Sabtu, 17 Februari 2024

DARI NGURAI RAI KE DENPASAR

 

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, kami bertiga terus dibawa berkeliling bandar Denpasar sebelum ke hotel penginapan iaitu Hotel Swiss Bell Ekspress Kuta Legian Sunset Road. Denpasar adalah ibu negeri Bali. Dari sedikit maklumat yang sempat ditelusuri, nama Denpasar ni khabarnya berasal dari kata-kata Bali ‘den’, maknanya utara dan ‘pasar’, yang bermakna pasar yang menjadikan kota itu sebagai kota pasar. Di bandar ini banyak tempat menarik seperti kuil, istana, muzium dan juga pantai yang indah. Denpasar juga terkenal dengan hasil karya batik yang dibuat daripada kain kapas tulen dengan corak, gaya dan citarasa Bali. Ia dijadikan kain sarung bagi wanita, lelaki, kemeja lelaki serta seluar.

Denpasar berkeluasan lebih dari 120 kilometer persegi dan jumlah penduduknya sekitar 930,280 orang. Kumpulan etnik di sini terdiri daripada orang Bali, Jawa, China dan Sasak. Agama utama yang diamalkan di Denpasar adalah Hindu, diikuti oleh Islam dan Protestanisme. Masyarakat di sini menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa utama untuk komunikasi bersama bahasa Inggeris kerana terdapat ramai pelancong dari negara-negara barat yang mengunjungi Bali. Disebabkan pertumbuhan pelancongan yang pesat di Bali, Denpasar juga menerima ramai pelawat sepanjang tahun.

Lebih kurang dua jam sekitar Denpasar, kami dibawa ke Hotel Swiss Bell Ekspress Kuta Legian yang terletak di Jalan Legian, Gg. Troppozone, Lingkungan Pelasa, Kecamatan Kuta, Kabupaten Badung, Bali. Hotel Swiss Bell Ekspress Kuta Legian ini bertaraf 4 bintang, bernuansa ceria dan unik, ideal untuk ahli perniagaan dan keluarga. Hanya 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dan berdekatan dengan berbagai destinasi wisata seperti Legian, Pantai Kuta dan Seminyak. Hotel ini juga menyediakan berbagai layanan dan fasiliti seperti  restoran, perawatan tubuh dan ruang pertemuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA