Sabtu, 26 Februari 2011

Penggunaan Sumber Tenaga Alternatif Mengatasi Isu Bahan Api

SMAHADZIR

KENAIKAN harga petroleum di pasaran telah memberikan kesan kepada semua pihak terutama masyarakat yang berpendapatan rendah. Namun begitu, hakikat ini harus diterima dengan hati yang rasional kerana dalam aspek teori ekonomi, secara asasnya harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran. Secara umumnya, jika penawaran melebihi permintaan, harga akan menjadi rendah. Jika terlalu banyak penawaran akan mengakibatkan lambakan, harganya menjadi sesuatu yang boleh dijadikan sorong tarik.

Sesungguhnya, harga petroleum yang semakin tinggi di pasaran dunia sejak kebelakangan ini dan Malaysia juga menerima akibatnya, berpunca daripada tiga sebab utama iaitu permintaan terhadap bahan tersebut yang tinggi dari China dan India, ketidakstabilan politik di negara pengeluar seperti Venezuela dan Iraq dan bencana alam seperti Taufan Katrina yang merosakkan banyak pelantar dan kemudahan industri petroleum di Teluk Mexico.

Permintaan terhadap petroleum di China memperlihatkan aliran yang semakin membimbangkan disebabkan kepesatan pembangunan sektor industri dan penghasilan tenaga elektrik. Ketika ini, negara China menggunakan hanya 8% pasaran petroleum dunia, dengan lebih separuh diimport. Sebagai perbandingan, ketika ini China menggunakan lebih setengah daripada pasaran simen dan hampir 30% besi dunia. Namun, purata penggunaan petroleum di China hanya dua tong perkapita sahaja setahun, berbanding 12.5 di Eropah dan 26 di Amerika Syarikat. Negara pengeluar utama minyak khususnya yang menganggotai Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Minyak (OPEC) menguasai 80% pasaran minyak dunia. Negara Islam di Teluk Parsi terutama Arab Saudi, Iran, Iraq, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE adalah ‘telaga minyak’ dunia yang masih belum menerokai telaga minyak simpanan masing-masing. Arab Saudi misalnya, mempunyai simpanan yang masih belum diteroka sebanyak 260 bilion tong yang dianggarkan meliputi 25% jumlah keseluruhan simpanan minyak dunia.

Apabila berlaku kenaikan harga petroleum di pasaran global, di negara kita Petronas telah dikambinghitamkan atas dakwaan tidak menggunakan keuntungannya bagi merendahkan harga bahan bakar tersebut. Sebenarnya, keuntungan Petronas bukanlah kesemuanya disumbangkan oleh keuntungan jualan petroleum. Lebih 70% keuntungan Petronas adalah dari pelaburannya di luar negara.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hasan Merican sejak penubuhannya pada tahun 1974, keuntungannya ialah RM570 bilion dan sebanyak RM335.7 bilion diberikan kepada kerajaan. Selebihnya digunakan untuk membuat pelaburan semula sebanyak RM178.9 bilion. Apabila harga minyak dunia naik, maka kerajaan turut meningkatkan subsidi bagi membolehkan rakyat membeli dengan harga yang ditetapkan. Itulah sebabnya pada Februari 2007 bila harga minyak ditetapkan sebanyak RM1.92 seliter, kerajaan menggunakan pengurangan subsidi sebanyak RM4 bilion untuk mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam. Ketika itu harga minyak dunia ialah di bawah US$80 setong. Sejak bulan Januari 2008, harga minyak melonjak kepada US$96.74 hinggalah pada hari pengumuman struktur baru subsidi meningkat kepada US$135 setong.

Bagi menstabilkan harga pada tahun 2007, kerajaan terpaksa meningkatkan lagi jumlah subsidi termasuk menggunakan RM4 bilion tersebut. Inilah hakikat yang harus difahami oleh kita semua. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bertanggungjawab, kita harus menggunakan akal budi dan minda yang jernih mencari kaedah menyelesaikan masalah. Dalam suasana sekarang, sumber tenaga alternatif adalah sesuatu yang wajar digunakan bagi mengatasi isu bahan api terpenting dunia ini.

Menurut catatan sejarah, sebelum Perang Dunia Pertama, Winston Churchill telah melaksanakan satu dasar iaitu menukar sumber tenaga kapal perang Tentera Laut British (TLB) daripada arang batu kepada minyak. Pada awalnya dasar itu bertujuan meningkatkan lagi keupayaan kapal perang TLB supaya mengatasi kepantasan kapal perang Jerman menggunakan teknologi terkini. Bagaimanapun, selepas Perang Dunia Kedua, dasar itu diperluaskan ke dalam pelbagai sektor ekoran penguasaan strategik Britain terhadap sumber minyak di Timur Tengah.

Sejak itu, dasar tenaga menjadi penting dalam percaturan politik pada peringkat antarabangsa khususnya terhadap Amerika Syarikat dan Britain. Daripada penguasaan secara strategik dengan menawarkan dana dan teknologi kepada negara pengeluar minyak utama menerusi syarikat minyak gergasi, hinggalah kepada beberapa episod perang di Timur Tengah, dasar tenaga secara global masih berpaksikan kepada bahan api berasaskan petroleum.

Hakikatnya, kendatipun masih belum mengatasi paras 100 dolar Amerika setong, kenaikan tinggi harga komoditi mentah itu sudah mencetuskan suasana panik di kalangan pelabur dan pengguna utama minyak. Pengguna di Malaysia pula besar kemungkinan merasa impaknya apabila kerajaan terpaksa mengurangkan pemberian subsidi dan menaikkan harga barangan petroleum sejajar dengan kenaikan bahan tersebut di pasaran global.

Perlu disedari bahawa harga minyak yang melambung naik sebenarnya harus mencetuskan kesedaran baru untuk mengurangkan pergantungan terhadap bahan bakar fosil di samping gas dan arang batu. Keperluan semakin mendesak untuk setiap anggota masyarakat termasuk industri menggunakan tenaga secara lebih cekap serta menjimatkan selain mempergiatkan usaha mencari tenaga alternatif.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, dari aspek alam sekitar, penggunaan tenaga berasaskan bahan api fosil telah menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Kesan negatif kepada alam sekitar berlaku daripada saat minyak digali dari perut bumi, diproses untuk dijadikan bahan bakar untuk pelbagai tujuan dalam loji penapisan, sehinggalah dibakar dalam enjin dan dilepaskan menerusi asap. Dari segi asap, banyak bahan cemar boleh menjejaskan persekitaran setempat. Selain itu gas rumah kaca juga dihasilkan seperti karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan suhu bumi.

Inisiatif mencari tenaga alternatif sebenarnya telah bermula sewaktu meletusnya krisis minyak dan perbalahan antara negara-negara Islam di Asia Barat dengan Amerika Syarikat pada awal 1970-an lagi. Ketika itu banyak inisiatif pada peringkat penyelidikan dan inovasi dilakukan di serata dunia. Kita juga melihat pembangunan banyak loji tenaga nuklear dan penjanaan kuasa elektrik hidro. Bagaimanapun, penggunaan tenaga lain seperti biojisim, angin, suria dan hidrogen masih belum dilaksanakan dengan meluas walaupun telah dimajukan secara efektif dari segi saintifik dan teknologi.

Dasar tenaga sedia ada di kebanyakan negara masih belum menyediakan iklim yang sesuai bagi bekalan dan penggunaan tenaga alternatif secara meluas. Prasarana penggunaan sumber tenaga selain minyak juga masih belum disediakan kepada pengguna dan lebih ketara bagi sumber tenaga alternatif lain seperti hidrogen dan biodiesel. Dalam konteks penggunaan gas untuk kenderaan di Malaysia pula, tidak banyak stesen gas yang ada dan ianya dimonopoli pula oleh satu syarikat sahaja. Perkara ini harus dipandang berat oleh pihak berwajib.

Selain itu pihak berwajib juga harus mengambil langkah-langkah dan menyusun strategi-strategi yang sesuai. Tiga langkah yang difikirkan wajar untuk dilaksanakan segera secara lebih menyeluruh, dipantau Suruhanjaya Tenaga dengan lebih terancang dan membabitkan seluruh lapisan masyarakat ialah mengkaji semula dasar subsidi minyak yang sedia ada supaya dilaksanakan secara lebih selektif menggunakan kaedah triple bottomline iaitu mengambil kira faktor ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Sebagai langkah kedua, usaha harus digiatkan untuk menguruskan permintaan secara lebih lestari menerusi penggalakkan pelbagai aktiviti penjimatan, mempertingkatkan kecekapan serta memberi insentif supaya pelaburan dibuat pelbagai pihak ke arah pengurangan tahap penggunaan secara pukal. Manakala langkah yang ketiga ialah mempergiatkan usaha mencari sumber tenaga baru yang harus dilaksanakan secara besar-besaran. Antara potensi sumber tenaga tempatan yang murah tetapi masih belum dibangunkan sepenuhnya ialah biojisim dan tenaga solar. Ketika ini, usaha ke arah itu masih belum digembleng sepenuhnya.

Kerajaan juga harus melaksanakan beberapa strategi jangka panjang untuk memastikan pengguna di negara ini tidak terus menanggung beban kenaikan harga minyak pada masa hadapan. Antaranya ialah mengkaji semula semua dasar berkaitan tenaga untuk menghasilkan satu dasar yang bersepadu memandangkan bahan bakar dan tenaga saling bergantungan antara satu sama lain. Dasar tersebut perlu menggabungkan bahan bakar dari sumber yang boleh diperbaharui dan tidak boleh diperbaharui, pengurusan dan penggunaan sumber bahan bakar daripada semua sektor, penggunaan meluas bahan bakar alternatif dalam sektor pengangkutan di samping memecahkan monopoli dalam pasaran tenaga serta mewujudkan pilihan bagi pengguna dari segi bahan bakar alternatif.

Kerajaan juga harus mendidik masyarakat pengguna negara ini mengenai isu-isu berhubung tenaga dan bahan bakar. Menerusi pendidikan, pengguna boleh dididik untuk membuat pilihan yang mesra alam sekitar dalam membeli barangan mesra alam sebagai pilihan terbaik. Selain itu, tenaga solar juga perlu dibangunkan supaya pengguna boleh mengurangkan pergantungan kepada tenaga elektrik yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad. Sistem berkembar boleh dibangunkan secara berperingkat-peringkat bagi memaksimumkan penggunaan tenaga solar di rumah kediaman di samping tenaga elektrik yang dijana sebahagian besarnya daripada bahan bakar fosil.

Kerajaan juga harus memberikan insentif kepada industri yang membangunkan tenaga solar di Malaysia. Di samping itu, usaha perlu dibuat serta merta untuk membangunkan bahan bakar alternatif seperti biogas (methane), etanol dan biobahan bakar. Dalam membangunkan bahan bakar alternatif ini, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil supaya tidak berlaku monopoli yang akan membebankan pengguna selepas perubahan sepenuhnya dibuat.

Dalam kita mengatur strategi serta menggubal dasar, kenaikan harga minyak juga menuntut supaya masyarakat pengguna khususnya mengamalkan penggunaan yang berhemat. Mungkin pengguna negara kita ini tidak keterlaluan jika mencontohi apa yang dilakukan oleh masyarakat di Sweden untuk cara hidup yang lestari. Di Sweden, daripada segi penggunaan tenaga dalam bangunan sama ada pejabat atau kediaman, lampu jimat tenaga dan cermin di dinding digunakan secara meluas. Cermin tersebut boleh memantulkan cahaya dan menerangkan suasana dalam bangunan. Selain itu, tingkap dan langsir direkabentuk supaya memanfaatkan sinar suria. Langsir mudah diselak dan tingkap pula mudah dibuka. Apabila cuaca panas, tingkap dibuka dan apabila sejuk, tingkap ditutup. Masyarakat Sweden tidak bergantung semata-mata kepada pendingin hawa ketika panas atau pemanas hawa ketika cuaca sejuk. Selain itu, bahan perabot dan warna dinding juga dari warna yang cerah supaya nampak terang meskipun tidak menggunakan pencahayaan elektrik.

Begitu juga dengan sistem pengangkutan awam di Sweden yang dirancang sebegitu rupa sehingga orang awam ‘terpaksa’ menggunakan pengangkutan awam. Contohnya, perjalanan ke Pusat Dagangan Dunia di Stockholm hanya boleh dibuat sama ada menggunakan pengangkutan awam, berjalan kaki atau berbasikal sahaja. Senario yang sama boleh dilihat di persekitaran kampus, bandar dan pusat rekreasi di negara tersebut.

Penggunaan bahan api yang begitu rendah di Sweden bukan sahaja disebabkan oleh kemudahan awam yang cekap tetapi didorong oleh cara hidup yang lestari. Sehubungan dengan itu, berjalan kaki atau berbasikal perlu diberi imej serta prestij dan dilakukan oleh para pemimpin, intelektual serta pendidik dan bukan hanya terhad kepada kelompok pencinta alam sahaja. Lantaran itu, minda lestari perlu dibangunkan dalam seluruh lapisan masyarakat Malaysia menerusi pelbagai aktiviti kesedaran awam secara formal dan bukan formal seperti di Sweden. Minda lestari bermakna pemikiran, cara berfikir, tindakan dan idealisme yang berteraskan amalan mesra alam. Dalam konteks di Sweden, individu yang tidak berbuat demikian serta mengamalkan cara hidup lestari dianggap aneh, pelik dan mengancam ketenteraman awam.

Sebagai kesimpulannya, penggunaan sumber tenaga alternatif seperti biojisim, angin, suria, biodesel, hidrogen, tenaga nuklear, tenaga elektrik hidro dan lain-lain lagi harus diusahakan secara lebih giat bagi mengatasi isu bahan api fosil yang wujud dewasa ini di samping merealisasikan minda lestari yakni merangkumi pemikiran, cara berfikir, tindakan dan idealisme yang berteraskan amalan mesra alam seluruh masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kesedaran awam secara formal dan bukan formal.

2 ulasan:

  1. please see www.grvitypower-generator.blogspot.com, any genearator can produce electricity without minyak, wind, sun, water.

    BalasPadam
  2. Terima kasih byk. Nukilan and amat berguna untuk pembentangan saya.

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA