Isnin, 16 Ogos 2010

Evolusi Sejarah Pembinaan Negara

SMAHADZIR

SEJAK 51 tahun yang lalu, bermula dari tanggal 31 Ogos 1957, Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan dan pesat membangun. Kendati begitu, tragedi berdarah 13 Mei 1969 telah menyedarkan rakyat dan kerajaan Malaysia betapa pentingnya bersatu-padu, hidup aman damai serta menghindari sifat curiga-mencurigai antara satu sama lain. Melalui perpaduan telah dapat membantu negara mempertingkat dan mempergiatkan lagi pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang bersifat liberal dan demokratik. Hakikatnya, dua elemen utama yang harus diusahakan dalam hasrat pengekalan kemajuan negara berterusan ialah perpaduan antara kaum dan pendidikan.

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh itu perpaduan negara dan pendidikan rakyat merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Tanpa perpaduan dan pendidikan, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan. Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Sudah pasti pembangunan tidak dapat dilaksanakan jika negara berada dalam keadaan huru-hara.

Perpaduan dan pendidikan adalah perkara yang dititikberatkan dalam penyusunan setiap strategi pembangunan dan pentadbiran supaya mampu mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Menerusi perpaduan yang kukuh dan pendidikan yang bersepadu, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju di samping mewujudkan suasana politik yang stabil.  Kecemerlangan dalam bidang pendidikan, keharmonian masyarakat Malaysia yang  sejahtera, bersatu-padu, bermaruah dan berwawasan telah terhasil dan seterusnya menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sejarah telah membuktikan bahawa selepas merdeka, kita telah berusaha memecahkan pelbagai kokun negatif lalu memacu keazaman, iltizam, kesabaran, ketabahan, pengorbanan, satuan semangat pencapaian yang erat tanpa secubit anasir perkauman, ketaksuban atau juga ekstrimisme dari segenap lapisan masyarakat yang pelbagai warna kulit, budaya, kepercayaan, keyakinan dan bahasa pertuturan. Inilah formula kejayaan dan kecemerlangan kita yang direalisasikan melalui satu bentuk kehidupan yang amat dinamik, unik, harmoni serta diusahakan secara istiqamah semata-mata untuk mencapai definisi membangun.

Kita mengadun resepi perpaduan dalam kepelbagaian ini berasaskan perkongsian, kesederhanaan, toleransi dan pragmatik hidup. Hasilnya, lahirlah sebuah negara bernama Malaysia yang warganya rela dan bangga menggelarkan diri mereka sebagai ‘bangsa Malaysia’ (satuan dari pelbagai bangsa), sebuah negara yang pesat membangun setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Dalam usia lebih kurang lima puluh tahun sahaja, kita sudah berjaya mewujudkan sebuah negara berbilang kaum, adat budaya, agama dan kepercayaan, menjadi negara satu bangsa - ‘bangsa Malaysia’, yang maju, harmoni, bersefahaman dalam pelbagai bidang dan mengekalkan perasaan muhibah yang luhur.

Kita juga telah berjaya mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan di bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi. Dunia kini sedang menyaksikan perubahan-perubahan yang begitu cepat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Masyarakat progresif merupakan satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akhirnya akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020. Tetapi kemajuan tersebut tidak akan menjadikan rakyat negara ini terkeluar daripada batas-batas agama dan nilai-nilai ketuhanan.

Perpaduan kaum adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara di dunia termasuklah Malaysia. Ia penting kerana tanpa perpaduan, sesebuah negara itu akan menjadi lemah, sukar untuk dibangunkan dan mudah diancam sama ada oleh kuasa luar atau dalam negara itu sendiri. Segala kejayaan yang kita capai bukanlah semudah mengopek kulit kacang tanah. Ianya umpama meredah belantara tebal beronak dan berduri, penuh dengan haiwan-haiwan buas yang sentiasa bersedia mahu membaham andai tersalah langkah tetapi kematangan telah berjaya mengatasi segala cabaran.

Kepimpinan negara bersama seluruh rakyat Malaysia sentiasa bekerjasama dalam usaha mengejar kesempurnaan hidup. Kita telah memaku tekad di dalam dada untuk menjadi peneraju, untuk negara mencapai status negara perindustrian, kecemerlangan yang tidak terhad sekadar pengeluar kereta nasional sahaja tetapi juga sebagai peneraju dalam kebolehan merekabentuk intelektual menggunakan teknologi terkini. Inilah semangat pencapaian kita semua - rakyat Malaysia - bangsa Malaysia.

Lantaran itu, formula kejayaan negara Malaysia merupakan suatu proses evolusi sejarah pembinaan negara yang cemerlang - satu kejayaan mengadun dan memperkukuhkan ikatan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya ke dalam suatu acuan yang unik. Hakikatnya, dua elemen utama yang harus diusahakan dalam hasrat pengekalan kemajuan negara berterusan ialah perpaduan antara kaum dan pendidikan. Insya-Allah, Malaysia akan terus cemerlang untuk 51 tahun akan datang andaikata aspek perpaduan dan pendidikan ini dapat dikekalkan dalam kehidupan masyarakatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA