Isnin, 16 Ogos 2010

Menjaga Lidah dari Mengutuk dan Melaknat

SMAHADZIR

KATA laknat yang sudah menjadi sebahagian dari bahasa Malaysia memiliki dua makna dalam bahasa Arab iaitu bermakna mencerca, yang kedua bermakna pengusiran dan penjauhan dari rahmat Allah s.w.t.

Ucapan laknat ini mungkin terlalu sering kita dengar dari orang-orang di lingkungan kita dan sepertinya saling melaknat merupakan perkara yang biasa bagi kebanyakan orang, padahal melaknat seorang Mukmin termasuk dosa besar. Tsabit bin Adl Dlahhak r.a berkata: ‘Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Siapa yang melaknat seorang Mukmin maka ia seperti membunuhnya.’ (hadis riwayat Bukhari dalam Sahihnya 10/464)

Ucapan Nabi s.a.w: (Fahuwa Kaqatlihi - Maka ia seperti membunuhnya) dijelaskan oleh Al-Hafidh Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari: ‘Kerana jika ia melaknat seseorang maka seakan-akan ia mendoakan keburukan bagi orang tersebut dengan kebinasaan.’ Sesebahagian wanita begitu mudah melaknat orang yang ia benci bahkan orang yang sedang berbicara dengannya, tidak kira apakah itu anaknya, suaminya, haiwan atau sebagainya.

Sangat tidak wajar bila ada seseorang yang mengaku dirinya mukmin tetapi lidahnya terlalu mudah untuk melaknat. Sebenarnya perangai buruk ini bukanlah milik seseorang mukmin, sebagaimana Nabi s.a.w bersabda: ‘Bukanlah seorang mukmin itu seorang yang suka mencela, tidak pula seorang yang suka melaknat, bukan seorang yang keji dan kotor ucapannya.’ (hadis riwayat Bukhari dalam kitabnya Al-Adabul Mufrad halaman 116 dari hadis Abdullah bin Mas’ud r.a. Hadis ini disebutkan oleh Syaikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i dalam kitabnya Ash Sahih Al Musnad 2/24)

Dan melaknat itu bukan pula sifatnya orang-orang yang jujur dalam keimanannya (shiddiq), kerana Nabi s.a.w bersabda: ‘Tidak wajar bagi seorang shiddiq untuk menjadi seorang yang suka melaknat.’ (hadis riwayat Muslim no. 2597)

Pada hari kiamat nanti, orang yang suka melaknat tidak akan dimasukkan dalam barisan para saksi yang mempersaksikan bahawa Rasul mereka telah menyampaikan risalah dan juga ia tidak dapat memberi syafaat di sisi Allah bagi memintakan keampunan bagi seseorang hamba. Nabi s.a.w bersabda: ‘Orang yang suka melaknat itu bukanlah orang yang dapat memberi syafaat dan tidak pula menjadi saksi pada hari kiamat.’ (hadis riwayat Muslim dalam Sahihnya no. 2598 dari Abi Darda r.a)

Perangai yang buruk ini sangat besar bahayanya bagi pelakunya sendiri. Bila ia melaknat seseorang, sementara orang yang dilaknat itu tidak wajar untuk dilaknat maka laknat itu kembali kepadanya sebagai orang yang mengucapkan. Imam Abu Daud meriwayatkan dari hadis Abu Darda r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda: ‘Apabila seorang hamba melaknat sesuatu maka laknat tersebut naik ke langit, lalu tertutuplah pintu-pintu langit. Kemudian laknat itu turun ke bumi lalu ia mengambil ke kanan dan ke kiri. Apabila ia tidak mendapat kelapangan, maka ia kembali kepada orang yang dilaknat jika memang berhak mendapatkan laknat dan jika tidak ia kembali kepada orang yang mengucapkannya.’

Kata Al-Hafidh Ibnu Hajar tentang hadis ini: ‘Sanadnya jayyid (bagus). Hadis ini memiliki syahid dari hadis Ibnu Mas’ud r.a dengan sanad yang hasan. Juga memiliki syahid lain yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi dari hadis Ibnu Abbas r.ama. Para perawinya adalah orang-orang kepercayaan (tsiqah), akan tetapi hadisnya mursal.’

Ada beberapa hal yang dikecualikan dalam larangan melaknat ini yakni kita boleh melaknat para pelaku maksiat dari kalangan Muslimin namun tidak secara ta’yin (menunjuk langsung dengan menyebut nama atau pelakunya). Tetapi laknat itu ditujukan secara umum, misalnya kita katakan: ‘Semoga Allah s.w.t melaknat para pembegal jalanan itu….’

Rasulullah s.a.w sendiri telah melaknat wanita yang menyambung rambut dan wanita yang minta disambungkan rambutnya. Baginda juga melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki dan banyak lagi. Berikut ini disebutkan beberapa hadisnya: ‘Rasulullah s.a.w melaknat wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu) dan wanita yang minta disambungkan rambutnya.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim dalam Sahih keduanya)

Baginda s.a.w mengkhabarkan: ‘Allah s.w.t melaknat wanita yang membuat tato, wanita yang minta dibuatkan tato, wanita yang mencabut alisnya, wanita yang minta dicabutkan alisnya, dan melaknat wanita yang mengikir giginya untuk tujuan memperindahkannya, wanita yang merubah ciptaan Allah s.w.t.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari sahabat Ibnu Mas’ud r.a)

‘Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.’ (hadis riwayat Bukhari dalam Sahihnya)

Dibolehkan juga melaknat orang kafir yang sudah meninggal dunia dengan menyebut namanya untuk menerangkan keadaannya kepada manusia dan untuk maslahat syar’iyah. Adapun jika tidak ada maslahat syar’iyah maka tidak boleh kerana Nabi s.a.w bersabda: ‘Janganlah kalian mencaci orang-orang yang telah meninggal dunia kerana mereka telah sampai/menemui (balasan dari) apa yang dulunya mereka perbuat.’ (hadis riwayat Bukhari dalam Sahihnya dari hadis ‘Aisyah r.a)

Setelah kita mengetahui buruknya perangai ini dan ancaman serta bahayanya yang bakal diterima oleh pengucapnya, maka hendaklah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. Janganlah kita membiasakan lidah kita untuk melaknat kerana kebencian dan ketidaksenangan pada seseorang. Kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan menjaga dan membersihkan lidah kita dari ucapan yang tidak wajar dan kita basahi selalu dengan kalimat thayyibah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA