Isnin, 16 Ogos 2010

Akhlak Cerminan Akidah Islam

Syed Mahadzir Syed Ibrahim

‘SESUNGGUHNYA engkau (Muhammad) benar-benar berakhlak yang agung.’ (Al qalam: 4). Adakah orang yang tidak menyukai perhiasan? Jawapan kepada pertanyaan ini jelas, bahawa tidak ada seorang pun melainkan dia menyukai perhiasan dan senang untuk tampil berhias di hadapan sesiapa saja. Lantaran itu kita lihat ramai orang berlumba-lumba untuk memperbaiki penampilan dirinya.

Ada yang lebih mementingkan perhiasan dhahir (luar) dengan penambahan aksesoris seperti pakaian yang bagus, make up yang mewah dan emas permata, sehingga mengundang decak kagum orang yang melihat. Ada pula yang berusaha memperbaiki kualiti akhlak, memperbaiki dengan akhlak Islami.

Yang disebut terakhir ini tentunya bukan decak kagum manusia yang dicari, namun kerana kesedaran agamanya menghendaki demikian dengan disertai harapan mendapatkan pahala dari Allah s.w.t. Kalau pun penampilannya mengundang pujian orang, ia segera mengembalikannya kepada Allah kerana kepunyaan-Nyalah segala pujian dan hanya Dialah yang berhak untuk dipuji.

Islam Mengutamakan Akhlak

Mungkin ramai di antara kita kurang memperhatikan masalah akhlak. Di satu aspek kita mengutamakan tauhid yang memang merupakan perkara pokok atau inti agama ini, berusaha menelaah dan mempelajarinya, namun di sisi lain dalam masalah akhlak kurang diperhatikan.

Sehingga tidak boleh disalahkan bila ada keluhan-keluhan yang terlontar dari kalangan awam, seperti ucapan: ‘Aduh, sudah faham agama tapi masih lagi kurang ajar sama orang tua.’ Atau ucapan: ‘Dia… agamanya bagus tapi sama jiran tetangga tidak tau nak hormat langsung,’ dan lain-lain lagi.

Seharusnya ucapan-ucapan seperti ini menjadi cambuk bagi kita untuk membetulkan diri dan membenahi akhlak. Islam bukanlah agama yang mengabaikan akhlak, bahkan Islam mementingkan akhlak. Yang perlu diingat bahawa tauhid sebagai perkara pokok/inti Islam yang memang seharusnya kita utamakan, namun tidak bererti mengabaikan perkara penyempurnaannya.

Dan akhlak mempunyai hubungan yang erat. Tauhid merupakan realisasi akhlak seorang hamba terhadap Allah dan ini merupakan pokok inti akhlak seorang hamba. Seorang yang bertauhid dan baik akhlaknya bererti ia adalah sebaik-baik manusia. Semakin sempurna tauhid seseorang maka semakin baik akhlaknya, dan sebaliknya bila seorang muwahhid memiliki akhlak yang buruk bererti lemah tauhidnya.

Rasul Diutus Untuk Menyempurnakan Akhlak

Muhammad s.a.w, rasul kita yang mulia mendapat pujian Allah s.w.t. Kerana ketinggian akhlak baginda sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Qalam ayat 4, bahkan baginda s.a.w sendiri menegaskan bahawa kedatangannya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang ada pada diri manusia, ‘Hanyalah aku diutus (oleh Allah) untuk menyempurnakan akhlak.’ (hadis riwayat Ahmad, lihat Ash Sahihah oleh Asy Syaikh Al-Bani no.45 dan baginda mensahihkannya).

Anas bin Malik r.a seorang sahabat yang mulia menyatakan: ‘Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling baik budi pekertinya.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadis lain Anas memuji baginda s.a.w: ‘Belum pernah saya menyentuh sutera yang tebal atau nipis lebih halus dari tangan Rasulullah s.a.w. Saya juga belum pernah mencium bau yang lebih wangi dari bau Rasulullah s.a.w. Selama sepuluh tahun saya melayani Rasulullah s.a.w, belum pernah saya dibentak atau ditegur perbuatan saya: mengapa engkau berbuat ini ? Atau mengapa engkau tidak mengerjakan itu?’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Akhlak merupakan tolak ukur kesempurnaan iman seseorang hamba sebagaimana telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w: ‘Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya.’ (hadis riwayat Tirmidzi, dari Abu Hurairah r.a, diriwayatkan juga oleh Ahmad. Disahihkan Al-Bani dalam Ash Sahihah No. 284 dan 751). Dalam riwayat Bukhari dan Muslim dari Abdillah bin amr bin Al ‘Ash r.a disebutkan: ‘Sesungguhnya sebaik-baik kalian ialah yang terbaik akhlaknya.’

Keutamaan Akhlak

Abu Hurairah r.a mengkhabarkan bahawa suatu ketika Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang kriteria orang yang paling banyak masuk syurga. Baginda s.a.w menjawab: ‘Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.’ (Hadis sahih riwayat Tirmidzi, juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Lihat Riyadus Sholihin no. 627, tahqiq Rabbah dan Daqqaq).

Tatkala Rasulullah s.a.w menasihati sahabatnya, baginda s.a.w menggandingkan antara nasihat untuk bertakwa dengan nasihat untuk bergaul/berakhlak yang baik kepada manusia sebagaimana hadis dari Abi Dzar, beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada dan balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik nescaya kebaikan itu akan menutupi keburukan dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.’ (hadis riwayat Tirmidzi, beliau berkata: hadis hasan, dan disahihkan oleh Syaikh Al-Salim Al-Hilali).

Dalam timbangan (mizan) amal pada hari kiamat tidak ada yang lebih berat dari pada akhlak yang baik, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: ‘Sesuatu yang paling berat dalam mizan (timbangan seorang hamba) adalah akhlak yang baik.’ (hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad, disahihkan Al-Bani. Lihat Ash Sahihah Juz 2 hal 535). Juga sabda baginda: ‘Sesungguhnya sesuatu yang paling utama dalam mizan (timbangan) pada hari kiamat adalah akhlak yang baik.’ (hadis riwayat Ahmad, disahihkan Al-Bani. Lihat Ash Sahihah juz 2 hal.535).

Dari Jabir r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Sesungguhnya orang yang paling saya kasihi dan yang paling dekat padaku majlisnya pada hari kiamat ialah yang terbaik budi pekertinya.’ (hadis riwayat Tirmidzi dengan sanad hasan. Diriwayatkan juga oleh Ahmad dan disahihkan oleh Ibnu Hibban. Lihat Ash Sahihah juz 2 hal 418-419).

Dari hadis-hadis di atas dapat difahami bahawa akhlak yang paling baik memiliki keutamaan yang tinggi. Lantaran itu sudah sepantasnya setiap muslim dan muslimah mengambil akhlak yang baik sebagai perhiasannya. Yang perlu diingat bahawa ukuran baik atau buruk suatu akhlak bukan ditimbang menurut selera individu, bukan juga hitam putih akhlak itu menurut ukuran adat yang dibuat oleh manusia. Kerana boleh jadi, yang dianggap baik oleh adat bernilai buruk menurut timbangan syariat atau sebaliknya.

Jelas bagi kita bahawa semuanya berasaskan pada syariat, dalam semua masalah termasuk akhlak. Allah sebagai Pembuat syariat ini, Maha Tahu dengan keluasan ilmu-Nya apa yang mendatangkan kemashlahatan/kebaikan bagi hamba-hamba Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA