Isnin, 16 Ogos 2010

Merdeka Adalah Aksara Keramat, Agung Dan Terindah

SMAHADZIR

MALAYSIAKU GEMILANG – laungan bersemarak mengapung langit negara sempena 51 tahun merdeka dan akan terus hidup dalam sanubari setiap warga negara sepanjang tahun. Inilah antara nikmat kemerdekaan, hasil keringat dan perjuangan para pahlawan silam. Merdeka adalah aksara keramat, agung dan terindah yang menjadi impian semua manusia. Kehidupan dalam belenggu penjajahan adalah detik-detik sengsara sehingga cagun istilah perjuangan demi membebaskan bentala tercinta dari cengkaman penjarah. Saiyidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata bahawa: ‘Janganlah kamu menjadi budak (hamba) kepada seseorang, kerana Allah s.w.t telah menciptakan kamu dalam keadaan merdeka.’

Kemerdekaan bermakna apabila seseorang ataupun sesuatu bangsa mendapat kebebasan dari penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahiriah mahupun batiniah. Manusia yang merdeka adalah manusia yang bebas untuk mengatur corak hidup diri mereka, tanpa ada kongkongan dari orang lain. Manusia yang bebas merdeka ialah manusia yang tidak dibelenggu akal fikiran, tindak-tanduk, beragama, bermasyarakat dan sebagainya. Pendek kata, manusia tersebut adalah manusia yang bermaruah, berdarjat dan berdaulat. Seandainya manusia tersebut dijajah atau tidak merdeka, bermakna manusia itu tidak memiliki maruah, darjat apalagi daulat.

Begitulah antara tafsiran ringkas yang dapat dihuraikan tentang kemerdekaan. Rasionalnya, umat yang merdeka dapat berfikir dengan bebas, apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa ataupun untuk kepentingan masyarakat seluruhnya, tanpa khuatir kepada makhluk lain yang cuba menghalanginya, kecuali Allah s.w.t.
31 Ogos 1957 adalah satu tarikh keramat yang merupakan detik kelahiran semula bangsa Malaysia dari pelbagai belenggu kokun negatif. Persepsi penjajah bahawa bangsa kita diborgol kejur diselimut gebar fatalis, mandom, pesimis, statik dan sebagainya di dalam sebuah kokun yang dinamakan jumud dan beku dengan hipotesis: ‘sebuah rumah untuk berteduh, sebidang tanah untuk bercucuk tanam, sebuah madrasah untuk beribadat dan selebihnya sebuah alat muzik untuk berhibur selepas penat bekerja - sudah cukup untuk menjalani sebuah kehidupan’ telah berupaya mengubah anggapan prejudis tersebut kepada sebuah wajah kehidupan dalam ertikata yang sebenar dengan kemerdekaan ini.

Bulat air kerana pembetung,
Bulat kata kerana muafakat.

Inilah kata-kata pujangga bangsa kita yang menjadi pegangan dan amalan sejak lama. Terserap erat di dalam dada, terkulum kemas di dasar sanubari, direalisasikan ke dalam kehidupan harian selepas merdeka santak kini, oleh setiap warga yang menggelarkan diri mereka sebagai bangsa Malaysia.

Melayu, Cina, India sepakat,

Jalur gemilang diarak ke puncak,
Hidup sejahtera kerana muafakat,
Kejayaan cemerlang mudah terpacak.

Sesungguhnya, asas persefahaman, bersatu hati, bersama ke satu arah dan perpaduan erat segenap lapisan masyarakat tidak kira bangsa, agama, budaya dan kepercayaan di negara kita bermula sejak laungan keramat MERDEKA mahu digegarkan. Laungan MERDEKA itu adalah laungan kebebasan untuk seluruh warga Tanah Melayu daripada diborgol penjajahan Inggeris dan tanggal 31 Ogos 1957 adalah kemuncak perjuangan Tunku Abdul Rahman, hasil perpaduan dan persefahaman rakyat serta bukti perikatan politik tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

Selepas merdeka, kita mulai berusaha memecahkan pelbagai kokun negatif lalu memacu keazaman, iltizam, kesabaran, ketabahan, pengorbanan, satuan semangat pencapaian yang erat tanpa secubit anasir perkauman, ketaksuban atau juga ekstrimisme dari segenap lapisan masyarakat yang pelbagai warna kulit, budaya, kepercayaan, keyakinan dan bahasa pertuturan. Inilah resepi kejayaan dan kegemilangan kita yang direalisasikan melalui satu bentuk kehidupan yang amat dinamik, unik, harmoni serta diusahakan secara istiqamah semata-mata untuk mencapai definisi membangun.

Kita mengadun resepi perpaduan dalam kepelbagaian ini berasaskan perkongsian, kesederhanaan, toleransi dan pragmatik hidup. Hasilnya, lahirlah sebuah negara bernama Malaysia yang warganya rela dan bangga menggelarkan diri mereka sebagai BANGSA MALAYSIA (satuan dari pelbagai bangsa), gah ke seluruh juzuk dunia sebagai sebuah negara yang pesat membangun setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Dalam usia lebih kurang lima puluh tahun sahaja, kita sudah berjaya mewujudkan sebuah negara berbilang kaum, adat budaya, agama dan kepercayaan, menjadi negara satu bangsa - BANGSA MALAYSIA, yang maju, harmoni, bersefahaman dalam pelbagai bidang dan mengekalkan perasaan muhibah yang terlalu luhur.

Kita, rakyat berbilang kaum amat bersyukur kepada kepemimpinan yang telah menyedarkan, membuka minda untuk menerima hakikat bahawa mencapai kemerdekaan sahaja tidak cukup tanpa lanjutan dengan pelbagai usaha untuk mengisi erti kemerdekaan tersebut dan kita menerimanya dengan hati terbuka seterusnya bersama-sama menjayakan setiap rancangan pengisian kemerdekaan itu sehinggalah ke tahap sekarang. Kejayaan yang dicapai ini adalah satu kejayaan yang tidak ternilai dengan emas dan permata, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara yang masyarakatnya pelbagai kaum, budaya, adat resam dan kepercayaan agama.

Ditambah pula dengan usia yang masih mentah, baru sahaja mencapai kemerdekaan dari penjajah. Semuanya ini merupakan sesuatu yang memang dikagumi dan dijadikan asas pengukuhan rasa kasih dengan mempereratkan lagi bebat tekad memancang banjaran kestabilan, gunung keharmonian, kesejahteraan, muhibah dan sebagainya supaya lebih subur dan buar melebar.

Kita, khususnya setiap rakyat sedar dan akur bahawa perjuangan mencapai kemerdekaan adalah kejayaan semangat para pejuangnya yang sentiasa meletakkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air di tempat yang paling tinggi sebagai sari paling manis perjuangan. Lantaran itulah, setelah merdeka pelbagai usaha dilaksanakan dalam menjayakan sari manis tersebut. Contohnya: menyemarak dan menyuburkan perasaan muhibah dan kasih sayang antara kaum, mewujudkan satu program membasmi kemiskinan, mempertingkatkan kemudahan infrastruktur rakyat terutamanya yang tinggal di luar bandar, memajukan sistem pendidikan dengan memberi pendidikan kepada semua warga tidak kira bangsa dan agama, menyusun semula masyarakat bermatlamat mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian dan pelbagai lagi di samping mempertingkatkan infrastruktur pembangunan Islam. Segala bentuk pendekatan pembangunan yang dilakukan ini sesungguhnya adalah pendekatan yang Islamik. Semua kita iaitu segenap lapisan rakyat baik Melayu, Cina, India atau kaum-kaum minoriti yang lain tidak pernah menafikan hakikat ini kerana semua yang dilakukan semata-mata untuk kebaikan dan kesempurnaan hidup setiap rakyat di atas bentala yang bernama Malaysia ini.

Kepemimpinan juga sangat bertanggungjawab terhadap usaha menegakkan syiar Islam yang dilaksanakan secara holistik bertujuan mewujudkan keadaan sosial yang baik kepada semua rakyat tidak kira bangsa, agama dan budaya yang mereka pertahankan. Dalam ertikata yang lain, kepemimpinan telah berusaha menterjemahkan pengertian Islam yang suci lagi syumul sebagai satu cara hidup yang harus diikuti oleh setiap lapisan masyarakat yang mana telah berhasil membentuk warga menjadi sederhana dalam setiap aspek tingkahlaku, ibadat, amalan, tidak melampau, tidak curiga mencurigai antara satu sama lain, sabar, dinamik, bergotong-royong, tolong menolong, bantu membantu, toleransi, pragmatik, hidup penuh kasih sayang, tolak ansur, bersemangat kuat, rajin, gagah mencari ilmu, pentingkan keamanan, kesejahteraan dan sebagainya. Kesemua sifat ini adalah satu tuntutan yang amat berharga, memang menjadi kewajipan setiap umat terutamanya Islam dalam menjalani kehidupan mereka seharian.

Andai hidup mahu selamat,
Peliharalah laut juga selat,
Peliharalah tanah belantara lebat,
Kerana di situ rezeki dan rahmat,
Kerana di situ tamsil ibarat,
Kerana di situ pelbagai nikmat,
Kerana di situ aneka manfaat,
Kerana di situ petua dan adat.

Begitu kata-kata klasik orang-orang tua yang juga menjadi denai perjalanan rakyat Malaysia menuju matlamat impian negara. Ianya telah menjadi amalan setiap warga yang bergelar BANGSA MALAYSIA. Rakyat menyatukan ini menjadi gemal penyapu lidi yang erat, ketat, kuat, yang sukar dipatah dan diceraikan lalu mereka berupaya membersihkan halaman rumah dari sampah-sampah kotor kohong keganasan, kekerasan, ekstrimisme, ketaksuban, perkauman dan sebagainya. Mereka kumpulkan sampah-sampah bejat dan kohong tersebut di pinggir halaman tanah milik mereka lalu membakarnya menjadi abu dan baja kepada kesuburan pohon-pohon keharmonian, perkongsian hidup, kesederhanaan, pragmatis, toleran, muhibah, tolong menolong, bekerjasama dan kesejahteraan berterusan hingga kini. 

Pohon-pohon tersebut pula menjadi rimbun dan hasilnya kita dapat berteduh di bawah perteduhannya. Tidak berupaya bahang mentari yang garang menerjah dari pundak langit membakar dan merentungkan diri kita.

Dalam konteks masyarakat majmuk yang berbilang kepercayaan, adat resam dan budaya hidup ini memerlukan satu pendekatan yang kreatif lagi inovatif dalam merealisasikan cita-cita rancangan pembangunan negara. Bangsa Malaysia telah mencurahkan kerjasama yang padu terhadap falsafah pembangunan holistik, tuntas dan menyeluruh yang merangkumi aspek-aspek ketakwaan kepada Tuhan, kelestarian alam sekitar, kesejahteraan sosial dan kemakmuran ekonomi.

Dalam usaha merealisasikan semua ini, bangsa Malaysia juga telah sentiasa menjaga dan mengukuhkan hubungan mereka dengan Tuhan Yang Mencipta, hubungan baik mereka dengan sesama manusia tidak kira bangsa, agama dan budaya, hubungan baik mereka dengan haiwan dan juga hubungan baik dengan tumbuh-tumbuhan yang ada di sekeliling mereka. Mereka menjaga alam sekitar atau alam semulajadi itu daripada sebarang kerosakan kerana sedar perbuatan merosakkan itu amat dimurkai oleh Allah s.w.t. Mereka berpegang teguh, meyakini, mengamal, mentaati seterusnya menghebahkan pengertian kalam Allah dari surah Ali Imran ayat 1112 yang bermaksud: ‘Mereka ditimpakan kehinaan dari segala jurusan di mana saja mereka berada kecuali mempunyai hubungan yang baik dengan Allah dan hubungan yang baik sesama manusia.’

Supaya hidup beroleh berkah,
Amal banyak, takwa melimpah.

Gurindam bangsa yang menjadi pedoman ini tidak pernah lekang dari terpahat erat di hati nurani juga menjadi amalan seharian. Amalan-amalan yang berterusan beginilah yang memperkukuhkan lagi ikatan antara kaum di negara kita. Setiap warga terutamanya yang beragama Islam, sedar dan beriman sepenuh jiwa bahawa kalam Allah dalam surah al-A’raf ayat 96, yang bermaksud: ‘Kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami tumpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi,’ adalah lorong terang dan landasan yang benar untuk merealisasikan keharmonian negara berterusan. Janji dari Allah s.w.t , Tuhan Pencipta Segala Alam adalah benar dan Dia tidak pernah menghampakan hamba-Nya yang nyalar berusaha ke arah apa yang dihajati.


Selain dari kesedaran hubungan baik sesama manusia tidak kira bangsa dan agama, bangsa Malaysia yang insaf juga tidak melupakan hubungan baik mereka dengan alam sekitar ciptaan Allah. Inilah satu-satunya rahmat Allah yang paling berharga untuk manusia kerana kelestarian alam sekitar mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan proses kehidupan manusia itu sendiri. Dari segi kajian biologi, tumbuh-tumbuhan menggunakan karbon dioksida dan membebaskan oksigen. Oksigen pula amat diperlukan oleh makhluk-makhluk lain yang bernyawa terutamanya manusia dan haiwan. Andai kelestarian alam sekitar ini diabaikan, berlakulah pelbagai pencemaran yang boleh menggugat kehidupan yang lain.

Lantaran itulah, semua bangsa Malaysia telah bersatu hati dan bersepakat berusaha ke satu arah menjaga kelestarian alam sekitar ini kerana mereka sedar Allah mencipta alam ini dengan segala keindahan dan kenikmatannya demi kebaikan dan faedah kepada manusia itu sendiri. Justeru, menjadi tanggungjawab mereka yang amat besar untuk sentiasa memelihara kelestarian alam sekitar tersebut supaya ianya dapat dimanfaatkan secara berterusan bukan saja oleh generasi mereka tetapi juga untuk generasi yang akan datang.

Mereka juga akur dan insaf dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Rum, ayat 41 yang bermaksud: ‘Tidak lahirlah bencana di darat dan di laut kerana usaha tangan mereka supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan yang mereka perbuat, mudah-mudahan mereka kembali bertaubat.’

Usaha pendekatan holistik kepemimpinan negara yang Islamik, yang melihat persoalan pembangunan dari pelbagai sudut seperti pembangunan yang sesuai dengan kehendak hablum-minallah dan hablum-minannas yang mana mahu mewujudkan corak pembangunan yang seimbang antara material dan bukan material, juga merupakan antara faktor kegemilangan Malaysia. Rata-rata rakyat Malaysia yang mengaku dirinya berbangsa Malaysia mengakui bahawa pembangunan tidak semata-mata dari sudut hukum-hakam dan mengabaikan tanggungjawab membangun manusia dari sudut material saja tetapi juga menyeluruh kepada aspek-aspek akhlak, hati budi, keperibadian dan sebagainya. 

Begitu juga dalam aspek pembangunan modal insan. Pembangunan modal insan menjadi sangat penting kepada negara pada masa depan dan mereka ini mestilah berkualiti bukan saja dari segi pendidikan, kemahiran dan kepakaran tetapi juga dari segi nilai moral yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Kemerdekaan telah mengeluarkan bangsa Malaysia dari belenggu penjajahan, kokun jumud, fatalis dan sifat-sifat negatif yang lain dan ini adalah tuntutan ibadah yang berupaya menjulang martabat bangsa ke taraf yang amat membanggakan. Usaha-usaha murni kepemimpinan dengan kerjasama erat rakyat berbilang kaum yang bukan saja mengutamakan aspek pembangunan manusia melalui dua konteks utama iaitu lahiriah dan batiniah, telah menyerlahkan kemurnian yang dicita-citakan. Secara tidak langsung juga telah melahirkan amal soleh di kalangan setiap rakyat dalam agenda kehidupan mereka sehari-hari.

Mereka merealisasikan amal soleh di dalam pengertian dan konsep yang luas termasuk apa-apa perbuatan dan amalan yang dilakukan untuk kekuatan diri, masyarakat, agama dan negara. Ibadah dan amal soleh yang dilakukan berpaksi kepada niat untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t semata-mata dan tidak sekali-kali kepada yang lain sama ada untuk menunjuk atau bermegah-megah dan sebagainya. Mereka sedar bahawa, amal soleh dalam konteks memperjuang, menegakkan syiar Islam dan membangunkan masyarakat dan umat, berteraskan kepada keyakinan yang tinggi yang dibina di dalam diri sebagai suatu kekuatan dalaman yang berupaya mencetuskan perbuatan dan tingkah laku yang murni dan mulia.

Mereka juga sedar bahawa amal soleh adalah suatu kewajipan dan perjuangan yang amat dituntut oleh agama khususnya dalam konteks membina kesejahteraan, keharmonian dan keadilan sosial. Ini adalah kerana, kesejahteraan, keharmonian dan keadilan sosial hanya akan tercapai zahirnya apabila mempunyai kepemimpinan yang sentiasa memperjuangkan pelaksanaan yang berteraskan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan sosial tersebut secara berterusan tanpa memikirkan kepentingan diri dan golongan tertentu sahaja tetapi meletakkan keutamaan kepada rakyat, agama dan juga negara.

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum, adat budaya, kepercayaan dan agama ini bersepakat mengakui bahawa Islam adalah satu cara hidup yang unggul, yang mengemukakan peraturan yang lengkap dan akmal, yang di dalamnya terkandung persoalan akidah, syariah dan akhlak. Lantaran kesedaran itulah, mereka satu hati dan polos sekali menjayakan hasrat murni kepemimpinan merealisasikan akidah, syariah dan akhlak dalam masyarakat. Mereka juga tanpa sebarang rasa curiga dan syak wasangka berusaha merealisasikan ketiga-tiga persoalan di atas asas-asas seperti iqamatud-din yakni menegak dan mempertahan agama, tatbiq as-syar ‘iyyah yakni melaksanakan Islam dalam masyarakat dan nasyrud-din yakni menyebar dan mengembangkan agama ‘dakwah’.

Sebenarnya, kejayaan kita merealisasikan kegemilangan Malaysia ini bukan disebabkan oleh semua yang sudah disebut tadi sahaja. Selain dari sokongan padu daripada setiap golongan rakyat berbilang kaum, iainya juga kerana usaha yang berterusan, yang tidak kenal jemu-lelah kepemimpinan, tidak kalah dengan pelbagai cabaran melanda, tabah dan sabar dan sebagainya dalam merangka pelbagai rancangan yang mana kini telah berjaya mengubah imej negara daripada sebuah negara pertanian yang berasaskan tanaman komoditi kepada negara perindustrian.

Kita boleh lihat usaha-usaha yang tidak kenal lelah itu yang bermula sejak tahun 1956 lagi melalui Rancangan Lima Tahun Pertama negara. Keprihatinan kepemimpinan negara melenyapkan dasar-dasar penjajah British yang lebih menekankan perhatian ke atas perkembangan negeri-negeri di bahagian Pantai Barat Semenanjung yang menyebabkan negeri-negeri di bahagian Pantai Timur jadi terabai - telah menyebabkan kemakmuran negara dapat diagihkan samarata dan samarasa kepada semua rakyat. Secara tidak langsung, jurang kemiskinan antara penduduk bandar dengan penduduk luar bandar yang agak luas terutama penduduk di luar bandar telah dapat dikurangkan.

Tumpuan jitu kepemimpinan negara terhadap pembangunan ekonomi dan mengimbangkan pertumbuhannya supaya dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat tidak kira bangsa dan agama, terutamanya selepas negara mencapai kemerdekaan juga menjadi sebab kita berupaya mengorak langkah mencapai kegemilangan demi kegemilangan sehinggalah sekarang.

Usaha kepemimpinan negara menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi, sosial, keselamatan dan pentadbiran yang diwujudkan itu juga sebenarnya bertujuan untuk mengatasi masalah sosioekonomi dan politik akibat dari dasar penjajah, yang jelas tidak akan berupaya merealisasikan segala cita-cita murni membentuk sebuah negara berbilang kaum yang bersatu, muhibah, harmoni dan sebagainya dan lantaran itulah, sebagai permulaan, dasar pembangunan negara yang dilaksanakan mulai tahun 1956 itu ditumpukan kepada pembangunan terutama di kawasan luar bandar.

Dalam usaha merealisasikan segala cita-cita murni tersebut, beberapa agensi telah diwujudkan ketika Rancangan Lima Tahun Pertama negara seperti Perbadanan Pembangunan Industri Luar Bandar atau RIDA pada tahun 1956 dan selepas itu, pada tanggal 1 Julai 1956 pula, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau FELDA pula diwujudkan. Ianya adalah hasil perahan minda yang dicetuskan oleh Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang mana telah berjaya menggandakan hasil pendapatan rakyat luar bandar dan mereka tidak perlu lagi berhijrah ke bandar-bandar besar untuk tujuan mencari rezeki.

Usaha-usaha ini tidak tamat di sini sahaja. Keprihatinan kepemimpinan diteruskan dengan menubuhkan pula MARA yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup kaum Bumiputera dengan penyediaan pelbagai latihan kemahiran yang sesuai dengan minat dan kecenderungan. Seperti juga matlamat MARA, FELDA juga untuk menambah hasil pendapatan rakyat luar bandar khususnya supaya mereka tidak lagi keluar mencari rezeki di bandar-bandar besar. Secara tidak langsung, masalah penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar dapat dikurangkan.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak Datuk Husin, dengan menubuhkan FELDA pada 1 Julai 1956, Rukun Negara pada tahun 1970 seterusnya Rancangan Buku Hijau pada tahun 1974 adalah antara rancangan-rancangan untuk menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi dan sosial bagi memastikan semua kaum menerima kemakmuran negara serta menggalakkan rakyat menghasilkan produk makanan sendiri dan mengurangkan import makanan ketika itu.

Keprihatinan kepemimpinan berterusan selepas itu di mana Rancangan Lima Tahun Kedua (1961-1965) memanjangkan matlamat dan tujuannya dengan membuka lebih banyak lagi kawasan tanah-tanah pertanian di dalam projek pembangunan wilayah seperti Projek Segitiga Jengka di Pahang, Projek Johor Tenggara dan Projek Pahang Tenggara. Hasrat murni kepemimpinan ialah supaya para petani berusaha menanam pelbagai jenis tanaman agar negara dapat mengurangkan pergantungan kepada bahan makanan yang diimport.

Seterusnya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA pula kemudiannya diwujudkan iaitu pada tahun 1965 juga dengan matlamat membantu para petani memasarkan hasil pertanian mereka juga untuk memecahkan monopoli terhadap orang tengah yang fungsinya amat memeras. Dengan adanya FAMA juga, secara tidak langsung bermakna, nasib para petani telah dapat dibela dan diselamatkan dari penindasan orang tengah yang tidak bertanggung jawab itu.

Program Pembangunan Masyarakat yang dikenali sebagai Gerakan Maju yang diwujudkan pada tahun 1966 juga merupakan antara usaha-usaha kepemimpinan mengubah corak hidup masyarakat. Segala perbincangan dalam merangka, menggubal, menyusun, melaksana dan menjayakan rancangan pertanian serta mengawasi perlaksanaan projek murni tersebut dilakukan di Bilik Gerakan Negara.

Rancangan Malaysia Pertama (RM-1), kesinambungan dari Rancangan Lima Tahun terus dijayakan dalam pelaksanaan rancangan pembangunan ekonomi bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berikutan penubuhan Malaysia pada tahun 1963 yang bertujuan untuk memajukan sektor pertanian dan perindustrian serta memperbaiki keadaan sosioekonomi terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. Peranan ini telah dimain dan dijayakan oleh FELCRA atau Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan bersama dengan MARDI atau Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dengan berkesan sekali di mana hasil pertanian telah meningkat ke tahap yang amat membanggakan.

Antara lain fungsi RM-1 ialah memperuntukkan kemajuan dalam sektor perindustrian, terutama di kalangan kaum Bumiputera. Satu strategi telah digunakan iaitu dengan memberi galakan kepada usahawan Bumiputera memainkan peranan secara bijak dan berkesan dalam bidang perindustrian, menggalakkan pelaburan dari luar atau pelaburan asing ke dalam negara serta membina kawasan-kawasan perindustrian yang khas untuk tujuan tersebut.

Walaupun keseimbangan ekonomi antara kaum dan wilayah tidak berjaya direalisasikan sebagaimana yang dicita-citakan oleh kepemimpinan namun kepemimpinan negara tidak berputus asa sebaliknya terus berintrospeksi secara mendalam, mengenal pasti semua kelemahan, seterusnya memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut lalu diperkenalkan pula rancangan pembangunan negara melalui satu program yang mempunyai matlamat dan cita-cita yang lebih tersusun dan luas. Hasilnya ialah selepas tahun 1970, kepemimpinan yang prihatin ini telah menjalankan pembangunan negara menerusi Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1/1970-1975). Di bawah RRJP1 ini, kepemimpinan negara telah melaksanakan empat rancangan pembangunan lima tahun dari Rancangan Malaysia Kedua iaitu dari tahun 1971 hingga tahun 1975 sehingga Rancangan Malaysia Kelima iaitu dari tahun 1986 hingga tahun 1990.

Lima tunggak utama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan, adalah satu ideologi atau pegangan rakyat negara Malaysia juga telah dilancarkan iaitu pada tanggal 31 Ogos 1970. Ianya bukan sekadar satu pegangan yang harus diakuri tetapi juga menjadi garis panduan dalam setiap rancangan dasar ekonomi negara supaya mengarah kepada perpaduan kaum.
Selain dari itu, Dasar Ekonomi Baru juga turut diperkenalkan supaya menjadi asas dalam rancangan pembangunan negara bagi tempoh dua puluh tahun dalam usaha menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi dan sosial yang hasratnya untuk memastikan semua kaum tidak kira bangsa dan agama dapat menikmati kemakmuran dan keadilan sosial.

Kita boleh lihat, rancangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kepemimpinan negara waktu itu yang berasaskan Dasar Ekonomi Baru yang diwujudkan pada tahun 1971 itu telah berjaya mencapai matlamatnya apabila berhasil membasmi kemiskinan sera dapat menyusun semula masyarakat di mana menurut perangkaan yang dikeluarkan, kadar kemiskinan telah menurun daripada 49.3 % pada tahun 1970 kepada 17.3% pada tahun 1987 dan menurun lagi kira-kira 16% pada tahun 1990. 

Sesuatu yang amat membanggakan ialah jumlah penyertaan dan pembabitan golongan miskin dalam rancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh kepemimpinan waktu itu dapat dilihat dengan jayanya melalui projek pembukaan tanah.

Seterusnya, kejayaan juga dapat dilihat dalam sektor pembuatan. Mengikut fakta sejarah, sektor pembuatan telah berjaya meningkatkan eksport daripada 67.6% pada tahun 1970 kepada 75.2% pada tahun 1988. Penyertaan dan penglibatan kaum Bumiputera dalam sektor-sektor lain seperti perdagangan juga menunjukkan taraf peningkatan yang amat menggalakkan. Pelbagai dasar dan usaha telah dilaksanakan sehinggalah ke tahun 2007 dan kini kita telah menyaksikan pelbagai kegemilangan mencuar tegak di depan mata.

Sebagaimana yang telah dijelaskan tadi bahawa penyatuan usaha antara kepemimpinan negara serta seluruh rakyat tidak kira bangsa dan agamalah yang menjadi faktor utama kejayaan merealisasikan kegemilangan Malaysia. Inilah hakikat yang tidak boleh dinafikan sehingga menimbulkan satu rasa ketakjuban yang bukan kepalang kepada dunia luar tentang keunikan negara kita berdiri tegak di puncak kegemilangan. Mereka takjub dan seperti tidak percaya bahawa negara kita yang terdiri dari berbilang kaum ini mampu mengekalkan kestabilan, keharmonian, muhibah, toleransi dan sebagainya, seterusnya tertanya-tanya apakah ubat mujarab yang diguna pakai oleh kita dalam merealisasikan ini semua.

Dalam soal ini, rata-rata rakyat Malaysia yang bergelar bangsa Malaysia tidak segan silu malah berbangga mengatakan bahawa ubat mujarab tersebut bernama ‘resepi ala Malaysia’. Ramuannya terdiri daripada kepelbagaian dan satuan semangat kerjasama, kefahaman erti merdeka secara benar, cintakan keharmonian, muhibah, kedamaian, persahabatan, keakraban, toleransi dan sebagainya yang dijana oleh semua kaum yang polos menganggap bangsa mereka adalah bangsa Malaysia, yang menggunakan satu bahasa perantaraan dan saling hormat menghormati perbezaan agama dan kepercayaan antara sesama mereka.

Dalam masa yang sama, mereka juga tidak akan mendabik dada seterusnya melupakan segala usaha murni kepemimpinan negara yang sering memandu dan tidak jemu jelak membuka minda dan denai yang luas serta jelas ke arah merealisasikan resepi unik tersebut. Pengemblengan usaha yang jitu antara rakyat dengan kepemimpinan negara adalah katalis resepi unik ini dapat dicegatkan di atas mercu kejayaan gemilang.

Semua rakyat, tidak kira bangsa dan agama, adat dan budaya, warna kulit dan bahasa pertuturan ibunda, sama-sama bertungkus lumus menjayakan setiap gagasan yang dicetuskan oleh kepemimpinan negara. Kita boleh lihat, sejak awal lagi, sejak negara mencapai kemerdekaan, setiap warga negara disedarkan bahawa asas pemerintahan negara berteraskan Islam yang syumul, adil dan sempurna. Diserapkan ke setiap sanubari rakyat bahawa Islam is the most complete way of life, yang menyeluruh, baik dari segi sosial, politik mahupun dalam aspek ekonomi. Islam menjanjikan keadilan untuk semua, tidak kira bangsa dan fahaman agama yang mereka anuti.

Asas inilah yang diambil oleh kepemimpinan negara dalam mengatur hidup berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat yang teratur, tersusun, harmoni dan bersatu padu antara satu sama lain. Contohnya, dengan memperundangkan sifat tolong menolong, bergotong-royong, saling bantu membantu dan sebagainya terutama dalam mengerjakan kebaikan dan melarang sama sekali sebarang bentuk kemungkaran.

Kepemimpinan negara cukup sedar bahawa Islam mempunyai sistem politik yang cukup adil dan saksama serta berdaulat. Kesaksamaan, keadilan dan kedaulatan tersebut boleh dilihat dalam aspek sumber perlembagaannya yang kukuh dan mantap iaitu Al-Quran dan as-Sunnah. Matlamat penubuhan kerajaan di dalam Islam juga jelas, mempunyai dua matlamat yang sering membantu bagi penubuhan kerajaan di dalam negara Islam iaitu membentuk keimanan atau ad-deen dan menjaga kepentingan rakyat baik yang beragama Islam ataupun tidak beragama Islam.

Seterusnya, keprihatinan kepemimpinan terserlah dalam pembentukan keimanan kerana inilah tujuan asas yang dilakukan oleh politik Islam. Sesungguhnya, itulah sebabnya ia wujud dengan jumlah yang membezakannya dari sistem politik yang lain. Hakikat ini diterima pula oleh semua lapisan masyarakat baik Melayu, Cina, India dan sebagainya tanpa sebarang bantahan malah ikhlas sekali mengakurinya.

Mereka amat meyakini kerana sejarah dunia sudah pun membuktikan. Contohnya, kejatuhan sistem komunisme adalah disebabkan kedaulatan yang hanya berpandukan kepada akal dan hawa nafsu semata-mata yang mana terus mengukuh tunjang kesedaran di hati masing-masing bahawa teori kedaulatan Barat menampakkan pemisahan yang nyata antara agama dari politik. Lantaran itu, Islamlah yang terbaik dan wajar diwujudkan di negara kelahiran mereka ini. Pun begitu, fungsi Tuhan tidak langsung disentuh oleh Barat tatkala membincangkan soal kedaulatan. Inilah perbezaan nyata yang menjadi garis pemisah antara sistem politik Islam dan Barat. Dalam Islam, Allah s.w.t adalah sumber kedaulatan yang mutlak dan kuasa jurisdiksi. Ini juga bermakna, tidak ada siapa pun yang berhak melanggarnya hatta haiwan sekalipun. Segala ketetapan telah disusun dengan sempurna dan lengkap serta sesuai dengan fitrah juga naluri makhluk ciptaan-Nya.

Golongan minoriti juga menikmati pelbagai kemakmuran di negara ini. Ini adalah kerana corak kepemimpinan yang mengamalkan pentadbiran berdasar kepada Islam mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh mana-mana pemerintahan lain. Mereka sendiri bijak menyelusuri fakta sejarah silam yang mana telah membuktikan sejak dahulu hingga kini bahawa golongan minoriti di negara-negara bukan Islam khususnya, rata-rata mengalami penindasan dan kezaliman yang teruk. Sedangkan golongan minoriti bukan Islam atau disebut zimmi di negara Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi hingga ke hari ini mendapat pembelaan dan mempunyai kedudukan istimewa di negara Islam. Setelah mereka melihat, membaca dan mengkaji bidang politik, sosial dan ekonomi, jelaslah bahawa Islam adalah agama yang paling sempurna yang terkandung di dalamnya segala kebaikan dan kelebihan yang tidak ternilai.

Lantaran itulah, corak kepemimpinan negara terus diterima sepolos hati, bersatu dengan kaum-kaum majoriti lalu terbentuklah keamanan, keharmonian, kesejahteraan, toleransi, muhibah, tolong menolong dan sebagainya. Cita-cita kepemimpinan untuk membawa negara dan masyarakat ke takah yang lebih maju menjadi lebih mudah dan cepat. Sebab itulah, dalam masa cuma lima puluh tahun lebih sahaja kita sudah berjaya merealisasikan segala wawasan negara.

Inilah antara keunikan yang terdapat di dalam pemikiran setiap warga negara Malaysia yang bergelar bangsa Malaysia. Mereka bukan saja mempunyai keunikan dalam tindakan sehingga berhasil mewujudkan satu suasana muhibah, harmoni, sejahtera dan sebagainya kepada negara tetapi juga mempunyai akal atau minda yang unik sehingga mampu menilai bentuk masa depan yang telah diprogramkan oleh kepemimpinan negara.

Usaha kepemimpinan seterusnya menjadi lebih mudah lalu pelbagai dasar dan pencapaian matlamat terus dirangka dan dilaksanakan. Rakyat Malaysia yang menggelarkan diri mereka Bangsa Malaysia, yang hidup harmoni kendati pelbagai bangsa, agama dan adat budaya, dengan ekonomi yang mantap serta stabil, terus menyokong segala usaha-usaha murni kepemimpinan negara ini dengan semangat pencapaian yang tidak berbelah bagi. Mereka bersatu semangat, berpadu harapan, mengerat bebat usaha dan sebagainya untuk merealisasikan segala wawasan murni tersebut.

Dibaur pula dengan usaha yang tidak kenal jelak oleh kepemimpinan negara baik yang terdahulu mahupun terkini dalam hasrat memajukan negara tercinta, semakin bertambahlah gejolak usaha dan kesatuan antara pelbagai kaum untuk menjayakan semua yang dicitakan. Lantas, bergemalah irama paduan seluruh tenaga rakyat menjadi satu, semangat jati diri, moto yakin boleh dibebat erat-erat dalam jiwa, dengan ilmu berguna yang digarap dari pelbagai sumber sebagai asas kepada insan yang kaya maklumat dan sebagainya, akhirnya kini kita boleh berbangga dan berasa megah kerana Malaysia sudah mampu ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan negara maju yang lain. Bekas tanah jajahan British ini kini sudah gah, tersohor dan harum di seluruk juzuk dunia.

Negara kita menyerlah dengan pemimpin yang kaya dengan gagasan yang jitu, wawasan yang jelas, berwibawa dalam mentadbir negara, punya mandiri terpuji, cekap, adil, yang sentiasa memerah minda mencari jalan ke arah kemajuan negara dan rakyat keseluruhan juga dikurniakan minda yang pintar dan bernas mengubah corak kehidupan setiap rakyat yang menghuni di negara ini. Sesungguhnya, seluruh rakyat negara ini patut dikalungkan segunung tahniah kerana faham erti merdeka yang sebenar, bersikap positif menerima dan bersatu melaksanakan setiap gagasan, wawasan dan cita-cita luhur kepemimpinan, mengamalkan perasaan muhibah, toleransi, sederhana dan pelbagai lagi akhlak-akhlak yang positif sehingga membuahkan kesejahteraan, keharmonian, keamanan, kedamaian yang mana secara tidak langsung pepohon kemajuan dan pembangunan menjadi lebih mudah disuburkan, tembun dan rendang. Segala kejayaan gemilang ini adalah hasil daripada usaha yang berterusan kepemimpinan negara dengan kerjasama dan sokongan padu dari rakyat berbilang kaum negara ini.

Sesungguhnya, segala kegemilangan yang kita capai bukanlah semudah mengopek kulit kacang tanah. Ianya umpama meredah belantara tebal beronak dan berduri, penuh dengan haiwan-haiwan buas yang sentiasa bersedia mahu membaham andai tersalah langkah tetapi kematangan telah berjaya mengatasi segala cabaran. Kepemimpinan negara bersama seluruh rakyat Malaysia sentiasa bekerjasama dalam usaha mengejar kesempurnaan hidup. Wawasan kepemimpinan untuk rakyatnya yang bernama bangsa Malaysia, yang sentiasa bertungkus-lumus memerah otak fikir, yang sentiasa menahan gegendang telinga dari pelbagai cemuhan, kejian dan prasangka melulu - semata-mata untuk mengeluarkan rakyatnya dari belenggu kokun jumud, fatalis, mandom dan sebagainya juga untuk melihat rakyat dan negaranya maju dan membangun setanding dengan orang lain di dunia ini, sentiasa bersemarak. Hakikatnya kepemimpinan tidak keseorangan dalam merealisasikan ini semua. Di belakangnya berdiri gagah rakyat Malaysia yang bernama bangsa Malaysia, memberi sokongan padu, mencurah sepenuh tenaga, akal, masa, pengorbanan dan segala-galanya.

Kesimpulannya, kegemilangan Malaysia yang merupakan suatu proses evolusi sejarah pembinaan negara yang menjangkau lima puluh tahun yakni selepas merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 adalah satu kejayaan mengadun dan memperkukuhkan ikatan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya ke dalam suatu acuan yang unik, suatu cara hidup yang dinamik, aman serta berterusan membanguan, suatu perpaduan dalam kepelbagaian berlandaskan prinsip hidup perkongsian, kesederhanaan, tolenransi dan pragmatis, lahir secara evolusi dan demokratik semenjak merdeka melalui kerja keras dan proses cuba pakai yang menuntut kepada kesabaran, pengorbanan serta ketabahan dengan menolak keganasan, perkauman, ketaksuban dan ekstrimisme daripada segenap lapisan rakyat yang berbilang kepercayaan, budaya dan keyakinan, terpahat di dalam Perlembagaan Malaysia. Kegemilangan ini merupakan suatu revolusi mental rakyat Malaysia, suatu kejayaan yang tiada tolok bandingnya bagi sebuah negara majmuk dan muda yang berhempas-pulas berjuang untuk mendapatkan tempat di peta dunia dan suatu pencapaian bernilai tinggi yang mesti dipertahan dan dikekalkan. 

Kegemilangan ini telah berjaya direalisasikan dengan warna yang gemilang hasil dari kesedaran dan usaha berterusan kepemimpinan negara juga sokongan padu setiap rakyat dengan penghijrahan dari pelbagai belenggu kokun negatif. Lantaran itu, wajarlah kita bersyukur dan bertawakal serta bersama-sama mengekalkan kegemilangan, kestabilan dan kesejahteraan negara kita ini hingga ke akhir hayat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA