Isnin, 16 Ogos 2010

Budi Bahasa Cerminan Kebudayaan Yang Indah

SMAHADZIR

SESUNGGUHNYA, kehebatan sesuatu bangsa tidak sahaja diukur dengan kemajuannya tetapi juga keupayaan terhadap penghayatan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Budi bahasa adalah cerminan budaya. Budi bahasa yang indah mencerminkan kebudayaan yang indah yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat. Budaya diterbitkan oleh kebijaksanaan, maka budaya sesuatu bangsa melambangkan sebahagian daripada peradaban bangsa. Contohnya, budi bahasa orang Melayu telah mewakili peradaban orang Melayu, yang sifatnya sangat indah. Bukan sahaja untuk dilihat malah untuk kita semua menjadi sebahagian daripadanya.

Bangsa Melayu contohnya, sejak zaman berzaman terkenal dengan budi bahasa. Sehinggakan pernah dinukilkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang (1988) dalam puisi beliau, yang dirakamkan pula oleh penyair Lim Swee Tin dalam kertas kerja beliau semasa seminar di Melaka suatu ketika dulu, yang antara lain mengungkapkan: ‘Melayu itu maknanya bijaksana; jika menipu pun bersopan; kurang ajarnya tetap santun; dajalnya cukup selamba; budi bahasa jangan dikira; beraninya cukup benar; tunduk bila bersalah; lembutnya cukup jantan; berkelahi cara Melayu; menikam dengan pantun; menyanggah dengan senyum; marahnya dalam tertawa; merendah bukan menyembah; meninggi bukan melonjak.

Begitulah unik dan istimewanya bangsa Melayu kendatipun ketika bertarung, mereka masih boleh berpantun walaupun dalam bentuk yang sungguh sinikal. Perlu diingat juga bahawa di sebalik tutur kata yang manis dan sopan serta budi bahasa yang lemah lembut, orang Melayu sangat mementingkan harga diri. Walaupun perahu sedang belayar; dilanda ombak karam terbalik; walaupun Melayu terbilang sabar; apabila diinjak, pitamnya naik. Maka, sebelum ‘pitam anak Melayu naik,’ maka sahutlah budi bahasa dengan adab dan sopan-santun, dan bukan itu sahaja, ia perlu diterima dengan akal budi yang tinggi.

Jelasnya orang Melayu begitu kuat berpegang kepada sabda Rasulullah s.a.w, yang bermaksud: ‘Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berbicara dengan baik atau diam.’ (hadis riwayat Bukhari)

Juga kepada sabda Baginda s.a.w dalam Musnad Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya aku hanya diutus untuk menyempurnakan budi pekerti yang luhur.’ Dan ini menunjukkan bahawa orang Melayu berpegang teguh kepada agamanya yang sangat mementingkan budi bahasa sebagai antara elemen yang menyempurnakan Islam seseorang selain dari aspek akidah dan syariah.Namun begitu, dalam keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendikan kepada pembangunan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan telah berlaku kesan-kesan sampingan atau pengaruh-pengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda, mengugut kestabilan dan kecemerlangan bangsa.

Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama dalam kalangan muda-mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, malas, kurang ajar, biadap, berbahasa kesat dan sebagainya adalah di antara bukti yang jelas terhadap perlunya peranan yang mesti dimainkan oleh ibu bapa dan setiap anggota masyarakat. Ini mencerminkan bahawa budaya budi bahasa yang menjadi amalan leluhur suatu ketika dulu telah mulai sirna dan diabaikan.

Gejala-gejala seperti biadap, tidak menghormati orang tua, tidak bersopan santun, tidak berbudi bahasa, kerapuhan pegangan agama, kekosongan jiwa, kekurangan daya tenaga dan pemikiran di kalangan muda-mudi, krisis rumah tangga, perilaku anak-anak yang liar, tidak ada pegangan hidup, tidak menghormati guru, lebih suka kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam arus pengaruh kebudayaan asing yang lebih banyak merosakkan jiwa dan sebagainya adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam sistem kekeluargaan dan hilangnya budaya berbudi bahasa yang harus menjadi amalan hidup.

Sehubungan dengan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad telah memberi penekanan penting mengenai perkara ini dengan menegaskan bahawa di antara cabaran-cabaran yang mesti diatasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar maju ialah membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.

Sebagai masyarakat timur, amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni bukan suatu perkara baru. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian. Hormat orang tua, memberi salam sebagai pembuka kata, membantu orang yang memerlukan pertolongan, ucapan terima kasih atau maaf di mana perlu, merendah diri dan berbagai-bagai lagi, merupakan nasihat yang tidak asing bagi kita.

Amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni merupakan warisan bangsa dan setiap institusi keluarga bertanggungjawab mendidik setiap ahli keluarganya mengenai perkara-perkara asas budi bahasa dan nilai-nilai murni, seperti cara bertutur yang sopan, saling bertegur sapa, jujur, amanah, bersih, berdisiplin, bersyukur dan sebagainya, agar menjadi manusia yang berperibadi mulia dan berakhlak indah.

Tanpa kita sedari, kehidupan cara moden disertai dengan cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan, telah sedikit sebanyak menghakis budaya tradisi yang bersopan santun, bertata susila dan hormat menghormati yang telah diamalkan turun-temurun. Sikap tolong-menolong, bantu-membantu dan semangat gotong-royong yang menjadi kekuatan dan kebanggaan masyarakat kita pada suatu ketika dahulu, telah mula goyah. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus prihatin mengenai perkembangan yang kurang sihat ini dan wajar membendungnya sebelum menjadi lebih buruk.

Hakikatnya, dalam mengharungi arus kemajuan yang begitu deras pada era alaf baru ini, ramai tergelincir dan kecundang. Budi bahasa semakin hari semakin luntur. Kesopanan dan sikap hormat-menghormati antara satu sama yang lain juga hampir lenyap. Hari ini, kita jarang-jarang dapat melihat warga tua dipimpin oleh anak-anak muda untuk melintas jalan. Kita juga sudah ketandusan budaya sapa-menyapa, kurangnya rasa hormat-menghormati, tidak menghargai harta benda awam dan tidak mengutamakan kepada kebersihan. Keadaaan ini jika dibiarkan, lama-kelamaan akan merosakkan tamadun dan mencemarkan budaya bangsa yang kaya dengan budi pekerti serta nilai-nilai murni yang tinggi.

Dalam zaman yang serba moden ini, kita disarankan supaya meraih kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dan budi bahasa. Kita harus menjadi warga negara atau individu yang berhemah tinggi dan berketrampilan yang boleh menjadi role model untuk dijadikan contoh. Sebagai kakitangan kerajaan contohnya, berbudi bahasa ini amat penting dalam Perkhidmatan Awam memandangkan anggota Perkhidmatan Awam merupakan tonggak pentadbiran negara.

Oleh itu, warga Perkhidmatan Awam mempunyai peranan yang besar dalam usaha untuk menyemarakkan pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dan juga di persekitaran tempat kerja. Usaha sebegini penting, bagi merealisasikan strategi mengimbangi pembangunan fizikal negara dengan pembangunan insaniah rakyat, seperti yang diwar-warkan oleh pucuk pimpinan negara.

Amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni akan melahirkan kakitangan kerajaan yang mempunyai personaliti positif, berfikiran terbuka serta bertanggungjawab, selaras dengan usaha mewujudkan perkhidmatan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pengisian amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni ini akan menyumbang ke arah meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Kakitangan Perkhidmatan Awam, terutamanya yang berkhidmat di barisan hadapan, perlu memberi perkhidmatan dengan berbudi bahasa menerusi tutur kata yang sopan, mesra pelanggan serta memaparkan sikap sentiasa ingin membantu. Amalan dan perlakuan sebegini akan dapat membantu usaha ke arah meningkatkan imej Perkhidmatan Awam.

Begitu juga dengan lain-lain individu. Kita harus sedar bahawa budi bahasa mempunyai peranan yang sangat penting dalam memelihara tamadun bangsa yang dibina. Mungkin ada benarnya bila ada yang berpendapat bahawa apabila Kempen Budi Bahasa dijalankan, menunjukkan tanda peradaban yang mula goyah. Ribut taufan dan gempa bumi adalah faktor yang menghancurkan peradaban dari aspek fizikalnya, namun bangsa yang jiwanya penuh dengan peradaban mampu membina semula kehancuran ini. Akan tetapi apabila satu-satu bangsa sudah tidak memiliki elemen ini, maka kehancuran sesuatu peradaban akan berlaku sehingga ke akar umbi.

Hakikatnya, masyarakat Malaysia telah menerima peri pentingnya budi bahasa dan penghayatan nilai-nilai murni menerusi prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Demikian juga dalam konteks pendidikan, perkara ini telah dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menerusi pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, penggabung jalinan ilmu dan penerapan nilai merupakan elemen penting yang telah ditekankan.

Alangkah malangnya jika sesebuah masyarakat itu mencapai tahap kemajuan yang tinggi tetapi kelakuan dan moral pendukungnya amat rendah sehingga mencemarkan kualiti kehidupan. Dalam masyarakat Malaysia, ungkapan ‘orang berbudi kita berbahasa’, ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’ dan ‘yang baik itu budi, yang indah itu bahasa’ sudah menjadi ungkapan ghalib dalam kehidupan.

Sikap berbudi bahasa perlu dibudayakan secara berterusan dan seterusnya dijadikan sebagai warisan yang hidup kembali malah seharusnya menjadi darah daging masyarakat Malaysia. Pertuturan yang penuh budi bahasa juga perlu disambut dan dibalas dengan budi bahasa juga. Sebaliknya, jangan memperleceh atau menganggap orang yang berbudi bahasa itu kecil dan lemah. Tidak mengendah atau memandang kecil pada mereka yang menegur dengan sopan demi menjaga air muka dan nama baik, hanya menjelaskan ketidakmatangan dan sikap yang kurang bijaksana. Dan ini berlaku lazimnya apabila keangkuhan telah menguasai diri. Rentetannya, akan terbitlah di hati, ibarat menyiram air di daun keladi.

Sistem pendidikan negara kita telah berjaya melahirkan teknokrat, korporat, jurutera, doktor, ahli profesional bertaraf dunia. Lantaran itu, penampilan dan amalan budi bahasa wajar seiring dengan kecemerlangan kerjaya tersebut. Justeru, kelompangan ini perlu diisi segera dengan kefahaman dan penghayatan tentang makna budi dan nilai secara berhemah agar kualiti keinsanan yang hendak kita lahirkan menjadi kenyataan.

Budaya berbudi bahasa perlu jelas ditampilkan dalam komunikasi dan tugasan harian. Dalam penyelesaian sebarang masalah, setiap individu masyarakat Malaysia seharusnya mengamalkan pendekatan seperti ‘menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak’. Sesungguhnya, kita juga harus menjaga hubungan baik dengan sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan agama. Budaya berbudi bahasa dan amalan nilai-nilai murni mestilah melibatkan interaksi antara semua warga Malaysia. Moga suasana bertegur sapa, hormat menghormati dan kerjasama hidup subur sepanjang masa.

Dalam hal ini, setiap warga Malaysia dari peringkat akar umbi lagi perlu dilatih dengan amalan nilai-nilai murni dan budi bahasa, agar ianya menyerap dalam diri mereka serta menjadi satu kebiasaan. Kita ialah pewaris bangsa yang akan menentukan kelangsungan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Kita harus menjadi bangsa yang berdaya saing dalam arus kemajuan dunia dengan tidak mengabaikan amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni. Dalam konteks ini, amalan berbudi bahasa dan penghayatan nilai-nilai murni sebenarnya adalah nilai tambah kepada keupayaan daya saing bangsa Malaysia.

1 ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA