Sabtu, 17 Februari 2024

DI TEGENUNGAN WATERFALL, GIANYAR

 

Puas menikmati kopi luwak di Coffee Plantation Bali Pulina, Mas Arif membawa kami ke Tegenungan Waterfall (Air Terjun Tegenungan) pula… terletak di Kampung Kemenuh, Kecamatan Sukawati, Kabupaten Gianyar, berjarak sekitar 30 km dari Denpasar. Air terjun ini memiliki ketinggian 15 meter. Meski tidak begitu tinggi, kelajuan airnya sangat deras. Airnya juga bersih dan bening. Menurut Mas Arif, air terjun ini berasal dari Sungai Tukad Petanu. Tempat ini sering digunakan untuk melakukan aktiviti-aktiviti ekstrem seperti melompat dari puncak air terjun dan bermandi-manda.

Sebagai objek wisata yang berlokasi tidak jauh dari Ubud, Air Terjun Tegenungan ini sudah sangat populer di telinga pelancong asing. Tidak hanya daya tariknya yang sangat memukau, tetapi juga dikenali sebagai tempat wisata yang masih kental dengan budaya, sejarah dan kesenian. Alam semulajadi di sini juga masih asri, tidak banyak disentuh oleh unsur-unsur pembangunan moden dan sudah pastilah oksigen di sini begitu nyaman dan amat menyegarkan.

Saya memang sukakan keindahan alam semulajadi. Sebab itu saya memilih lokasi ini dalam pakej percutian ini. Air Terjun Tegenungan memiliki ketinggian sekitar 15 meter dengan kolam yang boleh digunakan untuk aktiviti berenang. Hanya terdapat tali pembatas yang tidak boleh dilewati oleh para pengunjung ketika berada di lokasi kolam, iaitu titik di mana air terjun tepat jatuh ke kawasan kolam. 

Bagi saya, lokasi Air Terjun Tegenungan ini sangat sesuai untuk destinasi wisata keluarga juga sebagai wisata alam. Ini kerana terdapat banyak sekali fasiliti yang boleh menggembirakan anggota keluarga seperti ayunan berhampiran lokasi air terjun, gazebo, spot selfie, kantin, dan penjual cenderamata. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan oleh para pelancong ketika berada di lokasi air terjun, seperti berenang, merakam gambar, spot selfie dan sebagainya.

Kata Mas Arif, jangan takut berenang di Air Terjun Tegenungan ini kerana sebahagian besar kawasan kolamnya tidak dalam. Cuma jangan sampai melewati batas larangan berupa tali yang sudah dipasang pihak pengelola, dan jangan mandi ketika hujan lebat. Untuk kreativiti rakaman gambar, yang berpadu dengan keindahan alam, berbalut dengan suasana kebahagiaan, adalah rangkaian momen yang tidak boleh dilepaskan begitu saja oleh kamera kita.

Itulah antara beberapa aktiviti yang boleh dilakukan oleh para pelancong ketika berada di sini. Tentang sejarahnya pula, menurut Mas Arif, nama Tegenungan muncul sekitar tahun 1998. Nama asalnya ialah Air Terjun Srongsongan. Nama Tegenungan lahir disebabkan lokasi air terjun ini boleh diakses salah-satunya melalui daerah Tegenungan. Selain nama Tegenungan, lokasi air terjun ini sering disebut juga sebagai Air Terjun Blangsinga. Kerana lokasi wisata ini boleh diakses melalui daerah Banjar Blangsinga.

Terdapat kisah misteri yang berkembang dan diyakini oleh masyarakat sekitar kawasan wisata Air Terjun Tegenungan ini. Air Terjun Tegenungan ini diyakini sebagai sebuah ‘Griya Niskala’ yang bermakna rumah pedanda ghaib. Pedanda adalah salah satu sebutan untuk pendeta yang ada di Bali. Pura Beji Tirta Merta yang jaraknya sekitar 80 meter dari lokasi air terjun ini dianggap sebagai bukti bahawa lokasi air terjun ini adalah sebuah Griya Niskala. Pura Beji Tirta Merta dikenali juga dengan lima pancuran air bening, serta diyakini sebagai lokasi tirta suci untuk pura kayangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA