Sabtu, 26 Februari 2011

Semarakkan Semula Permainan Tradisional Di Kalangan Masyarakat

SMAHADZIR

Semua bangsa di dunia ini mempunyai permainan tradisinya yang tersendiri. Begitu juga dengan bangsa Melayu. Bangsa Melayu memang terkenal dengan pelbagai warisan budaya termasuk permainan tradisional yang dimainkan pada masa lapang. Antara permainan tradisi bangsa yang telah mengambil tempat dalam catatan sejarah warisan negara ialah sepak raga ratus, congkak, selambut atau batu seremban, kelereng, capelong, burung pulang sarang, jala itik, usung balak, perik mata, aci sorok, sorong kereta, tating lawi atau capteh, lumba kuda, laga biji getah, jengkek kapal terbang atau ketinting, tuju para, tuju pot, toi, tarik upih, galah panjang, konda kondi, mencari cucu, ketuk keli, rebut negeri dan lain-lain lagi. Semua permainan tradisional ini telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk jatidiri dan mengisi masa lapang masyarakat zaman nenek moyang kita dahulu.

Kini, permainan tradisional ini seakan-akan sudah semakin dilupakan. Masyarakat seolah-olah telah melenyapkan warisan budaya bangsa ini dari kamus minda mereka tanpa menginsafi kepentingannya. Permainan-permainan moden telah mula mengambil tempat permainan tradisi seperti futsal, play stations, street soccer, computer games dan lain-lain lagi.

Amatlah malang sekali jika perkara ini benar-benar menjadi kenyataan. Siapa lagi yang akan menyemarakkan semula kegemilangan permainan-permainan tradisi ini seperti suatu ketika dulu jika bukan bangsa Melayu itu sendiri? Akan sirnalah sebuah warisan bangsa yang unik dan mempunyai nilai seninya yang tersendiri. Akan lenyaplah sebuah pemangkin jatidiri yang suatu ketika dulu pernah melahirkan ramai insan bergelar pahlawan tanah air.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia secara umumnya wajar memainkan peranan yang penting dalam mengembalikan semula zaman kegemilangan permainan tradisional seperti suatu ketika dulu. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini tidak lenyap ditelan zaman. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus di tengah kegemilangan permainan-permainan moden yang diimport dari barat.

Lantaran itu, program-program atau aktiviti-aktiviti ke arah menyemarakkan semula permainan tradisi di kalangan masyarakat perlu dilakukan. Langkah mempopularkannya seperti kempen ‘Jom Main Permainan Tradisional’, program ‘Membudayakan Masyarakat Dengan Permainan Tradisi’, ‘Kem Semarak Budaya’, dan lain-lain lagi yang pengisiannya adalah permainan tradisi wajar diadakan sepanjang masa. Begitu juga dengan pertandingan permainan tradisonal, perlu dilaksanakan dari masa ke semasa. Pendekatan-pendekatan ini semua merupakan rencah maslahat untuk mempertahankan permainan tradisi bangsa dari langka atau kian pupus. Langkah-langkah tersebut juga penting supaya masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari teknik, peraturan dan kaedah permainan tradisional yang betul sepanjang masa. Dengan langkah proaktif tersebut, tidak mustahil permainan tradisional mampu disemarakkan semula di kalangan masyarakat dan generasi yang akan datang.

Sejarah telah mencatatkan bahawa permainan tradisional memainkan peranan yang penting sebagai lambang keagungan bangsa dan negara. Oleh sebab rakyat negara ini majmuk, permainan tradisional boleh dijadikan salah satu cara rakyat tanpa mengira ras mengisi masa lapang dan bersatu sebagai warga 1Malaysia. Tanpa melihat kepada warna kulit mahupun agama, permainan tradisional sebagai permainan rakyat boleh dijadikan katalis ke arah menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni. Permainan tradisional juga boleh dijadikan platform untuk menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita. Yang jelas, permainan tradisi mempunyai banyak manfaat yang boleh mendatangkan keuntungan bukan saja kepada masyarakat tetapi juga kepada negara.

Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya. Rasionalnya, kita dapat mematangkan pemikiran di samping mencerdaskan minda untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tradisional. Sebagai contoh, permainan congkak menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemain memasukkan biji guli ke dalam ‘rumah’ dan ‘kampung’ pada papan congkak. Tating lawi membentuk usaha mengawal keseimbangan badan sewaktu menating lawi di udara. Konda kondi mampu mencergaskan jasmani, menguji kepantasan berlari dan menyelamatkan diri dari disentuh oleh pihak lawan. Begitu juga dengan lain-lain permainan tradisi. Semuanya mempunyai kebaikan dan falsafah yang tersendiri.

Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni di kalangan masyarakat sesebuah negara supaya lebih cinta akan negara sendiri daripada dijajah oleh budaya luar yang kaya dengan pelbagai kebejatan. Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional mampu mengukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasional di kalangan rakyat supaya mereka sedar akan frasa ‘bersatu teguh, bercerai roboh’.

Sebagai kesimpulannya, permainan tradisional mestilah disemarakkan semula supaya menjadi ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’. Sebagai generasi remaja yang sayangkan warisan budaya bangsa sendiri, saya berharap, satu hari nanti, permainan tradisional ini akan tercuar di puncak kegemilangan seperti suatu ketika dulu. Warisan budaya negara ini wajib kita lestarikan demi kesinambungan tamadun bangsa. Secara tidak langsung juga permainan tradisional dapat meletakkan nama negara dan menaikkan imej Malaysia di mata dunia. Semoga permainan tradisional di negara kita akan terus popular dalam carta kehidupan rakyat dan terus diminati sebagai permainan masa lapang yang berfaedah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA