Sabtu, 26 Februari 2011

Kurangkan Penggunaan Beg Plastik

SMAHADZIR

BEG PLASTIK merupakan produk biasa dalam kehidupan kita malah dibuang sesuka hati setelah digunakan. Plastik merupakan bahan yang diperbuat dari sumber yang amat berharga iaitu petroleum. Ini bermakna, lebih banyak plastik yang kita gunakan, berkuranglah bekalan petroleum kita pada masa hadapan. Beg plastik juga amat sukar dihapuskan. Sekiranya dibakar, ia akan membebaskan karsinogen, iaitu satu bahan penyebab kanser yang amat berbahaya kepada manusia. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh memasuki sumber air minum kita. Haiwan pula boleh mati apabila termakan beg plastik.

Kajian menunjukkan bahawa sebuah beg plastik yang kita buang boleh berada di tapak pelupusan selama beribu-ribu tahun sebelum hancur. Beg plastik merupakan bahan pepejal yang sukar diurai di dalam tanah. Lantaran itu, ia boleh menyebabkan tanah berasid dan tidak sesuai untuk pertanian selain menimbulkan beberapa masalah yang lain. Plastik-plastik yang dibuang akan menjejaskan pengaliran air sehingga boleh menyebabkan air parit dan sungai membanjiri kawasan berdekatan apabila hujan lebat.

Oleh kerana sisa plastik hanya akan reput dalam jangka masa yang panjang, ianya memerlukan sebahagian besar dari kawasan tapak pelupusan. Yang lebih membimbangkan lagi, plastik boleh mengeluarkan kompaun toksik dan berbahaya apabila ia reput. Jika ini berlaku ianya boleh menyebabkan pencemaran tanah, sungai dan sumber air bawah tanah. Keadaan ini akan menjejaskan kualiti alam sekitar, kesihatan dan kesejahteraan makhluk hidup yang lain. Beg plastik yang dibuang ke dasar laut pula boleh mengancam hidupan aquatik dan marin.

Lantaran memberi impak yang negatif kepada kehidupan, banyak negara telah menghentikan secara undang-undang penggunaan beg plastik di kedai dan pasar raya. Banyak negara juga telah mengenakan pembayaran ke atas beg plastik. Selatan Australia contohnya telah mengumumkan larangan pengunaan beg plastik. Hong Kong pula telah mengenakan bayaran HKD 50sen (lebih kurang RM0.25) untuk setiap beg plastik. Manakala negara China telah melaksanakan Akta Pengehadan Penggunaan Beg Plastik. Satu kajian tentang kesan selepas setahun pelaksanaannya telah mendapati ia telah menjimatkan 1.6 juta tan petroleum.

Apabila pereka beg tangan terkemuka, Anya Hindmarch menghasilkan beg tote ‘I’m Not A Plastic Bag’ pada tahun 2009, berduyun-duyun orang terutama wanita berusaha untuk memiliki beg kanvas serbaguna tersebut. Tujuannya ialah untuk menggalakkan lebih ramai orang berhenti menggunakan beg plastik yang dianggap antara punca utama pelepasan gas karbon dioksida (CO2) iaitu penyebab utama fenomena pemanasan global.

Kajian bagi ‘Environmental Protection Agency’ Amerika Syarikat yang dijalankan bersama oleh Konsultan ICF, Konsultan Owen-illinous dan University of Florida pada September 2006 menunjukkan bahawa kitar semula atau penggunaan semula satu tan plastik akan menjimatkan penggunaan tenaga sebanyak 51 hingga 56 juta Btu (satu juta Btu bersamaan dengan tenaga yang boleh dihasilkan oleh lapan gallons gasoline).

Pada 27 Mac 2007, Parlimen Bandar San Francisco Amerika Syarikat telah meluluskan satu akta melarang penggunaan beg plastik di pasar raya dan kedai farmasi. Berdasarkan akta tersebut, penjual runcit hanya boleh menyediakan beg kertas, beg kain atau beg plastik yang boleh terurai kepada pelanggan. Di Los Angeles dan bandar-bandar yang lain di Amerika Syarikat., kerajaan telah mengurus aktiviti pengambilan balik beg plastik dan mencadangkan penduduk tempatan supaya tidak menggunakan beg plastik serta meletakkan beg plastik yang telah digunakan ke tempat yang telah ditetapkan.

Pada 2 April 2007, larangan penggunaan beg plastik telah dilaksanakan di Pekan Leaf Rapids, Manitoba Kanada. Pekan itu merupakan tempat pertama yang menetapkan larangan tersebut di Kanada. Sebelum ini, sesetengah tempat di Australia dan Brazil juga telah mengeluarkan ketetapan mengenai larangan penggunaan beg plastik.

Tanzania pula telah mengumumkan larangan penggunaan beg plastik yang setebal 30 mikron hingga 65 mikron pada tahun 2008. Rwanda telah melarang penggunaan dan pengimportan beg plastik yang setebal kurang 100 mikron semenjak tahun 2005. Kerajaan Kenya telah mengenakan cukai penggunaan sebanyak 120% atas beg plastik dan merancang untuk meningkatkan harga beg plastik sebanyak 6.6 kali ganda pada tahun 2010. Uganda juga telah memulakan pelaksanaan satu akta tentang larangan penggunaan beg plastik pada 1 Julai 2009.

Pada tahun 1999, Republik Korea menggunakan beg plastik yang perlu dibayar, manakala Hong Kong mula mengenakan cukai mesra alam terhadap beg plastik. Jepun, India dan Bangladesh pula telah menggubal undang-undang melarang penggunaan beg plastik.

Berdasarkan peraturan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, beg plastik yang tebalnya kurang 0.025 mm dilarang dikeluarkan dan digunakan. Selain itu, pusat jualan runcit yang menyediakan beg plastik percuma kepada pelanggan perlu membayar denda 10 ribu yuan RMB maksimum.

Singapura turut melancarkan ‘Hari Bawa Beg Beli-belah Sendiri’ pada April 2009. Setiap hari Rabu, sebanyak 206 buah pasar raya di Singapura telah menggalakkan pengguna mengurangkan penggunaan beg plastik. Manakala Republik Korea dan Jepun telah menetapkan siri tindakan untuk menggalakkan pihak penjual dan pengguna menggunakan beg kertas yang boleh dikitar semula.

Belasan tahun yang lalu, Jerman telah menggubal undang-undang mengurangkan penggunaan beg plastik. Pada masa ini, semua pasar raya di Jerman hanya menyediakan beg plastik yang berbayar. Britain, Perancis dan Ireland juga telah menetapkan siri akta untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.

‘Kick the Habit! - ‘Reduce the use of Plastic bags, Towards a Low Carbon Economy’ yang pernah menjadi tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia bertujuan untuk mengajak kita supaya merubah sikap, sikap mengurangkan penggunaan bahan plastik sebagai pembungkus yang berlebihan. Oleh kerana kelebihan bahan plastik dari segi ketahanan (durability) dan 'hygiene', penggunaannya sebagai bahan pembungkus meningkat sejak akhir tahun 60-an. Oleh yang demikian adalah wajar bagi kita sebagai pengguna menyambut baik dan memberikan sokongan terhadap apa juga usaha mengurangkan penggunaan beg plastik dan mempromosi beg guna semula yang telah diperkenalkan.

Cara untuk menggurangkan penggunaan pembungkus plastik yang berlebihan adalah mudah dan murah. Apabila membeli-belah pastikan kita memuatkan beg plastik dengan seberapa banyak barangan belian yang boleh. Gunakan semula pembungkus atau beg plastik bagi kegunaan lain dan tidak membuangnya. Yang lebih baik lagi bawa beg yang boleh digunakan semula dari rumah dan tidak menggunakan beg plastik yang disediakan di kedai dan pasar raya. Mengurangkan penggunaan pembungkus dan beg plastik juga mempunyai beberapa kebaikan dari segi alam sekitar seperti:

  1. Jumlah sisa buangan yang perlu dilupuskan akan berkurangan. Secara langsung kawasan tanah yang perlu digunakan bagi maksud pelupusan juga akan berkurangan. Ini bermakna risiko pencemaran juga akan berkurangan.
  2. Penggunaan semula pembungkus atau beg plastik akan menjimatkan penggunaan sumber tambahan bagi pembuatan beg plastik baru.

Kesimpulannya, kurangkanlah penggunaan beg plastik kerana tindakan tersebut dapat menyelesaikan banyak masalah pencemaran, membantu kehidupan yang selesa untuk makhluk sejagat, menjaga kualiti alam sekitar, dan seterusnya dapat membantu negara mengurangkan keluasan tapak pelupusan.

1 ulasan:

  1. bahagian ini memang membantu saya ..bolehka saya dapat rujukan bagi ulasan ataupun contoh yang diberikan dalam bahagain ini..

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA