Sabtu, 26 Februari 2011

Kesan Makanan Segera Dalam Diet Pemakanan

Syed Mahadzir Syed Ibrahim

MAKANAN segera merupakan salah satu kategori makanan mudah guna yang didefinisikan sebagai makanan sejuk atau panas. Ia hanya memerlukan masa dan usaha yang sedikit untuk menyediakannya, merangkumi jenis makanan seperti makanan segera (fast foods), makanan gerai, makanan terproses minimum, makanan terproses separa, makanan sedia dimakan, makanan ringan/snek (snack foods), makanan ringan/snek kurang zat (junk foods) dan minuman sedia diminum. Kesan makanan segera dalam diet pemakanan bergantung kepada penyediaannya.

Makanan segera kerap disalahertikan sebagai makanan yang tidak berkhasiat dan memudaratkan. Memang ada yang berkhasiat dan ada yang memudaratkan tetapi ini bergantung kepada jenis makanan dan cara penyediaannya. Contohnya, ayam goreng mengandungi protein yang tinggi (16%) dan lemak (15%). Ayam goreng juga mengandungi nutrien lain seperti vitamin A, B1, B2, niasin, kalsium dan zat besi. Sekiranya minyak yang digunakan semasa menggoreng berkualiti, ayam goreng boleh menjadi sumber makanan yang baik.

Tetapi yang penting ialah, adakah ayam yang digunakan mengandungi antibiotik atau hormon yang tidak diingini atau minyak untuk menggoreng ditukar selalu? Kemungkinan ayam goreng yang disediakan di pasar malam, restoran atau di rumah lebih rendah kualitinya sekiranya minyak tersebut digunakan berulangkali. Dalam hal yang sama, minyak yang digunakan di restoran segera yang dikawal kualitinya dan sering ditukar mengikut jadual, mungkin lebih baik tahap kualitinya.

Oleh itu, ini tidak bermakna makanan segera di restoran segera, kurang berkhasiat berbanding apa yang terdapat di tempat lain. Walau bagaimanapun, pengambilan makanan bergoreng yang berlebihan tidak digalakkan kerana ini akan meningkatkan pengambilan lemak yang menyebabkan peningkatan risiko obesiti dan komplikasi kesihatan yang berkaitan.

Ramai beranggapan bahawa makanan segera seperti mi segera, snek, makanan sejuk beku dan produk seumpamanya adalah makanan yang tidak berkhasiat dan memudaratkan. Anggapan ini benar sekiranya makanan itu tinggi lemak, garam dan gula serta diambil secara kerap dan berlebihan tanpa penambahan ramuan lain semasa penyediaannya. Walau bagaimanapun, jika mi segera dimasak dengan menambah ramuan berkhasiat seperti sayuran, telur, daging dan sebagainya akan menjadikannya makanan yang lengkap dan seimbang. Mi segera sememangnya mengandungi bahan tambah yang digunakan semasa penghasilan tetapi kadar penggunaan bahan tambah tersebut adalah pada tahap yang dibenarkan di bawah Akta dan Peraturan Makanan 1985.

Manakala snek yang terdapat di pasaran boleh dikategorikan kepada berkhasiat dan tidak. Contoh snek berkhasiat termasuk hasilan bakeri dan coklat yang mempunyai antioksidan tinggi. Snek tidak berkhasiat merangkumi snek berasaskan kanji terbitan daripada jagung, beras, gandum dan kentang yang hanya ditambah bahan perisa, pewarna, pengawet dan garam yang tidak mempunyai nilai pemakanan. Ini akan memudaratkan jika pengambilannya berlebihan.

Sementara itu, makanan sejuk beku merangkumi makanan seperti roti canai, dan pelbagai jenis kuih. Namun terdapat mereka yang beranggapan makanan sejuk beku ini mengandungi bahan pengawet yang berbahaya dan perlu dihindarkan. Sebenarnya, makanan ini diproses menggunakan bahan mentah berkualiti dan tidak menggunakan bahan pengawet yang tinggi kerana penyejukbekuan itu sendiri adalah satu kaedah pengawetan.

Pengambilan berlebihan makanan segera yang mengandungi lemak tepu tinggi, lemak tidak tepu, gula dan garam tinggi akan meningkatkan risiko penyakit berkaitan jantung, ketuaan dan kencing manis. Setakat ini tidak ada kajian mengatakan kegemukan itu disebabkan oleh pengambilan makanan segera. Kegemukan disebabkan oleh pengambilan kalori berlebihan yang diperlukan oleh badan. Kalori berlebihan itu disimpan tanpa sebarang tindak balas seperti melakukan riadah yang boleh membakar kalori tersebut. Selain itu, obesiti itu disebabkan oleh pengambilan kalori berlebihan di rumah atau di tempat lain. Kita tidak boleh salahkan makanan segera.

Makanan segera boleh menjadi penyumbang kepada keperluan pemakanan harian. Kepelbagaian dalam pengambilan makanan adalah cara terbaik untuk memenuhi keperluan nutrien bagi tujuan tumbesaran, penyelenggaraan dan aktiviti harian. Kesederhanaan dan keseimbangan dalam pengambilan makanan adalah penting dalam menjaga kesihatan selain daripada amalan beriadah yang sesuai. Mempelbagaikan makanan kita juga perlu, tidak boleh makan sejenis makanan berulangkali. Ini bermakna kita mesti makan banyak ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pendidikan dan kesedaran pengguna adalah penting untuk mereka membuat pilihan yang bijak. Pengguna perlu membudayakan amalan membaca label untuk memastikan makanan yang dipilih adalah berkhasiat. Kita juga perlu meneliti fakta-fakta mengenai makanan segera sebelum diambil, berusaha mengawal selera dengan memikirkan saiz hidangan lebih besar bermakna lebih kalori dan besar kemungkinan lebih lemak, lebih kolesterol dan lebih natrium dan mengambil perhatian terhadap menu harian dengan meneliti ramuan serta kandungan setiap sajian. Imbangkan makanan segera dengan makanan lain sepanjang hari.

1 ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA