SMAHADZIR
TIDAK dinafikan hutan mempunyai nilai kormesial dan ekonomi. Hutan membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan satu sumber pendapatan penting bagi negara. Penukaran tanah dari hutan kepada pertanian telah mengakibatkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Aktiviti ini telah mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar. Eksploitasi hutan yang melampau untuk tujuan pembalakan dan sebagainya telah menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia. Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan semula air bawah tanah dan menyebabkan lebih banyak banjir di kawasan tanah rendah.
Kita harus sedar bahawa sumber bekalan air negara kita datang dari sungai, laut, kolam dan tasik. Air boleh dicemari melalui hakisan tanah akibat penebangan hutan. Penebangan hutan akan menyebabkan berlaku hakisan tanah dan seterusnya hakisan tanah ini akan memasuki sungai. Mendapan akan terbentuk di mana akan menyebabkan pula paras sungai semakin cetek dan ia boleh meningkatkan risiko berlakunya banjir.
Lantaran itu, kawasan tadahan air dan sekitarnya harus diwartakan. Pihak berwajib tidak harus memberi kebenaran kepada syarikat pembalakan dan perladangan menggunakan kawasan tersebut. Pencemaran yang berlaku di kawasan tadahan air akan meningkatkan kos rawatan air. Lebih buruk lagi jika tahap pencemarannya mencapai tahap kritikal, loji rawatan air berkaitan terpaksa ditutup. Contohnya sebuah projek ladang getah seluas 443 hektar yang membabitkan penerokaan hutan di dua stesen pengambilan dan penapisan air. Apa yang berlaku di situ adalah hutan-hutan ditebang dan pokok getah pula ditanam. Tanah pula ditabur baja dan racun perosak dalam jumlah yang banyak. Semua bahan kimia ini akan meresap ke dalam tanah seterusnya terbawa ke dalam sungai apabila hujan.
Jikalau ada kawasan petempatan di kaki bukit di situ yang menggunakan air telaga, kesemua bahan berbahaya ini akan masuk sekali. Baja dan racun perosak mengandungi amonia, nitrat dan fosfat. Kalau ketiga-tiga bahan kimia ini berada di dalam air, kos merawatnya amat tinggi. Biasanya, jika pencemaran amonia dikenal pasti berlaku di sesuatu loji rawatan air, ia akan ditutup serta-merta. Itulah yang berlaku di Sungai Batang Nilai, Negeri Sembilan dan Sungai Langat, Selangor.
Tidak dinafikan, Malaysia masih banyak sumber air kerana hutan dan fungsinya sebagai kawasan tadahan air. Tetapi kalau pihak berwajib sering tunduk kepada syarikat pembalakan yang hanya mementingkan keuntungan material semata-mata, kita akan menghadapi masalah yang besar. Di Perak contohnya, banyak hutan hujan di Banjaran Titiwangsa telah dimusnahkan. Keratan rentas Semenanjung Malaysia menunjukkan bagaimana banjaran itu merupakan tulang belakang kepada kehidupan rakyat Malaysia. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari pantai timur ke pantai barat dengan dikawal oleh pokok-pokok di hutan yang menadah air hujan itu dan melepaskannya perlahan-lahan ke seluruh Semenanjung. Selebihnya akan diserap ke dalam tanah dan juga menjadi sumber air tanah yang dilepaskan sedikit demi sedikit ke dalam tasik. Ini memastikan sumber air yang berterusan tidak kira pada musim hujan ataupun kemarau. Dengan cara itulah hutan menyokong kehidupan kita.
Kegagalan melindungi khazanah ini boleh mengakibatkan masalah air yang kronik, seperti di Perak. Dahulu, jarang sekali kejadian banjir berlaku di Perak, lebih-lebih lagi di kawasan seperti Larut Matang dan Selama. Kawasan itu menerima kadar hujan tertinggi di Malaysia iaitu 5,000 milimeter (mm) setahun. Kawasan ini tidak pernah dilanda banjir sehinggalah baru-baru ini bila Bukit Larut di Taiping mengalami banjir. Itu semua adalah gara-gara penebangan hutan yang berleluasa di bukit tersebut.
Kadar aliran masuk yang rendah ke dalam tanah menyebabkan air hujan mengalir terus ke dalam tasik sehingga berlakunya banjir. Apabila cuaca panas kembali, tasik itu akan kekeringan dan keseluruhan sumber air akan hilang begitu sahaja. Perkara itu sudah pun berlaku di Gunung Semanggol, Perak, yang kehilangan sebatang sungai disebabkan aktiviti pembalakan di sekelilingnya. Negeri-negeri yang mengalami tekanan air yang sama ialah Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.
Melaka pula contohnya, pernah mengalami krisis air yang teruk. Mengapa? Cubalah lihat keadaan muka buminya. Hampir tiada kawasan hutan, kerana semuanya dikorbankan untuk aktiviti perladangan. Di Kelantan pula, mana-mana aktiviti pembalakan akan memberi kesan buruk serta-merta kerana tanahnya merupakan tanah liat yang mempunyai paras ketelapan air yang rendah. Ini dicerminkan melalui banjir teruk yang berlaku saban tahun di negeri tersebut.
Ada pihak yang mengatakan bahawa perubahan iklimlah penyebab krisis air, kemarau, banjir dan pelbagai masalah lain. Tetapi bukan perubahan iklim semata-mata yang mengakibatkan kekurangan bekalan air. Kita juga telah 'mendera' sistem itu. Sistem yang dimaksudkan bukanlah rumit - jika keseimbangan hutan dikacau ganggu, impaknya akan menjejaskan sumber dan bekalan air.
Sesungguhnya pembangunan pesat negara dan proses urbanisasi telah membawa kepada perubahan pengunaan tanah bagi sesuatu kawasan bagi menampung keperluan kegiatan ekonomi, kemudahan-kemudahan sosial dan lain-lain infrastruktur yang berkaitan. Perubahan gunatanah ini telah mendedahkan sungai kepada pelbagai tekanan yang kadangkala tidak dapat ditanggung oleh sungai, yang secara langsung menyebabkan perubahan sistem sungai bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga kuantiti
Harus diinsafi, sumber air mentah di negara kita kebanyakannya diperolehi terus dari sungai utama dan empangan yang dibina untuk menyimpan air. Namun, kualiti air sungai di Malaysia adalah dalam keadaan yang semakin merosot akibat penebangan hutan dan pencemaran alam sekitar. Berdasarkan statistik, buat masa kini sebanyak 29 buah sungai di negara ini didapati mengalami pencemaran teruk, 11 buah tercemar sederhana manakala 80 buah lagi masih dalam keadaan terkawal.
Antara negeri yang mengalami pencemaran sungai yang paling tinggi ialah Johor, Selangor dan Pulau Pinang. Munurut laporan kualiti alam sekitar yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2004, antara sungai-sungai yang tercemar teruk adalah Sungai Menggaris di Sabah, Sungai Jelutong dan Sungai Buluh di Pulau Pinang dan Sungai Tukang Batu di Johor.
Susulan kepada jumlah permintaan air oleh pengguna yang kian meningkat berbanding dengan jumlah kualiti air mentah yang kian menurun, ketidakseimbangan ini lama-kelamaan akan menyebabkan kekurangan sumber air mentah yang sesuai dan selamat dapat dibekalkan kepada masyarakat. Ini adalah satu masalah besar yang akan dihadapi oleh negara.
Oleh itu, tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini tidak harus dipikul oleh satu pihak sahaja malah masyarakat Malaysia juga harus bekerjasama dengan pihak kerajaan terutamanya dari segi sikap menyayangi sumber air negara dan sedar terhadap kesan penebangan hutan yang bermotifkan keuntungan jangka pendek semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan