Isnin, 16 Ogos 2010

Orang Yang Memiliki Jiwa Besar

SMAHADZIR

AKHLAAQUL KIBAR (orang yang memiliki jiwa yang besar), mereka itulah orang-orang yang berakhlak dengan akhlak yang tinggi, mereka meninggalkan akhlak-akhlak yang rendah serta perkara-perkara yang hina. Termasuk di sini adalah semuanya, baik itu dari kalangan ulama, du’at dan kaum muslimin pada umumnya.

Yang dimaksudkan dengan akhlaaqul kibar di sini adalah orang yang berjiwa besar, bukan orang yang berjiwa kerdil yang jika dipuji dia senang dan apabila dicela dia marah, memutuskan hubungan dengan orang hanya kerana tidak senang, tersinggung, hanya kerana jengkel atau marah.

Atau menjalin silaturahmi hanya kerana senang dengan orang-orang tertentu kemudian memutuskan hubungan silatuhrahmi hanya kerana tidak senang dengan orang tertentu dan kerana sebab-sebab tertentu pula. Orang yang berakhlak kibar adalah orang yang tidak memusuhi hanya kerana orang tersebut mengkritik atau mengejek dirinya.

Orang yang berakhlak kibar bukan pula bererti orang yang memiliki jawatan-jawatan yang tinggi. Dalam bahasa Arab اْلكَبَارُ boleh bererti tua dan boleh bererti besar jawatannya. Jadi orang yang berjiwa besar adalah orang yang ketika menyikapi sesuatu untuk kepentingan yang besar, untuk kemaslahatan Islam dan kaum muslimin, bukan untuk kepentingan dirinya. Orang-orang yang seperti inilah yang lebih pantas kita sebut-sebut dan kita sebarkan kisah-kisah mereka untuk menjadi pengajaran bagi kita.

Kita sangat perlu dengan materi seperti ini kerana masalahnya yang begitu penting. Kita melihat berapa banyak khitbah yang dibatalkan, berapa banyak hubungan kecintaan yang dulunya terjalin berubah menjadi permusuhan, berapa banyak hubungan kerjasama dalam urusan duniawi mahupun ukhrowi (dakwah) bubar hanya kerana orang-orang yang berjiwa kerdil. Dia tidak rela apabila ada atau muncul kekurangan dari orang lain terhadap dirinya.

Dan apabila hal itu terjadi, maka hubungan itu langsung putus, tidak lagi ingat kebaikan-kebaikan yang pernah diperoleh, tidak ingat lagi kebersamaan yang pernah dijalin beberpa waktu yang lalu. Semua itu berubah menjadi permusuhan dan kebencian yang disebabkan adanya kesalahan dan kekurangan yang muncul dari orang lain terhadap dirinya.

Kemudian dia menjadi orang yang mudah membenci, orang yang mudah mencela, orang yang berbuat hal-hal kurang pada dirinya. Semua perbuatan diukur dengan timbangan hawa nafsunya yang apabila menyenangkan dirinya, dia senangi dan apabila menjengkelkan, dia benci.

Sikap seperti ini muncul kerana ada orang-orang yang lebih memilih pada asal penciptaannya iaitu tanah. Manusia diciptakan dari dua unsur iaitu unsur tanah dan unsur roh.

Kita tahu bahawa tanah berada di bawah. Orang-orang yang berjiwa kerdil mengukur segala sesuatu dengan hal-hal yang hina dan itu kembali ke asal penciptaanya iaitu tanah, dia berakhlak dengan akhlak yang rendah, akhlak yang hina. Berbeza dengan orang-orang yang mulia, dia selalu mengukur sesuatu dengan hal-hal yang tinggi dan mulia. Itulah sifat yang kedua dari penciptaan manusia iaitu roh.

Orang yang berjiwa besar adalah orang-orang yang selalu berusaha melepaskan ikatan-ikatan yang melingkupi jiwanya, tidak melihat semua dengan ukuran hawa nafsunya. Ketika dia boleh melewati ikatan-ikatan tersebut, maka dia masuk pada tingkatan yang lebih tinggi iaitu orang yang boleh melepaskan semua keinginan hawa nafsunya.

Dia boleh berhubungan dengan orang, sedia menerima kesalahan, kekurangan, dan kelemahan yang muncul dari orang lain. Orang yang ingin mencapai darjat yang tinggi tidak mungkin dapat mencapainya tanpa jiwa seperti ini dan berakhlak sebagaimana yang telah disebutkan.

Ketika kita berbicara tentang tema ini, kita tidak membicarakannya untuk orang lain, melainkan untuk diri saya secara peribadi dan kedua untuk para pembaca semua. Ertinya jangan sampai ketika kita membicarakan hal ini kita berfikir ‘ini untuk si polan yang akhlaknya masih kurang, ini untuk si polan yang memang akhlaknya tidak seperti ini’. Jangan kita bayangkan ketika kita berbicara tentang ini, pembicaraan ini ditujujukan kepada orang-orang tertentu, tetapi yang perlu kita lakukan adalah menghadirkan diri kita, hati kita untuk memperhatikan materi ini.

Jadilah orang yang berfikir, orang yang hadir dengan hatinya dan kemudian datang untuk istifadah. Perbaharuilah hidup anda, dan tingkatkanlah akhlak anda, kemudian berubahlah. Kemudian pulang dengan wajah yang berubah dengan suasana yang berubah dengan akhlak yang berubah.

Materi ini ditujukan kepada semua kalangan baik ulama, du’at, thulabul ilmi dan orang-orang yang punya jawatan, baik jawatan yang tinggi mahupun rendah. Juga ditujukan kepada para bapa, ibu kemudian para pendidik dan para pengajar serta orang awam pada umumnya dan ditujukan kepada semua yang ingin mencari kesempurnaan.

Mungkin ada di antara kita yang tidak rela disifati dengan sifat yang kerdil, hidup dalam cara berfikir yang sempit, dengan hati yang sempit, dan dengan jiwa yang sempit juga. Semua orang sepakat bahawa materi kajian ini adalah sesuatu yang baik, suatu yang terpuji dan suatu yang mulia dan semua jiwa pasti merindukannya.

Seandainya dakwah Rasulullah s.a.w hanya bertujuan pada akhlak saja tentu orang-orang akan mengikuti dakwahnya. Sebagaimana dikatakan oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, ‘Kalaulah dakwah ini hanya tertuju pada akhlak, sebagaimana Rasulullah s.a.w kalau dakwahnya hanya tertuju pada akhlak, tanpa membahaskan soal kemusyrikan, tauhid, tentu orang-orang akan mengikuti dakwahnya.’

Semuanya sepakat dalam teori, baru dalam praktikalnya kelihatan sendiri. Semua orang boleh berbicara tentang akhlak yang baik, tetapi dalam praktikalnya akan kelihatan aslinya. Yang penting bukannya orang menganggap baik, kemudian orang senang mendengar akhlak yang baik, tetapi yang paling penting adalah perubahan dan ada akhlak yang berubah.

Orang yang halus atau orang yang lembut bukanlah orang yang lembut hanya ketika senang, tetapi juga pada ketika marah dia dapat bersifat lembut. Yang namanya akhlak bukan hanya kita boleh tersenyum kepada saudara kita sewaktu bersama teman-teman kita, bersama orang-orang yang duduk di majlis bersama kita, tetapi akhlak adalah yang dapat kita bawa dalam setiap keadaan dan pada setiap tempat.

Allah s.w.t mensifati Dzat-Nya dengan sifat العفو al ‘afuu (Yang Maha Mengampuni). Sifat ini adalah salah satu sifat yang sangat agung dan mulia. Maksud sifat Allah s.w.t العفو al ‘afuu adalah Allah s.w.t membiarkan hamba-Nya, mengampuni hamba-Nya yang berbuat kesalahan dan tidak memberikan azab kepada hamba-Nya secara langsung ketika hamba-Nya derhaka kepada-Nya. Kita memohon pada Allah s.w.t agar Dia menaungi kita semua dengan segala keampunan-Nya dan dengan segala kemurahan-Nya.

Ketika kita mendengar beberapa sifat ini yang menjadi persoalan pada diri kita adalah apakah kita punya sifat-sifat ini? Atau kita termasuk orang yang ketika melihat ini ternyata akhlak tersebut banyak melekat dalam diri kita sehingga ketika kita berurusan dengan orang lain kita sampai bermusuhan dan kita membuat hitung-hitungan dengan mereka.

Ramai di antara kita yang masih rancu untuk membezakan antara membela diri sendiri dan membela agama. Kadang-kadang dia balas dendam kepada orang lain akan tetapi dia mengatasnamakan agama, mengatasnamakan akidah, mengatasnamakan keimanan, yang sebenarnya dia membela diri sendiri, dan untuk memuaskan hawa nafsunya, akan tetapi dia merasa membela Allah s.w.t.

Ada juga yang mengatasnamakan ‘izzah (kemuliaan jiwa). Mungkin dia mahu menunjukkan bahawa orang mukmin adalah orang yang memiliki ‘izzah, kerana sesungguhnya ‘izzah itu milik Allah s.w.t, milik rasul-Nya, dan milik orang-orang yang beriman. Namun, dalam praktikalnya kadang-kadang dia membalas dendam dan tidak terima dengan semua ejekan atau semua yang menjatuhkan harga dirinya, yang sebenarnya bukan atas nama kemuliaan sebagai seorang mukmin tetapi kerana dia tidak rela namanya disinggung kemudian diejek oleh orang lain.

Ramai orang yang rancu atau mencampuradukkan antara dia mempertahankan dirinya sendiri atau hawa nafsunya, mempertahankan agama, kemuliaan sebagai seorang mukmin atau kemuliaan peribadinya. Sehingga apabila dia marah, apabila dia membalas, dia mengira bahawa ini dalam rangka betul-betul mempertahankan jati dirinya sebagai seorang muslim. Padahal dia sebetulnya mempertahankan hawa nafsunya. Ia beralasan dengan firman Allah s.w.t, yang bermaksud: ‘Dan (bagi) orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri.’ (surah As-Syura: 39).

Padahal sudah maklum (diketahui) bahawa ayat ini dan ayat-ayat lain yang seerti dengannya menjelaskan tentang keutamaan sikap ‘afuu, sikap pemaaf kepada orang yang menyakiti dan merendahkan kita. Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud: ‘Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka orang-orang yang antara kamu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang amat setia’. (surah Fushilat: 34).

Akan tetapi, tiada yang sanggup atau diberikan sifat tersebut kecuali orang-orang yang sabar. Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud: ‘Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan tidak dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.’ (surah Fushilat: 35).

Akan tetapi, kemudian datanglah syaitan mendorongnya untuk membela dirinya dan beranggapan jika dia tidak melakukan pembelaan ini dianggap lemah, manusia akan mencelanya dengan mengatakan ‘lemah’ atau ‘kurang.’ Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud: ‘Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.’ (surah Fushilat: 36).

Berapa ramai orang yang lupa bahawa Allah s.w.t mensifati diri-Nya dengan sifat ini serta memberikan pujian bagi orang-orang yang mahu melakukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA