APA perasaan anda
apabila menyandang status muflis pada usia yang masih muda? Tambahan lagi
apabila silapnya adalah anda tidak mampu lagi membayar hutang kad kredit yang
mencecah ribuan ringgit. Atau mungkin kerana menjadi mangsa kepada ketaksuban
untuk bertukar-tukar kereta pada hal kewangan belum benar-benar layak untuk
berbuat demikian.
Dalam
mengharungi kehidupan seharian, seseorang itu tidak dapat lari daripada hutang
sama ada bagi pembiayaan rumah, kereta, kad kredit, pinjaman peribadi,
pendidikan dan sebagainya. Malah, ada juga yang sanggup berhutang semata-mata
mahu membeli kelengkapan rumah seperti perabot, peralatan memasak, barangan
elektronik dan sebagainya agar dilihat mewah serta eksklusif. Tidak kurang juga
ada yang lebih berani berhutang untuk membeli barang kemas, telefon bimbit,
barangan aksesori serta pelbagai produk kegunaan peribadi lain yang tidak perlu
seiring dengan trend semasa.
Hari
ini kehidupan masyarakat amat jarang terlepas dari masalah hutang.
Sekurang-kurangnya ketika membeli rumah dan kereta. Antara lain disebabkan
kedua-dua keperluan itu agak mahal harganya dan jarang anda dapat membelinya
secara tunai.
Kendati
begitu, akhbar Berita Harian bertarikh 24 Julai 2010 telah menyiarkan
sebuah artikel bertajuk ‘Muflis Muda’ yang memberikan satu gambaran yang cukup
menakutkan. Dalam tempoh antara tahun 2005 sehingga Mei 2010, seramai 87,583
kes muflis telah direkodkan dengan 4,651 orang atau 5.1% daripada jumlah itu berpunca
daripada hutang kad kredit dan majoritinya adalah generasi muda iaitu kira-kira
23% diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar hutang ekoran kadar faedah
tinggi iaitu antara 12 hingga 18%.
Apa
yang lebih membimbangkan ialah daripada jumlah keseluruhan yang diisytiharkan
muflis, lebih 16% atau 13,128 individu berusia antara 25 hingga 34 tahun.
Mengikut laporan itu lagi, kebanyakan pemegang kad kredit adalah kalangan
golongan muda yang menggunakan kemudahan itu untuk berbelanja barangan tidak
perlu dan mewah.
Ketua
Pengarah Jabatan Insolvensi menjelaskan kebanyakan kes muflis membabitkan
golongan muda adalah berkaitan penggunaan kad kredit tidak terkawal dan gagal
membayar balik hutang dalam tempoh ditetapkan berbanding kes golongan lebih
berusia yang majoritinya berkaitan soal pinjaman perumahan, kenderaan dan
perniagaan.
Statistik
menunjukkan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi di negara ini telah
meningkat pada kadar 17.6% dalam tempoh enam bulan kepada RM98.8 bilion pada
akhir 2009. Peratus hutang kad kredit yang tidak dibayar telah meningkat 5.4%,
iaitu RM26.7 bilion terutamanya akibat pembelian barangan pengguna di bawah
skim ansuran.
Bagi
memastikan masalah hutang dan kebankrapan membelenggu pekerja muda kakitangan
awam dan swasta maka satu modul khas pengurusan kewangan persendirian telah
diperkenalkan kepada semua pekerja dan modul itu perlu dimasukkan ke dalam
kursus induksi misalnya dan menerapkan prinsip berhemah dengan berjimat cermat
serta bijak mengurus pendapatan bulanan mereka. Ini penting untuk mendidik
golongan pekerja muda ini dengan kemahiran pengurusan kewangan supaya mereka
dapat mengelakkan hutang yang membebankan.
Jika
perkara ini tidak diendahkan, ia akan menjejaskan keberkesanan dan integriti
perkhidmatan kerajaan dan swasta kerana mereka tidak mampu memberikan tumpuan
kepada tugas mereka. Hutang juga boleh membawa kepada gejala rasuah dan ini
akan menjejaskan sistem penyampaian sektor kerajaan dan perkhidmatan swasta di
negara kita.
Di
samping kempen dan modul pengurusan kewangan diperkenalkan kepada golongan
pekerja, Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu melaksanakan beberapa langkah
pencegahan bagi membendung peningkatan hutang isi rumah dan kes kebankrapan di
kalangan generasi muda terutamanya agar ia tidak terus berlarutan dan menjadi
lebih serius. Langkah itu juga perlu bagi memastikan masalah berkenaan tidak
menjadi penyumbang kepada faktor ketidakstabilan ekonomi negara dan akan
mewujudkan masalah sosial lain pula akibat masalah hutang yang kronik.
Bank
pusat juga perlu menjalankan usaha mempertingkatkan kadar celik kewangan
masyarakat di negara kita, terutamanya di kalangan generasi muda agar mereka
tidak menjadi mangsa keadaan sehingga dibelenggu oleh masalah hutang keliling
pinggang yang mana ini boleh merosakkan masa depan mereka sendiri.
Hakikatnya,
golongan pekerja muda ini perlu mempelajari kaedah membuat pengurusan kewangan
dan berbelanja bersesuaian dengan pendapatan mereka. Jika mereka boleh
mengurangkan perbelanjaan sebanyak 5% seminggu, mereka boleh menjimatkan 20%
menjelang akhir bulan. Cara ini dapat membantu untuk membina asas kewangan yang
kukuh. Ramai individu gagal menjelaskan pembayaran hutang kerana pengurusan
kewangan yang lemah dan tiada kawalan dalam penggunaan kad kredit. Mereka yang
mempunyai masalah untuk menyelesaikan hutang-hutang perlu mencari bantuan awal
sebelum sebarang faedah dikenakan ke atas mereka.
Apabila
mereka diisytiharkan muflis, kehidupan akan menjadi lebih sukar kerana nama
mereka akan disenaraihitamkan di dalam data Sistem Rujukan Maklumat Kredit
Pusat (CCRIS). Keadaan itu akan menggagalkan permohonan pembiayaan mereka
secara automatik.
Kebanyakan
golongan pekerja muda ini terperangkap dengan hutang kerana mereka hidup
melebihi cara yang sepatutnya. Permulaannya, mereka begitu mudah terpengaruh
terutama gaya hidup rakan-rakan. Namun mereka tidak tahu bagaimana untuk
menguruskan perbelanjaan dengan teratur sehingga menyebabkan kredit berlaku
berterusan. Sikap mementingkan jenama di kalangan generasi muda ini juga
menyebabkan mereka tidak mengambil peduli soal kemampuan dalam perbelanjaan.
Mereka tidak mendapat kesannya ketika menggunakan kad kredit, tetapi ‘sakitnya’
akan dirasai pada akhir bulan.
Pekerja
atau generasi muda di negara ini dikenal pasti sebagai golongan yang boros
berbelanja jauh daripada kemampuan kewangan sebenar mereka. Trend yang
membimbangkan itu berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat, berbelanja
terhadap barangan yang tidak perlu dan pengaruh rakan sehingga mendorong mereka
berbelanja lebih daripada yang sepatutnya.
Sesetengah
golongan pekerja muda yang terjerat dengan masalah muflis ini berbangga dengan
penggunaan kad kredit yang seringnya akan menimbulkan masalah, khasnya apabila
penggunaannya tidak dikawal. Mereka yang memiliki kad kredit tentulah mempunyai
kemampuan kewangan yang tinggi, jika tidak pihak bank tidak akan membenarkan
penggunaannya. Namun kad plastik ini boleh menyebabkan muflis berleluasa di
kalangan masyarakat, khasnya apabila pengguna atau pemilik kad itu membuat
pembayaran minimum sahaja pada setiap bil yang dihantar oleh pihak bank.
Apabila
ini terjadi, baki yang masih tinggal dalam akaun seseorang itu akan dikenakan
caj dalam kadar tertentu, biasanya 1.5% sebulan atau 18% setahun. Lama kelamaan
hutang pemilik kad akan semakin meningkat dan akhirnya akan menimbulkan masalah
bila pemilik tidak lagi mampu membayar hutang yang kian bertompok itu. Di
sinilah kemungkinan diisytiharkan muflis itu timbul.
Namun
jika seseorang pemegang kad membayar semua jumlah yang tertera dalam bil bulanannya,
pihak bank tidak akan mengenakan apa-apa caj kecuali pada proses pembelian
pertama sahaja. Maka di sini seseorang itu tidak akan dikenakan caj oleh pihak
bank.
Sebab
itulah, dalam akhbar Kosmo yang bertarikh 19 Mac 2011, Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) telah menyarankan penggunaan kad debit. Kad debit boleh
mengawal keseimbangan tunai dan mengelakkan dari berhutang kerana pemiliknya
harus membayar kesemua jumlah transaksi pada setiap bil yang diterima. Hal ini
dapat mengelakkan dari gejala hutang.
Jadi,
bagaimanakah pekerja muda ini perlu bertindak agar mereka tidak dijerat oleh
gejala hutang dan henyakkan muflis? Jawapan yang tepat ialah anda perlulah
mengubah gaya hidup dan cara berbelanja anda mengikut kaedah-kaedah yang sudah
diakui oleh pakar kewangan sebagai yang efektif dan bermanfaat.
Jika
dahulu, anda kerap memperuntukkan gaji bulanan untuk membayar bil, hutang,
membeli barang dan sebagainya terlebih dahulu, mulai sekarang berikan keutamaan
kepada menyimpan wang untuk diri sendiri dahulu. Tidak kira dalam jumlah
yang kecil atau besar, pastikan anda menyimpan dan melaburkan duit untuk diri
(dan keluarga) secara konsisten. Anda boleh bermula dengan RM50 sebulan (lebih
banyak lebih bagus), kemudian tambahkan jumlah simpanan anda pada tahun-tahun
berikutnya.
Anda
juga perlu elakkan pembaziran. Bezakan antara barang-barang keperluan dan
kehendak. Sebagai contoh, anda tidak perlu membeli baju atau seluar yang
berjenama mahal jika jenama yang sederhana atau murah mampu memenuhi keperluan
anda. Tambahan pula, kebanyakan pasar raya besar sekarang menyediakan ‘house
brand’ yang berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan.
Matlamat
kewangan anda seharusnya menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan
wang anda dalam jangka masa tertentu. Penetapan matlamat ini akan membantu anda
memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan anda berbelanja dengan lebih
bijak. Tetapkan jangka masa untuk merancang dan melaksanakan setiap matlamat
anda, sama ada matlamat itu berjangka masa pendek, sederhana ataupun panjang.
Selepas
anda menentukan matlamat anda, mulakan dengan membuat perancangan untuk
berbelanja dengan lebih baik agar matlamat anda mudah dicapai. Ingat bahawa
matlamat anda buat masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan
perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda. Melalui pemerhatian
ini, anda akan dapat mengetahui ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang
anda, berapa banyak hutang anda setiap bulan dan berapa baki wang anda yang
masih tinggal di penghujung bulan.
Anda
juga perlu buat bajet, tulis dan patuhinya. Sesetengah individu gemar membuat
bajet secara kasar atau ‘dalam kepala’ sahaja, terutamanya semasa hendak
membeli barang. Ini cara yang tidak berapa tepat. Sebaik-baiknya, tulis apa
yang ingin dibelanjakan dan lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah dibuat
tersebut. Anda perlu berdisiplin dalam berbelanja dan membuat bajet adalah
langkah yang sangat penting. Jika tidak membuat bajet, besar kemungkinan anda
akan mengalami kesukaran menguruskan kewangan sendiri dan keluarga.
Selain
itu anda juga perlu elakkan dari dipengaruhi emosi semasa membuat keputusan
berkaitan dengan kewangan. Perkara ini tidak dapat dinafikan terutamanya
apabila anda mempunyai wang lebihan contohnya sewaktu mendapat bonus.
Macam-macam perkara yang akan terlintas difikiran anda - kereta baru, perabot
baru, bercuti dan sebagainya. Sekiranya anda mendapat wang lebih, pastikan anda
menyimpan sebahagian daripadanya dan selebihnya digunakan untuk melangsaikan
hutang sedia ada. Inilah masa terbaik untuk anda melangsaikan segala hutang kad
kredit anda sekaligus. Jangan berlengah lagi dan bayar segala hutang-piutang
yang ada. Percaya atau tidak, hidup anda akan menjadi lebih tenang jika anda
sudah melangsaikan hutang.
Mungkin
anda sudah tahu yang melabur adalah cara terbaik untuk mengembangkan wang sedia
ada. Melaburlah dengan pihak-pihak yang berlesen dan berwaspada dengan pelbagai
skim cepat kaya atau skim pelaburan tidak sah yang terdapat di pasaran.
Sekiranya sesuatu syarikat menawarkan untung berlipat kali ganda dan mendakwa
tiada risiko yang terlibat jika anda melabur dengan mereka, mungkin itu adalah
syarikat yang tidak sah. Pastikan anda memeriksa sama ada sesuatu syarikat itu
berlesen ataupun tidak dengan menghubungi pihak berkuasa. Ingat, dapatkan
sebanyak mungkin maklumat sebelum menyerahkan wang titik peluh anda kepada
mana-mana pihak.
Anda
juga perlu menyediakan dana kecemasan. Dana kecemasan merujuk kepada
sejumlah wang yang anda peruntukkan untuk digunakan sekiranya berlaku apa-apa
musibah yang tidak diingini. Biasanya, anda dinasihatkan supaya mempunyai dana
kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Dengan
wujudnya dana kecemasan, anda akan berupaya mengharungi segala masalah
berkaitan kewangan dengan tenang dan terkawal. Dana kecemasan yang mencukupi
juga akan memastikan cara hidup anda tidak terganggu sewaktu menghadapi masalah
kewangan.
Sekiranya
anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu
menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak
diperlukan. Perhatikan sama ada anda menggunakan simpanan untuk membayar bil
semasa, anda memohon pinjaman baru untuk melangsaikan hutang pinjaman lama,
hutang anda lebih besar daripada pendapatan dan anda membeli sesuatu tanpa
memikirkan sama ada anda mampu atau tidak.
Sesungguhnya,
pelan perbelanjaan dapat membantu anda merancang kewangan. Mulakan pelan
perbelanjaan anda dengan panduan mudah seperti tentukan jumlah pendapat bulanan
anda, tambah jumlah perbelanjaan termasuklah bil bulanan, bayaran balik
pinjaman, sewa, perbelanjaan seharian dan lain-lain, ketepikan sejumlah wang
untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim seperti yuran sekolah, musim
perayaan, cukai jalan, pembaharuan insurans dan sebagainya.
Jadilah
seorang manusia yang bijak dalam berbelanja. Apabila anda ingin membeli
sesuatu, tanyalah diri anda terlebih dahulu: Adakah saya benar-benar
memerlukannya? Adakah saya mampu membelinya? Bajet peribadi dan aliran
tunai anda boleh membantu menjawab soalan ini. Semak terlebih dahulu sekiranya
anda telah membuat peruntukan bagi perbelanjaan ini ataupun anda telah
berbelanja lebih bagi bulan tersebut.
Jangan jadikan
membeli belah sebagai satu tabiat untuk melepaskan tekanan. Sekiranya anda
hendak membeli sesuatu barang yang khusus pastikan anda tidak membawa anak-anak
yang sering mendesak untuk membeli sesuatu yang kurang perlu atau keluar dengan
rakan-rakan yang memang suka membeli belah. Juga jangan membawa wang yang
banyak. Bawalah yang mencukupi sahaja
Jangan membeli
belah untuk menunjuk-nunjuk kepada pesaing, rakan ataupun jiran. Kurangkan
tabiat mendapatkan maklumat mengenai barangan yang anda minat di laman web
jualan lelong. Ini kerana anda mungkin terjumpa dengan barangan yang diminati
dalam harga yang murah walaupun sebenarnya anda belum memerlukan barangan
berkenaan pada waktu itu.
Jangan amalkan
singgah di pasar raya apabila pulang ke rumah dari tempat kerja. Rancang tempat
untuk membeli belah bagi menjimatkan penggunaan bahan api dan masa. Belilah
barang keperluan dengan sekali pergi sahaja.
Semasa anda
membeli-belah, bersederhanalah dalam perbelanjaan. Kualiti produk mungkin sama
dengan jenama yang lebih mahal. Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga
istimewa. Buat perbandingan harga. Sentiasa memeriksa resit pembelian barangan
untuk mengelakkan terlebih bayar atau berlaku kesilapan semasa pengiraan
pembelian. Untuk jualan murah, sila teliti kualiti barangan yang dipamerkan dan
pastikan barangan yang dipamerkan itu benar-benar di bawah promosi.
Ketahui dan
dapatkan maklumat mengenai hak-hak pembeli seperti polisi pemulangan, kos
penghantaran dan sebagainya. Berani mengatakan ‘tidak’ sekiranya tidak
memerlukan barangan yang ditawarkan. Belilah produk keluaran tempatan (Buatan
Malaysia). Ia menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida
yang keluar semasa proses penghantaran. Beralihlah kepada barangan yang boleh
digunakan semula. Ini akan mengurangkan barang buangan dan menjimatkan sumber
tenaga.
Dalam
menguruskan kehidupan anda, anda bukanlah tidak dibenarkan meminjam langsung.
Anda boleh meminjam tetapi meminjamlah secara berhemat. Apabila anda ingin
meminjam, anda dinasihatkan supaya meminjam mengikut kemampuan anda untuk
membayarnya semula. Elakkan dari membuat pinjaman melebihi kemampuan atau gaji
bagi mengelakkan anda dibebankan dengan hutang yang melebihi pendapatan.
Contohnya, jika anda membeli sebuah kereta, semasa menentukan bayaran ansuran
bulanan sewa beli, anda perlulah mengambil kira sebarang kos tambahan yang akan
ditanggung secara berkala iaitu perbelanjaan untuk minyak, tol, pembaikan dan
kos penyelenggaraan.
Anda
juga boleh mempunyai kad kredit tetapi uruslah kad kredit itu dengan bijak.
Pastikan anda membayar kesemua hutang kad kredit anda pada setiap bulan bagi
mengelakkan daripada dikenakan kadar faedah. Kadar faedah yang dikenakan ke
atas baki kad kredit terkumpul biasanya lebih tinggi daripada pinjaman. Jika
anda tidak mampu untuk membayar kesemua baki tersebut, anda boleh sasarkan
untuk membayar lebih daripada bayaran minimum kerana dengan cara ini dapat
mengurangkan baki hutang terkumpul dengan lebih cepat. Namun, jika anda hanya
mampu membayar dengan jumlah minimum, pastikan ia hanyalah untuk satu tempoh
masa pendek sahaja.
Jika
anda membuat pembayaran bagi sesuatu barangan yang mahal, anda boleh memilih
untuk membayar melalui skim bayaran mudah yang disediakan oleh pengeluar kad
kredit anda. Skim tersebut membantu anda untuk membahagikan kos belian dalam
satu jangka masa, contohnya 6-12 bulan tanpa dikenakan sebarang kos kewangan
jika anda membayar mengikut jadual. Selain itu, elakkan juga daripada mengambil
wang tunai pendahuluan melalui kad kredit kecuali jika keadaan terdesak. Hadkan
juga bilangan kad kredit yang anda miliki dan jika perlu, batalkan sahaja
penggunaan kad kredit tersebut.
Anda
disarankan supaya menggunakan kaedah pembayaran bil secara automatik. Anda
boleh membuat arahan tetap untuk pembayaran nominal dengan institusi perbankan
anda untuk mendebit dana daripada akaun deposit bagi membayar ansuran bulanan
anda (setiap bulan bayaran ansuran anda akan ditolak secara automatik). Selalu
menangguhkan pembayaran bil bulanan boleh menyebabkan hutang yang tertunggak.
Membayar bil lewat akan menyebabkan anda dikenakan caj penalti dan sebagainya.
Ini akan menambahkan lagi beban kewangan anda.
Kesimpulannya,
bagi mereka yang baru bekerja, anda perlu sentiasa mengira ke mana wang anda
dibelanjakan. Hidup dengan duit yang sedikit tidak bermakna kehidupan anda
serba kekurangan. Ia lebih kepada hidup dengan lebih bermakna dan bersyukur,
dan bukan hidup untuk orang lain. Berjimat cermat dalam semua aspek kehidupan
adalah asas membina kekayaan. Jika anda berimpian untuk mendapat kebebasan
kewangan pada suatu hari nanti, tidak kira tahap atau status pendapatan anda,
anda perlu jadikan pengurusan kewangan yang berhemah sebagai cara hidup.
Beringatlah
sebelum anda terjebak dalam hutang. Berbelanjalah mengikut kemampuan bukan
kemahuan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan