
5. ‘Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar. Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila ia telah binasa.’ (surah al-Lail: 8-11)

Orang-orang yang bermewah-mewahan itu pada akhirnya akan mengalami kehancuran dan kebinasaan. Dan kekayaannya menipu dirinya, sehingga ia menzalimi dirinya sendiri dan berkata kepada temannya: ‘Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat.’ Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; ia berkata: ‘Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku di kembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu.’ (surah al-Kahfi: 34-36)

Padahal, kekayaan mereka itu tidak akan memberikan manfaat apa-apa pada hari kiamat. Tidak pula kekuasaan yang mereka raih dengan kekayaan itu.
1. ‘Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: ‘Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini), Dan aku tidak mengetahui apa hisab terhadap diriku, wahai kiranya kematian itulah yang menyelesaikan segala sesuatu. Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. Telah hilang kekuasaanku dariku.’ (surah al-Haaqqah: 25-29).
2. ‘Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.’ (surah al-Masad: 1-3).
3. ‘Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya, sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.’ (surah al-Humazah: 1-4).

Dalam sunnah, Firaun (yang telah memonopoli kekayaan dan kekuasaan) dilukiskan sebagai seorang jabbaar mutrif, ‘diktator yang bermewah-mewahan.’ (Hadis diriwayatkan oleh Ahmad). Dan melukiskan orang-orang yang mengikuti sunnah serta moderasi Islam sebagai: ‘Orang-orang yang tidak mengikuti orang-orang yang bermewah-mewahan dalam kemewahan mereka, serta tidak pula mengikuti para pembuat bida’ah dalam kebida’ahan mereka.’ (Hadis diriwayatkan oleh Ad Darimi).
Tentang perkara itu juga terdapat keterangan Al-Quran, yang menceritakan tentang orang-orang yang memonopoli kekayaan. Yang menimbun harta melebihi dari keperluan-keperluan peribadi, sehingga tindakan mereka itu menghalangi manusia untuk mendapatkan manfaat dari amanah kekayaan yang diberikan oleh Allah kepada mereka.
Abu Dzarr al-Ghifari berkata: ‘Aku datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ketika itu baginda sedang duduk di bawah bayangan Kaabah. Ketika baginda melihatku, baginda bersabda: ‘Demi Rabb yang menguasai Kaabah, mereka adalah orang-orang yang rugi.’ Aku bertanya: Siapakah mereka, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: ‘Mereka adalah orang-orang yang memperbanyakkan (dan menimbun) harta mereka, kecuali orang yang berkata seperti ini, seperti ini dan seperti ini (di depannya, dari belakangnya, dari sisi kanannya dan dari sisi kirinya) - namun orang yang seperti itu amat sedikit.’ (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan An-Nasai)
Maksudnya, kecuali orang-orang yang memberikan nafkah kepada orang yang berada di kanannya, di kirinya, di depannya dan orang yang berada di belakangnya. Ia membahagi-bahagikan harta yang lebih dari keperluannya kepada manusia.
Sikap yang diambil oleh Islam terhadap ‘orang-orang yang memperkayakan diri’ dan ‘orang-orang yang bermewah-mewahan’, dan gambaran buruk yang dilukiskan oleh Al-Quran terhadap mereka, serta ancaman nasib buruk yang akan menimpa mereka dan masyarakat mereka, tidak bermakna Islam memuji dan memilih kefakiran, kemiskinan dan kehinaan. Juga tidak bermakna Islam melarang manusia untuk memiliki harta kekayaan dan mengumpulkannya.
Namun yang dilarang oleh Islam adalah tindakan ‘menimbun’ harta dan menumpuk-numpuk kekayaan itu, serta menghalanginya untuk dimanfaatkan oleh manusia secara umum. Dan Islam mengajak insan Muslim untuk memegang harta hanya sesuai kadar keperluan peribadinya, kemudian menginfakkan apa yang berlebih dari keperluannya itu. Dengan kadar infak yang tidak sebatas ukuran sedekah saja, seperti disangka sebahagian orang, namun juga infak yang mempergunakan kelebihan harta dari kadar keperluan peribadinya itu bagi kepentingan umat, dalam bentuk pelaburan dan apa-apa pun usaha.
Sedangkan menimbun harta dan memonopoli kekayaan, adalah dilarang oleh Islam. Status kaya yang dapat memenuhi keperluan-keperluan peribadi adalah perintah serta tujuan yang dibidik syari’at Islam, bukan sekadar ‘boleh’ saja. Untuk kemudiannya mempergunakan apa yang berlebihan dari kekayaan itu - yang telah memenuhi keperluan-keperluan peribadi - dalam bentuk usaha dan pelaburan bagi kepentingan masyarakat luas dan pembangunan, dan untuk mengangkat orang-orang miskin menjadi kelompok orang yang tercukupi keperluan-keperluan asas mereka.
Itulah makna Islami atas tindakan menginfakkan al-‘afwu (maknanya menginfakkan apa yang berlebih dari kadar keperluan-keperluan peribadi) yang dibicarakan dalam ayat Al-Quran berikut ini: ‘Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ‘Yang lebih dari keperluan.’ Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.’ (surah al-Baqarah: 219)
Maksudnya: ‘Infakanlah harta yang berlebihan dari keperluan-keperluan peribadimu, namun jangan sampai membuatkan dirimu menjadi rugi sehingga menjadi orang miskin,’ seperti diriwayatkan dalam tafsir ayat itu dari Abdullah bin Abbas, Hasan al-Bashri dan Qatadah bin Du’amah as Sadusi. (Al-Qurthubi, al-Jami li Ahkam Al-Quran, juz 3, hal. 61, cet. Dar Kutub al-Mishriah)
Sedangkan tindakan menumpuk-numpuk harta dan memonopoli kekayaan, adalah tindakan al-kanzu ‘menimbun harta’ yang dibicarakan oleh ayat Al-Quran berikut ini: ‘Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak, dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih, pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, perut dan belakang mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: ‘Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu.’ (surah At-Taubah: 34-35)
Sebagaimana tindakan menimbun harta diharam dan dilarang, kerana menahan manfaat harta dari orang lain, tidak mempergunakannya sama sekali, dan tidak pula melaburkannya, ia juga diharamkan dan dilarang jika digunakan bukan untuk fi sabilillah dan kemaslahatan umat. Seperti melaburkannya dalam sesuatu projek yang tidak memberi manfaat kepada umat. Lebih-lebih lagi jika dilaburkan dalam sesuatu projek yang merugikan dan membahayakan umat. Baik pelaburan itu dilakukan di dalam negara-negara Islam atau di luar negara Islam. Pengggunaan dan pelaburan al-‘afwu, harta yang berlebih dari keperluan peribadi itu, harus dilakukan dalam bidang fi sabilillah, atau dalam pembangunan umat yang sedang berjuang di jalan Allah.
Inilah falsafah Islam tentang harta, kekayaan dan penghidupan manusia: Allah s.w.t. adalah Pemegang Kekuasaan supervisi atas kekayaan dan harta umat adalah pemegang mandat Allah s.w.t. untuk mempergunakan kekayaan dan harta itu. Dalam harta, manusia memegang kepemilikan manfaat (kepemilikan majaz) kepemilikan fungsional dalam masyarakat, yang memberikan kepadanya kuasa untuk memegang dan memiliki kekayaan yang dapat memenuhi keperluannya dan menghindarkannya (beserta orang-orang yang berada dalam tanggungannya) dari meminta-minta kepada orang lain.

Harta Adalah Hak Bersama

Harta yang berlebihan dari keperluan, adalah ‘hak’ orang-orang yang tidak mencapai batas kecukupan keperluan-keperluan primernya. Harta itu diinfakkan kepada mereka, dengan sedekah, atau dengan melaburkannya sehingga masyarakat dapat meningkatkan darjat kehidupan, dan dapat memenuhi keperluan orang-orang yang kekurangan. Perkara itu agar umat, yang diberikan kuasa kekhalifahan atas kekayaan dan harta, menjadi seperti tubuh yang satu, yang seluruh anggota, individu, kelas, dan elemen-elemen sosialnya memiliki keselamatan atas penghidupan.
Inilah falsafah Islam dalam bidang kekayaan dan harta, yang telah dikristalisasikan oleh masyarakat dan negara Islam, pada masa kenabian dan khulafaur rasyidin, dalam ‘konsep politik,’ untuk mereka wujudkan dalam realiti kehidupan, yang menghasilkan keselamatan sosial dalam pelbagai bidang penghidupan manusia.
Sistematisasi keselamatan sosial dalam bidang penghidupan, telah dimulai oleh negara Islam, pada fasa selepas hijrah dari Mekah ke Madinah. Dimulai dengan ‘mengikat persaudaraan’, yang mencerminkan kontrak sosial realistik dan sebenarnya antara kaum Muhajirin dengan kaum Anshar. Bukan kontrak sosial ilusif, teoritis an sich, dan utopian, seperti ‘kontrak-kontrak sosial’ yang diusung oleh teori-teori pemikiran bukan Islam.
Pada awalnya, Rasulullah s.a.w. ‘mempersaudarakan’ antara kalangan Muhajirin satu sama lain. Kemudian baginda ‘mempersaudarakan’ antara mereka dengan kalangan Anshar. Kaum Muhajirin telah dipaksa oleh keadaan untuk meninggalkan kampung halaman dan harta mereka untuk menyelamatkan akidah dan keimanan dari fitnah agama yang dilakukan oleh kaum Musyrikin.
Sementara kalangan Anshar, dari suku Aus dan Khazraj, hidup di kampung halaman dan disertai harta mereka. Maka persaudaraan antara Muhajirin dan Anshar itu ‘menyatukan mereka’, dan sistem sosial yang baru itu memberikan hak bagi kalangan Muhajirin untuk turut menikmati harta kalangan Anshar, seperti halnya mereka yang berada dalam hubungan satu keluarga dan nasab. Persaudaraan ini adalah kontrak sosial yang ‘mempersatukan’ di dalamnya ‘orang-orang yang telah dipersaudarakan’ itu, dalam tiga bidang:
1. Dalam hak. Maknanya saling membela dan menolong dalam bidang rohani dan maknawi, bagi bangunan baru yang dibentuk oleh umat yang baru dan negara yang baru berdiri iaitu yang prinsip-prinsipnya digariskan oleh tuntunan Allah s.w.t. seperti dibawa oleh Al-Quran, dan penjelasan Nabi Muhammad s.a.w. bagi ajaran Al-Quran.
2. Dalam bidang solidariti. Maknanya persamaan, keseimbangan sosial (keadilan), dan kebersamaan dalam mempergunakan sumber-sumber penghidupan dari kekayaan, harta, bangunan, dan sejenisnya.
3. Dalam tindakan saling mewarisi. Seperti halnya antara kerabat dan keluarga saling mewarisi. Kerana persaudaraan itu telah menjadi ikatan nasab dan perbesanan antara kalangan yang dipersaudarakan.

Kemudian, selepas itu, Allah s.w.t. berfirman kepada Rasulullah s.a.w.: ‘Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia. Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian berhijrah dan berjihad bersamamu maka orang-orang itu termasuk golonganmu (juga). Orang-orang yang mempunyai hubungan itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang kerabat) di dalam kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.’ (surah al-Anfaal: 74-75)
Ayat ini memberikan ketentuan syari’at baru, yang menyempitkan pewarisan itu hanya antara kalangan saudara satu nasab saja. Sementara dua fakta sebelumnya tetap dipertahankan dalam kontrak persaudaraan tersebut. Persaudaraan dalam ‘hak’ dan ‘solidariti’, atau dalam dua bidang kehidupan, maknawi dan material. (Ibnu Abdil Barr, Ad Durar fi Ikhtishar al-Maghazi wa Siyar, hal. 96, tahqiq: Dr. Syauqi Dhaif, cet. Kaherah, 1966 M)

Berusaha Mengembangkan Sumber Kekayaan

Islam mendorong tenaga dan potensi berusaha manusia, untuk mengembangkan sumber-sumber kekayaan, dengan merangsang kecenderungan dalam jiwa manusia untuk memiliki, mendapatkan dan meningkatkan diri. Dan ‘konsep’ serta ‘aturannya’ adalah: ‘Siapa yang mengolah tanah yang tidak bertuan maka tanah itu menjadi haknya, dan tidak ada hak bagi orang lain untuk merampasnya.’ (Hadis diriwayatkan oleh Tirmizi dan Abu Daud) dan: ‘Demi Allah, jika salah seorang dari kamu mengambil tambangnya kemudian pergi ke gunung, dan mencari kayu bakar, kemudian menjualnya dan dengan hasilnya itu ia dapat mencukupi dirinya dari meminta kepada orang lain, itu lebih baik baginya dari pada meminta-minta kepada manusia, baik mereka memberikannya atau tidak.’ (Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ahmad)
Usaha untuk mengembangkan kekayaan adalah jalan untuk memiliki dan mendapatkan kekayaan. Islam juga mengatur batasan kepemilikan, sehingga tidak membawa kepada monopoli dan menimbun harta yang berlebihan dari kadar keperluan. ‘Siapa yang memiliki tanah maka tanamilah, dan jika ia tidak dapat menanaminya dan tidak mampu melakukannya, maka hendaknya ia berikan tanah itu kepada saudaranya yang Muslim, dan ia tidak sewakan atau gadaikan kepadanya.’ (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)
Ketika sahabat Bilal bin Harits ingin mempertahankan kepemilikannya atas tanah yang melebihi kemampuannya untuk mengurus - dan tanah itu sebelumnya telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya - perkara itu ditolak oleh khalifah kedua Umar Ibnu Khattab, dan di antara keduanya terjadi dialog di bawah ini - yang dimulai oleh Umar dengan ucapannya:
‘Engkau telah diberikan tanah yang amat luas dan lebar oleh Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. tidak pernah menolak memberikan sesuatu yang dipinta kepada baginda, sementara engkau sendiri tidak mampu mengurus apa yang engkau miliki itu! Benar! Lihatlah, seukuran tanah yang engkau mampu urus, tetaplah engkau pegang, dan yang tidak mampu engkau urus berikan kepada kami, untuk kami bahagi-bahagikan kepada kaum Muslimin yang lain.’
‘Tidak... saya tidak mahu! Tanah ini diberikan kepadaku oleh Rasulullah s.a.w,’
‘Rasulullah s.a.w. memberikan tanah itu kepada engkau tidak untuk engkau monopoli dari orang lain, namun baginda memberikannya agar engkau urus. Maka ambilah sekadar yang engkau mampu urus, dan kembalikan bakinya!’
‘Saya tidak mahu!’
‘Demi Allah, engkau harus berikan!’
Kemudian Umar merampas tanah Bilal bin Haritsah yang lebih dari kemampuannya untuk mengurus dan memanfaatkannya itu, dan selanjutnya beliau membahagi-bahagikan kepada orang-orang yang dapat mengurus dan memanfaatkannya. Selanjutnya beliau berkata di hadapan masyarakat, dan menetapkan suatu ketetapan bahawa, ‘Sesiapa yang menghidupkan dan mengolah tanah yang tidak terurus, maka tanah itu menjadi miliknya dan sesiapa yang menyia-nyiakan tanah selama tiga tahun tanpa mengolah dan memanfaatkannya, kemudian datang orang lain dan mengolahnya, maka tanah itu menjadi milik orang yang mengolahnya itu.’ (Yahya bin Adam, al-Kharaj, hal. 122-124, tahqiq: Dr. Husain Mu’nis, Kaherah, 1987 M. dan Abu Ubaid al-Qasim bin Salam, Kitab al-Amwaal, hal 382-383, tahqiq: Dr. Muhammad Imarah, Kaherah, 1989 M)

Islam Mementingkan Kepentingan Umat

Islam juga mementingkan zakat. Pembicaraan Al-Quran tentang zakat dimulai dengan menyebutnya sebagai salah satu sifat kaum Mukminin, semenjak era Mekah: ‘Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang kusyuk dalam sembahyangnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat.’ (surah al-Mukminuun: 1-4)
Dan setelah didirikan ‘negara’ Islam di Madinah, zakat menjadi satu badan bagi keselamatan sosial dalam bidang-bidang penghidupan manusia. Ia dipungut, oleh negara, dari seluruh jenis harta yang digunakan dalam pelaburan, dari dua barang berharga - emas dan perak, dari kekayaan yang disimpan - emas, batu permata dan benda berharga yang disimpan dan tidak digunakan sebagai perhiasan yang dibolehkan, dan seterusnya, dan seterusnya. Ketika kekayaan mencapai nishab - dalam kapital, tidak semata-mata dalam keuntungan - negara akan memungut zakatnya, yang jumlahnya berkisar antara 2.5%, 10%, dan 5%. (Penjelasan perkara itu terdapat dalam sunnah Nabi - dan secara khusus dalam surat-menyurat antara Rasulullah s.a.w. kepada sebahagian gabernor - kemudian perkara itu dikaji oleh kitab-kitab fiqah Islam, dengan segala mazhab. Lihat Majmu’at al-Watsaaiq as Siyasiyyah lil Ahdi An Nadawi wa al-Khilafah ar Rasyidah, hal. 111-207, tahqiq: Dr. Muhammad Hamidullah Heidrabadi, Kaherah, 1956 M)
Zakat rikaz, yang dipungut dari seluruh kekayaan, barang-barang galian, bahan-bahan dasar, dan batu bara yang terpendam di dalam tanah. Ukurannya adalah 20% dari nilai kekayaan, untuk diguna dan dilaburkan bagi usaha mewujudkan keselamatan sosial dalam bidang penghidupan manusia. Dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w. terdapat aturan zakat ‘rikaz’ ini. Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Dalam rikaz ada seperlima (zakatnya).’ (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Imam Malik - dalam kitab al-Muwaththa - dan Ahmad. Lihat: Kitab al-Amwaal, Abu Ubaid al-Qasim bin Salam, hal. 436-439).
‘Al-Hima’ (iaitu tanah, bangunan dan sumber-sumber kekayaan) yang dipilih oleh ‘negara’ (yang memegang amanah kekhalifahan dari ‘umat’) untuk digunakan bagi ‘kepentingan umum’, dan untuk mewujudkan kecukupan atas keperluan orang-orang yang memerlukan.
Semenjak zaman awal pengaplikasian Islam atas falsafah Islam dalam bidang harta dan kekayaan, ‘al-hima’ ini (yang dikhususkan untuk umat dan kepentingan umum) adalah sumber-sumber kekayaan yang tidak boleh dimiliki oleh individu, dan dimonopoli oleh beberapa gelintir orang. Dalam tafsir Abi Ubaid al-Qasim bin Salam (157-224 H, 774-837 M) atas hadis Rasulullah s.a.w.: ‘Hima hanya milik Allah dan Rasul-Nya’, dia berkata: ‘Yang dijadikan hima adalah beberapa sumber keperluan masyarakat yang ditentukan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai milik umum, iaitu air, padang gembala, dan api.’ (Ibid, hal. 386, dan hadis tentang sifat kepemilikan umum sumber air, padang rumput dan api diriwayatkan oleh Ahmad)
Salah satu tindakan untuk mewujudkan ‘kepentingan umum’, sebagai jaminan bagi pemenenuhan keperluan orang-orang yang kekurangan dan memerlukan, ‘Rasulullah s.a.w. menjadikan hima daerah An Naqi’ (iaitu sebidang tanah yang memiliki sumber mata air dan padang rumput, yang terletak sejauh dua puluh parsakh dari Madinah) bagi kuda-kuda kaum Muslimin.’
Umar Ibnu Khattab memperingatkan pegawainya agar mempertahankan hima ini (yang telah bertambah luas) bagi kepentingan orang-orang yang memerlukan, bukan bagi orang-orang kaya, dan beliau melantik Hunay untuk menjaga hina ini. Beliau (Umar) berkata kepadanya: ‘Wahai Hunay, jagalah dirimu dari manusia, dan takutlah terhadap doa orang yang dizalimi, kerana doa mereka dikabulkan, dan masukkanlah ke hima ini orang-orang yang memerlukan dari para pemilik unta dan gembala yang sedikit. Sementara cegah haiwan gembala Ibnu Affan dan haiwan gembala Ibnu ‘Auf untuk masuk ke Hima ini, kerana keduanya, jika gembala miliknya binasa sekalipun, keduanya masih dapat memanfaatkan pohon kurma dan ladangnya. Sedangkan orang-orang yang miskin ini, jika gembalanya binasa, mereka akan menjerit: ‘Wahai Amirul Mukminin, apakah padang rumput lebih ringan bagi saya, ataukah hutang emas dan perak?!’ Padang rumput itu adalah hak mereka, dan tanah-tanah ini adalah milik Allah, yang sebahagiannya dijadikan sebagai hima harta Allah, dan kemudian dijadikan sebagai perangkat dan modal untuk berjihad di jalan Allah. Semua harta kekayaan adalah milik Allah, dan sekalian manusia adalah hamba Allah. Demi Allah, seandainya haiwan-haiwan yang digembala itu tidak digunakan untuk berjihad di jalan Allah, nescaya aku tidak jadikan tanah ini sebagai hima sedikit pun, sehasta demi se hasta.’ (Ibid, hal. 389-390).
Ia adalah kekayaan yang dipilih oleh negara, dan kemudian dijadikan sebagai badan umum untuk membiayai bentuk-bentuk kepentingan umum, di jalan Allah.
Selain itu Islam juga mementingkan wakaf. Ia adalah sejumlah harta yang dipilih oleh peribadi atau beberapa orang, dari harta mereka, untuk kemudian mereka keluarkan dari kepemilikan majaz mereka, dan mereka kembalikan kepada Pemiliknya Yang sebenarnya, iaitu Allah s.w.t., untuk digunakan oleh masyarakat umum (umat) yang diberi kuasa harta, dan hasilnya digunakan untuk menjamin pemenuhan keperluan umat dan menciptakan keadilan di antara individu-individu umat.
Institusi ‘wakaf’ ini telah dimulai ‘penyusunannya’ pada masa awal sejarah negara Islam yang pertama, pada masa Rasulullah s.a.w. iaitu ketika Mukhairiq bin Nadhr (3 H-625 M) mewasiatkan agar hartanya diberikan kepada Rasulullah s.a.w. ‘untuk digunakan oleh baginda sesuai dengan yang kehendaki Allah s.w.t.’ Wakaf tersebut berbentuk tujuh bidang kebun, kemudian Rasulullah s.a.w. menjadikannya sebagai wakaf, yang harta aslinya dipertahankan, kemudian hasilnya digunakan bagi kepentingan masyarakat dan umat.
Berikutnya Umar Ibnu Khattab memilih harta yang paling berharga umum. Beliau datang kepada Rasulullah s.a.w., dan berkata: ‘Wahai Rasulullah s.a.w., aku menyiapkan hartaku yang paling berharga, untuk aku sedekahkan.’ Rasulullah s.a.w. menjawab: ‘Sedekahkanlah asasnya, dengan tidak dijual, tidak dihibahkan dan tidak pula diwariskan. Kemudian infakkankanlah buah dan hasilnya.’ (Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dalam kitab al-Muzara’ah dan al-Washaya dari Sahihnya)
Kemudian Umar menulis satu ‘dokumen’ (sebagai bukti) wakafnya itu, yang barangkali merupakan suatu dokumen institusi wakaf tertua dalam sejarah Islam. Dalam dokumen itu beliau menulis: ‘Ini adalah pernyataan yang ditulis oleh hamba Allah, Umar, tentang ‘Tsamgh - sebidang tanah di Khaibar - bahawa: ia tidak dijual-asasnya, tidak dihibahkan dan tidak pula diwariskan. Manfaatnya ditujukan untuk para fakir miskin, untuk kebaikan, untuk membebaskan hamba, untuk keperluan di jalan Allah, ibnu sabil dan tetamu. Dan orang yang mengurusnya tidak mengapa jika memakan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik, dan memberikan makan temannya, namun jangan ia jadikan sebagai hartanya.’ (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari. Lihat: Muhammad Abdul Aziz al-Halawi, Fatawa wa Aqdhiah Umar Ibnu Khattab, hal. 260, Kaherah. 1985)
Institusi ini berkembang menjadi salah satu sumber pendanaan projek kepentingan umum, dan dalam usaha mewujudkan keseimbangan dan keadilan sosial, serta menjamin penghidupan para pelajar. Hingga wakaf ini - dalam sejarah peradaban Islam - menjadi institusi pendanaan utama bagi penciptaaan dan pembaharuan peradaban.
Semenjak daulah Umawiah, dan pada masa Hisyam bin Abdul Malik (71-125 H, 690-743 M) wakaf - setelah bertambah luas - mempunyai ‘instansi khusus’ yang mengurusnya, yang dinamakan sebagai ‘shadrul wuquf.’ Bahkan pada masa Sultan Zahir Barquq (738-801 H, 1338-1398 M) luas tanah wakaf mencapai setengah tanah negara sehingga hasilnya dapat memberikan sumbangsih bagi berjenis bidang peradaban Islam, mencakupi:
1. Masjid: yang mencerminkan rumah Allah s.w.t. di muka bumi, lembaga yang melayani urusan umum, dan ‘benteng’ kekuatan Islam di segenap penjuru negara Islam.
2. Sekolah-sekolah: yang menjadikan peradaban Islam sebagai satu-satunya menara ilmu di atas bumi ini selama berabad-abad.
3. Perpustakaan-perpustakaan: yang mempermudahkan akses ilmu bagi orang-orang yang menginginkannya, tanpa mengeluarkan perbelanjaan.
4. Memperbanyakkan manuskrip-manuskrip: pada masa sebelum tercipta mesin percetakan. Sehingga salah sebuah perpustakaan di Kaherah - pada masa daulah Fathimiah - menyimpan Tarikh Thabari, yang terdiri dari beberapa jilid, sebanyak dua ribu dua ratus naskhah, dan salah satunya dengan tulisan tangan pengarangnya.
5. Memelihara barang-barang antik, dan peninggalan sejarah.
6. Mendirikan khaniqah-khaniqah bagi para tokoh sufi dan murid-murid mereka.
7. Mendirikan sekolah penghafal Al-Quran, di kota, kampung, dan dusun-dusun.
8. Mendirikan pusat-pusat perubatan: yang berfungsi sebagai pusat perubatan berbagai penyakit tubuh dan jiwa masyarakat.
9. Membina jalan-jalan, merapikannya dan memeliharanya.
10. Membebaskan tawanan, dengan menebus mereka, dan memberikan nafkah kepada mereka dan keluarga mereka.
11. Menjaga anak-anak para ibnu sabil, hingga mereka kembali ke rumah masing-masing.
12. Membantu pelaksanaan ibadah haji, bagi orang-orang yang tidak mampu.
13. Menyediakan perhiasan emas dan alat kecantikan bagi para pengantin yang miskin yang tidak mampu membelinya ketika mereka kahwin.
14. Menjamin keperluan wanita-wanita yang tidak mempunyai keluarga, atau yang keluarganya tinggal di negeri lain. Untuk mereka didirikan pelbagai rumah penampungan yang dijaga oleh petugas wanita, dan diketuai seorang supervisor yang sedia untuk mendamaikan wanita-wanita itu dengan suami-suami mereka.
15. Membina ribath, di perbatasan-perbatasan negara Islam, bagi para mujahidin fi sabilillah, dan membekalkan alat-alat peperangan bagi mereka, memenuhi keperluan tentera, dan memelihara keluarga anggota pasukan yang syahid.
16. Membantu orang buta, orang pekak, orang cacat, dan orang yang sedang menderita penyakit.
17. Mengubati dan memelihara haiwan serta burung-burung jinak
18. Institusi nuqthat al-halib yang bertugas khusus membekalkan susu dan gula kepada ibu-ibu yang sedang menyusu, sebagai bantuan bagi mereka dalam memberikan makan bayi-bayi yang sedang menyusui.
19. Menyiapkan hidangan buka puasa dan sahur bagi fakir-miskin dan orang asing pada bulan Ramadhan
20. Kebun-kebun yang buah dan teduhannya dikhususkan bagi para perantau, dan mereka dapat memakan buah-buahnya sepanjang tahun.
21. Belanga-belanga, yang dikhususkan untuk acara-acara - baik acara bahagia atau kesedihan - bagi orang yang tidak mampu memilikinya. Termasuk juga mengganti belanga-belanga yang dipecahkan oleh pembantu rumah tangga, sehingga ia tidak dimarahi oleh majikannya.
22. Melaksanakan penguburan bagi kalangan fakir-miskin dan orang asing.
23. Mendirikan pekuburan sedekah, untuk menguburkan kaum fakir miskin, orang-orang asing dan para ibnu sabil.
24. Membiayai keperluan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, dan Masjid Aqsha, juga keperluan para ulama, para penuntut ilmu di sana, dan orang-orang yang memerlukan dari keluarga mereka dan murid-murid yang datang dari jauh.
25. Mengeluarkan perbelanjaan untuk menjamu tetamu.
26. Mendirikan pasar-pasar perdagangan dan cawangannya, di kota-kota dan di jalan-jalan perdagangan.
27. Institusi industri yang diperlukan oleh umat, dan yang tidak dapat didirikan oleh usaha dan kemampuan individu, baik industri itu dalam bidang awam atau tentera.
28. Pondok-pondok penginapan yang digunakan oleh para pedagang dan musafir.
29. Oven-oven yang digunakan untuk membuat roti.
30. Bilik mandi umum, yang boleh digunakan masyarakat untuk bersuci dan menjaga kebersihan diri.
31. Paip-paip air, yang dapat digunakan oleh para pejalan kaki dan orang yang mencari air, bagi untuk minum atau mengambil air.
32. Perahu-perahu, yang digunakan masyarakat untuk menyeberangi sungai-sungai.
33. Harta yang disediakan untuk membayar hutang orang-orang miskin.
34. Institusi-institusi pemeliharaan orang-orang cacat dan orang yang berpenyakit kronik.
35. Institusi pemeliharaan anak yatim dan fakir miskin.
36. Memelihara orang-orang yang dipenjara dan menanggung keluarga mereka.
37. Memberi hutang bagi orang-orang yang memerlukan, tanpa ganti.
38. Mengahwinkan laki-laki dan wanita yang memerlukan, untuk menjaga kehormatan mereka.
39. Mendirikan pusat penggilingan umum, untuk membuat tepung.
40. Mendirikan jambatan-jambatan di atas sungai, saluran air, selokan-selokan (Lihat: Nadwah Muassasah al-Awqaf fi al-Alamain al-rabi wa al-Islami, cet. Kuwait, 1983 M.)

Juga lembaga lain yang dibiayai oleh umat Islam melalui wakaf untuk kepentingan umum. Dengan wakaf tersebut, umat Islam dapat mencipta peradaban yang sempurna, dan dengannya juga mereka menyebarkan suatu bentuk keselamatan sosial dan keadilan kewangan sedang pada masa yang sama di belahan dunia lain dipenuhi oleh kezaliman, ketakutan dan ketidakamanan.
Bahkan institusi wakaf ini juga mengakomodasi - di samping aspek keselamatan material - keselamatan pemikiran dan rohani, ketika ia memberikan infak kepada ilmu pengetahuan, ulama dan lembaga-lembaga pengkajian dan pemikiran. Dari tangan ‘umat’ bukan dari tangan ‘negara.’ Sehingga pemikiran dan kreativiti berfikir bebas dari campur tangan kekuasaan. Dan lembaga-lembaga keilmuan Islam itu menghasilkan para ‘ilmuan Islam’, para ‘hujjatul Islam’, para ‘sultan ulama’ dan para ‘sultan kaum arifin’, yang kekuasaannya melebihi kekuasaan raja-raja dan para penguasa.

Kebaikan Dan Amal Soleh

Merupakan sesuatu yang diserukan oleh banyak ayat Al-Quran, hadis nabi, riwayat dari generasi pertama, kisah nasihat dan penghalus hati. Sehingga banyak berdiri lembaga untuk melakukan keduanya, yang skop dan hasilnya melebihi usaha individu, yang dilakukan oleh orang-orang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan perbuatan tesebut.
Di atas itu semua, jika bahaya terhadap keselamatan sosial dalam bidang-bidang penghidupan manusia, yang membuatkan keperluan terhadap ‘hajat’ meningkat menjadi ‘darurat’, bagi seseorang individu dalam lingkup umat (hanya seorang individu sekalipun) maka hilanglah landasan hukum segala kepemilikan dari semua pemilik atau pemegang sesuatu kekayaan, dari seluruh umat. Jika seorang Muslim kelaparan, maka tidak ada hak harta bagi semua orang: ‘Jika ada seseorang mengalami kelaparan di tengah suatu kampung, maka tanggungan Allah s.w.t. akan dilepas dari seluruh penduduk kampung itu.’ (Hadis diriwayatkan oleh Ahmad.)
Ini kerana: ‘Allah s.w.t. mewajibkan dalam harta orang-orang kaya, hak makanan bagi orang-orang fakir. Maka jika seorang fakir miskin merasakan kelaparan, itu terjadi kerana harta hanya dinikmati oleh orang kaya.’ (Ali bin Abi Thalib, Nahju al-Balaghah, hal. 408)
Diwajibkan bagi orang-orang kaya, dari penduduk seluruh negeri, untuk menanggung orang-orang fakir miskin di antara mereka, dan pemerintah memaksa mereka untuk melaksanakannya. Jika zakat tidak dapat memenuhi keperluan mereka, juga faii harta kaum Muslim, maka bagi mereka harus disediakan bahan makanan asas, dan bahan-bahan primer lainnya, seperti pakaian untuk musim sejuk dan musim panas, tempat tinggal yang dapat berteduh dari hujan, rasa panas pada musim panas, sengatan matahari dan pandangan orang-orang yang lalu-lalang.
Tidak boleh seseorang Muslim sampai memakan bangkai atau daging babi, sementara ia mendapat kelebihan makanan pada saudaranya sesama Muslim atau kafir dzimmi. Ia boleh memaksa dengan senjata untuk mendapatkannya, dan jika ia terbunuh, maka orang yang membunuhnya harus membayar diyat, sedangkan jika orang yang menghalangnya terbunuh, maka orang yang menghalang itu mendapat laknat Allah, kerana ia menghalang orang untuk mendapatkan haknya, dengan begitu ia bermakna termasuk dalam kelompok orang yang memberontak.
Allah s.w.t. berfirman: ‘Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah.’ (surah al-Hujurat: 9)
Dan orang yang menghalangi hak seseorang adalah seorang pemberontak terhadap saudaranya yang memiliki hak tersebut. Dengan landasan pemikiran seperti ini, Abu Bakar ash Shiddiq memerangi orang-orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat. (Ibnu Hazm al-Andalusi, Kitab al-Muhalla, juz 6, hal. 159, cet. Kaherah, al-Muniriah).
Harta - seperti dikatakan oleh khalifah rasyidin yang kelima Umar bin bdul Aziz (61-101 H, 781-720 M) - adalah: ‘sebuah sungai yang besar. Dan bahagian manusia darinya sama.’ (Al-Asfahani, Kitab al-Aghani, juz 9, hal. 3375, cet. Dar Sya’b, Kaherah)
Selama tidak wujud keselamatan sosial terhadap keperluan primer dan hajat manusia, maka tidak boleh diwujudkan keteraturan masalah dunia, dan kerananya tidak dapat pula diwujudkan keteraturan beragama. ‘Kerana keteraturan dunia - dengan sihatnya badan, tersedianya penghidupan, dan terjaminnya kadar keperluan, berupa pakaian, tempat tinggal, bahan makanan, dan keselamatan - adalah syarat bagi keteraturan beragama’, seperti dikatakan oleh Hujjatul Islam al-Ghazali.

Islam Mengharamkan Riba

Pemikiran sosial Islam haruslah seperti ini. Kerana al-‘Adlu (Adil) adalah salah satu nama dari nama-nama Allah yang indah (asmaaul husna). Allah-lah yang menurunkan ‘al-Mîzan’, sebagaimana Dia menurunkan ‘al-Kitab.’ Dan ‘amal’ dalam Al-Quran selalu diiringi dengan ‘iman.’ Bahkan pengharaman eksploitasi riba dalam Islam terjadi kerana eksploitasi ini adalah suatu usaha yang berubah haram disebabkan ia bukan hasil dari ‘amal kerja’, dalam mengembangkan wang ini, maka Al-Quran mengharam dan menghapuskannya.
‘Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual-beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba.’
‘Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa.’
‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman, melaksanakan amal soleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melaksanakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu.’
‘Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu asas hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya. Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.’ (surah al-Baqarah: 275-280)
Pengharaman riba menegaskan dengan pasti bahawa falsafah sosial Islam - yang diwujudkan oleh eksprimen Islam pada masa kenegaran Nabi s.a.w dan kekhalifahan - hanya berpihak kepada ‘usaha’, dan menjadikannya sebagai ukuran yang memberikan suatu hakikat dan nilai terbesarnya. Ia (amal kerja) adalah asas utama dalam usaha manusia, dan faktor yang terbesar dalam menentukan keistimewaan seseorang.
Falsafah inilah yang dielaborasikan selepas itu oleh Ibnu Khaldun (732-808H, 1332-1406 M), ketika beliau berkata: ‘Ketahuilah apa yang memberikan faedah kepada manusia, dan yang ia ambil dari harta, jika dari sesuatu jasa, maka yang ia ambil dan ia raih itu adalah nilai kerjanya, kerana yang ada hanyalah kerja. Sedangkan jika di samping jasa dan keahlian itu ada perkara lain, seperti pertukangan dan penjahit, di sana ada kayu dan benang, namun dalam keduanya faktor kerja lebih dominan, dan nilainya lebih besar pula. Apa yang didapatkan dan dihasilkan oleh manusia seluruhnya, atau majoritinya, adalah nilai kerja manusia.’ (Al-Muqaddimah, hal. 303, Kaherah, 1322 H)
Islam menjadikan harta kekayaan sebagai harta Allah. Dari-Nya mengalir dan dari-Nya bersumber. Dia menjadikan seluruh manusia mengemban amanah memegang harta itu, dan menjadikan kerja sebagai cara untuk mendapat dan memiliki harta itu. Dan melarang kepemilikan yang berlebihan dari keperluan, yang skop dan batasan tertingginya ditentukan oleh tradisi, kebiasaan dan tingkat kekayaan masyarakat. Dia mengingatkan keharusan manusia untuk ‘bersyarikat’ dalam menikmati dan memiliki sumber-sumber asas kehidupan. Dengan melihatnya sebagai kekayaan umat dan masyarakat.
Sehingga ia tidak hanya berputar di antara segelintir orang, dan kemudian mereka halangi orang lain yang turut mendapat amanah untuk memegang dan menikmatinya. Orang yang memperhatikan penegasan Al-Quran tentang harta, akan mencari bagaimana ayat-ayatnya menunjukkan sikap yang moderat dan keseimbangan ini dalam melihat hubungan manusia dengan harta - dan tidak lupa memberikan dalil-dalil akan keabsahan kepemilikan individual.
Pada waktu yang sama, menekankan kenyataan bahawa jemaah dan umat seluruhnya mempunyai hak menerima amanah harta. Dia menisbahkan kata ‘maal harta’ kepada dhamiir (kata ganti) ‘individu’ dalam tujuh ayat, sementara menisbahkan harta itu kepada dhamiir ‘manusia secara umum’ dalam tujuh puluh tujuh ayat. Sehingga Muhammad Abduh (1265-1323 H, 1849-1905 M) menjelaskan petunjuk Al-Quran tersebut dalam ucapannya: ‘Dengannya Allah s.w.t. ingin mengingatkan akan ‘solidariti umat dalam hak-hak dan kemaslahatan mereka, dan seakan-akan Dia berkata: Harta setiap individu dari kamu adalah harta umat kamu.’ (Al-A’mal-al-Kamilah, juz 5, hal. 194, kajian dan tahqiq: Dr. Muhamamd Imarah, cet. Kaherah, 1993 M)
Teori kekhalifahan Ilahi yang diberikan kepada manusia adalah kunci falsafah Islam dalam masalah kekayaan dan harta. Dan dalam petunjuk sosial falsafah ini, Imam Zamakhsyari (467-538 H, 1075-1144) berkata ketika menafsirkan ayat istikhlaf dalam harta: ‘Dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.’ (surah al-Hadiid: 7).
Sebagai berikut: ‘Yang Allah s.w.t. maksudkan dalam ayat ini adalah, seakan-akan Dia berfirman kepada manusia: ‘Harta yang ada dalam genggaman kamu adalah harta Allah, dengan mencipta dan menjadikannya, dan Dia menjadikan semua itu sebagai harta bagi kamu, memberikan hak kepada kamu untuk menikmatinya, dan menjadikan kamu sebagai perwakilan Allah dalam menggunakan harta itu. Harta itu bukan milik kamu secara hakikat, namun kamu hanya bertugas sebagai perwakilan dan pengganti.’ (Tafsir al-Kasy-syaaf, juz 4, hal. 61, Kaherah, 1968 M)
Eksprimen Islam telah mewujudkan (pada masa kenabian dan Khulafa Rasyidin) ‘kehendak Allah’ ini. Ketika kehendak itu dibumikan dalam bentuk sistem sosial yang menghasilkan keselamatan sosial bagi manusia dalam bidang penghidupan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA