SMAHADZIR
SESUNGGUHNYA, hakikat warisan budaya tradisional di negara kita kini telah menghadapi ancaman langka dan kepupusan tidak dapat dinafikan. Antara contoh yang jelas ialah permainan tradisi seperti congkak, kelereng, capelong, burung pulang sarang, jala itik, usung balak, perik mata, aci sorok, sorong kereta, tating lawi, lumba kuda, selambut, laga biji getah, jengkek kapal terbang, tuju para, tuju pot, toi, tarik upih, capteh, galah panjang, konda kondi, mencari cucu, ketuk keli, rebut negeri dan sebagainya sudah semakin dilupakan malah sesetengah warga negara terutama generasi remaja tidak tahu langsung kewujudan permainan-permainan tersebut di negara kita.
Amat malang sekali jika warisan bangsa kita yang unik ini lenyap ditelan zaman seandainya tiada usaha-usaha ke arah mencegatkannya semula di puncak lestari. Sebenarnya, budaya tradisional bukan sekadar permainan tradisi sahaja tetapi mencakupi amalan dan cara hidup masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Ini termasuklah pakaian, bahasa, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Sejarah telah mencatatkan bahawa tamadun sesuatu bangsa selalunya boleh dilihat pada warisan seni budayanya. Lantaran itu, warisan budaya ini harus dikekalkan kerana ianya mempunyai identiti yang tersendiri.
Kita harus sedar bahawa budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Contoh yang jelas ialah pakaian tradisional pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni yang dipakai oleh pelbagai etnik di negara kita. Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi dan pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan majlis rumah terbuka pada hari kebesaran misalnya, menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra antara satu sama lain. Ramai pelancong dari negara luar yang terkejut kerana rakyat negara kita bebas mengunjungi kediaman pemimpin pada hari kebesaran seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Penghantaran kuih-muih dan saling kunjung-mengunjungi pada hari kebesaran menunjukkan bahawa kemesraan sesama kaum terjalin erat. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar dan identiti ini perlulah dikekalkan.
Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan dan integrasi nasional. Kepelbagaian ras di negara kita kaya dengan nilai tradisional yang murni. Contoh yang jelas ialah tradisi kunjung-mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Bangsa Malaysia tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama tanpa sebarang rasa curiga mencurigai. Jiran tetangga dan sahabat handai saling datang bertandang. Kuih-muih bertukar pinggan dan tangan. Kita saling menerima dan memberi. Ucapan “Selamat Hari Raya”, “Gong Xi Fa Cai” dan “Selamat Hari Deepavali” keluar dari hati nurani yang penuh keikhlasan. Semangat kekitaan ini telah mengeratkan tali siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan di kalangan rakyat negara kita. Kita tidak kekok menghadiri majlis perayaan Sin Nian, menjamah nian kau, hong cao, sang choy, suan, yu dan sebagainya. Pelbagai ungkapan dapat didengar seperti long ma zin sen, hang yun tang tao, fa ci ta li, nian nian yo yu juga pu pu kau sen dan lain-lain lagi.
Sesungguhnya memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat di negara kita majmuk dengan etnik, budaya dan agama tetapi dapat hidup harmoni serta muhibah. Kita saling kenal mengenal dan hormat menghormati antara sesama menyebabkan kita tidak berasa janggal untuk menghadiri sebarang majlis anjuran rakan kita seperti majlis mangani, anand karaj, sehra dan lavan masyarakat Silk. Kaum Silk memang kaya dengan budayanya seperti milni, amrit, kirpan, granthi, vatna, palla, ardas, karah parshad dan sebagainya. Di gurdwara, ketika pasangan pengantin mengelilingi Sri Guru Granth Sahib Ji, semua bangsa dibenarkan hadir sama. Betapa rakyat negara kita tidak langsung menyimpan sebarang buruk sangka dan curiga biar berlainan bangsa dan agama serta adat resam. Selain itu upacara ngelaboh padi masyarakat Iban juga kaya dengan nilai estetikanya. Betapa uniknya petara, senggalang burung, teresang, kelingkang, padi pun dan sebagainya. Ini semua tidak terdapat di negara lain dan sewajarnya disayangi dan dikekalkan.
Sesungguhnya salah satu daya tarikan pelancongan ialah warisan budaya kita. Sebenarnya, keindahan pantai, landskap dan hutan Malaysia juga boleh ditemui di tempat-tempat lain, misalnya di Indonesia, Thailand, Filipina, Burma, Vietnam dan sebagainya. Yang unik dan menjadi perhatian para pelancong ialah budaya tradisional kita, misalnya seni gerak kreatif seperti tarian lilin, sewang, zapin, inang, joget, tarian kathak, kuchipudi telugu, kavadi, bharata natyam dan lain-lain lagi, kesenian teater tradisional seperti bangsawan, makyung, boria dan lain-lain lagi termasuklah bongai, rodat, cempoling, permainan tradisi, tapak warisan, objek warisan ketara dan tak ketara dan pelbagai lagi. Ramai juga pelancong mengunjungi negara kita kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan kita. Ada yang sanggup tinggal bersama-sama di kampung untuk merasai sendiri suasana kehidupan masyarakat kita. Tidak kurang pula yang merakamkan perkahwinan mereka mengikut adat resam Melayu. Jadi, budaya juga amat penting untuk mengembangkan industri pelancongan.
Justeru warisan budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita dapat mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan menjadi bangsa yang lupa asal usul sendiri. Sebaliknya, kita akan sedar dan insaf tentang kepayahan dan pahit getir hidup leluhur kita. Dari sini kita akan mendapat ikhtibar, panduan, pedoman dan juga kesedaran. Misalnya, tarian Portugis mengingatkan kita tentang bangsa Portugis yang pernah menjajah kita suatu ketika dulu. Kita insaf dengan kesenian bangsawan yang banyak menceritakan tentang zaman kegemilangan dan kejatuhan Kesultanan Melaka. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng moral dan akhlak. Dengan meladeni dan menghayati budaya ini, warga kita tidak akan dihanyutkan oleh budaya bejat Barat. Lantaran itu generasi remaja khususnya sedar akan asal usul sendiri.
Untuk mencegatkan kembali budaya tradisional yang kian dilupakan ini, masyarakat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Organisasi yang bertanggungjawab harus selalu menganjurkan kempen, ceramah, wawancara, pameran, program budaya dan sebagainya. Pertubuhan-pertubuhan budaya harus disalurkan sumber kewangan untuk mereka menjalankan aktiviti kebudayaan. Dengan ini, rakyat kita akan lebih dekat dan memahami budaya bangsa sendiri.
Selain itu, usaha-usaha ke arah menerapkan seni bina Melayu pada bangunan-bangunan seperti Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Muzium Negara, Masjid Negara, Bank Muamalat, Masjid Putra, Telekom Malaysia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya, LUTH, Perpustakaan Negara Malaysia, Istana Budaya dan lain-lain lagi perlu diperluaskan. Kehadiran budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan identiti negara juga perlu disekat. Tempat dan bangunan bersejarah perlulah dikekalkan dan dipuliharakan. Dengan cara begini warisan budaya dapat dilihat sepanjang masa.
Tidak dapat dinafikan juga bahawa warisan budaya tradisional kita boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung, wayang kulit, zapin, boria, randai, bongai, rodat, caklempong, gamelan, kompang kadaro, jidur, gordang sambilan, cempoling, kempling dan lain-lain lagi boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya, Semarak Budaya, Program Kembara Budaya dan sebagainya. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan warisan budaya silam seperti permainan tradisi sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Sayembara berbalas pantun, bersyair, bernazam, bergurindam, berseloka, tarian tradisional dan lain-lain lagi akan mengembangkan budaya ini di kalangan masyarakat. Secara tidak langsung usaha ini juga akan membuka peluang kepada warga yang berminat untuk mengikutinya dan membolehkan masyarakat mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang, bersemarak dan terus hidup.
Dewasa ini pengaruh media massa begitu hebat sehingga menyebabkan warisan budaya tradisi kita kian dilupai. Justeru itu, media massa tempatan perlulah memaparkan budaya kita dengan lebih kerap dan meluas. Pameran-pameran artifak atau sejarah kebudayaan warisan pelbagai kaum di negara kita haruslah digalakkan dan diadakan selalu. Media massa juga boleh mengadakan sudut seni budaya dalam akhbar masing-masing. Akhbar Berita Harian, yang merencanakan sudut budaya tentang gastronomi, busana, hiasan, kepercayaan, petua kesihatan, dan sebagainya, wajarlah dipuji. Pojok budaya juga boleh dimasukkan dalam rancangan khas televisyen seperti dalam slot “Malaysia Hari lni” dan “Selamat Pagi Malaysia”.
Amat malang sekali jika warisan kebudayaan kita hanya dapat ditonton di muzium. Lantaran itu, usaha memupuk, memelihara dan memulihara warisan budaya terutama yang kian langka dan pupus tidak seharusnya dipandang lewa. Marilah bersama-sama kita melaksanakannya supaya warisan budaya kita terus subur meredah zaman, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan. Kita harus sedar bahawa warisan budaya melambangkan jati diri sesuatu bangsa tersebut. Hakikatnya, warisan merupakan sesuatu yang sangat berharga yang mana ia akan diturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang seterusnya. Warisan yang tidak dipulihara lazimnya akan pupus tanpa disedari dan ini merupakan suatu kerugian yang tidak ternilai terhadap sesuatu bangsa dan negara.
Sesungguhnya warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa relevan dan diingati oleh masyarakat, terutamanya generasi remaja. Yang berlaku sekarang, kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warga belia yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya punk, metal, rock, hedonistik dan hiburan melampau dan lain-lain lagi, yakni yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah begitu berleluasa dan bersemarak di kalangan generasi muda. Fenomena negatif ini telah melunturkan semangat menghargai warisan bangsa sendiri. Dari kajian yang dibuat, kita dapati terlalu sedikit generasi muda yang mengenali dan menghargai pakaian tradisional, berminat dengan permainan tradisional mahupun suka akan makanan tradisional. Justeru itu, generasi muda perlulah memainkan peranan yang penting untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita ini sentiasa subur dalam jiwa masyarakat.
Kita harus sedar bahawa darah merah yang mengalir deras dalam tubuh kita adalah warisan leluhur kita. Sesungguhnya manusia tidak mungkin dapat melupakan asal usulnya kecuali orang yang bersikap kacang lupakan kulit. Dalam hasrat untuk menyayangi warisan leluhur, generasi remaja khususnya harus mengaktifkan diri dalam persatuan budaya atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam organisasi budaya tersebut, secara tidak langsung dapat memahami pelbagai budaya termasuk permainan tradisional yang terdapat di negara kita.
Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar bermain congkak, kelereng, capelong, burung pulang sarang, jala itik, usung balak, perik mata, aci sorok, sorong kereta, tating lawi, lumba kuda, selambut, laga biji getah, jengkek kapal terbang, tuju para, tuju pot, toi, tarik upih, capteh, galah panjang, konda kondi, mencari cucu, ketuk keli, rebut negeri dan sebagainya, kita dapat mengetahui betapa halus dan tingginya nilai hati budi dan tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Justeru itu, warisan bangsa ini wajar diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Tidak mustahil suatu hari nanti wau, congkak, kelereng, capteh, gasing dan lain-lain boleh diketengahkan hingga ke peringkat dunia sepertimana sepak raga. Yang penting, kita sendiri harus menghargai warisan bangsa kita sebelum warisan ini diapresiasikan oleh orang asing.
Pantang larang warisan nenek moyang juga harus disemarakkan semula di kalangan masyarakat terutama generasi muda. Kita akan memperoleh banyak kebaikan daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang masih relevan ialah anak dara tidak digalakkan duduk di muka pintu dan menyanyi di dapur. Rasionalnya, jika duduk di muka pintu dan menyanyi di dapur, kurang manis bagi seseorang anak dara terutama jika ada tetamu yang bertandang ke rumah. Selain itu, kita juga diajar tidak memakai kasut di dalam rumah, bercakap sewaktu makan, duduk di atas bantal, bersiul dalam rumah, minum sewaktu makan, dan lain-lain lagi. Rasionalnya, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat mengelakkan kita daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, pantang larang warisan leluhur yang juga amalan nenek moyang kita dahulu harus disemarakkan semula dan dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala anasir jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga.
Sesungguhnya, mandala warisan budaya rakyat Malaysia telalu luas termasuk busana. Pakaian tradisional melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan masyarakat dahulu kala. Generasi muda sewajarnya memainkan peranan yang penting dalam menyemarakkan semula pakaian tradisional di tengah masyarakat. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan negara kepada dunia luar. Pakaian tradisional boleh digayakan untuk menghadiri sebarang majlis sama ada majlis rasmi atau majlis tidak rasmi. Baju kurung, kebarung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memakainya.
Arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan tradisi leluhur yang semakin serius haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan khazanah warisan tersebut. Warisan budaya kita menjadi tanggungjawab kita sendiri. Kitalah generasi yang harus melestarikannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan budaya bangsa kita sendiri tenggelam dalam arus globalisasi ini, maka akan lenyaplah khazanah yang amat bernilai dalam tamadun bangsa kita. Lantaran itu, marilah sama-sama kita semarakkan semula warisan budaya kita dan cegatkannya di puncak lestari.
Glosari:
Amrit - sejenis air suci
Anand karaj - perkahwinan
Ardas - doa
Fa ci ta li - tuah besar atau untung besar.
Granthi - ketua agama
Grihasth asram - cara hidup berkeluarga
Gurdwara - pusat ibadat penganut Silk
Hang yun tang tou - nasib merah di atas kepala (nasib yang baik)
Hong cao - kurma merah
Karah parshad - halwa yang suci
Kelingkang - sejenis bakul kecil digantung berhampiran teresang
Kirpan - sejenis pedang kecil
Lavan - berjalan mengelilingi Sri Guru Granth Sahib Ji
Long ma zin sen - sesihat bagai naga dan kuda
Mangani - pertunangan
Milni - upacara adat pertemuan antara bapa pengantin lelaki dengan bapa pengantin perempuan di kediaman pengantin perempuan
Nian kau - kuih bakul
Nian nian yo yu - bersua bersama setiap tahun
Ngelaboh padi - upacara memohon kepada senggalang burung agar padi membuahkan hasil yang banyak
Palla - kain tudung pemberian bapa pengantin perempuan kepada pengantin lelaki
Padi pun - istilah untuk benih padi yang ditabur pada lubang tugal akhir upacara ngelaboh padi
Petara - tuhan semangat padi
Pu pu kau sen - nasib semakin menjulang setiap langkah
Sahib Ji - kitab suci
Sang choy - sayur selada yang dimakan segar
Sehra - hiasan kepala yang dibuat daripada bunga dan kertas berkilat
Sin nian - tahun baru
Suan - bawang perai
Sri Guru Granth
Sahib Ji - kitab suci
Senggalang burung - petara yang berkuasa terhadap tanaman
Teresang - batang buluh yang dicacakkan di hadapan pondok sebelum aktiviti menuai padi dilakukan
Vatna - sejenis mandi yang wajib menjelang hari perkahwinan
Yu - ikan
salam tuan tahan.. info yg sangat berguna..
BalasPadamtahniah kerana blog anda banyak info..
jemput blogwalking
www.yatiadam.com