Isnin, 16 Ogos 2010

Memimpin Dengan Rendah Hati

SMAHADZIR

KATA Rasulullah s.a.w, pemimpin adalah pelayan umatnya. Bukan sebaliknya, bagai ‘raja’ yang selalu minta dilayani. Setelah diumumkan pengangkatannya menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz menyendiri di rumahnya. Tidak ada orang yang menemui, baginda pun tidak mahu keluar menemui seseorang.

Dalam kesendirian itu, baginda menghabiskan waktu dengan bertafakkur, berzikir, dan berdoa. Pengangkatannya sebagai khalifah tidak disambutnya dengan pesta, tetapi justeru dengan cucuran air mata. Tiga hari kemudian baginda keluar. Para pengawal menyambutnya, hendak memberi hormat. Umar segera mencegahnya. ‘Kalian jangan memulai salam kepada saya, bahkan salam itu kewajipan saya kepada kalian.’

Itulah perintah pertama khalifah kepada pengawal-pengawalnya. Umar menuju ke sebuah ruangan. Para pembesar dan tokoh telah menunggunya. Hadirin terdiam dan serentak bangkit berdiri memberi hormat. Apa kata baginda?

‘Wahai sekalian manusia, jika kalian berdiri, saya pun berdiri. Jika kalian duduk, saya pun duduk. Manusia itu sebenarnya hanya berhak berdiri di hadapan Rabbul-’Alamin.’ Itulah yang dikatakan pertama kali kepada rakyatnya.

Buka Hati

Sikap pemimpin dalam Islam, sejatinya memang harus demikian. Sebagaimana kata Rasulullah s.a.w, pemimpin adalah pelayan umatnya. Sabda Nabi itu sungguh istimewa, sebab seorang pemimpin biasanya seperti seorang raja. Dan sebagai khalifah, Umar bin Abdul Aziz mewarisi budaya yang demikian itu; hidup dalam gelumang kemewahan dan kekuasaan.

Ternyata Umar tidak serta merta meneruskan budaya yang sebenarnya menguntungkannya secara peribadi itu. Baginda tidak mahu dihormati berlebihan dan hidup dalam kemewahan. Baginda memilih sikap rendah hati dan sederhana. Sebagai pemimpin besar, bersikap rendah hati, sederhana, dan melayani tentu tidak mudah. Apalagi bila kesempatan bermewah-mewah itu memang terbuka di depan mata, siapa tidak tergiur?

Di negara kita ini, kedudukan dan jawatan pemimpin malah jadi rebutan. Bahkan ramai yang mati-matian berkorban apa saja, dengan segala cara, untuk mendapatkannya. Setelah berhasil meraihnya, pertama kali yang dilakukan adalah pesta kemenangan.

Kemudian segeralah digunakan segala kedudukan yang ada, jadilah OKB (Orang Kaya Baru). Gaya hidup dan pergaulannya berbeza dengan sebelumnya. Seolah-olah menikmati kemewahan itulah memang impiannya.

Mari kita membuka hati ini. Dengan berbagai usaha dan gaya hidup mewah itu, apa yang sesungguhnya dicari? Dengan kereta mewah, rumah megah, pakaian serba mahal, apa sebenarnya yang dirindukan lubuk hati? Mungkin terdetak dorongan… hidup terhormat dan dimuliakan.

Tentu mencapai hidup seperti itu suatu yang normal saja. Malah aneh kalau ada orang bercita-cita mahu hidup hina dan direndahkan. Tetapi benarkah kemuliaan dan kehormatan boleh dicapai dengan hidup berbungkus kemewahan? Cuba sebutkan nama-nama orang yang menggetarkan hati kerana kemuliaan dan kehormatannya. Cermati satu per satu. Benarkah hati anda terkesan kerana kemewahan mereka?

Mari kita bercermin kepada Khalifah Umar. Kita tenangkan hati dan jernihkan fikiran sejenak. Andai baginda memilih cara hidup mewah dan bermain dengan kekuasaan sebagaimana raja-raja yang lain, akankah memiliki nama harum seperti saat ini? Mungkin saja kemewahan singgahsana boleh menjadi topeng kemuliaan di muka rakyat. Tetapi berapa lama ‘kemuliaan’ seperti itu boleh bertahan?

Lihatlah para pegawai yang menyalahgunakan kekuasaan untuk kesombongan dan kemewahan. Bagaimana akhir kehidupan mereka? Masa tua tidak hidup damai, malah gundah-gulana kerana dijerat hukum. Terbukti bahawa kemuliaan yang dibungkus kebendaan hanyalah semu dan tipuan belaka.

Sungguh Allah s.w.t tidak menyukai orang-orang yang sombong. ‘Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu.’ (surah Luqman: 18-19)

Misi Mulia

Ya, memang tidak mudah untuk selalu rendah hati dan memilih hidup melayani. Apalagi kalau terjebak pada dorongan biologi dan egoisme semata. Mahunya justeru dilayani. Ketika sedang memegang kekuasaan, yang difikirkan adalah apa yang boleh diambil dengan posisi ini, bukan kebaikan apa yang boleh diberikan pada orang lain.

Melayani dirasakan sebagai suatu kehinaan, seolah-olah yang harus melakukan adalah orang-orang yang rendah kedudukannya. Padahal melayani inilah misi mulia yang sebenarnya diamanahkan Allah kepada hamba-Nya yang terpilih; Rasulullah s.a.w dan orang-orang yang mengikuti jejaknya.

‘Dan tidaklah Kami mengutus kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.’ (surah Al-Anbiyaa’: 107). Dengan berbahagi rahmat, tersebarlah belas kasih dan kedamaian dalam kehidupan.

Dalam bekerja, seorang pemimpin akan senantiasa berfikir bagaimana pekerjanya sejahtera. Pekerja juga berfikir bagaimana boleh memberikan layanan terbaik melalui pekerjaannya.

Sebagai pemimpin keluarga, seorang ayah yang mengasihi keluarganya akan menghantar pada suasana sakinah. Anak-anaknya juga termotivasi untuk meneladani dan berbakti kepada kedua orang tuanya. Setiap orang yang melayani dengan ikhlas bererti telah berpartisipasi menebar rahmat ke seluruh alam. Itulah tugas terhormat seorang pemimpin. Dan setiap kita pada hakikatnya adalah pemimpin, begitu sabda Rasulullah s.a.w.

Bila setiap orang berfikir minta dilayani, yang terjadilah krisis. Pemimpin minta dilayani pekerjanya. Majikan memeras para pekerja. Petugas menyusahkan rakyat. Orientasinya bukan rahmatan lil ‘alamin, tetapi keuntungan peribadi. Kekayaan alam yang mestinya untuk kesejahteraan rakyat, dikuras untuk bermewah-mewah diri dan kroninya. Hutan digondoli sehingga banjir dan tanah runtuh di sana-sini. Rakyatlah yang menjadi korban.

Melihat perilaku pemimpin yang seperti itu, rakyat juga ikut-ikutan mencari keuntungan sendiri. Sudah kaya dan berkecukupan, namun belum bersyukur malah berebut bantuan yang mestinya untuk fakir miskin. Sungguh cara hidup yang tidak akan berhujung kepada kemuliaan, tetapi justeru kehinaan. Dan inilah yang banyak disaksikan di sekeliling kita sekarang.

‘Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sewajarnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.’ (surah Al-Israa’: 16)

Agar mampu rahmatan lil ‘alamin, kita perlu mentransformasi diri. Pusat diri yang sebelumnya egoisme dan hawa nafsu, harus diganti dengan kebeningan nurani.

Sumber Inspirasi

Bayangkan kalau ada orang yang rendah hati, menghormati sesama, dan suka melayani. Tidakkah hati anda menyukai dan terkesan dengan keikhlasannya? Orang yang demikian itu akan membahagiakan hati sesama. Kalau dia seorang bapa, keluarganya akan menghormatinya dengan tulus. Kalau seorang ibu, anak-anaknya tentu akan senantiasa merindukan. Kalau seorang pemimpin, tentu akan menginspirasi hati sekalian rakyatnya.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membuktikan keberkahan rendah hati. Meski hanya menjabat dua tahun, terjadi perubahan besar. Akhlak rakyatnya yang sebelumnya buruk seketika berubah menjadi baik.

Khalifah Umat akan terinspirasi pemimpin yang rendah hati dan teramat jujur itu. Yang menjadi pembicaraan heboh ketika itu di berbagai sudut kota, warung, sehingga ke pinggiran ladang di desa adalah masalah iman dan amal soleh. Mungkin seheboh dunia ini ketika dihipnotis oleh perhelatan Piala Dunia yang belum lama berakhir.

Masyarakat giat bekerja dan sejahtera. Kemakmuran mencapai puncaknya. Rakyat berdaya ekonominya dan mereka berlumba-lumba menunaikan zakat. Fakir miskin tiada lagi sehingga sangat sukar mencari orang yang wajar menerima zakat. Memberi dan memberi, itu yang menjadi paradigma mereka. Bukan meminta dan meminta.

‘Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi.’ (surah Al-A’raaf: 96)

Alam dan binatang juga digambarkan turut berbahagia. Para gembala yang biasanya takut kambingnya terancam dimakan oleh serigala, ketika itu kedua-dua jenis binatang ini seolah-olah berteman saja. Pintu keberkahan dibuka Allah s.w t bila manusia telah menunaikan tugas sebagai khalifah.

Atas prestasi gemilang itu, tidak menghairankan jika baginda digolongkan sebagai Khulafa’ Ar-Rasyidin kelima selepas Khalifah Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA