Sabtu, 26 Februari 2011

Kesan Makanan Segera Dalam Diet Pemakanan

SMAHADZIR

MAKANAN segera adalah makanan yang mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi diet pemakanan. Tanpa disedari, ia akan mendedahkan kita kepada pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi, sembelit, tubuh menggeleber, kegemukan, tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung dan kanser usus besar.

Kesan negatif makanan segera berupa snek dan minuman ringan semakin dirasai. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) telah melaporkan bahawa makanan segera telah menjejaskan kesihatan pengguna terutamanya rakyat negara-negara membangun, berdasarkan kematian 65,000 kanak-kanak di negara-negara Teluk Parsi yang berumur lima tahun ke bawah pada tahun 1985 akibat kaedah kelahiran anak yang tidak bersih, cirit-birit dan salah khasiat.

Di negara kita, banyak makanan segera yang mengandungi bahan perasa yang tinggi dan ada juga keselamatannya masih dipersoalkan seperti monosodium glutamate yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit. Kita mungkin menyangka sebiji burger hanyalah daging cincang. Tanpa mengambil kira bahagian lemak, daging itu tidak semestinya daging semata-mata. ‘Daging tanpa lemak’ termasuk tulang, kulit, rawan dan urat, lidah, usus dan organ-organ lain serta ekor yang dikisar. Ia juga termasuk daging yang diperolehi dengan menggunakan mesin: diperbuat daripada sisa-sisa yang dipotong dan lemak yang dikikis daripada haiwan sembelihan oleh mesin. Bahan-bahan ini kemudiannya dikisar dan diadun menjadi adunan cair dengan menggunakan pengemulsi dan pemekat.

Pada tahun 1989, CAP telah menguji 9 contoh burger beku dari pasaraya dan mendapati sejumlah besar lemak dicampurkan. Jumlah ini dalam lingkungan 11- 24% (iaitu 9 hingga 18 gram lemak tepu tulen di dalam sebiji burger sederhana saiznya kira-kira 75 gram), berbanding dengan protein yang terdiri daripada 12 - 18%. Yang lain merupakan isi bukan daging, biasanya roti yang sudah berkulat.

Jadi, janganlah mudah terpedaya dengan dakwaan tentang vitamin dan zat galian dalam makanan segera. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori kita makan pada masa yang sama. Terdapat sedikit zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan milkshake, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun dalam sehari, kita perlu mengunyah empat burger seberat suku paun tiap satu untuk mendapatkan cukup zat besi, 15 paket kentang goreng untuk mendapatkan cukup vitamin C dan menyedut 10 milkshake bagi mendapatkan kalsium secukupnya.

Kesimpulannya, untuk mendapatkan zat secukupnya daripada makanan segera, kita mungkin menjadi terlalu gemuk hingga sukar duduk di atas kerusi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA