Isnin, 30 Julai 2012

Lirik Ketuhanan

KEIMANAN KUKUH BERPADU


Fajar indah telah bangun tersenyum,
Menyapa hari yang menguntum anggun,
Keimanan di dada tertegak dalam santun,
Dalam mengharung badai yang meruntun,
Hasil kesedaran lama sejak berkurun.

Dalam mencapai tauhid uluhiyah,
Keimanan subur mencapai natijah,
Lahirlah insan mulia berjiwa gagah,
Teguh jahadanya menentang serakah,
Kukuh akhlaknya menyisih gundah.

Neraka itu neraca keadilan-Nya,
Syurga itu mandala rahmat-Nya,
Terimalah segala ujian kerana-Nya, 
Sanggup sengsara demi cinta-Nya.

Ikhlas takbir Allah Huakbar,
Kasih sayang Dia terlalu lebar,
Hadapilah cabaran dengan sabar,
Segala yang khilaf jadi ikhtibar,
Allah Maha Qahhar Maha Jabbar.
Ya Rabbi, sungguh indah nama-Mu,
Tersemat erat dalam lipatan hatiku,
Bersama amalan berpandukan ilmu,
Iman di dada kukuh berpadu,
Tiada jelak memohon restu-Mu.

BANGUN SAUDARAKU KITA BERSATU

Kita sudah lama menyisih ukhuwah,
Asyik meruntuh kasih mencemar maruah,
Lupa jalinan sayang dalam dakwah,
Hanya bertuhankan nafsu serakah,
Sehingga subur rasa benci bercambah,

Kita terlalu angkuh dan sombong,
Saf kita jadi renggang dan kosong,
Disarat amarah tidak tertampung,
Makin melebar jurang dan lompong,
Ukhuwah mewangi menjadi kohong.

Tenangkan kemelut ihsan dengan untaian zikir,
Lunakkan senandung iman dengan alunan takbir,
Tegaklah monumen takwa dengan pasakan takzir.

Maafkan saudara yang menghulur tangan,
Pimpin tangannya ke mercu persahabatan,
Jauhkan diri dari hasutan syaitan,
Dengan selawat mulus ke atas Junjungan,
Semoga ikatan ukhuwah erat berpanjangan.

Bangunlah saudaraku kita bersatu,
Akrab ukhuwah dalam saf yang padu,
Berteras kukuh agama yang jitu,
Jangan diundang musuh dan seteru,
Musibahnya agama punah berdebu.


JANJI PERKAHWINAN ABADI

Yang pasti satu masa nanti,
Kita bakal dilamar secara hakiki,
Kerana sudah bertunang sejak azali,
Ini semua kehendak ya Rabbi,
Tak mampu ditunda atau dihalangi.

Hujung hidup kita akan disatukan,
Berkahwin dengan ajal pengakhiran,
Hantarannya sakit yang tak tertahan,
Dan sakratulmaut menjadi kawan,
Nafas yang akhir jadi taruhan.

Tetamu yang hadir menghadiahkan tangis,
Pengantin dipakaikan baju yang putih,
Wangian gaharu, bunga-bunga bersedih,
Pengantin bersanding terharu dan pedih,
Harta dan nama jauh tersisih.

Kita akan diarak ke hujung kampung,
Berkompangkan azan dan Fatihah mengapung,
Aqadnya talkin, dosa tak tertanggung,
Bersaksikan lahad sempit dan kosong,
Tinggallah kita di rumah yang bolong.

Dosa dan pahala akan disebut,
Seksaan kubur bukannya karut,
Di sini bersemadi tafakur dan sujud,
Semua manusia dari serata sudut,
Janji qullunafsin zaiqatul maut.


MEMBACA PUISI TUHAN

Telahku baca puisi ciptaan Tuhan,
Pada cantiknya warna senja di kejauhan,
Pada bintang malam yang berkedipan,
Pada langit luas yang hening diam,
Pada mentari membahang tidak tertahan,
Pada pelangi indah melingkungi alam.

Telahku baca puisi ciptaan Tuhan,
Pada susunan mawar dalam taman,
Pada mercup cempaka wangi menawan,
Pada teratai cantik gadis tempawan,
Pada rumput subur di hujung laman,
Pada jernih samudera tiada sempadan.

Aku telah membaca puisi manusia,
Pada aliran sungai yang tak bermaya,
Pada udara nafas setiap mandala,
Pada hingar kota menyesakkan minda,
Pada tengik sampah dibuang merata,
Pada bencana alam yang merajalela.

Telahku baca puisi Yang Maha Esa,
Pada gelicau unggas di tengah belantara,
Pada rerona ikan di samudera raya,
Pada manisnya madu dalam sialangnya,
Pada jutaan planet di angkasaraya,
Pada deruan bayu celahan bumantara.

Aku insaf memahami puisi Tuhan,
Puisi Tuhan kaya keindahan,
Puisi Tuhan sarat pedoman,
Puisi Tuhan luas pemikiran,
Puisi Tuhan banyak panduan,
Puisi Tuhan membentuk keimanan.

Sungguh indah puisi ciptaan Tuhan,
Mengenalkan aku dengan ketabahan,
Mendekatkan aku dengan kesyukuran,
Mengakrabkan aku dengan kenikmatan,
Mengentalkan aku dengan keinsafan,
Menguatkan aku dengan ketakwaan.

PASTI TERJADI

Usiamu dunia di akhir zaman,
Bergema khabar di hujung semboyan,
Dengan tanda pelbagai tafsiran,
Namun ummah masih melupakan,
Kerana impian belum kesampaian.

Belum bergema suara nafiri,
Imamat senipis kulit ari,
Bermegah manusia menampil diri,
Mendabik dada dengan berani,
Amalan munafik mainan keji.

Seharusnya kita tidak menanti kiamat,
Kerana takwa perlu subur setiap saat,
Berpegang teguhlah pada tonggak kalimat,
Mantapkan iman dengan pancang solat,
Teguhkan akidah dengan tunjang ibadat.

Kuasa Allah Yang Maha Esa,
Izin-Nya terjadi, terjadilah ia,
Namun jika waktu belum tiba,
Kita perlu teruskan usaha,
Selagi jasad masih bernyawa.

Alam akhirat anugerah Ilahi,
Entah bila tapi pasti terjadi,
Semuanya dalam kehendak Rabbi,
Jangan biarkan waktu berlari,
Meninggalkan pahala, menggunung rugi.

DI PUNCAK GEMILANG

Aduhai insan khalifah yang malang,
Dengan tubuhmu yang kering gersang,
Cerminan padah yang menjelma panjang,
Di mana akal fikiran anugerah Tuhan,
Telah tercemar dek nafsu kesesatan.

Aduhai insan generasi yang hina,
Dinoda najis dadah yang durjana,
Maruahmu menghilang entah ke mana
Hidupmu kecundang sengsara merana,
Masa depan tidak lagi berguna.

Yang sudah terlanjur kembalilah menginsafi,
Lafazlah taubat dengan hati yang suci,
Sejarah yang malang jangan diulangi lagi.

Kita yang berdiri teguh di sini,
Jangan biarkan nafsu merasuk hati,
Binalah tembok kebal pemisah diri,
Demi agama yang murni dan suci,
Demi mertabat dan maruah hakiki.

Untuk hari-hari yang mendatang,
Noda-noda hitam perlulah dibuang,
Agar kehidupan kita diulit tenang,
Agar maruah bangsa tinggi terjulang,
Agar agama suci di puncak gemilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA