SEMUA manusia yang hidup di
dunia ini memerlukan makanan. Tidak dapat dinafikan makanan adalah salah satu
keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian,
isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja.
Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini
melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang
menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini.
Menurut
statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah
meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia
kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia
sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji
yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras tertinggi.
Kenaikan harga
pasaran bijirin juga telah memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara
langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan
tenusu. Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata
tempat di dunia dan tidak lagi terbendung kepada negara-negara tertentu sahaja.
Menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari 73
juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari
pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun-tahun mendatang.
Pada masa yang
sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakan lagi
kesan yang berlaku. Ini kerana apabila harga barang makanan meningkat,
maka semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk
mendapatkan makanan tersebut selari dengan teori mekanisma harga yang menjadi
mekanisma asas pengagihan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang
dagangan ini pula dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia.
Masalah
pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran
makanan juga antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya
kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah
melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini
dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak
mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan atau
kekurangan sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya.
Menurut
Program Bahan Makanan dan Pertanian PBB, masyarakat antarabangsa perlu
menubuhkan rizab antarabangsa untuk menstabilkan harga bahan makanan. Rizab itu
juga perlu ditubuhkan di pelbagai negara dan kawasan untuk menyediakan bahan
makanan kepada penduduk yang hidup susah ketika berlakunya krisis. Selain itu,
pelbagai negara khususnya negara-negara membangun perlu meningkatkan peruntukan
dalam bidang pertanian. 98% penduduk yang menderita kelaparan adalah dari
negara-negara membangun.
Untuk
mengatasi krisis makanan dunia ini, negara-negara pertanian boleh memainkan
peranannya. Antara kaedah bagi mengatasi krisis ini ialah pertama, kawasan
tanaman mestilah diperluaskan untuk menambah bekalan. Contohnya seperti yang
dilaksanakan di Malaysia di mana negeri Sabah dan Sarawak telah dijadikan
negeri pertanian bagi menambahkan sumber makanan kepada rakyat. Kawasan tanah
bukit juga boleh digunakan untuk penanaman andainya mengikut teknologi yang
sesuai seperti sistem pengairan moden, baja, teknik tanaman dan sebagainya.
Hakikatnya,
negara-negara membangun seperti Malaysia mempunyai empat kekuatan iaitu tanah
yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber manusia yang besar, dan
kekayaan sumber alam semulajadi. Dengan tanah yang subur dan luas, pertanian
perlu difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan penggunaan
baja dan peralatan moden serta perluasan lahan pertanian melalui penerapan
undang-undang yang bersangkutan dengan hukum tanah pertanian. Selain itu,
sistem pengangkutan yang efisien juga perlu dibangunkan agar pengedaran makanan
menjadi lebih teratur, berkesan, cepat dan mudah.
Dari aspek
sumber manusia, dianggarkan terdapat lebih kurang 48 juta orang yang
menjalankan aktiviti pertanian. Bagi memastikan setiap individu di dalam
negara-negara membangun mendapat keperluan asasnya, kerajaan perlu memberikan
peluang dan galakan kepada orang-orang miskin dan tidak berkemampuan untuk
bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan apa juga
bantuan kepada mereka.
Negara-negara membangun
terutamanya negara-negara pertanian di seluruh dunia harus mencontohi Malaysia
di mana telah mewujudkan beberapa projek mega pertanian seperti Taman Kekal
Pengeluaran Makanan (TKPM) Zon Industi Akuakultur, Ladang Kontrak, Pembangunan
Usahawan Industri Asas Tani dan Pusat Fidlot Nasional. Malaysia juga melalui
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti tujuh langkah
perlaksanaan iaitu meningkatkan pengeluaran beras, pewujudan stok penimbal
beras, pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian dan mewujudkan
program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan
dan pertanian. Langkah lain termasuk mengukuhkan Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA) bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil
pertanian, melaksanakan program Bumi Hijau dan mengurus kawasan terbiar untuk
meningkatkan pengeluaran komoditi sekuriti.
Negara-negara membangun
khususnya negara pertanian di seluruh dunia juga harus beralih kepada
melaksanakan teknik kultur tisu. Teknik kultur tisu, Molecular Assisted
Selection (MAS) dan penggunaan bioreactor boleh digunakan untuk
meningkatkan produktiviti makanan.
Bioteknologi harus
dilihat sebagai alat yang boleh dimanfaatkan ketika dunia menghadapi krisis
makanan kerana pemilihan baka atau benih yang dihasilkan menerusi bioteknologi
mempunyai ciri-ciri yang lebih baik sama ada cepat matang, hasil lebih tinggi
dan tahan penyakit. Teknologi kini dapat membantu pengeluaran makanan khususnya
yang asas seperti padi, gandum dan jagung, meskipun wujud prejudis daripadanya.
Isu-isu seperti organisme terubah suai secara genetik (GMO) menjadikan manusia
ragu-ragu terhadap teknologi tersebut tetapi Molecular Assisted
Selection boleh menjadi alternatif.
Kawasan
penanaman semakin berkurangan sedangkan penduduk semakin
meningkat. Justeru, sebagai alternatif, bioteknologi boleh meningkatkan
pengeluaran makanan secara berganda untuk keperluan manusia. Universiti dan
agensi penyelidikan tempatan seperti Universiti Putra Malaysia dan Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), sebagai contoh boleh
menggandakan usaha menghasilkan lebih banyak penyelidikan yang mampu
melipatgandakan pengeluaran produk makanan.
Kesimpulannya,
negara-negara membangun terutamanya negara-negara pertanian boleh memainkan
peranan yang besar dalam mengatasi krisis makanan dunia. Walaupun negara-negara
ini sinonim dengan kemiskinan tetapi kekayaan tanah yang subur, sumber air yang
melimpah-limpah, sumber manusia yang besar, dan kekayaan dari sumber alam
semulajadi merupakan anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai harganya yang
boleh dijadikan modal asas dalam usaha menggiatkan bidang pertanian.
Terima kasih. Sangat membantu untuk saya buat karangan mengenai krisis makanan antarabangsa.
BalasPadamMantap berabis
BalasPadamTerbaik
BalasPadamTerima kasih
BalasPadamMinta halal ilmunya. Terima kasih
BalasPadam