Sabtu, 26 Februari 2011

Pengaruh Iklan Dan Pemasaran Terhadap Diet Pemakanan Kanak-kanak

SMAHADZIR

SETIAP hari kita tidak dapat lari dari melihat, mendengar dan membaca iklan yang terdapat di serata tempat sekitar kita. Ke mana sahaja kita pergi, kita akan melihat pelbagai iklan terpampang di depan mata. Di tepi jalan-jalan raya, di lebuh-lebuh raya, di stesen bas, di badan bas, komuter, teksi, lori, di akhbar, di majalah, di kaca televisyen, di corong radio dan sebagainya akan ada iklan yang menyelusup penglihatan dan pendengaran kita.

Menurut satu kajian, iklan melalui televisyen merupakan iklan yang paling cepat dan efektif untuk mendapatkan pelanggan. Malam ini iklan tersiar, esok pagi akan ada jutaan pengguna mencarinya di pasaran. Begitulah hebatnya pengaruh televisyen kepada masyarakat pengguna tidak kira pengguna dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Malah, kanak-kanak dikatakan golongan pengguna yang cepat terpengaruh dengan iklan di televisyen berbanding pengguna golongan dewasa dan remaja.

Hakikatnya, dewasa ini iklan melalui televisyen merupakan satu saluran yang amat penting untuk memperkenalkan sesuatu produk kepada masyarakat. Kesempatan ini digunakan sebaik-baiknya oleh sesebuah syarikat pengeluar untuk memperkenalkan produk keluaran mereka. Kanak-kanak pula merupakan insan yang mudah terpengaruh dengan iklan terutamanya jika menggunakan elemen kartun. Produk makanan yang diiklankan ini baik sekiranya mengandungi cukup nutrisi tetapi sebaliknya jika tidak berkhasiat dan memudaratkan. Makanan yang tidak berkhasiat ini boleh memberi kesan yang tidak sihat kepada diet dan pemakanan kanak-kanak.

Sudah menjadi kenyataan bahawa kanak-kanak amat menggemari makanan berupa snek, gula-gula, aiskrim, coklat, minuman manis dan sebagainya. Mereka akan lebih menggemarinya jika makanan tersebut dipaketkan bersama barang-barang permainan berupa kereta, motosikal, robot, pistol, binatang dan lain-lain lagi. Ada sesetengah makanan segera dibungkus dalam kotak yang cantik, dicetak dengan gambar-gambar yang boleh menarik minat kanak-kanak seperti gambar Ultraman, Superman, Hulk, Spiderman dan sebagainya. Di dalamnya diisi pula dengan pelbagai barang permainan plastik. Makanan dalam kotak seperti ini amat disukai oleh kanak-kanak dan sesetengah kanak-kanak akan meraung-raung jika tidak dibelikan oleh ibu bapa mereka.

Di pasaran sekarang terdapat pelbagai jenis makanan segera. Harus diingat bahawa makanan segera merupakan salah satu kategori makanan mudah guna yang didefinisikan sebagai makanan sejuk atau panas. Ia hanya memerlukan masa dan usaha yang sedikit untuk menyediakannya, merangkumi jenis makanan seperti makanan segera (fast foods), makanan gerai, makanan terproses minimum, makanan terproses separa, makanan sedia dimakan, makanan ringan/snek (snack foods), makanan ringan atau snek kurang zat (junk foods) dan minuman sedia diminum. Kesan makanan segera dalam diet pemakanan bergantung kepada penyediaannya. Kita harus berhati-hati jika makanan-makanan ini mahu diberikan kepada kanak-kanak.

Apa yang perlu ditegaskan di sini ialah, makanan segera sering disalahertikan sebagai makanan yang tidak berkhasiat dan memudaratkan. Hakikatnya memang ada yang berkhasiat dan ada yang memudaratkan tetapi ini bergantung kepada jenis makanan dan cara penyediaannya. Contohnya, ayam goreng mengandungi protein yang tinggi (16%) dan lemak (15%). Ayam goreng juga mengandungi nutrien lain seperti vitamin A, B1, B2, niasin, kalsium dan zat besi. Sekiranya minyak yang digunakan semasa menggoreng berkualiti, ayam goreng boleh menjadi sumber makanan yang baik.

Tetapi yang penting ialah, adakah ayam yang digunakan mengandungi antibiotik atau hormon yang tidak diingini atau minyak untuk menggoreng ditukar selalu? Kemungkinan ayam goreng yang disediakan di pasar malam, restoran atau di rumah lebih rendah kualitinya sekiranya minyak tersebut digunakan berulangkali. Dalam hal yang sama, minyak yang digunakan di restoran segera yang dikawal kualitinya dan sering ditukar mengikut jadual, mungkin lebih baik tahap kualitinya.

Oleh itu, ini tidak bermakna makanan segera di restoran segera, kurang berkhasiat berbanding apa yang terdapat di tempat lain. Walau bagaimanapun, pengambilan makanan bergoreng yang berlebihan tidak digalakkan kerana ini akan meningkatkan pengambilan lemak yang menyebabkan peningkatan risiko obesiti dan komplikasi kesihatan yang berkaitan. Bagi kanak-kanak, ianya amat membahayakan.

Ramai di kalangan masyarakat kita beranggapan bahawa makanan segera seperti mi segera, snek, makanan sejuk beku dan produk seumpamanya adalah makanan yang tidak berkhasiat dan memudaratkan. Anggapan ini benar sekiranya makanan itu tinggi lemak, garam dan gula serta diambil secara kerap dan berlebihan tanpa penambahan ramuan lain semasa penyediaannya. Walau bagaimanapun, jika mi segera dimasak dengan menambah ramuan berkhasiat seperti sayuran, telur, daging dan sebagainya akan menjadikannya makanan yang lengkap dan seimbang. Mi segera sememangnya mengandungi bahan tambah yang digunakan semasa penghasilannya tetapi kadar penggunaan bahan tambah tersebut adalah pada tahap yang dibenarkan di bawah Akta dan Peraturan Makanan 1985.

Manakala snek yang terdapat di pasaran boleh dikategorikan kepada berkhasiat dan tidak berkhasiat. Contoh snek berkhasiat termasuk hasilan bakeri dan coklat yang mempunyai antioksidan tinggi. Snek tidak berkhasiat merangkumi snek berasaskan kanji terbitan daripada jagung, beras, gandum dan kentang yang hanya ditambah bahan perisa, pewarna, pengawet dan garam yang tidak mempunyai nilai pemakanan. Ini akan memudaratkan jika pengambilannya berlebihan terutama kepada kanak-kanak.

Sementara itu, makanan sejuk beku merangkumi makanan seperti roti canai, dan pelbagai jenis kuih. Namun terdapat mereka yang beranggapan bahawa makanan sejuk beku ini mengandungi bahan pengawet yang berbahaya dan perlu dihindarkan. Sebenarnya, makanan ini diproses dengan menggunakan bahan mentah yang berkualiti dan tidak menggunakan bahan pengawet yang tinggi kerana penyejukbekuan itu sendiri adalah satu kaedah pengawetan.

Bagi orang dewasa, pengambilan berlebihan makanan segera yang mengandungi lemak tepu tinggi, lemak tidak tepu, gula dan garam tinggi akan meningkatkan risiko penyakit berkaitan jantung, ketuaan dan kencing manis. Setakat ini tidak ada kajian yang mengatakan bahawa kegemukan itu disebabkan oleh pengambilan makanan segera. Kegemukan disebabkan oleh pengambilan kalori berlebihan yang diperlukan oleh badan. Kalori berlebihan itu disimpan tanpa sebarang tindak balas seperti melakukan riadah yang boleh membakar kalori tersebut. Selain itu, obesiti juga disebabkan oleh pengambilan kalori berlebihan di rumah atau di tempat lain. Kita tidak boleh salahkan makanan segera.

Sebenarnya, makanan segera juga boleh menjadi penyumbang kepada keperluan pemakanan harian kepada kanak-kanak. Kepelbagaian dalam pengambilan makanan adalah cara terbaik untuk memenuhi keperluan nutrien bagi tujuan tumbesaran, penyelenggaraan dan aktiviti harian kanak-kanak. Selain itu, kesederhanaan dan keseimbangan dalam pengambilan makanan adalah penting dalam menjaga kesihatan selain daripada amalan beriadah yang sesuai. Mempelbagaikan makanan kanak-kanak juga perlu, tidak boleh makan sejenis makanan berulangkali. Ini bermakna untuk menghasilkan kanak-kanak yang sihat mesti makan banyak ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pendidikan dan kesedaran kita sebagai pengguna adalah penting untuk mereka membuat pilihan yang bijak. Kita sebagai pengguna perlu membudayakan amalan membaca label untuk memastikan makanan yang dipilih adalah berkhasiat. Kita juga perlu meneliti fakta-fakta mengenai makanan segera sebelum diambil, berusaha mengawal selera dengan memikirkan saiz hidangan lebih besar bermakna lebih kalori dan besar kemungkinan lebih lemak, lebih kolesterol dan lebih natrium dan mengambil perhatian terhadap menu harian dengan meneliti ramuan serta kandungan setiap sajian. Imbangkan makanan segera dengan makanan lain sepanjang hari.

Kesimpulan yang dapat dicungkilkan dari huraian di atas ialah kita sebagai pengguna harus bijak dalam memberikan anak-anak kita sebarang makanan atau minuman yang tertera dalam sebarang iklan. Jangan mudah terpengaruh dengan tektik pemasaran yang licik melalui iklan yang hebat dan menarik. Jadilah pengguna yang berilmu dan kaya maklumat tentang sebarang produk melalui iklan sebelum diberikan kepada kanak-kanak kerana jika tersalah langkah akan memberikan kesan yang negatif kepada diet pemakanan kanak-kanak. Jangan memperjudikan nasib masa depan kanak-kanak semata-mata kerana terpesona dengan warna iklan yang cantik di depan mata sedangkan hakikat yang tersirat amat hodoh lagi menjelirkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA